“Kenapa dalam banyak-banyak tempat makan dan tempat lepak yang ada di sekitar universiti ni, kau masih pilih nak jumpa di tengah-tengah hutan?” tanya Lebah menghampiri Firdaus.
“Ada sesuatu cuba tarik perhatian Kejora untuk masuk ke dalam hutan ni awal pagi tadi.”
“Mungkin harimau yang orang nampak tempoh hari?”
“Tak. Bukan harimau…”
“Belati?”
“Bukan juga,” kata Firdaus penuh yakin.
“Harimau mistik?”
Firdaus menjeling tajam.
“Okey, aku bergurau,” Lebah mengalah. “Jadi, kau rasa ada sesuatu yang memerhati dan cuba tarik perhatian Kejora. Maknanya dia mungkin ingin memastikan sesuatu. Apa pun, khabar angin tentang anak harimau sudah tersebar luas. Lambat laun mereka akan datang…”
“Sebab tu aku nak claim hutan ni.”
“Apa?” Lebah terkejut. “Kau dah gila ke? Hutan ni luas.”
“Hanya sebahagian. Supaya Kejora boleh bergerak bebas.”
“Kau dah gila. Kau belum sembuh sepenuhnya. Tuan Jeneral pasti takkan setuju dengan tindakan kau.”
“Ini untuk anak dia juga.”
“Tapi ini kerja gila…”
“Sebab tu aku beritahu kau,” Firdaus mengeluarkan sebilah pisau. “Sebagai back up.”
“Wait!” Lebah berasa sedikit gementar. “Err… apa kata kalau kita buat macam cara Zambri? Ambil darah kau secara terhormat? Tak perlu nak cederakan diri macam ni…”
“Kita tak ada masa.” Tanpa pedulikan cadangan Lebah, Firdaus menoreh telapak tangannya. Darah pekat mula menitik.
Lebah hanya mampu mengeluh, tidak mampu membantah lagi.
***
Lebah sengaja memberhentikan kereta yang dipandunya jauh dari rumah sewa Firdaus. Dia menjeling pandang Firdaus yang terlelap di tempat duduk belakang. Melihat Firdaus keletihan begini, dia tak sampai hati nak kejutkan Firdaus. Tapi Firdaus seperti tahu dia sudah sampai ke destinasi dengan membuka matanya.
“Kau okey?” tanya Lebah.
“Mmm…” Firdaus melihat telapak tangannya yang dibalut kain putih. Dia segera membuka ikatan kain itu. Lukanya tadi telah beransur hilang tanpa meninggalkan satu parut pun. “Not bad. Madu buatan kau semakin berkesan.”
“Madu aku hanya dapat sembuhkan luka dan sembunyikan parut tapi tak dapat kembalikan darah kau dalam masa yang singkat. Kau kena banyak berehat dua tiga hari ni,” ujar Lebah dan menambah lagi, “Jangan risau pasal Kejora. Aku akan pantau dia.”
Firdaus mengangguk sebelum keluar kereta lalu berjalan menuju ke rumah sewa yang terletak di hujung jalan. Seperti semester sebelumnya, dia tinggal bersama-sama dua rakannya, Harris dan Suffian.
Rumah itu tidak jauh dari universiti, dan tanpa pengetahuan mereka, dia adalah pemilik rumah itu. Ini adalah sebahagian rancangan mereka untuk melindungi Kejora dari jauh.
Malam sudah pekat ketika dia pulang. Hari ini dia berjaya ‘menuntut’ sebahagian kawasan daripada hutan tebal di belakang universiti. Sebahagian darah telah digunakan dan tubuhnya mula terasa letih.
“Kau pergi mana?” tanya Harris ketika melihat Firdaus masuk. “Aku tak nampak kau masuk kelas hari ni.”
“Ada hal,” jawab Firdaus ringkas. “Kenapa?”
“Tak ada apa…” Harris cuba menutup perbualan.
Firdaus segera masuk ke dalam biliknya dan keluar selepas beberapa minit kemudian untuk mandi. Selepas habis mandi, dia kembali ke biliknya semula. Baru saja dia hendak letak kepala atas bantal, Harris masuk ke biliknya tanpa ketuk pintu.
“Aku ada hal nak cakap sikit dengan kau,” kata Harris sambil tarik kerusi dan duduk di tepi katil.
“Pasal apa?”
“Betul ke aku ada bau badan? Badan aku bau tengik ke?” tanya Harris.
Firdaus mengeluh perlahan. Kata-kata Kejora awal pagi tadi mungkin telah menyedarkan Harris. Dia sebenarnya tak mahu keruhkan keadaan tapi dia perlu jujur dalam hal ini.
Akhirnya dia mengangguk.
“Serius?” Harris mengangkat tangannya dan bau ketiaknya. Dia sendiri hampir mual. “Aku dah sembur minyak wangi mahal tapi dia masih bau?”
“Bukan pasal mahal atau murah minyak wangi. Cara kau mandi tu, kalau boleh, scrub badan sekali sebulan,” jelas Firdaus.
“Kenapa korang tak pernah beritahu aku pun pasal ni?”
“Kami lelaki, tak kisah sangat. Perempuan yang selalunya sensitif,” jawab Firdaus.
“Tapi dia juga yang kejar aku…”
“Dah nama cinta kan…” Firdaus menyela, selamba.
“Harris.” Tiba-tiba Suffian muncul di depan pintu bilik Firdaus. “Akaun yang kau suruh aku siasat tu… aku surrender.”
“Kenapa?” tanya Harris.
“Hanya ada beberapa keping gambar dengan kapsyen biasa. Gambar pun gambar kayu, susah nak tahu lokasi gambar tu. Dan pengikut asal dia pun lebih kurang sama. Obses dengan kayu,” kata Suffian ringkas.
Firdaus mendiamkan diri. Dia tahu mereka sedang siasat tentang pemilik akaun Kayu Jati.
“So, tak tahu sama ada dia lelaki atau perempuan?” tanya Harris.
“Lelaki atau perempuan bukan masalah tapi aku rasa… mungkin akaun ni Kejora cipta kot. Saja nak buat kau cemburu. Mungkin dia dah dapat tahu kau saja couple dengan dia sebab nak buat Rosie cemburu. Dia nak balas dendam,” Suffian meneka.
“Kejora bukan macam tu…” Harris menunjukkan rasa kurang setuju.
“Kau back up dia? Macam tak percaya pula…” Suffian terkejut.
“Kejora… dia kalau nak marah, dia marah saja. Dia macam harimau, nampak saja mangsa, dia terus terkam. Aku tak rasa dia nak habiskan masa untuk buat rancangan balas dendam. Macam dia nak putus, dia terus kata nak putus,” Harris terus pertahankan Kejora.
“Okey la. Itu aku tak berani nak cakap lebih,” Suffian mengalah.
“So, kau memang tak dapat apa-apa maklumat tentang pemilik akaun tu?” Harris bertanya lagi.
“Tak. Tapi aku ada sedikit maklumat tentang gambar gunung yang Kejora post di Instagram,” Suffian sambung.
“Aku bukan suruh kau siasat tentang gambar gunung.”
“Dengar dulu,” pinta Suffian, teruja. “Gunung tu terletak di sempadan Selangor-Pahang. Gunung Jati namanya. Gunung tu tak popular sebab tu tak banyak info yang aku boleh cari. Tapi aku terjumpa satu blog lama yang pernah buat kajian pasal gunung ni. Gunung ni dikatakan asalnya tempat singgahsana sebuah kerajaan Melayu yang dah musnah dulu. Ada sebuah istana yang masih kukuh lagi di kaki gunung. Dengar kata istana tu berhantu…”
“Nanti… apa kena mengena dengan semua ni? Aku tak nak dengar cerita hantu malam-malam macam ni. Dah la pagi tadi aku nampak muka Kejora bengis semacam…” Harris memotong.
“Boleh tak bagi aku habis bercakap dulu? Aku kena bagi konteks supaya kau boleh connect the dots,” pinta Suffian.
Harris diam dan beri isyarat kepada Suffian.
“Okey… sambung balik. Dengar kata istana tu berhantu sebab sesiapa yang menceroboh masuk ke istana tu akan berakhir dengan tragik. Sama ada mati dalam kemalangan atau jadi gila. Itu yang aku baca. Tak ada bukti atau pengalaman orang awam yang aku dapat cari. Dan, gambar-gambar Kejora di air terjun tu, dipercayai air terjun di gunung ni.”
“Macam mana Kejora boleh sampai ke situ?” Harris bertanya.
“Good question. Dengar kata, sesiapa yang nak daki atau masuk ke hutan tu perlu minta kebenaran pewarisnya. Jadi, ada dua kemungkinan besar. Pertama, dia mungkin pewaris atau keturunan kerajaan yang dah musnah tu atau dia kenal pewaris dari keturunan kerajaan yang dah musnah tu.”
“Tapi kau kata kerajaan tu dah musnah.”
“Hanya kerajaan yang musnah tapi pewarisnya masih wujud. Sehingga hari ini.” Suffian membalas.
“Jadi, Kayu Jati tu mungkin ada kena mengena dengan pewaris kerajaan yang musnah tu?” Harris cuba simpulkan.
“Correct.” Suffian mengangguk. “Atau mungkin Kejora sendiri bersangkut paut dengan kerajaan tu. Dia pernah rahsiakan yang dia anak jeneral, entah apa lagi yang dia rahsiakan daripada kau.”
Harris termenung, kemudian memandang Firdaus yang kelihatan tidak berminat. “Apa pendapat kau?”
“Buat apa kau tanya pendapat Firdaus. Tengok muka dia, blur semacam je.” Suffian berseloroh.
“Okey la, aku nak baca blog tu.” Harris segera bangun meninggalkan bilik Firdaus.
Firdaus menghela nafas panjang, lalu dia mencapai telefon pintarnya dan menaip sesuatu.
Firdaus: Please delete your blog.
Lydia: Why? Blog tu dah lama wujud. Tak ada orang peduli pun. Aku pun dah lama tak update.
Firdaus: Delete it, or I’ll destroy your library.
Lydia: Okey. Okey. Aku delete. Btw, esok kau free?
Firdaus: Petang. Pagi aku ada kelas. Kenapa?
Lydia: I miss you. 😘
Firdaus: Cut the crap.
Lydia: Okey. Nak gurau pun tak boleh. Aku dapat satu lagi petunjuk… tentang Penghulu.
Firdaus: Kita bincang esok.
Firdaus mengeluh perlahan. Penghulu… Jika Lydia tahu tentang ini, maknanya, masanya semakin singkat.
Seperti biasa, Firdaus akan menghapuskan mesej atau perbualannya dengan Lydia. Setelah memastikan tiada apa-apa tertinggal, dia kembali letak telefon di meja kecil. Baru saja dia meletakkan kepada pada bantal, sekali lagi telefon pintarnya bergetar. Dia menjeling dan lihat nama Zambri muncul di skrin.
Dibiarkan saja panggilan itu kerana dia sudah tiada tenaga lagi. Matanya semakin berat dan dia tak sedarkan diri selepas itu…

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.