Langkau ke kandungan utama

KEJORA LIAR: BAB 13

 


Apabila Firdaus tiba di Istana Jati, langit sudah pun gelap. Dengan sisa tenaga yang ada, dia melangkah masuk ke dalam. Langkahnya perlahan, setiap gerak seolah-olah ditahan oleh kesakitan yang cuba disembunyikan. Namun sebaik terpandang Kejora yang berdiri di tengah-tengah ruang tamu, pandangan tajam gadis itu membuatnya segera melawan kelemahan. Dia menegakkan badan, berpura-pura tenang walau tubuhnya hampir rebah. 

“Lambat,” tegur Kejora. Suaranya perlahan tapi sarat dengan rasa marah. 

Firdaus menarik nafas panjang. “Jalan sesak… dan aku singgah beli daging.”

Dia mengangkat beg plastik yang dibawa bersama. Sebenarnya, demi melengahkan masa untuk berehat dan mengumpul tenaga, Lebah telah membawanya ronda-ronda pusing satu pekan. Di situ juga mereka sempat singgah di kedai untuk membeli daging. 

Kejora tidak menjawab. Hidungnya mula bergerak perlahan, deria baunya bereaksi. Ada sesuatu yang tidak menyenangkan. Bau ini… bau kucing betina!

“Kata pergi kenduri kahwin tapi kenapa ada bau lain melekat kat baju kau?” soalnya sinis. 

Firdaus hanya tersenyum tipis. “Ah… kedai daging tu, tuannya bela tiga ekor kucing,” jawabnya tenang, mengikut skrip yang Lebah telah tetapkan. 

“Pergi mandi cepat. Aku tak suka bau tu,” arah Kejora sambil mendengus perlahan. Dia berpaling, kembali ke duduk dan menonton televisyen. Namun, jauh di sudut hati, dia sendiri tidak pasti kenapa rasa cemburu itu tiba-tiba hadir. Cemburu pada kucing betina? Entah dari mana logiknya…

Firdaus lega. Helah dan skrip yang dicipta oleh Lebah sangat berjaya. Mujurlah Kejora tidak mengesyaki apa-apa. Dengan langkah perlahan, dia menuju ke bilik selepas meletakkan bungkusan daging yang dibeli Lebah di dapur. 

Bunyi pancuran air kedengaran agak lama. Firdaus mandi bersih-bersih, memastikan bau sabun dan syampu menenggelamkan sepenuhnya sisa bau darah yang masih melekat pada tubuhnya. 

Selesai mandi, dia mula menyiapkan bahan masakan. Daging yang dibelinya tadi dibersihkan dan dipotong rapi. Tidak lama kemudian, aroma daging yang dipanggang bersama madu mula merebak ke seluruh ruang dapur. 

Bau itu segera menarik perhatian Kejora. Dia bergerak ke dapur, duduk di bangku di tengah meja pulau tanpa berkata apa-apa. Matanya tajam memerhati, sementara hidungnya masih sibuk menilai sama ada bau yang dibencinya itu masih melekat pada tubuh Firdaus. 

Firdaus tiba-tiba ketawa kecil. “Aku tahu kau lapar, tapi jangan tenung aku macam tu. Macam nak baham aku. Tegak bulu roma aku,” usiknya. 

Kejora mendengus, namun di sudut hatinya terasa sedikit lega. Walau marah, dia tahu Firdaus sentiasa pandai menenangkan suasana. Tapi ketika dia mula ingin berasa selesa, deria baunya tiba-tiba menangkap sesuatu yang aneh. Nafas Firdaus bergetar, seperti menahan sesuatu yang perit. 

Dia memandang lama, namun akhirnya kembali tenang. 

‘Mungkin aku yang terlalu sensitif,’ fikirnya, cuba mengusir rasa curiga itu jauh-jauh. 

***

Malam itu, Istana Jati diselimuti cahaya bulan penuh. Sinar keperakan menembusi jendela besar, melimpah di lantai kayu yang berkilat dan memantulkan bayang pepohon di luar. Suasana kelihatan tenang, namun tidak bagi Kejora. 

Firdaus pernah berkata, ketika bulan penuh, ketika itulah naluri harimaunya aktif. Dia tidak boleh tidur walau dipaksa. Mata sukar dilelapkan. Apa sangat yang boleh dilakukan pada waktu begini? Firdaus sudah pun masuk tidur awal, letih selepas seharian di luar. Walaupun dia tidak mengeluh, wajahnya jelas menunjukkan keletihan. 

Mahu tak mahu, Kejora menghabiskan malam itu dengan bermain permainan komputer. Dia bukanlah peminat permainan maya, tetapi itu sebahagian daripada latihan emosi yang diperkenalkan oleh Firdaus. Katanya, permainan bukan sekadar hiburan tetapi ia juga mengajar seseorang mengawal tekanan, membuat keputusan pantas dan menilai naluri. 

Pada awalnya Kejora tidak pandai bermain tetapi dia cuba juga. Hari demi hari, dia belajar menyesuaikan diri dalam dunia maya itu, belajar bersabar ketika ditewaskan, menilai situasi dengan tenang dan yang paling penting, mengenal serta mengawal perasaan marah. 

Namun malam itu terasa berbeza. Ketika jari-jemarinya ligat di papan kekunci, matanya tiba-tiba kabur. Dadanya bergetar halus, seperti satu amaran yang datang entah dari mana. Degupan jantungnya menjadi tidak sekata. Nalurinya, yang jarang sekali silap, berbisik bahawa ada sesuatu yang tidak kena. 

Dia berhenti bermain. Sunyi. 

Tapi dari arah bilik Firdaus, dia terasa sesuatu seakan denyutan tenaga yang berat dan tidak stabil. Tanpa berlengah, Kejora bangun dan keluar dari biliknya. Sampai di depan pintu bilik Firdaus dia memulas tombol pintu. Berkunci. Sejak kejadian dia cuba ‘mencuri’ syampu dan sabun mandi Firdaus tempoh hari, lelaki itu memang lebih berhati-hati. 

“Firdaus?” panggilnya sambil mengetuk pintu. 

Tiada sahutan. 

Dia ketuk lagi, kali ini lebih kuat. “Firdaus!”

Masih tiada sahutan. Rasa gelisah bertukar menjadi panik seraya mengetuk kuat berkali-kali.

“Firdaus, buka pintu. Kalau tak aku pecahkan!”

Baru saja dia mengangkat kaki untuk menendang, terdengar bunyi kunci diselak dari dalam. Perlahan-lahan pintu terbuka, menampakkan Firdaus berdiri di sebaliknya. Wajahnya pucat, rambut dan mukanya basah oleh peluh, mata separuh terbuka dan nafasnya tersangkut-sangkut. 

“Firdaus, kau…”

Belum sempat Kejora menghabiskan kata, tubuh Firdaus goyah lalu rebah ke hadapan. Spontan Kejora menyambutnya, menahan bahu lelaki itu agar tidak terhempas ke lantai. Ketika dia dapat rasa tubuh itu panas. Terlalu panas. 

Mereka terduduk di lantai. Firdaus terkulai dalam pelukan Kejora. Nafasnya berat dan berombak kasar, seolah-olah ada sesuatu yang sedang bergolak di dalam tubuhnya. 

Kejora menatap wajah Firdaus yang kini terbenam di bahunya. Hatinya bergetar, bukan sekadar kerana bimbang tetapi kerana dia rasakan sesuatu yang jauh lebih dalam daripada sekadar sakit biasa sedang berlaku di tubuh lelaki itu. Dia mendengar nafas kasar Firdaus, dada naik turun dalam rentak yang tak sekata. Kejora menggoyangkan bahu Firdaus perlahan. 

“Hei, bangun. Kenapa dengan kau ni?” tanyanya cemas. 

Tiada jawapan. 

Dia memegang tangan Firdaus, panas membakar. Demam? Mustahil. Dia tak pernah tengok orang demam sampai teruk begini. Nasib baik dia ada bawa telefon pintarnya sekali. Baru dia hendak telefon talian kecemasan, dia mendengar desahan perlahan dari bibir lelaki itu. 

“Lebah… hubungi Lebah.”

Kejora segera menghubungi Lebah. Lebah menjawab panggilannya dengan hanya satu deringan. Dalam cemas dia memberitahu situasi dan keadaan Firdaus tapi Lebah hanya tenang seperti dia pernah menghadapi situasi ini. 

Lebah menyuruhnya bertenang dan mengarahnya membuat beberapa perkara sebelum bantuan sampai. Dengan tenaga yang ada, Kejora memapah Firdaus ke katil dan membaringkannya perlahan. Dalam cahaya malam, wajah Firdaus tampak jauh berbeza, pucat dan lemah. Situasi yang belum pernah Kejora melihat.  

Sementara menunggu bantuan, Kejora melakukan segala yang diarahkan. Membasahkan tuala kecil dan meletakkannya di atas dahi Firdaus. Sepanjang menunggu, fikirannya berserabut. Sejak dia mengenali Firdaus, lelaki itu jarang benar menunjukkan kelemahannya. Setiap perbuatannya teratur, setiap gerak dikawal. Kadangkala dia rasa Firdaus seperti dirinya. Bukan manusia sepenuhnya. Tapi malam ini… dia nampak sisi lain. Firdaus seperti manusia biasa. Sakit. Lemah dan rapuh. 

Bantuan sampai tidak lama kemudian. Kejora hanya menanti di ruang tamu bawah. Dia tidak sanggup melihat keadaan Firdaus yang menderita begitu. Hampir lebih 20 minit kemudian, Lebah turun bersama-sama dua orang yang memakai baju pembantu perubatan. 

“Jangan risau. Dia selamat cuma demam panas je,” kata Lebah tenang. 

Namun Kejora tak percaya. Baginya, keadaan Firdaus tadi bukan sekadar demam. Tapi dia memilih untuk diam. Mungkin Firdaus punya sejarah kesihatan yang tidak mahu dikongsikan. 

Selepas Lebah pergi membawa dua pembantu perubatan tadi pulang, Kejora melangkah ke bilik Firdaus. Perlahan-lahan dia menghampiri Firdaus. Jika tadi, nafas Firdaus bergelora turun naik, kini dia bernafas dengan tenang. Nafasnya perlahan, tidak lagi menahan kesakitan seperti tadi. 

Kejora menarik kerusi malas lalu duduk berhampiran katil. Pandangannya tidak lepas dari wajah Firdaus yang lena itu. Dalam diam, fikirannya melayang pada malam berdarah yang pernah mereka lalui. Malam yang memperkenalkan Firdaus dalam hidupnya. Malam yang juga membuka misteri kewujudannya. Dalam tidak sedar, mengikat talian antara dia dengan Firdaus. Namun, hari ini dia sedar, ada banyak yang dia tidak tahu tentang Firdaus. 

Di luar, bulan masih mengambang tinggi. Dan dalam keheningan malam itu, Kejora terus duduk berjaga, menanti pagi, menanti lelaki itu sedar semula…

Ulasan