SUD: Bab 3




Sarah! Apa yang kau cuba buat ni? Kenapa kita ke sini?” marah Natasya apabila mendapati Sarah memberhentikan kereta yang dipinjam daripada Arissa di hadapan banglo mewah yang menjadi tempat tinggal teman lelakinya, Nazwan.
Selama dia berkawan dengan Nazwan, dia tidak pernah menjejak kaki ke rumah itu. Walaupun Nazwan pernah mengajaknya beberapa kali untuk berjumpa dengan keluarganya, tetapi Natasya tidak pernah setuju. Biarpun dia sudah bermalam beberapa kali di rumah Arissa yang terletak bersebelahan dengan rumah Nazwan, tetapi dia tetap tidak berani berhadapan dengan keluarga Nazwan lagi.
Mungkin sebab dia masih fobia dengan cerita-cerita Sarah yang pernah dilayan teruk oleh nenek Nazwan. Bagaimanapun hubungan mereka sudah baik. Dia tidak pasti apa yang Sarah sudah lakukan.
Maaf, aku terpaksa,” kata Sarah yang sudah mematikan enjin kereta.
Kenapa kau buat aku macam ni?” tanya Natasya yang terasa dikhianati.
Bertenang. Jangan risau, aku tahu cara bagaimana nak ambil hati nenek Nazwan. Ingat kod rahsia ni. Taeyang. Seungri. TOP. GD. Daesung,” kata Sarah sambil menunjukkan skrin handsetnya yang terpampang wajah lima anak muda.
Siapa dia orang?” soal Natasya.
Big Bang,” jawab Sarah. “Boyband dari Korea Selatan. K-Pop. Sangat popular dan nenek Nazwan adalah VIP.”
VIP?”
Nama fan club Big Bang. Jadi, ingat semua kod rahsia ni.”
Natasya terdiam. Dia memang tahu tentang gelombang muzik K-Pop sedang menguasai muzik-muzik di dunia tetapi dia tidak ambil tahu sangat tentang dunia K-Pop. Malah, dengar lagu mereka pun tidak pernah. Dia cuma tahu daripada wajah-wajah penyanyi Kpop yang terpampang di facebook rakan-rakannya. Memang sejak dahulu lagi dia tidak menggemari muzik dan kalau ditanya, muzik apa yang dia suka dengar sekarang, dia tiada jawapan untuk soalan itu.
Aku tak yakin…”
Tapi aku yakin nenek Nazwan akan sukakan kau,” balas Sarah dengan yakin.
Macam mana kalau dia tak dapat terima aku?” soal Natasya.
Kita takkan tahu selagi kita duduk dalam kereta ni,” ujar Sarah sambil membuka pintu kereta. Mahu tak mahu, Natasya turut melangkah keluar dan mengekori Sarah yang sudah mengorak langkah menghampiri pintu utama.
Ready?” soal Sarah kepadanya.
Natasya menarik nafas panjang dan menghembusnya semula. Sememangnya dia masih takut hendak berhadapan dengan keluarga Nazwan tetapi apa yang Sarah ucapkan pada Arissa tadi ada benarnya. Walau berapa banyak kali dia cuba mengelak daripada menghadapi masalah ini, dia tetap akan menghadapinya suatu hari nanti.
Okey… ready,” jawab Natasya dengan sedikit keyakinan yang ada.
Jom,” ujar Sarah sambil menolak pintu utama rumah itu. Natasya terkejut dengan tindakan Sarah yang selamba masuk ke dalam rumah itu.
Masuk rumah orang tanpa beri salam?” tanya Natasya yang masih tidak berani melangkah ke dalam.
Mama Tifa tahu kita nak datang lagipun dia tengah sibuk kat dapur,” ujar Sarah terus menarik Natasya masuk ke dalam.
Sarah…,” satu suara kedengaran memanggil nama Sarah.
Assalamualaikum Mama Tifa,” sapa Sarah kepada wanita yang kini berdiri di hadadapan mereka.
Daripada gaya wanita itu, dia sudah tahu gerangan orangnya. Tambah lagi Sarah memanggil wanita dengan panggilan Mama Tifa. Dia yakin, itulah ibu saudara Nazwan dan ibu kepada Luqman.
Dan ini mesti Natasya, bukan?” teka Puan Latifah kepada Natasya. Natasya segera bersalaman dengan wanita itu. Dia berasa sedikit lega apabila Puan Latifah menegurnya dengan mesra namun perasaan gemuruh itu tetap ada.
Dia masih takut,” kata Sarah mengetawakan Natasya.
Natasya membalasnya dengan pandangan tajam.
Tak ada apa yang nak ditakutkan. Siapa yang Nazwan pilih, mak cik tetap akan terimanya tapi mak cik tak sangka…,” kata-kata Puan Latifah terhenti tiba-tiba dan memandang Natasya dari hujung rambut ke hujung kaki.
Natasya mula rasa cuak dengan pandangan wanita itu. Pandangan wanita itu macam cuba mencari apa yang tidak kena dengan dirinya. Boleh dikatakan wanita itu memandang setiap inci tubuh badannya.
Nazwan ada beritahu tentang apa yang membuatkan kamu takut nak jumpa kami. Emm… memang mama mak cik agak cerewet dalam memilih menantu dalam keluarga ni tambah lagi dengan Nazwan adalah cucu kesayangannya,” ujar wanita itu sambil mengeluh. “Tapi jangan risau, mak cik akan berada di sisi kamu tapi sebelum tu… ada sesuatu yang perlu mak cik pastikan.”
Apa dia?” tanya Natasya yang sudah bersedia hendak menjawab apa jua soalan yang dikemukakan kepadanya.
Kalau dia ditanya tentang hal keluarganya, dia akan beritahu perkara yang sebenar tentang keadaan keluarganya. Dia tidak mahu mencipta cerita palsu semata-mata hendak menambat hati keluarga Nazwan.
Kamu tahu macam mana nak masak nasi beriani?” tanya Puan Latifah sambil mengukir senyuman. “Sebab… mak cik terfikir nak masak nasi beriani untuk makan malam ni tapi….”
Mama Tifa memang fail dalam masakan Melayu,” celah Sarah selamba.
Err… walaupun saya tak beberapa mahir tapi… saya pernah belajar daripada ibu saya,” jawab Natasya teragak-agak. Sempat lagi dia menjeling ke arah Sarah. Ini pasti Sarah punya cerita sebab Sarah sudah sedia maklum bahawa dia memang suka masak nasi beriani.
Bagus! Hari ini kamu jadi ketua chef,” ujar Puan Latifah sebelum menjemput mereka berdua berlalu ke dapur.

***

Nazwan memberhentikan keretanya di belakang sebuah kereta Myvi. Melihat sahaja Myvi itu dia sudah dapat menganggak ada berita baik bakal menyusul. Sarah berjaya memujuk Natasya datang ke rumahnya.
Buka sahaja pintu rumahnya, satu haruman yang datang dari dapur menusuk hidungnya. Ini kali pertama dia bau masakan yang harum. Walaupun Mama Tifa rajin memasak tetapi masakan Mama Tifa lebih kepada masakan barat.
Neneknya yang tidak menggemari makanan barat banyak menegur Mama Tifa tetapi Mama Tifa tetap dengan kegemarannya itu. Akhirnya mereka sekeluarga terpaksa menghadap makanan barat setiap hari.
Kenapa Luq rasa macam dapur kita tu rindu dengan masakan Melayu?” sapa suara Luqman tatkala kaki Nazwan sudah melangkah ke dapur. Dia tidak menyedari langsung kehadiran Luqman di belakangnya.
Jangan nak mula, Luqman,” ujar Puan Latifah sekali dengan jelingan tajamnya.
Mama, ini adalah kata-kata ikhlas daripada seorang anak yang juga mewakili semua orang yang duduk dalam rumah ni yang terlalu rindu masakan Melayu. Oh, jangan lupa buat sambal belacan….”
Luqman,” tegur Puan Latifah lagi.
Luq cuma nak berlaku jujur,” kata Luqman.
Rumah ni tak ada cili dan belacan,” kata Puan Latifah.
Seseorang patut pergi beli,” kata Luqman sambil memberikan isyarat kepada mamanya. Puan Latifah yang ingin menegur anaknya tadi terus tidak jadi tegur apabila dapat mentafsir isyarat yang Luqman berikan.
Betul. Seseorang patut pergi beli,” sokong Puan Latifah sambil memandang ke arah Sarah dan Natasya. Keduanya nampak tidak dapat menangkap apa yang anak beranak itu sedang berbual.
So, siapa yang patut pergi beli?”
Nanti!” kata Sarah. “Kita masak nasi beriani dan bukannya ikan bakar atau nasi kukus yang memerlukan sambal belacan sebagai perasa,” kata Sarah.
Natasya mengangguk. Kata Sarah itu ada benarnya.
Kamu pernah tengok orang makan pisang goreng cicah dengan sos cili?” tanya Puan Latifah.
Natasya dan Sarah menggeleng. Serentak itu, Puan Latifah dan Luqman memandang ke arah Nazwan yang hanya duduk senyap di pintu dapur.
Nazwan?” kata Sarah sedikit terkejut. Selama dia berkawan dengan Nazwan, dia teramat pasti, Nazwan bukan sepelik itu.
Oh, itu baru satu. Ada banyak lagi cara makanan pelik yang dia suka buat dalam rumah ni. Tahu tak popcorn? Dia makan popcorn cicah dengan kicap. Dan dia teramat suka makan donut cicah dengan sos cili,” tambah Luqman lagi.
Sangat… alien,” kata Sarah yang teramat terkejut dengan gaya pemakanan Nazwan yang pelik itu.
Okey, cili dengan belacan bukan? Luq, jom pergi beli,” ajak Nazwan sengaja tidak mahu mereka membongkar rahsia-rahsianya yang lain.
Dude, kita tak boleh pergi bersama. Kau pernah tengok belacan? Kau tahu rupa belacan tu macam mana? Aku suka makan sambal belacan tapi sejujurnya aku sendiri tak tahu rupa belacan tu dan aku tak rasa kau tahu tentang belacan sebab kau masih fail bezakan gula dengan garam dalam rumah ni,” kata Luqman.
Nazwan terdiam.
Err... Rupa belacan tu macam mana?” tanya Nazwan setelah terdiam beberapa minit.

***

Makan pisang goreng cicah sos, makan popcorn dengan kicap dan makan donut dengan sos cili. Kenapa saya tak pernah tahu yang saya ada seorang teman lelaki yang pelik? Malah lagi pelik bila saya dapat tahu awak tak dapat bezakan antara garam dan gula,” kata Natasya sebaik sahaja kereta yang dipandu oleh Nazwan memasuki jalan raya.
Disebabkan masing-masing tidak tahu rupa belacan, Natasya terpaksa mengikut Nazwan pergi beli belacan. Di sekitar taman perumahan Nazwan tidak ada kedai runcit, jadi mahu tidak mahu, mereka terpaksa hidupkan enjin kereta dan keluar dari taman rumah itu untuk membeli.
Dan keluarga awak memang pelik. Seorang pun tak tahu rupa belacan?” tanya Natasya lagi menambah. “Selalunya kat rumah tu siapa yang masak?”
Mama Tifa. Macam Luqman kata tadi, Mama Tifa lebih suka masak makanan barat jadi... kami hanya makan apa yang dimasak. Kalau kami sekeluarga teringin nak makan masakan Melayu, kami akan makan diluar,” jawab Nazwan.
Nampaknya kita berdua memang datang dari dunia yang berbeza,” ujar Natasya yang mula membandingkan kehidupan Nazwan dengan kehidupannya. Memang jauh berbeza. Dia dengan ibunya terpaksa bekerja keras untuk mencari sesuap nasi manakala Nazwan hanya perlu memilih makanan dan restoran di hadapan mata.
Ya. Kita datang dari dunia yang berbeza. Kadangkala saya pun tertanya-tanya, kenapa mesti awak tapi saya tak dapat jawapan yang pasti. Cuma satu saja yang saya fikir, kita memang datang dari dunia yang berbeza tapi dalam masa yang sama, kita sudah cipta satu dunia yang sama,” balas Nazwan.
Cipta satu dunia yang sama?” ulang Natasya dan mendiamkan diri seketika.
Otaknya ligat berfikir. Mungkin betul kata Nazwan. Mungkin dia terlampau memikirkan status dan darjat dan menganggapnya sebagai satu masalah yang besar. Padahal, tiada isu di situ. Dia juga mungkin terlampau memikirkan penerimaan nenek Nazwan dan berasa takut hendak berjumpa dengan nenek Nazwan disebabkan pengalaman Sarah dahulu, padahal sebenarnya tiada apa yang perlu ditakutkan.
Ya. Itu semua hanyalah perasaan takut. Perasaan itu akan terus memburu orang sepertinya yang takut menghadapi kenyataan.
Saya dah buat keputusan...,” kata Natasya selepas mendiamkan diri.
Hah? Keputusan apa?” tanya Nazwan berpaling memandang Natasya. Namun, kerana dia terpaksa memandu, dia kembali memandang ke hadapan. Bagaimanapun dia dapat melihat wajah Natasya yang serius. Entah keputusan apa yang telah Natasya buat.
Mulai hari ini... saya akan pastikan awak kenal rupa belacan, rupa gula, rupa garam dan semua sekali barang-barang dapur!” ujar Natasya dengan penuh bersemangat.
Laa...,” Nazwan menghela nafas panjang. Punyalah kuat jantungnya berdegup. Apabila mendengar kenyataan Natasya tadi, barulah jantungnya berdegup sedia kala. “Saya ingat awak nak break up dengan saya,” dia menghela nafas lega.
Jadi, awak nak kenal tak dengan rupa belacan?”
Walaupun saya tak beberapa suka makan sambal belacan tapi... mestilah saya nak kenal. Lagipun saya tak nak jadi teman lelaki yang tak berguna,” jawab Nazwan.
Awak memang bermulut manis.”

***

Sunyi. Itulah yang yang dia rasa sewaktu melangkah masuk ke dalam rumahnya. Sebelum ini, kehadirannya akan disambut oleh Mama Fiza, ibu tirinya ataupun Fazira, adik tirinya. Walaupun mereka berdua bukan sebahagian daripada darah dagingnya, tetapi dengan adanya mereka, hidupnya lebih bermakna. Tidak sampai satu hari, dia sudah ada perasaan kesunyian, apatah lagi kalau mereka berdua melangkah pergi daripada hidupnya.
Mesti lagi sunyi,” ujar Arissa keseorangan.
Dia berlalu ke dapur rumahnya. Ketika melangkah masuk menghampiri peti ais, dia terbayangkan kelibat Mama Fiza yang sedang menyediakan makan malam. Sepatutnya waktu ini Mama Fiza akan sibuk menghidangkan makan malam. Walaupun sibuk dengan perniagaan butik pengantin, tetapi Mama Fiza tetap akan menyediakan makan malam buat mereka sekeluarga – kecuali papanya yang jarang pulang makan malam.
Arissa tidak pernah mengenali ibu kandungnya. Ibu kandungnya meninggal dunia sebaik sahaja melahirkannya. Walaupun begitu, dia bersyukur kerana arwah ibunya ada meninggalkan diari dan video sebelum meninggal dunia. Diari dan video itu merupakan faktor utama kenapa dia harus menghargai setiap pengorbanan ibunya selama ini.
Salah satu mesej yang arwah ibunya tinggalkan adalah terima dengan hati terbuka jikalau suatu hari nanti dia ditakdirkan akan mendapat ibu tiri. Semasa umurnya masuk lima tahun, papanya berkahwin. Namun, bukan dengan Mama Fiza. Ibu tirinya yang pertama seorang wanita bermata duitan. Disebabkan pada masa itu dia dibesarkan di kampung, dia tidak mengenali wanita itu secara dekat. Jumpa pun boleh dikira dengan jari.
Perkahwinan itu tidak sampai lima bulan. Semuanya sebab arwah neneknya mendesak papanya bercerai. Perkahwinan ketiga papanya juga tidak kekal lama. Arissa tidak pasti sebab apa. Selepas papanya bercerai, barulah Mama Fiza muncul dalam kehidupan mereka sekeluarga. Awalnya perkahwinan itu dibantah oleh neneknya sebab Mama Fiza ada seorang anak tapi entah macam mana nenek dapat terima Mama Fiza. Mungkin sebab Mama Fiza tidak seperti bekas-bekas isteri papa yang lain.
Tapi, walau sebaik manapun Mama Fiza, papanya tidak pernah berasa cukup. Tanpa pengetahuan mereka, papanya berkahwin senyap-senyap. Mama Fiza memang seorang isteri yang sabar. Dia tetap tenang semasa menerima berita itu. Cuma sejak akhir-akhir ini, kesabaran Mama Fiza sudah tidak dapat dikawal lagi.
Dia berada dipihak berkecuali. Begitu dengan Fazira. Walaupun begitu, dia berharap mereka akan berbaik semula.
Fikir apa?” sapa satu suara mengejutkannya daripada lamunan.
Papa!” ujar Arissa sambil mengerut dadanya yang bagaikan melompat keluar dari tubuhnya. Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40an tiba-tiba berdiri di hadapannya. Manalah dia tidak terkejut.
Jauh kamu termenung tadi. Fikir masalah negara ke?”
Arissa menghela nafas panjang. Dia tahu papanya memang suka membuat lawak yang tidak kena tempat tapi ini bukan masanya untuk berlawak.
Papa, kita perlu berbincang,” tegas Arissa.
Ya. Kita perlu berbincang. Kita akan berpindah dari rumah ni.”
Apa?!”

***

Bagi Natasya, ini kali pertama dia merasakan dirinya seperti berada di dalam kandang harimau. Dia berasa berpeluh sepanjang masa. Malah, tubuhnya menggigil ketakutan. Semuanya bermula selepas dia kembali ke rumah itu selepas membeli belacan. Sampai sahaja, dia diperkenalkan dengan nenek Nazwan. Sewaktu dia perkenalkan diri, nenek Nazwan tidak berkata apa tetapi memandangnya dengan tajam. Macam dia baru sahaja melakukan kesalahan besar. Padahal, ini kali pertama mereka bertemu.
Memang benarlah apa yang Sarah kata dahulu. Nenek Nazwan amat menakutkan. Kini, dia tidak yakin sama ada dia dapat memikat hati nenek Nazwan seperti mana yang dilakukan oleh Sarah. Tiba-tiba sahaja dia rasa putus harapan.
Kenapa seorang pun tak beritahu nenek yang kita ada tetamu baru hari ni?” tanya Puan Azizah memecah kesunyian pada malam itu.
Masing-masing yang berada di meja itu bagaikan tercekik nasi. Apatah lagi Natasya yang sudah berasa serba salah.
Kamu Nazwan,” tegur Puan Azizah. “Kenapa nak sorok-sorok dengan nenek yang kamu ada teman wanita?”
Nenek, bukan niat....”
Nenek bercakap dengan Nazwan bukan dengan kamu,” tegas Puan Azizah memotong kata-kata Luqman. Mendengar suara neneknya yang mula naik, Luqman terus terdiam. “Tak tahulah dengan budak-budak sekarang. Nak bercinta pun sorok-sorok. Ingat nenek ni apa? Orang tua yang jahat nak hancurkan kebahagiaan cucu sendiri?”
Nenek, bukan macam tu,” Nazwan mula bersuara.
Habis tu?”
Kadangkala nenek agak menakutkan...,” jawab Nazwan perlahan-lahan. Masing-masing memandang ke arah Nazwan. Kesemuanya tidak percaya dengan apa yang mereka dengar. Ini kali pertama Nazwan berani bercakap sesuatu yang mengejutkan mereka semua.
Apa?!” Puan Azizah mula meninggikan suara.
Nazwan kemudiannya mengukir senyuman. Dia kelihatan tidak takut langsung dengan suara tinggi neneknya tadi.
Tapi nenek kata, nenek takkan hancurkan kebahagiaan cucu nenek, kan?”
Mendengar Nazwan berkata demikian, terus Puan Azizah kembali bertenang.
Lain kali jangan nak sorok-sorok dengan nenek lagi. Bukan ke nenek dah kata awal-awal, tak kira siapa pun yang kamu pilih, nenek takkan bantah asalkan kamu semua bahagia,” ujar Puan Azizah sedikit membuatkan Natasya menarik nafas lega.
Nenek memang nenek terbaik di dunia,” puji Luqman.
Baru kamu tahu ke?” kata Puan Azizah menjeling tajam.
Luqman sekadar tersengih.
Tiba-tiba mereka semua dikejutkan dengan kehadiran Arissa yang masuk melalui pintu belakang. Tanpa memberikan salam, Arissa terus melangkah masuk dan berlalu duduk ke kerusi kosong sebelah Puan Latifah.
Kita patut lakukan sesuatu dengan pintu belakang tu,” kata Luqman yang masih lagi terkejut dengan kehadiran Arissa tanpa diundang itu.
Apa hal pula ni?” tanya Puan Latifah.
Papa tu! Dia..,” kata-kata Arissa terus terhenti apabila terbau sesuatu yang harum. “Eh, nasi beriani!” ujarnya separuh menjerit. “Eh, Natasya pun ada? Ohhh... rupanya kau orang berkumpul tak ajak aku,” tambah Arissa lagi sambil menarik muka. “Tapi... aku tak peduli. Aku nak makan nasi beriani juga!” ujar Arissa sebelum berlalu ke dapur.
Dia memang macam tu. Redah masuk rumah orang dan tumpang makan,” kata Sarah kepada Natasya yang kelihatan masih blur dengan situasi itu.
Abaikan dia,” tambah Luqman lagi.
Luqman,” tegur Puan Latifah. “Walau apa pun dia tetap sebahagian daripada keluarga kita.”
Betul tu,” sokong Arissa yang muncul semula di meja makan dengan membawa pinggan dan cawan untuknya sendiri. Tanpa rasa segan silu, dia menceduk nasi di hadapannya. “Lagipun, mungkin selepas ini kau akan rindu aku.”
Biarpun kau tersesat kat dunia lain, aku takkan rindukan kau,” balas Luqman.
Sweetnya. Aku akan ingat kata-kata kau selama-lamanya,” balas Arissa selamba. Walaupun kata-kata Luqman tadi serius, tetapi dia langsung tidak menunjukkan reaksi sakit hati.
Kenapa Arissa cakap macam tu?” tanya Puan Latifah.
Sebab papa dengan Mama Fiza dah bercerai. Kebetulan papa terpaksa pindah ke Perak semula dan dia berhasrat nak bagi rumah tu kepada Mama Fiza, jadi, nak tak nak saya pun akan ikut papa balik Perak,” jawab Arissa secara ringkas.
Yes! Itu yang aku nak dengar,” kata Luqman lagi.
Luqman!” tegur Puan Latifah yang tidak senang dengan perangai anaknya itu. “Habis tu macam mana dengan pelajaran Arissa?”
Saya tak nak fikirkan tentang masalah-masalah yang remeh-temeh tu. Buat masa ini, apa yang saya fikirkan adalah makan nasi beriani dengan puas!”

***

Kenapa ni? Tiba-tiba saja nampak macam tak ada semangat saja? Masih takut dengan nenek lagi ke?” tanya Nazwan di sebelah.
Natasya menghela nafas berat. Nazwan yang sedang memandu menghantarnya pulang ke rumah di pandangnya. Serius. Dia tidak ada mood sekarang. Tiba-tiba sahaja dia rasa seakan putus harapan. Sepatutnya dia boleh menghela nafas lega kerana nenek Nazwan dapat menerima kehadirannya. Malah, dia juga sempat berbual dengan nenek Nazwan tadi. Ternyata nenek Nazwan tidak kisah dari mana dia berasal. Dia patut berasa gembira kerana tiada apa yang dapat menghalang hubungannya dengan Nazwan lagi.
Namun, ada sesuatu yang membuatkan dia kurang gembira. Arissa. Tiba-tiba rasa cemburu terhadap Arissa makin menguasai hatinya. Dia cemburu dengan Arissa yang begitu rapat dengan keluarga Nazwan. Apa sahaja yang Arissa buat tetap menjadi perhatian keluarga Nazwan. Malah, nenek Nazwan kelihatan begitu menyayangi Arissa.
Sepatutnya, malam ini, dia yang patut menjadi perhatian keluarga Nazwan tetapi datang sahaja Arissa, dia seperti tidak wujud di situ. Semuanya Arissa. Mereka hanya bertanya beberapa soalan kepadanya tetapi kemudian menyoal bermacam-macam soalan kepada Arissa. Biarpun Arissa menjawab dengan acuh tidak acuh tetapi mereka tetap bertanya. Keadaan itu berlanjutan sehinggalah Luqman menyampuk perbualan mereka dengan menyuruh mereka berhenti melayan Arissa sebaliknya memberi tumpukan kepada Natasya.
Sejujurnya, dia memang terasa tetapi baginya, tidak perlu mengadu pada Nazwan.
Saya penat hari ni,” jawab Natasya cuba menyembunyikan perasaannya. Kalaulah Nazwan tahu apa yang dia sedang alami sekarang, entah apakah reaksi Nazwan.
Memang patut pun,” balas Nazwan pendek. “Awak tidurlah. Nanti kalau dah sampai saya akan kejutkan.”
Terima kasih Nazwan,” ucap Natasya dengan senyuman manis.
Dia memejam mata. Dia memang penat hari ini. Tenaganya bagaikan sudah hilang walaupun dia baru sahaja menikmati makan malam beberapa jam tadi. Sepatutnya tubuhnya kembali bertenaga.
Saya tahu awak risaukan Arissa,” kata Nazwan lagi.
Mendengar sahaja nama Arissa, mata Natasya terus terbuka luas.
Macam mana awak tahu?” tanya Natasya dengan jantung berdebar-debar.
Saya pun risaukan dia,” balas Nazwan.
Lagi buat jantung Natasya berdebar.
Maksud awak?” tanya Natasya.
Jangan salah faham. Saya memang risaukan dia tapi selalunya saya tak ambil peduli sangat dengan masalah dia. Dia tu... jenis yang tak ada perasaan. Tengoklah tadi, orang tanya soalan serius, dia jawab entah apa-apa. Sejak dulu lagi, bila ada masalah besar yang menimpanya, dia tak pernah ambil peduli. Jadi, berita penceraian papa dan mama tiri dia tu takkan buat dia hilang arah. Dia gerenti takkan ambil peduli dengan hal diorang. Mungkin lebih baik dia pindah balik ke Perak,” terang Nazwan yang begitu mengenali Arissa.
Mendengar kata-kata Nazwan tadi membuatkan Natasya terdiam. Rupanya dia salah sangka. Nazwan tidak tahu apa yang difikirnya. Bagaimanapun dia baru teringat akan masalah yang melanda Arissa. Entah kenapa dia tidak ambil peduli tentang masalah itu. Sebagai kawan dia sepatutnya ada rasa simpati terhadap Arissa dan sedih apabila Arissa beritahu akan kembali ke Perak tapi terbalik pula. Dia gembira dengan berita itu.
Kesian dia,” kata Natasya berpura-pura sedih.
Buang masa saja kesiankan dia,” kata Nazwan tiba-tiba.
Natasya memandang Nazwan. Dia turut terkejut dengan apa yang dia dengar tadi. Tidak sangka Nazwan sanggup berkata begitu. Tapi, dia cukup gembira. Kalau Nazwan kata begitu, itu bermakna Nazwan memang tidak ada sebarang perasaan terhadap Arissa. Dia ingin menyokong tapi suara hatinya membantah. Nazwan tidak perlu tahu apa yang dia fikir!
Awak ni, tak baik kata macam tu!” marah Natasya memukul bahu Nazwan.
Aduh! Saya tengah memandu ni. Nanti tak pasal-pasal kita bermalam di hospital.”
Bermalam di neraka pun saya sanggup apatah lagi bermalam di hospital. Asalkan bersama awak,” balas Natasya selamba.
Mulut awak ni....”
Natasya sekadar tersenyum.
Sejurus kemudian, handset Natasya berbunyi menandakan ada satu mesej masuk. Natasya segera mengeluarkan handsetnya dari begnya dan membaca mesej itu. Tiba-tiba muka Natasya berubah seperti baru sahaja menerima berita buruk.
Kenapa?”
Natasya tersentak.
Err... tak ada apa. Mak saya bagi mesej. Dia tak balik rumah hari ni sebab ada hal,” ujar Natasya segera menyimpan handsetnya.
Habis awak tinggal seorang diri?”
Tak. Selalunya kalau mak tak ada saya tidur rumah jiran saya,” jawab Natasya berbohong. Hanya dengan berbohong sahaja dapat menyingkir perasaan bimbang Nazwan. Kalau tidak, Nazwan pasti tidak akan benarkan dia bermalam seorang diri di rumah.
Kalau macam tu, jaga diri,” balas Nazwan seperti apa yang difikirnya.

***

Arissa memandang jam di dinding biliknya. Sudah pukul 7.00 pagi. Cahaya matahari sudah mula memancarkan sinarnya. Namun, dia masih lagi duduk termenung di meja tulis. Kulit mukanya terasa tegang kerana semalaman dia tidak dapat lelapkan mata. Pelbagai perkara yang dia fikir. Selepas satu masalah. Satu lagi masalah yang datang menimpanya.
Jangan muncul depan aku lagi,” kata-kata Natasya malam tadi masih lagi ternyiang-nyiang di benaknya.
Arissa menghela nafas berat.
Ahh... kenapa Natasya kata macam tu?” ujar Arissa sendirian sambil menggaru kepalanya. Rambutnya sudah berserabut tidak terurus.
Dia berpaling ke arah handsetnya. Sejak tengah malam tadi handsetnya berbunyi beberapa kali. Semua panggilan daripada Natasya tapi dia sengaja tidak mahu mengangkatnya. Bukan merajuk tapi dia masih lagi terkejut. Dia bagaikan tidak kenal Natasya yang dijumpainya malam tadi. Natasya bagaikan mempunyai personaliti lain. Yang lagi gelap. Serius. Dia hampir tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
Kau memang manusia yang tak berhati perut! Sanggup kau buat aku macam ni? Aku doakan kau takkan dapat hidup bahagia selamanya!
Terbeliak mata Arissa apabila membaca mesej yang diterima daripada Natasya. Dia tidak tahu apa yang sudah merasuk Natasya sehingga Natasya sanggup bagi mesej begitu. Hanya air mata sahaja yang dapat mengungkap perasaannya kini.
Walau apa pun yang Natasya tuduh, dia berharap Natasya tidak bertindak diluar batasan. Dia tetap sayangkan Natasya sebab hanya Natasya yang dia ada.
Tiba-tiba handsetnya berbunyi. Tangan Arissa yang masih menggigil memegang handset. Nama Sarah tertera di skrin handsetnya. Arissa lantas mengesat air matanya dan cuba mengawal perasaan sedihnya. Apa yang penting, Sarah tidak perlu tahu. Kalau Sarah sudah tahu, dia sanggup menghadapinya.
Helo,” jawab Arissa dengan nada biasa.
Senyap. Suara Sarah langsung tidak kedengaran. Tapi dari jauh dia dapat mendengar sesuatu. Macam bunyi tangisan.
Sarah?” panggil Arissa.
Bunyi tangisan itu semakin jelas.
Sarah? Kenapa ni? Kau menangis?” tanya Arissa cuak.
Tiada apa yang mampu buat Sarah menangis. Antara mereka bertiga, Sarah adalah orang yang paling kuat. Dia jarang menangis. Tengok drama korea yang sedih-sedih pun air mata dia tetap kebal. Langsung tidak pernah menitik.
Arissa...,” suara Sarah teresak-esak. Macam orang tidak cukup nafas sahaja.
Mendengar Sarah menangis, jantungnya berdegup pantas. Dia seakan ingin menyambung tangisannya tadi. Walaupun belum lagi mendengar berita daripada Sarah tapi dia pasti dan sangat pasti bahawa ada satu berita buruk yang akan diterimanya.
Sarah, janganlah buat aku macam ni. Apa dah berlaku?” hati sensitifnya semakin sensitif. Hujan turun dahulu sebelum mendengar berita buruk itu.
Natasya.” Nama Natasya disebut Sarah. Nafas Arissa tersekat-sekat.
Tak,” Arissa tidak mahu mendengar selebihnya.
Natasya... kawan kita dah tak ada!”

7 si charming:

  1. MizaEija berkata...:

    Natasya dah takde? biar betul ni??
    RB.. penyeksaan jiwa, hati dan minda ni.. nak tau ape jd..
    Uhuk..uhuk..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    kenape ngan natasya??
    kak ratu sambunannye??

  1. Suha berkata...:

    ???? :O :/ full of surprise ^_^' hee xsbar nk bca next entry~ ehm

  1. epy elina berkata...:

    natasya meinggal ke??
    wah...
    saspen tul la kak..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    wah best2 tlg smbung :)

  1. zuezakry berkata...:

    waaa. next entry =)

  1. Maira Hawani berkata...:

    Natasya kejam ! haha . btw , kan best kalau Arissa tuh matang sikit :D tak sabar nak baca seterusnyee :D

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages