Facebook

SEPATAH KATA

Maaf atas kelewatan entry terbaru.

Kelewatan entry ini tidak disengajakan kerana saya mengalami masalah dengan blogger (kegagalan untuk post next entry).

HANYA DAPAT KU KATAKAN

Aku seorang penulis yang baru hendak belajar. Aku luahkan apa yang terpendam dalam hati aku ke dalam bentuk cerita. Semua yang aku tulis, tidak kira dialog ataupun plot adalah dari pengalaman aku sendiri yang telah ditokok tambah menjadi sebuah cerita. Aku bukan seorang pengemar sukan bola sepak ataupun bola keranjang. Aku juga tidak reti bermain gitar tapi aku tetap ingin menulis tentang semua itu. Sebab ia merupakan satu cabaran. Bukan populariti yang aku cari, bukan komen memuji yang aku ingin, tapi sekadar ingin berkongsi dengan anda semua.

SELAMAT MEMBACA

Love this blog?

25: CINTA VS MERAJUK

Kata Hikayat,
Tiada manusia dalam dunia ini memahami diri seseorang walaupun dirinya sendiri. Berterus teranglah, hanya itu sahaja jalan untuk mengenalinya.

“Seperti yang semua tahu, saya dah daftar pasukan kita untuk menyertai Kejohanan Bola Keranjang peringkat kebangsaan. Seperti yang semua tahu juga, kejohanan ini merupakan kejohanan yang hebat kerana melibatkan banyak pasukan yang hebat. Walaupun bola keranjang tak dapat perhatian sepenuhnya oleh masyarakat di Malaysia berbanding sukan bola sepak tapi bola keranjang ada peminat mereka sendiri. Setakat ini saya tak dapat apa-apa lagi maklumat tentang siapa lawan kita kerana proses pengundian kumpulan masih lagi belum dijalankan,” Apy Elina memberi taklimat kepada pasukannya setelah selesai sahaja latihan pada petang itu.

Seorang demi seorang pemain-pemainnya dipandang. Walaupun kepenatan setelah berlatih tadi, tapi masing-masing tetap menumpukan perhatian pada taklimat yang disampaikannya. Begitu juga dengan Alex yang duduk jauh di tempat duduk penonton. Itupun hanya datang untuk sesi taklimat.

Sejak mereka berdua berperang besar tempoh hari, Alex langsung tidak pernah jejak ke gelanggang untuk sesi latihan. Apy Elina juga tidak memperdulikan ketidakhadiran Alex lagi. Bukannya dia sudah malas ataupun berputus asa dengan perangai Alex yang tidak menentu itu tetapi jika boleh dia memang tidak mahu berhadapan dengan Alex. Apabila terpandang sahaja wajah Alex, dia akan teringat teori-teori Nabila yang entah betul atau tidak.
***

“Kau sukakan Alex?”

“Kalau aku sukakan Alex, itu bermakna aku dah gila!” tegas Apy Elina. “Aku mungkin dah putus asa dengan Daniel tapi itu tak bermakna aku akan mudah jatuh cinta dengan Alex. Lagipun dia budak kecik dan angka 8 menjadi pemisah dan alasan kukuh kenapa aku tak akan jatuh cinta dengan dia. Terus terang aku cakap, aku tak ada perasaan yang serius padanya lagipun aku tak suka lelaki yang lebih muda dari aku. Kalau boleh aku nak cari lelaki yang lebih tua dari umur aku dan pastilah seorang yang matang. Alex pula seperti baby boy, tak matang dan yang paling aku tak suka, dia selalu bertindak ikut perasaan,” malam itu juga Apy Elina mencurahkan segala apa yang dirasanya tentang Alex kepada Nabila.

“Terus terang aku cakap, aku memang tak setuju kalau kau orang berdua bercinta sebab selain ketidakserasian yang kau cakapkan tu, ada lagi yang perlu kau tahu. Alex dilahirkan dari keluarga yang paling berpengaruh jadi, kau tahukan apa sebabnya?”

“Darjat,” teka Apy. Nabila mengangguk.

“Aku tak tahu apa yang akan terjadi pada masa depan cuma aku nak ingatkan kau tolong jangan rapat sangat dengan Alex. Aku bekerja dengan mama Alex jadi, aku faham situasi sebenar keluarga mereka. Kau dan Alex berada di dunia yang berbeza.”

“Kau tak perlu risau, aku anggap Alex seperti murid yang baru nak belajar dan aku menjalankan tanggungjawab seperti cikgu-cikgu yang lain mengajar anak murid. Aku tak tahu apa yang Alex fikir tentang aku tapi aku harap dia juga tahu batas hubungan antara cikgu dan murid. Buat masa ni, biarlah apa yang dia nak buat. Aku takkan ganggu dia lagi. Lagipun Izwan juga cakap, Alex perlukan sedikit masa. Aku akan berinya masa dan ruang untuk berfikir.”

“Sampai bila?”

“Sampai dia berfikiran matang dan bercakap dengan aku.”

***
Tapi pada hakikatnya, masing-masing saling mengelak apabila terserempak dan mendiamkan diri apabila berhadapan. Bagi Apy, dia bukannya mengelak tapi dia cuma takut jika teori Nabila itu benar.

“Baiklah, kalau tiada apa-apa masalah lagi, sesi taklimat sampai di sini saja,” dia memberi kata penutup.

“Cikgu, jom pergi minum petang,” ajak Wawa.

“Err… lain kali sajalah. Lagipun cikgu tak nak terlepas bas,” dia mengukir senyuman memberi alasan yang sebaik-baiknya supaya tidak berhadapan dengan Alex.

“Tak apa. Saya hantar cikgu balik. Rumah cikgu kat mana?” Red Yazid mencelah. Sememangnya mereka semua sudah berpakat untuk memerangkap jurulatihnya dan Alex supaya duduk berbincang dan selesaikan persengketaan antara mereka berdua kerana bagi mereka, kelab bola keranjang tidak meriah seperti saat awal kehadiran jurulatih mereka dahulu. Walaupun seringkali melihat Alex dan jurulatihnya bertengkar tetapi situasinya tidak sama seperti sekarang ini yang tegang. Masing-masing tidak bercakap langsung.

“Err… tak mengapa, cikgu kejar masa lagipun cikgu ada date,” dia sekali lagi menolak perlawaan Red Yazid. Namun, baginya itu bukan satu alasan tapi dia benar-benar tidak dapat menyertai mereka semua untuk minum petang kerana Daniel ingin berjumpa dengannya.

Sejak Daniel berkahwin dengan Darina lebih kurang sebulan yang lalu, dia sudah jarang berjumpa ataupun bermesej dengan Daniel. Hubungan mereka terputus begitu sahaja apabila masing-masing sudah membawa haluan sendiri. Dia sibuk dengan masalah pasukannya manakala Daniel pula sibuk menguruskan rumah tangga yang baru dibinanya. Lagipun Daniel sudah menjadi suami orang, jadi, lebih baik dia menghadkan hubungan mereka berdua. Kalau boleh dia tidak mahu mencipta kegagalan rumah tangga Daniel sebagai orang ketiga.

“Apa dah berlaku antara kau dengan cikgu?” Rinazila membuka bicara. Dia sememangnya sudah tidak tahan dengan situasi tersebut. Sebaik sahaja jurulatihnya berlalu meninggalkan dewan gelanggang dia terus menyerang Alex.

“Tak ada apa,” Alex membalasnya selamba.

“Kalau tak ada apa kenapa aku tengok cikgu dah tak ceria seperti selalu?” Wawa mencelah.

“Mungkin sebab dia tak ada kawan nak bergaduh. Korang boleh ceriakannya dengan cari gaduh dengannya,” dia membalas acuh tak acuh.

“Alex, kau tahukan, cikgu memang jurulatih yang hebat?” Azhar bersuara. Alex sekadar mengangguk. “Kita tak boleh kehilangan jurulatih sepertinya dan kami semua tak ingin tempatnya diganti oleh sesiapa pun. Jadi, kalau kali ini kau benar-benar fikirkan tentang pasukan kita, kau perlu buat sesuatu untuk perbaiki semua ni.”

“Lambat laun okeylah tu,” ujar Alex lagi.

“Kau memang tak faham,” Rinazila masih lagi tidak puas hati dengan reaksi Alex.

“Faham apa? Kan aku kata, aku perlukan masa bila dah okey aku datang latihan seperti biasa. Kalau korang tak percaya, esok aku akan join latihan seperti biasa.”

“Ini bukannya pasal kaulah!” suara lantang Rinazila bergema satu dewan.

“Habis tu pasal apa?”

“Pasal cikgu. Kau tak perasan ke, cikgu merajuk.”

“Hah?”

“Kalau kau datang latihan seperti biasa pun, benda ni tak ubah apa-apa sebab cikgu dah merajuk dengan kau sebab itulah dia buat tak tahu dengan kau. Kau ingat, dia ada cari kau ke masa latihan sejak akhir-akhir ini. Cikgu langsung tak sebut nama kau dan langsung tak tanya ke mana kau pergi. Dia buat macam kau tak wujud langsung dan itu tandanya, dia dah merajuk dan malas nak ambil tahu pasal kau lagi,” terang Rinazila seperti dapat mentafsir apa yang sedang jurulatihnya fikirkan sekarang.

“Takkan itupun nak merajuk?”

“Takkan kau dah lupa yang cikgu tu perempuan? Perempuan ni sensitif sikit,” kata Rinazila lagi.

“Sorry Alex, tapi dalam situasi kali ni, aku rasa lebih baik kau pujuk cikgu, kalau tak sampai bila-bila pun benda ni takkan selesai,” Izwan bersuara.

“Tak naklah.”

“Kau mesti pujuk juga.”

“Kalau tak?” Alex masih lagi berdegil. Sudahlah dia paling benci pujuk perempuan apatah lagi memujuk jurulatihnya.

“Kau ingat lagi tak gambar curi yang aku tangkap masa kita semua bercuti di Pangkor?” Panjang tersengih-sengih.

Bulat mata Alex mendengarnya.

“Gambar tu?! Kau tak buang?! Bukan ke aku dah suruh kau buang gambar tu?!”

“Panjang memang dah buang gambar tu tapi aku sempat simpan gambar tu,” Rinazila bersuara. “Aku fikir mungkin aku boleh gunakan gambar tu untuk ugut kau pada masa akan datang,” sekeping gambar di keluarkan dari failnya dan ditunjukkan kepada Alex. Alex segera merampas gambar tersebut dari tangan Rinazila.

“Teknik kotor!”

“Tapi teknik ni semua orang setuju. Jadi, kalau kau tak nak gambar lucah original kau tu tersebar di internet, kami beri kau masa selama seminggu untuk pujuk cikgu kembali seperti biasa. Kalau tidak, gambar ni akan tersebar di internet,” kata Rinazila mengugutnya.

Alex kemudiannya memandang Izwan.

“Aku tak nak masuk campur,” Izwan memberi kata putus.

“Yelah. Yelah!” dia mendengus marah. “Korang memang nak balas dendam bukan?” segera dia mengangkat kaki meninggalkan mereka semua yang bersorak gembira apabila rancangan mereka memaksanya telah berjaya.

Pintu keretanya dibuka sebelum melangkah masuk ke dalam perut keretanya. Sekeping gambar yang dirampasnya dari tangan Rinazila tadi ditatapnya sekejap sebelum menyelitnya pada buku-buku di sebelah tempat duduknya. Tidak sanggup dia gambar tersebut. Apa yang perlu dia buat sekarang adalah memastikan gambar seperti itu tidak tersebar di internet seperti gambar sebelum ini.

Jika sebelum ini hanyalah gambar palsu tapi kali ini gambarnya yang sebetulnya. Jika ia tersebar di internet pasti memberi tamparan hebat kepadanya. Nak tak nak, dia terpaksa memikirkan cara untuk memujuk jurulatihnya kembali.
***

“Alex,” kakaknya Mellissa meredah masuk ke dalam biliknya ketika dia sedang menghabiskan masa cutinya dengan membaca buku.

“Lain kali bagi salamlah, mak cik,” katanya dingin.

Mellissa cuma tersenyum walaupun Alex menyapanya dengan dingin. Tanpa perdulikan mood dingin adiknya itu, dia terus melompat ke atas katil menghampiri adiknya. Sebuah buku nota berkulit keras dihulurkan kepada adiknya.

“Apa ni?” tanya Alex.

“Hadiah,” dia bersandar di sebelah adiknya.

“Mimpi apa pula nak bagi hadiah?”

“Yelah. Beberapa hari lagi akak akan berkahwin dengan lelaki pilihan mama dan selepas tu akak mesti kena ikut suami. Mungkin setahun sekali akak boleh balik jumpa kamu, jadi akak risau kalau kamu tak boleh hidup tanpa akak di sisi.”

“Gila! Saya bukan budak-budak.”

“Bagi akak, Adam Alexander tetap budak-budak.”

“Jadi, benda ni nak buat apa? Untuk tulis surat pada kakak?” sindirnya.

“Bukan! Sebab kakak dengar kamu baru putus cinta dengan… siapa nama perempuan tu? Jadi, dalam ni akak dah senaraikan segalanya macam mana nak pujuk perempuan yang merajuk.”

Buku nota berkulit tebal kembali di beri kepada kakaknya.

“Saya tak perlukannya. Perempuan menyusahkan.”

“Alex! Perempuan tak menyusahkan tapi hati mereka sensitif. Kalau kamu tak bertindak cepat, mereka akan tinggalkan kamu dan pada masa tu kamu akan rasa kehilangannya. Faham tak?!”

“Tak faham,” dia masih bertegas.

“Tak kira! Kamu mesti ambil buku ni dan baca!” buku nota tadi diberikan kepada Alex semula sebelum dia melangkah keluar dari bilik adiknya. Namun, buku tersebut di campak ke tepi katilnya. Langsung tidak perdulinya sejak itu.
***

Dahulu, dia tidak perlukan buku nota yang diberi oleh kakaknya malah baca pun tidak. Baginya, buku seperti itu tidak diperlukan dalam hidupnya. Dia juga tidak faham kenapa kakaknya berkobar-kobar menulis buku itu untuknya tapi kini, barulah dia faham. Walaupun belum cuba untuk memujuk perempuan tapi dia sememangnya tidak tahu bagaimana caranya untuk pujuk perempuan. Ingin bertanya, kepada siapakah dia ingin bertanya? Buat malu sahaja. Dari dia bertanya bagaimana cara-cara memujuk perempuan lebih baik dia cari alternative sendiri.

Buku nota yang ditulis sendiri oleh arwah kakaknya itu dibaca helai demi helai muka surat. Membaca buku nota itu seperti kakaknya masih hidup dan sentiasa menolongnya jika ada kesusahan.

Cara-cara Memujuk Perempuan Kategori A (kategori yang tak ingin bercakap langsung bila merajuk)
1. Belikannya hadiah yang simple (bunga, coklat dll)

2. Hantar mesej/ mesej bergambar minta maaf setiap 5 minit sekali.

3. Kalau perempuan tu tutup handset, pergi ke rumahnya dan tunggu sehingga dia keluar.

4. Ajak dia keluar makan di restoran kesukaannya. Tak payah cari restoran yang mewah-mewah sebab tak semua perempuan suka makanan mewah.

5. ….

“Macam orang gila,” buku nota kakaknya ditutup. Rasa was-was pula ingin mencubanya. Entah apa yang jadi nanti.

“Kau dah fikirkan ke?” Izwan tiba-tiba datang menyapanya. Dengan pantas Alex menyembunyikan buku nota bawah bantalnya.

“Fikir apa?”

“Macam mana nak pujuk cikgu? Kalau kau perlukan bantuan aku….”

“Aku boleh selesaikan sendiri,” ujarnya penuh keegoan.
***

Apy Elina menguap kepenatan sambil melangkah masuk ke dalam pejabatnya. Sebaik sahaja dia membuka pintu bilik pejabatnya, dia terkejut apabila melihat pejabatnya tidak ubah seperti taman bunga apabila berdozen-dozen bunga yang pelbagai jenis dan warna menghiasi pejabatnya.

Dia kemudiannya berlalu keluar untuk memastikan bahawa dia tidak tersalah masuk pejabat. Betullah ini adalah pejabatnya. Dengan perlahan dia melangkah masuk ke dalam semula. Di gosok matanya beberapa kali tapi ternyata matanya tidak menipu.

-Sorry- Iklas dari Adam Alexander.

Terkejut dia membaca sekeping kad yang tergantung pada salah satu bunga yang diterimanya. Rasa ingin menjerit juga ada.

“Apa kena dengan budak ni?” Apy Elina menggaru kepalanya yang tak gatal. “Kalau nak pikat aku pun janganlah bagi bunga. Dia tak tahu ke aku ni alegi dengan bunga,” rasanya ingin menangis apabila kulitnya sudah terasa gatal-gatal akibat tidak tahan dengan bunga.

Tidak lama kemudian, kedengaran handsetnya berbunyi tanda mesej masuk. Sebaik sahaja dia membukanya, dia terkejut sekali lagi apabila menerima mesej dari Alex yang menulis perkataan maaf hampir 20 perkataan.

“Memang sah. Budak ni dah sakit jiwa! Sepatutnya aku tak bagi dia masa untuk berfikir sekarang, dia dah fikir yang bukan-bukan!” terus dia mendail nombor telefon Alex. Baru beberapa kali deringan, Alex menjawab panggilannya.

“Adam Alexander!!!” tengkingnya dan serentak itu juga Alex memutuskan talian.

“Kenapa?” tanya Izwan apabila melihat Alex cepat-cepat memutuskan talian dan meletak handsetnya. Wajahnya ada sedikit rasa terkejut.

“Cikgu marah lagi,” katanya. “Dia tengking aku.”

“Hah?” terkejut Izwan mendengarnya. “Dia tengking kau?” tanya Izwan mendapat kepastian. Memang hebat betul jurulatihnya. Orang lain tak berani menengking Alex selama ini dan jurulatihnya mungkin orang yang pertama berani menengking Alex sehingga kecut perut Alex dibuatnya.

“Parah ni,” Izwan bersuara mula merasakan persengketaan antara Alex dan jurulatihnya bertambah besar.

“Kenapa?”

“Cikgu memang merajuk gila dengan kau nampaknya.”
***

“Nabila, kau kena tolong aku. Alex dah gila!!” baru sahaja Nabila melangkah masuk ke dalam rumah, Apy Elina mendapatkan Nabila dengan menarik Nabila ke ruang tamu. Nabila yang tidak tahu apa-apa terkejut dengan keadaan rakannya yang sudah tidak normal lagi. Dengan rambut yang berserabai, muka macam orang gila!

“Kenapa dengan kau ni?”

“Alex, dia dah gila!”

“Hah? Dia buat apa kat kau sampai kau jadi gila?” tanya Nabila semula.

“Aku tak gila tapi Alex dah gila dan dia cuba buat aku gila sekarang ni,” rungut Apy Elina yang sudah tidak tahan dengan Alex sejak pagi tadi.

“Cuba kau ceritakan perlahan-lahan,” Nabila meminta Apy bernafas dengan tenang sebelum menceritakan segala-galanya kepadanya.

“Okey, kalau kau nak tahu. Pagi-pagi lagi, masa aku masuk pejabat, aku terkejut dengan pejabat aku yang tiba-tiba bertukar jadi taman bunga. Kau bayangkan setiap penjuru pejabat aku penuh dengan bunga sehinggakan tiada ruang untuk aku duduk. Lepas tu, setiap lima minit dia hantar mesej yang sama. Setiap lima minit!! Setakat sekarang ni, aku dah terima lebih dari 500 mesej yang sama dari dia! Lepas tu, petang tadi lepas aku habis mesyuarat aku terkejut bila ada satu kontena lori datang hantar barang untuk aku. Kau tahu apa dalam kontena tu?”

Nabila menggeleng.

“Ya Allah. Beribu-ribu coklat dan gula-gula yang macam-macam jenis sampaikan aku rasa macam nak pengsan tengok dalam kontena tu.”

“Kenapa sampai macam tu sekali?” Nabila bertanya. Pelik juga. Semalam ini dia langsung tidak pernah mendengar Alex buat begitu hanya semata-mata kerana perempuan. Tapi dari apa yang Apy Elina cerita, nampaknya keadaan semakin parah.

“Itulah dan sekarang ni, dia bagi mesej, dia nak keluar makan dengan aku malam ni. Kalau aku tak turut permintaan dia, dia akan tunggu aku turun juga ataupun kalau dia dah tak tahan sangat dia akan redah rumah ni,” kata Apy Elina.

“Dia dah gila ke?”

“Itulah pasal. Nabila, kau kena tolong aku. Alex tu dah gila.”

“Aku nak buat apa?” kusut kepalanya memikirkan masalah rakannya itu. “Apa kata kalau kau jumpa dia saja?”

“Tak nak! Aku tak nak jumpa Alex. Aku tak nak tengok muka Alex pun!”

“Kau jumpa sajalah dengan dia dan selesaikan perkara ni. Kau beritahu dia yang kau memang tak suka dia dan minta sangat-sangat dia faham situasi kau.”

Setelah mendengar nasihat dari Nabila, akhirnya Apy Elina bersetuju untuk menerima perlawaan Alex untuk makan malam. Berdebar-debar jantungnya apabila dia melangkah masuk ke dalam kereta yang dipandu Alex.

“Nak makan kat mana?” tanya Alex dengan nada lembut. Belum pernah dia mendengar Alex bercakap dengan nada selembut itu. Kali ini bercakap dengan nada lembut. Memang sah! Memang sah teori Nabila. Alex sekarang dalam proses memikatnya.

“Perlu ke makan?” balas Apy Elina dingin.

Perempuan. Perempuan. Memang sensitif sangat. Hal kecil pun nak merajuk. Memang betul-betul mak cik! Jerit hatinya tidak puas hati.

“Cikgu suka makan apa?” tanya Alex cuba mengawal marahnya. Jika tidak kerana ugutan mereka yang ingin menyiarkan gambarnya di internet, memang dia tak peduli langsung dengan jurulatihnya itu. Lantaklah.

“Entah. Tak rasa lapar,” kata Apy. Jika boleh dia mahu tamatkan di situ juga. Ya. Tamatkan di situ. Tak payah pergi makan. Dalam kereta juga boleh berbincang. “Berhentikan kereta,” arah Apy Elina.

“Hah?”

“Berhentikan kereta!” serta-merta Alex memberhentikan keretanya di bahu jalan.

“Kenapa ni?”

“Okey, Alex. Biar cikgu berterus-terang. Lebih baik kita jangan keruhkan lagi keadaan dan bincang semuanya pada hari ini juga. Perlawanan semakin dekat, jadi cikgu tak nak ada sengketa dengan sesiapa pun dari pasukan sendiri. Cikgu tahu niat kamu baik, tapi terus terang cikgu tak boleh terima.”

“Kenapa pula tak boleh terima?” tanya Alex.

“Sebab saya jurulatih kamu dan kamu adalah pemain saya dan umur kita beza 8 tahun. Takkan itupun kamu tak faham?”

“Apa kena mengena dengan semua tu? Takkan sebab tu cikgu nak….”

“Pendek kata, cikgu tak boleh terima kamu sebagai kekasih cikgu!”

“Kenapa pula tak boleh terima… Apa?!” Alex memandang jurulatihnya dengan penuh pertanyaan. Adakah mereka berdua sedang membincangkan perkara yang sama?

“Sejak bila saya suruh cikgu jadi kekasih saya?!”

“Err… bukan ke? Habis, kenapa kamu hantar bunga yang banyak dalam pejabat cikgu, bagi mesej setiap lima minit dan bagi coklat satu kontena pada cikgu hari ni kalau bukan nak pikat cikgu?” tanya Apy Elina.

Alex menarik nafas lemah.

“Bukan ke cikgu merajuk sebab perangai saya tempoh hari?”

“Bila masa pula cikgu merajuk? Seumur hidup cikgu, cikgu tak pernah merajuk. Merajuk ni bagi perempuan lemah saja,” jawab Apy.

“Habis tu, kenapa asyik nak elakkan diri dari saya. Kan saya dah pesan pada Izwan, saya perlukan masa nak bersendirian masa tu. Izwan tak beritahu ke?”

“Ada tapi… cikgu ingatkan kamu elakkan diri dari cikgu sebab… dah jatuh cinta dengan cikgu,” terasa merah mukanya menahan malu apabila meluahkannya.

“Hah? Gila!”

“Kamulah gila.”

“Kenapa pula?”

“Yelah, tiba-tiba saja bagi bunga dan coklat satu kontena untuk cikgu. Kalau nak pujuk cikgu pun janganlah sampai macam tu. Dahlah cikgu tak suka kedua-duanya sekali. Kalau nak pujuk pun bagilah bola keranjang di salut dengan emas. Barulah cikgu rasa terharu. Ini tak pasal-pasal buat orang naik angin pagi-pagi,” Apy Elina menjeling tajam ke arah Alex yang menahan gelak. Barulah dia tahu kenapa cikgunya menengkingnya dalam telefon pagi tadi.

“Jadi cikgu tak marah lagi?” tanya Alex.

Apy Elina menggelang. “Kamu pula? Kamu tak ada hati dengan cikgu, bukan?” tanya Apy Elina inginkan kepastian terakhir.

“Hanya orang gila saja yang akan jatuh cinta dengan mak cik tua,” kata Alex memerlinya. Entah macam manalah jurulatihnya boleh terfikir, dia hendak memikatnya. Memang betul-betul otak udang!

Apy Elina menjeling tajam.

“Cikgu doakan kamu dapat perempuan yang lagi tua dari cikgu baru tahu!”

“Malangnya saya memang dah ditakdirkan bersama dengan perempuan lebih muda dan cantik dari cikgu,” Alex masih lagi tidak mahu mengaku kalah. “So, dah selesai. Cikgu tak nak makan, bukan?”

“Err… tiba-tiba cikgu rasa macam lapar pula,” Apy Elina tersengih sambil memegang perutnya yang telah berbunyi. Mana tidaknya, satu hari dia tidak menjamah apa-apa makanan sebab pening dengan perangai Alex yang gila itu.

“Nak makan apa? Tapi, jangan pilih tempat yang ada nasi.”

“Yelah. Yelah. Memang susah betul girlfriend kamu nanti. Nak makan nasi pun susah. Emm… apa kata kalau kita lantak Mc Donald?”

“Okey,” tanpa di suruh, Alex memecut keretanya ke jalan raya semula.

Hak Cipta Terpelihara @ Ratu Bulan 2009

Adalah dinyatakan kandungan di dalam blog Segalanya Tentang Cinta dan Bulan ataupun http://novelratu.blogspot.com adalah hak milik mutlak penulis iaitu Ratu Bulan ataupun Nurul dan ia tidak boleh sama sekali digunakan oleh sesiapa sahaja untuk di paparkan di dalam blog, laman web berbentuk muat turun ataupun di cetak selain mendapat kebenaran mutlak ataupun kebenaran bertulis dari penulis blog ini.