TKC: BAB 4, 5


BAB 4

“Perempuan hodoh! Sudahlah hodoh, miskin pula tu!” Herdik seorang budak lelaki kepada seorang budak perempuan di tengah-tengah orang ramai. Sakinah yang pada ketika itu berusia 8 tahun sekadar menunduk kepalanya memandang lantai dan langsung tidak berani bertentang mata dengan budak lelaki di hadapannya itu.

“Kau ingat aku sukakan perempuan hodoh macam kau? Hodoh macam gergasi! Jangan haraplah aku sukakan kau,” tambah budak lelaki itu lagi.

Sakinah tidak mampu melawan. Semuanya salahnya. Kalaulah dia bertindak bijak sikit, pasti dia tidak akan dimalukan sebegitu. Niatnya ingin menolong seorang rakan yang memintanya memberikan surat cinta kepada seorang murid lelaki yang paling popular dan handsome di sekolahnya itu. Tanpa mengesyaki apa-apa, dia memberi surat cinta itu kepada murid lelaki itu, tetapi selepas surat itu dibaca, murid lelaki itu memaki hamunnya dengan kata-kata yang menyakitkan hati.

Kemudian, barulah dia menyedari bahawa rakannya itu sengaja ingin mengenakannya dengan menulis namanya pada surat itu. Dia yang tidak dapat pembelaan daripada sesiapa hanya mampu berdiam diri sementara murid-murid di sekelilingnya ketawa berdekah-dekah.

Anehnya, dia langsung tidak menangis walaupun diperlakukan begitu. Selepas puas mendengar budak lelaki itu mengherdiknya dengan kata-kata yang menyakitkan hati, Sakinah memberanikan diri membela dirinya sendiri.

“Awak dah salah sangka. Saya hanya sampaikan surat tu saja. Surat tu bukan saya tulis,” jelas Sakinah cuba menerangkan perkara sebenar.

“Siapa nak percaya? Satu sekolah tahu yang kau memang sukakan dia.” Kedengaran pula satu suara berkata dengan nada memerli. Terkejut Sakinah apabila mendapati suara itu adalah milik rakannya yang menyuruh menghantar surat itu kepada budak lelaki itu tadi.

“Cerminlah muka tu!” caci mereka lagi.

“Budak miskin. Siapa nak kan kau yang miskin dan jijik!” ujar budak lelaki itu lagi dan surat ditangannya itu dikoyak-koyak dan dicampak ke muka Sakinah sebelum berlalu pergi dari situ.

Mereka yang lain masih mengejek-ejeknya dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Baru beberapa hari bersekolah di sekolah baru, dia sudah mencipta satu kenangan yang pahit. Mungkin akan menjadi paling pahit dalam sejarah hidupnya.

Tiba-tiba, terdapat satu tangan menariknya berlalu pergi dari situ. Kebanyakan mereka tergamam dan terdiam seketika apabila mendapati orang yang menariknya itu adalah Zaquan, murid tahun 6 yang gemuk dan paling digeruni oleh semua murid-murid di sekolah itu.

Sakinah terpaksa mengekori Tuan Mudanya sehinggalah mereka sampai di satu tempat yang tidak ramai murid. Mana tidaknya, murid-murid yang terserempak dengan Tuan Mudanya pasti akan melarikan diri terlebih dahulu. Tuan Mudanya melepaskan tangannya dengan kasar dan memandang tajam ke arahnya seperti harimau kelaparan.

“Tuan Muda…,” ujarnya tergagap-gagap. Tiba-tiba dia mengalirkan air mata.

“Kau ni tak habis-habis nak menangis. Orang tengking sikit, mesti menangis. Kena reject pun kau menangis,” balas Tuan Mudanya dingin seperti selalu.

Sakinah cuba menahan tangisannya. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu menangis di hadapan lelaki gemuk itu.

“Aku nak tanya, kau sukakan budak lelaki tu ke?” tanya Tuan Mudanya sambil bercekak pinggang walaupun Tuan Mudanya seperti tiada pinggang.

Sakinah pantas menggeleng dan menafikan semuanya. Sememangnya dia tidak mempunyai sebarang perasaan pada lelaki tadi. Dia sudah termasuk perangkap seseorang yang mengaku kawan.

“Kalau macam tu, kenapa kau menangis,” tanya Tuan Mudanya lagi seperti tidak puas hati.

“Saya… saya….” katanya tersekat-sekat.

“Ah, sudah. Aku tak nak dengar alasan kau lagi. Dengar baik-baik, semua orang kat sekolah ni semuanya jahat-jahat dan tak boleh dibuat kawan! Jadikan semua ni sebagai pengajaran. Lepas ni aku tak nak dengar orang suruhan aku kena buli hidup-hidup dengan orang lain. Ingat! Kau orang suruhan aku, hanya aku saja yang boleh buli kau! Dan lagi satu, mulai daripada hari ini juga, jangan gatal-gatal nak pikat lelaki lain. Kau milik aku selama-lamanya, faham?!” tegas Zaquan dengan penuh angkuh.

‘Huh! Macam tu ke cara nak pujuk orang. Bencana alam betul!’ rungut Sakinah dalam diam.

***

Sakinah terjaga dari tidurnya. Sejak akhir-akhir ini, dia selalu termimpikan kenangan lamanya semasa bersama Tuan Mudanya. Semuanya gara-gara dia masih lagi terkejut setelah mendapat berita tentang Tuan Mudanya akan berpindah ke Malaysia semula setelah bertahun-tahan lamanya lelaki itu menyepikan diri di negara matahari terbit itu.

Hampir 10 tahun Sakinah tidak bertemu dengan Tuan Mudanya atau Zaquan. Malah, sewaktu Zaquan pergi meninggalkan Malaysia, dia langsung tidak berpeluang untuk berjumpa dengan Tuan Mudanya itu. Semuanya berubah apabila bapa Zaquan meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya yang turut meragut nyawa ayahnya sekali. Oleh kerana ayahnya yang memandu kereta, Zaquan telah menyalahkan bapa Sakinah kerana menyebabkan lelaki itu kehilangan bapa yang amat disanjunginya.

Hubungan Zaquan dengan bapanya, Tuan Haji Zamarul memang rapat. Mungkin sebab itulah semasa bapanya meninggal dunia Zaquan lebih banyak menyepikan diri dan tidak langsung bertegur sapa dengan Sakinah. Malah, menuduh Sakinah yang pada ketika itu turut kehilangan ayah, sebagai anak kepada pembunuh!

Oleh kerana keadaan Zaquan yang sering termenung dan bermurung, Auntie Zira telah membawa keputusan untuk membawa Zaquan pulang ke kampung halamannya di Jepun. Pada masa itu, umur Sakinah baru sahaja berusia 10 tahun. Zaquan pergi ke Jepun tanpa berjumpa dengannya langsung. Itu yang menyebabkan Sakinah berasa sedih.

Dia bertambah sedih apabila Zaquan langsung tidak menghubunginya selepas berada di sana. Bertahun-tahun lamanya dia cuba memahami Zaquan, akhirnya dia terpaksa menerima bahawa kebencian Zaquan terhadap dirinya begitu dalam sekali. Sejak itu, Sakinah mula membuang kenangannya bersama-sama Zaquan sedikit demi sedikit dan akhirnya dia dapat melupakan Zaquan setelah bertemu dengan Aizat.

Sakinah tidak dapat menafikan, cara dia melayan Aizat lebih kurang seperti dia melayan Zaquan dahulu. Pada waktu pagi, dia akan mengejutkan Zaquan bangun untuk sembahyang, menyediakan sarapan pagi untuk Zaquan dan kadangkala dia akan menyediakan makanan tengah hari untuk Zaquan walaupun pada ketika itu dia hanya tahu memasak telur dadar sahaja. Begitulah dia melayan Aizat cuma yang bezanya, dia menganggap Zaquan adalah majikannya manakala dia sangat menyintai Aizat.

Semuanya berlaku dengan pantas. Apabila dia mendapat berita Zaquan akan kembali semula, dia pula kehilangan Aizat yang dicintainya. Seolah-olah nasibnya itu seperti satu kitaran. Pergi seorang, datang seorang, tetapi dia tidak pasti adakah kedatangan Tuan Mudanya semula untuk berdamai atau untuk membalas dendam.

Satu keluhan berat dilepaskannya.

Tanpa mengusutkan fikirannya lagi, Sakinah mencapai telefon bimbitnya. Selalunya pada waktu ini dia perlu mengejutkan Aizat bangun pagi, tetapi mulai daripada hari ini dia perlu melupakan rutin hariannya itu. Sejak semalam, dia dapat tahu Aizat telah menukar nombor telefon dan langsung tidak memberitahunya. Fahamlah Sakinah dengan situasi itu. Aizat benar-benar memaksudkannya. Hubungan persahabatan yang telah lama dibina mereka terputus di tengah jalan untuk kebaikan ketiga-tiga pihak.

Sakinah berlalu bangun dari katilnya. Sejak hubungan persahabatan itu terputus, hidupnya menjadi lebih sunyi dan lebih menyedihkan dia tidak dapat menyediakan makanan untuk Aizat.

Selepas membersihkan diri dan mengenakan baju kurung untuk ke kuliah, Sakinah terpandang kalender yang tergantung di sebelah meja tulisnya. Beberapa hari lagi Tuan Mudanya akan datang ke Malaysia dan dia perlu bersedia daripada sekarang. Villa yang pernah didiami oleh Tuan Mudanya itu sudah dikemasnya semalam. Walaupun tiada orang yang menyuruhnya mengemas Villa itu, tetapi memandangkan sudah lama Villa itu ditinggalkan, lebih baik dia mengemasnya supaya Tuan Mudanya berasa selesa apabila pulang ke Malaysia nanti.

***

Honey dilanda perasaan bersalah. Sejak dia mendapat tahu daripada rakan-rakannya mengenai hubungan persahabatan antara Aizat dengan Kak Sakinah sudah putus, dia benar-benar berasa tidak sedap hati. Dia tahu, semua itu berlaku selepas kejadian itu. Pasti ada sesuatu yang tidak kena sehingga kedua mereka mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.

“Aizat, saya minta maaf kalau saya dah buat hubungan awak dengan Kak Sakinah putus. Awak jangan salahkan Kak Sakinah. Saya yang cuai pada hari tu,” kata Honey memberanikan diri bersuara. Sejak tadi, dia asyik melihat Aizat asyik mendiamkan diri seperti ada sesuatu yang difikir oleh kekasihnya itu.

“Honey, apa yang berlaku tak ada kena mengena dengan awak,” balas Aizat.

“Tapi saya tak sukalah kalau dituduh sebagai perampas. Walaupun awak kata awak sukakan saya tapi mereka semua tetap kata saya perampas sebab awak dengan Kak Sakinah memang berkawan baik,” tambah Honey lagi.

“Pedulikan apa orang kata. Yang penting, semua ni tak ada kena mengena dengan awak. Saya dengan Sakinah perlu berehat. Bukan selama-lamanya. Biar waktu yang menentukannya.”

“Tapi, awak langsung tak bertegur dengan Kak Sakinah, bukan?” soal Honey lagi.

Aizat kembali senyap. Tekaan Honey itu memang tepat. Sejak dia bergaduh dengan Sakinah tempoh hari, dia langsung tidak bertegur sapa dengan Sakinah. Malah, dia mengambil satu tindakan drastik iaitu menukar nombor telefonnya dan langsung tidak memaklumkan nombor barunya itu kepada Sakinah. Apabila terserempak di luar pula, masing-masing seperti orang asing dan berpura-pura tidak kenal.

Pada mulanya memang sukar hendak membuang Sakinah jauh-jauh, tetapi dia menyibukkan diri dengan berlatih bermain bola keranjang untuk melupakan masalahnya dengan Sakinah. Setakat ini, dia berjaya melakukannya walaupun hatinya seperti terdera. Tapi dia sendiri tidak pasti sampai bilakah dia perlu membuang Sakinah dari hidupnya.

“Aizat, saya tahu saya cemburu bila tengok awak rapat dengan Kak Sakinah tapi saya tak bermaksud suruh awak buat keputusan macam ni.”

“Habis tu, apa yang awak nak saya buat? Putuskan hubungan kita berdua supaya saya boleh berkawan dengan Sakinah?” balas Aizat seperti orang kebuntuan.

“Saya dah fikir, mungkin itu saja cara….” Belum sempat Honey menghabiskan katanya, Aizat sudah melangkah pergi dengan satu dengusan. Marah!

Honey masih duduk di kerusinya. Untuk pertama kali, dia perlu berani membuat keputusan. Walaupun keputusan itu berat untuk dilaksanakannya, namun, setelah seminggu berfikir, akhirnya dia nekad! Sekarang bukannya masa untuknya bermanja lagi!

“Aku tak tahu apa yang bagusnya tentang kau sampai dua orang perempuan tergila-gilakan kau,” kata Aina kepada Aizat sewaktu pertemuan mereka di tempat yang lengang dengan orang ramai. Sengaja mereka memilih tempat yang jauh dari kawasan kolej supaya tiada pelajar Kolej Warisan terserempak dengan pertemuan sulit itu.

Tetapi bagi Aina, dia langsung tidak terkejut setelah mendapat panggilan daripada Aizat yang ingin berjumpa dengannya. Sememangnya dia boleh mengagak Aizat akan menghubunginya untuk bertanya tentang keadaan Sakinah. Akan tetapi, dia tidak menyangka Aizat ingin bersemuka dengannya. Sebaik-baik sahaja tiba di tempat pertemuan mereka, dia melihat wajah Aizat yang kelihatan sugul itu.

“Macam mana dengan Sakinah?” tanya Aizat yang sekarang hanya boleh berharap pada Aina seorang sahaja untuk memastikan keadaan Nur Sakinah benar-benar baik.

“Teruk. Macam kau juga,” jawab Aina terus terang.

Satu keluhan lemah dilepaskannya.

“Aku kalau boleh tak nak masuk campur dalam hal kau orang berdua ni tapi boleh tak kau beritahu aku, apa yang dah berlaku? Apa masalah kau sampai kau nak buang Sakinah macam tu?” tanya Aina sudah bersiap sedia dengan soalannya.

“Aku pun tak tahu nak buat macam mana lagi. Aku sayangkan dia sebagai seorang sahabat tapi….”

“Kau lagi sayangkan Honey?” lantas Aina memotong.

Aizat sekadar mengangguk sebelum menambah, “Aku dah buat yang terbaik untuk keduanya. Aku jujur dengan keduanya tapi….”

“Tapi kau tak boleh kawal semuanya,” Aina memintas lagi.

“Kau selalu menyampuk bila orang sedang bercakap?!” kata Aizat sedikit begang apabila Aina asyik memintas kata-katanya.

“Kenapa? Tapi semua tu betulkan?” balas Aina pantas.

Perlahan-lahan Aizat mengangguk.

“Kadangkala aku rasa lelaki ni bodoh juga,” ujar Aina tidak memberi sedikit ruang untuknya bercakap sepatah pun.

Mendengar Aina berkata, Aizat memandang perempuan di hadapannya dengan seribu pertanyaan.

“Bodoh sebab lelaki boleh berkahwin empat Apa salahnya kalau kau pilih dua-dua sekali sebagai teman hidup. Takkan nak tunggu sampai kau berkahwin dengan Honey dan lepas tu baru terperasan yang kau cintakan Sakinah dan berkahwin lagi sekali?” ujar Aina tanpa bertapis langsung.

“Apa yang kau merepek ni? Aku bukannya lelaki yang macam tu,” balas Aizat tidak percaya Aina akan mengeluarkan kenyataan yang begitu berterus terang.

“Tapi kau akan jadi lelaki macam tu kalau kau terus macam ni. Kau kata kau sayang Sakinah tapi dalam masa yang sama kau cintakan Honey. Kalau itu bukan nafsu semata-mata, takkan kau tak boleh terima kenyataan yang kau cintakan kedua-duanya? Kau bernasib baik tau sebab dia orang berdua tak bercakaran. Aku rasa kalau aku jadi Honey, memang dah lama aku serang Sakinah,” kata Aina lagi.

“Tapi kau kawan Sakinah.”

“Apalah bengap sangat kau ni. Aku kata ‘kalau’. Kalau aku jadi Honey,” Aina mendengus marah. “Ah, lupakan. Kau nak jumpa aku ni sebab nak tanya keadaan Sakinah saja ke?” tanya Aina lagi.

“Aku nak minta tolong,” kata Aizat teragak-agak.

“Tolong apa?”

“Tolong jaga Sakinah. Aku tahu dia mesti susah nak terima semua ni. Kau kawan baik dia, kau mesti tolong dia lagipun dia tak ada sesiapa kat sini.”

“Dan sekali lagi, apalah bengap sangat kau ni?!” tiba-tiba Aina meradang tidak tentu pasal. “Aku ingat besar sangatlah pertolongan tu. Kalau pasal tu, kau tak payah cakap pun tak apa. Aku kawan dia, aku tahulah macam mana nak handle hal Sakinah. Hisy! Aku tak tahu kenapa Sakinah jatuh cinta dengan kau ni.”

“Wei, itu menghina aku tu,” balas Aizat.

“Tahu pun,” Aina menjeling tajam.

“Lagi satu, tolong laporkan kalau ada apa-apa berlaku pada Sakinah. Mungkin aku dah buang dia tapi aku nak tahu tentang keadaan dia. Aku masih ambil berat terhadap dia,” tambah Aizat lagi.

“Kenapalah aku ditakdirkan berdiri di tengah-tengah dua orang manusia yang pelik ni?” Aina mengeluh lemah.

***

‘Dua hari lagi bencana alam nak datang, sempat ke aku nak stand by semuanya?’ detus hati Sakinah penuh kerisauan. Sesekali dia menggaru kepalanya walaupun tidak gatal. Kusut fikirannya!

“Ni apa hal pulak ni?” tanya Aina yang dari tadi pelik dengan perangai Sakinah di sebelahnya yang tidak tentu hala seperti ada sesuatu yang dirisaukannya.

“Err… tak ada apa-apa.”

“Beritahu sajalah. Walaupun aku tak suka dengar masalah kau dengan Aizat tapi untuk mengelakkan kau dapat tekanan yang dashyat lagi, aku sanggup mendengarnya,” kata Aina selamba.

Berita tentang hubungan persahabtan antara Sakinah dan Aizat sudah menjadi perbualan hangat di kalangan rakan-rakan mereka. Walaupun dia terkejut dengan berita itu, tetapi dia rasa bersyukur kerana Sakinah masih meneruskan kehidupannya seperti biasa cuma adakalanya Sakinah kelihatan seperti tertekan.

“Ni bukan pasal Aizat,” kata Sakinah selamba sehingga Aina yang mendengarnya berasa pelik.

“Habis tu pasal apa?” tanya Aina yang baru pertama kali mendengar Sakinah berkata begitu tentang Aizat.

“Bencana alam nak datang,” ujar Sakinah.

Sememangnya Sakinah belum memaklumkan berita tentang Tuan Mudanya yang akan kembali ke Malaysia. Bukannya dia terlupa ingin berkongsi berita itu kepada Aina, tetapi Aina asyik menumpukan pada masalahnya dengan Aizat sahaja sehingga dia sendiri terlupa untuk memberitahu tentang berita yang lagi membuatnya tidak keruan.

“Hah?!” Hampir tersedak air yang diminum Aina itu. Kemudian, Aina menggeleng.

“Apa yang nak datang? Ribut taufan? Banjir kilat, gempa bumi atau gunung berapi?” Entah apa pula yang terjadi pada Sakinah itu. Nampaknya kes putus cinta Sakinah sudah menjadi semakin parah. Hebat betul penangan cinta Aizat.

“Lebih teruk dari tu,” jawab Sakinah.

“Bumi merekah dan lepas tu meletup?” soal Aina lagi dengan penuh rasa ingin tahu. Mungkinkah Sakinah juga merupakan perempuan sihir yang handal dalam menilik masa depan?

“Apa yang kau merepek ni?” tanya Sakinah pelik.

“Aku pulak. Tadi kau kata, bencana alam nak datang.”

“Bukan tu tapi Tuan Muda aku tu.”

“Oh, tuan muda kau,” keluh Aina sedikit berasa lega. “Kenapa dengannya? Kau mimpi dia lagi ke?” teka Aina.

“Bukan setakat mimpi tapi lebih daripada tu. Tuan Muda aku nak menetap di Malaysia semula. Esok lusa aku kena pergi jemput dia kat airport,” beritahu Sakinah.

“Hah?!” sekali lagi Aina terkejut selepas mendengarnya. “Serius?” soal Aina lagi seperti tidak percaya dengan berita yang disampaikan itu.

Nur Sakinah mengangguk lagi sebelum menambah, “Aku ingat, aku takkan jumpa dia lagi. Tapi beberapa hari yang lepas, masa aku putus dengan Aizat, auntie Zira telefon aku. Dia kata diorang akan menetap di Malaysia semula dan minta aku pergi jemput bencana alam tu esok lusa.”

“Hah? Kenapa kau tak beritahu awal-awal?”

“Aku lupa,” jawabnya selamba. “Lagipun kau asyik tanya pasal Aizat saja.”

“Jadi, sebab itulah kau tak siuman pagi ni?”

Nur Sakinah mengangguk lagi.

“Begitu menakutkan ke tuan muda kau tu?”

“Sangat-sangat menakutkan!” tegas Sakinah sambil menumbuk meja.

Parah!

***

BAB 5

Pagi-pagi lagi Sakinah sudah bersiap-sedia untuk pergi menjemput Tuan Mudanya di KLIA seperti yang telah diberitahu oleh Auntie Zira yang menelefonnya sekali lagi malam tadi. Menurut auntie Zira lagi, Tuan Mudanya mungkin akan tiba dalam jam 12.00 tengah hari, tetapi dia mengambil keputusan untuk bertolak ke KLIA pada jam 10.00 pagi kerana takut ada apa-apa berlaku semasa dia dalam perjalanan nanti yang membuatkannya terlambat sampai ke sana nanti.

Lagipun ini kali pertama dia akan berjumpa dengan Tuan Mudanya selepas 10 tahun. Malah, dia juga tidak ingin memberi sebarang tanggapan negatif kepada Tuan Mudanya yang dikhabarkan sudah dapat menerima segala peristiwa lama yang telah tersurat dalam hidupnya.

Sepanjang dalam perjalanan ke sana, Sakinah tidak jemu memikirkan apakah yang akan berlaku selepas ini. Adakah Tuan Mudanya benar-benar sudah boleh menerimanya semula atau…. Dia tetap takut. Jikalau Tuan Mudanya masih tidak dapat menerima kenyataan itu lagi, entah apa yang akan terjadi padanya nanti. Hampir 10 tahun tidak berjumpa dia tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan Tuan Mudanya nanti. Walau bagaimana pun, Sakinah cuba membuang segala masalah yang difikirnya itu dengan menghibur perasaannya sekejap.

“Emm... agaknya, macam manalah rupa bencana alam tu ya? Dulu kecik-kecik, dia begitu gemuk. Mungkin sekarang 10 kali ganda gemuknya sebab Auntie Zira kata Tuan Muda memang banyak makan. Kalau bab makan memang nombor satu. Ya. Mesti Tuan Muda dah gemuk. Aku tak dapat bayangkan kalau Tuan Muda kurus,” ujarnya lagi sambil ketawa sendirian dan sempat lagi terbayangkan rupa seorang pemuda yang gemuk kedempol sedang makan burger yang besar dan di sebelah tangannya sedang memegang ayam goreng yang besar juga.

“Sesuai,” dia ketawa sendirian lagi sehinggalah pak cik yang duduk di sebelahnya itu menjarakkan diri sedikit. Namun, Sakinah tetap selamba.

‘Nanti!’ hatinya bersuara dan berfikir sejenak sebelum menepuk dahinya.

“Aku ni pun satu. Macam manalah aku boleh lupa yang aku dah lama tak jumpa dengan Tuan Muda sampai rupa dia pun aku tak kenal! Hisy! Dah tahu nak pergi jemput orang yang tak pernah berjumpa selama hampir 10 tahun, sekurang-kurangnya dapatkanlah gambar orang tu. Huh! Malang betullah,” kata Sakinah sambil merungut sendirian. Pak cik di sebelahnya itu terus berlalu bangun dan duduk jauh daripadanya. Barangkali menganggapnya salah seorang pesakit yang melarikan diri dari Hospital Bahagia.

Sakinah kebuntuan. Entah macam mana dia begitu yakin pergi menjemput Tuan Muda tanpa melihat wajah Tuan Mudanya terlebih dahulu. Bukan dia seorang saja, malah Auntie Zira pun tidak memberinya sebarang gambar Tuan Mudanya. Dia mengeluh lemah.Dia perlu cari ikhtiar untuk menyelesaikan masalahnya itu. Tapi, dengan apa?!

Sakinah melihat jam di tangannya. Tepat jam 11.00 pagi. Dia hanya mempunyai masa selama satu jam sahaja untuk mencari idea selesaikan masalahnya. Telefon Auntie Zira di Tokyo dan dapatkan gambar Zaquan segera? Tapi macam mana nak dapatkan? Lainlah kalau telefonnya ada rangkaian facebook atau seangkatan dengannya. Telefon bimbit Nokia 3310 tidak dapat membantu sedikit pun!

Pinjam komputer orang?

Sakinah memandang sekeliling. Sekarang ini zaman teknologi canggih tapi kalau orang sepertinya tiada teknologi canggih pun tidak berguna juga. Mustahil orang-orang di situ akan meminjamkannya komputer riba dan kalau ada pun macamlah Auntie Zira online 24 jam sehari!

Ah, rusingnya!

Ingin sahaja dia menjerit. Namun, kalau menjerit pun masalahnya tidak akan selesai. Kemudian, dari jauh Sakinah melihat beberapa orang berdiri di tepi balai ketibaan menanti saudara mara dan sahabat andai mereka di situ. Beberapa orang daripadanya memegang sekeping kertas dan ada juga yang memegang sepanduk kecil yang tertulis nama seseorang.

Perlahan-lahan dia mengukir senyuman. Selesai satu masalah!

Tanpa buang masa Sakinah terus mengeluarkan sebuah buku conteng yang selalu dibawa ke mana-mana sahaja. Namun, baru sahaja dia ingin mencatit nama Zaquan pada sekeping halaman kosong, dia terfikir sejenak.

“Jangan panggil aku Zaquan! Ingat, kau tu anak pemandu papa aku. Mulai daripada hari ini, kau kena panggil aku Tuan Muda, faham?!” pesan Tuan Mudanya suatu masa dahulu.

“Takkanlah nak tulis ‘Tuan Muda’ pula,” katanya sambil menggaru kepalanya. Jika dia menulis ‘Tuan Muda’ rasanya gelaran itu langsung tidak membantu menyelesaikan masalanya.

Puas dia berfikir bagaimana hendak menyelesaikan masalah nama itu, tetapi idea tetap tidak muncul-muncul juga. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk tulis nama Zaquan sahaja. Hanya ini sahaja caranya.

“Tak ada cara lain lagi selain tulis nama Zaquan. Lantaklah. Takkan nak tulis nama Bencana Alam pulak,” ujarnya. Tetapi, baru mata penanya ingin mengukir nama Zaquan, dia berfikir sekali lagi.

Kemudian, perlahan-lahan Nur Sakinah menulis perkataan ‘Bencana Alam’ pada halaman kosong itu. “Harap-harap, dia masih ingat lagi,” kata Sakinah sambil tersenyum.

***

Tepat jam 12.10 tengah hari, seorang demi seorang melangkah keluar daripada balai ketibaan. Rata-rata mereka adalah pelancong asing yang dari benua Eropah dan ada juga yang beberapa pelancong dari China dan Jepun kelihatan. Bagi pelancong luar, mungkin tidak akan perasan, tetapi bagi orang Malaysia yang faham membaca tulisan bahasa Melayu yang melalui situ, pasti tidak akan terlepas pandang kertas yang dipegang oleh Sakinah itu.

Rata-rata yang faham, memandangnya dengan penuh kehairanan. Ada juga yang tidak dapat menahan diri daripada ketawa. Sakinah pula terpaksa menebalkan muka. Rasa menyesal pula tidak menulis nama asal Tuan Mudanya. Entah kenapa hari ini dia berfikir seperti orang yang tiada otak langsung!

‘Huh, nasib badan,’ keluhnya perlahan.

Sesekali Sakinah terpaksa berhimpit-himpit dengan orang ramai yang turut menunggu kedatangan saudara mara mereka di hadapan pintu balai ketibaan itu. Terjengket-jengket kakinya mencari-cari orang yang sama dalam imaginasinya.

Tidak lama kemudian, muncul seorang lelaki yang berbadan besar menarik trolinya yang penuh dengan beberapa buah bagasi. Sakinah mengamati lelaki gemuk itu yang turut memanjangkan sedikit lehernya mencari seseorang. Lebih kurang dengan apa yang diimaginasikan tadi!

“Takkanlah Tuan Muda betul-betul besar macam tu,” tanyanya sendirian seperti tidak dapat menerimanya.

Lelaki berbadan besar yang menarik perhatiannya itu tadi tiba-tiba melemparkan senyuman gembira tepat ke arah tempat Sakinah berdiri. Perlahan-lahan lelaki itu berjalan menuju ke arahnya.

“Takkanlah!” Sakinah seakan tidak percaya bahawa lelaki itu adalah Zaquan. Namun, dia tetap mengukir senyuman seperti selalu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaannya sekarang.

“Abang!!!” jerit seseorang di belakangnya.

Nur Sakinah tersentak tiba-tiba dan berpaling ke belakang. Seorang wanita memintanya sedikit laluan ke hadapan. Sakinah yang masih terkejut itu mengorak langkah ke tepi sedikit sebelum melihat sendiri lelaki berbadan besar itu tadi memeluk wanita tadi yang mungkin isterinya.

‘Huh, bukan Tuan Muda,’ dia mengeluh lega selepas mengetahui lelaki itu bukan Tuan Muda yang disangkanya.

Tiba-tiba, tangannya disentap seseorang. Pantas Nur Sakinah berpaling memandang hadapan apabila menyedari kertas yang dipegangnya itu dirampas seseorang. Di hadapannya kini terdapat satu tubuh lelaki yang berbadan tegap yang memakai sehelai jaket berwarna putih. Perlahan-lahan Sakinah mendongak memandangkan ketinggiannya berada di paras dada lelaki itu.

Namun, sebaik-baik sahaja dia mendongak, dia tidak dapat melihat wajah lelaki yang berdiri di hadapannya itu kerana wajahnya terhalang dengan kertas yang dirampas daripada tangannya itu.

“Tak sangka kau masih ingat lagi gelaran ni,” lelaki di hadapannya itu berkata dengan nada sinis.

‘Takkanlah, lelaki ni Tuan Muda,’ hati Sakinah masih lagi tertanya-tanya sambil matanya tidak berkelip memandang ke atas. Tidak lama kemudian, dia dapat melihat dengan jelas wajah lelaki di hadapannya itu.

Melihat sahaja wajah lelaki itu, terus tubuhnya kaku. Dia seperti tersihir melihat wajah lelaki kacak di hadapannya itu. Serius. Inilah kali pertama dia melihat lelaki yang kacak lagi bergaya daripada Aizat!

“Kau tengok apa?” tanya lelaki itu sekali gus mengejutkannya daripada lamunan. Lelaki itu mengukir senyuman yang tidak disangka-sangka sehingga menyebabkan jantung Nur Sakinah berdegup dengan pantas. Ini juga kali pertama dia melihat senyuman seorang lelaki yang dapat menggegarkan jantungnya.

“Tuan Muda?” tanya Nur Sakinah mendapatkan kepastian.

“Wake up, Dayang!” ujar lelaki itu sambil menjentik dahinya dengan kuat.

Sah! Memang Tuan Muda!

***

‘Apa dah berlaku dengan dunia ni? Macam mana orang yang gemuk dan hodoh seperti Tuan Muda dulu boleh jadi macam putera raja? Atau silap orang? Tapi hanya seorang sahaja yang panggil aku Dayang. Malah hanya seorang sahaja yang suka jentik dahi aku. Hanya Tuan Muda sahaja yang selalu buat begitu dulu. Tapi, tengok wajah Tuan Muda sekarang, langsung tak nampak persamaan dengan wajahnya dulu,’ detus hatinya berkata-kata sambil matanya tidak berkelip melihat setiap inci wajah lelaki itu.

Sakinah langsung tidak melepaskan setiap peluang untuk melihat dengan teliti wajah Zaquan dari dekat sebaik-baik sahaja mereka berdua dibawa oleh sebuah teksi ke destinasi yang telah diberitahunya.

“Kenapa kau pandang aku macam tu?” tanya Zaquan sejak tadi asyik melayan diri membaca surat khabar yang dibelinya sewaktu tiba tadi.

“Err… tak ada apa,” pantas Sakinah menjawab selepas menyedari dia memang tidak berhenti memandang Zaquan.

Zaquan melipat-lipat surat khabar itu dan dicampak ke arah Sakinah. Kemudian, dia memandang Sakinah yang telah melarikan pandangan ke hadapan. Sekali lagi dia tersenyum sinis.

“Tak sangka, 10 tahun tak jumpa, Dayang aku dah bertukar menjadi seorang yang bermata keranjang. Macam mana? Kau dapat scan apa-apa disebalik baju aku ni?” ujar masih Zaquan sambil tersenyum sinis.

“Jangan nak mengarutlah!” tegas Sakinah. Bengang!

“Jangan cakap kau dah tergoda dengan muka aku yang kacak ni. Aku tahu, kau dah tergoda, jadi aku nak bagi amaran. Kau bukan wanita impian aku. Jadi, jangan bazirkan masa nak jatuh hati dengan aku,” kata Zaquan tidak habis-habis tersenyum sinis.

‘Perasan! Dia ingat dia saja ke lelaki yang kacak dalam dunia ni?! Aaron Yan lagi kacak tau!’ jerit hatinya.

“Tuan Muda, walaupun Tuan Muda kacak macam pelakon drama Korea, saya takkan terpikat dengan Tuan Muda langsung. Jadi, jangan risaulah ya,” balas Nur Sakinah mula bersuara. Sebelum ini, dia takut-takut untuk berkomunikasi dengan Zaquan kerana tidak biasa lagi. Malah, masih terkejut lagi dengan penampilan mengejut Zaquan.

“Kalau macam tu, baguslah,” ujar Zaquan sambil melemparkan pandangan ke luar tingkap teksi itu. “Jadi, kau dah ada teman lelaki?” tanya Zaquan.

“Tuan Muda, berapa lama kita tak jumpa? 10 tahun. Takkan selepas berjumpa semula, Tuan Muda nak tanya pasal soalan yang tak masuk akal tu,” balas Nur Sakinah secara spontan. Dia sendiri tidak tahu bagaimana boleh mengeluarkan kenyataan begitu. Sedar-sedar sahaja dia sudah tercakap begitu dan tidak boleh menarik semula.

“Suka hati akulah!” balas Zaquan. “10 tahun tak jumpa, kau tetap sama macam dulu. Tak habis-habis nak bidas cakap aku.”

“Tuan Muda pun sama!” bidas Nur Sakinah tanpa sedar.

“Wei, sekurang-kurangnya aku dah berubah jadi kacak. Tak gemuk macam dulu. Tak macam kau yang nampak gemuk dua kali ganda daripada dulu.”

“Kalau setakat berubah dari segi luaran nak buat apa. Tak datangkan apa-apa makna bagi saya. Entah-entah Tuan Muda buat pembedahan plastik dekat luar negara tu. Lepas tu sedut lemak. Patutlah Auntie Zira tak bagi gambar Tuan Muda, rupa-rupaya Tuan Muda nak sorok wajah sebenar daripada saya. Kononnya nak buat saya terpegun…,’ kata-katanya terhenti apabila Zaquan menjentik dahinya sekali lagi.

“Sakitlah!” rungutnya.

“Kau ni tak berubah. Bab mengarut memang nombor satu,” balas Zaquan hanya mampu menggeleng.

“Tuan Muda yang tak berubah. Ingat dahi saya ni papan ke nak dijentik-jentik. Sekali-sekala tukarlah teknik lain pula,” balas Nur Sakinah menggosok dahinya yang sakit dijentik Zaquan. Mungkin kalau diteruskan, esok pagi dahinya pasti akan bertukar warna merah berbekas.

Tiba-tiba Zaquan mendekatkan mukanya pada muka Sakinah. Sakinah pantas bertindak menolak tubuhnya ke belakang, tetapi Zaquan tetap mara dengan lebih dekat lagi. Kini, Sakinah dapat melihat wajah Tuan Mudanya dengan lebih dekat apabila wajah mereka hanya berjarak tiga inci sahaja. Serentak itu juga jantungnya berdegup dengan kencang.

“Err… Tuan Muda nak buat apa?” tanya Sakinah memberanikan diri sambil tangannya menolak dada Tuan Mudanya. Dia cuba menolak tubuh Tuan Mudanya jauh darinya tetapi Tuan Mudanya semakin mara sehinggalah Sakinah menyedari tubuhnya sudah berbaring di atas kerusi teksi itu.

“Kau kata suruh ubah teknik. Jadi, aku rasa aku patut buat teknik terbaru ni,” balas Zaquan sambil tersengih. “Macam mana? Aku rasa teman lelaki kau pun tak pernah cium kau, bukan?”

“Cium?” tiba-tiba mukanya panas. “Tak guna!” serentak itu, dia memegang kepala Tuan Mudanya dan menghantuk dahinya pada dahi Tuan Mudanya dengan kuat.

“Sakitlah!” rungut Zaquan lantas membetulkan duduknya dan menggosok-gosok dahinya yang sakit dibuat Sakinah. “Kepala macam kepala batu,” tambahnya lagi sambil mengerang kesakitan.

“Padan muka. Fikir lagi perkara yang bukan-bukan. Tahulah Tuan Muda duduk 10 tahun di luar negara tapi itu tak bermakna Tuan Muda boleh buat apa pun, faham?!” tegasnya yang sememangnya langsung tidak memberi muka pada Tuan Mudanya sendiri. Nasiblah, siapa suruh bermain dengannya.

“Kau ni, tak reti bergurau langsung! Aku bergurau sajalah. Takkanlah aku nak cium kau kat tempat awam.”

“Hah. Betul tu. Kalau nak bercium, nikah dulu lepas tu ciumlah puas-puas,” celah pemandu teksi yang mereka naiki itu tiba-tiba. Nada pak cik yang memandu kereta itu seolah-olah seperti memerli tindakan mereka berdua. Kemudian, bermulalah syarahan agama daripada pak cik teksi menasihati mereka berdua sehinggalah mereka sampai di hadapan pintu pagar Villa yang telah lama ditinggalkan.

13 si charming:

  1. akira_bita berkata...:

    siapa hero sbnar erk?? arap2 si tuan muda tu lah~~ hahahaha! smbg lg sis!

  1. NukSe berkata...:

    sgt best... dh lm tunggu.. bila masuk jer, 2 bab skali akak nurfa bagi.. hehe puas ht dpt baca..

  1. Encik Akmal berkata...:

    pakcik teksi WIN!

  1. Miss Kira berkata...:

    yeay!! msti nnt ada org jeles dgn bencana alam..hahahha

  1. Ai berkata...:

    ahhhhh.... sweet yer zaquan aka tuan muda.. ni yg nk jatuh cinta balik ni... smbung2 kak... ^^

  1. iftirah berkata...:

    sambung n3 ni please....huhuhuhu
    x sabar nk taw apa yg akn terjadi pada Sakinah a.k.a Dayang dan ZaQuan a.k.a bencana alam...hehehehe sweat sgt2....
    pastu bg Fatihah,Honey dan Aizat terkejuz coz tgk Sakinah dengan ZaQuan..heheheheh

  1. Yong berkata...:

    wow JUSTIN HARTLEY tu! memang hensem la kan zakuan ni klo dia muka justin hartley. my fav love actor dlm smallville tu. go go zakuan hensem!!!!
    ooo sakinah ni gemuk eh. igt slalu kena buli, kurus cekeding. hehehe. grenti zakuan yg jadi hero yg paling hensem. wah aizat dah ada pesaing npknya.

  1. OkiE a.k.a WitcH berkata...:

    sweet sgt! tambah lagi zaquan tu hero pelakon kesukaan sy dalam Smvill...oliver Queen! sambg lg Kak Ratu~ hehe

  1. ezz an berkata...:

    hahaha.....ambik tu.....sibuk sgt sapa bidas sapa....last2, dua2 kena pancung ngan pakkcik teksi....sapa nak jawab?Tadah telinga jerlah...kahkahkah....

  1. cArBOnAtE S0Da berkata...:

    sweet je ngok tuan muda ngan dayang ni... buat ku tersenyum..:):)

  1. Oliviana berkata...:

    bessstttt sgt2..:D
    dah xsbr bace next ep
    smbg cpt2 ye ^_^
    all the best to u Ratu bulan

  1. shahriezah berkata...:

    bessttnya... xsabar nak baca next ep.... cepat2 samb:) ^-^

  1. dewdrop berkata...:

    xbley blah btol la sakinah ni..ade ke bygkn tuan muda die gemuk 2kali ganda dr 10 thn lepas..haha..dh tgk dpn mata,bru terkujat..hehhe..
    mintak2 mmg tuan muda ni dh lme ade hati ngan sakinah..bru nganga si aizat tu..keh3..
    ratu bulan..ur the best laa (^_^)v

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages