Seseorang untuk Dinikahi: Bab 18



Nenek marah gila. Bersiap sedialah balik ni. Kalau tak kena pancung, mesti kena panggang,” ujar Nazwan selepas selesai menjawab panggilan telefon daripada Mama Tifa. Hanya kerana rancangan gila Luqman, tidak pasal-pasal dia pula yang kena bebelan Mama Tifa yang menyedari ketiadaan mereka berdua di rumah pagi itu.
Jangan risau, aku ada jalan baik punya,” kata Luqman yang memandu di sebelah.
Aku tahu rancangan baik kau tu,” jawab Nazwan.
Kau tahu?”
Rancangan tu dah tentulah aku pujuk nenek. Macamlah aku tak tahu,” ujar Nazwan sudah dapat mengagak.
Oh... hebatlah kau. Macam mana kau tahu?”

Berapa lama kau jadi sepupu sehati sejiwa aku?” tanya Nazwan kembali.
Hehe... kelemahan nenek tu satu je. Walaupun dia marah dengan kau tapi dia tetap tak boleh nak tarik muka dengan kau. Kau dah jawab telefon tu, marahnya redalah nanti,” balas Luqman tanpa rasa bersalah.
Mmm...,” Nazwan bergumam kecil.
Kau lapar ke?” tanya Luqman.
Baru kau nak tanya?” balas Nazwan menjeling tajam. Sejak keluar dari rumah tadi perutnya memang sudah berkeroncong. Ingatkan Luqman sudah menyediakan makanan ringan seperti keropok ataupun roti dalam kereta tetapi harapan hanyalah tinggal harapan. Bukan sahaja makanan, air mineral pun sepupunya tidak sediakan. Sekarang, perutnya sudah meraung minta makanan.
Lepas kita pergi ambil Sarah, baru kita pergi makan,” ujar Luqman sambil membelokkan keretanya menuju ke rumah Sarah.
Mmm...,” Nazwan mengangguk menurut. Harap-harap Sarah sudah bersiap sedia di hadapan rumah dengan beg yang perlu dibawa. Jangan jadi macam Arissa sudah. Kalau pagi itu hendak pergi, pagi itu juga kelam-kabut hendak sediakan barang-barang. Pergi dua hari tapi dia bantai bawa dua bagasi besar. Bonet kereta penuh hanya bagasi dia sahaja.
Apa hal kau tersenyum pula ni?” tegur Luqman tiba-tiba.
Hah?” terkejut Nazwan dibuatnya. “Senyum? Bila masa aku senyum?”
Jangan nak berdalih dengan aku. Aku nampak kau tersenyum macam orang angau je tadi,” balas Luqman lagi.
Mengarut. Teruslah memandu!”
Kita dah sampai depan rumah Sarah, Nazwan. Takkan kau tak perasan?” kata Luqman.
Hah?” sekali lagi Nazwan terkejut. Dia memandang sekeliling. Entah bila Luqman berhenti di hadapan rumah Sarah pun dia tidak perasan. Mengelamumkah dia?
Kau nak beritahu aku apa yang menyebabkan kau tersenyum sorang-sorang tadi?” tanya Luqman merenungnya tajam.
Mana ada aku senyum sorang-sorang! Kau tu yang tersilap tengok.”
Mmm... tak pe. Nanti kita selesaikan hal ni. Buat masa ni, aku perlu jadi hero untuk gadis-gadis cantik dulu,” ujar Luqman apabila melihat kelibat dua orang gadis keluar dari pekarangan rumah itu dengan masing-masing membawa sebuah bagasi kecil.
Luqman sudah pun keluar dari keretanya menolong mereka berdua memasukkan kedua bagasi tersebut ke dalam bonet belakang. Dari cermin pandang sisi di sebelah tempat duduknya, Nazwan dapat melihat Luqman dan Sarah berbual di belakang kereta. Dia mengerut dahi. Mereka nampak seperti bergaduh atau tidak bersependapat.
Hai, kau mesti Nazwan, bukan?” sapa seorang gadis yang tidak pernah dilihatnya. Tiba-tiba sahaja masuk ke dalam kereta itu dan duduk di bahagian belakang tanpa dikenali siapa orangnya. Menurut Luqman, ada seorang sepupu Sarah akan turut serta.
Ya, kau mesti sepupu Sarah,” teka Nazwan.
Mmm... aku tak sangka sepupu aku ada kawan lelaki yang handsome,” ujar gadis itu separuh memuji.
Hentikan Asha. Jangan jadi kucing miang kat dalam kereta ni,” suara Sarah memberikan amaran kepada sepupunya. Tidak lama kemudian, Luqman yang selesai menyusun barang-barang di bonet kereta, masuk kembali ke dalam.
Okey, dah sedia nak pergi Cameron Highland?”
Sedia!” sorak Asha keriangan. “Oh, sebelum tu, apa kata kalau kita pergi makan? Aku teringin nak makan roti canai, nasi lemak dengan teh tarik.”
Aku ingat kau benci makanan macam tu,” sapa Sarah di sebelah.
Mengidam. Kau tahu, perut aku memang suka mengidam yang bukan-bukan bila jumpa lelaki handsome. Oh ya, aku lupa nak perkenalkan diri, nama aku Natasya,” Asha mula menghulurkan salam perkenalan kepada Nazwan.
Natasya?” Nazwan terus berpaling memandang gadis tadi.
Ya, kenapa. Ohh, aku tahu nama yang cantik bukan? Semua lelaki yang sangkut dengan aku pasti akan cakap, nama aku begitu indah, begitu cantik dan begitu sedap disebut. Tapi, malangnya Sarah suka panggil aku dengan panggilan Asha walaupn kawan-kawan aku panggil aku dengan nama Tasya....”
Luqman, hulurkan tisu tu,” ujar Sarah tiba-tiba menyampuk.
Luqman hanya menurut.
Kenapa? Nak muntah?” tanya Asha.
Yup. Aku nak muntah bila kau asyik bercakap tanpa henti. Sesekali, boleh tak kau berhenti bercakap? Bila kau bercakap, kau dah buat kepala aku pening,” balas Sarah.
Aku tak tahu kepala cap apa yang kau guna sekarang,” keluh Asha sebelum berhenti bercakap.
Suasana dalam kereta kembali sunyi sepi. Sesekali suara Asha akan kedengaran tetapi bila Sarah bersuara, Asha kembali senyap. Namun, hanya untuk seketika. Mulut Asha lebih kurang seperti Arissa. Asyik bercakap tidak henti-henti. Agaknya kalau ada Arissa, mungkin lebih kecoh dalam kereta itu.
Sekali lagi Nazwan tersenyum. Pagi ini dua kali dia teringatkan Arissa. Entah apa yang Arissa sedang buat sekarang. Masih demam lagikah?
Nazwan merenung handsetnya. Hari ini Arissa tiada menghubunginya. Merajukkah sebab dia mematikan panggilan begitu sahaja. Di tunggu-tunggu juga panggilan daripada Arissa malam tadi, tapi tiada langsung. Arissa juga tak kelihatan di balkoni.
Nazwan!” panggil Luqman tiba-tiba membuka pintu kereta di sebelahnya.
Hah,” sekali lagi Nazwan terkejut. Dia memandang sekeliling. Kereta yang dipandu oleh Luqman sudah pun berhenti di hadapan sebuah gerai makan. Sarah dan Asha sudah pun berlalu masuk ke dalam gerai itu. Cuma dia sahaja yang masih duduk di dalam kereta.
Apa hal dengan kau hari ni? Asyik mengelamun saja,” tegur Luqman setelah Nazwan berlalu keluar.
Tak ada apa,” jawab Nazwan sepatah.
Selagi kau kata tak ada apa, aku ketuk kepala kau dengan tukul besi,” ujar Luqman sedikit geram.
Macamlah kau berani.”
Kau ingat aku....”
Perut aku dah lapar. Kalau nak bergaduh tunggu perut aku kenyang,” ujar Nazwan sebelum berlalu mendapatkan Sarah dan Asha yang sudah memesan makanan.

***

Arissa melepaskan bersin beberapa kali ketika dia melangkah turun ke bawah. Tubuhnya sudah bebas daripada demam namun saki baki selesema dan batuk masih ada lagi. Setelah beberapa hari berkurung dalam bilik, akhirnya dapat juga dia menjejak kaki ke bawah. Sebaik sahaja dia turun ke bawah, orang yang pertama dia nampak adalah Naufal.
Hai Kak Arissa,” sapa Naufal yang sedang bersenang lenang duduk di atas sofa panjang sambil menonton televisyen.
Cantik kaki,” tegur Arissa apabila melihat kedua kaki Naufal diletakkan di atas meja. Gaya macam bos kerek pun ada.
Terima kasih,” jawab Naufal tidak makan saman. Kakinya masih lagi di atas meja.
Arissa memandang sekeliling. Mama Fiza dan Fazira tidak kelihatan. Rumahnya sunyi seperti keduanya tiada di rumah. Kemudian, dia memandang Naufal.
Mama Fiza pergi pasar raya, Fazira pula pergi sekolah dan aku diarahkan untuk menjaga rumah ni dan tuan puteri yang cantik jelita,” ujar Naufal yang seperti dapat membaca apa yang difikirnya.
Arissa tidak mahu bercakap banyak. Dia masih lagi marah dengan Naufal yang telah menceroboh isi hatinya dengan membaca diarinya tanpa izin. Kalau diikutkan hati memang sudah lama dia leku kepala Naufal tapi memandangkan Naufal lebih tinggi daripadanya sekarang, dia terpaksa fikir cara lain. Cuma buat masa ini, dia tiada tenaga hendak melayan Naufal. Lagi di layan, lagi sakit hatinya.
Lantas langkahnya dia atur ke dapur. Tiada sarapan yang disediakan oleh Mama Fiza. Lupa pula, selalunya pada hari Sabtu dan Ahad ataupun hari cuti, Mama Fiza tidak akan menyediakan sarapan tetapi sebaliknya terus sediakan makanan tengah hari. Itupun kena tunggu Mama Fiza pulang.
Kau nak buat apa?” tanya Naufal yang entah bila berada di belakangnya.
Jangan kacau boleh tak?” Arissa menolak Naufal ke tepi. Pintu kabinet dibukanya dan mengambil sebungkus maggie kari.
Wahhh... maggie kari,” sorak Naufal keriangan.
Kau tak pernah tengok maggie kari ke?” tegur Arissa dengan suara kerek.
Pernah tapi tengok Kak Arissa masak maggie kari tak pernah,” jawab Naufal menggeleng tidak yakin.
Arissa cuba mengabaikan Naufal dan meneruskan kerja-kerjanya. Dia mencapai sebuah mangkuk. Kemudian meletakkan maggie di dalam mangkuk itu. Belum sempat Arissa hendak membuka perencah maggie, Naufal menghentikannya.
Stop!” arah Naufal.
Serta-merta Arissa berhenti berbuat demikian. Dia melihat Naufal menggeleng.
Kenapa?”
Ini cara budak hostel masak maggie. Kita bukannya duduk kat hostel,” ujar Naufal mengeluh lemah.
Okey, kalau kau tahu masak, apa kata kau masak,” sengaja Arissa ingin mencabar. Dia ingin lihat bagaimana anak buah Mama Fiza yang manja itu memasak.
Naufal tidak bercakap banyak sebaliknya terus mencapai sebuah periuk. Diisi periuk itu dengan air untuk dipanaskan. Arissa hanya duduk melihat di tepi melihat Naufal bertindak seperti chef maggie terkemuka. Terkejut juga dia melihat ketangkasan Naufal di dapur. Cara Naufal pegang pisau, cara Naufal handle dapur, cara Naufal pecahkan telur ke dalam periuk. Semuanya sempurna!
Dah siap!” ujar Naufal sambil menghidangkan semangkuk maggie di atas meja.
Wah...,” tidak terkata Arissa dibuatnya. Dia mula terasa tercabar. Kalau lelaki manja seperti Naufal sudah pandai memasak, memang malulah kalau dia masih lagi tak pandai masak maggie. Tapi, bedal ajelah. Perutnya sudah lapar.
Ehhh, nanti dulu,” sekali lagi Arissa kaget.
Kenapa?”
Ini maggie aku. Kalau nak, masak sendiri,” kata Naufal sambil menghadiahkan senyuman sinis.
Huh, tak ikhlas langsung!” Arissa mendengus marah sambil berlalu bangun mengeluarkan sebungkus maggie lagi. Punyalah dia perasan yang maggie itu dibuat khas untuknya, tetapi dia terkena lagi dengan Naufal.
Mmm... sedap!!” ujar Naufal sengaja ingin menyakitkan hatinya.
Huh, maggie aku lagi sedap!” Arissa tidak mahu mengaku kalah sambil menuang air panas ke dalam mangkuk berisi maggie. Naufal pula tidak habis-habis memuji maggie yang dimasaknya tadi. Makannya tidak.
Selepas lima minit berlalu, maggie yang dibuatnya tadi sudah kembang. Namun, baru sahaja Arissa hendak makan, Naufal bertindak merampas mangkuk maggie itu manakala maggie yang dimasak Naufal tadi ditolak ke hadapan Arissa.
Naufal!” tegur Arissa geram.
Mmm... sedapnya,” Naufal terlebih dahulu sudah menjamah maggie Arissa tadi.
Arissa mencebik marah. Sekejap saja. Selepas itu dia pun makan maggie yang Naufal masak tadi. Nikmatnya tidak terkata. Sudah lama dia tidak makan maggie yang dimasak dengan betul. Bukannya dengan merendam air panas. Semua lengkap. Ada telur separuh masak, ada sayur dan rasanya... lebih sedap daripada biasa.
Bahagianya, sorak hatinya.
Aku tahu, masakan aku memang sedap tapi perlahan-lahanlah makan tu,” tegur Naufal.
Perasan!” ujar Arissa dengan mulut yang penuh.
Tengok tu,” tegur Naufal lagi sambil menarik sehelai tisu dari kotak dan mengelap tepi bibir Arissa yang yang comot.
Arissa terkejut dengan tindakan Naufal. Selama ini, selain papanya, dia tidak pernah dilayan sebegitu. Hal ini kerana dia tidak pernah tunjukkan kegelojohannya di hadapan lelaki. Kontrol ayu katakan. Apabila Naufal berbuat demikian, tiba-tiba jantungnya melonjak panik. Dia tidak tahu hendak buat apa. Tubuhnya tiba-tiba menjadi kaku dan membiarkan tindakan Naufal.
Amboi, bahagia nampak,” sapa satu suara.
Lantas Arissa berpaling. Terkejut dia apabila melihat kehadiran Mama Fiza. Tangan Naufal masih lagi mengelap tepi bibirnya.
Aku tahulah nak lap sendiri!” Lantas Arissa menepis tangan Naufal.
Hoho... muka dia dah blushing,” usik Naufal.
Hah?” Arissa memegang kedua pipinya. Panas. Blushing? Mustahil. Lantas Arissa bangun daripada duduknya dan berlari meninggalkan dapur. Dia tidak boleh terima. Naufal berjaya buat dia blushing. Selama ini tiada lelaki yang berjaya membuatnya blushing begitu.
Tapi, kenapa Naufal?!

***

Kau nak pergi mana tu?” tanya Luqman apabila melihat Nazwan keluar dari keretanya.
Aku nak ke tandas jap,” jawab Nazwan ketika Luqman mula mengisi minyak.
Nak buat apa?” tanya Luqman lagi.
Nak pergi beli tiket konsert AKB48,” jawab Nazwan selamba.
Luqman mengerut dahi. Rasanya dia dengar dengan jelas Nazwan menyebut pasal konsert AKB48. Namun, sepanjang dia menjadi peminat susah mati AKB48, ini kali pertama dia mendengar tentang tiket konsert AKB48 boleh didapati di tandas.
Luqman, aku perli kau,” balas Nazwan sebelum berlalu pergi ke tandas.
Luqman mengangguk tidak puas hati. Punyalah penat dia memikirkan misteri penjualan tiket konsert AKB48 di tandas, sampai dia tidak sedar yang sebenarnya Nazwan sedang memerlinya. Ini bukan kali pertama dia kena tipu hidup-hidup dengan Nazwan. Sudah banyak kali sebenarnya. Ini kerana gaya dan nada suara Nazwan yang serius sering membuatkannya tertipu.
Selesai sahaja dia mengisi minyak, Luqman segera memandu keretanya ke bahagian belakang stesen minyak kawasan rehat Tanjung Malim untuk menunggu mereka yang lain. Asha dan Sarah awal-awal sudah hilang ke tandas dan tadi dia melihat mereka berdua masuk ke kedai barangkali membeli makanan ringan untuk dimakan dalam perjalanan nanti.
Tiba-tiba, handset Nazwan yang diletakkan di atas kerusi di sebelahnya berbunyi. Luqman lantas mencapai handset itu apabila menyangka pasti mama atau neneknya yang telefon. Namun, jangkaannya meleset sama sekali apabila melihat nama si pemanggil yang muncul di skrin handset itu.
Miss Donut?” tanyanya kehairanan. “Huh, ini mesti si ahli sihir ni,” teka Luqman. Tiada siapa lagi yang boleh dikaitkan dengan donut selain Arissa. Tambah lagi Nazwan memang suka makan donut yang Arissa buat. Mustahil Nazwan ada nombor telefon awek yang jual donut.
Pada mulanya Luqman tidak mahu menjawab panggilan itu sehinggalah datang satu idea terlintas di fikirannya. Tanpa buang masa dia segera menjawab panggilan itu.
Nazwan!” suara Arissa kedengaran.
Aku dah agak dah,” balas Luqman.
Luqman? Eh, aku salah call orang ke?” tanya Arissa yang mengecam suara Luqman.
Tak. Betullah kau call handset Nazwan tapi aku yang jawab.”
Ohh, Nazwan mana?” tanya Arissa.
Dia pergi dating dengan perempuan cantik,” jawab Luqman selamba.
Tipu.”
Tak percaya sudah.”
Cakaplah betul-betul!”
Betullah. Kita orang kat Cameron Highland sekarang ni.”
Hah? Kenapa tak ajak aku?”
Bukan ke kau demam?”
Nazwan pun demam.”
Dia dah sembuh.”
Aku pun dah sembuh,” Arissa tetap tidak mahu menyerah kalah.
Tapi Nazwan dah ada awek baru.”
Tipu!”
Datanglah Cameron Highland ni tengok sendiri,” Luqman mencabar Arissa.
Kau ingat aku tak berani?” tegas Arissa sebelum memutuskan panggilan.
Luqman ketawa kemenangan. Akhirnya, dia berjaya kalahkan Arissa kali ini. Puas hatinya. Tidak dapat dia bayangkan keadaan Arissa sekarang. Mesti macam cacing kepanasan. Tidak duduk diam.
Dia yakin. Pasti Arissa tidak berani datang ke Cameron Highland seorang diri. Lagipun pasti Mama Fiza tidak benarkan Arissa keluar rumah sebelum sembuh sebenarnya. Sebab itulah dia berani mencabar Arissa. Dia mula memikirkan rancangan seterusnya. Selepas ini, dia ingin upload gambar banyak-banyak di facebook. Biar Arissa cemburu sampai gila.
Tersenyum panjang nampak,” tegur Nazwan tiba-tiba mematikan lamunannya.
Luqman tersenyum lagi.
Kata aku tapi dia sendiri yang berangan tak habis-habis pagi ni,” ujar Nazwan lagi.
Senyuman aku, senyuman kemenangan,” jawab Luqman terus tersenyum.

***

Arissa memberhentikan keretanya tiba-tiba apabila ada sebuah CRV berwarna merah menyala menghalang laluannya. Lantas dia bunyikan hon. Entah CRV siapa yang sengaja mencari nahas menghalang kereta Myvinya keluar. Banyak kali dia membunyikan hon tetapi CRV itu tidak berganjak, lantas Arissa keluar dari Myvinya.
Cermin CRV bahagian pemandu diketuknya. Disebabkan cermin itu berwarna hitam, dia tidak dapat melihat siapa gerangan orang di dalamnya. Beberapa saat kemudian, cermin itu diturunkan.
Naufal?” terkejut Arissa apabila melihat Naufal berada di dalamnya.
Hai si gadis cantik. Cantik-cantik ni nak ke mana?” tanya Naufal.
Arissa menghela nafas panjang.
Hai si jejaka kacak, boleh tak alihkan kereta ni? Si gadis yang cantik ni nak lalu dengan kereta yang cantik tu,” balas Arissa separuh geram.
Auuuu...,” bunyi serigala miang sudah kembali lagi. “Jom kita dating!”
Naufal,” tegur Arissa serius.
Ye sayang.”
Sila ke tepi,” arah Arissa lagi.
Ohh... okey,” ujar Naufal menurut perintah tapi penuh dengan kepura-puraan. Berpura-pura masukkan gear, berpura-pura mengawal stereng padahal CRVnya tidak berganjak sedikit pun.
Arissa mendengus marah. Lagi dia layan Naufal selagi itulah dia membazir masa untuk ke Cameron Highland. Tanpa buang masa, dia kembali ke Myvi miliknya, membuka bonet kereta dan mengeluarkan bagasi sederhana besar dan berlalu membuka pintu belakang CRV Naufal. Setelah memasukkan bagasinya, dia berlalu masuk dan duduk di sebelah Naufal.
Macam tulah sayang. Okey, kita nak pergi dating kat mana ni?” tanya Naufal.
Cameron Highland,” jawab Arissa ringkas.
Wah, tempat yang romantik untuk kita berdating. Jom!!!” sorak Naufal keriangan sebelum memulakan perjalanan.

17 si charming:

  1. MizaEija berkata...:

    Yeay... lepas ni boleh main jeling².. jeles².. hehe

  1. Tanpa Nama berkata...:

    WAH..! PASTIKAN NAUFAL TU LG ENSEM LG SI NAZWAN.. KEJAM SUNGGUH LUQMAN.. XPE.. SI NAZWAN ADE SI ASHA.. ARISSA ADE NAUFAL.. APE ADE HAL.. SURE SI NAZWAN JELES.. BARU 0 - 0. HEHE..

  1. IzZ berkata...:

    Encik Nazwan tolong sedar ye bahawa adik Naufal ni pon boleh buat cik Arissa blushing!kau ade??haha..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    silalah sambung cepat-cepat ye..heheh

  1. zuezakry berkata...:

    kiutlaaa entry ni =)

  1. | feynaa | berkata...:

    Omoooo >,< tak sabar utk next n3 :D

  1. Tanpa Nama berkata...:

    terasa pendek jer entry...dah ader bunga2 cinta di hati nazwan..hepi2...pls plis plis ader sambungan lg...

  1. kail berkata...:

    wah... makin panas makin hangat....

    geram betul dengan luqman nie lah.

    tahniah utk kak ratu...

  1. Tanpa Nama berkata...:

    bessssttttt sangaaatttt... next n3 please :D

  1. Tanpa Nama berkata...:

    luqman oi, jgn sampai nanti Arissa tu buat hang jatuh hati plak kt dia.. pdn muke!! jgn menci2 sgt, t payah..
    nazwan yg keras tu pun dh hampir cair, ni plak ko..
    cepat update, cik ratu..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Sangat suka....
    sume watak cik ratu cipta boleh buat sy senyum angau..hahaha...
    cerita pun sgt masyok... (^____^)

    -nana hamid-

  1. nurul syahirah berkata...:

    tak suka ada konflik
    watak orang ke-3....

  1. Unknown berkata...:

    Alahai...so sweet watak c naufal ni...cpt2 sambung cik ratu

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Wah suka nya, mesti nazwan cemburu tengok naufal nanti.wah tak sabar rasanya
    Next entry please!!

  1. Tanpa Nama berkata...:

    hmmmm

  1. Tanpa Nama berkata...:

    mintak2 nenek kotakan kata2 dia ari tu....klu jd lg nk kawinkan nazwan dgn arissa...kira gagal la rancangan lukman..haha

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages