Romeo yang Hilang: Bab 4


Pesan Hikayat,
Yang cemburu itu cinta. Yang bercinta itu wajib cemburu.

PAGI itu, selepas isterinya keluar atas urusan kerja, Adam menerima tetamu yang tidak dijangka. Wawa, rakan yang sudah lama dia tidak dengar khabar tiba-tiba muncul di hadapan pintu rumahnya. Kali terakhir dia berjumpa dengan Wawa ketika majlis perkahwinannya dua tahun yang lalu. Selepas berkahwin, dia sibuk dengan keluarga dan kerja manakala Wawa pula sibuk dengan sambung belajar di luar negara.
Bercuti?” tanya Wawa apabila terlihat beberapa buah beg diletak di tepi pintu.

Boleh dikatakan. Petang ni kami nak balik kampung.”
Sejak bila kau ada kampung?” gurau Wawa.
Sejak aku ada isteri yang keluarganya tinggal di kampung,” jawab Adam.
Oh,” Wawa mengangguk faham. Terlupa pula yang Adam sudah berkahwin. Berkahwin dengan bekas jurulatih pula tu. “Mana cikgu? Err… maksud aku isteri kau.”
Keluar uruskan anak-anak buah dia sebelum kami balik kampung.”
Ah, aku masih tak biasa lagi. Walaupun cikgu dah jadi isteri kau, tapi aku tetap nak panggil dia cikgu,” ujar Wawa jujur.
Samalah. Aku tetap nak panggil dia mak cik,” balas Adam memahami maksud Wawa tadi.
Bukan sahaja Wawa, Izwan juga begitu. Rata-rata yang bekas ahli The Legend akan memanggil isterinya dengan gelaran cikgu. Memandangkan Apy memang ada kenangan dengan mereka semua, dia tidak ada masalah kalau mereka terus memanggil isterinya dengan gelaran cikgu.
Kau nak minum apa?” tanya Adam berlalu ke dapur.
Aku dah minum masa datang sini tadi tapi memandangkan kau nak buat air, aku teringin nak minum air yang kau bancuh,” ujar Wawa turut mengekori rakannya ke dapur.
Tiba-tiba Adam mencampak sesuatu ke arahnya. Mujurlah dia perasan dan pantas menangkapnya. Dia terkejut dengan apa yang dilihatnya. Sepeket kopi 3 in 1.
Siapa kata aku nak bancuhkan untuk kau. Bancuh sendiri kalau kau nak minum,” ujar Adam selamba.
Sampai hati kau layan tetamu macam ni?” Nak tak nak, dia mengambil cawan yang dihulurkan oleh Adam dan membancuh kopinya sendiri. Macam selalu.
Kau bukan tetamu aku tapi kawan aku,” balas Adam selamba.
Apa bezanya tetamu dengan kawan?”
Tetamu biasanya akan datang menziarah tapi kalau kawan biasanya akan datang menziarah dengan membawa hajat tertentu,” jawab Adam sudah dapat agak akan kedatangan Wawa pagi itu.
Aku bukan nak menyusahkan kau…” ujar Wawa teragak-agak hendak berkata-kata.
Aku tak kata kau menyusahkan aku. Kita dah berkawan lama. Aku kenal kau. Kau takkan datang jumpa aku melainkan kau dah tak ada jalan lain lagi. Jadi, kau nak aku tolong apa?”
Beberapa maklumat. Aku tahu kau arif dalam hal ni,” ujar Wawa sambil menghulurkan handsetnya kepada Adam.
Handset beralih tangan. Tidak lama kemudian, Adam mengeluh panjang. Handset diberikan kembali kepada Wawa.
Teruk ke?” tanya Wawa kelihatan risau.
Kau patut datang bancuh kopi awal-awal lagi,” jawab Adam serius.


APY ELINA memberhentikan keretanya di hadapan rumahnya. Matanya tertarik dengan kehadiran sebuah kereta yang diparking di tepi rumahnya. Sebelum ini dia tidak pernah lagi melihat kereta jenis itu berada di situ.
Kawan-kawan Adam? Lagilah mustahil sebab suaminya itu tidak gemar mempelawa orang datang ke rumah melainkan sudah kenal lama. Dari dalam kereta dia menjenguk ke dalam pagar rumahnya. Ada kelibat dua orang sedang berbual di hadapan pintu. Salah seorangnya adalah suaminya dan seorang lagi dia tidak dapat cam orangnya. Tapi nampak gaya seperti seseorang yang dia kenal.
Tanpa berlengah lagi dia segera keluar dari kereta. Masuk sahaja ke dalam, matanya terpaku melihat tetamu asing yang misteri itu. Berkerut dahinya sambil mendekati mereka.
Hai cikgu,” sapa tetamu asing itu.
Apy Elina terkejut.
Tetamu asing itu panggilnya cikgu. Dalam banyak-banyak lelaki yang dia kenal, hanya beberapa orang yang pernah dan akan memanggilnya dengan gelaran cikgu. Siapa lagi kalau bukan pasukan The Legend yang pernah dilatihnya dahulu. Namun, dia masih tak dapat cam orang yang menegurnya tadi. Tapi suaranya macam Wawa.
Wawa?” soal Apy Elina inginkan kepastian.
Tetamu asing itu mengukir senyuman sekali dengan anggukkan.
Wah, Wawa!” jerit Apy Elina terkejut bercampur gembira.
Sungguh tak sangka, lelaki di hadapannya itu ialah Wawa. Dia hampir tak kenal. Mana tidaknya, kali terakhir dia jumpa Wawa semasa hari perkahwinannya. Sejak itu Wawa hilang khabar berita. Bila jumpa kembali, dia tengok Wawa sudah lain. Mujurlah dia masih ingat lagi suara Wawa.
Cikgu sihat?” soal Wawa.
Terlebih sihat,” Adam pantas tolong jawabkan. Serentak dengan itu, Apy Elina menjeling tajam.
Wah, lama tak jumpa. Tak sangka awak dah makin handsome!” puji Apy Elin yang sungguh teruja.
Ehem!” Alex berdeham kecil.
Err… maksud saya, jambang Wawa tu handsome,” ujar Apy Elina dalam keterpaksaan. Tiba-tiba ada orang cemburu pula.
Tapi memang betul pun. Jambang Wawa memang handsome. Jambang itulah yang membuatkan dia langsung tidak cam Wawa pada asalnya. Nasib baiklah dia masih ingat lagi suara Wawa.
Mmm… memandangkan Adam dah cemburu, jadi, lebih baik saya minta diri dulu,” kata Wawa. Lucu dia melihat mereka berdua yang masih tak berubah.
Biarpun sudah berkahwin, bekas jurulatihnya itu masih sama seperti dahulu. Ceria dan selalu memuji lelaki handsome. Puji depan suami pula tu. Itulah sebabnya kenapa dia rasa kekok pula apabila bertemu dengan mereka berdua. Nak bergurau lebih, takut pula. Takut Adam tersalah sangka.
Hah? Nak balik dah? Nantilah dulu. Jomlah kita berbual sambil minum kopi dulu. Dahlah lama tak jumpa,” Apy Elina cuba menahan Wawa daripada pulang.
Mak cik, dah lupa ke kita nak balik kampung kejap lagi?” celah Adam mengingatkan isterinya.
Serentak dengan itu Apy Elina menepuk dahi. Lupa pula tentang rancangan mereka hendak balik kampung petang ini. Kalau ditunda, gerenti dia kena dengar ceramah emaknya. Sudahlah dia emaknya berharap dia akan balik hari ini. Bagaimanapun, dia tidak boleh berbuat apa-apa. Apatah lagi Wawa bertegas hendak pulang kerana ada urusan lain yang perlu diselesaikan.
Tanpa berlengah lagi Wawa segera meminta diri. Walaupun banyak yang ingin dibualkan, namun Apy tidak dapat menahan Wawa lagi. Dia hanya melihat Wawa meninggalkan rumahnya.
Wawa nampak lain,” ujar Apy Elina sebaik sahaja kereta Wawa hilang dari pandangan matanya.
Nampak lain? Selain dia ada jambang yang handsome, tak ada apa yang lainnya,” balas Adam bernada sinis sekali dengan jelingan tajam.
Pak cik, bagi saya, ada dua sebab lelaki simpan jambang. Pertama, sebab dia akan nampak handsome kalau berjambang. Kedua, hidupnya tak terurus yakni dia ada masalah besar yang melanda dia sekarang. Saya kenal Wawa. Walaupun saya hanya kenalnya dalam masa yang singkat tapi saya sangat-sangat pasti yang dia takkan simpan jambang,” terang Apy Elina begitu pasti dengan firasatnya.
Walaupun jambang dia handsome?” tanya Adam lagi.
Kali ini menekankan perkataan ‘handsome’. Nampak sangat suaminya langsung tak puas hati atau dengan kata lain, cemburu. Cemburu tak kena orang. Padahal Wawa juga kawannya.
Ye. Dia ada jambang yang handsome. Dan awak pula, lagi handsome kalau tak berjambang,” balas Apy tersengih-sengih. Tak dapat dia bayangkan suaminya berjambang. Ah, boleh pengsan dia kalau Adam buat keputusan untuk berjambang nanti. Bukan apa, dia geli dengan bulu-bulu di sekitar dagu dan pipi.
Siapa cakap abang nak simpan jambang?”
Ingat tak kali terakhir saya puji Izwan nampak handsome pakai seluar kotak-kotak? Apa awak buat lepas tu? Awak borong sedozen seluar kotak-kotak sampai saya rasa tension tengok kotak tau,” balas Apy Elina separuh geram.
Memang dia takkan lupa peristiwa Adam memborong seluar kotak-kotak suatu masa dulu. Memang parah kalau suaminya cemburu.
Salah awak juga. Siapa suruh puji lelaki lain handsome,” ujar Adam perlahan tetapi Apy Elina yang berada di sebelah tetap mendengarnya dengan jelas.
Apa?” Satu jelingan tajam dihadiahkan kepada suaminya.
Namun, belum sempat dia hendak berkata, dia teringat sesuatu. Dia sudah lari dari topik asal. Lantas dilembutkan hatinya serentak dengan mengukir senyuman manis.
Apa hal ni?” tanya Adam tiba-tiba gerun pula melihat isterinya berubah mood tiba-tiba.
Awak nak beritahu saya kenapa Wawa datang tiba-tiba? Dia ada masalah, bukan?”
Err…” Adam hilang kata-kata.
Memang tepat jangkaannya. Isterinya tentu akan menyoal siasat tentang kedatang Wawa ke rumah dan akan syak sesuatu. Namun, oleh sebab dia sudah berjanji dengan Wawa yang dia akan simpan rahsia itu, dia tidak boleh mungkar janji. Lagipun dia tak mahu isterinya terlibat dalam hal ini. Silap langkah, boleh membawa bencana.
Pak cik…” tajam renungan si isteri merenungnya.
Okey, surrender. Jom kita pergi makan roti canai,” ajak Adam.
Haa… roti canai…”
Serentak dengan itu, mata Apy Elina bersinar-sinar. Walaupun dia sudah curi makan roti canai semasa hendak ke ofis pagi tadi, tapi dia tetap nak makan lagi. Orang kata, daripada menanti rahsia yang belum tentu lagi hendak dikongsi, lebih baik layan roti canai. Perut kenyang. Hati senang!

ADAM menjeling ke arah isterinya di sebelah yang tidak henti-henti mengunyah dari sejam yang lepas. Dia yang sedang memandu tidak senang duduk jadinya. Lepas habis satu keropok, keropok lain pula dimakannya. Patutlah bawa beg besar letak di hadapan. Rupa-rupanya satu beg itu penuh dengan makanan ringan. Kalau dia tidak memandu memang sudah lama dia merampas makanan ringan itu.
Mak cik, macam ni ke nak diet?” tegur Adam yang sudah tidak tahan melihat Apy Elina asyik makan di sebelah.
Sikit je,” ujar Apy Elina dan terus mengunyah.
Sikit? Cuba kira berapa plastik yang awak habiskan setakat ni?” tanya Adam tidak puas hati.
Apy Elina hanya mengukir senyuman. Dia sedar yang dia sudah habiskan tiga bungkus keropok yang besar. Namun, apa boleh buat. Dia sememangnya tidak boleh duduk di dalam kereta tanpa buat apa-apa. Kalau dia tidak mengunyah sudah pasti dia akan tertidur. Adam pula memang pantang tengok dia tidur dalam kereta.
Dah. Berhenti makan,” Adam mengeluarkan arahan.
Kalau dia biarkan, isterinya itu akan makan sampai tak ingat dunia. Bila orang tegur dia makin gemuk, marah pula.
Kalau saya tak mengunyah nanti saya tertidur. Bila saya tertidur, awak jangan marah pula,” ujar Apy Elina.
Itu bukan alasan tapi memang dia terpaksa mengunyah untuk elakkan tidur dalam kereta. Bila dia tertidur, siapa yang hendak temankan suaminya memandu. Lagipun Adam memang tak suka orang tidur di sebelah ketika dia sedang memandu.
Mak cik, kita dah nak dekat sampai,” balas Adam.
Hah?” Apy Elina terkejut seraya memandang keluar tingkap.
Adam tidak berbohong. Memang mereka hampir sampai ke kampung halamannya! Rasanya macam tak percaya sahaja. Dia melihat jam pada radio kereta yang dinaikinya itu. Hampir pukul 5.00 petang. Patutlah suaminya tegur dia makan tak henti-henti. Rupa-rupanya baru dia sedar, dia sudah mengunyah hampir dua jam tanpa henti.
Ah, habis diet!
Apy Elina mengeluh panjang.
Tapi, alang-alang dah termakan banyak, apa salahnya makan lagi! Apy memandang suaminya yang sedang memandu. Tersengih-sengih bibirnya seperti kerang busuk. Malangnya, Adam langsung tak perasan. Suaminya itu masih memandang ke hadapan dan terus memandu.
Abang Adammm...” panggil Apy Elina dengan suara yang manja.
Apa pula ni?” Adam menjeling sekejap memandang isterinya.
Dia tahu sangat. Kalau isterinya panggil dengan gelaran Abang Adam, mesti ada sesuatu yang dimintanya. Itu tak lain tak bukan mesti nak minta makan.
Awak tahu tak, dekat pekan ada satu kedai mamak yang roti canainya sedap,” Apy Elina memulakan mukadimah.
Tekaannya memang tepat. Itu tak lain dan tak bukan mesti nak memujuknya belanja makan roti canai. Roti canai lagi! Agaknya selepas ini dia pun boleh alergi dengan roti canai.
Jangan nak mengada. Bukan ke sebelum bertolak tadi kita dah makan roti canai?”
Ala… Memanglah kita dah makan roti canai tadi tapi tak sama. Kedai dekat pekan tu lagi sedap. Lagipun bukan selalu dapat makan,” pantas sahaja isterinya menarik muka masam. “
Adam mengeluh panjang. Dia memang lemah sikit apabila isterinya tarik muka masam apabila tak dapat apa yang dihajati. Lebih-lebih lagi kalau berkenaan makanan. Kalau tidak dituruti merajuk pula. Satu hal lagi, dia kena memujuk. Namun, bak kata Izwan, lebih baik turutkan sahaja kalau berkenaan dengan makanan. Lagipun nasib baik isterinya minta roti canai daripada minta nak makan nasi.
Yalah,” jawab Adam akhirnya mengalah.
Yes!” serentak dengan itu Apy Elina bersorak gembira.
Inilah penangannya bila duduk lama di negara orang. Maklumlah di Shanghai, dia asyik makan nasi, nasi dan nasi! Tengok nasi pun dah jadi muak tapi tak adalah sampai ke tahap suaminya. Langsung tak boleh makan nasi.
Bau nasi pun dah loya-loya. Huh, ini baru sebulan. Yang peliknya, di sini juga dia makan nasi tapi sejak dia berkahwin dengan Adam, memang dia jarang makan nasi. Ada kemungkinan suaminya mempengaruhi tabiat pemakanannya.
Tapi nasib baiklah dia belum lagi gila dengan burger. Buat masa ini, cuma gilakan roti canai. Rasa sekali gerenti nak lagi!
Cakap apa?” Adam menjeling tajam dengan muka tak puas hati.
Oh ya, terlupa nak puji Encik Suami.
Terima kasih Abang Adam yang baik hati,” ucap Apy Elina dengan penuh sopan santun.
Adam mengangguk puas.
Jom kita makan roti canai!” sorak Apy Elina dengan kuat sehingga membuatkan Adam di sebelah turut terkejut.
Ada yang kena tinggal tepi highway ni nanti...” jeling Adam tajam.
Opss... sorry Abang Adam,” Apy Elina hanya tersengih.


SEJAK tadi Adam hanya senyap. Matanya tidak berkelip memandang isterinya yang sedang lahap menikmati roti canai. Roti canai yang kelima untuk hari ini. Dia dah tak boleh nak kata apa lagi. Sudah banyak kali dia cuba halang, tetapi isterinya masih lapar. Alasannya, roti canai yang dimakannya itu bersaiz kecil. Tak puas makan. Akhirnya, disebabkan isterinya pandai buat muka comel, dia mengalah lagi.
Dia pun tak tahu sejak bila isterinya minat sangat makan roti canai. Sewaktu mula-mula mendirikan rumah tangga, dia langsung tak pernah tengok isterinya makan roti canai. Namun sejak beberapa bulan ini, selalu sangat isterinya merayu nak makan roti canai.
Pada awalnya dia turutkan sahaja tapi kalau pagi, tengah hari dan malam nak makan roti canai, itu memang patut dia risau. Mana tidaknya, nasi langsung tak disentuhnya. Hanya roti canai setiap hari. Walaupun dia tak boleh makan nasi tapi dia sangat risau kalau isterinya tak dapat khasiat yang secukupnya.
Nanti kita singgah pasar raya sekejap ya. Nak beli roti,” ujar Apy Elina dengan masih tumpukan perhatian dengan roti canainya.
Roti lagi…” keluh Adam.
Dengar perkataan ‘roti’ pun dia dah muak. Jangan pula dia alergi dengan roti sama seperti dia alergi dengan nasi sudah.
Untuk awaklah. Hari tu saya terlupa nak borong roti banyak-banyak untuk awak.”
Nak buat apa?”
Stok makanan awak la. Dekat kampung ni susah sangat nak cari burger tengah-tengah malam tau. Kedai banyak tutup awal. Nanti kalau awak lapar malam-malam, siapa yang susah? Isteri awak juga yang terpaksa jalan jengket-jengket pergi ke dapur dan rebuskan telur untuk suami kesayangannya yang tak boleh makan nasi,” kata Apy Elina yang mengingatkan suaminya kenangan kali terakhir mereka balik kampung.
Cakaplah yang sebenarnya dia tu tak reti nak hidupkan api dapur,” balas Adam dengan nada menyindir.
Serentak dengan itu, Apy Elina yang tengah mengunyah makan itu tersedak. Menggagau tangannya mencapai secawan teh tarik yang tinggal suku sahaja. Adam bertindak pantas memberikan air kosong kepunyaannya.
Mak cik…” keluh Adam dengan menggeleng.
Saya bukan tak reti nak hidupkan api dapur tapi dapur mak saya tu memang anti dengan saya ni,” jawab Apy Elina cuba pertahankan diri.
Apa yang dia kata itu memang betul. Memang selama ini dia ada masalah dengan dapur emaknya yang sudah bertahun-tahun digunakan. Tiap kali dia hendak menggunakan dapur itu pasti api dapur tak menyala. Kalau menyala pun, hanya beberapa saat kemudian padam.
Alasan…” Dia mengambil peluang itu dengan mengambil pinggan yang tinggal sedikit roti canai dan diletakkan jauh daripada isterinya.
Saya nak makan lagi,” Apy cuba mengambil pinggannya itu tetapi Adam pantas mengambil air dan tuang ke atas roti canai itu.
Awak!” marahnya.
Dua pipinya serentak mengembung. Sengaja dikembongkan. Adam tahu sangat, itu antara cara isterinya membuat muka comel apabila dia tak dapat apa yang dia inginkan.
Nak makan lagi ke nak balik rumah sekarang?” tanya Adam seraya mencubit kedua-dua pipi isterinya.
Sakit!”
Cepat jawab.”
Okey. Okey. Kita balik rumah sekarang,” pantas Apy Elina menyerah diri. Semakin lama semakin kuat pula pipinya dibuat begitu.
Akhirnya Adam melepaskan kedua pipi isterinya setelah berpuas hati dengan jawapan isterinya. ApyElina masih merungut kesakitan. Inilah padahnya kalau suaminya sudah geram. Pipinya pasti akan menjadi sasaran.
Tengok, pipi saya dah gemuk sebab awak,” rungut Apy Elina dengan memegang kedua-dua pipinya.
Jom gerak sekarang,” Adam langsung tak peduli dengan rungutan itu.
Dia segera bangun dari duduknya dan menghulurkan tangan kepada isterinya. Tanpa berlengah lagi Apy Elina mencapai tangan suaminya. Kedua-duanya bergerak bersama-sama ke kaunter bayaran.
Apy!” satu jeritan penuh keterujaan menggegarkan restoran mamak itu.
Bukan sahaja pelanggan yang sedang makan tetapi Apy Elina juga terkejut apabila disapa dengan begitu kuat. Kelam-kabut Apy Elina dibuatnya. Dia memandang kiri kanan mencari empunya suara yang memanggil namanya tadi tetapi sekali lagi dia terkejut apabila dia dipeluk seseorang.
Oh Apy. I miss you so much!” ujar seorang wanita yang lebih kurang bayanya selepas puas memeluk.
Err…” Belum sempat Apy Elina hendak berkata-kata wanita itu memeluknya lagi.
Kali ini dia peluk dengan kuat sehingga boleh sesak nafas dibuatnya. Kali ini Apy Elina lantas meleraikan pelukan dan tersengih-sengih memandang wanita yang langsung tidak dikenali itu. Namun dia tak segera bertanya. Baginya kalau orang kampungnya menegurnya, mungkin mereka salah seorang kawan sepermainannya waktu kecil atau kawan yang pernah bersekolah dengannya. Jadi, dia hanya sengih.
Gembiranya aku dapat jumpa kau. Harap kau tak lupa aku kan?” wanita itu bertanya.
Apy Elina masih tersengih sekali dengan anggukkan. Sambil itu dia berdoa agar wanita itu tidak menyuruhnya meneka siapa gerangan orang itu. Memang dia tak dapat cam siapa gerangan orangnya.
Kau apa khabar sekarang?” tanya Apy Elina masih menyapa mesra.
Padahal dia sengaja bertanya supaya wanita itu tidak menyuruh meneka siapa orangnnya. Satu hal lagi hendak menggeledah kembali memori lamanya yang sudah mula hilang akibat perubahan hormon dan penambahan tahun.
Baik, sihat dan masih single,” jawab wanita itu sambil bercekak pinggang seperti mempamerkan badannya yang ramping dan tubuhnya yang masih bergetah lagi seperti anak dara... tua.
Ini suami kau ke?” tanya wanita itu.
Belum sempat Apy Elina hendak mengiyakan, wanita itu sudah terlebih dahulu memperkenalkan diri.
Hai, saya Fira, kawan baik Apy masa di sekolah,” ujar wanita itu sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman.
Fira? Apy Elina cuba menggeledah memorinya. Nama itu begitu asing dalam hidupnya seolah-olah dia tak pernah ada kawan bernama Fira atau dipanggil Fira. Memang dia yakin dia tiada kawan bernama Fira kerana di sekolah dahulu kawan perempuannya boleh dikira.
Hai, selamat berkenalan,” balas Adam tetapi tidak segera menyambut tangan itu. Namun tangan itu tetap dihulur seolah-olah memaksanya menyambut salaman itu.
Sorry, tangan kanan saya full,” balas Adam sambil mengangkat tangannya yang erat memegang tangan isterinya.
Takkan tak boleh lepaskan kot,” selamba sahaja wanita itu membalas. Tangannya itu masih dihulurkan.
Apy Elina di sebelah mula tak selesa. Dia mula rasa lain macam dengan wanita yang mengaku kenalnya itu. Tanpa berlengah lagi dia segera melepaskan tangan daripada pegangan suaminya dan menyambut tangan wanita bernama Fira itu. Terkejut Fira dibuatnya.
Aku sambut salam ni buat suami aku,” kata Apy Elina. Kesempatan itu diambil oleh Adam membayar makanan mereka tadi di kaunter yang tidak jauh dari situ.
Apa kau dah buat dengan suami kau tu sampai dia takut dengan bini?” tanya Fira selamba. Pedas. Macam sengaja nak buat Apy Elina terasa.
Namun, Apy Elina hanya membalas dengan senyuman. Tak ada maknanya dia hendak terasa dengan kata-kata perempuan itu. Itu namanya kata-kata terdesak oleh seseorang yang tak dapat apa yang dia dapat.
Err… aku nak balik dulu. Mak aku tengah tunggu kat rumah sekarang ni,” kata Apy Elina apabila melihat suaminya sudah selesai membayar. Namun, belum sempat dia hendak melangkah, Fira menarik tangannya.
Aku nak tumpang.”
Hah?”
Kau ni, dah lupa ke rumah aku tak jauh dari rumah kau. Tadi aku datang dengan adik aku, tapi sekarang entah ke mana dia pergi. Aku call tak jawab. Jadi, aku tumpang ya,” lantas wanita itu melangkah.
Ehhh… tak boleh,” lantas juga Apy Elina menarik wanita itu daripada terus mara menghampiri keretanya. “Kami ada hal sikit dan tak dapat nak tumpangkan kau. Jadi, kau balik sendiri ye,” ujar Apy Elina dan segera melangkah laju menghampiri masuk ke dalam keretanya.
Cepat pandu!” arah Apy Elina sebaik masuk dalam kereta apabila menyedari rakannya itu mengejarnya dari belakang.
Serentak dengan itu, suaminya segera memasukkan gear dan memandu meninggalkan kedai itu. Dari cermin kereta, Apy Elina melihat kelibat wanita tadi cuba mengejar keretanya.
Huh, gila betul minah tu,” keluhnya lega. “Awak, kita terus balik rumah jelah. Takut pula kalau terserempak dengan dia lagi.”
Bukan ke dia kawan awak?” tanya Adam.
Saya tak ada kawan macam tu.”
Habis tu macam mana dia kenal awak?”
Apy Elina mengangkat bahu. “Mungkin dia budak kampung sebelah.”
Tapi dia kata dia kawan sekolah awak.”
Huh, mengarut. Masa zaman sekolah hanya Nabila yang berani berkawan dengan saya. Kebanyakan pelajar perempuan yang lain anti dengan saya. Siap mereka diam-diam tubuhkan kelab ‘Kami benci Apy Elina’.”
Kenapa? Awak cantik sangat ke?”
Cantik tu satu hal. Comel pun satu hal. Tapi yang buat mereka anti sangat dengan saya sebab saya rapat dengan budak-budak lelaki yang menjadi jejaka pilihan diorang. Jadi, sila jangan cemburu,” balas Apy Elina dengan penuh bangga.
Adam mengeluh panjang. Baru sahaja dia ingin memerli isterinya tapi dia pula yang terkena. Hampir dia terlupa, isterinya itu memang tak teragak-agak untuk memuji diri sendiri.
Kenapa? Awak cemburu?” tanya Apy Elina.
Huh, tak heran. Suami awak ni lagi hebat. Abang boleh buat satu sekolah tunduk dengan abang. Tak kira lelaki atau perempuan,” balas Adam turut berbangga.
Sebab masa tu awak Adam Alexander!” Apy Elina menjeling tajam. Bercakap dengan suaminya memang dia takkan menang punya. Ada sahaja yang dibalas oleh suaminya.
Jadi, kita seri!” balas Adam.
Okeylah, seri pun serilah…” Apy Elina terpaksa mengalah.
Kereta yang dipandu oleh suaminya mula memasuki pekarangan rumahnya. Masuk sahaja, dia terpandang dua buah kereta turut diparkir di situ. Dia kenal kedua-dua kereta itu.
Serentak dengan itu, tubuhnya dilanda seram sejuk. Kemudian, dari dalam kereta dia melihat dua kelibat orang lelaki keluar dari rumahnya. Sekali lagi bulu romanya meremang.
Habislah…” suaranya tergetar-getar.
Kenapa?” tanya suaminya di sebelah apabila melihat si isteri seakan baru melihat hantu.
Perlahan-lahan Apy Elina memandang suaminya. Habislah. Dia sudah dapat bayangkan apa yang akan terjadi pada suaminya selepas ini. Dua abangnya itu pasti takkan lepaskan suaminya dengan mudah.
Pak cik, I love you. Walau apa pun saya tetap akan menyokong awak. Jadi, bertabahlah!”
Adam mengerut dahi. Apa hal pula ni?

2 si charming:

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Tak suka fira! Nyebok je dye. Apy and Adam sweet with their own way! Nak lagiiiii

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages