Seseorang untuk Dinikahi: Bab 17



Gunakan Asha untuk tarik perhatian Nazwan?” Sarah bagaikan tidak percaya dengan apa yang keluar dari mulut teman lelakinya. Entah dari mana idea itu datang. Walaupun Asha memiliki nama yang sama dengan arwah rakannya, tetapi dia kenal dengan sepupunya itu.
Kenapa?” tanya Luqman.
Dia sepupu aku,” jawab Sarah tidak tahu bagaimana hendak terangkan kepada Luqman.
Aku tak nampak apa kaitannya kenapa kau tak setuju,” ujar Luqman lagi.
Mestilah ada kaitan. Dia sepupu aku dan aku tak nak libatkan dia dalam hal ni. Lagipun dia tinggal di UK. Walaupun dia suka datang Malaysia tapi dia lebih suka menetap di sana,” tambah Sarah.
Jadi?” tanya Luqman lagi.
Jadi, takkan kau tak faham lagi? Dia dah ada kehidupan dia sendiri dekat UK. Aku tak dapat bayangkan Nazwan suka dengan hubungan jarak jauh. Dengan kata lain, Asha dengan Nazwan... takkan berjaya,” ujar Sarah dengan penuh yakin.

Atau kau cemburu?” soal Luqman.
Apa maksud kau?” tanya Sarah kembali.
Tak ada apa... aku cuma terfikir....”
Kau fikir aku masih ada perasaan terhadap Nazwan?” pantas Sarah memintas kata-kata Luqman tadi.
Luqman tidak mengiakan mahupun menidakkannya. Bagaimanapun Sarah dapat teka apa yang dimaksudkan oleh Luqman tadi. Ini tidak lain tidak bukan pasti hendak mengungkit kembali hal lama yang sudah dibuang jauh-jauh.
Luqman, jangan mulakan apa yang dah lepas,” ujar Sarah yang tidak suka perkara itu diungkit kembali.
Habis tu, kenapa kau tak suka dengan cadangan aku?” tanya Luqman masih mendesak.
Sarah mengeluh panjang. Cakap banyak pun tidak berguna dengan orang seperti Luqman. Selagi Luqman tidak dapat jawapan yang betul-betul logik, selagi itulah lelaki itu akan mendesak.
Sebab rancangan kau takkan berjaya. Asha bukan jenis yang Nazwan suka. Dia bukan macam Natasya dan aku tak nak dia masuk campur dalam hal ni,” ujar Sarah.
Sebab tu tak kuat, Sarah,” ujar Luqman lagi tidak puas hati.
Kau nak aku kata apa lagi? Aku kenal Asha dan aku juga kenal Nazwan. Kalau Arissa tu aku kata tak sesuai dengan Nazwan, Asha pula seribu kali tak sesuai dengan Nazwan. Dia lebih teruk daripada Arissa. Playgirl, hidup bebas dan seribu kali lebih gedik daripada Arissa. Kalau kau tanya, antara dia dengan Arissa, yang mana lebih baik? Aku pilih Arissa,” terang Sarah. Harap-harap Luqman mengerti apa yang dimaksudkannya tadi.
Aku tak cadangkan dia dengan Nazwan. Aku cuma cadangkan supaya guna khidmat dia untuk buat Arissa rasa putus asa dengan Nazwan.”
Putus asa? Luqman, dalam kamus hidup Arissa, tak ada istilah putus asa. Lagi hebat halangan yang dia terima lagi kuat semangat dia. Kalau tak, dah lama dia putus asa dengan Nazwan. Dia takkan berputus asa, percayalah.”
Habis tu, kau ada cadangan?” tanya Luqman yang makin terdesak.
Rilek. Idea takkan datang kalau kita tergesa-gesa begini,” ujar Sarah. “Apa kata, kalau kau balik dulu dan tenangkan fikiran. Mana tahukan, esok kau dapat idea yang lagi gempak.”
Sarah mendengar keluhan Luqman. Dia tahu teman lelakinya itu sudah buntu memikirkan masalah ini. Seperti Luqman, dia juga tidak mahu nenek membuat keputusan tergesa-gesa dengan mengahwinkan Nazwan dengan Arissa. Mereka berdua masih muda. Malah, Arissa masih belum sempurna lagi hendak menjadi seorang isteri. Dia tidak mahu nenek memusnahkan hidup Nazwan dengan memilih Arissa sebagai isteri Nazwan.
Sungguh dia tidak faham apa yang nenek sedang fikirkan.
Aku harap apa yang aku dengar malam tadi hanyalah satu mimpi,” ujar Luqman setelah lama mendiamkan diri.
Kau dengar perbualan tu dah cukup baiklah. Kalau kau datang tahu sehari sebelum nenek nak kahwinkan diorang berdua... memang tak dapat nak buat apa-apa lagi. Itu bermakna kita ada masa lagi hendak berbuat sesuatu,” kata Sarah memberi Luqman sedikit kekuatan.
Luqman mengangguk. “Mungkin, aku patut beritahu Nazwan pasal ni,” kata Luqman sambil bangun dari duduknya.
Jangan!” pantas Sarah menghalang.
Kenapa?” Luqman mengerut dahi.
Kau nak Nazwan jatuh sakit lagi? Dia masih tak sihat dan kau pula nak sampaikan berita macam ni pada dia? Maunya dia koma setahun pula selepas dengar berita tu,” Sarah membantah.
Bukan ke dia yang pandai-pandai setuju nak couple dengan Arissa. Dia patut gembira dengan keputusan nenek ni,” ujar Luqman tidak puas hati.
Lepas tu apa? Dia setuju dengan rancangan nenek dan mintak nenek segerakan rancangan tu?” soal Sarah.
Nazwan bukannya bodoh macam tu,” kata Luqman tidak setuju.
Tahu pun!” sindir Sarah. “Kalau kau nak beritahu Nazwan, pastikan dia sihat sepenuhnya dan jangan takutkan dia dengan andaian-andaian gila kau. Kau sendiri kenal Nazwan, bukan? Kalau memang buat keputusan drastik.”
Mmm... sekarang, baru aku perasan daripada siapa Nazwan warisi buat keputusan drastik tu. Tentu daripada nenek.”
Kau pun sama,” ujar Sarah menjeling tajam.
Aku?” Luqman menuding jari penunjuk ke arah dirinya.
Siapa punya idea suruh libatkan Asha dalam hal ni tadi?” tanya Sarah memerli.
Nenek borek cucu rintik!”

***


Pergi Cameron?” tanya Sarah kembali kepada Asha. Asha yang baru sahaja selesai mandi itu mengangguk beberapa kali. “Lagi?” keluh Sarah.
Sekali lagi Asha mengangguk.
Tak ada tempat lain ke kau nak pergi? Tiap kali kau datang sini mesti kau nak pergi sana. Pergilah tempat lain pula. Macamlah Malaysia ni ketandusan tempat-tempat menarik,” ujar Sarah tidak setuju. Punyalah banyak tempat menarik di Malaysia, Cameron Highland yang menjadi pilihan Asha.
Sebab aku suka pergi sanalah aku nak pergi lagi. Aku rasa sana adalah satu tempat yang romantik dan fantastik!” ujar Asha dengar penuh perasaan.
Tak nak. Pilih tempat lain,” tegas Sarah tidak berminat.
Sarah... jomlah!” ajak Asha dengan suara manja.
Pilih tempat lain,” tegas Sarah lagi sambil mencapai satu majalah dan membeleknya di sambil meniarap di atas katil membelakangkan Asha yang sudah membuat wajah comelnya. Tahu sangat dengan perangai Asha. Umur Asha 4 tahun lebih tua daripada Sarah tetapi perangai macam budak-budak. Satu spesies dengan Arissa.
Siapa nama boyfriend kau tadi? Luqman ya?” tanya Asha.
Kau jangan nak menggatal,” ujar Sarah tanpa berpaling.
Hai Luqman,” sapa Asha tiba-tiba. Sarah mengangkat kepala. Setahunya Luqman sudah balik. Mustahil Luqman berada di dalam biliknya. Serentak itu dia lantas berpaling apabila dia mendengar suara Asha berbual dengan seseorang. Menderau darahnya apabila melihat Asha menggunakan handsetnya.
Asha!” tengkingnya lantas berlari ke arah Asha yang sudah berbual.
Okey, deal!” ujar Asha sebelum menamatkan perbualan. Belum sempat Sarah hendak merampas handsetnya kembali, Asha menghulurkan handset itu. “Esok, tepat pukul 7.00 pagi kita akan bertolak pergi ke Cameron Highland bersama-sama dengan boyfriend kau,” ujar Asha dengan selamba.
Kau... kau betul-betul telefon dia?” tanya Sarah seperti tidak percaya. Lantas dia memeriksa rekod panggilan yang dibuat. Nama Luqman berada di atas sekali dan masa panggilan dalam tiga saat yang lalu.
Asha betul-betul telefon Luqman!
Asha!” marahnya.
Jangan marahkan aku. Kau yang tak berhati-hati simpan nombor telefon boyfriend sendiri. Aku tak faham, kenapa kau simpan nombor dia dengan nama Luqman?” tanya Asha.
Sebab memang dah namanya Luqman,” jawab Sarah menahan geram.
Memanglah nama dia Luqman tapi kau orang berdua bukannya kawan. Letaklah nama bombastik sikit. Ayang. Darling. Lelaki paling handsome di dunia. Lelaki paling cute di alam semesta. Rasanya aku dapat agak yang kau tak ada nama cute untuk teman lelaki kau, bukan?” teka Asha yang sudah berlalu merehatkan diri di atas katil.
Aku bukan perempuan yang suka bagi gelaran cute pada boyfriend dan kau tak sepatutnya ceroboh privasi aku,” ujar Sarah masih marah.
Mmm... whatever. Oh ya, tadi teman lelaki kau cakap, dia nak bawak seorang kawan dia. Aku tak sure nama dia... Nazwan? Mmm... bunyi macam tu. Harap-harap kawan dia masih single dan handsome.”
Dia kata apa?” tanya Sarah sekali lagi.
Aku mengantuk. Nak tidur,” ujar Asha malas hendak melayan Sarah lalu dia memejamkan kedua matanya.
Luqman memang sengaja nak cari nahas! Hatinya menahan geram.

***

Morning,” sapa satu suara halus di telinganya.
Mmm... morning,” jawab Arissa dengan mata tertutup.
Macam mana dengan demam?” tanya suara itu lagi. “Panas lagi?” suara itu kedengaran lagi apabila Arissa tidak membalas jawapan tadi. Seraya itu, satu tangan yang hangat menyentuh dahinya. Tiba-tiba, Arissa rasa semacam. Tangan itu macam tangan papanya.
Papa?” panggil Arissa sambil mencapai tangan itu dan memeluknya dengan erat.
Papa? Haha...,” suara itu mengetawakannya.
Suara itu semakin semakin jelas di dengarnya. Bukan macam suara papanya. Suara papanya agak garau. Walaupun papanya bercakap dengan nada lembut tetapi tetap kedengaran garau dan tegas. Lantas, perlahan-lahan Arissa membuka matanya.
Selamat pagi wahai tuan puteri,” ujar suara itu lagi.
Arissa menggosok matanya. Pandangnnya masih samar-samar. Namun, dia menyedari kehadiran seorang lelaki berpakaian serba putih duduk di sebelahnya. Dia cuba fokus orang itu. Ada rupa macam Nazwan.
Nazwan?” Arissa bagaikan tidak percaya apa yang dilihatnya. Lantas dia bangun dari baringnya dan menghadap lelaki itu. Sekali lagi dia menggosok kedua matanya. Kemudian, dia memfokus lelaki yang berada di atas katilnya itu.
Dia memang nampak wajah Nazwan tapi lama kelamaan wajah Nazwan itu bertukar menjadi wajah seorang lelaki yang tidak pernah dikenalinya. Berkelip-kelip Arissa melihat lelaki itu. Dia sendiri tidak pasti sama ada apa yang dilihatnya realiti atau fantasi.
Hai,” ujar lelaki itu.
Sah! Realiti.
Aaaa... siapa kau?!” Lantas Arissa berlari turun dari katilnya.
Jangan risau. Aku hanyalah ilusi kau,” ujar lelaki itu cuma mententeramkan Arissa.
Hah?” Arissa mengerut dahi.
Aku putera dari kayangan yang turun ke Bumi untuk menyelamatkan puteri kesayanganku yang kini bermasalah,” ujar lelaki itu dengan penuh yakin.
Hah?” sekali lagi Arissa tidak percaya. Serentak itu memandang sekeliling. Mana tahukan ada kamera tersembunyi macam dalam rancangan mengenakan orang. Selepas tidak dapat mengesan sebarang objek yang mencurigakan, dia kembali memandang lelaki itu.
Beritahu siapa yang benarkan kau masuk dalam bilik aku?” tanya Arissa. Mustahil Mama Fiza dan Fazira membenarkan lelaki masuk ke dalam rumah ini. Lelaki dilarang masuk ke dalam rumah ini kecuali ada urusan mustahak!
Hati kau,” ujar lelaki itu lagi.
Seriuslah!”
Serius. Aku memang putera dari kayangan.”
Siapa yang akan percaya dengan benda bodoh macam tu?”
Kau ada masalah percintaan bukan?” tanya lelaki itu.
Keluar sebelum aku menjerit,” arah Arissa.
Nama lelaki tu Nazwan, bukan?” lelaki itu terus meneka.
Macam mana kau tahu?” tanya Arissa terkejut. “Ini mimpi ke?” tanya Arissa lagi.
Entah bagaimana dia rasa seperti berada dalam alam mimpi. Lelaki itu memang dia tidak pernah jumpa atau kenali. Bukan juga bekas-bekas teman lelakinya. Jauh sekali kawan. Dia memang tiada kawan lelaki selain Nazwan dan Luqman. Masuk ke dalam rumahnya dan duduk di atas katilnya. Dia yakin, ini hanyalah mimpi.
Tak. Ini realiti,” jawab lelaki itu. “Aku memang wujud tapi hanya kau yang boleh tengok aku,” tambah lelaki itu dengan penuh yakin.
Jadi, kalau ini realiti, siapa kau?” tanya Arissa.
Abaikan siapa aku. Aku datang sebab nak selamatkan kau daripada masalah. Kau suka Nazwan, bukan? Tapi kau tengah berhadapan dengan halangan yang kuat sekarang, bukan? Luqman dengan Sarah tak setuju dengan rancangan kau nak pikat Nazwan. Nazwan pula masih lagi teringatkan kekasih hatinya yang dulu, Natasya. Ahhh... hidup kau memang kesian,” keluh lelaki itu.
Macam mana kau tahu?” tanya Arissa terkejut. Apa yang dikatakan oleh lelaki itu memang tepat sekali.
Bukan ke aku dah kata, aku datang sini sebab nak tolong kau. Kau nak Nazwan jatuh cinta dengan kau tak?” tanya lelaki itu.
Nak!” ujar Arissa melompat di atas katil berhadapan dengan lelaki itu. “Kau ada idea ke?” tanyanya.
Mestilah. Aku takkan datang sini dengan otak kosong,” tambah lelaki itu lagi. “Tapi,” dia memandang Arissa atas bawah.
Tapi apa?” tanya Arissa.
Aku tak faham, kenapa kau sukakan Nazwan. Bukan ke senang kalau kau teruskan berkawan dengan dia. Lagipun banyak lelaki lain dalam dunia ni. Lelaki yang lebih handsome daripada Nazwan. Aku tengok dia tu biasa saja. Tak adalah macam Lee Min Ho yang macho tu,” ujar lelaki itu lagi.
Wahh... kau kenal Lee Min Ho?” tanya Arissa seperti tidak percaya. Putera dari kayangan kenal Lee Min Ho? Tidak sangka Lee Min Ho sepopular itu.
Mestilah. Apa yang kau kenal, aku pun kenal.”
Arissa mengangguk penuh percaya.
Kau belum jawab soalan aku tadi. Kenapa kau sukakan Nazwan?” tanya lelaki itu lagi.
Tak tahu,” ujar Arissa sambil memeluk bantal kesayangannya. “Memang kalau boleh aku nak terus berkawan dengan dia. Kadangkala aku penat dengan semua ni. Nazwan bukan macam lelaki lain. Dia lain sikit. Aku mungkin tak dapat pikat hati dia tapi aku masih lagi nak cuba untuk pikat dia.
Memang sedih bila kawan sendiri tak merestui apa yang aku buat. Dia orang ingat aku nak mempermainkan Nazwan. Dia juga ingat, aku bukan calon yang sesuai untuk Nazwan. Bagi mereka, aku bukan seseorang untuk dicintai. Semakin lama dia orang menghalang, api semangat aku semakin menyala-nyala nak pikat hati Nazwan,” jawab Arissa panjang lebar melepaskan apa yang terbuku di hatinya.
Habis tu, kenapa kau tak setuju bila papa kau nak nikahkan kau orang berdua?” tanya lelaki itu lagi. Sekali lagi Arissa terkejut. Lelaki itu serba tahu tentangnya.
Mestilah tak setuju. Aku bukannya tak matang seperti yang dia orang sangka. Aku tahu tanggungjawab nak jadi seorang isteri tu amat besar. Aku masih berusaha nak capai ke arah tu. Kalau aku berkahwin sekarang, mungkin kami takkan hidup bahagia. Nazwan tak ada sedikit perasaan pun terhadap aku. Aku bertepuk sebelah tangan. Kalau aku berusaha untuk bahagiakan rumah tangga sedangkan ada unsur lain yang akan menghancurkan rumah tangga aku, rasanya kahwin dengan Nazwan bukan cara yang terbaik,” terang Arissa panjang lebar.
Jadi, sebab tulah kau nak pikat Nazwan?” tanya lelaki itu lagi.
Arissa mengangguk.
Sejujurnya, perasaan aku berbelah bagi. Aku tak tahu nak buat apa. Sama ada nak lepaskan atau nak teruskan tapi....”
Tapi kau dah jatuh hati dengan Nazwan,” tambah lelaki itu memotong kata-kata Arissa.
Arissa mengangguk.
Aku ingat kau akan jadi playgirl sepanjang masa,” ujar lelaki itu tersenyum.
Aku playgirl yang bermaruah!”
Okey, disebabkan kau dah bagi alasan yang boleh diterima. Aku akan tolong kau pikat Nazwan.”
Hah? Betul ke? Jadi kau masuk team aku?” Arissa kembali bertenaga. Punyalah satu malam dia memikirkan idea untuk memikat Nazwan. Satu idea pun tidak boleh pakai. Pada masa itu dia berharap ada seseorang akan menyokongnya dari belakang. Dan tidak sangka, hari ini muncul seorang lelaki dari kayangan ingin menolongnya!
Yup. Tapi dengan satu syarat,” ujar lelaki itu.
Syarat?”
Tolong buat donut untuk aku. Tiba-tiba aku rindukan donut yang kau masak.”
Hah?” Terkejut Arissa mendengarnya. “Macam mana kau tahu aku pandai buat donut? Dan kau pernah rasa donut yang aku masak ke?”
Lelaki itu tersenyum.
Ohhh... kat sini kau ya!” Fazira tiba-tiba muncul di hadapan pintu biliknya.
Fazira!” Arissa sekali lagi terkejut apabila Fazira melulu mengatur langkah ke arah katilnya dan menarik telinga lelaki itu. “Ehhh... Fazira kau nampak dia?”
Kenapa? Aku tak sepatutnya nampak dia ke?” tanya Fazira.
Bukan ke dia putera dari kayangan yang datang nak selamatkan aku?” tanya Arissa masih keliru dengan situasi itu.
Ya. Aku putera kayangan yang datang nak selamatkan kau, Arissa. Ini semua imaginasi kau. Aku adalah ilusi kau. Fazira pun ilusi kau. Kau tak nampak semua ni,” ujar lelaki itu lagi.
Banyaklah kau punya ilusi!” Dengan garang Fazira menarik telinga lelaki itu lagi supaya meninggalkan katil Arissa. Arissa nampak blur. Tidak tahu mana satu realiti mana satu fantasi.
Kalau bukan ilusi, siapa dia?” tanya Arissa.
Takkan kau tak kenal?” tanya Fazira.
Hah?” Arissa mengerut dahi.
Dia sepupu akulah. Kau pernah jumpa dia dulu. Naufal.”
Naufal?” Arissa cuba mengorek kembali ingatannya tentang saudara mara Fazira. Dia memang pernah menemui beberapa orang saudara mara Fazira tetapi peliknya dia tidak pernah melihat lelaki itu. Namanya Naufal.
Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Lantas dia memandang ke arah lelaki yang tinggi lampai yang duduk di atas katilnya tadi.
Naufal? Dia Naufal?” tanya Arissa seperti tidak percaya.
Ya. Dia Naufal. Anak buah mama. Takkan kau dah lupa?”
Mustahil! Hari tu aku tengok dia kecik lagi!” Arissa sekali lagi tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dia masih ingat lagi. Semasa Naufal berumur 11 tahun. Selalu jugak dia leku kepala budak itu dan mengejeknya si kenit. Seingatnya juga Naufal lebih muda 3 tahun daripada dia. Mustahil Naufal boleh jadi tinggi sampai dia terpaksa mendongak memandangnya.
Macam tak percaya,” ujar Arissa sambil mencubit pipinya. Sakit. Ini bukan mimpi. “Nanti, kalau ini bukan mimpi... Naufal ada kat sebelah aku masa aku tidur, kemudian aku ceritakan semuanya pada Naufal...,” kata-kata Arissa terhenti dan memandang ke arah Naufal. Tiba-tiba dia rasa kedua pipinya hangat.
Hai Kak Arissa, kita jumpa lagi,” ujar Naufal yang telinganya masih ditarik kuat oleh Fazira.
Kau bukan putera dari kayangan!”
Yup!”
Habis tu, macam mana kau tahu semua masalah aku?” tanya Arissa lagi.
Buku tu,” ujar Naufal sambil menunjukkan ke arah buku yang terletak di atas meja lampu bersebelahan dengan katil Arissa.
D... diari aku,” tergetar-getar Arissa mencapai buku putih yang selama ini menjadi alat dia meluahkan perasaan. “Kau baca semuanya?”
Yup!” jawab Naufal tanpa rasa bersalah.
Arissa tidak mampu hendak berkata apa-apa. Semua yang tertulis dalam diari itu sudah dibaca oleh Naufal. Patutlah Naufal dapat teka semua masalahnya. Disebabkan itu dia jatuh ke dalam perangkap Naufal dengan memberitahu apa yang terbuku di hatinya. Dia tidak pernah meluahkan perasaannya kepada orang lain. Apatah lagi orang itu bukannya rapat dengan dia.
Arissa kebuntuan. Dia tidak tahu macam mana hendak berhadapan dengan Naufal. Mati-mati dia kena tipu. Lagi teruk, dia sepatutnya dapat kesan penipuan Naufal. Mana ada putera dari kayangan!
Aaaaa!!!” jerit Arissa tidak puas hati. “Naufal dah mencabul isi hati aku,” lantas Arissa mencapai gebar putih dan menyelimutkan seluruh tubuhnya.
Sweet bukan?”
Sweet apa bendanya!” marahnya dalam gebar.
So, kau nak buat donut untuk aku?” suara Naufal bertanya.
Jangan harap!”
Ahhh, aku tak tahu apa yang berlaku sampai kau tertipu dengan Naufal,” suara Fazira kedengaran.
Aku pun...,” keluh Arissa untuk pertama kali rasa tertipu. 

5 si charming:

  1. kail berkata...:

    naufal yang cute...

    tipah tertipu yerk arissa....

    sweet...

  1. MizaEija berkata...:

    Yeayy.. bukan stakat Asya muncul..Naufal pun muncul sama.. baru adil... ngeh³

  1. Suha berkata...:

    haha:bd yg tu sweet ^^ yg xsweetnya, 2 budk btuah tuh ==" sibuk jee~ hmm

  1. Tanpa Nama berkata...:

    comelnyer... go naufal.. ngorat je arissa.. biar nazwan sedr sikit.. bukan dia sorg je yg ade dlm hidup rissa...ish emo lak.. haha

  1. eija berkata...:

    hihi nakal btl c naufal nie...bgus lah naufal ada utk bntu arisa

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages