14:MISTERI


Seminggu sebelum temuduga

“Hey, kami akan adakan mesyuarat petang ni. Nak bincang pasal pengambilan jurulatih baru. Kau nak turut serta ke?” tanya Alex setelah kelas mereka tamat sebentar tadi.

“Err… sorry, aku ada hal,” beritahu Izwan teragak-agak. “… lagipun aku masuk kerja petang ni. Mungkin lain kali.”

“Okey, nanti kalau ada apa-apa aku beritahu kau di rumah,” kata Alex sebelum berlalu pergi.

Izwan hanya melihat kelibat Alex menghilang dipandangan matanya. Tanpa disedari dia tersenyum. Sejak akhir-akhir ini, inilah kali pertama dia melihat Alex begitu serius sekali dalam menguruskan The Legend. Kalau dulu, memang sukar untuk dia melihat Alex ketawa bergembira tapi sekarang setiap hari dia dapat melihat perubahan ketara itu. Sejak nenek Alex membuat keputusan untuk menyerahkan The Legend kepada cucunya itu.

“Aku buat pertukaran dengan nenek aku. Dia beri aku uruskan The Legend dan aku berhutang dengannya,” kata Alex minggu lepas menjelaskan segala-galanya. Antara dia dengan Alex, memang tidak pernah bersimpan rahsia. “Dan kau tetap berada di The Legend. Nenek dah buktikan bahawa email tu adalah email palsu yang sengaja di sebarkan untuk menjatuhkan reputasi Empayar Alexander. Aku rasa, aku tahu siapa orangnya tapi kau tak perlu risaulah sebab dia bukan lawan aku,” terang Alex lagi tersenyum.

“Apa maksud kau dengan berhutang?” tanya Izwan inginkan penjelasan lebih lanjut.

“Itu maknanya, aku kena buat sesuatu untuk nenek aku contohnya… terima Selina sebagai calon isteri. Itu saja yang aku dapat teka,” beritahu Alex dengan wajah selamba. Seolah-olah langsung tidak memandang serius dengan perkara tersebut.

“Jadi, kau terima?” tanya Izwan lagi.

“Terima apa?”

“Terima Selina sebagai calon isteri.”

“Mungkin,” jawabnya selamba. Masih lagi tiada apa-apa perasaan. “Sejak dulu lagi aku dah bersedia dengan kemungkinan yang berlaku dan sebab tu aku tak pernah kisah sama ada aku ada teman wanita atau tidak. Bagi aku, ianya sama saja.”

Izwan hanya mampu bersimpati. Mungkin semua mengidamkan kehidupan seperti Alex yang tidak perlu memikirkan masa depan yang cerah kerana mewarisi empayar perniagaan yang besar dan gah tapi baginya, dia lebih suka dengan kehidupannya sekarang. Biarlah susah mencari wang asalkan dia dapat hidup dengan seseorang yang dicintainya.

Dari jauh dia asyik melihat Apy Elina bermain bola keranjang seorang diri di gelanggang yang selalu menjadi tempat pertemuan mereka. Aneh sekali. Walaupun dia hanya mengenali nama gadis itu tapi dia dapat rasakan seperti mereka sudah lama berkawan. Dia memang akui, dia tidak ramai kawan perempuan. Kawan perempuan yang rapat dengannya hanyalah Rinazila seorang sahaja. Itupun sebab Rinazila mempunyai minat yang sama sepertinya, iaitu bola keranjang. Begitu juga dengan Apy Elina. Mungkin disebabkan Apy Elina juga salah seorang peminat bola keranjang, dia selesa berkawan dengannya.

“Hai handsome,” sapa Apy Elina mengenyit matanya sebelah. Bola jingga ditangannya tadi kemudian di baling ke arahnya. Izwan pantas menangkapnya. Apy Elina mengukir senyuman manis yang tidak pernah lekang sejak dia mengenali gadis itu.

“Awak lambat hari ini,” ujar Apy Elina.

“Sorry, kelas habis lambat,” dia kemudiannya meletak beg sandangnya di atas kerusi penonton yang telah usang itu. Bola jingga tadi dilantun mencium lantai gelanggang yang telah uzur dan dengan spontan kembali ke tapak tangannya semula.

“Hari ini kita buat satu pertaruhan. Siapa yang kalah perlu belanja makan,” kata Apy Elina lagi dengan lagaknya. Izwan ketawa kelucuan.

“Hari-hari kita bertaruh dan hari-hari awak kalah dengan saya,” balas Izwan lagi.

“Jangan risau, hari ini saya pasti akan menang!” ujarnya bersungguh. “Dan saya akan pastikan awak belanja saya makan pizza.”

“Oh ya?”

Apy Elina hanya tersenyum. Sinis. Yakin bahawa dia akan menang.

Pertaruhan bermula. Bola jingga di tangan Izwan rancak memulakan rentak. Apy Elina sekadar memerhati. Dia menumpukan perhatian pada bola di tangan Izwan dan mengabaikan segala yang berlaku di sekelilingnya seketika. Apabila kaki Izwan mula melangkah besar untuk menjaringkan gol, dia mula bertindak mara ke hadapan dan menyekat laluan Izwan biarpun lelaki itu bertubuh besar tetapi ianya tidak menghalang Apy Elina untuk merampasnya.

“Hey handsome,” sapa Apy Elina lagi sambil mengenyit matanya sekali lagi sewaktu Izwan cuba untuk memboloskan diri dari pertahanan Apy Elina. Kenyitan mata Apy Elina membuatkannya hilang tumpuan sebentar dan peluang itu di ambil oleh Apy Elina untuk merampas bola dari tangan Izwan sekali gus melemparkan bola ke dalam basket.

“Penipu,” ujar Izwan pendek.

“Peraturan pertama, jangan biarkan hidup awak tergoda oleh kecomelan perempuan dihadapan awak,” ujar Apy Elina selamba.

“Okey,” Izwan mengangguk kepala. Walaupun dia rasa tidak berpuas hati dengan teknik kotor yang digukan oleh Apy Elina, tapi itu tidak bermakna dia akan tertipu sekali lagi. Bola jingga di baling ke pada Apy Elina.

Bola kini berada di tangan Apy Elina yang akan membuat serangan balas. Belum sempat Izwan bersedia dengan kedudukannya, Apy Elina sudah membuat serangan dengan bergerak pantas sambil menggelecek bola sebelum memasukan bola ke dalam basket sekali lagi.

“Hey….”

“Peraturan kedua, awak perlu bersedia setiap kali menjejak kaki di gelanggang,” ujar Apy Elina lagi bangga dengan kemenangannya.

“Ya. Tapi itu salah satu penipuan juga,” ujar Izwan tidak berpuas hati.

“Itu memang penipuan tapi awak nak tahu penipuan sebenar?” tanya Apy Elina tersenyum sinis. Izwan mula dapat rasakan bahawa gadis di hadapannya bukan calang-calang pemain. Beberapa hari ini memang dia mengalahkan Apy Elina tapi pada hari ini dia mula dapat rasakan ada sesuatu yang dia tidak tahu tentang gadis di hadapannya itu.

Mereka meneruskan permainan. Kedua-duanya kelihatan serius kali ini dan bermain dengan sepenuh tenaga terutama sekali Izwan yang selama ini bermain sambil leka dengan Apy Elina tapi hari ini dia hampir mengerah kesemua tenaganya untuk menyaingi Apy Elina. Tapi ternyata Apy Elina sungguh licik dari sangkaannya dengan mematahkan semua jenis serangannya dengan senang. Kedua-duanya berhenti bermain setelah masing-masing kepenatan.

“Ah, rindunya dengan masa lalu,” Apy Elina menggeluh selepas dapat melegakan tekaknya yang haus setelah bermain tadi. “Teringat masa dulu, saya bermain bola keranjang dengan sepenuh tenaga macam hari ini. Awak memang hebat,” dia tersenyum memandang Izwan yang duduk tidak jauh darinya.

“Tak. Awak lagi hebat. Jangan beritahu saya, yang selama ini awak berpura-pura kalah dengan saya,” kata Izwan yang masih lagi tidak percaya dengan kekalahannya.

“Peraturan utama untuk jatuhkan pihak lawan adalah kekalahan,” kata Apy Elina. Izwan mengedut dahi. Tidak faham. “Cipta kekalahan untuk pasukan dan cipta kemenangan untuk pihak lawan.”

“Ah, ini lebih kurang sama dengan mengelirukan pihak lawan,” Izwan mengangguk faham.

“Itu salah satu dari sebabnya tapi sebab yang paling utama adalah dengan cara itu kita dapat menganalisa pergerakan pemain lawan. Selama beberapa hari ini saya bermain dengan awak, saya dapat kesan beberapa kelemahan awak dan dengan cara itu, awak kalah pada hari ini,” ujar Apy Elina.

“Walaupun saya tak faham sangat tapi teori awak hebat juga. Mungkin awak seorang pemain pro ataupun pemain berpengalaman dalam sukan ini. Jadi, nak beritahu siapa awak?”

“Saya seorang penganggur,” balas Apy Elina selamba.

“Oh, saya lupa,” balas Izwan acuh tak acuh. Dia pasti gadis di sebelahnya itu masih lagi menyimpan rahsia yang sebenar. Mungkin, Apy Elina seorang pemain pro yang sudah bersara awal akibat kecederaan kaki tapi setahunya, sewaktu dia bermain dengan Apy Elina tadi, gadis itu tidak menunjukkan sebarang kecacatan langkah. Teorinya salah!

“Jadi, siapa idola awak?” tanya Izwan mengubah tajuk perbualan setelah mereka berdua senyap seribu bahasa.

“Tiada,” jawab Apy Elina pendek.

“Takkan tiada satu pun yang awak minat dalam pemain bola keranjang.”

“Ada,” jawabnya sepatah.

“Siapa?”

“Daniel.”

“Daniel? Siapa tu?”

“Seorang pemain misteri dan berbakat besar yang mengundur diri dari sukan bola keranjang dengan sebab-sebab yang misteri,” balas Apy Elina lagi.

“Oh,” Izwan mengangguk faham walaupun dia tidak faham sepenuhnya. Memang benar Apy Elina seorang yang misteri baginya. “Jadi, awak tengah cari kerja bukan?”

Apy Elina hanya sekadar mengangguk. Dia tidak berminat hendak bercakap tentang perkara itu apatah lagi bila teringatkan pelbagai insiden yang menyakitkan hati sebelum, sewaktu dan selepas temu duga. Memang perit. Ada saja yang tidak diingini terjadi.

“Eh, Daniel!” jerit Izwan sambil menunjuk sesuatu di bahu jalan.

“Mana-mana?” serentak Apy Elina bangun dari duduknya dan menoleh ke arah bahu jalan. Sewaktu Apy Elina leka memandang kiri dan kanan mencari kelibat Daniel, Izwan menggeluarkan sekeping kertas jawatan kosong untuk jawatan jurulatih dari dalam begnya dan dimasukkan ke dalam beg sandang Apy Elina yang tidak jauh darinya.

“Mana ada!” Apy Elina mula rasa tertipu.

“Ah, mungkin aku tersilap pandang,” Izwan tersenyum sinis. Mujurlah Apy Elina tidak perasan apa yang dibuatnya tadi.

“Kalau tak puas hati sebab kalah tadi, cakap sajalah,” dia memerli.

“Dah lewat, saya kena balik sebab ada kerja lepas ni,” Izwan lantas bangun dari duduknya. Baru beberapa langkah dia berjalan, kakinya terhenti. Dia kemudiannya berpaling memandang Apy Elina yang masih tidak henti-henti meneguk air mineral. “Apy, saya nak tanya… Daniel tu handsomekah?”

“Handsome. Sangat-sangat handsome,” jawabnya tanpa berfikir panjang.

Kata Hikayat,

Kadang-kala, kita tidak dapat benda yang kita kejar selama ini. Kita berputus asa. Kita melupakannya. Namun begitu, tanpa kita sedari, ia sebenarnya mengejar kita suatu hari nanti.

****

“Aku tak sangka, cari kerja lebih susah dari cari calon suami,” kata Apy Elina kepada Nabila sambil membelek-belek surat khabar Harian Metro melihat iklan jawatan kosong. Beberapa akhbar berbahasa melayu dan Inggeris juga berselerak di atas lantai di ruang tamu rumah Nabila.

“Dan aku tak tahu apa kena mengena dengan umur 28 tahun dengan kerja yang ditawarkan? Mungkin aku berusia 28 tahun tapi itu tak bermakna aku dah tua. Angka tak bermakna apa-apa!” Apy Elina tidak habis-habis merungut kecil. Nabila yang sedang menonton televisyen itu hanya menggeleng. Rasanya hendak sahaja dia sumbat telinganya dengan kapas. Tidak tahan dengan rungutan Apy Elina yang tidak puas hati dengan setiap temuduga yang dilaluinya setiap hari.

“Sekarang barulah kau tahu betapa peritnya hidup aku nak cari tapak di Kuala Lumpur ni. Kau tu kira nasib baiklah sebab dapat kawan dengan aku. Jadi, dapat tumpang rumah aku percuma. Kalau kau nak tahu, aku dulu datang sini terpaksa sewa bilik kecil yang mahal. Itu belum lagi ada kerja. Sebulan aku menganggur di Kuala Lumpur ni tau!” balas Nabila. Dia pula membebel.

“Yelah. Yelah,” akhirnya dia sendiri yang mengalah. Ini bukan kali pertama Nabila bercerita betapa seksanya hidupnya di Kuala Lumpur dahulu. Sudah muak dia mendengar cerita Nabila. Kononnya hendak beritahunya bahawa kisah hidupnya tidaklah teruk dari Nabila.

“Aku tahu hidup kau lagi seksa dari aku dan tak payah nak ulang sekali lagi,” balasnya.

“Tahupun. Kau pun sama. Asyik merungut saja. Itulah. Dulu, masa muda-muda tak nak cari kerja. Kononnya nak tunggu Kelab NBA tawarkan kau kerja. Angan-angan tinggi konon. Sekarang kau tengoklah nasib kau sendiri. Semua tempat tak nak terima kau kerja!”

“Kau tahu tak, aku pasti diorang semua rugi suatu hari nanti sebab tak ambil aku bekerja,” balas Apy Elina lagi dengan lagaknya. Menyampah pula Nabila mendengarnya. Dalam susah-susah macam ini boleh pula dia berlagak.

“Simpan sajalah angan-angan kau tu. Bila kau dah berjaya suatu hari nanti, barulah kau tunjuk lagak depan aku. Masa tu, kau nak berlagak apa pun aku sanggup dengar,” ujar Nabila sudah malas hendak melayan. Jika dilayan, lagi panas telinganya.

“Oh, itu semestinya aku akan buat tapi aku tetap nak berlagak juga. Kau sendiri tahukan hidup kita ni mestilah berlagak, dengan itu dapatlah kita cabar diri kita sendiri,” kata Apy Elina lagi sambil mengeluarkan Hikayat Cinta dari begnya. Sehelai kertas terjatuh ke lantai menarik perhatiannya.

“The Legend?” dia membaca tulisan yang tercatit di atas sehelai kertas yang asing dijumpainya tadi. Dibaca kandungan yang tertulis di atas kertas bersaiz A4 dengan teliti. Kemudian dia memandang Nabila yang masih lagi menonton televisyen. “Kau pernah dengar tak? Kadang-kala apa yang kita kejar tak dapat tapi dalam diam ia mengejar kita,” ujarnya sambil menunjukkan helaian jawatan kosong yang entah bila berada di dalam begnya.

****

“Boleh aku tanya satu soalan?” tanya Izwan kepada Alex yang sedang asyik meneliti assignment yang perlu disiapkan segera walaupun tarikh akhir masih jauh lagi. Dia memang faham dengan sikap Alex yang tidak suka menangguhkan kerja walaupun tarikh akhir 2 bulan dari sekarang. Selalunya apabila mendapat tugasan terbaru Alex akan terus membuatnya tanpa berlengah-lengah lagi.

“Sejak bila kau jadi hormat dengan aku? Nak tanya soalan pun kena minta kebenaran?” hampir ketawa kawannya itu.

“Ini tentang jurulatih pasukan kita,” Izwan duduk dihapadannya. “Apa ciri-ciri jurulatih yang kau impikan selama ni?”

Pen ditangannya Alex berhenti menulis sesuatu pada kertas kosong. Dia kemudiannya memandang Izwan di hadapannya. Soalan Izwan tadi membuatkan dia terfikir sejenak. Kemudian dia tertawa kelucuan. Izwan dihadapannya pelik apabila soalannya dibalas dengan ketawa.

“Sorry. Aku tak pernah terfikir pun soalan kau tu. Apa yang aku fikir, asalkan jurulatih kita tiada kena mengena dengan abang ataupun mama aku. Itu saja. Apa ciri-ciri jurulatih impian aku… aku tak pernah terfikir. Lagipun The Legend bukan untuk aku seorang saja tapi untuk ahli-ahli kita juga,” kata Alex membalas soalan Izwan tadi. “Kenapa kau tanya soalan tu?” Alex bertanya pula. Pelik. Selalunya bila dia membuat keputusan, Izwan tidak pernah bertanya tapi kali ini seperti ada sesuatu yang disorok oleh kawannya itu.

“Saja. Aku cuma tertanya-tanya kenapa kau nak sangat uruskan The Legend. Dulu kau pernah memberontak tapi tiadalah sehebat kali ni. Aku ingat kau tengah cari jurulatih impian kau,” kata Izwan.

“Impian aku hanyalah bermain bola keranjang dan selain dari itu, aku tiada impian lain,” kata Alex lagi. “Bagaimana dengan kau? Kau tanya aku, mesti kau ada jurulatih yang kau impikan selama ini.”

“Sebenarnya selama ini aku menganggap asalkan jurulatih tu berpengalaman dan tahu selok belok permainan bola keranjang, itu sudah memadai. Tapi baru-baru ini aku terfikir, jika ada pengalaman dan tahu selok belok sukan ni pun tak guna juga,” Izwan menggeluarkan pendapatnya.

“Apa maksud kau?” Alex memandang Izwan dengan serius. Topik yang dibincangkan mereka itu, menarik perhatiannya untuk mengetahui lebih lanjut. Lagipun ini bukan senang dia hendak mendengar pendapat Izwan.

“Pertama, Bola Keranjang bukan sahaja sukan untuk kita buktikan kita adalah yang terhebat. Bola Keranjang juga adalah satu permainan untuk kita bergembira. Aku terfikir, selama ini aku bermain dalam keadaan tertekan untuk dapatkan kemenangan dan apabila kalah aku rasa kecewa tapi aku teringin bermain di gelanggang tanpa rasa tertekan pun dan apabila kalah, aku nak kepuasan kekalahan tu,” terang Izwan namun, Alex langsung tidak menunjukkan tanda-tanda dia faham apa yang dimaksudkannya.

“Serius, aku tak faham,” ujar Alex. “Apa kena mengena jurulatih dengan yang kau maksudkan tu?” tanya Alex memeluk tubuh.

“Maksud aku, jurulatih tu bukan seorang yang kejar kemenangan dalam perlawanan tapi dia kejar sesuatu yang kau tak pernah terfikir semasa bermain bola keranjang. Selama ini kita hanya dapat jurulatih yang selalu menekan dalam perlawanan. Jurulatih yang hanya mengejar kemenangan, mengejar nama dan mengejar wang ganjaran sehingga dia lupa apa yang dia patut ajar pemain-pemainnya. Kemenangan bukan sahaja yang perlu seseorang jurulatih itu ajar. Teori. Analisis dan Peka. Itu yang perlu ada pada seseorang jurulatih,” terang Izwan lagi.

“Itu aku tahu.”

“Dan yang paling utama… Misteri,” tambah Izwan lagi.

****

“Saya cuma nak tahu… adakah ini daripada awak?” tanya Apy Elina kepada Izwan keesokkan harinya. Dia pasti, iklan jawatan kosong itu tidak akan berada di dalam begnya jika tiada orang yang masukkannya. Dan orang itu sudah pastinya Izwan.

“Ah… saya tak boleh menafikannya bukan?” Izwan tersenyum. “Kenapa? Awak tak suka?”

“Tak. Maksud saya… bagaimana awak tahu saya memang impikan jawatan ini?” tanya Apy Elina hairan. Rasanya dia tidak pernah berbual secara peribadi bersama lelaki itu apatah lagi lelaki yang baru sahaja dia kenali.

“Tengok pun dah tahu tapi… terus terang saya katakan, awak ada bakat untuk jadi jurulatih. Awak tahu tentang bola keranjang, awak tahu bagaimana hendak kawal keadaan bila berada di gelanggang dan apa yang saya suka tentang awak… ialah teori awak. Teori awak walaupun kedengaran seperti sesuatu yang bodoh tapi bila difikir balik, ada baiknya juga.”

Apy Elina hanya tersenyum.

“Lagipun, saya hanya tolong maklumkan pada awak sahaja. Yang selebihnya adalah usaha awak,” tambah Izwan lagi.

“Terima kasih,” dia tidak tahu hendak berkata apa. Mungkin inilah peluang yang ditunggu-tunggu. Izwan sudah menolongnya setakat ini dan untuk langkah seterusnya dia perlu maju sendiri. “Jadi, The Legend adalah pasukan awak sertai?” tanya Apy Elina lagi.

Izwan hanya sekadar mengangguk.

****

Kepada Hikayat,

Perjalanan dalam hidup ini bukan mudah seperti yang disangka terutama sekali jika ingin mendapatkan sesuatu yang kita idam-idamkan selama ini. Aku sudah laluinya dan aku tahu walaupun aku telah berjaya mendapat jawatan yang aku idam-idamkan selama ini namun, bagi aku ianya bukan titik nokhtah hidup aku tapi sebaliknya ianya adalah permulaan bagi hidup aku.

Oh ya, hari ini baru aku teringat bahawa orang yang interview aku adalah orang yang pernah aku sumpah-sumpah selama ini. Ini kali ketiga kami bertemu dan rasanya dia tak ingat bahawa akulah mangsa bola keranjang yang dibalingnya, dan aku jugalah mangsa mandian air takungan di tepi jalan tempoh hari. Ya. Aku pasti dia tak ingat tapi aku masih ingatnya… Mungkin kami ditakdirkan bertemu untuk bermusuh. Tunggulah untuk balasan seterusnya. Peperangan baru sahaja bermula… Adam Alexander!

END JILID 1

6 si charming:

  1. Miss Kira berkata...:

    hahaha..
    wait n see alex...
    cpt smbg ya...
    n all the best for the manuskrip utk pc..
    hehe

  1. Farah Shamsudin berkata...:

    haha..
    alex brtemu ngan lwan dya..
    haha..
    apy!!

  1. in_wired88 berkata...:

    mesti apy nanti kenekan adam

  1. Yeun Yie berkata...:

    dahsyat nye...best tol la... grang gak apy elina ek.. cpt2..dh x sabo nih..

    chaoyok2!!

  1. Ai berkata...:

    hehe..
    cite baru aje nk mule
    go2 chaiyok kak ratu..
    n cepat2 smbung ek..
    x saba nk tau ape yg akan tjadi dlm jilid 2 nnti..

  1. Yume Hime berkata...:

    hahaha..hbs lah alex..
    tamat jilid 1 ye..
    cepat smbung ke jilid 2 ye..

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages