12: BADUT

Kata Hikayat,

Jika anda buang perkataan kalah dalam kamus hidup anda, anda juga harus buang perkataan mustahil di dalam kamus hidup anda juga.

“Macam mana dengan Alex?” tanya Puan Azrina kepada Hazrul yang menghampirinya di meja makan. Hazrul sekadar menggeleng tanda tidak baik. “Budak ni!” mamanya itu mendengus marah. “Sudahlah, kalau dia tak nak makan, biarkan saja! Mama nak tengok sampai bila dia boleh bertahan di dalam sana. Menyusahkan orang saja!”

“Mama, sudahlah. Biar Alex tenangkan diri dulu lagipun dia baru saja sedar. Beri dia masa,” Hazrul cuba tenangkan mamanya. Sejak mendapat tahu berita Alex dimasukkan ke dalam hospital kerana di dapati menelan ubat tidur dalam kuantiti banyak, angin mamanya tidak menentu. Namun dia tahu, walaupun mamanya berasa marah dengan apa yang telah berlaku tapi masih ada perasaan simpatinya terhadap anak lelakinya itu. Ibu mana yang mahu melihat satu-satu anaknya membuat kerja gila dengan membunuh diri.

Selepas mereka berdua makan malam bersama tanpa Alex, Hazrul sekali lagi berjumpa dengan mamanya untuk berbincang sesuatu. Dia tahu walaupun mood mamanya tidak menentu pada ketika ini tapi walauapapun dia mesti selesaikan segera masalah yang sedang bermain di fikirannya itu. Semuanya perlu ditamatkan segera sebelum ada lagi nyawa yang melayang.

“Ma…,” dia memulakan bicaranya. “Saya dah buat keputusan untuk lepaskan urusan Legend kepada Alex,” ujarnya dengan seribu kekuatan. Dia tahu selepas apa yang dicakapnya ini mamanya pasti akan membantah habis-habisan.

“Apa kamu kata?” Puan Azrina memandang tajam Hazrul yang duduk tidak jauh darinya itu. Berita yang tersiar di televisyen langsung tidak dihiraukan lagi. Bagaikan singa kelaparan dia memandang satu-satunya anak angkatnya itu.

“Saya fikir ini saja jalan terbaik untuk kita hidup tanpa perselisihan faham lagipun dah tiba masanya untuk Alex buktikan pada mama bahawa dia betul-betul serius dengan The Legend.”

“Jangan kata kamu kasihankannya, jadi kamu buat keputusan macam ni. Alex tak mampu uruskan The Legend sampai bila-bila pun. Dia terlampau lemah. Dia satu-satunya pewaris yang lemah,” balas Puan Azrina tidak bersetuju dengan cadangan Hazrul itu.

“Kenapa mama cakap begitu? Kenapa mama tak percayakan Alex langsung? Mama tahu tak, kalau mama asyik nak mengongkong Alex macam ni, dia akan lagi memberontak. Lepas ni saya tak tahu apa yang dia akan buat lagi mungkin lebih teruk daripada apa yang dah berlaku sekarang.”

Puan Azrina hanya sekadar mendiamkan diri. Dia sendiri mengerti apa yang diperkatakan oleh Hazrul itu adalah tepat sekali. Jika anak lelakinya itu terus memberontak, mungkin sesuatu yang buruk akan terjadi tapi dalam masa yang sama, jika dia membiarkan Alex dengan agendanya, peristiwa yang sama pasti akan berulang lagi.

“Mama!”

“Mama tahu apa yang mama buat. Pendek kata Alex tak mungkin akan uruskan The Legend malah dia akan disingkirkan dari The Legend,” tegas mamanya.

“Mama nak tengok hidup anak mama sendiri tunggang langgang ke?”

“Mama lagi rela tengok Alex begitu dari dia memusnahkan hidup orang di sekelilingnya! Agaknya kamu dah lupa apa yang dia dah buat pada keluarga Tan Sri Azmi sekeluarga beberapa tahun yang lalu!” mata mamanya bulat memandang tajam ke arahnya.

“Itu cerita lama mama. Takkan pasal itu pun mama nak takut dengan anak mama sendiri sampai sekarang ni?”

“Itu bukan cerita lama bagi mama. Itu adalah amaran pertama oleh Alex kepada mama. Kalau mama biarkan dia terus berkuasa, dia akan buat dengan sesuka hatinya dan memusnahkan hidup orang di sekelilingnya dan kalau ia terjadi lagi, tiada sesiapa yang dapat menghalangnya lagi.”

“Itu ke yang mama takutkan selama ni sehingga tak percayakan anak sendiri?” tanya Hazrul yang hampir menyelongkar rahsia yang dipendam oleh mamanya selama ini.

“Mama bukannya tak percayakan Alex tapi apa yang dia dah buat dulu amat menakutkan mama. Mama tak mahu dia jadi seperti ayahnya yang sanggup buat apa sahaja untuk memastikan rancangannya berjalan lancar. Mama tahu, mama salah dengan tindakan mama kahwinkan Mellissa dengan anak Tan Sri Azmi tapi Alex tak patut musnahkan keluarga mereka sehingga mereka hidup melarat. Benar kata Mellissa, mama tak patut pandang rendah pada Alex pada ketika itu. Mellissa dah banyak kali beri amaran pada mama tentang Alex tapi mama tak percaya sehinggalah mama terbuka mata melihat ‘wajah’ anak mama sendiri,” katanya mengimbas kembali sejarah lalu yang tidak mungkin dilupakan sehingga sekarang.

“Saya akan pastikan ia tak akan berulang lagi,” ujar Hazrul setelah lama mendiamkan diri. Berfikir. Dia perlu buat sesuatu untuk memastikan keadaan terkawal dan selamat namun dalam masa yang sama ada risiko yang menantinya. “Alex cuma perlu dibentuk. Mama patut berinya peluang kedua untuk dia buktikan pada mama bahawa dia bukan seperti dulu lagi. Apa yang saya nampak, Alex memang bersungguh-sungguh untuk uruskan The Legend. Bola keranjang adalah cintanya dan saya harap mama dapat menyokongnya dari belakang,” Hazrul masih lagi tidak berputus asa memujuk mamanya. Dia tahu mamanya masih lagi berkeras tidak mahu menyerahkan The Legend kepada Alex tapi dia perlu yakinkan mamanya lagi demi kebaikan kedua belah pihak.

“Mama fikirkanlah. Saya takkan paksa mama lagi tapi apa yang saya buat ini adalah untuk kebaikan kita semua,” ujarnya sambil bangun dari duduknya. Cukuplah perbincangan mereka pada hari ini. Dia juga perlu memberi masa kepada mamanya untuk berfikir walaupun dia tahu peluang untuk meyakin mamanya adalah tipis tapi sekurang-kurangnya dia sudah berusaha.

“Baiklah,” akhirnya Puan Azrina bersuara. “Mama terima cadangan kamu untuk serahkan The Legend kepada Alex… tapi dengan satu syarat.”

****

Pagi-pagi lagi Hazrul sudah bangun. Hampir satu malam dia tidak dapat tidur dengan nyenyak apabila memikirkan permintaan mamanya malam tadi. Sebaik sahaja dia keluar dari biliknya, kelihatan mamanya sedang bercakap dengan Doktor Mansur yang juga doktor peribadi keluarganya. Sebaik sahaja doktor separuh abad itu berlalu, dia terus menghampiri mamanya.

“Kenapa dengan Alex?” tanyanya yang dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena apatah lagi apabila dia terdengar perbualan antara mamanya dengan Doktor Mansur tadi.

“Tak de apa. Mama cuma nak pastikan dia tak ganggu rancangan mama hari ini,” kata mamanya. “Dan mama harap, kamu pun tak masuk campur dalam hal ini. Mama pergi dulu dan pastikan Alex berada di rumah ni sepanjang hari ni,” kata mamanya lagi dengan nada tegas. Kali ini mamanya benar-benar serius.

****

Pagi-pagi lagi Apy Elina setelah membersihkan diri, dia duduk di hadapan cermin. Biliknya berselerak dengan baju-bajunya. Dia mengeluh. Sejak dari tadi dia tidak dapat mencari baju yang sesuai untuk menghadiri temu duga yang telah ditetapkan semalam. Kali ini dia benar-benar serius untuk mencari kerja dan sekali gus mengubah hidupnya. Dan demi mencapai cita-cita berbarunya itu, dia telah mendapatkan tip-tip dari Nabila sendiri.

Hikayat Cintanya di selak helaiannya sehinggalah menjumpai tip-tip yang sempat di salinnya semalam.

“Pertama, penampilan mestilah kemas dan cantik!” dia memandang dirinya di hadapan cermin. Walaupun dia sendiri yang melihatnya dia tetap rasa tidak puas hati. Teringat kata-kata Nabila semalam.

“Macam manalah diorang tak reject kau masa interview. Tengoklah pakaian kau dalam almari tu, semuanya baju kurung tahun 90an. Cubalah kau pakai baju yang nampak moden sikit dan panel yang pandang kau pun macam ada gaya seorang setiausaha. Ingat first impression tu lagi penting!”

“Okey,” Apy Elina kembali bersemangat dan berlalu keluar dari biliknya dan masuk ke dalam bilik Nabila. Kelihatan Nabila tiada di dalam. Mungkin berada di bilik mandi sekarang. Tanpa meminta kebenaran Nabila, dia berlalu menyelongkar almari baju Nabila dan mengambil beberapa helai pakaian di dalamnya sebelum berlalu ke biliknya semula.

Nabila yang selesai sudah selesai mandi, kembali masuk ke dalam biliknya sambil menyanyi-nyanyi kecil. Almari bajunya di buka dan dia terkejut apabila mendapati baju-baju di dalamnya tinggal sedikit. Pelik. Tak mungkin dia belum basuh baju-bajunya. Rasanya minggu lepas dia sudah basuh dua bakul baju-bajunya dan sebelum ini almarinya penuh dengan baju tapi hari ini baju-bajunya tinggal sedikit.

Dia menggaru kepala. Handsetnya tiba-tiba berbunyi memecah kesunyian pagi. Panggilan dari Datuk Azrina itu segera di jawabnya. Dan tidak sampai beberapa minit dia bercakap, talian diputuskan. Datuk Azrina ingin berjumpa dengannya secepat mungkin dan apa yang mengejutkannya lagi, majikannya itu sudah berada di pejabat menantinya. Jam di dinding dipandangnya. Baru menunjukkan pukul 7 pagi. Pasti ada sesuatu yang mustahak membuatkan dia dipanggil masuk awal

Tanpa memikirkan bajunya yang hilang separuh, Nabila segera menyiapkan diri dengan memakai pakaian untuk ke pejabat. Sebaik sahaja dia ingin mengenakan mekap pada mukanya, dia mendapati semua barangan mekapnya turut hilang. Sekali lagi dia menggaru kepalanya. Ada pencuri masuk rumahnya semasa dia sedang mandi tadikah? Tapi kenapa hanya baju dan barangan mekapnya sahaja yang hilang?

“Ah!” dia mendengus marah. Masa hendak cepat macam inilah ada sahaja yang tidak kena. “Apy, kau ada nampak mekap aku tak?!” jeritnya sambil menolak pintu bilik Apy Elina. Terkejut Nabila seketika sebaik sahaja terpandang bilik tidur kawannya itu yang berselerak dengan baju-baju dari pintu masuk sehinggalah satu ruang bilik itu dipenuhi dengan baju-baju kurung pelbagai jenis warna dan corak. Dan ada diantara baju-baju yang berserakkan itu, seakan bajunya sahaja.

“Hai Nabila, aku cantik tak?” tanya Apy yang dari tadi asyik duduk di hadapan cermin mengenakan mekap pada wajahnya. Sebaik sahaja Apy berpaling, Nabila menjerit kuat apabila terpandang wajah Apy Elina yang mengerikan itu.

“Kau ni, kalau tak menyusahkan aku hari ni boleh tak?! Dahlah aku dah lambat ni lepas tu kau pula buat perangai macam badut! Hah, serupalah tu, mekap macam badut, perangai pun macam badut! Kalau tak reti nak pakai mekap, janganlah gatal-gatal nak pakai,” sejak dari tadi Nabila membebel macam orang tua marahkan anaknya kerana tidak dengar cakap. Muka Apy Elina yang teruk di tonyoh-tonyohnya untuk menghilangkan mekap pada wajahnya itu dengan mengunakan pencuci mekap.

“Kau sendiri cakap, kalau tak pandai kita kena belajar. Aku tengah belajar la ni,” balas Apy.

“Memanglah tapi maksud aku, kau kena belajar dengan orang yang pandai bukannya belajar sendiri. Ini nasib baiklah aku yang tengok, kalau ahli panel yang temu duga kau nanti yang tengok muka kau macam ni, terus diorang kena heart attack,” bebel Nabila lagi.

“Teruk sangat ke mekap aku?” tanya Apy lagi.

“Lagi teruk dari badut! Dahlah, aku dah lambat. Bos aku tengah tunggu kat pejabat ni. Kau bersihkan mekap kau tu dan jangan sesekali nak pakai mekap lagi. Pakai celak atau gincu pun dah cukuplah, tak payahlah nak pakai pemerah pipi sampai satu bekas ni habis!”

“Yelah. Yelah,” penat mendengar Nabila membebel. Dari dia mendengar Nabila membebel, dia lebih rela mendengar maknya membebel. Tiba-tiba dia teringatkan maknya di kampung halaman. Entah bagaimanalah keadaan maknya sekarang ni. Sihatkah? Sakitkah? Atau lagi suka dia tiada di rumah? Satu keluhan berat dilepaskan.

‘Sabar mak, nak lihat anak berjaya bukannya senang.’

****

Setelah membayar tambang kepada driver teksi yang dinaikinya tadi, Rinazila bergegas keluar dan berlari menghampiri pintu pagar mahligai Datuk Azrina. Pintu pagar yang diperbuat daripada besi dan diukir dengan ukiran yang cantik itu digoyang-goyangkannya sambil menjerit memanggil nama Alex. Dia tahu Alex berada di dalam sana.

Loceng juga di tekan beberapa kali. Dia tidak kisah, kalau bunyi lonceng itu boleh menggegarkan mahligai mewah yang menjadi kebanggaan kelauarga Alexander. Tidak lama kemudian pintu pagar yang tertutup rapat tadi terbuka dengan sendirinya dan tanpa membuang masa lagi dia segera meredah masuk ke dalam.

Pintu utama mahligai bernilai berjuta ringgit itu dibuka oleh Hazrul yang menyedari kedatangan Rinazila. Dia mempersilakan Rinazila masuk tanpa sebarang pertanyaan.

“En. Hazrul, mana Alex?” tanya Rinazila kepenatan.

“Dalam bilik…,” belum sempat dia habis bercakap, Rinazila sudah pun berlari mendaki anak tangga untuk ke bilik Alex. Dia mengikut Rinazila yang meredah satu demi satu bilik mencari Alex tanpa menghiraukannya sebagai tuan rumah.

Setelah membuka satu demi satu pintu bilik yang ada di dalam mahligai mewah itu, akhirnya Rinazila dapat mencari bilik Alex apabila terpandang Alex yang masih lagi sedang berselimut di atas katil. Tanpa membazir masa, dia segera memanggil Alex yang masih nyenyak dibuai mimpi.

“Alex, bangun! Takkan tak puas lagi tidur beberapa hari ni?!” ujarnya cuba menggerakan Alex dari tidur. Walaupun beberapa kali dia cuba gerakkan Alex, namun Alex masih lagi tidak sedarkan diri.

“Tak guna,” kata Hazrul di depan pintu bilik Alex. “Dia takkan bangun walau kamu cuba gerakkan dia macam mana pun.”

“Kenapa?”

“Dia diberi ubat tidur pagi tadi. Puan tahu pasti ada seseorang akan beritahu Alex tentang rancangannya hari ni, jadi, untuk memastikan rancangannya berjalan lancar puan terpaksa tidurkan Alex.”

“Apa?! Takkanlah En. Hazrul tak cuba halang langsung?!”

“Ini juga untuk kebaikan Alex. Lebih baik dia tak tahu.”

“Tapi Alex patut bertanggungjawab. Dia yang rancang semua ini dan dia perlu bertanggungjawab. En. Hazrul selaku penasihat kelab juga perlu bertanggungjawab!” tengking Rinazila. Dia tidak kira, sama ada dihadapannya itu adalah penasihat ataupun pengarah, dia tidak kisah. Dalam keadaan sekarang ini, dia perlu bertindak berani.

“Mesti ada cara untuk kejutkan Alex bangun,” Rinazila cuba menenangkan dirinya dan berfikir dengan perlahan-lahan. Dia sudah cuba membangunkan Alex tadi tapi tidak berjaya kerana Alex dalam pengaruh ubat tidur. “Air!”

Rinazila segera berlalu memasuki kamar mandi yang juga terletak di dalam bilik itu dan keluar dengan mengambil sebaldi air sebelum di simbah ke arah Alex yang masih lagi tidak sedarkan diri. Hazrul yang turut berada di situ, terkejut dengan tindakan drastic Rinazila yang sanggup buat apa sahaja untuk membuat Alex bangun.

Ideanya dengan menyimbah Alex dengan air tadi berhasil apabila mendapati Alex terbatuk kecil mungkin kerana lemas dengan air yang disimbahnya tadi. Rinazila menghampiri katil Alex yang basahi air dan memanggil Alex lagi supaya lelaki itu tidak tidur semula.

“Kenapa ni?” tanya Alex mamai sambil menahan sakit kepalanya. Pandangan sedikit kabur sebaik sahaja dia membuka matanya tapi tidak lama kemudian, dia dapat fokus pandangannya dan mendapati Rinazila berada di hadapannya.

“Rina,” dia mengerah tenaganya bangun dari baringnya. Sakit di kepalanya makin menjadi-jadi sebaik sahaja dia bangun namun dia langsung tidak perduli. “Kenapa ni?” dia memandang sekeliling dan merasai katilnya basah lenjun begitu juga dengan seluruh tubuhnya.

“Aku jelaskan kemudian. Sekarang, kita harus pergi.”

“Pergi mana?” tanya Alex masih lagi dalam kekeliruan.

“Selamatkan Izwan.”

“Hah? Kenapa dengan Izwan?”

“Pihak kolej nak buang Izwan!”

“Apa?!”

****

Dia berjalan dengan perlahan-lahan sambil mengimbangkan badannya. Kakinya sudah terasa sakit walaupun dia baru sahaja berjalan tidak sampai satu meter pun dari rumahnya. Fail yang selalu diusung ke sana sini apabila menghadiri temu duga di pegangnya. Handbag merah milik Nabila disangkut di bahunya sambil berjalan terjengket-jengket.

Menyesal! Itu yang terluah di hatinya. Menyesal dia memakai kasut tumit setinggi 5 inci milik Nabila yang turut dipinjamnya. Macam manalah Nabila boleh memakai kasut tumit tinggi itu satu hari di pejabat sedangkan dia yang baru memakai tidak sampai 5 minit sudah sakit-sakit.

Jam di tangannya di pandang. Sudah terlambat jika dia hendak berpatah balik dan menukar kasut. Lagipun semua kasut Nabila setinggi 5 inci kecuali kasut selipar Nabila yang berada di dalam kamar mandi. Dan dia pula hanya ada sepasang kasut yang hampir putus dan sepasang kasut sukan. Takkanlah dia hendak memakai kasut sukan. Mahu tak mahu dia terpaksa meredah jalan dengan kasut tumit tinggi 5 inci itu.

Langkahnya dilajukan menuju ke perhentian bas. Oleh kerana terdapat air hujan yang turun semalam bertakung di tepi jalan, Apy Elina berjalan di atas rumput yang lembab. Seksa betul bagi seseorang yang baru hendak memburu kerja. Semuanya serba tidak kena. Dari jauh dia dapat melihat beberapa orang yang sedang diperhentian bas itu memandang ke arahnya. Dia tersipu-sipu malu. Mungkin mereka tidak pernah melihat perempuan cantik dan comel sepertinya.

Dia masih lagi berlagak selamba walaupun mata lelaki gatal di sana tidak berkelip memandangnya. Ya. Dia tahu, dia kelihatan cantik hari ini walaupun hanya menggenakan gincu dan celak mengikut tip yang diberi oleh Nabila pagi tadi.

Tiba-tiba dia dikejutkan dengan deruman kereta yang kuat dan meluncur laju di jalan raya menarik perhatian Apy Elina. Dari jauh dia melihat sebuah kereta sport mewah berwarna merah sedang dipandu laju.

“Wah! Segaknya,” teruja apabila dia melihat kereta mewah seperti itu.

Tiba-tiba dengan pantas air yang bertakung di tepi jalan tidak jauh tempatnya berdiri, naik ke mukanya sebaik sahaja kereta mewah yang dipandu melalui di hadapannya. Apy Elina tergamam sekejap. Tidak menduga kereta yang dilihatnya tadi menghadiahkan air kotor yang bertakung tadi ke mukanya.

Kaki Alex menekan break keretanya secara mengejut. Rinazila di sebelahnya terkejut dengan break kecemasan tadi. Nasib baiklah dia memakai tali pinggang demi keselamatan, kalau tidak pasti dia sudah terpelanting ke hadapan.

“Kenapa?” tanya Rinazila kepada Alex yang asyik memandang cermin belakang melihat sesuatu di belakang.

“Hah?” Alex tersentak. Dia sendiri tidak tahu kenapa kakinya menekan break secara mengejut. “Tak de apa,” baru dia hendak memasukan gear dan meneruskan perjalanan, cermin tingkapnya di ketuk seseorang dengan kasar. Cermin tingkap gelap di bukanya dan terkejut Alex apabila melihat seorang wanita yang dalam keadaan basah dan hodoh berdiri di tepi pintu keretanya.

“Badut tua,” entah bagaimana perkataan itu boleh terpancul keluar dari mulutnya sebaik sahaja dia terpandang wajah wanita yang memakai gincu tebal berwarna merah dan bercelak tebal itu. Apa yang membuatkannya hodoh lagi, celak yang dipakainya itu turut mencomotkan muka wanita yang basah lenjun itu.

“Ba… badut tua?!!” Apy Elina tidak dapat menahan marahnya dan menendang pintu kereta yang dipandu oleh lelaki itu.

“Hoi!” Alex terus berlalu keluar dari keretanya dan berhadapan dengan Badut Tua dihadapannya itu. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia boleh naik angin dengan hanya Badut Tua itu menendang keretanya.

Apy Elina memeluk tubuh berhadapan dengan lelaki bongkak lagi sombong dihadapannya itu. Biarpun dia terpaksa mendongak habis memandang lelaki yang tinggi lampai itu asalkan dia tidak mengaku kalah kerana kependekannya.

“Apa masalah kau ni sampai nak tendang kereta aku?!” tengking Alex.

“Apa masalah? Hey, ini masalahnya!” jarinya dituding ke arah mukanya sendiri yang basah itu. “Kalau kau bangga sangat dengan kereta mewah kau ni pun, bawaklah dengan berhati-hati! Air bertakung kat situ takkan kau tak boleh nak elak?!” balas Apy Elina.

“Yang kau pula, dah tahu ada air bertakung kat situ, kenapa masih duduk tercegat kat situ lagi?!” balas Alex pula tidak mungkin akan mengaku kalah dengan si Badut Tua itu.

“Kau ingat aku sengaja nak kena simbah dengan air tu ke?! Dahlah aku penat-penat mekap cantik-cantik hari ni nak pergi temu duga lepas tu senang-senang saja kau nak musnahkan hari indah aku ni. Kau ingat senang ke nak cari kerja sekarang?!” dilepaskan segala kemarahannya yang terbuak-buak kepada lelaki itu.

“Hey, kau ingat mekap kau tu cantik sangatlah. Lebih baik kau pergi balik dan cermin muka kau tu, sebijik macam Badut Tua!”

“Badut Tua?!!” darah Apy Elina naik mendadak. Geram.

“Hey!” kerana tidak tahan dengan pertengkaran antara Alex dengan seorang wanita yang tidak dikenali itu, Rinazila terus berlalu keluar dari perut kereta dan cuba meleraikan pergaduhan mereka. “Sudahlah, takkanlah benda ni pun nak bergaduh macam budak-budak!”

Apy Elina menarik nafas panjang dan cuba menenangkan dirinya. Dia masih lagi memeluk tubuh sambil memandang tajam lelaki di hadapannya itu. Anehnya, dia seakan kenal lelaki dihadapannya itu tapi di mana?

“Ya. Takkanlah benda macam ni pun nak bergaduh. Macam budak-budak,” sindir Apy Elina sengaja ingin mengapikan lelaki dihadapannya itu.

“Hey, Badut Tua. Kau tu yang macam budak-budak,” balas Alex.

“Ah, budak-budak selalunya kalau bergaduh akan mengejek lawannya,” balas Apy pedas.

“Kau…!” Alex geram.

“Sudahlah!” Rinazila pantas menolak Alex masuk ke dalam kereta. Jika dibiarkan Alex, pasti pertengkaran kecil akan berlarutan sampai bila-bila pun. “Sorry, saya minta maaf apa yang kawan saya dah buat tadi. Kami kena cepat sebab ada sesuatu yang buruk dah berlaku pada kawan kami. Ini adalah antara hidup dan mati. Maafkan kami,” ujar Rinazila meminta maaf beberapa kali sebelum berlalu masuk ke dalam kereta.

“Hey! Kita belum habis lagi!” tapi kereta mewah itu telah meluncur laju sehingga hilang dari pandangannya.

8 si charming:

  1. ShAydA berkata...:

    kenapa ek mama alex x suka dgn alex? dah tu lebihkan hazrul..bencila

  1. Gadis blogger berkata...:

    apasal mama alex tu mcm ta ske smue y rpt dgn alex ea..
    pstu x cayekn ank sndri lak tuh..
    keep going ya..
    cite besh ni..
    na lg..
    hee~

  1. MeGa_Lisa berkata...:

    hehehe... apalah Epy ni.. mcm lurus bendul pun ada gak.. pape pon.. en3 ni best,.. lucu..Chayo2..K.NurUl

  1. Ai berkata...:

    aduiiiiiiiiii...
    cerita nye makin best...
    KAK RATU!!! CEPAT2 SAMBUNG!!!!!

  1. Yeun Yie berkata...:

    klakar la n3 kli ni.. lgi klakar kt apy sbb mekap nye mcm bdut..hikhik. tpi kn citer kli nie best la. buat orng suspen. napa mak nye alex nk buang izwan? plek2. cpt smbng kak ratu.

  1. Unknown berkata...:

    kak ratu..
    cte ni makin kompleks dan makin best..
    xsabar nak tau sambungan dari setiap n3...
    best sangat..
    keep up the good work..
    -sabbyzain-

  1. mak alex tuh mentel ke.??
    ngan ank sndri pown nk rendah2kn
    ke alex tuh ank angkat dier n hazrul tuh yg ank betol dier..syg sgt kat hazrul tuh..pelik..

    da 2 kali alex jmpe ngan apy tp 2 kali tuh gak dierowg gado..
    mmg bjodoh tol dierowg tuh..
    hahaha

  1. alom berkata...:

    bulan.. cpt2 la post n3 huhuhu.. lindu r kt alex n appy:))

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages