15: GENIUS

Kata Hikayat

The future belongs to those who believe in the beauty of their dreams. - Eleanor Roosevelt

“Perempuan?!” hampir menjerit Leo sebaik sahaja mendengar berita yang disampaikan oleh Rinazila tadi. Khairul yang turut berada di situ juga melahirkan rasa terkejut. Memang dia tahu Alex telahpun memulakan langkah mencari jurulatih untuk pasukan mereka baru-baru ini tapi dia tidak menyangka bahawa Alex akan memilih jurulatih perempuan sebagai jurulatih mereka.

“Percaya atau tidak, Alex memang dah gila,” jawab Rinazila yang kelihatan tidak bersetuju dengan pemilihan itu.

“Macam mana perkara ni boleh berlaku? Apa istimewa sangat perempuan tu?” tanya Khairul seakan tidak percaya bahawa Alex yang selama ini tidak pernah memuji perempuan tiba-tiba berubah angin memilih jurulatih perempuan. Dengan kata lain, hidup Alex tidak pernah langsung dikaitkan dengan perempuan.

“Aku tak tahu tapi apa yang pasti aku kalah dalam pemilihan tu. Azhar sokong Alex,” jawab Rinazila yang sudah tiada idea untuk memikirkan teori mereka berdua sehingga melantik jurulatih perempuan.

“Azhar mungkin akan buat kerja gila tapi Alex tak pernah buat kerja gila,” balas Leo yang amat kenal dengan perangai Alex. Pasti ada sebab kenapa Alex memilih seorang perempuan sebagai jurulatih.

“Pembetulan. Alex pernah buat kerja gila. Ingat tak pasal rancangan gila dia tu?” balas Rinazila. “Petang ini ada perjumpaan ahli rasmi di gelanggang. Kau orang wajib hadir, ini pesan Alex. Mungkin dia nak beritahu berita gempak ini,” kata Rinazila lagi.

Khairul dan Leo masing-masing berpandangan. Alex mungkin pernah buat kerja gila tapi itu berlaku sebab dia memberontak dan tidak suka dengan hidupnya yang selalu di ganggu oleh keluarganya. Mustahil pemilihan seorang perempuan sebagai jurulatih mereka dibuat sambil lewa sahaja. Lagipun tidak mungkin Alex ingin menghancurkan pasukannya sendiri. Apatah lagi Azhar turut menyokongnya.

Mungkin Azhar sedikit tidak boleh dipercayai apabila terlihat perempuan cantik tapi ada kalanya Azhar akan bertindak serius jika perkara itu berkenaan dengan bola keranjang.

Petang itu, seperti yang dijanjikan mereka semua berkumpul di gelanggang yang menjadi tempat latihan mereka. Izwan dan Azhar sudah kelihatan sewaktu mereka berdua melangkah masuk. Tiada bayang-bayang Alex pun. Tidak lama kemudian, Alex muncul bersama-sama dengan Rinazila yang masih bermasam muka.

“Kenapa?” tanya Leo sebaik sahaja mereka semua berkumpul di dan duduk tengah-tengah gelanggang. Biasanya Alex lebih suka mengadakan mesyuarat di gelanggang dari duduk di bilik mesyuarat. Menurutnya dia mudah sesak nafas apabila duduk lama dalam bilik mesyuarat.

“Mungkin korang semua sudah tahu dari Rinazila bahawa jurulatih kita akan lapor diri minggu depan,” Alex memulakan bicara secara tidak formal. “Dan dia seorang perempuan,” ujarnya lagi.

“Jadi betullah?” Khairul bersuara. Alex sekadar mengangguk. “Alex, aku kenal kau. Kau takkan buat keputusan terburu-buru tapi kenapa perempuan? Mesti ada sebab,” tanya Khairul lagi.

“Aku bukannya dah gila sampai nak menghancurkan pasukan kita. Pada mulanya memang aku tak nak pilih dia tapi ada sesuatu yang aku membuatkan aku berubah fikiran,” ujar Alex lagi kemudian memandang Azhar di sebelahnya. Azhar turut mengangguk kepala. Bersetuju dengan Alex.

“Apa dia?” tanya Rinazila. Serius. Dia tidak faham. Sepanjang dia menemu duga calon yang bernama Apy Elina, dia langsung tidak nampak ‘sesuatu’ yang dimaksudkan oleh mereka berdua berkali-kali sekali gus dia tidak dapat menghalang keputusan mereka untuk memilih perempuan itu sebagai jurulatih.

“Masa di awal kami temu duga dia, dia tak menunjukkan sebarang ciri-ciri yang perlu ada pada jurulatih. Apa yang kami tahu, dia hanyalah pemain bola keranjang di sekolah dahulu dan juga salah seorang graduan dalam Sains Sukan. Dia tahu sedikit tentang bola keranjang tapi seorang yang dungu juga,” Azhar memulakan bicaranya. “Tapi selepas habis temu duganya….”

“Err… keputusan akan diberitahu minggu depan,” pantas Rinazila memberitahu. “Kami akan telefon,” tambahnya lagi.

“Oh, kalau begitu saya akan tunggu. Terima kasih sebab sudi menemu duga saya,” dia menghampiri Rinazila dan menghulurkan tangan tanda ingin bersalam. Tanpa berlengah Rinazila menyambut tangan Apy Elina.

“Semoga jumpa lagi!” ujarnya.

“Ya. Semoga tidak berjumpa lagi,” Azhar bersuara perlahan.

“Oh, Azhar,” Apy Elina tiba-tiba berhenti melangkah dan berpaling. Azhar yang sedang mengumpatnya tadi, tersentak apabila namanya di panggil. “Semoga kaki awak sembuh.”

Azhar hanya menggangguk dan setelah kelibat Apy Elina tidak kelihatan lagi, dia menarik nafas lemah. Badannya disandarkan dikerusi yang telah didudukinya selama 2 jam sepanjang tempoh sesi temu duga.

“Jadi?” tanya Rinazila sememangnya mengingati kejadian itu tapi dia masih lagi tidak faham dengan apa yang ingin Azhar sampaikan. Leo dan Khairul masih senyap barangkali berfikir apakah yang ingin Azhar sampaikan tadi.

“Nanti dulu,” Leo mula bersuara. Dia kemudiannya memandang Azhar. “Macam mana dia tahu kaki kau cedera?” tanya Leo lagi. Azhar mengangkat bahu.

“Selepas tu, aku terus ubah fikiran. Memang masa tu kaki aku cedera selepas bermain bola keranjang dengan kawan-kawan aku malam sebelum tu. Aku tak cakap dengan sesiapa tapi rasanya Alex tahu pada waktu tu,” kata Azhar lagi.

“Aku tak tahu sebenarnya,” Alex pula bersuara. Bola ditangannya di renung kosong. Semua mata tertumpu pada Alex. “Selepas temu duga dia dan selepas tengok kau berjalan, baru aku perasan.”

“Sebab tu korang berdua tiba-tiba berubah fikiran?” tanya Rinazila lagi.

Mereka berdua mengangguk serentak.

“Tapi, benda tu perkara biasa bukan?” tanya Rinazila.

“Rina, bila kau perasan kaki Azhar cedera?” tanya Alex pula.

“Dua hari selepas temu duga tu, semasa latihan petang tu,” jawab Rinazila.

“Dan aku pula selepas habis sesi temu duga dan boleh tak kau terangkan satu teori kenapa perempuan tu boleh kesan kecederaan kaki Azhar sedangkan Azhar duduk dihadapannya?” tanya Alex kepada Rinazila lagi.

Rinazila terdiam. Walaupun terlampau banyak kemungkinan yang ada di kepalanya sekarang tapi dia rasa teorinya salah sama sekali. Mustahil Apy Elina telah mengintip pasukannya terlebih dahulu sebelum datang temu duga.

“Itu yang dinamakan misteri,” kata Alex lagi memaling pandangannya ke arah Izwan. Izwan hanya tersenyum. Teringat pula berbualannya dengan Alex tempoh hari. Tidak sangka Alex bersetuju dengan pendapatnya. “Perempuan tu tahu membaca orang melalui psikologi mahupun pergerakan seseorang. Itu baru sikit dan aku rasa ada banyak lagi yang dia sembunyikan, jadi aku ambil risiko ni untuk pilih dia sebagai jurulatih kita yang seterusnya.”

“Dan aku harap ini kali terakhir kita bertukar jurulatih,” Rinazila mencelah.

****

“Ini yang awak mahu,” ujar Daniel sambil menghulurkan satu fail hitam yang tebal kepada Apy Elina yang bertandang ke villanya. Akhirnya setelah sekian lama dia dapat bertentang mata dengan Apy Elina dan ternyata Apy Elina masih lagi seperti dulu.

“Terima kasih, Daniel. Ini yang aku sayang sangat kat kau ni!” Apy Elina menyambut fail hitam dari tangan Daniel. Fail yang merangkumi maklumat mengenai pasukan The Lagend di bukanya.

“Tahniah sebab dapat capai apa yang awak mahu selama ni. The Lagend satu pasukan yang kuat juga dan banyak pemain berbakat dalam pasukan tu. Mungkin awak tak perlu keluarkan tenaga banyak sangat untuk melatih mereka bermain bola keranjang,” beritahu Daniel.

“Bagi saya, selagi mereka adalah pemain selain itulah saya sebagai jurulatih perlu melatih mereka,” balas Apy Elina dengan bersunguh-sungguh. Dia kembali meneliti maklumat yang disediakan oleh Daniel. “Apa yang tertulis di sini menunjukkan The Legend satu pasukan yang hebat tapi kenapa awak tak pernah catit dalam Hikayat Cinta tentang pasukan ni?”

“The Legend pasukan yang handal dan dimiliki oleh orang yang berpengaruh di Asia. Jadi, mereka hanya akan muncul di pertandingan-pertandingan yang berprestij sahaja. Mereka jarang muncul di pertandingan biasa jadi, saya fikir mereka tak bernilai sangat.”

Apy Elina mengangguk faham. Patutlah Adam Alexander seorang yang bongkak rupanya pasukannya pun bongkak juga. Tiba-tiba matanya terpandang gambar Adam Alexander bersama-sama dengan maklumat lengkap pemain itu.

“Adam Alexander,” ujarnya geram. Tidak sabar rasanya dia hendak melancarkan peperangan ke atas Adam Alexander.

“Dia tu genius,” ujar Daniel lagi. Serentak dengan itu Apy Elina memandang lelaki dihadapannya itu. “Kolej Lagenda dan Pasukan The Legend adalah milik keluarganya. Dia satu-satunya pewaris tunggal Empayar Alexander,” terang Daniel lagi.

“Empayar Alexander?” ulang Apy Elina. Entah kenapa tiba-tiba bulu romanya berdiri sebaik sahaja mendengarnya. Gerun pula mendengarnya.

“Ya. Satu empayar perniagaan yang besar dan terpengaruh di Asia. Hampir kesemua jenis perniagaan di dunia ini adalah milik mereka. Adam Alexander adalah pewaris tunggal yang akan mewarisi Empayar Alexander. Dia kacukan Melayu-Cina. Ibunya Melayu dan juga salah seorang usahawan berjaya, Datuk Azrina manakala begitu juga dengan ayahnya, Datuk Alexander yang merupakan anak kelahiran Malaysia berbangsa Cina tapi menetap di Taiwan,” terang Daniel lagi.

“Tapi kenapa kau cakap dia tu genius?”

“Sebab dia dilahirkan tanpa kelemahan.”

“Hah?!”

“Sejak kecil lagi dia telah dilatih dengan pelbagai latihan tegas termasuklah dalam sukan. Selain bola keranjang, dia juga mahir dalam beberapa sukan lasak yang lain seperti menunggang kuda, bermain pedang dan semua jenis sukan seni mempertahankan diri. Dia juga mewarisi kecerdikan ibunya. Menurut satu sumber, dia sudah boleh menyelesaikan masalah matematik taraf universiti semasa berumur 6 tahun. Dan dalam bola keranjang, dia dianggap Genius.”

Tercengang Apy Elina mendengar apa yang diolah oleh Daniel tadi. Entah kenapa dia rasa dirinya terlalu kecil dan tidak mempunyai tenaga untuk berhadapan dengannya.

“Ke… kenapa aku rasa dia begitu menakutkan?”

Daniel mengukir senyuman.

“Tapi aku tahu kelemahannya.”

Tiba-tiba bibirnya terukir senyuman manis.

“Apa dia?”

****

Hampir satu jam mereka bermesyuarat di gelanggang, akhirnya perbincangan mereka tamat setelah masing-masing mencapai kata sepakat. Leo dan Khairul terpaksa beredar memandangkan mereka mempunyai kerja yang perlu diselesaikan di studio. Azhar pula mempunyai rancangan bermain dengan kawan-kawannya yang merupakan pemain bola keranjang jalanan manakala Rinazila sudah pun menghilang awal-awal lagi.

“Semalam kau tak balik, kau pergi mana?” tanya Izwan seiringan dengan Alex melangkah keluar dari dewan sukan.

“Main bola,” jawabnya sepatah.

“Sampai pagi?” Izwan seakan tidak percaya. Alex sekadar mengangguk. Patutlah sejak tadi Alex kelihatan tidak bermaya sahaja. Tapi apa yang dia tidak faham kenapa Alex bermain bola keranjang sehingga ke pagi? Pasti ada sesuatu yang sedang menganggu kawannya itu.

“Hey, lepas ni kau ada kerja ke?” tanya Alex.

“Tak de,” Izwan menjawab.

Ada nak ke mana-mana?” tanya Alex lagi. Izwan menggeleng.

“Kalau macam tu kau drive,” kunci keretanya di baling kepada Izwan. Dengan cekap, Izwan menyambutnya. Alex telahpun melangkah masuk ke dalam keretanya dan duduk di sebelah tempat duduk pemandu. Tanpa berkata banyak Izwan segera melangkah masuk ke tempat duduk pemandu.

Dia memandang Alex yang masih lagi senyap di sebelahnya. Mahu saja dia bertanya masalah kawannya itu tapi dia kenal Alex. Jika Alex ingin memberitahunya, Alex pasti akan beritahu tapi nampak gayanya Alex tidak mahu memberitahunya. Jadi, dia tidak mahu memaksa Alex. Enjin kereta dihidupkan dan dia memandu kereta Alex keluar dari perkarangan kolej.

“Aku nak pergi klinik,” kata Alex tiba-tiba memecah kesunyian dalam kereta yang dipandu Izwan. Dengar sahaja Alex berkata, serta merta Izwan memberhentikan kereta di bahu jalan.

“Apa?” tanya Izwan sekali lagi untuk memastikan bahawa dia tidak salah dengar. Tidak pernah dia mendengar Alex tiba-tiba menyuruh membawanya ke klinik. Malah seingatnya, Alex amat benci doktor dan bau ubat.

“Aku nak pergi klinik,” ujar Alex lagi. Sah! Telinganya masih lagi berfungsi dengan baik. Tapi kenapa? Kenapa Alex tiba-tiba hendak ke klinik? Dia sakitkah? Baru sahaja dia hendak bertanya soalan itu, Izwan terlihat darah pekat mengalir ke pergelangan tangan Alex. Malah ada yang sudah menitik ke bawah.

“Kenapa dengan tangan kau?” tanya Izwan. Jeket putih yang dipakai oleh Alex juga sudah bertukar menjadi merah pada bahagian lengannya itu.

“Aku terangkan kemudian. Sekarang bawa aku ke klinik. Klinik yang tak kenal siapa aku. Aku tak mahu mama dan abang aku dapat tahu,” ujar Alex lagi yang sejak tadi menahan kesakitan pada bahagian lengan kanannya.

Tanpa berlengah lagi, Izwan segera memecut kereta menuju ke klinik yang berhampiran. Sampai sahaja di sebuah klinik, mereka bernasib baik kerana tiada seorang pesakit pun yang menunggu. Alex dibenarkan masuk ke dalam sebaik sahaja jururawat yang bertugas mendapati banyak darah mengalir keluar.

Izwan hanya menunggu di luar. Di luar dia tidak senang duduk apabila memikirkan bagaimana Alex boleh tercedera. Tidak mungkin Alex sengaja mencederakan dirinya sendiri atau ada orang menyerang Alex malam tadi kerana Alex tidak pulang ke rumah. Malah baru sahaja Alex bercakap bahawa dia bermain bola keranjang sepanjang malam.

Hampir setengah jam Alex dirawat di dalam, akhir dia keluar dengan lengan berbalut. Selepas mengambil ubat dan membuat bayaran, mereka berdua berlalu dari situ. Di dalam kereta Alex masih lagi senyap seribu bahasa.

“Malam tadi, aku memang pergi bermain bola seorangan,” Alex memulakan bicara sebaik sahaja dia menyuruh Izwan memberhentikan kereta di sebuah taman permainan yang dilalui mereka. “Tiba-tiba ada beberapa orang lelaki datang menganggu. Aku tak rasa mereka tu pemain jalanan sebab mereka datang bawa kayu dan senjata tajam. Dan kau mesti tahu apa yang berlaku lepas tu,” kata Alex menceritakan kejadian malam tadi.

“Kau bergaduh dengan mereka?” teka Izwan.

“Aku tak de pilihan,” ujar Alex.

“Kau tahu kenapa mereka serang kau?”

Alex juga menggeleng.

“Keluarga aku memang banyak musuh. Dah terlampau banyak musuh keluarga aku cuba cederakan aku dan ada juga pernah mencuba culik aku tapi mereka semua tak berjaya sebab dulu aku memang dikawal ketat. Itu cerita lama. Sekarang, mungkin mereka tahu tiada sesiapa mengawal aku, mungkin sebab itulah ada pihak yang berani nak cederakan aku,” terang Alex juga turut membuat kesimpulan.

Dia melemparkan pandangan ke arah kanak-kanak yang seronok berkejaran di taman permaian. Tanpa di sedari dia tersenyum.

Ada buat laporan polis?”

“Gila! Kalau aku buat mesti mama dan abang aku tahu. Atau mungkin nenek dan papa aku yang ada di Taiwan tu pun tahu,” katanya tidak bersetuju dengan cadangan Izwan menyuruhnya membuat laporan polis.

“Kau tahu tak perkara ni serius. Mungkin hari ni kau terlepas dari mereka tapi itu tak bermakna mereka tak berani nak cederakan kau lagi.”

Alex tahu dan apa yang dikatakan oleh Izwan tadi ada betulnya tapi dalam masa yang sama dia tidak mahu hidupnya di kongkong lagi. Betapa susahnya dia hendak keluar dari kawalan ketat keluarganya dahulu untuk hidup bersendirian dan tidak mungkin dia mahu hidup dengan ditemani pengawal di sekelilingnya seperti dahulu.

“Pasal luka tu, apa doktor cakap?” tanya Izwan lagi.

“Tak de apa-apa. Cuma cedera ringan sahaja, aku masih boleh bermain bola keranjang lagi, kau jangan risau.”

Izwan hanya mampu menggeleng. Alex memang keras kepala. Jika itu yang Alex mahu, dia tidak boleh berkata apa lagi. Baginya, cukuplah Alex bercerita dengannya. Itu bermakna Alex mempercayainya sebagai seorang kawan.

“Wei, aku laparlah. Aku nak makan burger,” ujar Alex tiba-tiba.

“Burger? Aku tak tahulah macam mana kau boleh kenyang dengan makan burger. Makanlah nasi…,” kata-katanya terhenti apabila menyedari Alex memandangnya tajam.

“Kau nak aku mati ke?” kata Alex dingin. Serentak dengan itu, Izwan tertawa kelucuan. Handbreak diturunkan sebelum memulakan perjalanan mencari burger untuk di makan.

9 si charming:

  1. DianaTakyuddin berkata...:

    yeah, akhirnyer apy jd gak jurulatih...hihi

    jap2, naper klau mkn nasi leh mati lak alex tu??

  1. Che Sue berkata...:

    mesti apy kena bekerja keras tuk mendapatkan kepercayaan ahli the legend yg lain..

  1. Ai berkata...:

    a'ah..
    aku pun pelik gak ni..
    selama nih aku mkn nasik ok jew..
    erm..

  1. Yume Hime berkata...:

    ha ah knp mkn nasi leh mati plak...
    em apa kelemahan alex ye..
    em x sabar nak tgu smbungan lg

  1. Lieza berkata...:

    hihi.. baru bace novel nih.. tp x sempat habis lagi.. tertarik ngan lagu stay nih.. best lah... ekekekek

  1. agent_sesat berkata...:

    naper alex x mkn nasi?? hahhaa
    nie mesti ader peristiw akelakar nie..hahaha

  1. Lieza berkata...:

    hihih.. best sgt cter nih.. ratu pandai la.. cepat la sambung... x sabar nak tau cter seterusnya,, ekekekek

  1. Ezza Hamdan berkata...:

    kak ratu, selalu2 lah update.. best sangat2 hasil karya kak ratu.. semuanya best..
    lagi best dari novel2 dekat pasaran..
    keep up the good work eyh..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    terbaik

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages