10: UGUTAN


10: UGUTAN
Pintu bilik tandas di kedengaran ditutup dengan kasar. Asraf yang sedang membasuh tangan di sink, terpandang Hafiz di dalam cermin di hadapannya.


“Kau nak rogol aku ke?” tanya Asraf separuh memerli. Memang hubungannya dengan Hafiz tidak beberapa baik sejak dia memasuki sekolah itu lagi. Tak tahulah. Dia pun pelik kenapa Hafiz selalu hendak cari gaduh dengannya.


Mahu kata dia lebih handsome dari Hafiz… emm… memang pun dia lagi handsome dari Hafiz. Hafiz tu perasan macho saja. Tapi setahunya, dia tidak pernah kacau periuk nasi Hafiz kecuali, sejak kedatangannya ke sekolah itu, peminat Hafiz semakin berkurangan dan beralih padanya walaupun dia sudah tampal besar-besar perkataan ANTI PEREMPUAN di pintu hatinya.


“Aku nak kau jauhkan diri dari Blue,” kata Hafiz separuh mengugut. Memang ugut pun. Tapi, susah juga dia hendak percaya apa yang Hafiz katakan itu.


‘Jauhkan diri dari Blue?’ Asraf tersenyum. Nampak sangat yang Hafiz masih tidak dapat lupakan Blue. Kalau tidak, tak mungkin Hafiz akan mengugutnya supaya jauhkan diri dari budak mata biru itu.


“Siapa? Blue? Ocean Blue ke, ataupun Blue Clue?” tanya Asraf berpura-pura tidak tahu menahu.
“Jangan buat tak tahu. Aku nak beri amaran pada kau untuk kali terakhir, jangan ganggu Blue dan aku takkan biarkan kau hidup selagi kau ganggu hidup Blue,” tegasnya. “Faham?!”

Asraf terdiam sebentar. Kelihatan berfikir sesuatu.


“Kau faham tak?!” tengking Hafiz. Huh, hilang kekacakkannya.


Dengan perlahan Asraf menggeleng.


“Tak faham,” dia menggeleng lagi. Kali ini wajahnya tampak serius.


“Kau kata ini amaran terakhir… sejak bila aku dapat amaran pertama ke, amaran kedua ke, amaran ketiga dan seterusnya? Selalunyalahkan, kau pun tahukan aku ni suka langgar peraturan sekolah, selalu sangat ponteng sekolah dan aku selalunya terima amaran pertama terlebih dahalu, selepas cikgu dah bengang tahap gaban barulah aku terima surat amaran kedua dan selepas cikgu dan cikgu dah bengang tahap gaban sampai nak masuk jamban pun tak de selera sebab marahkan aku, barulah aku terima amaran ketiga dan merupakan amaran terakhir. Macammana tu? Boleh tak kau terangkan pada aku? Bila kau bagi surat ataupun kata-kata amaran pertama dan kedua?” tanya Asraf berjela-jela dengan sekali nafas membuatkan Hafiz kelihatan pening.


“Ah!” Hafiz bengang dipermainkan oleh Asraf. Sesuatu yang dia tidak suka tentang Asraf. “Yang penting disini, aku nak kau jauhkan diri dari Blue.”

“Hafiz, kau pun tahukan. Aku ni bukannya penggemar warna biru. Aku tak suka warna biru sebab itulah aku tak suka jadi pengawas walaupun Cikgu Hilmi banyak kali melutut depan aku suruh aku jadi pengawas. Aku tak suka sebab pengawas pakai baju warna biru. Kau tengoklah beg aku, mana ada aku pakai warna biru… warna putih tau. Aku suka warna putih, dan bukannya suka warna biru. Aku anti sangat dengan warna biru sebab tulah aku jauhkan diri aku dari warna biru. Pernah juga kakak aku cat rumah warna biru, lepas tu 100 hari aku tak balik rumah dan tidur di hotel sampailah kakak aku terpaksa cat balik rumah tu warna putih. Hah! Puas hati ke? Aku tak suka warna biru. Kalau kau suka warna biru, kau ambillah. Jangan risau, aku takkan cemburu punya,” balas Asraf berjela sekali lagi. Dan sekali lagi Hafiz terpaksa mendengar celoteh Asraf.


“Asraf, kau jangan main-main dengan aku. Kau tahu tak aku ni anak ketua kampung? Bila-bila masa saja aku boleh usir kau keluar dari kampung aku ni tau. Ingat, aku beri amaran terakhir… jangan ganggu Blue, dia bukannya perempuan yang kau fikir.”


“Dan dia juga bukan perempuan yang mudah dipermainkan,” balas Asraf dengan nada serius. Asraf mula mengorak langkah. Tidak sanggup dia hendak berhadapan dengan Hafiz lagi. Sabarlah, hanya ada beberapa bulan lagi dan selepas perintah berkurung tamat, tahulah dia nak uruskan orang yang berlagak seperti Hafiz itu.


“Ingat amaran aku,” kata Hafiz lagi. “Kalau kau masih lagi kacau Blue….”


“Kalau aku kacau Blue lagi kenapa? Kau nak buat apa?” tanya Asraf.


“Aku akan pecahkan satu rahsia….”


Asraf menutup pintu tandas dengan kuat. Hatinya membara. Entah kenapa dia terasa macam hendak bakar saja tandas itu. Biar Hafiz rentung di dalamnya. Huh, nasib baiklah Malaysia ni kaya dengan undang-undang kalau tidak memang dia sudah letupkan. Tapi, kalau Malaysia tidak kaya dengan undang-undang pun, rasanya hidupnya akan lebih terseksa lagi. Dari 3 tahun kena perintah berkurung, kena 100 tahun pula.


Tapi kenapa pula dia boleh mengamuk sampai macam tu sekali? Bukannya masalah dia. Kalau Hafiz hendak pecahkan rahsia tu, pecah sajalah. Tak payah nak ugut-ugut. Tapi, tak boleh juga.


Hisy, bijak juga budak si Hafiz ni. Patutlah dia merupakan salah seorang pelajar cemerlang. Ingatkan dalam pelajaran saja cemerlang tapi dalam bab ugut-mengugut juga dia cemerlang. Tapi dalam kecemerlangan otak kau tu, kau tak boleh lawan otak aku yang lagi 100 kali ganda cemerlang. Kau mana tahu, sebab otak aku inilah… aku kena buang negeri.


Tiba-tiba hatinya sayu.


“Hisy, perintah berkurung… perintah berkurung…,” keluhnya sambil menggeleng.


“Hey Roswell,” sapa Blue yang entah dari mana datangnya. Terus menyapanya begitu. Nasib baiklah dia pinjam jantung Superman sejak dari lahir lagi, kalau tidak, alamatnya dia sudah berada di awang-awanganlah.


“Kau nak apa pulak?” tanya Asraf. Bila dia ternampak Blue, serta-merta dia teringatkan ugutan Hafiz di dalam tandas tadi.


“Kita perlu bercakap,” kata Blue.


“Memanglah kita bercakap sekarang ni. Ada ke aku mendiamkan diri? Ada ke aku bagi tahu yang aku ni bisu? Oh, lupa pula, orang bisu mana boleh cakap dia bisu. Sebab kalau dia bisu, dia mana ada suara hendak bercakap. Jadi, kalau dia tiada suara nak bercakap, dia tak boleh cakap yang dia tu bisu. Betul tak? Tapi aku tengah bercakap dengan kau, jadi aku tak bisu,” balas Asraf panjang berjela.


Blue sekali lagi hanya menggeleng. Dia sudah agak, inilah padahnya bila bertegur sapa dengan si Roswell itu. Memang makhluk asing tak faham bahasa melayu. Baru cakap 3 patah, si makhluk asing ini sudah balas 30 patah.


“Boleh tak kau jangan nak merepek? Pening kepala aku menengarnya.”


“Siapa suruh kau dengar ikut kepala. Ada aku suruh ke? Setahu aku orang lain, termasuk akulah, aku dengar apa yang orang cakap melalui telinga aku. Tak pernah aku jumpa dengan orang dengar ikut kepala selain dari kau….”


“Okey, diam!” pantas Blue berkata. Dia menarik nafas lemah. “Dah, jangan cakap apa-apa. Zip mulut kau tu dan buang kunci tu ke tepi dan kali ini biar aku saja yang bercakap.”
Asraf memberi isyarat supaya Blue bercakap.


“Aku rasakan, lebih baik kalau kita jangan umumkan rancangan kau tu. Yelah, jadi boyfriend dan girlfriend palsu. Kalau kita berdua tiba-tiba umumkan hubungan palsu kita ni, mesti mereka semua pelik dan diorang pasti tidak akan percaya seratus peratus walaupun kita berusaha jadi pelakon terbaik. Dan tambahan pula, susahlah aku nak pikat Hafiz tu dan kau pula mesti susah nak keluar dari gengaman Harry Potter tu. Silap-silap hari bulan kita berdua di sihirnya.”


“Jadi, untuk rancangan aku. Kita lakukan dengan berhati-hati. Macam dalam cerita Korea dan Taiwan, selalunya diorang akan gaduh-gaduh dulu di awal dan dipertengahan cerita. So, apa kata kalau kita jadi pengarah dan cipta satu jalan cerita selama 100 hari. Dalam 100 hari tu kita berdua perlu berpakat dan tolong menolong untuk memusnahkan musuh-musuh kita? Jadi, kalau masa ni kita nak umumkan hubungan palsu kita berdua, orang lain takkan rasa pelik sebab diorang akan ingat cerita cinta kita sama seperti cerita cinta di drama Korea. Bagaimana?”


Asraf terdiam sebentar. Mungkin rancangan Blue memang boleh pakai. Yelah, bukan senang dia hendak tipu kawan-kawannya yang memang cerdik. Mestilah diorang pelik kalau dia dapat pikat Blue.


“Bagaimana?” tanya Blue lagi.


“Emm…” dia mengangguk sambil tangannya lancar berbahasa isyarat. Blue pelik pada mulanya. Tapi dia teringat arahannya tadi.


“Okey, aku tak faham bahasa isyarat. Kau boleh bukak zip mulut kau tu,” ujar Blue sambil menggeleng.


“Okey,” jawab Asraf pendek.

“Okey?” tanya Blue kehairanan.


“Ya. Okey.”


“Habis, kau beritahu apa melalui bahasa isyarat tadi tu?”

“Aku bagitahu bila lagi aku boleh bukak zip kat mulut aku ni,” jawab Asraf acuh tak acuh.

Blue sekali lagi hilang kata-kata.

“So, okey maknanya okey?”

“Habis? Maknanya K.O ke?”

“Err… tak,” pantas dia berkata. “Sebab aku fikir, kau takkan sokong rancangan aku,” tambahnya lagi.

“Jadi, kau nak aku tarik balik ke?” tanya Asraf.
“Okey tak pe. Tak pe,” pantas Blue membalas. “So, deal hah….”

“Ye… deal! Lepas ni kau belanja aku makan kat gerai Mak Leha tu.”

Blue mencebik marah.

2 si charming:

  1. Tanpa Nama berkata...:

    cte best mmg best..xsbr nk t'gu episod strusnye..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    penulis cpt lah wat smbngnnyer... x sabo nk tau nie..

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages