TKC: BAB 2


“Siapa nama kau?” tanya seorang budak lelaki yang berbadan gemuk dengan lagak seperti samseng itu.

“Nur Sakinah,” jawab seorang budak perempuan dengan tergagap-gagap.

“Kau tahu siapa aku?” tanya budak lelaki itu lagi sambil tidak berhenti melangkah mengelilingi budak perempuan itu yang hanya tunduk memandang lantai. Barangkali tidak berani untuk bertentang mata dengan si gemuk itu.

“Err… ya,” budak perempuan itu menjawab sambil mengangguk-angguk sebelum menyambung, “Nama awak Zaquan, anak….”

“Jangan panggil aku Zaquan!” si gemuk itu menengking budak perempuan itu tidak tentu pasal. “Kau tu anak pemandu papa aku. Kau tak layak panggil nama aku. Mulai daripada hari ini, kau kena panggil aku Tuan Muda, faham?!”

“Faham,” balas budak perempuan itu. Dalam hatinya sempat lagi dia menyumpah-yumpah si gemuk itu.

“Faham apa?!”

“Faham, Tuan Muda,” pantas dia menjawab.

“Bagus.” Si gemuk itu mengangguk-angguk sambil ketawa jahat. Bertambah geram pula dilihat. “Kau tahu tak kenapa aku panggil kau?”

Budak perempuan menggeleng perlahan-lahan.

“Hisy, apalah bengap sangat kau ni. Aku panggil kau sebab aku nak cakap sesuatu dengan kaulah!” Si gemuk itu lagi.

“Memanglah, tapi saya tak tahu apa yang Tuan Muda nak cakap dengan saya,” Sakinah menjawab. Seketika kemudian, barulah dia menyedari bahawa dia sudah terlepas cakap, lantas menutup mulutnya dengan kedua tangannya. Si gemuk itu merenungnya dengan tajam. Mungkin tidak menyangka budak perempuan yang kelihatan takut-takut itu berani bersuara.

“Sabarlah! Pandai jugak kau melawan ya. Dengar sini, kau sendiri pun tahukan yang kau tu anak pemandu papa aku. Disebabkan ayah kau kerja dengan papa aku, secara automatiknya kau dah jadi orang suruhan aku. Jadi, kau mesti dengar segala perintah aku mulai daripada hari ini, faham?!.”

“Hah?!” Terkejut dia mendengarnya. Bencana bakal menimpakah?

“Kau dah duduk kat rumah aku mestilah kena dengar semua cakap aku. Aku tuan muda kat rumah ni, faham?!” tegas si gemuk itu lagi.

“Faham,” jawab Sakinah perlahan.

“Okey! Kau cakap nama kau Sakinah, bukan? Emm… aku tak suka berkongsi dengan orang lain yang panggil nama kau Sakinah. Apa kata mulai hari ini, aku panggil kau dengan nama Dayang? Emm… Dayang… itu baru sesuai!”

“Hah? Kenapa pula Tuan Muda?”

“Sebab nama tu memang sesuai dengan orang suruhan macam kau,” ujar Si gemuk itu lagi sambil tertawa besar.

‘Huh, memang spesies bencana alam betul!'

Sakinah terus terjaga daripada tidurnya. Serentak dengan itu jam locengnya berbunyi. Dia lantas menghentikan bunyi jam itu sebelum duduk di atas katil sambil mengingati kembali mimpinya tadi. Masuk kali ini sudah hampir seminggu dia asyik terjaga daripada tidur dengan perasaan yang aneh itu. Mimpi yang sama asyik berputar-putar sewaktu dia melelapkan mata. Hari ini, selepas terjaga daripada tidur, barulah dia mengingati kembali mimpi yang sering menghantuinya sejak seminggu yang lalu.

“Tak! Itu bukan mimpi. Itu benar-benar terjadi, tapi kenapa aku termimpikan si bencana alam tu?” tanyanya sendirian sambil menggaru kepalanya sehingga menyebabkan rambutnya yang kusut masai itu mengerbang.

***

“Siapa? Bencana alam?” tanya Aina sekali lagi sambil memandang tepat wajah Sakinah yang dilihat tidak bermaya sejak pagi lagi.

Sakinah sekadar mengangguk lemah. Sememangnya dia tidak pernah merahsiakan apa-apa daripada Aina. Sepanjang Aina menjadi rakan karibnya di kolej itu, Sakinah telah menceritakan hampir keseluruhan kisah suka dan duka yang dilaluinya dari kecil lagi sehinggalah kisah yang dilaluinya semalam kepada Aina. Semuanya! Termasuklah kisah hidupnya ketika dibesarkan di rumah bekas majikan arwah ayahnya dan tidak terlepas, kisah hidupnya dibuli oleh seseorang yang digelar Bencana Alam dalam senyap olehnya.

“Kejap, biar aku fikir,” ujar Aina kelihatan berfikir sejenak. Rasanya dia seperti pernah mendengar gelaran itu daripada Sakinah, tetapi dia lupa sebahagian daripada kisah hidup Sakinah yang sudah lama tidak diungkit. Kalau tidak silap, itulah gelaran yang diberi oleh Sakinah kepada Tuan Muda yang berlagak dan seperti samseng jalanan itu!

“Oh, Tuan Muda yang gemuk dan berlagak yang pernah kau cerita dulu tu?” tanya Aina mula mengingati siapakah gerangan orangnya.

Sekali lagi Sakinah mengangguk perlahan. Selain Aizat, tiada lelaki lain yang selalu muncul dalam hidupnya. Jikalau Aina terkenal dengan perangai yang suka bergaul dengan lelaki daripada kaumnya sendiri, Sakinah pula menghadkan pergaulannya dengan mana-mana lelaki. Oleh itu, sehingga sekarang hanya dua orang sahaja lelaki yang paling rapat dengannya, iaitu Aizat dan Zaquan atau lebih tepat lagi Bencana Alam!

“Tapi, kenapa kau termimpikannya?” tanya Aina hairan selepas menghitung masa dan mendapati Sakinah jarang bercerita tentang Bencana Alam itu.

“Itulah yang aku tak faham,” jawab Sakinah sekadar menggeleng.

“Sebab tu kau langsung tak bermaya hari ni?” tanya Aina seperti inginkan kepastian.

Sekali lagi Sakinah mengangguk. Dia sendiri tidak tahu kenapa selepas termimpikan Tuan Mudanya, dia langsung tiada tenaga untuk teruskan hidup.

“Selalunya, mengikut pengalaman aku, kalau aku termimpikan Tuan Muda, mesti ada saja benda buruk yang akan menimpa aku. Sebab tulah aku gelarkannya Bencana Alam,” terang Sakinah meluahkan apa yang ditakutinya itu.

“Mungkin kau akan jumpa dia, kut? Selalunya bila kita termimpikan orang yang dah lama kita tak jumpa, pasti ada sesuatu yang dah berlaku. Macam aku termimpikan bekas teman lelaki aku dulu. Tak lama selepas aku termimpikannya, aku terserempak dengannya di KLCC. Selalunya mimpi tu seperti petanda yang masa depan,” terang Aina pula yang memang hebat dalam mencipta teori-teori kemungkinan akan berlaku. Orang gelarkannya perempuan sihir.

Akan tetapi, Aina tidak pandai menilik nasib seseorang. Aina hanya pandai dalam mencipta teori-teori yang logik dan kesemua teori yang diperkatakannya tepat belaka. Mungkin sebab itulah ramai yang takut berkawan dengan Aina.

“Ah, mintak simpang malaikat 44! Kalau boleh aku tak nak jumpa dia lagi,” ujar Sakinah menggeleng pantas. Kemudian dia berfikir sejenak. “Ya, mungkin aku takkan jumpa dia sebab dia bencikan aku,” tambahnya lagi.

“Tapi, perkara tu dah lama, bukan. Takkanlah dia masih nak salahkan kau lagi,” kata Aina memberi pendapatnya.

Sakinah sekadar mengangkat bahu.

“Entahlah. Masa tu, memang Tuan Muda langsung tak pandang muka aku. Dia pergi pun langsung tak beritahu aku. Sehingga sekarang, dia tak pernah cuba hubungi aku. Jadi, aku pun tak berani nak hubunginya. Aku dengar khabar berita dia pun daripada mamanya, Auntie Zira yang selalu hubungi aku. Kalau tak, mungkin sampai mati pun aku tak tahu berita tentangnya,” terang Sakinah mengingat kembali kenangan lama yang telah merampas kegembiraan mereka berdua dahulu.

Sakinah mengakui, walaupun dia sudah membuang kenangan itu jauh daripada kotak ingatannya, tetapi kenangan tetap kenangan. Dia tetap akan mengingatinya melainkan dia ditakdirkan hilang ingatan.

“Berapa lama kau tak jumpa dengan Tuan Muda kau tu?” tanya Aina setelah Sakinah mendiamkan diri.

“Adalah dalam 10 tahun. Aku pun dah ingat-ingat lupa pasal Tuan Muda. Entah macam mana rupanya sekarang pun aku tak tahu. Mungkin dia semakin gemuk dari dulu atau mungkin dia dah berubah jadi seorang samseng yang handal di Tokyo sana. Emm… Auntie Zira pernah beritahu dulu, Tuan Muda pernah masuk hospital sebab buat perkara yang bodoh. Aku rasa mesti dia dah berani belasah orang.”

“Kau ni, asyik fikir negatif saja. Cubalah fikir positif sikit,” balas Aina ketawa mendengar teori Sakinah tadi. “Walaupun Tuan Muda kau tu selalu buli kau masa kecil dan merupakan samseng terkenal di sekolahnya dulu, tapi mungkin dia dah berubah sekarang. Contohnya, dia dah kurus dan berubah jadi lelaki yang macho.”

“Huh, aku kenal Tuan Muda aku. Dia tu asyik makan dan makan. Setiap satu jam, dia mesti cari makanan. Tak mungkin dia boleh jadi kurus. Lelaki macho? Itu lagi satu perkara yang mustahil. Walaupun tuan muda aku tu seorang yang jaga penampilan tapi dia tetap tak boleh jadi lelaki macho,” jawab Sakinah menolak teori Aina sepenuhnya.

“Manusia boleh berubah, jadi Tuan Muda kau boleh berubah. Kalau dia berubah, aku takut, kau yang terperanjat bila terserempak dengannya. Mungkin sebab itulah kau asyik termimpikan Tuan Muda kau… supaya kau tak terkejut bila terserempak dengan dia nanti.”

“Entahlah,” Sakinah sekadar menggeleng. “Aku dah lama lupakan Tuan Muda tapi kenapa aku mesti termimpikan Tuan Muda lagi? Kau tak rasa pelik ke? Aku rasalah, mungkin ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Aku tahu sangat. Dah nama Bencana Alam, tentulah nak bagi dunia aku bencana!” tegas Sakinah.

Aina sekadar menggeleng. Parah!

***

“Kau ni baik sangatlah, Honey,” ujar Farihah yang sejak tadi menyuarakan rasa tidak puas hati apabila Honey menceritakan tentang Aizat dan Sakinah kepadanya.

Sudah berbuih mulut Farihah menasihati Honey supaya bertegas dengan Aizat namun, nasihatnya hanya tinggal nasihat sahaja. Honey tetap berlembut dengan Aizat. Kadangkala dia sendiri tidak faham dengan perangai Honey yang pengecut itu mengalahkan siput. Kalaulah dia berada di tempat Honey sekarang, pasti sudah lama dia singkirkan Sakinah daripada hidup Aizat dengan cara kasar.

“Dah banyak kali aku cakap dengan kau, jangan biarkan Aizat makan masakan Sakinah. Nanti, tak pasal-pasal dia jatuh hati pada Sakinah. Siapa yang dapat susah?” tanya Farihah lagi.

“Aku,” balas Honey perlahan.

Honey mengakui dirinya tidak seberani Farihah. Jika tidak dia tidak akan menjadi mangsa buli orang-orang di sekelilingnya. Sejak dahulu lagi, dia sering menjadi mangsa keadaan teman-teman rapatnya yang selalu menggunakannya untuk tujuan peribadi. Pernah juga dia cuba mempertahankan dirinya daripada dibuli, tetapi baru sedikit kena gertak, dia sudah berlari menangis pulang ke rumah.

Sejak itu, dia tidak berani untuk bangkit. Dia terlampau takut untuk menghadapinya lagi. Oleh itu, dia lebih suka memencilkan diri supaya tidak berlaku perkara yang sama. Namun, mujurlah di kolej itu dia bertemu dengan Farihah yang memperkenalkan salam perkenalan. Farihah dianggap seperti seorang kakak yang melindunginya daripada dibuli. Kadangkala, dia amat mengagumi keberanian Farihah mengusir pembuli-pembuli yang pernah membulinya.

Dia terfikir, kalaulah dia boleh jadi seberani Farihah, mungkin sudah lama Aizat tidak berani menghampiri Sakinah lagi. Pernah juga dia cuba untuk mengugut Aizat seperti yang dicadangkan oleh Farihah, tetapi belum sempat berlaku apa-apa lagi, dia sudah mengalah. Takut.

Pertama, dia takut Aizat akan tinggalkannya dan pergi kepada Sakinah. Kedua, dia takut dan tidak yakin dengan kemampuannya untuk mengugut Aizat dan ketiga, dia takut menjadi orang yang pentingkan diri. Menurut mamanya, orang yang pentingkan diri akan selalu ditimpa malang. Dia tidak ingin selalu ditimpa malang!

“Hah, tahu pun! Aku ni satu rumah dengan Sakinah, jadi aku tahulah apa yang tak baik tentang Sakinah. Sebenarnya, Sakinah memang berpura-pura baik depan orang, tapi belakang orang, perangainya macam hantu! Dia kata saja tak kisah tengok kau dengan Aizat, tapi sebenarnya dia dah rancang nak rampas Aizat daripada kau,” tambah Farihah lagi sambil cuba menakut-nakutkan Honey.

“Aizat memang dah lama berkawan dengan Kak Sakinah. Kak Sakinah pula sangat-sangat memahami Aizat. Kalau Kak Sakinah berniat jahat, sudah lama Kak Sakinah rampas Aizat daripada aku,” kata Honey menerangkan teorinya. Walaupun dia seorang yang pengecut, tetapi dia tetap tahu menggunakan akalnya dalam membezakan sesuatu yang berlaku dalam hidupnya.

Apa yang Aizat kata mungkin ada betulnya. Mungkin dia dan Farihah sahaja yang buruk sangka terhadap Sakinah.

“Sakinah tu tahu kau tu lurus bendul, sebab tulah dia cuba nak yakinkan kau yang dia tu baik, tapi sebenarnya dia dah rancang semuanya dengan licik,” balas Farihah lagi.

“Habis tu, aku nak buat apa lagi?” tanya Honey yang benar-benar kebuntuan. Siapa yang tidak buntu kalau Aizat cakap lain, Farihah pula cakap lain. Lama-lama boleh sakit jiwa dia mendengar daripada kedua-duanya. Aizat pesan padanya supaya jangan terlalu percaya cakap Farihah. Farihah pula kata jangan terlalu percaya cakap Aizat. Hisy! Pening betul!

Dia amat menyintai Aizat. Cintanya bukan cinta monyet zaman sekolah, tetapi serius. Sememangnya dia pernah menjalinkan hubungan cinta dengan beberapa orang lelaki, tetapi kebanyakannya memutuskan hubungan mereka sebab tidak tahan dengan perangainya yang kebudak-budakkan. Hanya Aizat seorang sahaja yang setakat ini tahan dengan perangainya. Mungkin sebab itu jugalah dia tidak mahu melepaskan Aizat dari genggamannya.

Pada ketika itu, masa mula-mula bertentang mata dengan Aizat, dia sudah mengetahui bahawa Sakinah berkawan rapat dengan Aizat, namun hubungan mereka tidak lebih sekadar kawan biasa. Aizat sendiri mengakui. Farihah pula menasihatinya supaya berhati-hati kerana takut Aizat seperti lelaki kasanova yang lain. Mungkin sudah ditakdirkan, dia menerima lamaran Aizat tanpa berfikir panjang dan menjadi teman wanita Aizat dalam tempoh kurang dua bulan mereka berkenalan. Awal perhubungan, Aizat memberitahu bahawa dia perlu tahan dengan hubungannya denga Sakinah itu.

Oleh kerana cinta, Honey tidak kisah. Dia cuba untuk memahami pasangan sahabat itu. Malah, Sakinah melayannya dengan baik juga, tetapi semakin hari dia semakin hilang kepercayaan apabila Farihah sering menasihatinya supaya berhati-hati dengan Sakinah. Pada awalnya dia tidak faham maksud Farihah, tetapi apabila Farihah memberitahu tentang rancangan Sakinah untuk memiliki Aizat, dia terus menjadi takut.

“Apa kata kalau kau singkirkan saja Sakinah tu dari hidup Aizat,” cadang Farihah.

“Tapi….”

“Jangan berdegil lagi. Kau buat semua ni sebab kebahagiaan kau juga. Setiap manusia dalam dunia ni ada hak untuk hidup bahagia. Aizat hak kau, takkan kau nak Sakinah rampasnya daripada kau?” soal Farihah lagi benar-benar membuat Honey berfikir dua tiga kali.

“Susah. Aizat tetap nak berkawan dengan Kak Sakinah, lagipun Kak Sakinah tak pernah layan aku dengan teruk. Aku rasa aku saja yang ganggu kebahagiaan dia,” balas Honey masih lagi berasa serba salah.

“Honey, buat seketika, fikirkanlah tentang diri kau. Kadangkala, kita kena pentingkan diri, kalau tidak, orang akan pijak kepala kita. Aku ada satu idea macam mana nak buat Aizat supaya bencikan Sakinah dan dalam masa yang sama, kau akan tahu, siapa yang lagi penting buat Aizat. Kau atau Sakinah,” ujar Farihah lagi sambil mengukir senyuman.

Honey mengerut dahinya. Dia tidak faham apa maksud Farihah. Memang dalam hal begini dia begitu lembab sikit dan sebab itulah dia selalu meminta pertolongan daripada Farihah.

“Tapi kalau tak berkesan?”

“Kau tak rugi apa-apa. Okey, ini rancangan aku…,” Farihah kemudiannya, memberitahu ideanya itu kepada Honey.

Honey mendengar dengan penuh teliti sambil berfikir sama ada cadangan Farihah itu boleh diterima pakai atau tidak. Pada awalnya, Honey tidak mahu melakukannya kerana takut untuk melakukannya, tetapi atas usaha Farihah yang berterusan memujuk Honey, akhirnya Honey bersetuju dengan cadangan itu.

***

“Belajar memasak?” tanya Sakinah sekali lagi sambil memandang tepat wajah Honey. Beberapa kali Honey mengangguk cuba menyakinkan Sakinah bahawa dia ingin belajar memasak.

Sakinah tidak tahu hendak kata apa. Sudahlah dia terkejut dengan kehadiran Honey di rumah sewanya pada malam itu adalah untuk berjumpa dengannya. Kemudian, dia dikejutkan lagi dengan hasrat Honey yang ingin belajar memasak daripadanya. Berkali-kali Sakinah bertanya sehinggalah dia terpaksa mencubit tangannya.

Sakit!

Sah! Dia tidak bermimpi. Dia berada di alam nyata yang agak mustahil ingin percaya. Honey benar-benar ingin belajar memasak daripadanya. Tapi kenapa? Honey cemburu? Kalau diberitahu kepada Aina mungkin Aina akan menjawab dengan teori-teorinya…

Mungkin Aina akan kata, “Memang patut pun Honey cemburu dengan kau. Cubalah kau fikir, kau yang bukan teman wanita Aizat pun cemburu tengok hubungan dia orang berdua. Inikan Honey yang memang teman wanita Aizat yang selalu tengok kau sediakan sarapan pagi untuk Aizat. Bukan kau sahaja yang cemburu tapi semua perempuan akan cemburu dengan tindakan kau. Sudah tentulah Honey terasa tercabar dan bernekad untuk kalahkan kau dalam bab masakan dan seterusnya merebut Aizat kembali!”

Sakinah menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Tidak sangka, tindakannya itu sedikit mengundang rasa tidak puas hati oleh Honey sehingga boleh terfikir hendak belajar memasak. Kalau betul hasrat Honey itu, mungkin Sakinah perlu mengakui bahawa cinta Honey terhadap Aizat bukan sekadar cinta biasa.

“Ala, Kak Sakinah, janganlah pandang saya macam tu,” kata Honey dengan nada manjanya. “Saya buat macam ni sebab Abang Aizat. Saya nak jadi macam Kak Sakinah yang boleh masak apa-apa saja untuk Abang Aizat! Dan selepas tu, Abang Aizat akan sentiasa jatuh cinta dengan saya!” tambah Honey lagi dengan penuh semangat.

Nur Sakinah tersenyum kelucuan apabila mendengarnya. Bukannya dia mentertawakan Honey, tetapi dia teringat kata-kata Aizat padanya dahulu.

“Aku tak tahu macam mana boleh jatuh cinta dengan Honey. Terus terang aku kata dia terlampau banyak kekurangannya berbanding kau tapi entahlah, aku rasa kekurangannya tu buat aku lebih sukakannya. Walaupun perangai Honey tu manja tapi bila dia inginkan sesuatu, dia akan usahakannya dengan keupayaannya sendiri. Cuma, dia perlu dibentuk. Biasalah, dia lahir dari keluarga yang amat memanjakannya, jadi dia agak lembab sikit untuk berdikari sendiri,” ujar Aizat suatu masa dahulu.

Sakinah kembali memandang Honey di hadapannya. Dia setuju dengan kata Aizat. Honey perlu dibentuk supaya menjadi seseorang yang pandai berdikari.

“Aizat tahu ke Honey nak belajar memasak ni?” tanya Sakinah bimbang kalau-kalau Aizat yang memaksa Honey supaya belajar memasak dengannya.

Honey pantas menggeleng.

“Saya nak beri kejutan pada Abang Aizat. Tolonglah Kak Sakinah. Saya cemburu sangat-sangat tengok Kak Sakinah masakkan untuk Abang Aizat. Geram sangat!” tambahnya lagi sambil memulas bantal kecil yang dipeluknya itu. Tidak ubah seperti kanak-kanak rebina pula Sakinah melihatnya.

Nur Sakinah tidak dapat menahan dirinya daripada ketawa. Gaya dan cara Honey bercakap tadi amat melucukan. Mungkin sebab itulah, dia tidak pernah menganggap Honey sebagai musuh, tetapi lebih sebagai adik yang ingin bermanja dengannya.

“Okey, akak tolong,” kata Sakinah akhirnya bersetuju tanpa sebarang prasangka buruk berkenaan niat Honey itu. Serentak itu juga, Honey bersorak keriangan.

Farihah yang mendengar perbualan antara Honey dan Sakinah dari dalam biliknya juga tersenyum sinis dan melompat keringan dalam senyap. Dia tidak ingin mereka berdua mendengarnya. Dengan mudah sahaja Honey termakan dengan janji manisnya dan lagi mudah Sakinah mempercayai Honey.

Kedua-duanya memang lurus bendul! Nampaknya dendam aku terbalas. Lepas ni, kalau rancangan tu berjaya, aku akan singkirkan Honey pula dari hidup Aizat dan dengan senang saja aku dapat bersama Aizat!

Farihah bersorak dalam diam.

9 si charming:

  1. Tak suka dengan Farihah ni.Memang batu api lah dia ni.Kesian Sakinah..

  1. nuhara berkata...:

    nak lagi :)

    http://nurulhafizahramli.blogspot.com

  1. WITHOUT A SOUND berkata...:

    best..best..
    next2 plzz..^^

    aldayana

  1. MissLollipopPop berkata...:

    best~ nanti ade smbungan lagi ke ni?

  1. akira_bita berkata...:

    salu ak jumpa org nama farihah, salunya jenis lemah lembut... kali pertama lak bace org nama farihah yg busuk ati mcm tu! hailah!!

  1. aFaiSh berkata...:

    huhh hampeh farihah. dah agak dah dia tu ade niat lainfoies

  1. NukSe berkata...:

    xsuka farihah.. suka wat kacau..

  1. cArBOnAtE S0Da berkata...:

    teruja nk bce next part.. pe gaknye plan farihah 2.. jhat sngguh..
    menyibuk je..
    p main jauh2 la..

  1. Yong berkata...:

    wow mmg best..tak sabar2 nak tau jalan cerita seterusnya

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages