Kejora terdorong bangun dengan tubuh yang lemah. Kepalanya berdenyut hebat, telinganya berdengung, namun hidungnya menangkap satu bau yang asing. Bau itu segar, enak dan sungguh menggoda. Matanya pula seakan dianugerahkan deria baharu. Dalam suasana pekat gelap, setiap sudut terbentang jelas seperti dunia diterangi cahaya rahsia.
Perlahan, pandangannya mula menangkap keadaan sekeliling. Mayat-mayat terbujur kaku bergelimpangan di sekelilingnya. Aneh sekali, tiada gentar, tiada panik. Hanya rasa lapar. Hanya rasa dahaga.
Kejora menelan air liur. Bau darah menusuk deria, begitu menyelerakan. Bau daging segar pula terasa bagaikan janji nikmat yang sukar ditolak. Dia cuba menenangkan diri, menolak bisikan aneh yang muncul dibenaknya. Dia yakin dia sedang bermimpi. Tapi mimpi ngeri ini terlalu nyata.
Satu demi satu kepingan memori muncul dalam ingatannya.
Dia teringat menaiki kapal persiaran bersama Haslina, Harris dan Rosie…
Teringat pertengkarannya dengan Harris yang mengutamakan Rosie…
Teringat Harris memilih meninggalkannya seorang diri kerana risaukan keselamatan Rosie…
Kemudian detik berdarah itu kembali. Dia masih jelas merasai panik ketika melarikan diri, jelas merasai tubuhnya ditembusi peluru di kaki, di perut dan di kepala…
Aku sepatutnya sudah mati.
Tapi kenapa aku masih… hidup?
Atau… apakah ini hanyalah mimpi?
Belum sempat dia memahami apa yang terjadi, seorang lelaki muncul di hadapannya. Wajahnya keras, matanya terbeliak luas. Lelaki itu berpakaian hitam, lengkap dengan vest peluru tetapi lagaknya bukan seperti seorang polis ataupun tentera. Pengganas!
Pengganas itu kaku seketika, seolah-olah tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya. “Mustahil…” bisiknya, wajah pucat. “Aku… aku dah tembak kau tadi. Kau dah mati. Kenapa kau hidup semula?”
Kejora sendiri tidak mengerti. Kenapa dirinya masih bernyawa? Kenapa tubuhnya terasa lebih ringan, lebih kuat, walaupun dia tahu sepatutnya dia sudah tidak lagi wujud? Kekeliruan semakin menyesakkan dadanya.
Pengganas itu mula mundur setapak. Ada ketakutan jelas terpancar di wajahnya. Tangannya menggenggam erat senapang automatik yang masih berasap di hujung muncungnya.
“Ini tak masuk akal! Kau bukan manusia!” jeritnya, sebelum jarinya mula menekan picu senjata.
Namun, pada detik itulah sesuatu berlaku. Sebelum sempat peluru dilepaskan, satu tubuh lain muncul, menolak Kejora sekuat hati. Kejora menjerit kecil, tubuhnya hilang imbangan lalu bergolek menuruni tangga bersama penyelamat misteri itu. Mereka jatuh berguling berkali-kali, hentaman keras membuatkan tubuh Kejora berdenyut sakit seketika.
Akhirnya, mereka berhenti di dasar tangga dengan satu hentakan kuat. Nafas Kejora kedengaran. Dia cuba membuka mata, matanya kabur namun wajah itu jelas dikenalnya.
“Firdaus?” suaranya bergetar. Antara lega dan terkejut.
Firdaus tidak bersuara. Dia segera bangun, menarik tangan Kejora. Kejora masih bingung. Namun langkahnya tetap menurut. Sekurang-kurangnya ada orang yang dia kenal yang masih sudi menyelamatkannya dalam keadaan genting begini. Mereka berlari sehingga menemui jalan mati.
Tetapi Firdaus tidak cemas. Dia menendang sebuah pintu sehingga terbuka. Mereka berdua segera berlindung di dalam bilik kecil itu. Kejora tidak pasti sama ada mereka berdua akan selamat. Yang pasti dia tidak keseorangan. Firdaus mengarahkan Kejora duduk di satu sudut manakala dia berdiri di sebalik pintu seolah-olah bersedia untuk berlawan dengan pengganas tadi.
Langkah kasar seiring dengan bunyi senjata jelas kedengaran. Saat pintu ditolak kasar, pengganas tadi menerpa masuk dengan garang sambil mengacukan senjata. Dia bersedia untuk membunuh sesiapa sahaja. Namun, dalam sekelip mata, Firdaus bertindak.
Gerakan Firdaus amat pantas, penuh keyakinan. Dia merantap pergelangan tangan pengganas, memulasnya hingga senjata terlepas dan terjatuh berdenting di lantai. Kejora hanya memerhati, matanya fokus pada setiap gerakan itu. Bukannya rasa takut yang datang tetapi sejenis rasa kagum seperti menonton filem aksi.
Firdaus menolak pengganas itu ke dinding, satu tumbukan deras mendarat di rahangnya. Pengganas cuba melawan, namun setiap gerakan lawan itu ditepis dengan penuh kepakaran. Seakan-akan Firdaus sudah terbiasa berdepan bahaya sebegini.
Kejora masih keliru. Hatinya tertanya-tanya. Siapakah lelaki itu sebenarnya? Kenapa dia begitu mahir, sedangkan hanya berbekalkan tangan kosong? Namun, dia tidak mahu persoalan itu mengganggu fikirannya ketika ini. Yang jelas, dia tahu bahawa Firdaus bukan ancaman.
Gerakan terakhir Firdaus memulas kepala pengganas itu menghentikan perlawanan mereka. Tubuh sasa itu terkulai, rebah ke lantai tanpa bernafas lagi.
Firdaus berdiri tegak, menarik nafas dalam-dalam. Satu masalah sudah selesai. Tapi dia tahu, dunianya sudah tidak sama seperti dulu lagi. Dia memandang Kejora yang keluar perlahan-lahan dari tempat persembunyian. Wajah Kejora masih keliru.
“Kau… bunuh dia?” Suara Kejora bergetar, seakan tidak percaya dengan apa yang baru disaksikannya tadi.
“Terpaksa. Kalau tak, dia akan tamatkan nyawa kau… dan ramai lagi akan jadi mangsanya.”
“Aku rasa… aku dah mati. Aku kena tembak tadi. Tiga kali,” kata Kejora. Dia mahu melihat reaksi Firdaus. Dalam keadaan Firdaus yang sanggup bertaruh nyawa untuknya, dia rasa dia boleh mempercayai lelaki itu.
Ada sedikit perubahan pada raut muka Firdaus. Firdaus menghampiri Kejora. Kemudian, dia mengangkat dua jarinya lalu menyentuh perlahan dagu Kejora. Pandangannya menembusi terus ke dasar mata gadis itu. Saat itu Kejora tersedar bahawa anak mata Firdaus bukan berwarna hitam seperti kebanyakan orang tetapi kuning ambar. Cantik. Menawan. Dan mengasyikkan.
“Great…” Firdaus mengeluh panjang, seolah-olah kecewa dengan sesuatu.
Perut Kejora tiba-tiba berbunyi nyaring, cukup kuat sehingga Firdaus mendengar dengan jelas. Tanpa sepatah kata, Firdaus mengeluarkan tiga paket sosej segera dari poket jaketnya.
“Sosej? Aku tak suka makan benda macam ni. Tak baik untuk kesihatan dan diet.”
“Kau baru hidup semula. Kau perlukan tenaga. Kau perlukan… daging.”
Kejora pasrah. Dia tidak boleh memilih pada saat ini. Lapar yang merobek tubuhnya membuatkan dia menyuap juga makanan itu. Dia juga sempat merungut. Kenapalah dia lapar pada saat yang genting ini.
“Kejap…” Otaknya mula memproses. “Kau percaya dengan apa yang aku cakap tadi?” Kejora sendiri terkejut. “Aku dah mati… dan hidup semula.” Ulang Kejora. Kali ini tiada sebarang reaksi daripada Firdaus.
Tiba-tiba telinga Kejora menangkap sesuatu bunyi yang menyakitkan. Dalam masa yang sama Firdaus mengeluarkan telefon pintarnya. Walaupun ia tidak berbunyi tapi bunyi getaran itu membingitkan telinganya.
“Ya. Dia ada bersama-sama saya,” ujar Firdaus sambil memandang Kejora.
Harris? Teka Kejora.
Firdaus memberi telefon pintarnya kepada Kejora, “Ayah awak.”
Lagilah Kejora terkejut. Papa ada nombor telefon Firdaus?
“Papa?”
“Sweetie.” Air matanya hampir menitis tatkala suara itu memanggil. Walau sekian lama tidak berjumpa, dia masih ingat panggilan mesra itu. Sweetie. Dan suara itu, sudah lama dia tidak mendengar suara itu. Banyak persoalan berlegar-legar dalam benaknya sekarang tapi dia yakin, ini bukan masanya untuk bertanyakan penjelasan.
“Sweetie, bantuan sedang dalam perjalanan. Tapi sebelum tu, papa nak kamu stay dengan Firdaus. You can trust him. Jangan bertindak terburu-buru dan ikut arahannya, faham?”
Walaupun tidak faham sepenuhnya tapi Kejora membalas dengan positif. Telefon kembali bertukar tangan. Firdaus bercakap dengan papanya sebentar sebelum panggilan ditamatkan.
“Siapa kau sebenarnya?”
“Firdaus.” Dia hanya tersenyum. Senyuman itu, dalam cahaya yang samar, kelihatan lebih misteri daripada apa jua jawapan.
Bab 5

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.