Seseorang untuk Dinikahi: Bab 26

Semuanya bermula apabila dia jatuh cinta dengan Nazwan. Dia masih ingat lagi, waktu pertama kali melihat Nazwan. Jantungnya berdegup kencang, kakinya seakan dipaku dan matanya langsung tidak berkelip memandang Nazwan. Pada saat itu, dia tahu, dia sudah jatuh cinta dan itulah cinta pertamanya.
Selama bertahun-tahun dia memendam rasa cinta. Dulu dia seorang yang penakut dan pemalu. Tambah lagi bila berhadapan dengan Nazwan. Jantungnya tak usah cakaplah, asyik berdegup sampai hendak tercabut jantungnya. Lidahnya pula akan jadi kelu tiap kali hendak menutur kata-kata. Oleh itu, dia memendam rasa dan hanya melihat Nazwan dari jauh.
Namun, kedatangan Arissa di sekolah itu mengubah segalanya. Dunianya menjadi tunggang terbalik dan boleh dikatakan setiap hari dia terpaksa menahan cemburu di hati apabila melihat Arissa berbual-bual dengan Nazwan. Siasat punya siasat, dia dapat tahu Arissa adalah jiran Nazwan. Tapi itu tidak mampu membuatkan dia boleh menghela nafas lega sepenuhnya.
Perempuan dengan lelaki tidak boleh berkawan. Lagi lama mereka berkawan, salah seorang pasti akan jatuh. Dan dia tidak mahu perkara itu berlaku. Tambah lagi, ada desas desus mengatakan Arissa seorang playgirl. Tidak sampai sebulan dia masuk di sekolah itu, dia sudah keluar dengan beberapa orang pelajar lelaki. Hal ini lagi membuatkan Sarah tidak senang duduk. Dia perlu lakukan sesuatu sebelum Nazwan jadi milik Arissa.
Lalu dia terfikir satu rancangan. Dia perlu hapuskan sifat pemalunya dan berkawan dengan Nazwan. Memandangkan Nazwan seorang yang susah diajak bersosial, jadi dia perlukan seseorang yang dapat dijadikan jambatan untuk dia berhubung dengan Nazwan. Target utamanya adalah Luqman, sepupu Nazwan.
Luqman terkenal dengan panggilan budak skema di sekolah. Hal ini kerana penampilan Luqman memang skema. Tak perlu diterangkan secara terperinci penampilannya. Tengok sahaja sudah tahu dia memang skema tapi sebenarnya ramai orang tertipu dengan skemanya. Tapi itu bukan point penting. Selama dia memerhatikan Nazwan dari jauh, dia sangat pasti yang Nazwan hanya aktif apabila Luqman berada di sebelah. Jadi, mungkin dia boleh gunakan Luqman untuk mendekati Nazwan.
Malangnya, rancangan itu tidak berjaya apabila dia gagal mendekati Luqman. Sebaik sahaja dia hendak menutur kata, Luqman pula yang lari lintang pukang. Seolah-olah baru sahaja terjumpa dengan hantu. Bila pelan A sudah gagal, dia perlukan pelan B. Setelah puas berfikir, dia tahu tiada cara lain lagi untuk mendekati Nazwan. Luqman sudah keluar dari senarai. Yang ada hanyalah Arissa.
Dia tiada pilihan lain. Mahu atau tidak, dia terpaksa berkawan dengan Arissa. Tapi, baru sahaja dia menyapa Arissa, satu soalan maut diterimanya.
"Kau adalah perempuan yang ke-220 yang tegur aku hari ini," ujar Arissa.
"Err... aku ada buat salah ke?" tanya Sarah takut-takut.
"Kau tegur aku bukan sebab Nazwan, bukan?" tanya Arissa.
"Nazwan? Siapa?" tanya Sarah kembali sambil cuba menenangkan diri.
"Kau tak kenal siapa Nazwan?" tanya Arissa.
Lambat-lambat Sarah mengangkat bahu. Dia perlu bertenang. Arissa adalah harapan terakhirnya. Kalau Arissa tahu apa yang dirancangnya, mungkin dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada cinta pertamanya.
"Ah, abaikan. Baru-baru ni aku agak terganggu dengan pelajar-pelajar perempuan yang nak sangat jadi kawan aku dengan harapan dia orang dapat mendekati Nazwan!" keluh Arissa.
"Wow... 220 orang...," terkejut dia dengan angka itu.
Setahunya Nazwan bukanlah seorang pelajar popular. Selama ini pun dia tidak pernah juga mendengar ada orang cuba mendekati Nazwan tapi bila mendengar angka itu, dia terkejut. Lagi terkejut apabila kebanyakan mereka menggunakan teknik yang sama seperti yang dia fikir.
"Aku tipu. Sebenarnya 22 orang. Sengaja tambah 0 di belakang supaya nampak bombastik. Dan kau adalah yang ke 23... itupun kalau kau pun salah seorang daripada mereka."
"Tak," pantas dia menafikannya.
"Habis tu, kenapa kau tegur aku?" tanya Arissa.
"Err... sebab... Harry Potter!" idea itu datang sebaik sahaja dia melihat buku yang Arissa pegang sekarang.
"Harry Potter? Buku ni?" tanya Arissa.
"Yup. Minggu lepas aku pergi library nak pinjam buku ni tapi pengawas library kata kau dah pinjam dulu. Dari bulan lepas lagi aku nak pinjam tapi buku tu memang sentiasa tak ada di library. Jadi, sebab itulah aku nak pastikan sama ada kau dah baca habis ke dan bila kau boleh pulangkan ke library supaya aku boleh pinjam," terang Sarah. Nasib baik dia ada alasan yang logik.
"Kau peminat Harry Potter?"
"Selepas aku tengok filem tu, jadi aku nak baca buku dia."
"Kenapa tak cakap awal-awal?" Gembira Arissa dibuatnya. "Okey, mulai sekarang, kau boleh jadi kawan aku tapi dengan syarat kau kena ceritakan apa yang kau tahu pasal Harry Potter."
"Kau tak baca lagi?"
"Hanya satu atau dua muka surat sebelum aku tertidur."
"Habis tu kenapa kau pinjam buku tu?"
"Ah, semua sebab Luqman yang paksa aku baca buku tu sebab dia kata aku macam Voldermort."
Sejak itu dia menjadi kawan Arissa. Dia sangka dengan berkawan dengan Arissa, dia boleh berjumpa atau berkenalan dengan Nazwan dengan lebih dekat lagi tapi semua itu tidak semudah yang disangka. Nazwan bukan seorang yang suka bersosial lebih-lebih lagi kalau orang itu baru dikenalinya.
Keadaan lagi bertambah teruk apabila Arissa beritahu yang Luqman sukakannya. Pada waktu itu dia buntu. Tidak tahu apa yang perlu dibuat dan dalam keadaan terdesak atau cuba menyembunyikan perasaan sebenar, dia turut mengakui sukakan Luqman. Dan hubungan itu bermula tanpa kemahuannya. Tambah lagi Luqman memang benar-benar jatuh cinta terhadapnya.
Ini memang satu bencana baginya. Nasibnya bertambah malang apabila Nazwan berkenalan dengan Natasya. Itupun selepas Arissa memperkenalkan Natasya pada Nazwan. Kurang beberapa bulan kemudian, dia dapat tahu mereka menjalinkan hubungan. Rasa cemburu memang berbuak-buak pada ketika itu. Lain yang dikejar, lain yang dapat. Disebabkan itu jugalah dia menyimpan perasaan dendam terhadap Arissa.
Walau bagaimanapun dia tidak menyerah kalah begitu sahaja. Kali ini dia telah mengatur rancangan yang lebih teliti. Dia sudah gagal sekali dan dia tidak mahu gagal lagi. Pada masa itu, tiada langsung perasaan simpati atau kasihan. Hanya yang ada adalah dendam dan keinginan hendak memiliki Nazwan.
Demi memiliki Nazwan, dia perlu tumbangkan Natasya. Walaupun dia berdendam dengan Arissa, tapi dia perlu tumpukan pada Natasya terlebih dahulu kerana dia tahu Natasya memang senang ditumbangkan. Tambah lagi dia tahu kelemahan Natasya. Jadi, senang sahaja dia mengatur rancangan untuk buat Natasya kelihatan teruk di mata Nazwan.
Natasya seorang yang lemah semangat dan kadangkala kurang keyakinan. Jadi, dia memberitahu bermacam-macam cerita tentang keluarga Nazwan kepada Natasya. Tujuannya satu. Dia hendak Natasya berasa rendah diri dan hilang keyakinan untuk berhadapan dengan keluarga Nazwan. Rancangannya 100 peratus berjaya tapi hanya sekejap.
Bila Luqman menyuruh dia membantu Natasya dengan bawa Natasya ke rumah untuk perkenalkan Natasya kepada keluarga Nazwan, dia tiada pilihan lain. Dia tidak dapat fikirkan alasan yang bagus. Tapi dia berharap nenek akan memperkecilkan Natasya sehingga Natasya tidak berani hendak teruskan hubungan itu lagi. Malang lagi buatnya apabila nenek terima Natasya dengan seadanya.
Ketika itu dia rasa harapannya hampir hancur. Dia perlu buat sesuatu untuk pisahkan mereka berdua. Pada masa terdesak itu, dia hanya terfikir satu rancangan. Gunakan gambar bogel palsu Natasya! Dia juga terfikir hendak lagakan Natasya dengan Arissa. Jadi, dia sengaja guna telefon bimbit Arissa untuk hantar gambar itu kepada Natasya dan Nazwan.
Dia tidak sangka, rancangan terakhirnya itu membawa kepada kematian Natasya. Pada ketika itu barulah dia sedar, dia sudah mengambil satu nyawa hanya kerana taksub kepada cinta. Dia tidak mendendami Natasya. Dia cuma inginkan Nazwan. Tapi tanpa sedar, dia sudah mengorbankan nyawa seorang kawan. Dia betul-betul menyesal. Tapi malangnya, semuanya sudah terlambat.
"Masih belum terlambat lagi," kata-kata Nazwan itu masih lagi tersimpan semat di kotak ingatannya.
Selepas kematian Natasya, dia mengaku semua itu berpunca daripadanya walau pada hakikatnya Natasya meninggal dunia kerana sejak nafas. Tapi disebabkan rasa bersalah terhadap apa yang berlaku sepanjang Natasya hidup, dia mengakuinya. Ini semua disebabkan dia.
Dia tidak dapat lupakan muka Luqman ketika dia mengaku apa yang dia telah rancangkan selama ini. Memang dia bersalah teramat sangat. Luqman begitu baik terhadapnya. Apabila dia beritahu semuanya, dia nampak kekesalan pada muka Luqman. Pada ketika itu, dia sudah buat perjanjian dengan dirinya sendiri. Kalau Luqman sedia maafkannya, dia tidak akan sia-siakan Luqman selamanya!
Dia bernasib baik. Luqman sedia maafkannya walaupun mengambil masa yang lama. Nazwan pula... dia sendiri terkejut. Selepas dia mengaku, pantas sahaja Nazwan memaafkannya. Rupa-rupanya Nazwan awal-awal lagi sudah tahu kerja kotornya. Nazwan juga percaya bukan Arissa yang hantar gambar itu kepadanya.
"Aku kenal siapa Arissa," Itu satu alasannya.
Sejak itu, perkara ini dianggap selesai begitu sahaja. Malah, mereka juga buat keputusan untuk tidak mengungkit hal itu lagi. Tapi, baginya, rasa bersalah tetap ada. Sejak itu, dia akan pastikan Nazwan mendapat seseorang yang setanding dengan Natasya. Disebabkan itu jugalah dia membantah keras apabila Arissa tiba-tiba buat keputusan hendak memikat Nazwan.
Disangkanya dia telah membuat satu keputusan yang tepat tapi sekali lagi dia silap. Tidak sangka, sekali lagi peristiwa hitam yang sama berlaku. Kali ini, papa Arissa pula meninggal dunia. Dia memang patut dipersalahkan.

***

Melati menghampiri Arissa yang dilihat asyik duduk merenung kolam air yang dipenuhi ikan berwarna merah itu. Sejak kali pertama Arissa jejak kaki ke resortnya minggu lepas, dia hanya mampu memerhatikan tindak tanduk rakannya itu dari jauh. Hendak bertegur, awal-awal lagi Arissa sudah beritahu bahawa dia tidak mahu gangguan daripada sesiapa pun. Jadi, dia hanya mampu melihat rakannya itu.
Pernah sekali dia menegur Arissa, tangisan tanpa henti pula diterimanya. Sejak itu, dia tidak berani tegur Arissa. Niat dihati hendak memberikan sedikit kekuatan kepada Arissa yang sedang menghadapi saat-saat yang menyukarkan. Tatkala ditinggalkan tunang, papa dia pula meninggal dunia. Dia dapat rasa kesedihan yang dialami oleh Arissa pada ketika ini. Tapi, Arissa memang tabah dan kuat hadapi semua ini seorang diri.
"Daripada kau duduk termenung macam tu, lebih baik kau bagi ikan-ikan tu makan," sapa Melati sambil menghulurkan sebuah bekas yang menyimpan makanan ikan kepada Arissa.
Arissa menyambutnya tanpa banyak tanya. Ditabur makanan ikan itu di dalam kolam. Serentak itu, menggelupur ikan-ikan itu berebut mendapatkan makan.
"Wah, berapa tahun kau tak bagi ikan-ikan ni makan?" tanya Arissa seraya menaburkan lagi makanan ikan ke dalam kolam.
"Hari-hari aku bagi. Kau je yang tak tahu," balas Melati selamba.
"Tapi kenapa ikan-ikan ni kelaparan semacam?"
"Sebab ikan-ikan ni mudah lapar kalau tengok muka orang yang sama je tenung dia orang. Sudahlah asyik-asyik duduk termenung, lepas tu langsung tak pedulikan dia orang dah makan ke belum. Itu yang buat ikan-ikan ni lagi lapar," ujar Melati selamba.
"Mana ada aku termenung," nafi Arissa.
"Habis tu, kau duduk sini buat apa? Nak tengok macam mana ikan mengawan ke?"
Arissa mengeluh. Sebenarnya dia rasa serba salah sebab sudah membuatkan Melati risau akannya. Hajatnya bercuti di resort Melati bukanlah bertujuan hendak melarikan diri daripada apa yang sudah berlaku tetapi untuk memberikan ruang untuk dirinya berehat. Tapi, tanpa sedar dia sudah buat Melati risau. Bukan sahaja Melati tetapi orang-orang di sekelilingnya juga. Bukan dia tidak tahu, Mama Fiza sentiasa bertanyakan Melati akan khabarnya.
"Melati, kau rasa aku ni menyusahkan ke?" tanya Arissa.
"Mmm... memang menyusahkan," balas Melati selamba.
"Hah?" terkejut Arissa mendengarnya.
"Kau harap aku kata apa? Kau tak menyusahkan?" balas Melati lagi.
Arissa menarik muncung tajam. Kalau bercakap dengan Melati, pastinya dia akan kalah. Rakannya itu memang suka cakap lepas. Kalau dengan orang lain dia boleh bermanja-manja lagi tapi dengan Melati, jangan haraplah. Sekali dia balas memang pedas sepedas sambal belacan!
"Kau ni, tolonglah kasihan dengan aku ni," ujar Arissa menagih simpati.
"Cuba ingat balik kali terakhir aku cuba pujuk kau... apa kau buat? Kau melalak sampai semua orang di resort aku ni tak boleh tidur malam," balas Melati.
Sekali lagi Arissa menarik muncung.
"Jadi, kau nak halau akulah?" tanya Arissa masih lagi menagih simpati.
"Jangan risau, aku takkan halau kau," ujar Melati.
"Betul?" senyuman gembira Arissa mula kelihatan.
"Tapi aku akan buat kau macam orang gaji sampai kau kembali ke pangkal jalan."
"Eee...," rungut Arissa tidak puas hati.
"Baliklah Arissa. Kau tahukan semua orang risaukan kau?"
Perlahan-lahan Arissa mengangguk.
"Habis tu, apa kau tunggu lagi? Bukan ke kau pernah kata dulu, kau tak suka orang risaukan kau?"
"Memanglah tapi aku tak tahu macam mana nak ucapkan selamat tinggal," jawab Arissa.
"Ucapkan selamat tinggal? Untuk siapa? Kau nak pergi mana?" bertubi-tubi Melati bertanya.
"Aku tak pergi mana-mana. Aku cuma nak ucapkan selamat tinggal pada Nazwan."
Melati mengerut dahi. Parah. Ini memang parah. Dia amat pasti Nazwan pergi ke UK, bukannya ada di resort dia. Kenapa pula Arissa hendak ucapkan selamat tinggal pada Nazwan di sini. Lainlah kalau Nazwan sudah tiada lagi di dunia ini. Itu mungkin dia boleh terima. Tapi, Nazwan masih hidup lagi. Mungkin sedang bergembira di luar sana.
"Kau demam ke?" tanya Melati seraya meletakkan tangan di dahi Arissa.
Normal.
"Aku sihatlah dan aku tak gila lagi. Aku memang nak ucapkan selamat tinggal pada Nazwan. Memandangkan aku sendiri tak dapat hubungi dia dan tak dapat pergi ke UK sekarang, jadi aku fikir ini adalah tempat yang sesuai."
"Kenapa?" tanya Melati mula rasa semacam.
"Sebab aku jatuh cinta dengan dia di sini, jadi aku nak pulangkan cinta dia di sini," terang Arissa.
"Fuh, aku hampir-hampir ingat yang resort aku ni tempat mistik sampai boleh ucapkan selamat tinggal dengan orang duduk di negara lain," keluh Melati menghela nafas lega. "Tapi, dengan semudah tu?"
Arissa mengangguk.
"Kau pasti, kau tak apa-apa?"
"Jangan risau. Dalam seminggu aku dekat sini aku dah puas menangis dan berfikir. Aku dah fikir masak-masak, aku nak lepaskan Nazwan dan cari cinta lain. Lagipun bukan dia seorang saja lelaki yang ada dalam dunia ni. Mungkin dengan cara lepaskan dia aku dapat cari lelaki yang betul-betul hargai aku," ujar Arissa selamba. Langsung tiada sedikit pun perasaan sedih.
"Kenapa?" tanya Melati tidak faham.
Kalau orang lain memang payah hendak terima kenyataan tetapi Arissa boleh buatnya dalam masa kurang sebulan. Kadangkala dia tertanya juga, adakah Arissa betul-betul cintakan Nazwan atau hanya main-main.
"Sebab aku tak nak membazir masa dengan menunggu sesuatu yang tak pasti."
"Buatlah apa yang kau rasa nak buat," ujar Melati yang tidak mahu masuk campur dengan masalah hati dan perasaan Arissa. Kalau dipaksa tidak guna juga. Kadangkala Arissa memang nampak kebudak-budakkan tapi pada dasarnya, rakannya itu memang matang dalam membuat keputusan.
"Cuma... aku tak pasti tentang sesuatu..."
"Tentang apa?"
"Macam mana ikan mengawan?" tanya Arissa dengan serius.
"Nanti, kau tanyalah soalan tu pada bakal suami kau ye," ujar Melati malas hendak melayan.

***

"Ah, bosannya," keluh Arissa yang sudah tidak tahu hendak buat apa lagi. Dia menjeling jam di tangannya. Ada beberapa minit sebelum pukul 12.00 tengah hari. Tidak sampai setengah hari dia sudah bosan. Lalu dia mencapai longgokan novel yang dibelinya minggu lepas. Ada 20 novel di situ tapi kebanyakan novel itu sudah habis dibacanya. Malah ada yang dibacanya berulang kali.
Kali ini dia sudah tidak tahu hendak membaca apa lagi. Lantas dia berlalu ke meja tulis yang menjadi tempat dia menghabiskan masa menonton video di Youtube. Itulah rutin hariannya di dalam bilik. Kalau tak membaca novel, mesti akan melayari Internet.
Hari ini dia tergerak hati membuka Facebook. Sudah lama rasanya dia tidak membuka Facebook memandangkan dia pasti akan teringatkan papanya. Zaman sekarang kalau hendak ucapkan takziah mesti melalui Facebook. Sangat menjengkelkan!
Seperti yang dijangka memang banyak ucapan takziah yang diterima. Kebanyakannya daripada kawan-kawan sekolahnya dan hanya sedikit kawan di universitinya. Memang sudah dijangka. Dia memang tidak ramai kawan. Kalau ada pun hanya setakat kenal nama. Tapi Arissa memang tidak pernah ambil tahu bilangan kawannya.
Prinsipnya senang saja, nak kawan silakan. Tak nak kawan, itu bukan masalahnya.
Sedang sibuk dia melayan satu demi satu status kawan-kawannya, tiba-tiba dia terpandang satu gambar yang membuatkan jantungnya berdebar. Gambar Nazwan bersama sepupu Sarah, Natasya! Menyirap darahnya melihat gambar itu.
"Huh, minah ni memang sengaja nak bagi aku sakit hati. Dia sengaja publickan gambar tu dan tag Sarah supaya aku tengok gambar tu," ujarnya sambil cuba menahan marah.
"Eh, Nazwan dah ada Facebook?" tanya Arissa apabila melihat gambar itu turut tag nama akaun Facebook Nazwan. "Ohh, dia ada Facebook tapi tak add aku!"
Arissa lantas menutup laptopnya dengan kuat. Geram. Luka di hatinya baru sahaja sembuh, kini datang kembali selepas melihat gambar itu. Macam-macam yang dia fikir sekarang. Gambar itu bukan diambil di Cameron Highland tapi di London. Ini bermakna mereka berdua berjumpa di sana. Ini juga bermakna ada kemungkinan mereka ada hubungan.
Jadi, Nazwan ke sana disebabkan Natasya?
"Okey, rileks," ujar Arissa kepada dirinya sendiri. Dia menarik nafas panjang dan menghembuskan kembali. "Semuanya dah berakhir. Nazwan dah tinggalkan aku tanpa sebarang kata dan itu bermakna semuanya dah berakhir. Lupakan semuanya dan jangan banyak fikir tentang apa dia buat di sana, siapa Natasya di hati dia atau apa-apa tentang dia lagi."
Selepas beberapa kali mengingatkan diri sendiri tentang hal itu, akhirnya dia kembali tenang. Tiada lagi perasaan marah dan sakit hati. Itulah yang dilakukan sejak bercuti di resort itu. Setakat ini memang berjaya.
"Tapi... selagi cincin ni ada di jari aku, selagi tu akan akan ingatkan Nazwan. Mmm... mungkin dah tiba masanya untuk tanggalkan cincin ni," ujar Arissa yang terasa terganggu dengan kehadiran cincin itu di jari manisnya.
"Eh...," berkali-kali dia cuba menarik cincin itu keluar dari jarinya tapi ketat. Cincin itu tidak bergerak sedikit pun. "Takkanlah. Ini bermakna...aku dah gemuk!!!" 

30 si charming:

  1. ummi berkata...:

    bagimana dgn nazwan..tak terkesan ka dia....
    sedihnya arissa..
    kasi arissa dgn naufal...

  1. Tanpa Nama berkata...:

    tabah Arissa !!

  1. Unknown berkata...:

    cepat up next entry !! hahaaaaa

  1. Tanpa Nama berkata...:

    aish..kalo dan skali Arissa lupakan Nazwan, mesti hati ni pun susah nak terima Nazwan balik..x adil bgi Arissa. baik cepatkan pertemuan semula Nazwan-Arissa atau lupakan Nazwan sebgai hero..kesian kat Arissa..huwaaaaaaaaa

    >><<

  1. JuZ tHiNkiNG.. berkata...:

    wah!!!!! nak lagi.. nk lagi..

  1. JuZ tHiNkiNG.. berkata...:

    wah!!!!! nak lagi.. nk lagi..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    arissa,lupakan nazwan....

  1. Tanpa Nama berkata...:

    kesian nye dgn arissa..smpai ati nazwan x peduli kan die,boleh x mncul watak hero yg baru sbb skrg ni da skit ati ngn nazwan.

  1. Unknown berkata...:

    Rasanya arissa hanya berpura2 ok..hati dia dah terluka teruk tu..hbs la nazwan..susah nak pujuk nnt..

  1. Unknown berkata...:

    Rasanya arissa hanya berpura2 ok..hati dia dah terluka teruk tu..hbs la nazwan..susah nak pujuk nnt..

  1. MizaEija berkata...:

    akan menantikan saat Nazwan bertemu kembali dgn Arissa...

  1. Tanpa Nama berkata...:

    sob..sob...*kesian arissa..nk hero bru...hhehhehe :D naufal maybe..

  1. epy elina berkata...:

    mkin mnrik crta ni...

  1. jayda berkata...:

    harap sngt ada hero baru yg kebaboom untuk arissa... biar nazwan plak makan ati bila arissa upload pic kt fb..hehehe.. and biar Sarah & Luqman x senang hidup psl rasa guilty...

  1. rahsia hatiku berkata...:

    asyik arissa je makan ati.. bagi la lukman ngan sarah plak makan aty..

  1. intan abd wahab berkata...:

    sarah jugak punca ayah arissa meninggal...agknya sarah yang bagi tahu psl nazwan tinggalkan arissa pd har prtunagan..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    kejamnye lukman dan sarah.....lg kejam nazwan sbb dia xpunya ati w/pun sbg sahabat...................

  1. Tanpa Nama berkata...:

    nak lagi..

  1. azuera berkata...:

    sedihnya...sian arissa...tapi suka dengan semangat arissa untuk melupakan nazwan... nak hero baru..jauh lebih handsome dari nazwan.....yang lebih menghargai seorang arissa....

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Mulakan hdp baru wahai arissa.Tak payah ingat dgn nazwan pengecut tu....Nak hero baru,plisss...hehee

  1. rockheart berkata...:

    Nazwan blk cpt pujuk arissa or cik ratu bg naufalla jd hero... Hehe... Cian risa
    sob sob

  1. wajikDodol berkata...:

    U go girlzz....Arissa...maju2...terus...lupa kn nazwan, w/pon pahit..xguna tunggu org yg xtahu hargai kita...

  1. Unknown berkata...:

    bgs arissa!, anggap aje semua telah berakhir.padamkan rasa pd nazwan.tabalkan nazwan sbg KAWAN untuk selamanya, sbb itulah yg dia nak selama ni.

  1. imanasuha berkata...:

    Best! Lawti juga blog saya iaitu imanasuha.blogspot.com dan boleh kita bertukar2 link? tq

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Tolong lar ade lelaki lain yg boleh appreciate arissaa.. Dh cian sgt dgn dia.. How could sarah, luqman n nazwan buat dia camtu.... Xpe arissa.. Kumbang bukan 1, cari je yg lain.. Prove to nazwan what he had lost... Biar padan muka dia.. Ishh... Geramnyer.....

  1. dyaNZa berkata...:

    kecian kt arissa... jahatnya nazwan... geram plak rse... x sabaq nk tau next n3...

  1. Tanpa Nama berkata...:

    cik ratu, sambung la lagi..
    excited nak baca pertemuan arissa dan nazwan..hrp2 arissa dah kurus leh lah pulangkan sekali cincin tunang kpd nazwan:P

  1. MomoiKuSayang berkata...:

    lamanya nak tunggu new entry...cepat la upkan next entry

  1. Tanpa Nama berkata...:

    cepat la update.

  1. Tanpa Nama berkata...:

    mana entry baru neh....
    writer cepatla uploaddd....
    please.....

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages