TKC: BAB 8&9


BAB 8

Kereta yang dipandu Zaquan meluncur laju di atas jalan raya. Sakinah yang duduk di sebelah sejak tadi sekadar mendiamkan diri. Dia tidak berani hendak berkata apa-apa sejak Zaquan masuk ke dalam kereta itu tadi. Mengikut pengalamannya, jikalau Tuan Mudanya itu mendiamkan diri, itu bermakna Tuan Mudanya sedang marah. Kalau dia tersilap kata, mungkin telingannya akan menjadi mangsa bebelan Tuan Mudanya sehingga dia sendiri pun tidak tahan nanti.

Sakinah pernah mengalaminya sekali. Waktu itu, beberapa hari selepas kemalangan ngeri yang meragut dua orang yang mereka sayang. Tuan Mudanya itu langsung tidak bertegur sapa dengannya lalu dia memberanikan diri menegur Tuan Mudanya seperti biasa, tetapi Tuan Mudanya membalas dengan tengkingan sehingga kini dia tidak dapat melupakan peristiwa itu.

“Kenapa kau tiba-tiba tak nak jumpa aku?” Zaquan mula bertanya. “Ada date dengan lelaki lain ke?” soal Zaquan lagi. Kali ini dengan nada menyindir.

“Saya mana ada teman lelakilah! Bukan ke saya dah beritahu saya ada kelas ganti tadi. Saya pun baru saja dapat tahu perkara tu. Nak buat macam mana lagi?” jawab Sakinah cuba menyakinkan Tuan Mudanya itu. “Lagipun, bukan ke saya milik tuan muda selama-lamanya,” tambah Sakinah sambil tersengih-sengih.

“Manis betul mulut kau,” balas Zaquan dengan nada biasa. Lega hati Sakinah apabila melihat sedikit senyuman daripada Tuan Mudanya itu.

“Jadi, tuan muda nak beritahu kita nak pergi mana?” tanya Sakinah mengubah tajuk perbualan setelah lega Zaquan tidak lagi memarahinya.

“Shopping. Aku nak beli baju,” jawab Zaquan sambil memandu keretanya masuk ke dalam sebuah bangunan pusat membeli belah yang terkenal di Kuala Lumpur.

“Hah?! Nak beli baju lagi? Tuan Muda tahu tak, pakaian tuan muda dalam almari tu penuh sampai tak ada sedikit ruang pun. Sekarang tuan muda nak beli baju lagi?” balas Sakinah memberi reaksi tidak setuju dengan rancangan Tuan Mudanya itu.

“Wei, kau belajar geografi tak masa sekolah dulu? Itu baju-baju masa aku dekat Jepun. Sekarang aku dekat Malaysia. Cuaca dekat jepun dengan Malaysia lain. Faham,” jawab Zaquan yang berjaya mencari tempat parking yang kosong dalam bangunan itu.

“Tapi ada juga baju yang boleh dipakai lagi. Membazir saja,” ujar Sakinah lagi tetap tidak berpuas hati.

“Suka hati akulah. Aku kata aku nak beli, aku nak beli jugak! Muktamat!” tegas Zaquan yang tidak pernah mendengar kata Sakinah. Kalau boleh, dia lagi suka membangkang kata Sakinah.

“Hisy, saya paling benci temankan Tuan Muda shopping,” rungut Sakinah kuat. Sengaja ingin Tuan Mudanya mendengar rungutannya itu. Namun, Zaquan masih berdegil seperti selalu.

***

Sakinah membelek-belek helaian sebuah majalah berbahasa cina yang terdapat di dalam kedai pakaian yang menjadi pilihan pertama Tuan Mudanya itu. Dia tetap menyelak walaupun dia tidak faham berbahasa cina, malah masuk kali ini sudah berapa kali dia mengulang membelek majalah itu memandangkan itu satu-satunya majalah yang dilihat berada di kedai berkenaan.

Tidak payah melihat jam, tetapi Sakinah sudah dapat mengagak bahawa sudah dua jam dia berada di situ. Inilah satu-satunya sebab kenapa dia tidak suka menemani tuan mudanya pergi membeli belah. Walaupun sudah 10 tahun tidak berjumpa, dia tahu perangai cerewet dan penuh ketelitian tuan mudanya itu masih kekal walaupun sudah besar panjang. Apatah lagi Sakinah dapat tahu melalui penampilan Zaquannya yang amat mementingkan penampilan.

Seperti tadi, sewaktu berjalan di sebelah Zaquan, Sakinah terasa seperti dia tidak layak berjalan di sebelah lelaki itu. Jauh perbezaan. Bagaikan langit dengan bumi. Walaupun Zaquan hanya memakai baju T dan seluar jeans, tetapi Zaquan mampu menarik perhatian anak gadis yang berselisih dengannya. Semuanya memandang Zaquan tidak berkelip seperti sedang memandang seorang pelakon popular. Penuh teruja!

Mungkin ramai yang akan terkejut apabila mengetahui rupa Zaquan sewaktu kecil dahulu. Bukan sahaja terkejut melihat wajah Zaquan yang tembam itu tetapi juga akan terkejut apabila mendapat tahu bahawa Zaquan merupakan ketua samseng di sekolahnya. Satu sekolah takut hendak sebut nama Zaquan. Itu Zaquan 10 tahun yang lepas. Kini, Zaquan sudah menjadi seorang lelaki kacak yang boleh mengalahkan pelakon-pelakon kacak di Malaysia ni.

“Wei,” sapa Zaquan mengejutkan Sakinah yang sedang menggelamun tadi. “Kau ni tak habis-habis mengelamun. Mesti teringatkan teman lelakilah tu.”

“A’ar. Saya teringatkan teman lelaki yang dah lama saya tinggalkan,” balas Sakinah selamba. Geram! Tidak habis-habis memerlinya dengan bermodalkan teman lelaki. Kalaulah dia betul-betul mempunyai teman lelaki sekarang, sudah lama dia tayang teman lelakinya di hadapan tuan mudanya itu. Biar tuan mudanya terus terdiam untuk ungkit lagi atau terus tidak mengacaunya lagi.

Tetapi malangnya, dia tidak mempunyai seorang pun yang bergelar kekasih. Malah, lebih memalukan, dia tidak berjaya untuk memikat seorang pun. Mungkin, dia tiada daya penarik atau mungkin dia ditakdirkan untuk hidup seorang diri sehinggalah dimamah usia.

Sakinah kemudiannya berlalu bangun dari duduknya dan menghampiri tuan mudanya yang sedang membetulkan baju kameja yang dipakainya. Tanpa disuruh Sakinah membetulkan kolar belakang baju T yang tidak kemas tadi. Kemudian, dia berdiri di sebelah Zaquan yang menghadap ke arah cermin besar yang diletak di hadapan bilik persalinan.

“Kenapa kau tengok macam tu?” tanya Zaquan.

“Saya tertanya-tanya, apa yang membuatkan tuan muda bertukar jadi putera raja yang kacak?” tanya Sakinah berterus terang. “Tuan muda nak beritahu saya, siapa perempuan yang bertuah yang berjaya ubah tuan muda jadi kacak begini?”

“Kau nak tahu?” tanya Zaquan kemudian memandang tepat ke arahnya.

Sakinah mengangguk. Sejak kecil lagi dia sering mencari-cari siapakah perempuan yang berjaya memikat hati tuan mudanya itu, tetapi tuan mudanya seperti tidak berminat memikirkan hal itu. Mungkin pada masa itu disebabkan umur yang masih muda dan terlalu muda untuk menggatal.

“Orang tu ada depan mata aku,” jawab Zaquan dengan penuh perasaan.

Sakinah tergamam. Dia tidak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaannya pada ketika itu. Gaya dan suara Zaquan berkata mungkin kedengaran seperti biasa. Malah, seperti ingin mempermainkannya juga ada, tetapi entah kenapa jantungnya mesti berdegup dengan kencang? Kenapa dia perlu cair dengan setiap kata-kata tuan mudanya itu sedangkan dia tahu semua itu hanya gurauan semata-mata.

“Cair lagi!” keluh Zaquan terus memalingkan badannya memandang cermin di hadapannya semula. “Kau ni, dah berapa kali aku cakap. Jangan terpedaya dengan…,” kata-katanya terhenti apabila Sakinah merangkul lehernya sambil memberi senyuman yang menggoda.

“Kenapa ni?” tanya Zaquan mula rasa tidak selesa dengan keadaan itu. Entah apa yang merasuk Sakinah kini sehingga dia hampir terperdaya dengan pandangan mata Nur Sakinah yang memandangnya dengan pandangan yang menggoda.

Kemudian, Sakinah tersenyum sebelum ketawa terbahak-bahak. Dia melepaskan rangkulannya itu.

“Tengok, siapa yang cair sebenarnya? Muka Tuan Muda berubah jadi merah,” balas Sakinah cuba mengawal perasaannya.

“Kau…!”

“Tuan Muda jangan salahkan saya. Tuan Muda ingat, Tuan Muda sahaja yang ada daya tarikan? Saya pun ada daya tarikan. Itu baru sikit…,” tambah Sakinah lagi sambil tersengih-sengih. “Cepat! Kita pergi makan. Tuan Muda belum makan sejak pagi tadi, kalau lambat kena gastric pula. Tuan Muda dah besar panjang. Saya tak suka jaga pesakit yang besar panjang macam Tuan Muda ni,” kata Sakinah selamba sambil mengumpul baju-baju yang telah dipilih oleh tuan mudanya sejak dua jam tadi dan diberinya kepada pembantu kedai itu.

“Huh, tak sangka dia cepat belajar,” kata Zaquan merungut sendirian sebelum berlalu masuk semula ke bilik persalinan untuk menukar memakai baju asalnya.

Setelah selesai membuat pembayaran, mereka berdua berlalu ke bahagian food court memandangkan kedua-duanya sudah kelaparan kerana masih belum lagi menikmati makan tengah hari. Sambil itu, sempat juga Sakinah merungut selepas tuan mudanya itu menghabiskan duit hampir RM1 ribu semata-mata untuk membeli beberapa buah baju dan seluar.

“Tuan muda tahu tak, kalau beli baju-baju macam ni kat pasar malam, tuan muda boleh jimat sebanyak RM900, tau. Tahulah tuan muda ni banyak duit tapi janganlah terlampau banyak sangat habiskan duit,” bebel Sakinah daripada keluar kedai tadi sehinggalah mereka tiba di medan selera itu.

“Kau nak tahu kenapa aku suka bazir duit untuk beli semua tu?” tanya Zaquan masih lagi tersenyum. “Sebab kalau aku tak buat macam tu, aku takkan dapat dengar kau membebel macam mak nenek.”

“Macam perli saja,” balas Sakinah menarik muncung.

Zaquan tidak mempedulikan Sakinah tetapi sebaliknya menyuruh Sakinah membeli makanan untuknya. Faham dengan tugas orang suruhan, Sakinah menuruti arahan daripada tuan mudanya itu.

Kadangkala, dia sendiri tidak tahu kenapa dia selalu menuruti arahan daripada tuan mudanya sedangkan dia boleh bertegas untuk tidak mahu menurutinya. Mungkin kerana dia sudah terbiasa. Lagipun, setakat ini tuan mudanya tidak pernah menyuruhnya melakukan perkara-perkara yang tidak senonoh dan tidak masuk akal. Oleh sebab itu, dia tidak pernah takut apabila bersama dengan tuan mudanya itu. Malah, dia merasakan dia semakin selamat apabila bersama dengan lelaki itu.

Situasi sama apabila dia bersama-sama dengan Aizat dahulu. Hanya mereka berdua sahaja yang boleh membuatkan Sakinah berasa dirinya selamat. Mungkin sebab itulah dia tidak suka bergaul dengan lelaki lain selain daripada mereka berdua.

Selepas seketika, Sakinah membawa dua mangkuk Tom Yam dan dua pinggan nasi putih manakala Zaquan sudah terlebih dahulu memesan dua gelas air untuk makan tengah hari mereka.

“Tuan Muda, boleh saya tanya sesuatu?” tanya Sakinah kepada Zaquan selepas mereka selesai menikmati makanan, tetapi Zaquan masih lagi menjamah semangkuk bihun sup yang dibelinya tadi.

Melihat tuan mudanya yang tidak memberi sebarang reaksi, Sakinah terus bertanya, “Tuan muda masih masih salahkan ayah saya?” tanya Sakinah.

Zaquan yang sedang menikmati bihun sup tadi, terus berhenti menjamahnya. Melihat tuan mudanya yang kurang selesa dengan soalannya itu, Sakinah pantas menambah, “Maaf. Saya tak bermaksud nak ungkit balik....”

“Kau fikir aku benci kau?” tanya Zaquan memotong kata Sakinah.

Sakinah diam. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjawabnya. Kepalanya tunduk memandang meja dan langsung tidak berani bertentang mata dengan Zaquan. Kemudian, perlahan-lahan Sakinah mengangguk kepala.

“Kenapa kau fikir macam tu?” tanya Zaquan lagi.

“Sebab tuan muda pergi dengan senyap. Langsung tak jumpa dengan saya untuk ucapkan selamat tinggal. Lepas tu, tuan muda langsung tak hubungi saya semasa di Jepun. Mestilah saya fikir macam tu,” balas Sakinah berterus terang.

“Kau boleh benci aku kalau kau nak. Aku tak suka ungkit balik perkara tu. Apa yang penting, aku balik ke sini semula sebab aku tak nak lari dari kenyataan lagi,” ujar Zaquan meluahkannya dengan sepenuh hati.

“Memang saya benci tuan muda masa tu. Kalau boleh saya tak nak jumpa tuan muda lagi tapi... selepas dapat tahu tuan muda larikan bantal kesayangan saya, saya tahu, tuan muda tak berniat nak tinggalkan saya seorang diri di sini,” ujar Sakinah sambil tersengih memandang wajah tuan mudanya yang sudah merah padam.

“Wei, dah berapa kali aku cakap? Bantal tu memang aku beli dekat Jepun dulu. Kebetulan sama dengan bantal kau yang dilarikan tikus tu. Jadi, jangan nak perasan,” balas Zaquan masih tidak mahu mengaku. Sudah terang-terang, masih mahu bersuluh.

“Tuan muda boleh kata apa pun,” ujar Sakinah masih lagi tersengih-sengih. “Jangan risau, saya takkan pecahkan rahsia ni.”

Zaquan tidak mampu hendak menafikannya lagi. Sejak rahsianya itu diketahui oleh Sakinah sendiri, dia sering menjadi mangsa sindiran Sakinah. Walaupun terpaksa menebalkan muka, tetapi dia tetap gembira kerana Sakinah masih menerimanya seperti dahulu. Namun, dia tetap bimbang jikalau Sakinah mengetahui alasan sebenar dia pulang ke Malaysia. Adakah Sakinah akan membencinya seperti mana dia membenci Sakinah dahulu?

“Baiklah. Kita tutup kisah lama dan buka kisah baru,” ujar Sakinah mula menaikkan suasana. “Tapi sebelum tu, boleh tak tuan muda pulangkan balik bantal kesayangan saya tu?”

“Itu bukan bantal kaulah!”

Ala, tuan muda. Itu satu-satunya harta berharga yang saya pernah ada. Bantal tu arwah ibu saya yang belikan sebelum dia melahirkan saya. Lagipun, tuan muda nak simpan bantal tu lagi nak buat apa? Saya dah ada depan tuan muda. Tak payah nak rindu-rindu lagi dah.”

“Bila masa aku kata aku rindukan kau?” balas Zaquan sebelum bangun dari tempat duduknya. “Cepat, angkat barang-barang aku tu.”

“Huh, memang tak boleh nak bergurau langsung,” rungut Sakinah tergesa-gesa mencapai beberapa beg plastik yang penuh dengan pakaian yang dibeli Zaquan tadi dan mengejar Zaquan yang sudah berjalan ke hadapan tanya menyedari ada sepasang mata asyik melihatnya dari jauh.

***

Pertama kali dalam sejarah hidup Aizat melihat Sakinah keluar bersama-sama lelaki selain daripadanya. Selama ini, dia tidak pernah langsung melihat atau mendengar Sakinah berbual mesra dengan lelaki lain. Jika pernah pun, mungkin dengan pak cik yang menjual di kafe kolej. Itu pun untuk memesan makanan. Selain daripada itu, Sakinah langsung tidak mempunyai kenalan lelaki lain.

Tetapi pada hari ini, dia menyaksikan sendiri Sakinah bersama dengan seorang lelaki yang tidak kurang hebatnya. Senyuman Sakinah yang hilang sejak peristiwa tempoh hari, dilihat semula pada hari itu tetapi malangnya, senyuman itu bukan untuknya. Tapi untuk seorang lelaki yang tidak dia kenali.

Sehingga pulang ke rumah, dia tertanya-tanya, siapakah lelaki yang mampu mengembalikan senyuman Sakinah? Apa hubungan mereka berdua? Bagaimana mereka kenal? Betapa anehnya. Dia sendiri tidak mengerti kenapa dia perlu risau tentang Sakinah lebih daripada Honey yang memutuskan hubungan mereka berdua semalam.

Mungkinkah teori Aina boleh diterima pakai?


BAB 9

Sakinah memulakan pagi Isnin menghadiri kuliah seperti biasa. Awal-awal pagi lagi, dia sudah menapak pergi ke perhentian bas yang selalu menjadi tempatnya menunggu bas kolej untuk ke kolejnya. Di sana terdapat beberapa orang pelajar kolejnya yang turut menyewa rumah di situ menunggu bas yang dijadualkan akan tiba setiap jam 7.15 pagi.

Sambil menunggu bas, dia sempat memeriksa telefon bimbitnya. Tiada mesej daripada tuan mudanya. Mungkin tuan mudanya masih lena diulit mimpi selepas tidak dapat tidur dengan lena malam tadi.

Kemudian, Sakinah dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta sport berwarna merah berhenti di hadapan tempatnya berdiri. Bukan sahaja dia terkejut, malah, beberapa orang yang turut menunggu bas di situ juga terkejut. Nasib baik telefon bimbit di tangannya itu tidak terlepas jatuh.

“Tuan muda?” sekali lagi dia terkejut apabila menyedari pemandu kereta itu adalah tuan mudanya.

“Naik kereta,” arah Zaquan ringkas.

“Tapi saya ada kelas.”

“Kalau ada kelas kenapa duduk kat sini lagi?” tanya Zaquan dingin seperti selalu.

“Sebab nak tunggu baslah,” jawab Sakinah teragak-agak. Dia masih lagi terkejut dengan kehadiran tuan mudanya itu. Entah apa pula yang tuan mudanya ingin berjumpa dengannya pagi-pagi lagi.

“Naik kereta cepat. Aku hantar,” kata Zaquan lagi.

Tanpa perlu diulang untuk kali ketiga, Sakinah lantas melangkah masuk ke dalam perut kereta. Selepas sahaja pintu ditutup, Zaquan terus memandu keretanya menuju ke Kolej Warisan yang terletak tidak jauh dari situ.

“Tuan Muda, apa Tuan Muda buat dekat sini? Pagi-pagi pula. Jalan-jalan ke?” tanya Sakinah dengan penuh tanda tanya.

Zaquan tidak membalas pertanyaannya. Sakinah tiba-tiba berasa kurang selesa. Pasti ada sesuatu yang sedang dirancang oleh tuan mudanya itu. Melihat tuan muda yang tidak berkata sepatah pun, Sakinah berpaling ke hadapan. Tiba-tiba, dia ternampak sesuatu yang disangkut di cermin pandang belakang kereta itu. Lantas dia mencapai kad pelajar yang mempunyai lambang kolejnya. Nama dan gambar tuan mudanya terpampang pada kad pelajar itu.

“Jangan kata Tuan Muda pun belajar dekat kolej ni juga!” katanya memandang tajam Zaquan yang memandu kereta masuk ke Kolej Warisan melalui pintu pagar utama.

“Kenapa? Tak boleh ke?”

“Ala Tuan Muda, dekat Malaysia ni banyak lagi kolej yang lebih berprejtis dari kolej tu. Tapi kenapa tuan muda nak pilih kolej ni pula. Jangan kata, Tuan Muda pilih kolej ni sebab boleh buli saya lagi.”

“Suka hati akulah,” balas Zaquan selamba.

'Bencana alam memang tak boleh dielak,' keluh Sakinah yang tidak dapat menggambarkan perasaan sekarang. Mungkin selepas ini, hidupnya akan menjadi lebih kucar-kacir.

“Aku dengar fakulti kau banyak perempuan cantik-cantik,” Zaquan mula bersuara selepas Sakinah menunjuk jalan untuk ke fakultinya.

“Dah nama Fakulti Kesetiausahaan. Memanglah kebanyakannya semua pelajar perempuan,” jawab Sakinah yang sudah dapat menangkap maksud disebaliknya. “Tapi, kalau tuan muda terfikir nak pikat salah seorang daripada mereka, tolong jangan libatkan saya. Saya ada lagi dua semester saja di sini. Saya nak habiskan belajar dengan aman dan tanpa gangguan. Boleh, kan wahai tuan mudaku?” ujar Sakinah memberi amaran awal-awal lagi.

“Cakap sajalah kau cemburu,” perli Zaquan. “Jangan risau, kau orang suruhan aku. Walaupun aku dah ada teman wanita nanti, aku tetap akan cari kau untuk sempurnakan hidup aku. Contohnya, lepas ni, aku nak kau sediakan sarapan pagi untuk aku.”

“Dah agak dah,” Sakinah hanya mampu menggeleng. Kemudian, kereta yang dipandu tuan mudanya berhenti di hadapan fakultinya. Baru sahaja dia hendak keluar dari kereta, Zaquan memanggilnya.

“Dayang,” panggil Zaquan. “Kau habis kelas pukul berapa?” tanya Zaquan

“Hari ni lambat sikit. Pukul 1.00 petang.”

“Lunch sama.”

Tanpa berfikir panjang Sakinah terus mengangguk. Kemudian, Zaquan memandu keretanya pergi, barulah dia teringat, selalunya masa rehat dia akan makan bersama Aina. Dia mengeluh lemah. Mungkin dia perlu beritahu Aina bahawa mulai dari hari ini, mereka mungkin tidak dapat rehat bersama-sama lagi.

Namun, baru sahaja dia berpusing, Sakinah dikejutkan dengan kehadiran Aina yang entah bila berdiri di belakangnya. Hampir gugur jantungnya.

“Huh, Aina!” keluhnya sambil mengurut dadanya yang masih berdegup dengan kencang. Tapi tidak sekencang dia memandang tuan mudanya pada waktu pertama kali bertemu.

“Sakinah! Siapa tu?” tanya Aina seperti wartawan yang kehausan berita.

“Siapa lagi kalau bukan bencana alam,” jawab Sakinah tanpa teragak-agak. Lagipun tiada gunanya dia hendak menyorok Zaquan daripada Aina sebab pasti selepas ini Aina akan terus bertanya tentang Zaquan memandangkan Zaquan akan mula belajar di kolej itu.

“Dia? Bencana alam tu?” tanya Aina seakan tak percaya. “Aku tak tahu bencana alam tu sangat handsome dari apa yang aku bayangkan,” tambah Aina lagi.

“Kau boleh kata apa pun,” kata Sakinah melangkah ke dewan kuliahnya. Dia langsung tidak mengambil peduli beberapa orang pelajar yang berada di situ sedang berbual tentangnya.

“Baiknya dia hantar kau ke kolej. Kalau Aizat tengok mesti dia cemburu,” kata Aina tidak habis-habis melibatkan Aizat dalam hal ini. Mungkin Aizat akan memandangnya sebelah mata saja.

“Tak ada maknanya. Tuan muda aku mula belajar di kolej ni hari ni. Mungkin lepas ni aku tak dapat temankan kau selalu sebab kau faham-fahamlah bila dah jadi orang suruhan ni. Rehat nanti pun aku kena rehat dengan dia,” beritahu Sakinah seperti tiada apa yang perlu dirahsiakan lagi dengan Aina.

“Jangan risau. Kalau kau bahagia, aku pun bahagia,” balas Aina yang terlampau teruja dengan berita yang disampaikannya itu.

“Dah. Jangan nak fikir yang bukan-bukan. Dan yang paling penting sekali jangan nak jaja cerita tentang aku dengan tuan muda aku. Dia tu sensitif sikit. Silap sikit saja nak melenting tak tentu pasal. Yang jadi mangsa, aku juga,” ujar Sakinah.

“Oh, kau ada dengar berita terbaru?” tanya Aina masih begitu teruja.

“Berita apa?”

“Berita pasal Aizat dengan Honey dah berpisah,” ujar Aina. “Mula-mula aku pun tak percaya tapi bila aku tanya Aizat, barulah aku tahu khabar angin tu betul.”

“Sejak bila kau berkawan dengan Aizat?” tanya Sakinah pelik. Setahunya, Aina memang pantang bila dengar nama Aizat. Malah pernah beberapa kali Sakinah ingin mengajak Aina rehat bersama Aizat, tetapi Aina sering mengelak dari berjumpa dengan Aizat. Bagi Aina, lebih baik dia elakkan diri daripada Aizat daripada mencipta peperangan besar dengan lelaki itu. Sejak itu barulah Sakinah faham, Aina memang anti dengan lelaki seperti Aizat.

“Err... anggap saja aku tak pernah kata,” ujar Aina teragak-agak.

Namun, Sakinah tetap hairan.

***

'Hisy! Aku ingat bila dah berpisah dengan Honey dan tak berkawan dengan Sakinah lagi, dia mudah didekati tapi... hisy!' Farihah mendengus geram sambil cuba mendail nombor telefon Aizat sekali lagi. Namun, panggilannya itu tidak disambut Aizat langsung. 'Ni mesti Sakinah punya kerja. Entah apa yang dia letak dalam masakkannya sampai susah aku nak dekat dengan Aizat!' tambahnya lagi.

Sedang dia asyik ke hulu ke hilir, tiba-tiba dia terlanggar seseorang di belakangnya.

“Hoi! Buta ke?!” tengkingnya dengan kuat.

“Cik adik, awak tu yang berjalan tak tengok belakang,” balas satu suara menyindirnya sehingga membuatkan Farihah tersentak dan terus berpaling.

Hatinya yang panas tadi tiba-tiba menjadi sejuk selepas menyedari orang yang dilanggarnya tadi adalah seorang jejaka yang kacak. Lebih kacak dari Aizat! Kemudian, dia mengukir senyuman.

“Err... sorry. Saya...,” baru saja dia hendak bersuara, lelaki itu berlalu pergi tanpa mempedulikannya.

Farihah melihat lelaki misteri itu seperti sedang mencari sesuatu apabila lelaki itu asyik melihat kertas kecil di tangannya sambil matanya meliar mencari sesuatu. Dia tidak pernah melihat lelaki itu di kolej tersebut. Ini baru pertama kali dia melihatnya.

'Mungkin pelajar baru,' tekanya sambil tersenyum sinis. 'Huh, kenapa aku perlu kejar Aizat sedangkan ada lagi lelaki yang kacak daripadanya. Tengok pakaian dia pun, dah tahu dia ni anak orang kaya. Emm....' Farihah mula dengan idea barunya.

Tanpa buang masa dia segera menghampiri lelaki itu. Walau apapun dia tidak boleh melepaskan peluang untuk berkenalan dengan lelaki misteri itu.

“Hai,” sapanya. Namun, sapaannya tidak dijawab langsung. “Awak pelajar baru?” tanya Farihah masih berusaha. Lelaki itu tidak mengendahkannya. “Emm... apa awak cari?” tanya Farihah sambil merampas kertas di tangan lelaki itu.

“Oh, awak cari bilik Encik Rahim. Tak mengapa, biar saya tunjukkan jalan,” kata Farihah tanpa disuruh. “Saya Farihah salah seorang pelajar di kolej ni juga. Awak pula?,” tambahnya sambil menghulur salam perkenalan.

“Betapa murahnya perempuan sekarang,” kata lelaki itu sambil tersenyum sinis sehingga menyentapkan Farihah. Kemudian, lelaki itu merampas kertas itu dari tangannya. “Untuk pengetahuan Cik Farihah, saya dah ada teman wanita.”

“Ah, Zaquan!” sapa seorang lelaki lewat 50an yang juga merupakan salah seorang pensyarah di kolej itu. Tanpa mempedulikannya, lelaki yang bernama Zaquan itu terus mengorak langkah mendapatkan Encik Rahim sebelum keduanya hilang dari pandangan matanya.

“Emm... Zaquan. Sedap nama tu,” ujar Farihah sendirian. Walaupun tidak dilayan, Farihah tetap gembira kerana dia sudah mempunyai sasaran yang baru. Lagi kacak daripada Aizat dan mungkin lagi kaya daripada Aizat.

***

Sebelum pensyarah yang mengajar di dalam dewan kuliah itu keluar lagi, Sakinah telah mengemas buku-buku yang tidak digunakan masuk ke dalam beg sandangnya. Selepas sahaja tempat jam 1.00 petang, dia sudah bergegas keluar ke dewan kuliah bersama-sama Aina.

“Tuan muda kau dah tunggu ke?” tanya Aina di sebelahnya.

“A'ar. Dia dah tunggu kat tempat letak kereta,” jawab Sakinah menuruni anak tangga dengan berhati-hati.

“Hai, Sakinah,” sapa Farihah tiba-tiba berada di sebelah Sakinah. Sakinah dengan Aina berpandangan. Entah apa kena dengan Farihah hari ini yang tiba-tiba menegurnya. Selalunya, bila terserempak pun Farihah tidak ingin pandang mukanya.

“Oh, kau ada dengar berita pasal Honey dah berpisah dengan Aizat?” tanya Farihah tiba-tiba. “Memang kasihan bukan? Lepas ni kau bolehlah berkawan dengan Aizat semula dan jadi kekasih Aizat.”

Aina dan Sakinah sekali lagi berpandangan.

“Aku cuma nak beritahu yang aku tak kisah sama ada kau nak jalinkan hubungan dengan Aizat atau tidak. Lagipun aku tengok Aizat tu bukannya handsome sangat. Aku pun tak fahamlah kenapa kau suka sangat dengan Aizat tu. Dalam kolej ni ada ramai lagi lelaki yang handsome. Aku dah jumpa seorang....” Farihah berhenti berkata-kata apabila terpandang kelibat Zaquan yang di dalam sebuah kereta sport.

'Kereta sport! Sah! Dia memang anak orang kaya!' jerit hatinya dengan penuh teruju. Tidak sia-sia dia gila bayang sejak dari pagi tadi.

“Aku pergi dulu. Sorry, tak dapat temankan kau lagi,” ujar Sakinah kepada Aina. Tanpa mempedulikan Farihah yang entah kenapa tergedik-gedik dengan tiba-tiba, Sakinah terus mengorak langkah menghampiri kereta tuan mudanya itu.

Baru sahaja Farihah ingin melangkah untuk memulakan misinya, dia terkejut apabila Sakinah terlebih dahulu mendahuluinya dengan menghampiri kereta Zaquan. Malah, dengan selamba membuka pintu kereta dan duduk di sebelah lelaki itu. Hati perempuan mana yang tidak terbakar kalau musuh sendiri lagi merampas lelaki yang diminatinya setengah mati. Mula-mula Aizat, kini Zaquan pula Sakinah ingin goda!

Jiwanya mula memberontak, tetapi baru sahaja dia ingin menyerang Sakinah yang sedang berbual dengan Zaquan di dalam kereta, Aina terlebih dahulu menghalangnya.

“Tak guna kau menggedik tak tentu pasal. Zaquan milik Sakinah. Sakinah dah lama kenal Zaquan. Malah, lebih lama dari dia kenal Aizat,” ujar Aina seperti dapat membaca apa yang difikirnya sekarang.

Terlopong mulut Farihah mendengarnya. Seketika kemudian, kereta yang dipandu oleh Zaquan meluncur perlahan meninggalkan pekarangan fakulti. Satu lagi sasarannya jatuh ke tangan Sakinah lagi. Tapi itu tidak bermakna dia akan mengaku kalah! Lepas ni bermulalah perang antara dia dengan Sakinah!

10 si charming:

  1. ash.ush.ish berkata...:

    wahhhh,..makin menarik..:)

  1. Yong berkata...:

    hehehe best lah. caya lah..rasanya mmg zaquan balik sebab dia cintakan sakinah tu.
    farihah nih pengacau je ye.
    agak2 aizat bakal bercinta gan aina...hope so,sebab dorang mmg baik. aizat pun dah start cemburu tu. cpt ye sambung..

  1. Miss Kira berkata...:

    haish..farihah..farihah... msti zakuan jeles t klau jmpa aizat..hahaha

  1. akira_bita berkata...:

    best222!! ala zaquan.. dia suka sakinah tu! ckp jelah! hahahaah! suka sgt!!

    farihah ni!!!! cekik2 bagi mati! adeh~~

  1. haha. suka zaquan n sakinah ni.
    comel.

    gedik si farihah ni. cetss

  1. Tanpa Nama berkata...:

    bez2...hee~

  1. Humaira berkata...:

    BESTNYEE!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
    DAH SAMBUNG!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
    Tak sabar nak tunggu episod seterusnya..
    Padan muka Farihah!! Dah terkena!!!
    suka gile baca episod ni.

    Sambung cepat2 tau!! hehehe... Pastu nak panjang-panjang. :D

    JK je...:)

    Teruskan usaha anda.. :D

  1. cArBOnAtE S0Da berkata...:

    gedik2 farihah 2.. xsuka..
    ske sakinah ngan zaquan:)

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Besttttttttttttttt.........suka sgt2 ngan cte nie,
    farihah tu, mmang gedik, semua brg milik org, mst dia nak rampas.
    cte nie mmang beto2 mnarik @_@

  1. shahriezah berkata...:

    bestnya... suka suki sgt2.....cpt...

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages