Seseorang untuk Dinikahi: Bab 27

Dua tahun kemudian,

Selamat pagi,” ucap Arissa kepada Mama Fiza yang melangkah masuk ke dapur ketika dia sedang menyediakan sarapannya. Seperti biasa, Arissa akan menikmati bijiran diet yang diminum dengan susu rendah lemak. Itulah sarapannya setiap hari sejak dia menyimpan impian hendak menguruskan badan.
Selamat pagi,” balas Mama Fiza dengan mesra. “Hari ni joging berapa KM?”

Haha… satu taman pun tak habis,” balas Arissa.
Bukan sahaja bab makanan dia ambil peduli tapi senaman juga penting untuk kuruskan badan. Setiap hari dia akan bangun awal pagi untuk bersenam. Kadangkala dia akan bersenam di halaman rumahnya sahaja dan kadangkala dia akan berjoging kawasan perumahannya.
Hari ini Rissa ada apa-apa aktiviti ke?” tanya Mama Fiza.
Mmm… pagi ni Rissa free, cuma petang nanti Rissa nak ke Singgah sebab Sarah kekurangan pekerja hari ni,” ujar Arissa seperti biasa akan memberitahu jadual hariannya kepada Mama Fiza. “Kenapa? Ada kerja untuk Rissa ke?”
Mestilah. Mama Fiza kena jumpa pelanggan pagi ni, tak ada orang jaga butik.”
Okey, no hal. Penganggur terhormat sedia membantu,” jawabnya tanpa berfikir panjang lagi.
Dia jadi penganggur sejak beberapa bulan yang lepas. Selepas dia mengambil keputusan tidak mahu sambung belajar lagi. Cukuplah dengan diploma. Lagipun dia bukannya kaki buku. Tengok buku saja mesti mengantuk. Inikan pula hendak menelaah mata pelajaran dan bersengkang mata dengan kerja-kerja yang diberikan oleh pensyarah. Ah, cukuplah.
Buat masa sekarang dia tidak mempunyai apa-apa pelan lagi untuk masa depannya. Semuanya masih lagi samar-samar. Namun, tidak bermakna dia tidak bekerja, dia boleh duduk goyang kaki di rumah. Nama sahaja penganggur tapi kebanyakan masanya dihabiskan dengan benda yang bermanfaat.
Biasanya, dia akan menolong Mama Fiza jaga kedai memandangkan pembantu Mama Fiza cuti bersalin. Kadangkala juga dia akan menolong di Singgah, sebuah restoran yang diusahakan oleh Sarah dan Luqman. Jika tiada kerja, dia akan menghabiskan masa dengan nenek di rumah menonton rancangan Running Man. Sampai sekarang dia masih blur dengan konsep game show dari Korea itu tapi demi nenek, layan ajelah.
Oh ya, Rissa terlupa. Rissa kena pergi bengkel untuk ambil kereta pagi ni,” ujar Arissa sambil menepuk dahi.
Dia hampir terlupa buah hatinya yang terpaksa masuk bengkel disebabkan orang langgar dari belakang. Nasib baiklah tidak teruk dan nasib baiklah pada masa itu dia baru sahaja keluar dari kereta. Kalau tidak memang trauma habis. Dilanggar oleh orang mabuk pula.
Memang malang nasibnya. Tapi tidaklah malang sepenuhnya. Memang dia sudah lama hendak hantar keretanya ke bengkel untuk tukar cat. Memandangkan keretanya sudah kena langgar, jadi terus ajelah dia menyuruh orang bengkel tukar cat kereta.
Okey, nanti Mama Fiza hantar Rissa ke bengkel.”
Terima kasih! Sayang Mama Fiza,” tersengih lebar Arissa.
Tapi kenapa sampai nak tukar cat?” tanya Mama Fiza.
Memang Rissa nak tukar cat pun. Buat sekali gus lagi bagus,” jawabnya.
Tapi kenapa warna pink?” tanya Mama Fiza lagi.
Sebab warna pink melambangkan kekuatan dan keberanian seorang perempuan!” ujar Arissa dengan penuh semangat.
Mama Fiza yang memahami situasi Arissa itu hanya sekadar menggeleng.

***

Macam mana?” tanya Sarah kepada Luqman yang baru sahaja habis berbual dengan papanya melalui telefon tadi.
Tiada jawapan daripada Luqman tetapi sebaliknya Luqman hanya menggeleng. Melihat kebuntuan Luqman, dia sudah tahu rundingan tadi tidak berjalan dengan lancar. Lagipun ini bukan kali pertama. Sudah banyak kali dia cuba yakinkan papanya tetapi papanya tetap dengan keputusan yang sama. Masuk meminang atau lupakan Sarah.
Nampaknya kita tak ada cara lain lagi,” keluh Sarah. “Mungkin kita patut…”
Tak,” pantas Luqman memotong. “Jangan risau, saya akan cuba selesaikan perkara ni.”
Apa salahnya kalau kita minta bantuan Arissa? Awak masih tak sukakan dia lagi ke?” tanya Sarah. Dia tidak sangka ego Luqman begitu tinggi. Tidak ubah seperti dulu. Langsung tidak mahu mengalah dengan Arissa.
Kalau tak kerana dia, nenek takkan buat syarat begini. Takkan awak tak faham?” balas Luqman bengang.
Jangan lupa, ini salah kita juga,” balas Sarah pula.
Dia masih lagi ingat kata-kata nenek seminggu selepas kematian papa Arissa. Walau apa pun yang berlaku, nenek tidak benarkan mereka berdua berkahwin selagi Arissa tidak berkahwin. Disebabkan syarat itulah Sarah tersepit di antara dua keluarga.
Papanya sudah tidak tahan lagi dan memaksa Luqman masuk meminang. Bermacam-macam rancangan sudah diatur supaya nenek menarik balik syarat itu tetapi hasilnya tetap sama. Restoran Singgah ini adalah sebahagian daripada rancangan itu. Diingatkan dengan wujudnya restoran usaha bersama ini dapat menukar fikiran nenek tapi nenek langsung tidak peduli.
Sarah pula memang tidak mahu memaksa. Dia faham situasi Luqman tapi dia terpaksa mendesak apabila papanya mengugut hendak kahwinkan dia dengan kawan papanya. Sudah banyak kali dia cuba yakinkan papanya dan terangkan apa yang berlaku tapi kedua orang tuanya tetap mendesak. Alasan mereka mudah sahaja, tidak sabar hendak bercucu. Padahal dia tahu, kedua orang tuanya sengaja ingin mendesak Luqman supaya bernikah dengannya secepat mungkin.
Habis tu awak nak buat apa lagi?” tanya Sarah.
Mesti ada cara lain tanpa melibatkan Arissa.”
Tanpa melibatkan aku? Apa yang aku dah buat?” sapa satu suara di belakang mereka membuatkan mereka berdua terkejut.
Err… tak ada apa-apa,” pantas Sarah membalas apabila menyedari Arissa berada di belakangnya. Entah bila Arissa masuk ke dalam bilik rehat itu pun dia tidak tahu. Begitu juga dengan Luqman.
Pasti?” tanya Arissa lagi.
Sangat pasti.”
Okey, kalau macam tu, aku nak tunjukkan kau sesuatu,” ujar Arissa terus menarik Sarah keluar dari bilik itu. Sarah tiada pilihan lain melainkan ikut sahaja langkah Arissa yang menariknya sehingga ke luar dari restoran usaha samanya dengan Luqman itu.
Ta-ra!” ujar Arissa sambil mendepakan kedua tangannya ke arah sebuah kereta Myvi berwarna pink yang parking betul-betul di hadapan restorannya itu.
Kereta kau?” tanya Sarah terkejut.
Yup. Cantik tak?”
Err…” Sarah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Sejujurnya dia sendiri tidak tahu apa yang perlu dia jawab. Ya. Warna pink memang cantik tapi bila warna pink digunakan pada kereta… dia hilang kata-kata.
Tak cantik ke?” tanya Arissa sudah mula menarik muncung tajam.
Not bad,” jawab Luqman di sebelah.
Hah? Betul ke?” tanya Arissa.
Luqman mengangguk. Sarah di sebelah terkejut besar. Biar betul. Setahunya teman lelakinya itu mempunyai cita rasa yang tinggi bila berkenaan dengan kereta. Mustahil. Memang sukar dia hendak percaya.
Okey, memandangkan kau beri komen yang menggembirakan, aku akan tolong kau orang berdua tanpa bayaran pun hari ini. Aku masuk dalam dulu,” ujar Arissa terus berlalu masuk ke dalam restoran itu semula dengan hati yang girang.
Not bad?” sapa Sarah selepas Arissa berlalu pergi.
Habis, awak nak beritahu dia yang warna pink ni adalah warna yang paling teruk?” balas Luqman.
Sarah mengangguk. Dia setuju dengan alasan Luqman tadi. Kalau dia berterus-terang dengan Arissa tadi, ada pula yang tarik muncung tajam 24 jam nanti. Bukan dia tidak kenal dengan perangai Arissa. Masih lagi dengan perangai kebudak-budakkannya.
Tapi, saya masih tak faham. Kenapa mesti warna pink? Pink bukan warna kegemaran dia,” tanya Sarah.
Sebab Nazwan benci warna pink,” jawab Luqman.
Ohh…” Sarah menggangguk. Baru dia teringat hal itu. “Jadi, ini bermakna…”
Perang dah bermula…”

***

Dari jauh Sarah melihat Arissa yang sedang mengambil pesanan daripada sekumpulan lelaki yang baru sahaja masuk ke restorannya tadi. Mereka memang pelanggan tetap restorannya. Setiap hari pasti mereka akan datang ke restorannya selepas waktu pejabat. Memang restorannya dekat dengan kawasan pejabat, tetapi mereka itu menarik perhatiannya.
Kata salah seorang pekerjanya, mereka datang disebabkan Arissa yang rajin melayan. Memang pun. Boleh dikatakan restorannya penuh pada waktu rehat dan balik kerja sebab Arissa. Mereka tahu Arissa bertugas pada waktu itu. Nasib baiklah restorannya tutup selepas pukul 7.00 malam, kalau tidak ada juga yang tidak balik ke rumah semata-mata kerana Arissa nanti.
Arissa memang popular di restorannya. Dia sendiri tidak tahu apa ilmu yang Arissa pakai sampai semua pelanggan lelaki terpikat dengannya. Tapi anehnya, Arissa hanya melayan mereka seperti biasa. Tiada adegan jatuh cinta yang selalu terjadi dulu.
Kalau dulu, jumpa sahaja lelaki handsome terus terjah lelaki itu. Jumpa sahaja lelaki yang baik hati, terus jatuh cinta. Sekarang tiada lagi. Sejak peristiwa dua tahun lalu, Arissa tidak pernah bercinta dengan sesiapa seolah-olah Arissa sedang menunggu Nazwan lagi.
Tunggu Nazwan?” tanya Arissa. Kemudian dia ketawa. “Prinsip aku, kalau seseorang dah tinggalkan aku dan aku dah tinggalkan seseorang, itu bermakna… dah habis. Aku tak dating dengan sesiapa sekarang ni sebab aku berhati-hati. Belajar daripada pengalaman,” jawab Arissa ketika ditanya soalan itu.
Ini membuatkan Sarah berasa bersalah. Kalau dia tidak masuk campur dalam hal mereka berdua, pasti keadaan tidak seperti ini.
Jangan risau, untuk mencari cinta memang senang tapi untuk cari Mr. Right memerlukan kesabaran,” tambah Arissa lagi.
Memang betul. Tapi jadi satu masalah baginya dan Luqman. Selagi Arissa tidak berkahwin, mereka berdua tidak dibenarkan berkahwin. Itu syarat nenek dua tahun lalu. Arissa tidak tahu menahu tentang hal itu. Dia tidak mahu menambahkan beban Arissa lagi. Cukuplah apa yang Arissa tanggung sepanjang dua tahun ini.
Aku tak faham!” sapa Arissa tiba-tiba di hadapannya. Serta-merta Sarah tercampak dari dunia lamunan. Dia termenung sampai tidak sedar Arissa berada di hadapannya.
Kenapa pula ni?” tanya Sarah.
Kenapa lelaki yang dah kahwin bertambah miang? Sungguh malang betul isteri dia orang dapat lelaki yang miang,” keluh Arissa.
Dia orang cuba mengorat kau?”
Angguk.
Kalau masih bujang aku tak kisah tapi masalahnya dia orang semua dah berkahwin dan ada anak dua tiga orang tapi perangai macam orang bujang. Huh, boleh pening kepala aku layan dia orang.”
Biasalah tu. Isteri tak ada di sebelah memang miang. Bila ada, nak pandang sikit anak dara orang pun takut,” balas Sarah.
Ini yang membuatkan aku fobia nak kahwin,” keluh Arissa.
Janganlah cakap macam tu.”
Aku gurau saja,” ujar Arissa. “Oh ya, aku kena balik sekarang. Aku dah janji nak makan malam dengan nenek. Kali ni aku kena masak, jadi aku kena pergi beli bahan-bahan dulu. Kalau kau nak rasa masakan aku yang ‘sedap’, jemputlah datang ke rumah bakal mertua kau ya.”
Insyallah,” jawab Sarah pendek.
Okey, aku pergi dulu!” ujar Arissa berlalu dari situ selepas mengambil beg dan kunci keretanya.
Bakal mertua…,” keluh Sarah. Rasanya macam mimpi sahaja hendak dapat gelaran itu.

***


Ah, kenyangnya!” ujar Arissa sambil sedawa kekenyangan.
Makan nasi setengah pinggan pun kenyang ke?” tegur Puan Azizah hanya mampu menggeleng kepala. Kalau dulu bagi apa pun Arissa akan makan tapi sejak melancarkan misi diet, semuanya berkira. Makanan berminyak langsung tidak disentuh. Nasi pun makan sikit sahaja. Sudahnya dia sendiri tidak tahu apa yang Arissa makan.
Habis perut Rissa dah tak boleh terima nasi yang banyak, nak buat macam mana lagi. Dulu perut Rissa besar, sekarang dah kecik, makan pun ada hadnya,” jawab Arissa sambil mengusup perutnya yang sudah penuh.
Kamu tu dah kurus, tak payah nak diet,” sindir Puan Azizah.
Nenek tengok Rissa hari-hari memanglah tak nampak perbezaannya. Bila Rissa balik Perak, ramai yang kata Rissa dah gemuk, lepas tu dia orang suka cubit pipi Rissa. Geram Rissa dibuatnya,” kata Arissa sambil memegang kedua pipinya.
Orang cubit tu sebab dia orang tak ada pipi macam Rissa. Unik.”
Masalahnya keunikan pipi Rissa ni buat Rissa sakit. 10 orang tegur, 10 orang cubit. Mana tahan! Tak kira, Rissa nak kurus jugak!”
Huh, nak kurus tu boleh tapi janganlah sampai seksa diri dan perut tu. Perut tu nak makan juga. Nenek pun nak makan juga,” balas Puan Azizah.
Apa kena mengena dengan perut nenek pula?” Arissa mengerut dahi.
Mestilah ada kena mengena. Tiap kali kamu tolak ke tepi semua lauk, siapa ada selera nak makan? Terbantut selera orang, tahu tak?” Puan Azizah menjeling tajam.
Baiklah nenekku sayang. Mulai hari ini Rissa akan makan lebih sikit dari hari ini supaya selera nenek tak terbantut. Kalau terbantut nanti susah pula nak kentutkan?” ujar Arissa tersengih-sengih mengucik.
Hari ni kita tengok Running Man,” ujar Puan Azizah tiba-tiba.
Ah, nenek ni cepat kecil hatilah!” Arissa menarik muncung ketika nenek membuka televisyen. Boleh dikatakan kebanyakan episod Running Man sudah ditengoknya. Nenek gelak. Dia pun gelak. Walaupun dia tidak faham satu pun apa yang telah berlaku. Tapi ada kalanya terlayan juga.
Nenek,” Arissa merapatkan duduk dengan nenek.
Kenapa ni?” tanya Puan Azizah.
Nenek sayang Rissa tak?” tanya Arissa sambil memeluk leher nenek.
Sah, ni mesti ada apa-apa ni.”
Nenek baikkan?”
Huh, kalau Rissa nak cakap pasal hal yang sama, jawapan nenek tetap sama. Jangan harap!” ujar Puan Azizah yang sudah dapat menjangka permintaan Arissa. Apa lagi kalau bukan pasal Luqman dan Sarah. Hanya isu itu yang Arissa asyik pujuknya sejak beberapa bulan ini.
Nenek, boleh tak dengar dulu apa Rissa nak cakap,” ujar Arissa tegas. Kalau nenek boleh naik angin dia pun boleh naik angin. Kalau nenek tegas, dia akan jadi tegas. Hanya itu cara untuk lembutkan hati nenek.
Hah, cakap!”
Batalkanlah syarat tu. Benarkan dia orang berkahwin,” ujar Arissa dengan suara manja. Tangan nenek goyang-goyangnya umpama budak-budak inginkan gula-gula.
Dia orang hanya akan berkahwin selepas Rissa berkahwin,” tegas Puan Azizah.
Kalau nak tunggu Rissa kahwin, sampai bila pun dia orang tak berkahwin lagi. Nenek kena faham, jodoh orang ni tak boleh ditunda-tunda. Kalau dah ditakdirkan Luqman dan Sarah berkahwin dulu daripada Rissa nenek tunggu sampai bila pun Rissa takkan kahwin dulu,” terang Arissa.
Rissa dah lupa ke apa yang dia orang dah buat pada Rissa?”
Ala, itu hal dulu. Dah lepas dah. Tak payah nak ungkit lagi.”
Memang patut diungkit. Pandai-pandai buat orang lain derita, tanggung sendiri! Nak sangat jadi tuhan tentukan siapa yang layak kahwin dengan Nazwan konon, sekarang biar mereka tanggung sendiri!” dengus Puan Azizah kemarahan.
Nenek pun sama,” balas Arissa selamba.
Puan Azizah merenungnya seakan ingin menerkamnya. Kecut jantung Arissa dibuatnya. Kalau nenek tengah marah, apa pun boleh jadi. Tapi, kalau dia takut, nenek lagi seronok. Jadi, dia kena berani.
Maksud Rissa, kalau kita tak paksa Nazwan, semua ini takkan berlaku. Mungkin sekarang Luqman dan Sarah dah ada dua tiga orang anak.”
Habis, kamu dengan Nazwan?”
Nazwan bukan jodoh Rissa. Nenek kena faham. Kalau dah tertulis yang Rissa akan kahwin dengan orang lain dan Nazwan akan kahwin dengan orang lain, jadi walau apa pun yang kita cuba buat, kami tetap tak ada jodoh.”
Kalau macam tu, macam mana kalau Luqman dan Sarah tu bukan ada jodoh?”
Arissa mengeluh lemah. Nampaknya nenek memang pandai putar belit kenyataan yang diberi. Kalau begini, dia perlu jadi lebih cerdik.
Situasi antara kami berbeza. Kalau sudah tertulis dia orang ada jodoh, walau apa pun terjadi jodoh mereka tetap kuat.”
Sudahlah Rissa. Tak guna kita bercakap pasal mereka tu,” ujar nenek menandakan sudah hampir mengangkat bendera putih. Tapi masih tidak mahu mengaku.
Nenek tahu tak bila-bila masa pun Luqman boleh berkahwin dengan Sarah? Dia lelaki, dia tak perlukan wali. Dia hanya perlu datang ke pejabat tok kadi, serah IC dan mohon untuk berkahwin?”
Habis tu, kenapa tak buat?”
Sebab dia masih hormatkan nenek lagi. Ya, memang dia pernah buat salah dan dia tak nak ulangi kesalahan dia lagi.”
Padan dengan muka dia. Biar dia tanggung sendiri.”
Dan Rissa tahu nenek pun sayangkan dia. Nenek sayang Luqman dan kalau boleh nenek nak tengok Luqman dan Sarah kahwin, bukan? Tapi, nenek tak tahu nak mulakan macam mana.”
Senyap.
Nenek, kalau kita dera lagi perasaan orang, bukan sahaja orang tu menderita tapi kita juga menderita. Rissa tahu nenek rasa bersalah dengan apa yang dah berlaku pada Rissa tapi Rissa tak nak disebabkan Rissa semua orang menderita. Kali ini Rissa rayu sangat-sangat, jangan dera Luqman dan Sarah lagi. Biar mereka tentukan hidup mereka.”

***

Luqman hilang kata-kata. Dia bukan sengaja mencuri dengar perbualan antara Arissa dengan neneknya tadi. Dari siang tadi dia memang berhasrat hendak berbincang dengan neneknya. Kalau kena melutut sekali lagi pun dia sanggup asalkan neneknya benarkan dia berkahwin dengan Sarah.
Tapi sebaik sahaja ingin menemui neneknya, kakinya kaku di muka pintu apabila terdengar perbualan mereka dan namanya dengan nama Sarah disebut-sebut. Sangka mereka sedang mengumpat tapi dia yang buruk sangka.
Arissa memang bersungguh-sungguh memujuk nenek. Sejujurnya memang dia ingin meminta bantuan Arissa kerana dia sendiri sedar, hanya Arissa yang dapat lembutkan hati nenek. Tapi dia rasa tidak layak mendapatkan bantuan Arissa.
Hai Luqman, baru balik?” sapa Arissa yang baru sahaja melangkah masuk ke dapur.
Sapaan Arissa tadi hanya dibalas dengan anggukan.
Oh ya, ada beberapa orang pelanggan tetap kita tu, kirim salam,” ujar Luqman teringat pesanan daripada beberapa pelanggannya yang kebanyakan mereka adalah lelaki.
Ah, aku tahu. Pasti mereka lagi. Aku nak tanya kau, aku ni terlampau cantik sangat ke?” tanya Arissa sambil mengupas buah epal merah dengan berhati-hati.
Luqman mengangkat bahu.
Aku ada baca satu aritikel yang mengatakan lelaki yang dah berkahwin memang mudah dijangkiti penyakit miang. Sebagai perempuan dan sebagai bakal isteri seseorang, aku rasa itu memang menakutkan.”
Jangan risau, aku takkan buat Sarah begitu.”
Bagus. Err… bukan bermaksud aku tak percayakan kau tapi … lelaki… memang sukar dijangka. Satu saat dia kata tidak dan beberapa saat kemudian macam-macam boleh berlaku.”
Sejak bila kau fobia dengan lelaki?”
Fobia?” Arissa mengerut dahi. “Apa yang aku cakap tadi tak bermakna aku fobia dengan lelaki. Jangan risau, aku masih normal dan sukakan lelaki.”
Habis tu kenapa aku tak pernah tengok kau dating dengan lelaki?” tanya Luqman lagi. “Atau kau masih menunggu Nazwan.”
Haha… Luqman, jangan salah faham. Aku masih seperti dulu cuma aku tak nak tergesa-gesa. Dan siapa kata aku tak pernah dating dengan sesiapa sejak aku putus dengan Nazwan. Ada beberapa orang tapi hanya setakat kawan.”
Kenapa?”
Dah berkahwin, dah bertunang, miang, mintak yang bukan-bukan, masih di bawah umur dan tak ada six pax.”
Yang terakhir tu sangat tak relevan.”
Aku akan pastikan itu relevan suatu hari nanti,” ujar Arissa sambil menghulurkan sepinggan buah epal yang sudah dipotongnya tadi.
Terima kasih,” Luqman mengambil dua hirisan epal dari pinggan itu.
Sama-sama. Ah, aku terpaksa teman nenek tengok Running Man.”
Aku faham perasaan kau. Aku kena download episod Running Man yang seterusnya,” keluh Luqman.
Berkhidmat untuk Running Man!” ujar Arissa sambil menabik hormat Luqman. Luqman turut mengikut.


18 si charming:

  1. eyra berkata...:

    kesian arissa. pengalaman mematangkan seseorang. go arissa! =)

  1. Unknown berkata...:

    yeah..tak payah tunggu nazwan
    campak je dlm lombong
    ade lg yg lbh baik

  1. MizaEija berkata...:

    Nazwan tak muncul kali ni

  1. CR Hamid berkata...:

    cian kt Arissa...even Luqman n Sarah dh buat mcm2 kt dia tp dia skit pn x ambik hati... Klu Arissa dh putus tunang dgn Nazwan, cari penganti ( Naufal) yg cintakan dia then masa tu baru Nazwan tau yg Arissa dh x suka dia...padan muka Nazwan.... hehehe

  1. eija berkata...:

    ayyo kak..arisa nie mmg kuat..btul kn..pglman btul2 mematangkn ssorg..

  1. IzZ berkata...:

    ooo..arissa yg kuat..huu..luqman..please lyn arissa leklok ye..nazwan cukop2 la dok berkepit dengan sepupu sarah tu..eee

  1. Tanpa Nama berkata...:

    keluar juga entry baru...
    syabas arissa....bersikap positif....
    nak lagiiii.......

  1. Tanpa Nama berkata...:

    arissa dah slim msti makin cun kan? boleh lah cari pengganti nazwan yg ada six pax tu,biar nazwan pulak merana gigit jari lps ni.hahaaa..
    nak lagi, sambung la cepat ek!..hehe

  1. Unknown berkata...:
    Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
  1. Tanpa Nama berkata...:

    da lame tggu entry kali nie.
    mmg best!!
    hrap next entry cpat kuar..

  1. rahsia hatiku berkata...:

    bagus betul Arissa ni.. tapi padan muka Luqman dengan Sarah.. haha balasan utk dorang...

  1. weeee lama tunggu sambungan cite ni.
    arissa makin matang disebabkan pengalaman. suka !

  1. Tanpa Nama berkata...:

    pengalaman mematangkan seseorang tapi kita juga perlu kuat untuk menghadapi segalanya...ARISSA!!!chaiyokkk... happy selalu:) RATU,sila masukkan entry baru ye heheh

  1. IVORYGINGER berkata...:

    kesian Arissa... apa pun salute arissa krn tabah dlm mhdapi dugaan. kehilngan tunang n ayah pd yg sm. mmg berat dugaan n mematang kan Arissa dr pelbagai aspek.

  1. Unknown berkata...:

    Tak sabar nak tahu macamana seterusnya...

  1. Tanpa Nama berkata...:

    nzwan,luq&sara mst mnyesal dgn plan sabotaj dorang kt arissa dulu. arissa plk makin baik dgn dorang lps apa yg terjadi.
    rasa brsalah akan mghantui hdp 3 mangkuk ni nnt...haha
    smbung bab 28 cpt2 ye...tak sbr nk baca bab nazwan plk nnt..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    suka sgt dgn cadangan tu

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Dah keluar ke blm sbb xda la dkt popular

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages