8: SECRET I CAN'T TELL


Apy Elina mencelik mata. Dilihat jam yang tersangkut di dinding bilik yang ditumpanginya sejak beberapa hari yang lalu. Tepat jam 11 pagi. Dia bingkas bangun dari baringnya dan memandang sekeliling bilik yang sudah pun diterangi cahaya matahari pagi. Tanpa berlengah lagi dia berlalu masuk ke dalam kamar mandi untuk bersihkan diri.

Sebaik sahaja membersihkan diri, dia yang hanya berpakaian t-shirt putih dan berseluar sukan turun bahagian bawah villa mewah itu. Sepasang matanya tercari-cari kelibat Darina namun tidak kelihatan langsung. Villa yang ditumpanginya itu sunyi seperti pertama kali dia menjejak kaki ke sana. Sekeping nota kecil berwarna kuning di atas meja makan menarik perhatiannya.

Apy, maaf sebab tak dapat teman awak hari ini. Saya ada hal mustahak tiba-tiba. Kalau awak nak keluar pergi mana-mana, minta Pak Din tolong hantarkan. Saya akan kembali petang nanti.
Darina

Apy Elina memandang sarapan pagi yang telah disediakan oleh Darina. Sekali-sekala dia mengeluh panjang. Darina memang jauh jika ingin dibandingkan dengannya. Orangnya cantik. Pandai memasak malah berpelajaran tinggi. Memang patut pun Daniel memilih perempuan seperti Darina untuk membuat isteri. Jika dia memegang watak jahat untuk memisahkan mereka dua sekalipun, belum tentu lagi Daniel akan meninggalkan Darina. Lagi dibenci oleh Daniel adalah.

Walaupun sarapan pagi yang disediakan oleh Darina kelihatan sedap tapi Apy Elina tiada selera untuk menjamahnya walau sedikit pun. Perasaannya bercelaru. Sekian lama dia menunggu untuk hidup bersama dengan Daniel walaupun dia tahu Daniel sudahpun bertunang dahulu tapi dia tetap menaruh harapan yang tinggi. Namun, setelah berjumpa dengan tunang Daniel, dia mula sedar cinta Daniel bukan miliknya.

“Mungkin aku patut bercinta dengan bola keranjang,” katanya cuba memujuk hatinya yang lara. Surat khabar hari ini yang sudah berada di atas meja diambilnya. Segera diselak di bahagian kerja kosong. Namun kebanyakkan jawatan yang ditawarkan langsung tidak menarik minatnya.

“Sukan bola keranjang di Malaysia tidak begitu popular seperti sukan bola sepak di Malaysia. Keberangkalian untuk jadi jurulatih bola keranjang adalah 1 peratus!” sekali lagi dia mengeluh. Dia sendiri akui, memang sukar untuk menjadi jurulatih bola keranjang apatah lagi sukan itu tidak popular seperti sukan bola sepak. Kelab bola keranjang di Malaysia juga tidak sehebat kelab bola keranjang di negara-negara seperti China dan negara-negara di benua Eropah.

“Nak bercinta dengan bola keranjang pun susah,” rungutnya lagi. Tiba-tiba handsetnya berbunyi. Panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Tanpa berlengah lagi, dia menjawab panggilan tersebut.

“Wei Minah!” bentak satu suara betul-betul mengejutkannya.

******

Nabila memandang tajam Apy Elina sejak mereka bertemu di sebuah restoran KFC berdekatan dengan tempat kerjanya. Kawan sepermainannya sejak kecil itu masih lagi membuat muka selamba sambil menikmati ayam KFC dengan lahapnya. Seperti tidak pernah makan sebulan.

“Alah, kau ni itupun nak marah,” tegur Apy Elina yang sejak tadi perasan akan kemarahan kawannya itu.

“Macam manalah aku tak marah. Aku tak tahu pun kau datang Kuala Lumpur ni, alih-alih kena marah dengan mak kau sebab tak tolong kau kat Kuala Lumpur ni,” ujar Nabila dengan bengangnya. Apy Elina sudah tersengih-sengih. Dia tidak sangka pula maknya akan memarahi Nabila sebab tidak dapat menghubunginya. Memang dia sengaja tidak menghubungi maknya kerana tidak sanggup mendengar leteran maknya. Tak pasal-pasal, Nabila pula yang kena tempiasnya.

“Sorry la, aku tak sangka mak aku sanggup marah kau. Lagipun aku ada telefon kau tapi kau yang tak jawab. Nasib baiklah aku ada kawan di Kuala Lumpur ni, kalau tidak mungkin aku akan merempat di masjid ataupun tepi jalan,” kata Apy Elina.

“Macamlah aku perduli,” balas Nabila menjeling tajam.

“Kau memang tak pernah perduli nasib aku,” balas Apy turut menjeling. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan Nabila, rupa-rupanya kawan sepermainannya sejak kecil itu langsung tidak pernah berubah. Bila bercakap mesti hendak menyakitkan hati orang tapi nasib baiklah dia begitu kenal dengan Nabila. Bila Nabila cakap sesuatu yang menyakitkan hatinya dia akan membalasnya kembali.

“Beritahu aku, kau merempat di rumah siapa sekarang ni?” tanya Nabila yang seakan tidak sabar mengetahuinya. Apy sudah tersenyum-senyum. Dia tahu, Nabila mungkin sudah tahu dia sedang menumpang di rumah siapa tapi sengaja mahu jawapan yang tepat daripadanya.

“Kau rasa siapa?” tanya Apy Elina berteka teki lagi.

“Jangan kata kau tumpang rumah Daniel,” teka Nabila.

“Okey, aku tak kata pun,” balas Apy Elina selamba.

“Apy!” Nabila menendang kaki kawannya itu setelah dia dapat mengagak jawapan dari Apy Elina. Apy Elina hanya tersenyum-senyum. “Aku ingat bila umur kau dah meningkat kau tak suka buat kerja gila tapi lagi menjadi-jadi. Tumpang rumah lelaki? Kau dah gila ke?”

“Pembetulan. Memang aku tumpang rumah Daniel tapi Daniel tak duduk situ. Dia sekarang ada di luar negara dan dia telah menghantar tunangnya untuk menemani aku,” balas Apy Elina.

“Tunang dia? Maksud kau si Darina tu?” teka Nabila lagi.

“Kau pernah jumpa dengan dia?”

“Banyak kali. Terutamanya kalau ada event di company Daniel. Dia mesti ada bersama dengan Daniel. Meluat pula aku lihatnya.”

“Kau meluat dengan Daniel ataupun dengan tunangnya tu?” tanya Apy Elina yang sememangnya tahu Nabila memang tidak menyukai Daniel sejak sekolah menengah lagi. Dia sendiri tidak tahu kenapa Nabila begitu membenci Daniel.

“Dua-dua sekali.”

“Aku tak fahamlah. Kenapa kau benci sangat dengan Daniel tu?”

“Senang saja. Sebab kau suka Daniel,” balas Nabila selamba. Mata Apy Elina terkebil-kebil barangkali cuba berfikir kembali apa yang dikatakan oleh Nabila tadi.

“Apa kena mengena dengan aku sukakan Daniel dengan kau benci Daniel?” tanya Apy semakin tidak faham dengan rakannya itu.

“Yelah. Mestilah aku kena benci Daniel. Kalau aku kata aku suka Daniel, lain pula maksudnya nanti. Takkanlah itu pun kau tak faham?”

“Serius. Aku masih tak faham,” ujar Apy serius.

“Mungkin kau akan faham setelah 50 tahun akan datang. Itupun kalau kau masih hidup lagi.”

*****

Sejak dari tadi, Darina dengan sabar menanti seseorang yang akan tiba di bumi Malaysia sebentar sahaja lagi. Awal-awal pagi lagi, dia telah dikejutkan dengan satu mesej dari Daniel yang mengatakan dia akan pulang ke Malaysia hari itu juga. Selepas sahaja menyediakan sarapan pagi untuk tetamunya itu, dia segera bergegas memandu ke KLIA untuk menyambut kepulangan tunangnya itu. Ingin juga dia memberitahu Apy Elina mengenai kepulangan Daniel ke tahah air tapi atas permintaan Daniel yang mahu memberi kejutan kepada Apy Elina, dia terpaksa merahsiakannya dahulu.

Tidak lama kemudian, kelihatan beberapa orang berpusu-pusu keluar dari balai ketibaan. Terjengket-jengket Darina mencari kelibat Daniel. Bimbang jika Daniel tidak dapat mencarinya. Satu persatu penumpang yang tiba di balai ketibaan, namun satu pun kelibat Daniel tidak kelihatan. Darina menghela nafas lemah. Mungkin dia tiba terlampau awal atau mungkin penerbangan Daniel berlaku sedikit kelewatan.

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan sejambak bunga menghalang pandangannya. Bunga Ros Merah memang menjadi bunga kesukaannya. Serta merta membuatkan dia tersenyum lebar dan berpaling mengadap pemuda yang tinggi lampai dan segak walaupun hanya berpakaian t-shirt putih dan bersama seluar slacks putih.

“Welcome back,” ucapnya sambil menyambut sejambak bunga ros merah yang diberikan oleh Daniel tadi. “Jom, Apy mesti gembira jika dapat berjumpa dengan awak,” ujar Darina lagi dan mula mengorak langkah tapi pantas Daniel menghalangnya dengan menarik tangan Darina.

“Kenapa?” tanya Darina memandang wajah Daniel yang menyimpan 1001 persoalan. Seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan Daniel.

Daniel mencapai tangan kanan tunangnya. Sebentuk cincin yang dihadiahkan kepada Darina untuk mengikat hubungan pertunangan mereka, masih lagi berada di jari manisnya. Nampak sepadan pula dengan si pemakainya walaupun pada masa itu, dia membeli cincin itu bukan untuk Darina.

“Kita kahwin,” ujar Daniel tiba-tiba membuatkan Darina terkejut dengan apa yang Daniel katakan tadi. Dia pasti telinganya mendengar dengan jelas sekali apa yang Daniel kata. Dia memandang wajah Daniel yang sedikit pun tidak kelihatan bergurau malah lebih serius dari selalu. Walaupun dia baru sahaja mengenali lelaki itu melalui keluarga terdekat, tapi inilah kali pertama dia melihat Daniel begitu serius memperkatakan sesuatu.

Tanpa disedari, air matanya jatuh berlinangan ke pipi. Dia sediri tidak tahu kenapa dia perlu mengalirkan air mata apabila tunangnya membuat keputusan untuk berkahwin sedangkan mereka berdua sudah bersetuju untuk mengikat hubungan suami isteri pada tahun hadapan. Keputusan Daniel untuk berkahwin dengannya dalam masa terdekat benar-benar mengejutkannya.


“Awak duduk dulu nanti Ina panggil Apy. Dia mungkin tak ke mana,” kata Darina sebaik sahaja mereka berdua melangkah masuk ke dalam villa tersebut. Sementara Darina memanggil tetamunya itu turun, Daniel pula berjalan memerhati sekeliling villa yang telah lama di tinggalkan. Seingatnya, kali terakhir dia menjejak kaki ke villa peninggalan ayahnya itu adalah pada dua bulan yang lepas. Dia memang jarang tinggal di villa tersebut kerana dia lebih gemar tinggal bersama-sama kawan-kawannya di rumah sewa.

Walaupun rumah sewa yang didudukinya itu sempit apatah lagi terpaksa berkongsi dengan lima orang kawan bujangnya tapi dia lebih selesa tinggal di sana kerana ramai kawan berbanding dengan villa kepunyaannya yang sunyi. Pernah juga dia menyuruh mereka tinggal bersama-sama dengannya di villa tersebut tapi kebanyakkan mereka member alasan yang sama. Jauh dari tempat kerja.

Sekeping nota yang diletak di atas meja makan menarik perhatiannya. Belum sempat dia membacanya, kedengaran tapak kaki Darina menuruni anak tangga.

“Apy tak de di atas. Semua barang-barang dia juga tiada,” kata Darina yang kelihatan cemas.

“Dia dah pergi,” ujar Daniel setelah membaca nota yang ditinggalkan di atas meja makan tadi.

“He?” Darina mendapatkan nota tersebut dari tangan Daniel dan membacanya. Sememangnya dia tidak menyangka Apy Elina akan pergi dengan begitu sahaja. Walaupun baru beberapa hari dia mengenali Apy Elina tapi dia dapat bergaul mesra seolah-olah mereka sudah lama berkawan tapi walaubagaimana sekalipun dia berusaha untuk bergaul rapat dengan Apy Elina, dia dapat rasakan masih ada satu jurang besar yang memisahkan mereka.

Dia kemudiannya memandang Daniel yang senyap dari tadi. Dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran Daniel.

“Maaf, mungkin Ina tak layan Apy dengan baik dan sebab tu….”

“Bukan salah awak,” pantas Daniel bersuara. “Dan dalam hal ini tiada siapa yang bersalah. Apy seorang yang tidak suka bergantung harap pada orang lain. Selalunya jika dia inginkan sesuatu, dia akan cuba dapatkannya dengan kemampuan diri. Dia bukan seperti sesetengah orang lain yang akan ‘hidup’ jika ada teman ataupun kawan di sisi. Dia jenis yang boleh hidup di mana-mana sahaja,” ujar Daniel panjang lebar.

“Jadi, jangan risaulah,” Daniel cuba meyakinkan tunangnya itu. “Saya nak berehat sekejap,” kata Daniel sebelum berlalu mendaki anak tangga untuk ke biliknya. Darina hanya melihat kelibat tunangnya itu dari belakang. Walaupun Daniel cuba meyakinkannya tadi supaya jangan risau, dia masih lagi diseliputi kerisauan. Daniel cuba meyakinkannya tapi sebenarnya, Daniel yang risau tentang Apy Elina.


Kata Hikayat,

Melepaskan bukan bermakna kalah tapi bermulanya sebuah cerita kebahagiaan.

Sejak dari tadi mata Apy Elina tertumpu pada Hikayat Cinta yang sentiasa di bawa ke mana sahaja ke mana dia pergi. Kata-kata hikayat yang terdapat di dalam Hikayat Cinta telah mengajarnya erti kehidupan secara tidak langsung. Walaupun ianya hanyalah sebuah kata-kata tapi ianya memberi impak yang besar dalam menentukan keputusan yang dibuatnya. Mengumpul mutiara kata memang menjadi hobi Daniel. Dahulu dia sering mempersendakan Daniel dengan gelaran ‘mamat jiwang’ kerana suka mengumpul mutiara kata yang jiwang-jiwang tapi kini barulah dia faham mutiara kata bukan hanya sebuah kata-kata yang jiwang tapi mempunyai maksud yang tersirat di dalamnya.

“Sejak dari tadi kau tenung buku tu macam nak berlubang buku tu aku tengok,” Nabila menyapanya tiba-tiba membuatkan Apy Elina terkejut dari lamunannya. “Aku tak percaya kau masih lagi menulis Hikayat Cinta tu. Kau dengan Daniel sama sahaja. Dua-dua suka buat sesuatu yang tak masuk akal.”

“Jangan cakap kau cemburu dengan aku.”

“Kenapa pula aku nak cemburu?”

“Sebab kau masih lagi tiada boyfriend.”

“Oh, kalau macam tu… macamlah kau ada boyfriend?”

“Aku tak de boyfriend tapi aku ada seseorang yang aku minat. Daripada kau yang asyik ternanti-nantikan putera raja turun dari kayangan,” peril Apy Elina pantang mengaku kalah. “Sampai bila-bila pun kau takkan berkahwin kalau asyik memilih.”

“Dan kau juga, sampai bila-bila pun kau takkan berkahwin kalau kau asyik menunggu seseorang yang takkan jadi milik kau,” balas Nabila pula dengan jelingan tajam. Apy Elina turut memandang Nabila dengan tajam. Walaupun sakit hati dengan kata Nabila tadi, tapi dia gembira sebab dapat berjumpa dengan Nabila semula setelah sekian lama mereka tidak berjumpa.

Kepada Hikayat,

Mungkin ini keputusan yang bodoh dalam hidup aku dengan melepaskan seseorang yang amat penting dalam hidup ini. Tapi jika sudah tertulis dia akan menjadi milik orang lain, setiap perjuangan merebut hak tidak berguna lagi. Aku melepaskannya dengan harapan dia berbahagia dengan orang pilihannya. Walaupun payah tapi aku percaya, perjalanan cinta takkan berakhir di sini. Cinta akan memburu dan memburu sehinggalah menemui cinta sejati suatu hari nanti…

Apy Elina menutup Hikayat Cinta setelah menulis sesuatu di dalamnya. Setelah berfikir panjang dia mengambail keputusan untuk tinggal bersama-sama dengan Nabila. Lagipun Nabila memang tinggal seorangan dirumah sewanya itu. Baginya jika dia masih lagi bergantung harap dengan menumpang di villa Daniel, dia akan rasa bersalah terhadap Darina. Walaupun Darina kelihatan tidak kisah tapi dia sebagai perempuan juga faham perasaan Darina. Daniel akan menjadi milik Darina suatu hari nanti dan mulai dari hari ini, dia mesti belajar hidup tanpa Daniel. Tapi mungkin dia tidak akan meninggalkan Hikayat Cinta…

Nabila mencapai handsetnya yang tiba-tiba berbunyi. Satu nama yang tidak asing lagi muncul di skrin handsetnya. Di jeling memandang Apy Elina di sebelahnya.

“Boyfriend aku call,” ujar Nabila tersenyum memerli sebelum bangun dari tempat duduknya untuk menjawab panggilan. Dia sengaja menjauhkan diri dari Apy Elina untuk menjawab panggilan tersebut.

“Bagaimana dengan Apy?” tanya satu suara di hujung talian.

“Okey, lebih baik dari jangkaan kau,” kata Nabila sempat menjeling pandang Apy yang sedang membelek-belek Hikayat Cintanya itu. “Apy pandai jaga diri, kau tak payahlah nak risau sangat tentang dia. Dia tu bukannya budak kecil lagi.”

“Aku tahu tapi bila-bila masa saja dia akan bertukar jadi budak kecil,” katanya sambil ketawa perlahan. Nabila turut ketawa. “Anyway, terima kasih sebab sudi tolong Apy.”

“Apy pun kawan aku juga walaupun kami sering tak puas hati.”

“Ya. Musuh luar selimut.”

Nabila sekali lagi ketawa kelucuan. Daniel masih lagi ingat ungkapan hubungan dinginnya dengan Apy Elina ketika di bangku sekolah dahulu. Dahulu, dia dengan Daniel memang pantang berjumpa. Kalau berjumpa pasti ada sahaja yang mereka berdua tidak puas hati. Dan Apy Elina bertindak sebagai pihak pendamai.

5 si charming:

  1. endless love berkata...:

    waa..frustnyer..
    apy ade hati kat daniel
    tp daniel dh brtunang..
    nape daniel buat apy camni?

  1. Yume Hime berkata...:

    sambung2...x sabar nak tgu n3 seterusnye...

  1. ~~Miss Mirashiko~~ berkata...:

    ish xpaham la.. nape daniel baek cgt ngn epy? sdangkan daniel dah btunang...cian epy xdpt daniel.. tp tunang daniel tu cm xde prasaan jek.xjeles kew? huh..ssh tol nk cari pompuan g2. tulus sunguh hatinye..hehehe..tp best2..truskan smbung cite ea cik ratu..

  1. apalh y akn jd lps ni ek....
    sdh nye klu jd epy.... kekasih gelap.... huhuhu... menyintai seseorg dlm diam sgt memerit kn...

  1. lala berkata...:

    cncn tu bkn untk darina sbnrnyer??

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages