Romeo yang Hilang: Bab 6 & Bab 7


PAGI itu agak berbeza berbanding dengan hari-hari biasa apabila dia dikejutkan dengan bunyi kicauan burung dan kokokkan ayam yang tidak henti-henti sejak awal pagi tadi. Bagaikan burung dan ayam-ayam tidak cemburu apabila dia dapat tidur dengan nyenyak. Sedar-sedar sahaja dia mendapati tiada orang di sisinya.
Lantas dia mencapai jam tangannya yang diletakkan di atas meja bersebelahan katilnya memandangkan jam yang tergantung di dinding dalam bilik itu sudah bertahun-tahun lamanya tidak beroperasi. Merajuk kata emaknya, sebab tuannya sudah jarang balik ke rumah itu. Padahal dia tahu sangat yang emaknya sedang memerlinya yang sudah lama tidak jejak kaki ke tanah kelahirannya itu.

Jam sudah menunjukkan pukul 7.00 pagi. 7.00 pagi! Jerit hatinya bercampur bengang dengan burung dan ayam-ayam seangkatan dengannya. Kalau diikutkan, selepas sembahyang subuh tadi, dia hanya tidur lebih kurang satu jam setengah tetapi angkatan ayam-ayam di sekeliling rumahnya sudah memberi isyarat bagaikan dia sudah terlambat untuk mengerjakan solat Zuhur. Langsung tak benarkan dia tidur lebih masa.
Namun, dia tetap beralah. Itu pun sebab menyedari suaminya tiada di sebelahnya. Lagi-lagi apabila teringatkan dua orang abangnya turut pulang, bertambah dia cemas dan bangun dari katilnya.
Kalau seorang abangnya pulang, dia tak takut sangat tapi kalau dua-dua pulang ke kampung sehelai sepinggang tanpa bawa kakak-kakak ipar dan anak-anak buahnya, itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena yang pastinya kedua-dua mereka sedang merancang sesuatu yang besar. Oleh itu, dia perlu jadi penentang secara besar-besaran juga.
Bukannya dia tidak kenal kedua-dua abangnya itu. Mereka pembuli nombor satu. Mereka jugalah antara penyebab kenapa dia tidak gentar dengan lelaki. Sejak lahir lagi dia sudah dibesarkan dengan didikan gerila oleh kedua-dua abangnya. Dia terpaksa menahan serangan buli daripada mereka berdua seorang diri.
Walaupun dia ada seorang kakak tetapi kakaknya sendiri tak dapat menolongnya daripada terus dibuli oleh abang sendiri. Jadi, hasilnya, dia membesar tanpa gentar berhadapan dengan lelaki. Dan disebabkan itu jugalah dia ramai kawan lelaki berbanding perempuan.
Baru sahaja dia hendak keluar dari bilik, dia terlihat suaminya sedang bercakap dengan seseorang melalui telefon bimbit. Apy Elina mengeluh lega apabila melihat suaminya selamat daripada dibuli abang-abangnya. Dari jendela tingkap, dia mengintai setiap pergerakan suaminya.
Adam Alexander atau Muhammad Adam, itulah suaminya. Kadangkala bila dia tengok suaminya itu, dia tidak percaya yang dia sudah menjadi isteri Adam Alexander. Mana tidaknya, pertama kali dia jumpa Adam, dia tak pernah terfikir hubungan mereka akan sampai ke jinjang pelamin.
Sedikit pun tak pernah. Tambah lagi dia memang anti dengan perangai Adam yang sentiasa menyakitkan hatinya. Tapi, orang kata bila dah jatuh benci mesti jatuh sayang. Namun, bukan dia seorang saja yang tak percaya. Ramai lagi yang tak percaya terutamanya Nabila.
Aku nak kau jawab dengan jujur. Sejak bila kau berkawan rapat dengan Alex? Bila korang berdua dating buat kali pertama? Macam mana dia lamar kau jadi teman wanita dia?” soal Nabila bertubi-tubi suatu ketika dahulu. Dia ingat lagi Nabila menyoal selidik hubungannya dengan Adam selepas Nabila sendiri tak dapat hidu bilakah hubungan ini berkembang.
Aku tak tahu. Yang aku tahu, 5 tahun yang lalu dia lamar aku tapi aku baru tahu yang dia lamar aku lima tahun kemudian. Itu saja,” jawabnya.
Kau. Dah. Gila!” Itu reaksi Nabila yang masih dia ingat lagi.
Berbanding aku, Adam lagi gila sebab berani lamar anak dara orang pakai bola.”
Korang memang pasangan yang gila.”
Dia ketawa keseorangan apabila teringatkan perbualan dua tahun dulu. Sehinggakan sampai sekarang juga Nabila masih tidak percaya dengan hubungan itu. Bagaimana pun Apy Elina tidak kisah dengan tanggapan orang lain. Mungkin di mata orang, dia nampak seperti wanita yang tak matang dan kebudak-budakkan tetapi menurut suaminya, ada kalanya dia seorang yang garang dan kuat membebel.
Sekali lagi dia ketawa keseorangan.
Apa yang lucu sangat tu?” sergah satu suara dari belakang. Serta-merta dia tersentak. Lantas dia berpaling ke belakang.
Along! Lain kali bagi salam dulu,” diurut dadanya yang berdegup kencang. Mujurlah jantungnya tak meloncat keluar.
Kenapa kau gelak sorang-sorang tadi? Ada lembu berenang kuak lentang kat parit ke?” tanya abang sulungnya yang lebih mesra dipanggil Along.
Umur abang sulungnya dah hampir masuk 40 tahun tapi perangainya masih tahap belasan tahun. Kalau dilayan, umpama melayan kanak-kanak rebina yang terlampau aktif. Tak terlayan dibuatnya. Mungkin disebabkan perangai happy go lucky itu, Alongnya nampak lebih muda daripada umur sebenarnya. Bukan setakat Alongnya saja, Angahnya pun sama.
Ohhh… rupanya ada alien yang kacak di sana,” kata Along yang sudah berada di sebelahnya.
Boleh tak jangan kacau orang? Orang tak ada moodlah nak bertekak dengan Along pagi-pagi ni,” dia menolak Alongnya ke tepi.
Mmm… agak-agak dia telefon siapa ye?” Along sudah buka soalan yang membakar hatinya.
Dia boleh telefon sesiapa yang dia suka,” jawab Apy Elina cuba menyedapkan hati.
Tapi sebenarnya bila Along dia bertanya soalan itu tadi, dia mula terfikir soalan itu. Dengan siapa pula pak cik itu sedang bercakap sekarang? Lama pula tu. Nampak macam serius. Perempuankah?
Entah-entah…”
Kalau perempuan pun apa masalahnya. Dia lelaki. Lelaki boleh kahwin empat. Kalau Along nak kahwin empat pun boleh tapi malangnya Along ada isteri yang garang macam singa. Huh!”
Cepat-cepat Apy Elina mengatur langkah berlalu dari situ. Dia perlu larikan diri daripada Along. Kalau tidak, macam-macam spekulasi yang cuba ditimbulkan oleh abang sulungnya itu.
Kakinya laju menyarung kasut dan mengatur langkah menghampiri suaminya yang masih berbual dengan seseorang. Dari jauh dia cuba memasang telinga. Namun, hampa apabila suaminya bercakap dalam bahasa Mandarin yang dia tidak fahami. Perlahan-lahan dia mendekati suaminya dengan muka masam kerana gagal memahami setiap bait perbualan suaminya itu.
Apabila kehadirannya disedari, suaminya hanya menghadiahkan senyuman dan sambung berbual. Namun, hanya sekejap. Selepas beberapa minit, perbualan itu ditamatkan.
Sorry, ofis ada masalah sikit,” ujar Adam tanpa ditanya.
Serius sangat ke?” tanya Apy Elina pula teruja.
Mana tahukan dia boleh jadikan alasan itu untuk balik ke Kuala Lumpur semula dan sekali gus dapat mengelak daripada abang-abangnya yang merancang sesuatu.
Mmm… tapi boleh dikawal lagi. Lagipun, buat apa ambil diorang bekerja kalau tak boleh selesaikan masalah macam ni,” ujar Adam.
Apy Elina mengangguk. Dia akhirnya terfikir bahawa alasan ada masalah timbul di ofis suaminya takkan berjaya bawa mereka keluar dari rumah itu. Ini kerana emaknya, walaupun bukan seorang usahawan tapi otak emaknya serupa macam usahawan berjaya. Pasti emaknya akan fikir macam suaminya fikir tadi.
Apy Elina mengeluh pendek. Bila tersepit antara keluarga dengan suami sekali gus membuatkan dia tak bersemangat.
Kenapa pula ni?” tanya Adam yang menyedari isterinya kelihatan tak bersemangat.
Tak ada apa,” pantas Apy Elina menafikannya.
Takkan teringin nak makan roti canai lagi?” teka Adam.
Perlahan-lahan bibir Apy mengukir senyuman.
Boleh ke?”
Jangan harap. Lepas ni kena berpuasa daripada makan roti canai selama sebulan!”
Hah?” serentak itu kedua pipinya sengaja dikembungkan.
Tu… pipi tu nak kena cubit ke?”
Lantas Apy Elina meletakkan kedua tangan melindungi pipinya daripada dicubit lagi. Kalau cubit manja-manja, dia tak kisah sangat tapi suaminya itu selalunya cubit geram. Boleh rosak pipinya kalau selalu dicubit begitu.
Hah, baru saya teringat! Perempuan semalam yang tegur saya tu… dia tulah yang tubuhkan kelab Kami Benci Apy Elina di sekolah dulu! Dia tu kipas-angin-susah-mati Daniel dulu. Jadi, dia fikir saya ni pesaing utamanya merebut cinta Daniel dan sebab tulah dia wujudkan kelab anti Apy Elina!”
Wah, barulah abang tahu isteri abang ni memang hebat,” ujar Adam sambil bertepuk tangan.
Itu tak lain tak bukan nak perli orang la tu,” Apy Elina menjeling tajam.
Musuh sendiri pun boleh lupa.”
Saya bukan lupalah. Saya sengaja lupakan. Apa faedahnya ingat pada musuh sendiri. Lagi satu, dia yang nak bermusuh dengan saya masa tu. Saya cuma buat hal saya saja. Daripada memikirkan hal musuh sendiri yang sudah tentu boleh menyakitkan hati lebih baik saya tumpukan pada perkara yang boleh buat saya gembira. Tapi berbanding dengan kes saya, kes awak lagi teruk. Dah tangkap curi gambar bakal isteri sendiri tapi tak ingat pula. Entah-entah dia sengaja buat-buat tak ingat!”
Mak cik, nampak tak burung tu?” tanya Adam sambil tunjuk ke arah burung-burung yang berterbangan di langit.
Kenapa?” tanya Apy Elina.
Itu mesti tak lain dan tak bukan hendak tukar topik lagi. Pelik juga. Dia perasan suaminya itu pasti akan tukar topik apabila dia ungkit pasal gambar-gambar yang dijumpainya tempoh hari. 
Tadi burung tu duduk di atas wayar kabel tu tapi dia cepat-cepat dia terbang.”
Hah? Ye ke? Kenapa? Apa dah berlaku?” tanya Apy Elina cemas.
Mungkin dia tak tahan dengar seorang mak cik membebel pagi-pagi yang indah permai macam ni,” jawab Adam selamba dan segera mengangkat kaki berlalu dari situ meninggalkan isterinya yang masih terpingga-pingga.
Lama Apy Elina berfikir cuba memproses kata-kata suaminya tadi. Maklumlah pagi-pagi begini memang otaknya lambat berhubung.
Pak cik!” jeritnya tak puas hati setelah berjaya memproses kata-kata suaminya tadi. Lantas dia mengejar suaminya.
Saya merajuk, cepat pujuk saya dengan roti canai lima keping!”
Macamlah orang peduli sangat,” balas Adam langsung tak ambil pusing.
Eee… memang tak ada perasaan langsunglah awak ni,” rungut Apy Elina, mengekori langkah suaminya masuk ke dalam rumah.
Hah,” sergah Puan Fatimah sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke rumah. “Korang berdua ni pergi mana?”
Mana ada ke mana. Hirup udara segar di luar tu saja. Bukannya senang nak dapat udara segar macam ni di KL,” jawab Apy, kecut perutnya apabila disergah sebegitu. Mujurlah jantungnya masih kuat.
Hah, tahu pun tapi itu pun liat nak balik rumah sendiri. Bila dah balik rumah, boleh pulak keluar awal pagi dengan tak mandi, tak gosok gigi. Kalau orang kampung nampak, bukan saja satu kampung mengata tapi kampung sebelah pun mengata. Dahlah diorang tu suka sangat bergosip pasal kau.”
Ye ke? Alhamdulillah. Banyak betul pahala yang Apy dapat,” balas Apy Elina yang sudah lali dengan leteran emaknya itu.
Orang cakap menjawab. Dah, mak ada sediakan nasi goreng tu. Sebelum makan jangan lupa gosok gigi dulu!”
Nasi goreng...” kata Apy Elina, tersenyum memandang suaminya. “atau lima keping roti canai?” ujar Apy Elina perlahan sambil mengangkat tangan kanannya dengan meluruskan jari kelinkingnya seolah-olah cuba membuat tawar menawar dengan suaminya.
Adam mengeluh kecil. Sememangnya dia tiada pilihan lain. Kalau dia berdegil, dia kena makan nasi goreng itu. Akhirnya jari kelinkingnya mencapai jari kelinking isterinya. Apa boleh buat, isterinya memang handal dalam mengelak daripada babak kena paksa makan nasi.


APY ELINA memandang kiri dan kanan, mencari suaminya yang hilang tiba-tiba. Baru seminit tadi, suaminya berdiri di sebelahnya. Selepas sahaja dia bayar harga ayam tadi, Adam sudah hilang entah ke mana. Melilau matanya mencari di mana suaminya berada. Dengan ketinggian yang tidak sebeberapa menyebabkan dia terjengket-jengket meredah orang ramai di pasar siang itu.
Sungguhpun suaminya tinggi macam galah tapi dia yang pendek memang sukar hendak melihat sekeliling. Lagi-lagi bila dia dikelilingi orang ramai yang lebih tinggi daripadanya. Apy Elina mula cemas apabila gagal mencari suaminya.
Apy Elina mula berfikir yang bukan-bukan. Mustahil diculik. Suaminya bukan setakat ada tali pinggang hitam, semua jenis seni pertahanan diri yang berwarna-warni dia ada. Ghaib ke dunia lain? Itu lagilah mustahil. Walaupun dia layan cerita Power Rangers yang terang-terang penipu punya cerita tetapi dia memang sukar hendak percaya adanya dunia lain.
Memandangkan dia tak berjaya mencari suaminya dengan terjengket-jengket dan meredah orang ramai, akhirnya dia mengambil keputusan untuk menelefon suaminya. Mujurlah dia tak suruh suaminya pegang handsetnya tadi. Kalau tidak satu hal lagi hendak menghubungi dalam keadaan begini.
Namun baru sahaja dia hendak menghubungi suaminya, matanya akhirnya menangkap kelibat suaminya yang sedang membelakangkannya, berbual dengan seseorang. Dia yakin daripada baju dan seluar yang lelaki itu pakai, itu adalah suaminya. Namun, dia berasa hairan apabila melihat suaminya sedang berbual mesra dengan seorang lelaki yang dalam lingkungan akhir 50an.
Tanpa berlengah lagi dia segera melangkah menghampiri mereka. Ketika dia sampai di sebelah suaminya, mereka masih lagi berbual dengan lancar seolah-olah tak menyedari kehadirannya di sebelah. Bengang apabila tidak dipedulikan, Apy Elina berdehem kecil. Ketika itulah baru mereka berdua menyedari kehadirannya.
Ah, lupa pula. Kenalkan ini isteri saya, Apy Elina,” Adam cepat-cepat memperkenalkan isterinya kepada lelaki itu.
Siapa?” tanya Apy Elina tidak sabar lagi hendak mengetahui siapa gerangan orangnya.
Setahunya lelaki itu bukan orang kampungnya atau pekan di sini. Lagipun, Adam mengenalnya. Pastinya lelaki itu bukan orang sini.
Dr. Omar, dia kawan baik mama dan merangkap doktor peribadi keluarga kami,” jelas Adam.
Oh… Apa khabar. Akhirnya saya dapat jumpa juga dengan doktor,” Apy Elina terus menyapa.
Dia pernah dengar tentang Dr. Omar yang banyak menolong keluarga suaminya. Tolong dari segi apa, dia tak pasti. Tapi kalau dah namanya doktor, pastilah berkenaan dengan kesihatan.
Baik. Alhamdulillah,” jawab Dr. Omar dengan mesra. “Tak sangka, dia lagi cantik berbanding dalam gambar,” puji Dr. Omar.
Adam hanya tersenyum. Apy Elina pula sudah tersipu-sipu malu. Maklumlah, bukan senang hendak dipuji sebagai wanita yang cantik. Hendak harapkan suami sendiri… punyalah banyak berkias. Itulah Adam. Memang susah hendak puji isteri sendiri.
Habislah, dia dah mula perasan. Dia ni pantang kena puji sikit. Bila kena puji, mulalah perangai gedik dia tu,” Adam menjeling tajam.
Awak ni janganlah malukan isteri sendiri,” kata Apy Elina dengan geram seraya mencubit lengan suaminya. Menyedari kelakuannya itu dilihat Dr. Omar, sekali lagi dia berasa malu. Lantas dia cuba menukar tajuk perbualan.
Hah, baguslah doktor ada di sini. Senanglah nanti saya nak hubungi doktor kalau ada orang tu kena paksa makan nasi. Pagi tadi pun dia nyaris kena makan nasi. Mujurlah dia ada isteri yang prihatin dan pandai putar belit cerita. Tapi malangnya, isterinya dah berdosa sebab tipu ibu sendiri…” keluh Apy Elina seakan cuba meraih rasa simpati.
Dr. Omar ketawa seakan cuba menceriakan suasana. Adam pula memandang isterinya seperti hendak cari gaduh saja. Namun, Apy Elina langsung tak pedulikan suaminya.
Fobianya terhadap nasi masih lagi tak hilang,” kata Dr. Omar seraya dengan tawaan.
Fobia? Bukan dia tak boleh makan nasi sejak lahir ke?” soal Apy Elina mula sangsi.
Err… ya. Maksud saya itulah,” balas Dr. Omar teragak-agak.
Nadanya seperti sedang menyembunyikan kebenaran. Macam ada sebab lain kenapa suaminya tidak boleh makan nasi. Kalau ada pun, kenapa perlu disembunyikan?
Apy Elina ingin bertanya tetapi belum sempat dia hendak membuka mulut, Dr. Omar terlebih dahulu meminta diri untuk pulang. Kali ini tingkah laku Dr. Omar seakan cuba mengelak daripada disoal. Laju sahaja dia meminta diri. Jalan pun macam hendak kejar kereta api yang hendak bertolak.
Ada sesuatu yang saya tak tahu ke tentang awak?” tanya Apy Elina terus menyoal suaminya. Mustahil suaminya tidak perasan dengan tingkah laku Dr. Omar yang seakan cuba mengelak daripada ditanya tadi.
Apa dia?” tanya suaminya, seperti biasa, seakan tidak tahu apa yang berlaku tadi.
Kenapa awak tak boleh makan nasi?” tanya Apy Elina tidak puas hati.
Sebab memang tak boleh makan,” jawab Adam tenang.
Seriuslah!” geram Apy Elina dibuatnya. Adam memang begitu. Selalu sangat bagi jawapan yang tak serupa jawapan.
Serius,” jawab Adam sambil mengangkat tangan seakan berikrar.
Habis tu, kenapa Dr. Omar tu nampak macam orang dah terlepas cakap? Kenapa dia cakap awak fobia makan nasi?” tanya Apy Elina tidak puas hati.
Kalau makan nasi dan muntah sampai nak keluar isi perut, memanglah boleh jadi fobia.”
Ohh…” Apy Elina mengangguk faham. “Saya dengar dulu awak ada terima latihan khas masa kecil. Takkan awak tak belajar nak tangani fobia makan nasi?”
Adam menggeleng.
Kenapa?”
Perlahan-lahan Adam mengangkat bahu. “Mungkin sebab itu tak penting…” jawabnya acuh tak acuh.
Kalau saya ni penjahat dan saya tahu kelemahan awak, saya akan sumbat nasi dalam mulut awak tau.”
Memang dah pernah, bukan?” kata Adam sambil menjeling tajam.
Err…” perlahan-lahan Apy Elina mengukir senyuman.
Memori lama menerjah kembali. Dia teringatkan masa mula-mula dia hendak tundukkan Adam dahulu. Itulah senjatanya. Sengaja suruh Adam makan nasi. Sangkanya Adam tidak berani tapi lain pula yang jadi. Adam sahut cabarannya makan nasi sehingga habis satu pinggan.
Tapi… tak sangka awak sahut cabaran saya tu. Kenapa awak makan nasi masa tu?”
Orang dah cabar, sahut sajalah,” balas Adam acuh tak acuh.
Mmm... tapikan... bila saya ingat balik waktu tu... tak sangka awak ni cute juga bila makan nasi,” tersengih-sengih Apy Elina mengimbas kembali waktu dia mula-mula kenal suaminya dulu.
Cute? Mak cik, ingat suami awak ni kucing ke?”
Ahh… baru saya perasan, awak memang cute macam kucing. Ala bucuk-bucuk… meowww...” Sengaja dia menyakat suaminya seraya mengusup kepala suaminya seperti mengusup anak kucing.
Meowww...” sapa satu suara yang nyaring.
Tiba-tiba tubuh Apy Elina menjadi kaku. Serentak itu dia terasa seperti ada sesuatu sedang menyentuh kaki kanannya. Serta-merta darah gemuruhnya datang.
Err... ada kucing dekat kaki saya ke?” tanya Apy Elina kepada suaminya. Dia tidak berani hendak pandang ke bawah langsung.
Adam memandang ke bawah dan kemudian mengangguk.
Meoww!” suara si comel itu kedengaran lagi.
Tiba-tiba dia terasa ada sesuatu yang memaut pada seluarnya. Perlahan-lahan dia memandang ke bawah. Kelihatan seekor anak kucing berwarna kuning sedang memaut seluar pada kakinya.
Arghhhh!!!” jerit Apy Elina sekuat-kuatnya.
Jeritannya yang kuat mengejutkan semua orang yang berada di pasar itu manakala Adam yang berada di berdekatan terpaksa menyumbat telinga dengan kedua jarinya.


APY ELINA menjeling ke arah suaminya. Sejak dari tadi suaminya tidak habis-habis tersenyum-senyum seorang diri. Itu tak lain dan tak bukan mesti ketawakan dia yang fobia dengan anak kucing tadi. Dia berasa teramat malu tadi. Bukan sahaja depan suaminya tetapi depan semua orang yang tengok dia menjerit macam terserempak dengan hantu.
Apy Elina mengeluh. Nak marah suaminya kerana tak habis-habis ketawakannya pun tak terlarat. Habis berbongkar rahsianya. Punyalah bertahun-tahun dia simpan rahsia itu daripada suaminya, akhirnya terbongkar juga hari ini.
Mmm... apa kata mulai hari ni kita bela kucing?” Adam akhirnya bersuara.
Jangan nak cari pasal,” seraya Apy Elina menjeling tajam. Sekali lagi dia melihat suaminya tersenyum mengetawakannya lagi.
Sudahlah tu. Hari ni saya dah cukup malu tau. Sekarang ni, bukan awak saja yang tahu saya fobia dengan kucing tapi satu pekan tahu! Ah, mana nak letak muka saya yang comel ni?” keluh Apy Elina sambil menangkup muka dengan kedua-dua tangannya.
Adam sekali lagi tersenyum sambil menggeleng. Sempat lagi puji diri sendiri comel. Tapi itulah yang membuatkan dia jatuh cinta dengan isterinya. Ada sahaja perkara yang melucukan hatinya. Adam segera menarik kedua-dua tangan isterinya yang menakup muka tadi. Dia menyedari tangan isterinya begitu sejuk. Mungkin kerana perasaan fobia pada kucing tadi masih belum hilang.
Kenapa tangan awak panas? Awak demam ke?” tanya Apy tatkala suaminya memegang tangannya. Dia segera meletakkan tangannya di dahi suaminya. Juga panas. Namun, Adam segera menangkap tangannya sekali lagi.
Memanglah panas sebab tangan awak yang sejuk,” kata Adam seraya mengangkat tangan isterinya. Apy Elina melihat kedua tangannya menggigil. Barulah dia sedar yang badannya diserang seram sejuk.
Ini semua kucing tu punya pasal,” keluhnya. Sudah lama rasanya dia tidak diserang perasaan fobia pada kucing.
Itulah padahnya kalau berahsia dengan suami sendiri,” balas Adam menyindir.
Ampun, saya bukan sengaja nak sembunyikan tapi saya tak nak awak gunakan kucing untuk kenakan saya,” lantas Apy Elina berterus-terang.
Mak cik, suami awak ni kejam ke?” tanya Adam.
Err... kejamlah juga,” jawab Apy Elina selamba.
Apa?” serentak Adam mencubit pipi isterinya.
Aaaa... tak. Tak kejam tapi baik hati,” segera dia tarik kembali kenyataannya tadi.
Lain kali jangan rahsiakan apa-apa daripada abang,” kata Adam bernada serius.
Apy Elina mengangguk.
Faham?” sekali lagi Adam mencubit pipi isterinya. Kali ini dua-dua pipi menjadi sasaran.
Faham!” jawab Apy Elina pantas. “Saya mengaku saya salah, jadi, lepaskan pipi saya yang tak bersalah ni.”
Selepas berpuas hati, akhirnya Adam melepaskan kedua-dua pipi isterinya itu. Dia sendiri pun tak tahu kenapa dia suka sangat jadikan pipi isterinya menjadi sasaran apabila dia geram.


PERGI memancing ikan?” terkejut Apy Elina apabila diberitahu suaminya mengekori kedua-dua abangnya ke sungai untuk memancing ikan.
Patutlah rumahnya sunyi semacam apabila dia selesai membasuh pinggan mangkuk selepas menikmati makanan tengah hari tadi. Tak sangka, cepat betul kedua-dua abangnya bertindak. Langsung dia tak sempat hendak menghalang suaminya daripada ikut serta.
Kenapa mak benarkan Adam pergi dengan dia orang tu? Dahlah keduanya kaki buli,” kata Apy Elina tak puas hati.
Dia lantas mencapai handsetnya dan menghubungi handset suaminya. Namun, hampa apabila terdengar deringan handset suaminya yang ditinggalkan di atas meja.
Ah, dia tak bawa handset pula,” Apy Elina geram.
Dia mula cemas. Tak dapat bayangkan macam mana keadaan Adam bila dibuli oleh abangnya. Memancing? Sepanjang dia kenal suaminya memang langsung dia tak pernah melihat Adam pergi memancing.
Apa masalahnya dia orang pergi memancing? Kau ni manjakan sangat suami tu,” balas Puan Fatimah.
Mak ni takkan tak faham lagi. Along dengan Angah tu kaki buli. Nanti entah apa yang dia suruh Adam buat. Jangan dia suruh Adam terjun sungai sudah.”
Mengarutlah. Dia orang pergi memancing saja. Lagipun suami kau tu yang nak ikut sangat. Kalau kena buli pun, suami kau dah besar. Takkan orang macam dia tak tahan kena buli kot,” balas Puan Fatimah bernada menyindir.
Apy Elina ingin bersuara membalas kata-kata emaknya tetapi terbantut. Otaknya lancar memproses maklumat. Betul juga apa yang emaknya kata. Suaminya sudah besar panjang, setakat kena buli memang tak ada hal. Agaknya, kedua-dua abangnya yang kena buli dengan Adam.
Dahlah. Jangan fikir sangat. Biar suami kau tu belajar sikit macam mana kehidupan di kampung ni. Biar dia tahu betapa susahnya hidup kita dulu.”
Apa kena mengena dengan hidup kita dulu dengan dia?” tanya Apy Elina tidak faham.
Yelah. Dia tu dah biasa hidup senang dari kecil. Agaknya, sungai pun tak pernah tengok. Itulah agaknya dia teruja nak ikut tadi.”
Apy Elina mengerut dahi. Begitukah apa yang difikirkan oleh emaknya tentang suaminya? Mereka menganggap suaminya membesar dengan kemewahan dan kesenangan kerana dibesarkan dalam keluarga berada. Semua itu salah.
Mak, Adam bukan macam anak orang kaya yang mak fikirkan. Okey, jujur Apy cakap, dulu pun Apy fikir macam tu. Tambah lagi dengan perangai bongkak dia yang menjengkelkan tapi bila Apy kenal dia… dia bukan seperti yang kita fikirkan. Adam lain,” tegas Apy Elina.
Huh, orang dah jatuh cinta memang macam tu. Orang bongkak pun dia boleh kata romantik. Macam drama dalam TV tu. Mula-mula benci, lepas tu kena gula sikit dah tergedik-gedik jatuh cinta,” komen Puan Fatimah memang berbisa. Kalau pengarah atau penulis skrip dengar memang panas hati. Tapi yang hairannya, mak tetap tengok juga drama begitu.
Okey, Apy tak nak berdebat lagi tapi pendek kata, Adam lain. Sangat lain,” tegas Apy Elina tetap mempertahankan suaminya.


PANCING di tangannya direnung kosong. Sejak dari tadi pancingnya langsung tidak mengena. Satu ikan pun tak tersangkut pada mata kailnya. Lain pula dengan kedua-dua abang iparnya. Sekejap sahaja letak, sudah mengena. Namun, bukan itu yang membuatkan dia berasa tidak gembira.
Dia kembali mengimbas kejadian yang berlaku di pekan pada pagi tadi. Sungguh dia sendiri tidak menyangka, sepanjang dia kenal isterinya baru itulah pertama kali dia melihat isterinya ketakutan begitu. Lebih mengejutkan barulah dia tahu yang isterinya fobia dengan kucing.
Selama ini memang dia tak jangka isterinya fobia dengan kucing kerana isterinya selalu puji kucing seekor binatang yang comel. Nampaknya dia sudah tertipu dengan perwatakan isternya sendiri. Rasa bersalah mula menghantui dirinya.
Wei,” tiba-tiba bahunya dicuit.
Adam segera berpaling di sebelahnya. Along, abang sulung isterinya memandangnya semacam. Sepanjang bergelar suami, inilah pertama kali dia keluar dengan ahli keluarga isterinya. Sebelum ini, dia hanya mengenali mereka dari jauh dan jarang berbual kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri.
Bagaimanapun isterinya banyak kali suruhnya menjauhkan diri daripada mereka berdua. Alasannya, kedua-dua abangnya suka membuli orang. Buli? Belum lagi dalam sejarah hidupnya kena buli. Siapa yang berani bulinya memang bernasib malang.
Along nak tanya sesuatu ni. Jangan ambil hati ye,” kata Along tiba-tiba.
Adam mengerut dahi. Pasti ada apa-apa yang tidak kena di mana mereka.
Dengar kata sebelum ni kau ada tunang. Along cuma nak tahu, Apy ada buat apa-apa ke sampai kau putus tunang?” tanya Along bernada sopan.
Tak,” jawabnya sepatah. Satu soalan yang diluar jangkaannya. Entah dari mana mereka dapat tahu tentang hal itu. Setahunya hanya orang-orang terdekat sahaja yang tahu pasal itu. Kalau mak cik tu ada bercerita tentang hal ini kepada abang-abangnya pasti takkan timbul salah faham.
Habis tu macam mana korang boleh berpisah?” tanya Along lagi.
Ikatan pertunangan tu tak sah sebabnya. Itu hanyalah gelaran yang diberikan kepada bakal isteri pewaris keluarga Alexander. Memandangkan saya bukan pewaris sebenar, automatik saya tak ada apa-apa dengan ikatan tu,” jelas Alex tenang.
Putus macam tu saja?” soal Angah pula.
Adam mengangguk.
Macam mana pula dengan perempuan tu?”
Kami masih berkawan dan dia juga ada life sendiri.”
Apy kenal?”
Sekali lagi Adam mengangguk. Mananya tidak kenal. Selina dan isterinya sudah jadi kawan baik. Setiap kali Selina datang ke Malaysia, pasti keduanya akan berjumpa. Setakat ini mereka berdua tak banyak membawa masalah kepadanya.
Along, kenapa Apy takut dengan kucing?” lantas Adam bertanya.
Inilah masanya dia mengorek rahsia isterinya.
Kucing?” Along mengeluh berat.
Panjang ceritanya tapi boleh dipendekkan. Masa kecil dulu, Apy tu memang pecinta kucing yang setia. Sehinggakan makan dan tidur pun bertemankan kucing. Pada awalnya kami anggap itu perkara biasa dan biarkan dia jadi pecinta kucing setia. Tapi semuanya berubah bila kucing kesayangan dia mati kena langgar depan matanya sendiri. Sejak tu dia jadi fobia bila nampak kucing. Mula-mula tu lagi teruk. Macam kena rasuk dengan hantu kucing sampai terpaksa bawa dia pergi berubat. Selepas berubat, okey sikit tapi masih lagi fobia pegang kucing...”
Dia tak pernah cerita...”
Patutlah dia lihat Apy sangat takut bila kucing memanjat kakinya tadi. Pada mulanya memang seronok melihat isterinya menjerit ketakutan tapi bila melihat wajah isterinya yang pucat, dia lantas mengambil anak kucing itu dari kaki isterinya.
Tidak habis di situ, isterinya hampir pengsan kerana ketakutan. Inilah kali pertama dia melihat muka isterinya pucat bagaikan terjumpa hantu. Dari awal lagi dia sudah menjangka pasti ada sesuatu yang membuatkan isterinya fobia dengan kucing. Kalau seseorang itu takut akan sesuatu sehingga hampir pengsan, itu bermakna pasti ada kenangan hitam di sebaliknya.
Sebenarnya, dia ingin bertanya kepada isternya apa yang menyebabkan dia fobia pada kucing tapi ada satu perasaan menghalang dia bertanya soalan itu. Mujurlah, dia tidak bertanya.
Tiba-tiba dia terdengar sesuatu. Lantas dia berpaling ke arah sekumpulan budak-budak yang sedang bermandi-manda di sungai tidak jauh dari tempatnya duduk memancing ikan. Melihat mereka sedang bergembira berenang-renang di dalam sungai, dia terfikir sesuatu.
Hoi, nak main-main tu jauh sikit. Habis ikan-ikan lari!” tegur Angah kepada sekumpulan budak-budak itu.
Along, kenapa kita perlu memancing untuk dapatkan ikan? Bukan ke lebih baik kita terjun dalam ni dan tangkap sendiri guna tangan?” tanya Adam yang tension apabila tiada satu ikan pun makan umpannya.
Serentak itu Along dan Angah ketawa terbahak-bahak. Adam mengerut dahi. Dia memikirkan soalannya tadi. Lucukah?
Kalau kau pandai tangkap ikan guna tangan, dipersilakan terjun sekarang,” balas Angah dan kembali menyambut tawa.
Okey,” Adam segera mengangkat batang pancingnya diletakkan di atas batas. Kemudian dia bangun dari duduknya seraya membuka baju-T.
Hoi, kau serius ke?” Along di sebelah pula risau.
Adam hanya sekadar tersenyum. Belum sempat mereka hendak menghalangnya, Adam sudah pun terjun ke dalam sungai yang dalam itu.
Dia dah gila ke?” Angah sudah risau.
Agak-agak dia tahu berenang tak? Biasanya orang bandar ni tak tahu berenang langsung,” tanya Along pula apabila menyedari adik iparnya tidak timbul-timbul.
Satu minit. Dua minit. Tiga minit. Kedua-dua mereka sudah menggelabah dan tidak tahu hendak buat apa. Empat minit. Masih lagi tidak timbul-timbul. Mereka sudah terbayang-bayang kejadian yang tidak diingini.
Along... macam mana ni? Budak tu tak reti berenang!” Angah bertambah menggelabah apabila sudah lima minit berlalu.
Cepat minta tolong!” arah Along.
To...” baru sahaja dia hendak menghabiskan ayatnya, dia terkejut apabila melihat adik iparnya muncul di permukaan. Lagi terkejut apabila ditangannya memegang seekor ikan kalapia yang agak besar. Kedua-dua mereka saling berpandangan sesama sendiri.


YA ALLAH,” ucap Apy Elina yang terkejut dengan keadaan suaminya yang basah lenjun. Ini tak lain dan tak bukan mesti pergi terjun sungai. Cuma dia belum pasti lagi sama ada suaminya dengan rela hati terjun sungai atau ada konspirasi yang di sebaliknya.
Ini hasil tangkapan hari ni,” ujar Adam menghulurkan dua baldi besar yang penuh dengan pelbagai jenis ikan sungai. Sekali lagi dia terkejut. Jumlah ikan yang banyak begini, seminggu makan pun tak habis. Tambah lagi kebanyakannya besar-besar pula tu.
Pergi mandi sekarang. Awak tahu tak air sungai tu bukannya elok sangat,” arah Apy Elina yang mula risau.
Tanpa disuruh buat kali kedua, Adam segera berlalu ke bilik air yang terletak di luar. Sebaik sahaja suaminya berlalu, matanya memandang tajam ke arah kedua-dua abangnya.
Explain,” ujarnya sepatah tetapi tegas.
Angah suruh dia terjun,” jawab Along.
Aku berguraulah. Dia yang nak sangat terjun.”
Hah, dengar tu. Dia yang nak sangat terjun,” jawab Along tanpa rasa bersalah.
Along!”
Ah, suami kau tu pandai berenang cuma Along nak tanya sesuatu... Kau pasti ke yang suami kau tu bukan orang asli?” tanya Along.
Hah? Apa punya soalan ni?” Apy Elina mengerut dahi.
Rasanya semua orang sudah sedia maklum yang suaminya dari keluarga Alexander yang berpengaruh dan kaya-raya. Mana datangnya idea suaminya dari keluarga orang asli pula.
Dia tangkap ikan tadi guna tangan!” kata Angah seakan teruja memberitahu hal itu.
Habis tu, korang tangkap ikan guna kaki ke?” balas Apy Elina selamba. Memang sah mereka berdua ada niat hendak membuli suaminya.
Bukan tu maksud Angah. Dia... tangkap ikan ni guna tangan!” kata Along pula. Teruja dan terkejut seperti Angah. Kali ini siap buat gaya lagi.
Dia ada tangan mestilah dia tangkap guna tangan! Aku pun boleh tangkap guna tangan. Tengok ni,” kata Apy Elina sambil mengambil seekor ikan dari baldi yang diberikan oleh suaminya tadi.
So, puas hati?”
Tanpa berlengah lagi Apy segera meletakkan ikan itu ke dalam baldi semula dan berlalu ke dapur dengan membawa hasil tangkapan suaminya.
Dia masih tak faham...” keluh Angah.
Abaikan... yang pasti kita perlukan plan B!”


4 si charming:

  1. eija berkata...:

    haha blur pye apy.. hebat lah adam tgkp ikan guna tgan jer

  1. Unknown berkata...:

    Aduhaii bestnya cite ni

  1. Unknown berkata...:

    Best giler2 kot citer ni..appy,we have a little bit in common bout cat cuma skrg dah xdala tkut sgt.haha

  1. Mastura Syamimi berkata...:

    Datang balik sebab teringat. Dah bertahun2 tetiba malam ni teringat balik

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages