Harris masih menanti keajaiban. Selagi dia tidak melihat nama Kejora antara yang terkorban, selagi itu dia masih menanti. Dia berdoa agar Kejora selamat. Jika tidak, rasa bersalah itu akan menghantuinya seumur hidup. Dia akui, dia selalu bersikap dingin terhadap gadis itu, dan kini dia hanya mengharapkan satu lagi peluang untuk memperbaiki kesilapannya.
Matanya meliar, meninjau setiap wajah yang lalu-lalang dengan harapan Kejora muncul di antara mereka. Namun setelah beberapa jam berlaku, bayang Kejora masih belum kelihatan.
Rosie yang duduk di sebelahnya tidak henti-henti memberikan kata semangat. Jika Harris bimbang akan Kejora, dia juga risau akan keadaan Harris. Sejak mereka turun dari kapal tadi, Harris langsung tidak menjamah makanan yang disediakan oleh pihak penyelamat.
Beberapa minit kemudian, seorang pembantu penyelamat menghampiri mereka. Dada Harris berdegup kencang. Sebelum ini dia sudah memaklumkan kehilangan Kejora dan meminta agar diberitahu sekiranya ada sebarang perkembangan tentang teman wanitanya itu.
“Kawan kamu bernama Kejora?” tanya lelaki itu.
“Ya.”
“Dan Firdaus?”
“Ya.” Harris teragak-agak. Baru dia teringat. Firdaus! Dia lupa akan Firdaus! Seingatnya, sebelum menuju ke dewan utama, dia sempat berjumpa dengan Firdaus, tetapi selepas itu dia tidak pasti apa yang berlaku kepada Firdaus. Dia akui, dia terlampau risaukan Rosie. Sekali lagi timbul rasa bersalah.
“Mereka masih hidup?” tanya Rosie perlahan.
“Ya. Mereka masih hidup,” jawab lelaki itu.
Harris dan Rosie menghela nafas lega.
“Di mana mereka sekarang?”
“Mereka sudah pulang bersama penjaga masing-masing.”
Harris berkerut dahi. Setahunya, semua mangsa yang terselamat perlu melalui beberapa proses. Pemeriksaan kesihatan, pengesahan identiti serta siasatan pihak berkuasa sebelum dibenarkan pulang.
“Tapi kenapa mereka tak melalui proses yang sama?” tanya Rosie.
Lelaki itu memandang seketika. “Kamu kawan dia… kamu tak tahu?”
“Tahu apa?”
Lelaki itu menarik nafas perlahan. Wajahnya tampak serba salah. Akhirnya dia bersuara. Perlahan. Seolah berbisik rahsia negara.
“Kejora anak perempuan Tuan Jeneral. Semua urusan telah diambil oleh pihak mereka. Jangan risau, dia cuma terkejut sedikit. Tidak cedera.”
Walaupun hatinya sedikit tenang, Harris masih tidak benar-benar tenteram selagi belum melihat Kejora dengan matanya sendiri. Namun, dia akur. Sekurang-kurangnya Kejora selamat.
Dan Firdaus…?
Baru saja dia ingin bertanya lanjut tentang Firdaus, lelaki itu sudah beredar, hilang di sebalik kesibukan para petugas dan penyelamat. Harris sendiri tidak pasti siapa sebenarnya yang menyampaikan berita itu tadi.
Dia mengeluh perlahan. Jika benar Kejora anak kepada Tuan Jeneral, bagaimana pula dengan Firdaus? Setahunya, Firdaus pernah memberitahu bahawa dia telah kehilangan ibu bapanya sejak kecil.
“Semuanya selamat,” ujar Rosie lembut sambil menyentuh bahunya.
Harris hanya mengangguk perlahan.
***
Kejora sudah lama memahami erti pengorbanan ayahnya. Sejak kecil lagi, dia belajar hidup berdikari, membiasakan diri dengan rasa sunyi dan rindu yang menjadi teman setiap kali ayahnya dipanggil bertugas demi keamanan negara.
Malam ini, meskipun ketakutan masih menguasai diri, dia tidak menahan langkah ayahnya. Dia tahu, tugas itu lebih besar daripada perasaannya sendiri. Apa yang berlaku bukan hal kecil. Ia melibatkan nyawa-nyawa yang tidak bersalah. Cukuplah ayahnya tahu dia terselamat dalam peristiwa berdarah ini.
Kejadian seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan ayahnya pasti memikul tanggungjawab yang berat untuk menyelesaikannya. Pasti banyak kecaman dan permainan politik yang perlu ditangani.
Justeru, Kejora menenangkan hatinya. Dia tidak mahu menjadi anak yang manja atau mementingkan diri. Ayahnya sudah mengatur segalanya dengan rapi.
Dia juga bersyukur apabila mendengar berita bahawa rakan-rakannya terselamat. Haslina pula telah dimaklumkan tentang keadaannya dan kini sedang diatur untuk pulang ke kampung halaman memandangkan keluarganya jauh dari sini dan tidak dapat datang menjemputnya.
Harris dan Rosie juga terselamat. Namun Kejora tidak pasti, apakah derita yang mereka tanggung segetir luka yang bersarang di hatinya. Bagaimanapun dia mengeluh lega. Sekurang-kurangnya, tiada antara sahabatnya yang gugur pada malam itu.
Langit masih gelap. Dia tidak pasti sudah pukul berapa yang pasti malam itu terasa sangat panjang. Di tengah kegelapan malam, Kejora melangkah masuk ke dalam sebuah kereta hitam yang menanti mereka di tepi pelabuhan. Kenderaan itu diatur oleh ayahnya. Pintu kereta tertutup perlahan, memisahkan dunia tragis yang dialaminya tadi.
Firdaus duduk di sisi, wajahnya tenang namun sukar dibaca. Masih banyak rahsia yang belum terurai. Siapakah sebenarnya Firdaus? Dan bagaimana dia mengenali ayahnya? Juga yang paling penting, apa sebenarnya berlaku terhadapnya? Pertanyaan itu masih tersimpan di hati Kejora, menambah lagi rasa resah di dada.
Di hadapan, dua lelaki berpakaian serba hitam duduk tegak tanpa banyak bicara. Seorang mengendalikan stereng, seorang lagi duduk di tempat penumpang hadapan. Mereka kelihatan seperti mata-mata gelap. Dingin, berdisplin dan tidak berperasaan. Lelaki di sebelah pemandu berpaling sekilas, memperkenalkan diri dengan suara tenang dan tegas.
“Nama saya Lebah dan dia Hornet.”
Kejora hanya mengangguk kecil. Dia mengerti, orang-orang ayahnya hidup dalam dunia yang diselubungi rahsia. Nama mereka sekadar nama samaran, demi melindungi identiti dan menyelesaikan tugas mereka.
“Air,” ujar Firdaus perlahan.
Tanpa berlengah, Lebah menghulurkan sebotol air kepadanya. Firdaus memulas penutupnya, lalu menyerahkan kepada Kejora. Kejora menyambut tanpa banyak bicara. Dia juga berasa dahaga.
Lebah menghulurkan sebotol lagi bersama-sama sebutir pil kecil kepada Firdaus. Firdaus segera menelan bersama-sama air itu.
“Tuan Jeneral cadang kita ke Istana Jati,” kata Lebah.
Istana Jati.
Sedikit perubahan jelas terlukis pada raut wajah Firdaus. Ada sesuatu pada nama tempat itu. Mungkin kenangan atau mungkin luka lama. Dia menunduk, sekilas memandang jam di pergelangan tangannya. Hampir pukul 2 pagi.
“Okay?” tanya Lebah inginkan pengesahan.
“Mmm.” Firdaus bergumam perlahan, menandakan setuju. “Singgah di Warung dulu.”
“Orite!” Lebah memberi isyarat kepada rakan di sebelahnya. Kereta hitam itu mula meluncur pergi meninggalkan tempat yang bakal menjadi memori terpahit di dalam hati mereka.
Kejora bersandar di tempat duduk, melepaskan nafas lega. Kalau boleh dia mahu melupakan segalanya. Bunyi tembakan, jeritan, rintihan, bau darah, bau laut masin. Semua itu. Dia memejam matanya rapat-rapat, biar semua itu berlalu seperti malam itu berlalu pergi.
Dia terlelap.
Apabila dia tersedar, deria hidungnya menangkap aroma yang menggoda, harum dan menyelerakan.
Kejora membuka mata. Kereta mereka telah berhenti di hadapan sebuah restoran yang masih beroperasi. Ketika itu Lebah kembali ke kereta bersama-sama bungkusan plastik di tangan. Di dalamnya, aroma ayam goreng panas segera memenuhi ruang di setiap penjuru kereta.
Kejora menelan liur. Perutnya mula meronta.
Firdaus menghulurkan kotak makanan itu kepadanya.
“Makan dulu,” katanya lembut. “Kita ada dua jam perjalanan lagi.”
Kejora tidak menjawab. Dia terus membuka kotak itu, namun sebelum tangannya sempat menyentuh ayam goreng yang masih berasap, Firdaus menahan pergerakannya.
Tangannya dicapai, lalu dilap lembut dengan tisu basah. Barulah Kejora perasan ada kesan darah kering pada tangannya. Entah darah siapa. Dia tidak pasti. Mungkin miliknya. Mungkin bukan. Itu tak penting. Cuma… dia berasa aneh yang sukar diungkap tatkala tangannya dilap.
Selama ini, dia hidup sendirian. Terbiasa melakukan segalanya sendiri. Dia tidak pernah dilayan sebegini. Untuk sesaat, dia terasa seperti seorang puteri. Dilayan dengan lembut, dijaga dengan cermat.
Namun rasa ini juga menakutkan.
Dia tidak tahu bagaimana harus bereaksi. Matanya pula tidak dapat menahan daripada memandang wajah Firdaus. Wajahnya tenang. Seperti selalu tapi kali ini, terasa lain. Firdaus tidak berkata apa-apa. Hanya fokus pada tangannya yang masih kotor dengan kesan darah.
“Okey,” ujar Firdaus perlahan, memberi isyarat.
Kejora hanya mengangguk, lalu segera menikmati ayam goreng panas itu dengan rakus. Kelaparan mengatasi segala rasa malu. Dia tak peduli.
Ini semua salah Harris. Kalau lelaki itu tidak muncul malam tadi, sudah tentu dia sempat menghabiskan nasi goreng yang dibeli Firdaus.
“Kenapa?” tanya Firdaus apabila mendengar keluhannya.
Kejora menjeling sedikit. “Aku tak sempat habiskan nasi goreng yang kau beli malam tadi.”
Firdaus tersenyum. Keletihan jelas terpancar pada wajah Firdaus. Namun, dia tetap berusaha melayan bicara gadis di sebelahnya.
Kejora menyambung makan. Bila habis, dia baru perasan Firdaus sudah tertidur. Mungkin penat. Atau kesan ubat yang dia telan tadi. Tapi… ubat apa? Takkan ubat mabuk kereta kot. Semakin lama, semakin banyak benda tentang Firdaus yang buat dia tertanya-tanya.
Dia tidak mahu mengganggu lena Firdaus. Lagipun, dia juga letih. Perlahan-lahan, dia pejam mata dan akhirnya terlelap juga. Kali ini tidurnya betul-betul lena. Mungkin sebab penat sangat, atau mungkin sebab dia rasa tenang… terutama bila terhidu bau yang menenangkan di sebelahnya.
Bila Kejora tersedar, dia tidak pasti berapa lama dia sudah tidur. Tapi yang buat dia terpaku, pandangan pertama yang dia nampak ialah sisi wajah Firdaus. Tenang. Sempurna. Perfect! Kenapalah dia tak perasan pun selama ini?
Kemudian, baru dia sedar kedudukan diri sendiri. Selama ini, dia tertidur sambil berbantalkan lengan Firdaus! Siap peluk macam bantal peluk lagi!
“Maaf,” ujar Kejora, menahan malu. Dia sendiri tidak tahu macam mana boleh jadi sampai macam ni. Cepat-cepat dia cuba cari topik, “Err… kita kat mana sekarang ni? Jauh lagi ke?”
“Lebih kurang setengah jam lagi.”
“Tempat tu… Istana Jati. Tempat apa tu?” Akhirnya Kejora berani bertanya. Nama tempat pun kedengaran megah.
Firdaus tersenyum nipis. “Rumah pusaka keluarga aku.”
“Rumah kau… istana? Kau anak raja or something?”
“Tak. Ibu aku yang namakan rumah tu Istana Jati. Jadi, sampai sekarang orang lain gelarkan rumah tu Istana Jati. I don’t like it. Dengar seperti bermegah dan menunjuk.”
“Sound great. Nanti, bila aku dah kerja, aku nak beli rumah sendiri dan namakan rumah aku Mahligai Kayangan,” ujar Kejora, sempat lagi dia bergurau.
Firdaus sekadar menggeleng. Baguslah. Kejora tidak lagi ketakutan. Sudah mula bergurau.
“So, kenapa ayah aku suruh pergi rumah kau?” tanya Kejora lagi.
Firdaus menggeleng. “Mungkin dia ada sebab tersendiri.”
“Well, aku harap istana kau ada Internet.”
“Dah tentu. Jangan risau. Rumah aku ada segala yang kau perlukan. Cuma satu je tak ada.”
“Apa?”
“Pakaian kau,” kata Firdaus serius.
“Great.” Kejora memandang pakaiannya. Ada kesan darah. Sudah tentu darahnya! Dia kena tembak tadi.
“Tentang tu jangan risau. Tuan Jeneral dah suruh team lain sediakan pakaian cik dan hantar ke sana,” Lebah bersuara.
“Papa tak pernah mengecewakan,” Kejora menghela nafas lega. Kejora kembali memandang ke luar tingkap, menatap pemandangan luar yang masih gelap. Dan untuk pertama kali sejak malam itu, dia berasa sedikit tenang.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.