Seseorang untuk Dinikahi: Bab 7


Arissa mengukir senyuman gembira. Sejak tadi, senyumannya tidak pernah lekang dari bibirnya. Hidupnya umpama sang puteri yang disayangi oleh rakyat jelata. Dia tidak menyangka perjumpaan itu sengaja diatur oleh Melati yang ingin memberikan kejutan untuk majlis hari jadinya.
Sejujurnya, dia sendiri tidak perasan bahawa hari ini merupakan hari bersejarah dalam hidupnya. Dia dilahirkan ke dunia ini pada hari ini dalam 21 tahun yang lalu. Pada hari ini juga dia kehilangan ibunya 21 tahun yang lalu. Disebabkan itu dia tidak suka menyambut hari jadinya. Ini kali pertama, dia menghargai hari yang menjadi sejarah ini.
Malah, dia tidak menyangka Melati yang merancang semua ini masih ingat lagi janji yang mereka buat suatu ketika dahulu.
Aku tak sangka kau masih ingat janji aku dulu,” kata Arissa yang melihat gambar yang ditangkap ketika dia sedang memotong kek.
Bukan ke aku dah kata, aku akan tuntut janji tu,” ujar Melati.

Dah 21 tahun. Aku tak percaya. Aku tak pernah terfikir nak sambut hari jadi aku sejak aku dapat tahu yang mama aku meninggal dunia selepas melahirkan aku. Menyambut hari jadi membuat aku rasa macam merayaikan hari pemergiannya.”
Kau marahkan aku ke sebab rancang semua ni?” soal Melati. “Kalau kau marah, maaflah ya.”
Kenapa aku perlu marah sedangkan kau dah buat sesuatu yang terbaik untuk aku?” balas Arissa dengan senyuman manis. “Memang aku benci sambut hari lahir tapi bila difikir balik aku tak boleh jadi macam ni selamanya. Aku perlu berubah dan memikirkannya dari sudut positif. Lagipun bila aku tengok kawan-kawan sekolah yang datang sini semata-mata nak support aku... aku rasa terharu,” tambah Arissa lagi.
Kami sentiasa ada bersama kau sebab kaulah ketua kelas yang paling cool di dunia!”
Cool la sangat,” ketawa Arissa mendengarnya.
Kemudian, dia mengalihkan pandangannya ke arah Aidil yang sedang berbual-bual dengan rakan-rakan lelaki yang lain. Rasanya macam tidak percaya apabila melihat kebanyakan rakan-rakan sekolahnya sudah pun membawa haluan sendiri.
Ada yang masih belajar. Ada yang sudah berkahwin. Ada yang memulakan perniagaan sendiri seperti Melati. Masing-masing ada cerita tersendiri. Walaupun tidak sampai dua jam dia bertemu dengan rakan-rakan sekelasnya tapi dia dapat mengumpul banyak perihal tentang mereka. Cuma seorang sahaja dia masih lagi tidak berani ingin menyapa.
Aidil.
Dah lama ke kau kenal Nazwan tu?” tanya Melati tiba-tiba.
Kenapa kau tanya macam tu?” tanya Arissa sekali gus mengalih perhatiannya.
Tak adalah. Aku tengok macam dah lama je kau kawan dengan dia.”
Memang pun. Sejak aku berpindah ke Kuala Lumpur masa Tingkatan 3, aku dah kenal dia. Dia tinggal di sebelah rumah aku. Kebetulan papa aku memang baik dengan keluarga nenek dia. Jadi, kami selalu berjumpa. Dia juga satu universiti dengan aku,” terang Arissa secara ringkas.
Takkan kau tak ada apa-apa dengan dia?” tanya Melati.
Pertanyaan Melati itu membuatkan Arissa ketawa terbahak-bahak.
Aku dengan Nazwan?” Dia ketawa lagi.
Lucu sangat ke?”
Memang lucu. Aku tak tahu macam mana nak terangkan tapi pendek kata, kami dari dunia yang berbeza,” terang Arissa. “Dia ada dunianya dan aku ada dunia aku. Aku tak dapat bayangkan kalau dunia kami bertembung. Mungkin hidup aku akan jadi hura-hara. Entah. Susah nak cakap. Lebih baik kami begini.”
Mmm... mungkin aku tersilap tengok apa yang berlaku tadi,” ujar Melati agak kecewa.
Tengok? Tengok apa?” tanya Arissa.
Masa dia pujuk kau tadi...,” kata-kata Melati terhenti apabila menyedari ada seseorang berdiri di tepi meja mereka. Masing-masing mendongak dan tidak menduga kehadiran Aidil itu.
Arissa lebih menggelabah apabila Aidil kini berada di hadapannya. Dia tidak tahu apa yang patut dilakukannya apabila Melati sengaja memberikan ruang kepada Aidil dengan meminta diri berlalu dari situ.
Kini, hanya dia dengan Aidil. Duduk berdua-duaan walaupun masih ramai lagi yang berada di kawasan kolam renang itu. Kekuatan Arissa yang selama ini berani menghadapi setiap lelaki yang diburunya, kini hilang dengan tiba-tiba. Dia jadi buntu. Tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan Aidil.
Err... saya minta maaf tentang siang tadi. Saya tak sangka... awak dah banyak berubah,” ujar Aidil memulakan bicara. Mendengar Aidil bersuara, barulah Arissa ada sedikit kekuatan hendak bertentangan mata dengan Aidil.
Nampak sangat ke saya berubah banyak?” tanya Arissa memberanikan diri bertanya.
Aidil mengangguk.
Serius. Saya memang langsung tak kenal awak tadi. Macam mana awak boleh jadi...,” Aidil tidak meneruskan pertanyaan itu tapi Arissa dapat meneka apa yang ingin ditanya oleh Aidil.
Saya jadi kurus macam ni?” tanya Arissa. “Saya sendiri kurang pasti tapi rasanya sebab saya terlampau banyak sangat ke hulu ke hilir kejar lelaki untuk dijadikan boyfriend,” jawab Arissa selamba.
Hah?”
Saya gurau,” kata Arissa. “Tapi sejujurnya ada kena mengena dengan lelaki. Pertama kali saya bersekolah di Kuala Lumpur, saya ada suka seorang lelaki tu. Saya luahkan perasaan padanya. Dia kata dia hanya akan terima saya apabila saya dapat turunkan berat badan dalam masa 3 bulan. Saya boleh dikatakan berjaya tapi malangnya dia dah ada teman wanita.”
Okey...,” Aidil mengangguk faham. “Tentang apa yang awak kata siang tadi....”
Memang betul,” jawab Arissa. “Saya sukakan awak sejak kita Tingkatan 1 lagi. Tapi masa saya nak luahkan perasaan saya, awak dah ada teman wanita lain. Sekarang, bila saya dapat tahu awak masih single, saya datang untuk pikat awak semula,” ujar Arissa meluahkan tanpa berkias-kias lagi.
Wau,” Aidil kelihatan tidak terkata. Barangkali terkejut dengan kenyataan Arissa itu.
Saya tahu. Saya memang seorang yang lebih suka berterus terang tentang perasaan saya. Saya tak kisah apa yang orang nak cakap pasal saya. Asalkan saya tahu apa yang saya buat,” terang Arissa lagi.
Saya faham,” jawab Aidil. “Sebenarnya, saya pun ada sesuatu nak beritahu awak.”
Berita baik ke?” tanya Arissa tersenyum.
Mungkin. Awak tahu tak kenapa saya berada di sini?”
Ohh... saya mula terperasan yang awak sengaja datang sebab nak jumpa saya,” ujar Arissa mula menggedik.
Tak,” balas Aidil menafikannya.
Aduh, hancur hati saya,” ujar Arissa menyembam muka pada meja.
Aidil sekadar mengukir senyuman. Senyuman Aidil sedikit sebanyak membuatkan dia kembali mengangkat kepala dan menghadap Aidil dengan senyuman.
Saya sengaja datang sini sebab selain nak jumpa rakan-rakan sekolah yang dah lama tak jumpa, saya juga nak bercuti tenangkan diri di sini,” ujar Aidil memberitahu tujuan sebenarnya.
Awak ada masalah?”
Pada mulanya tapi selepas berjumpa dengan awak, saya rasa saya tahu apa yang patut saya buat,” ujar Aidil lagi. Arissa mengerut dahi. Kurang faham. “Masa mula-mula kita berjumpa siang tadi, awak buat saya rasa tercabar bila awak berterus-terang depan saya yang awak sukakan saya. Sama juga macam awak luahkan tadi.”
Ohhh... jadi itu maknanya... awak masih single tapi not available?” teka Arissa.
Aidil sekali lagi mengukir senyuman.
Ohh... melepas...” ujar Arissa kembali menyembam muka ke atas meja.

***

Jadi, awak jatuh cinta dengan tomboy. Disebabkan dia tu kasar dan selalu cari pasal dengan awak, jadi awak takut nak luahkan perasaan padanya,” kata Arissa yang mengulang kembali secara ringkas apa yang diceritakan oleh Aidil tadi kepadanya.
Mmm...,” Aidil mengangguk.
Arissa mengambil keputusan untuk berjalan-jalan di pantai bersama-sama Aidil sambil mendengar masalah cinta Aidil. Walaupun dia berasa kecewa apabila Aidil sudah mempunyai seseorang untuk dicintai tetapi Arissa tetap melahirkan rasa simpati terhadap apa yang dialami oleh Aidil. Dia tidak sangka, lelaki yang dia rasa sempurna juga mempunyai kelemahan. Dan kelemahan Aidil adalah takut meluahkan perasaan cinta terhadap perempuan yang dicintai.
Dia lain sikit. Bila saya dengan dia, dia lebih menonjol sebagai lelaki. Memang dilema kalau bersama dengannya tapi....”
Tapi awak tetap sukakan dia walau siapa pun dia?” teka Arissa.
Aidil mengangguk.
Dia pula macam mana?” tanya Arissa.
Macam biasa. Mungkin dia anggap saya sebagai kawan,” keluh Aidil.
Macam saya cakap tadi, awak takkan tahu apa perasaannya kalau awak masih takut nak luahkan perasaan. Saya tahu, kebanyakan orang lebih suka memendam perasaan dan berharap sesuatu keajaiban berlaku pada sesebuah hubungan tapi tak semua akan mengalami nasib yang sama. Contohnya macam saya, saya beritahu awak secara terang-terang yang saya sukakan awak. Awak tolak saya mentah-mentah. Walaupun saya agak kecewa, tapi sekurang-kurangnya saya tak perlu bazirkan masa saya dengan buat sesuatu yang bodoh semata-mata nak ambil perhatian awak,” terang Arissa.
Tapi tak semua orang seberani awak,” balas Aidil.
Mmm... betul juga. Setiap orang ada keberaniannya yang tersendiri. Tapi, saya nak tanya awak, apa yang awak dapat kalau awak masih memendam perasaan?” tanya Arissa.
Kedengaran keluhan berat daripada Aidil.
Arissa membuka mulut untuk bersuara lagi tetapi tidak berbuat demikian apabila terdengar sesuatu di hadapan mereka. Suasana pantai yang malap menyukarkan dia melihat dengan jelas.
Bunyi apa tu?” tanya Arissa.
Mereka berjalan ke hadapan, ke arah unggun api yang dihidupkan di tempat yang agak tersorok. Selama beberapa minit mereka berjalan, akhirnya Arissa dapat mendengar dan melihat dengan jelas. Terdapat dalam 10 orang lelaki sedang melompat-lompat keriangan.
Macam orang mabuk je,” kata Arissa.
Bukan macam tapi dah memang mabuk pun. Jom pergi dari sini,” ajak Aidil yang mula rasa tidak sedap hati.
Arissa tidak membantah. Namun, sebaik sahaja mereka berpaling ingin berpatah balik, mereka dikejutkan dengan kehadiran dua orang lelaki yang berdiri tidak betul. Di tangan mereka terdapat botol arak yang tinggal sedikit air di dalamnya.
Ee...,” Arissa menutup hidungnya yang tidak selesa dengan bau arak itu.
Hai cik adik,” sapa si pemabuk yang menghalang pergerakan mereka. Salah seorang daripada mereka menarik tangan Arissa, tanpa berlengah lagi Arissa menolaknya dengan kasar.
Perempuan tak guna!” ujar seorang lagi pemuda yang mabuk itu sambil membaling botol kaca ke arah Arissa.
Arissa yang terkejut itu tidak sempat melarikan. Dia hanya mampu melindungi dirinya dengan membelakangkan tubuhnya dan menanti dihentam oleh botol kaca itu.
Arissa!” suara Aidil kedengaran. Arissa tidak tahu apa telah berlaku seterusnya, sedar-sedar sahaja dia menyedari Aidil melindungnya daripada dihentam botol kaca itu.
Aidil!” jerit Arissa apabila ternampak kesan darah pada kepala Aidil yang terkena balingan botol kaca tadi. Tanpa berlengah lagi, Arissa pantas mencapai handsetnya dan mendail nombor telefon Nazwan.
Baru beberapa deringan, panggilannya disambut. Tanpa mukadimah, Arissa lantas bersuara, “Nazwan! Tolong aku. Tolong aku... Aidil... dia...,” Arissa tidak dapat meneruskan perbualannya apabila salah seseorang daripada rakan mereka yang dilihatnya dari unggun api tadi sudah menghampiri mereka dan menarik lengannya dengan kasar.
Arghhh!! Lepaslah...!” bentak Arissa garang. Serentak itu, handsetnya dirampas dan dipijak oleh sekumpulan pemuda mabuk itu dengan kasar.
Arissa semakin takut. Lagi takut apabila dia melihat Aidil sudah tidak sedarkan diri dengan darah pekat mengalir keluar. Pemuda-pemuda yang mabuk itu pula semakin semakin hilang sifat kemanusiaan mereka.

***

Nazwan bergegas mengambil lif turun ke tingkat bawah. Sambil menunggu lif turun ke bawah, sambil itulah dia mendail nombor telefon Arissa. Panggilan tidak dapat disambungkan. Dia mula risau akan sesuatu yang buruk terjadi terhadap Arissa.
Terbuka sahaja pintu lif, Nazwan berlalu keluar dan menghala ke kolam renang. Kelihatan, beberapa petugas resort sedang mengemas sekitar kawasan itu. Itu menunjukkan bahawa perjumpaan itu sudah berakhir. Matanya meliar mencari seseorang yang dia kenal dan akhirnya dia ternampak Melati yang turut menolong pekerja-pekerjanya mengemas tempat itu. Tanpa berlengah lagi dia terus mendapatkan Melati.
Nampak Arissa?” tanya Nazwan.
Ah, Nazwan. Awak buat saya terkejut,” keluh Melati sambil mengurut dada.
Nampak Arissa tak?” tanya Nazwan.
Err... dia kata dia nak jalan-jalan dengan Aidil dekat pantai,” kata Melati.
Pantai?” Tanpa berlengah lagi Nazwan segera berlari keluar menuju ke pantai.
Hei! Kenapa?” Melati turut mengejar Nazwan.
Kalau Nazwan tergesa-gesa macam orang gila mencari Arissa, sudah tentu ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Akhirnya dalam masa beberapa minit mereka tiba di pantai. Keadaan pantai agak kelam dan sunyi. Hanya kedengaran bunyi ombak menghempas pantai.
Mana dia pergi?” tanya Nazwan memandang sekeliling. Tiada langsung kelibat orang di pantai.
Kenapa dengan Arissa?” tanya Melati separuh nafas. Mengejar Nazwan hampir membuatkan dia semput.
Apa tu?” tanya Nazwan yang terlihat cahaya seperti cahaya unggun api yang terselindung sedikit dari pantai itu. Tanpa berlengah lagi dia segera berlari ke sana. Melati yang baru sahaja hendak menghirup udara, terpaksa berlari mengejar Nazwan yang pantas ke hadapan.
Arrghhh!!!” kedengaran jeritan perempuan sebaik sahaja Nazwan semakin hampir ke arah cahaya tadi.
Arissa!!” Dia kenal suara itu. Larian Nazwan semakin laju dan akhirnya dia dapat melihat lebih 10 orang pemuda sedang berkerumum menghadap sesuatu. Dan suara jeritan Arissa semakin jelas kedengaran.

***

Arissa memeluk tubuhnya. Dia buntu bagaimana hendak menyelamatkan diri. Semua pemuda mabuk tadi sudah pun mengepungnya. Dia tidak mampu melepasi kepungan mereka. Mereka bagaikan zombie yang bila-bila akan menerkam mangsa mereka tanpa belas kasihan. Walaupun mereka mabuk tapi tenaga kelakian mereka masih kuat.
Arissa!!” tiba-tiba terdengar satu suara memanggilnya.
Nazwan?” Arissa berharap dia tidak bermimpi.
Arissa!!” panggil suara itu lagi.
Sah! Itu suara Nazwan.
Nazwan!” serentak itu, keberaniannya datang. Arissa lantas menghampiri seorang daripada mereka dan menyepak celah kangkang lelaki itu sehingga pemuda itu tumbang. Namun, rakan-rakan pemuda itu mula bertindak lagi ganas apabila mula memegangnya secara kasar.
Arissa cuba melepaskan diri tapi belum sempat dia hendak menyepak senjata sulit lelaki itu, lelaki itu sudah pun jatuh ditumbuk oleh Nazwan. Kehadiran Nazwan bagaikan hero itu membuatkan Arissa terpukau.
Arissa... kau tak apa-apa?” sapa Melati kepada Arissa.
Arissa tidak menjawab sebaliknya matanya tidak berkelip melihat Nazwan menewaskan pemuda yang mabuk itu. Walaupun mereka mabuk tapi mereka tetap agresif melawan Nazwan. Bagaimanapun Nazwan yang pernah mempelajari karate di sekolah dahulu, mematahkan setiap serangan mereka.
Melati,” sapa Arissa yang masih terlepas memandang Nazwan. “Aku rasa aku nak tarik balik apa yang aku cakap tadi.”
Mmm?” Melati tidak tahu apa yang dimaksudkan oleh Arissa.
Mungkin dunia aku akan hura-hara selepas ni,” ujar Arissa sambil mengukir senyuman melihat Nazwan menewaskan kesemua pemuda mabuk yang menganggu dirinya tadi. 

7 si charming:

  1. IzZ berkata...:

    yeahhhhh!!hero da mai..haha

  1. Unknown berkata...:

    Yeay..arissa dah setahu siapa yg hrs dia pilih..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    wah!! cool ar nazwan.. hehe..
    rase2 arissa dh start nk gedik dgn nazwan.. haha..

  1. Suha berkata...:

    haha clap2 ^^

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Jeng jeng ... Next please . Hoho

  1. MizaEija berkata...:

    )oohh... ingat Aidil yg jahat... ngeeee =D

  1. qiqi tembam berkata...:

    alahai arissa,dh mula jtuh hti kt si nazwan erk!!

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages