APY
ELINA tak senang duduk. Dari tadi dia asyik memerhati suaminya
yang sedang kemaskan diri. Dia melihat jam di dinding biliknya. Baru
pukul 7.30 pagi. Sesuatu yang luar biasa. Sekali lagi dia hanya
memerhati suaminya.
“Ehem…”
Apy Elina berpura-pura berdehem untuk tarik perhatian suaminya.
Tapi
tiada reaksi daripada Adam. Sama ada Adam tidak dengar atau Adam
pura-pura tak dengar.
“Ehem…”
sekali lagi Apy Elina berdehem.
“Mak
cik…” Adam mula bersuara.
“Ya?”
pantas Apy Elina menjawab. Teruja apabila dia mendengar Adam
menegurnya.
“Ada
nampak jam tangan tak?” tanya Adam sambil tercari-cari sesuatu.
Apy
Elina mengeluh kecewa. Suaminya ini memang menguji kesabarannya
pagi-pagi hari. Punyalah dia teruja bila suaminya menegurnya tadi,
tapi malangnya tegur sebab hendak tahu di mana jam tangannya. Geram!
“Okey,
dah jumpa,” ujar Adam sebaik sahaja mendapati jam tangannya
diletakkan di bawah longgokan tuala mandi yang digunakannya tadi.
Apy
Elina mencebik geram. Tak boleh jadi. Dia mesti bersuara juga.
Suaminya itu memang suka guna psikologi dengannya. Walaupun dia tahu
dan cuba melawan siapa lagi ego tapi dia tetap kalah.
“Awak
ingat lagi tak? Dulu saya tergila-gilakan lelaki handsome,”
ujar Apy memulakan bicara dengan mata yang tak berkelip memandang
suaminya.
“Ingat.
Jumpa lelaki handsome je mesti nak gedik sampai tak ingat
dunia,” balas Adam dengan nada sindiran.
“Tapi
sekarang saya rasa menyesal pula,” keluh Apy Elina dengan sesalnya.
“Sebab
tak dapat suami yang handsome?” tanya Adam acuh tak acuh.
Apy
Elina mengurut dahi. Tension apabila Adam buat acuh tak acuh. Itu tak
lain tak bukan mesti nak suruh si isteri puji suaminya handsome.
Mustahillah dia tak tahu dia memang dilahirkan dengan muka yang
handsome. Mustahil juga dia tak tahu dia menjadi kegilaan
gadis-gadis yang melihatnya.
“Tak.
Oleh sebab saya selalu gedik nak lelaki handsome, akhirnya
saya dapat suami yang sangat handsome sampai saya mula fikir
yang bukan-bukan,” ujar Apy Elina sambil berdiri berhadapan dengan
suaminya.
“Fikir
apa?” tanya Adam hairan.
“Awak
pakai segak-segak ni nak pergi mana?” tanya Apy Elina dengan nada
cemburu seraya memaut leher suaminya.
Serentak
dengan itu, Adam mengukir senyuman. Apy Elina berpura-pura membalas
senyuman itu. Matanya tajam memandang suaminya.
“Nak
keluar kejap,” jawab Adam ringkas.
“Kejap…
dengan siapa?” Apy Elina terus bertanya.
Adam
tersenyum lagi.
“Doktor
Omar. Nak ikut?” tanya Adam.
“Doktor
Omar…” Apy Elina cuba mengingati kembali nama itu. Nama itu macam
pernah disebut sebelum ini. “Ahh… doktor peribadi awak tu?”
tanya Apy Elina apabila teringatkan perkenalan dengan Doktor Omar
beberapa hari yang lalu.
Adam
hanya mengangguk. “Nak ikut ke?” tanya Adam mengajak.
“Jumpa
dia nak buat apa?” Apy Elina bertanya lagi. Berkira-kira sama ada
hendak ikut Adam atau tidak.
“Hmm…
saja lepak-lepak kedai mamak.”
“Ohhh…”
Apy Elina mengangguk faham.
“Nak
tak? Kalau nak ikut pergi siap sekarang,” ajak Adam lagi.
Apy
Elina berfikir sebentar. Dia bukannya kenal sangat dengan Doktor
Omar. Kalau dia ikut, pasti dia akan duduk di tepi dan dengar mereka
bersembang. Pasti dia tak faham apa yang disembangkan oleh mereka.
Pasti juga dia akan jadi tunggul kayu dan akhirnya kebosanan.
“Tak
naklah,” akhirnya dia buat keputusan.
“Kalau
tak nak, lepaskanlah abang,” kata Adam sambil tunjuk tangan
isterinya yang masih merangkul lehernya.
“Tapi…
betul awak hanya nak jumpa Doktor Omar?” tanya Apy Elina sekali
lagi.
“Taklah.
Sebenarnya nak pergi jumpa model dari Rusia yang nak merasa makan
sambal nasi lemak,” jawab Adam selamba.
Apy
Elina tersengih. Lantas dia melepaskan suaminya. Jumpa model dari
Rusia konon. Model dari Rusia pun tak mungkin sampai di ceruk kampung
ini semata-mata nak merasa makan sambal nasi lemak. Lagipun Adam yang
dia kenal bukan jenis yang suka berfoya-foya dengan perempuan. Tambah
lagi model. Wanita dalam hidup Adam memang boleh dikira.
“Boleh
pergi tak ni? Jumpa model dari Rusia...,” tanya Adam
tersengih-sengih.
“Hmm…
apa boleh buat. Suami saya ni memang handsome orangnya. Saya
patut berbangga, bukan? Sampai model dari Rusia yang mengidam nak
makan sambal nasi lemak pun cari awak,” keluh Apy Elina seraya
dengan rasa bangga. Bangga apabila dia menjadi isteri Adam.
“Okey,
pergi dulu. Ada nak kirim apa-apa tak?” tanya Adam.
“Awak
nak lepak mana? Kedai mamak ke?” tanya Apy Elina dengan muka
teruja.
“Okey,
dah tahu dah...” jawab Adam apabila melihat isterinya
tersengih-sengih dengan muka teruja. Itu tak lain dan tak bukan mesti
nak minta belikan roti canai. Dia reda. Asalkan isterinya tak minta
Nasi Kandar atau Nasi Beriani, itu sudah memadai.
“Terima
kasih Abang Adam yang baik hati lagi bijaksana. Saya doakan semoga
awak dimurahkan rezeki dan jadi lebih romantik,” ujar Apy Elina
sekali dengan pakej memuji. Kalau dia tak puji nanti, mesti dia kena
perli. Sebelum dia kena perli, lebih baik dia puji terlebih dahulu.
Adam
yang mendengarnya tersenyum.
“Yalah.
Kalau ada apa-apa call saja, okey?” ujar Adam sambil menyentuh pipi
isterinya.
“Hmm...”
Apy Elina mengambil kesempatan bermanja dengan tangan itu. Macam
kucing dapat kena belai lagaknya.
ADAM
melangkah masuk ke dalam keretanya. Baru dia hendak menghidupkan
enjin kereta, handsetnya berbunyi menandakan ada mesej masuk. Tanpa
berlengah lagi dia segera membuka mesej itu. Satu mesej bergambar.
Gambar Doktor Omar sedang berbual dengan seorang lelaki di sebuah
kedai mamak.
Tanpa
berlengah lagi dia segera memandu ke kedai mamak yang dikunjungi
bersama isterinya beberapa hari yang lalu. Perjalanan ke sana hanya
mengambil masa selama 15 minit.
Adam
menghentikan keretanya jauh sedikit dari restoran mamak itu. Dari
jauh dia melihat sendiri dengan matanya Doktor Omar sedang berbual
dengan seorang lelaki berpakaian segak. Lagaknya macam ahli
perniagaan tetapi wajahnya agak bengis. Sekali tengok dia sudah tahu,
orang itu bukan calang-calang orang. Kemungkinan besar dari kumpulan
kongsi gelap.
Tidak
lama kemudian, orang itu berlalu pergi dengan kereta Vios hitam.
Tanpa berlengah lagi Adam segera keluar dari keretanya dan berlalu ke
restoran mamak itu. Dia segera duduk di hadapan Doktor Omar. Doktor
Omar melahirkan riak wajah terkejut dan gelabah.
“Hah,
Adam! Terkejut saya,” keluh orang tua itu menyembunyikan rasa
gelabahnya tadi.
“Sorry,”
ucap Adam dengan senyuman yang tenang.
“Apa
kamu buat di sini?” tanya Doktor Omar.
“Doktor
tahu apa yang saya buat di sini,” jawab Adam tajam memandang doktor
peribadinya itu.
“Kalau
saya tahu, tak adalah saya tanya. Dan saya begitu pasti kamu bukan
datang sini ssebab nak sarapan sebab kedai mamak bukan taste kamu,”
kata Doktor Omar seiring dengan ketawa.
Adam
turut ketawa.
“Nampaknya
walaupun doktor adalah doktor peribadi kami tapi doktor tak kenal
saya. Saya bukan macam Hazrul, hanya memilih tempat yang kena dengan
pangkatnya,” balas Adam yang tahu Doktor Omar memang rapat dengan
Hazrul, abang tirinya itu.
“Sekarang
tak lagi… kamu tahu apa dah berlaku pada Hazrul? Selepas mama kamu
hantar dia ke luar negara, kamu ada dapat apa-apa berita daripada
dia?”
“Bukan
masalah saya,” jawab Adam dengan tenang.
“Tapi
dia sebahagian daripada keluarga kamu. Oh ya, sekarang tak lagi. Kamu
bukan daripada darah keluarga Alexander. Kamu hanyalah orang luar.”
Adam
masih mengukir senyum.
“Saya
memang bertuah, bukan? Memang selama ni, saya berharap dapat keluar
dari keluarga Alexander. Jadi, secara automatik Hazrul bukan masalah
saya lagi,” kata Adam.
“Kamu
betul-betul tak ada hati perut,” ujar Doktor Omar nampak kecewa.
“Nampaknya, mereka dah berjaya membentuk kamu menjadi seorang yang
tak ada hati perut.”
Adam
sekali lagi tersenyum. Dia hanya tenang menerima tomohan seperti itu.
“Saya
terfikir, bagaimana penerimaan isteri kamu tentang kamu yang
sebenar,” tambah Doktor Omar lagi.
“Bila
saya dengan isteri saya, saya hanya terfikir nak jadi suami yang
terbaik untuknya. Tapi dengan orang lain, saya boleh jadi baik dan
juga jahat. Doktor dah salah menilai saya,” jawab Adam.
“Orang
tua itu ketawa. “Apa yang kamu merepek ni?”
“Saya
tak merepek. Saya Cuma nak bagi amaran. Jangan sesekali ganggu isteri
saya atau keluarga mereka lagi. Saya tahu apa yang doktor dah buat.
Doktor sebar cerita yang baik tentang saya layan isteri saya. Saya
mungkin bukan Adam Alexander tapi saya boleh jadi Adam Alexander
lagi,” ujar Adam dengan muka yang serius. Dia tidak bergurau kali
ini.
“Atau
Romeo?”
“Jangan.
Sesekali. Sebut. Nama. Itu. Lagi!” ujar Adam perlahan tetapi
mengunggapnya satu demi satu perkataan dengan tegas. Matanya tidak
berkelip memandang orang tua di hadapannya itu.
“Kenapa?
Kamu nak bunuh saya? Macam apa yang keluarga kamu lakukan terhadap
Hazrul?”
“Tak.
Saya cuma nak doktor keluar dari kampung ini dan pergi ke mana saja
asalkan jangan kembali lagi ke sini,” tenang sahaja Adam menjawab.
“Kamu
mengugut saya?”
“Tak.
Saya tak ugut tapi saya yakin doktor akan dengar nasihat saya sebab
saya begitu pasti orang-orang yang bekerja dengan dalang yang ingin
musnahkan keluarga Alexander ada di sekeliling kita. Sama seperti kes
Hazrul. Mereka akan singkirkan calon yang gagal tanpa berunding lagi.
Jadi, semoga berjaya selamatkan diri sendiri,” ujar Adam sambil
mengukir senyuman sinis.
“Kamu
sengaja nak takutkan saya?” tanya Doktor Omar dengan mata yang
melilau memandang sekeliling.
“Percayalah,
saya datang ke sini bukan sebab nak takutkan doktor tapi saya kurang
senang apa yang doktor buat di sini. Doktor datang ke sini bukan
sebab nak berkhidmat pada masyarakat tapi mereka sengaja hantar
doktor ke sini sebab doktor boleh sebarkan hal buruk tentang saya
sehingga menakutkan keluarga isteri saya.”
“Doktor
nampak apa yang doktor tengah buat sekarang? Mereka hanya
mempergunakan orang yang rapat dengan keluarga kami untuk mencapai
matlamat mereka. Saya tak peduli siapa mereka. Bagi saya, mereka itu
hanyalah lalang tapi kalau lalang tu merebak dengan sengaja mengancam
keselamatan keluarga isteri saya, saya tak akan teragak-agak untuk
ambil tindakan,” ujar Adam lagi.
“Jangan
ingat, kamu daripada keluarga Alexander boleh buat apa-apa sahaja.
Suatu hari nanti, kamu akan jatuh tergolek juga!” ujar Doktor Omar
mula bangun dari duduknya.
“Terima
kasih kerana sudi berikan nasihat,” jawab Adam dengan senyuman. Dia
langsung tak berasa takut dengan amaran Doktor Omar itu.
Doktor
Omar mendengus marah seraya mengangkat kaki berlalu dari situ. Adam
hanya memerhati orang tua itu dari tempat duduknya. Satu keluhan
dilepaskan apabila kelibat Doktor Omar tidak kelihatan lagi.
Sayang
sekali. Doktor Omar begitu setia bekerja dengan keluarganya. Malah,
Doktor Omar juga merupakan kawan baik mamanya. Pertama kali mendengar
berita itu memang dia tidak percaya tapi setelah siasatan demi
siasatan dilakukan barulah dia berani mengambil tindakan.
“Hai,”
sapa seorang wanita tiba-tiba duduk di sebelahnya tanpa dijemput.
“Hai,”
balas Adam cuba mengingati wanita itu. Rasanya macam dia pernah
melihat wanita itu sebelum ini.
“Dah
lupa siapa saya? Saya Fira, kawan Apy Elina. Isteri awak tu,” kata
wanita itu seraya menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan
Adam.
Adam
mengangguk. Bila Fira sendiri memperkenalkan dirinya sendiri, tak
perlulah dia penat-penat memikirkan siapa wanita yang tak segan silu
duduk di sebelahnya. Dalam masa yang sama dia teringatkan perbualan
dengan isterinya tentang Fira beberapa hari yang lepas. Tangan Fira
yang menghulur salam langsung tidak disambutnya.
“Awak
tak nak sambut salam saya?” tanya Fira masih tak serik-serik lagi.
Adam
hanya melihat tangan itu. Ini bukan situasi yang baru baginya. Dia
sudah banyak kali melalui situasi ini. Wanita spesies Fira paling
banyak mendekatinya. Tanpa segan menghulurkan salam perkenalan.
Namun, satu pun tak berjaya menarik perhatiannya. Kadangkala
dibiarkan salam perkenalan itu.
Dia
pernah dicop sombong. Memang betul. Dia seorang yang sombong dan
sangat memilih dalam berkawan. Dia tak peduli dengan semua itu. Apa
yang penting dia sudah ada seseorang yang membuatkan hidupnya
bahagia. Orang sebegini, belum tentu lagi akan bahagiakannya, jadi
dia takkan rugi kalau tolak salam perkenalan mereka.
“Awak
tahu tak? Sebelum saya dan Apy berkahwin, saya pernah hulur tangan
begini kepadanya dan nak tahu apa yang dia balas? Dia hanya akan
sambut tangan saya selepas kami bernikah. Jadi, Cik Fira, sila jadi
perempuan yang bermaruah sikit,” ujar Adam memberikan nasihat yang
pedas.
Merah
muka Fira menahan malu sebaik sahaja mendengar jawapan yang tak
disangka-sangkanya itu. Adam pula, tak tunggu lama. Dalam masa yang
sama, seorang pelayan memberikan sebungkus roti canai yang dipesannya
sewaktu mula-mula masuk ke dalam restoran itu. Tanpa menunggu lama,
Adam segera berlalu meninggalkan Fira yang terdiam seribu bahasa.
Bukan
dia bermaksud hendak memalukan perempuan itu tapi dia cukup anti
dengan perempuan seperti Fira. Kalau dia berlembut, perempuan itu
pasti akan fikir dia ada harapan. Jadi, apa salahnya kalau luahkan
dengan kata-kata yang kejam. Kalau tidak sampai bila pun spesies
seperti ini tak akan sedar dan terus nak meruntuhkan rumah tangga
orang.
APY
ELINA mengeluh panjang sebaik sahaja membuka mesej yang baru
sahaja diterimanya itu. Satu mesej layang yang berbentuk gambar.
Gambar itu ditangkap dari jarak jauh tapi dia dapat lihat dengan
jelas Adam dan Fira dalam gambar itu.
Siapa
ni?
Apy
Elina balas mesej itu. Pandai pula mereka mencari nombor telefon
bimbitnya. Memang tabik hormat dengan orang itu. Sungguh pandai juga
cari jalan untuk melagakan hubungannya dengan Adam. Ada lagi yang
guna taktik lama ini.
Tidak
lama selepas itu, satu mesej diterimanya. Apy Elina segera membaca
mesej itu.
Tak
payahlah tahu siapa aku. Suami kau tu memang tak boleh percaya.
Gatal. Kau ceraikan sajalah dia.
Baca
sahaja mesej itu, dia tergelak kelucuan. Sungguh pandai betul orang
itu mencuba untuk memporak perandakan rumah tangganya dengan cara
seperti ini. Tapi orang kata, sepandai-pandai tupai melompang,
akhirnya jatuh ke tanah juga. Sepandai-pandai manusia, akhirnya ada
bodohnya.
Zaman
sekarang ini, bukan susah sangat nak kesan pemilik nombor telefon.
Lebih-lebih lagi orang yang menghantar mesej layang melalui WhatApps.
Walaupun dia bukanlah seorang yang pandai sangat dengan teknologi
tapi budak sekolah rendah pun boleh tahu.
Gambar
pada profil WhatApps itu sudah dikenalpasti. Fira. Kantoi sudah. Ini
pasti guna khidmat orang lain untuk tangkapkan gambar yang
konon-kononnya gambar tangkap curi. Padahal, dia sendiri yang suruh
tangkapkan, dia sendiri juga yang hantar. Manusia seperti ini pun ada
ke?
Tak
lama kemudian, dia terdengar bunyi kereta menghampiri pekarangan
rumahnya. Itu pasti Adam. Tanpa berlengah lagi dia segera mendapatkan
turun ke tingkat bawah. Tersengih lebar bibirnya apabila melihat
bungkusan yang dibawa oleh suaminya itu.
“Roti
canai...” dia terlebih dahulu melulu mendapatkan bungkusan itu.
“Nampaknya
roti canai lebih penting daripada suami sendiri,” ujar Adam sambil
menjeling tajam.
“Pak
cik, janganlah cemburu dengan roti canai. Percayalah, mana-mana
isteri yang setia pasti akan cari makanan dulu bila dah lapar…”
ujar Apy Elina tersengih-sengih.
“Hanya
isteri yang kuat makan roti canai yang akan buat macam tu,” balas
Adam tak mahu mengaku kalah juga.
“Terima
kasih kerana memahami. Sekarang, isteri yang kuat makan roti canai
nak melantak roti canai ni sampai habis. Nak join?” Apy Elina
menghulurkan tangannya.
“Apa-apa
saja. Asalkan bukan nasi,” Adam segera menyambut tangan isterinya
itu. Mereka berdua sama-sama laju melangkah ke dapur.
“Oh
ya, sebelum tu kita kena buat sesuatu. Saya dapat mesej layang lagi
daripada peminat awak. Kali ni daripada Fira. Awak ada jumpa dia di
kedai mamak tadi, bukan,” ujar Apy Elina sambil memberikan
handsetnya kepada Adam.
Adam
tenang melihat gambar curi yang ditangkap ketika Fira menyapanya di
kedai mamak tadi. Nampaknya perempuan ini memang tak serik-serik.
Baru sahaja dia beri kata-kata yang pedas tapi langsung tak makan
saman.
“Dia
tiba-tiba muncul selepas habis bersembang dengan Doktor Omar tadi,”
terang Adam.
“Saya
tahu sangat dengan Fira ni. Dia boleh berada di mana-mana. Tiba-tiba
saja boleh muncul. Dia ni jenis yang sanggup buat apa sahaja untuk
rampas suami orang. Orang kampung memang dah kenal dengan perangai
dia. Sekarang dia nak kacau rumah tangga kita pula. Silap oranglah.
Gigih sungguh dia buat rancangan begini tanpa sedar yang dia sudah
terkantoi,” ujar Apy Elina.
“Kalau
begitu, beritahu dia yang dia dah terkantoi,” ujar Adam seraya
leher isterinya sementara tangan kanannya memegang handset menghala
ke arah muka mereka. Apy Elina pantas bersiap sedia dengan tanda
‘peace’. Adam segera menangkap gambar selfie dia dengan
isterinya.
Kemudian
handset tadi bertukar tangan. Apy Elina segera menaip sesuatu sebagai
caption gambar itu. Kalau hantar gambar sahaja tak seronok pula. Kena
hantar sekali dengan caption yang mematahkan jiwa raga seorang
perampas.
“Kepada
Fira, terima kasih kerana sudi hantar gambar tadi. Sebagai balasannya
terimalah, gambar selfie daripada kami, pasangan bahagia. Jangan
jealous!” ujar Apy Elina seraya menaip caption pada gambar itu dan
dihantarnya kepada Fira.
“Puas?”
tanya Adam.
“Huh,
puas! Jangan main-main dengan Apy Elina. Apy Elina, memang nampak
comel dan innocent tapi bila dia marah, dia lagi comel dan innocent
tau!” ujar Apy Elina sempat lagi memuji diri sendiri.
Adam
tak dapat menahan tawa. Sikap suka memuji diri sendiri isterinya
memang dia sedia maklum. Disebabkan itu jugalah dia jatuh cinta
dengan isterinya.
FIRA
terdengar telefon bimbitnya berbunyi. Dia tahu, ada satu mesej masuk.
Tanpa berlengah lagi dia segera membuka mesej itu. Satu gambar
diterimanya. Disangkakan dia sudah berjaya buat Apy Elina sakit hati
dengannya tapi sangkaannya salah.
Dihantar
gambar supaya buat Apy Elina cemburu, tapi akhirnya dia pula yang
cemburu apabila melihat gambar Apy Elina dengan suami sedang
berselfie bersama-sama. Bukan itu sahaja, caption yang diterimanya
juga membuatkan dia berasa sakit hati.
“Eee…”
dibalingnya handsetnya itu sehingga pecah berderai. Lain yang
diharap, lain yang dia dapat.
“Tak
mengapa! Dia ingat, suami dia saja yang kacak dan kaya dalam dunia
ni? Ada ramai lagilah. Aku tak kisah pun!” bentak Fira kemarahan.
Aduhai fira bt malu kaum aje.. berdebar eh nk tau konflik