TKC: BAB 10&11


BAB 10

Masuk hari ini, sudah seminggu Zaquan belajar di Kolej Warisan dan selama itulah Sakinah sering menjadi perhatian ramai terutamanya pelajar satu fakulti yang mengenalinya. Kata Aina, namanya tiba-tiba menjadi popular sebentar kerana hubungan mesranya dengan Zaquan. Namun, setakat ini tiada sesiapa yang berani bertanya tentang hubungannya dengan Zaquan. Mungkin kerana kebanyakan pelajarnya lebih suka mendengar khabar angin daripada mendengar pengakuan daripada orang empunya diri.

Tapi, hanya seorang sahaja yang berani bertanya macam-macam tentang hubungannya dengan Zaquan. Siapa lagi kalau bukan sahabat karibnya, Aina. Satu hari memang tidak sah, kalau Aina tidak tanya tentang Zaquan. Kadangkala dia sendiri tidak tahu hendak menjawab apa. Soalan Aina memang teliti.

“Kenapa kau gelarkan tuan muda kau tu Bencana Alam?” soal Aina lagi.

“Entah. Aku pun tak tahu tapi itu yang mula-mula aku fikir sejak pertama kali aku berjumpa dengannya. Lama-lama, Bencana Alam dengan tuan muda memang dah serasi. Macam bencana alam, kadangkala kita boleh jangka dan kadangkala kita tidak boleh jangka. Begitu juga dengan tuan muda. Kadangkala aku boleh jangka apa yang dia buat dan sebaliknya. Cuma satu sahaja, walaupun kita berhati-hati dan mengambil inisiatif terbaik untuk hindarinya, bencana tetap akan mengejar manusia. Begitu juga dengan keadaan aku dengan tuan muda. Dia tetap akan cari aku walaupun aku cuba menyorok daripadanya,” terang Sakinah panjang lebar.

“Kau nak dengar teori aku?” tanya Aina.

“Aku tahu apa yang kau nak kata. Walau apa pun, tuan muda tetap seseorang kenalan biasa bagi aku. Dia memang baik walaupun kadangkala saja dia boleh jadi baik. Dia juga tak pernah buat apa-apa yang tak baik pada aku. Kami berdua mungkin nampak macam pasangan kekasih, tetapi jurang antara kami berdua begitu jauh. Dia bagaikan bangunan KLCC manakala aku umpama sebuah rumah di Kampung Baru,” kata Sakinah lagi. “Jadi, aku tak pernah terfikir nak jalinkan hubungan serius dengan tuan muda. Aku harap kau faham.”

“Aku tahu. Tapi kalau dia sukakan kau, itu tak jadi satu masalah, bukan?”

Diam. Dia sendiri tidak tahu hendak menjawab apa. Itu sudah melibatkan perasaannya. Tapi mustahil tuan mudanya yang tergolong dalam lelaki first class itu akan memilihnya sebagai isteri. Mungkin sebab itulah tuan mudanya memanggilnya Dayang. Tuan mudanya hanya menganggapnya dengan nama Dayang.

“Tak mengapa, kau ada banyak masa lagi untuk fikirkannya. Tapi apa yang aku tahu ramai pelajar perempuan dah tersangkut dengan bencana alam tu,” beritahu Aina yang sememangnya cepat mengumpul berita di kolej ini.

“Lantak. Yang penting, aku tak nak masuk campur,” jawab Sakinah langsung tidak kisah dengan berita itu. Kalau tuan mudanya berminat dengan salah seorang dengan mereka, sudah lama tuan mudanya bertindak. Tetapi, sehingga kini dia tidak mendengar mana-mana perempuan yang berani menegur tuan mudanya.

Oh, ada! Farihah.

“Memanglah kau tak nak masuk campur tapi sekarang ni kau seorang saja yang rapat dengan tuan muda kau. Kau kena hati-hati sikit. Takut kau diserang oleh peminat fanatik si bencana alam tu,” ujar Aina lagi.

“Peminat fanatik? Maksud kau Farihah?”

“Yelah. Siapa lagi yang terlampau fanatik dengan lelaki handsome dan kaya. Kau kena hati-hati sikit dengan Farihah. Aku tengok dia tu macam orang tak siuman pun ada. Silap hari bulan, dia boleh ambil pisau tikam kau.”

“Huh, kau ni menakutkan aku saja,” Semakin cuak wajah Sakinah apabila mendengar Aina kata begitu. Mana tidaknya, selalunya kalau apa yang terkeluar dari mulut Aina, pasti akan terjadi.

“Aku cakap saja. Kau ni, itu pun nak takut.”

“Memanglah aku takut. Kau tu perempuan sihir. Apa yang kau cakap mesti terjadi punya,” ujar Sakinah.

“Okey, kalau macam tu... masa dia tikam kau tu, tuan muda kau datang selamatkan kau dan lepas tu happy ever after,” ujar Aina selamba, tetapi Sakinah tetap memandang Aina dengan tajam. “Apa? Kau kata aku perempuan sihir. Jadi, doakanlah semua tu berlaku.”

“Ah, kenapalah aku berkawan dengan kau?” keluh Sakinah.

***

Mungkin dia sudah ditakdirkan untuk berkawan dengan Aina yang hebat membuat teori yang masuk akal, walaupun kadangkala dia tidak suka mendengar teori Aina. Tetapi hari ini, Sakinah mengakui dia perlu menjauhi Farihah sejauh yang mungkin kerana perempuan itu sudah tidak dapat dikawal lagi. Semuanya bermula apabila dia dalam perjalanan ke perpustakaan untuk meminjam buku sementara menunggu tuan mudanya tamat kuliah.

Sewaktu dalam perjalanan, Sakinah tiba-tiba ditarik oleh Farihah yang entah datang dari mana. Jika Farihah seorangan mungkin dia berani sikit, tetapi Farihah turut membawa kuncu-kuncunya yang berlagak seperti samseng itu.

“Sakinah, bagi nombor telefon Zaquan. Aku tahu kau ada nombor telefon Zaquan,” gertak Farihah.

“Hah? Nak buat apa?” spontan Sakinah menjawab walaupun dia tahu apakah yang ingin dilakukan oleh Farihah. Sudah pastinya ingin menelefon Zaquan, tetapi oleh kerana takut, dia tidak dapat berfikir dengan baik.

“Bagi sajalah. Itu pun nak tanya ke?” gertak Farihah lagi.

“Aku tak ada nombor telefon dia,” kata Sakinah ingin melepaskan diri tetapi Farihah bijak dengan membawa beberapa orang kuncunya menjaga setiap sudut supaya dia tidak dapat lari.

“Kau ingat kau bodoh ke? Budak tadika pun lebih pandai dari kau tau! Bagi cepat,” selagi Farihah mengertaknya dengan suara yang menakutkan. Dia tidak pernah melihat wajah Farihah yang seperti dirasuk hantu itu.

“Memang tak adalah!” tegasnya. Walaupun Farihah pandai, tetapi dia tidak akan menyerahkan nombor telefon Zaquan kepada sesiapa pun. Kalau tidak, pastinya Zaquan akan meradang. “Kau mintaklah sendiri dekat orangnya,” tambah Sakinah lagi.

“Kau ingat aku bodoh?” gertak Farihah lagi sambil memberi isyarat kepada kuncu-kuncunya itu.

Mereka kemudiannya meraba-rapa poket baju Sakinah sebelum merampas telefon bimbit Sakinah. Namun, Sakinah pantas merampasnya kembali dan bergelut dengan beberapa orang kuncu Farihah yang ingin merampas telefon bimbitnya itu sehinggalah telefon bimbitnya terjatuh pecah berderai.

“Hisy! Menyusahkan telefon buruk ni!” kata Farihah apabila mendapati telefon bimbit Sakinah sudah tidak boleh berfungsi dengan baik lagi. Oleh kerana geram kerana tidak dapat apa yang diinginkan, dia mencampak telefon bimbit itu ke lantai sehingga berkecai.

“Hoi!” tegah satu suara membuat Farihah dan kuncu-kuncunya itu tersentak. Menyedari kehadiran Aizat yang kemungkinan melihat peristiwa itu, Farihah terus hilang keberanian untuk terus mengertak Sakinah. Tanpa berlengah lagi, dia lantas melarikan diri bersama-sama dengan kawan-kawannya itu.

***

Sakinah hanya mampu melihat hasil usahanya bekerja siang malam, berkecai dalam masa satu minit sahaja. Bagi orang lain, mungkin memandang telefon bimbit jenama Nokia 3310 itu sebagai satu harta yang tidak bernilai, tetapi bagi Sakinah, itulah satu-satunya harta yang mampu dimiliki dengan titik peluhnya sendiri. Siapa yang tidak sedih melihat harta yang berharga itu sudah menjadi barang tidak berguna. Perlahan-lahan dia mencapai serpihan telefon bimbit yang sudah tidak boleh digunakan lagi itu.

“Habislah,” ujarnya perlahan.

“Sakinah, kau tak apa-apa?” tanya Aizat menghampiri Sakinah yang masih senyap. “Rosak?” tanya Aizat lagi sambil ingin mengambil telefon bimbit dari tangan Sakinah, tetapi Sakinah pantas menariknya kembali.

“Kenapa ni?” tiba-tiba satu suara menyapa.

Pantas Sakinah berpaling dan menyembunyikan telefon bimbitnya yang telah hancur berkecai itu di belakang apabila mengecam suara tuan mudanya itu. Jikalau tuan mudanya mendapat tahu tentang apa yang telah berlaku, pasti ada sahaja perkara yang akan dilakukannya.

“Tuan Muda,” ujar Sakinah lantas mengukir senyuman.

“Tuan Muda?” ulangi Aizat seperti inginkan penjelasan sambil memandang Zaquan yang turut memandangnya. Dia tidak tahu bagaimana hendak mentafsirkan cara Zaquan memandangnya, tetapi dia tahu itu bukan pandangan yang mesra. Mungkin juga Zaquan menganggapnya seperti seorang musuh. Namun, tanpa sebarang kata, Zaquan melangkah pergi.

Kemudian, Aizat mendapati Sakinah segera memasukkan telefon bimbitnya yang sudah tidak boleh digunakan ke dalam beg. Ingin sahaja dia bertanya tentang Zaquan, tetapi mulutnya seperti terkunci untuk berkata-kata.

“Err… aku pergi dulu,” kata Sakinah kepada Aizat. Baru sahaja dia melangkah setapak, Sakinah berpaling semula dan berkata, “Terima kasih,” sebelum mendapatkan Zaquan yang sudah berjalan jauh ke hadapan.

“Jadi, dialah Tuan Muda yang Sakinah pernah ceritakan dulu?” soalnya sendirian. Jika tidak salah, Sakinah pernah bercerita tentang seorang lelaki yang dipanggil dengan gelaran Bencana Alam atau tuan muda. Namun, dia tidak pernah mempercayai kata-kata Sakinah itu kerana menganggap mungkin Sakinah ingin membuatnya berasa cemburu, tetapi hari ini Sakinah telah membuktikan bahawa lelaki bergelar Tuan Muda itu memang wujud dan bukannya watak imaginasi Sakinah!

***

“Sapa lelaki tu?” tanya Zaquan memecah kesunyian. Sejak dari tadi, mereka berdua asyik mendiamkan diri melayani perasaan masing-masing. Sakinah kelihatan seperti orang bersalah dan tidak berani hendak berkata walau sepatah. Dia pula asyik memikirkan soalan yang tiada jawapan.

“Hah?” Sakinah kelihatan terkejut apabila disoal tentang Aizat. Gadis disebelahnya itu kelihatan ragu-ragu ingin menjawab. “Aizat tu?” tanya Sakinah akhirnya menyebut nama lelaki itu.

“Banyak ke lelaki yang jumpa tadi?” tanya Zaquan mengerling tajam.

“Hisy! Dia Aizat. Kawan saya sejak sekolah menengah,” jawab Sakinah.

“Oh, dia tulah yang kau tangkap leleh tu?”

“Mana tuan muda tahu?”

“Aku tahulah. Kan aku kata, kau tak boleh sorok apa-apa dari aku. Jadi, apa yang bagus sangat tentang dia sampai kau boleh terpikat?” soal Zaquan lagi tidak puas hati dengan pengakuan Sakinah.

“Tuan muda pernah jatuh cinta tak?” balas Sakinah. “Kalau tuan muda pernah, mesti tuan muda faham. Kadangkala kita tak tahu kenapa kita boleh terpikat dengan seseorang. Begitu juga perasaan saya dengan Aizat,” tambahnya lagi.

“Pandai kau bermadah.”

“Tuan muda ni, cubalah serius sikit sekali-sekala,” balas Sakinah bengang. Kemudian dia mengeluh lemah. “Tapi itu dulu. Sekarang, saya fikir mungkin saya dengan dia hanya boleh jadi kawan saja. Dulu saya memang terkejar-kejarkannya. Sekarang, saya dah penat. Menyukai seseorang yang tidak menyukai kita memang payah. Saya dah cuba untuk bertahan tapi semuanya sia-sia saja,” luah Sakinah apabila mengingati kenangan dulu ketika bersama Aizat.

“Kau sukakan dia lagi?” tanya Zaquan.

“Mungkin tapi tak guna juga kalau saya masih sukakan dia. Walaupun saya dengar dia dah berpisah dengan teman wanitanya tapi saya tak rasa itu peluang untuk saya berkawan rapat dengannya seperti dulu,” jelas Sakinah.

“Dia sukakan kau?” tanya Zaquan lagi.

Sakinah menggeleng. “Saya tak tahu. Tapi kalau dia sukakan saya dah lama saya jadi teman wanitanya. Mungkin dia anggap saya tak sesuai dengannya. Entahlah. Memang susah nak faham perasaan lelaki,” keluh Sakinah. “Kenapa tuan muda tanya pasal ni?”

“Salah ke kalau aku tanya?”

“Tak salah tapi….”

“Lain kali kalau kau jatuh cinta dengan lelaki lain, jangan sorok dengan aku.”

“Mana ada saya sorok dengan tuan muda. Tuan muda yang duduk jauh dari saya dan lepas tu tak pernah langsung hubungi saya. Bila saya nak cakap dengan tuan muda, mesti Auntie Zira kata tuan muda tak ada. Sekarang, salah siapa?” balas Sakinah tidak mahu mengaku kalah.

“Yelah. Memang salah aku. Tapi walau apa pun, jangan sorok dengan aku lagi.”

“Tapi, kalau saya jatuh cinta pun saya takkan beritahu tuan muda,” balas Sakinah berani bersuara.

“Kenapa?”

“Yelah. Siapa yang nak beritahu tuan muda? Nanti, kalau jadi macam ni entah apa tuan muda buat. Tuan muda bukannya betul sangat. Silap hari bulan, mulalah dengan perangai samseng tu.”

“Wei, mulut kau ni memang tak ada insuran ke?”

“Tapi memang betullah. Saya masih ingat lagi tuan muda belasah budak lelaki yang buli saya dulu.”

“Aku belasah dia bukan sebab kau tapi sebab dia pijak kasut aku!”

“Tuan muda boleh nafikannya,” balas Sakinah selamba barangkali sudah muak dengan penafian Zaquan.

“Kenapalah aku ada orang suruhan macam kau ni,” Zaquan merungut perlahan namun Sakinah masih boleh mendengarnya. Tanpa disedari, bibirnya menguntum senyuman manis.

BAB 11

Sejak dari tadi Aina terpaksa belajar untuk bersabar walaupun sebenarnya dia ingin sahaja memaki hamun Aizat di hadapannya itu. Kalaulah dia lelaki, memang sudah lama dia belasah Aizat, tetapi tidak bermakna dia perempuan, dia tidak boleh membelasah seorang lelaki! Huh!

Satu keluhan dilepaskan. Lemah layan lelaki seperti Aizat. Itulah, dahulu perasan bagus sangat. Kononnya Sakinah bukan pilihan yang bagus, Sakinah tidak serasi dengannya yang perasan kacak dan perasan bagus itu. Sekarang, bila Sakinah ada orang lain, mulalah menyedari perasaan sebenar. Itulah manusia! Mudah lupa diri. Menyesal pun tidak guna. Bukan sahaja menyusahkan diri sendiri, tetapi juga menyusahkan orang lain!

Aina merenung Aizat di hadapannya dengan tajam. Dia sendiri tidak dapat menjelaskan kenapa dia sanggup keluar rumahnya malam-malam buta ini semata-mata ingin berjumpa dengan lelaki yang sedang kecewa kerana tindakan bodohnya sendiri. Kalau diikutkan, dia memang tidak mahu berjumpa dengan Aizat lagi, tetapi memandangkan ini untuk kebaikan Sakinah juga, dia terpaksa merelakan dirinya dipergunakan oleh Aizat.

“Boleh tak kau janganlah pandang aku macam tu? Aku baru suruh kau serahkan telefon bimbit ni pada Sakinah,” kata Aizat yang tidak selesa dengan renungan Aina yang seperti singa kelaparan itu. Bila-bila sahaja Aina akan menerkamnya.

“Macam manalah aku tak pandang kau macam tu kalau kau tak mulakannya dulu,” jawab Aina sambil mengeluh lemah. “Aku sendiri pun tak tahu kenapa aku ditakdirkan untuk tolong kau yang bengap ni. Kalau kau dah suka dengan Sakinah tu, terus sajalah pikat dia balik sebelum terlambat. Hey, lelaki boleh kahwin empat tapi perempuan boleh kahwin satu saja. Kalau Sakinah dah terpikat dengan Tuan Muda dia, kau takkan berjaya alih perhatiannya balik melainkan kau bomohkan dia,” tambah Aina yang sudah berkali-kali memberi peringatan kepada Aizat.

“Dia dengan Zaquan tu bercinta ke? Sakinah ada cakap pasal dia sukakan Zaquan?” tanya Aizat lagi ingin mengetahui tentang hubungan mereka berdua.

“Tak. Tapi menurut teori aku, bila dah asyik berdua-duaan macam tu mestilah salah seorang akan jatuh cinta. Teori cinta aku tak pernah salah,” kata Aina lagi mula dengan teori-teorinya. Bukan niatnya ingin berpaling tadah kepada Sakinah dengan menceritakan segalanya kepada Aizat, tetapi buat masa sekarang dia ingin memberi peluang kepada Aizat sendiri memperbaiki kesilapan diri. Mungkin benar kata Sakinah yang menganggap Zaquan sebagai teman biasa sahaja dan masih menganggap Aizat lebih daripada segala-galanya.

“Kalau kau pandai sangat buat teori cinta, kenapa sampai sekarang kau tak ada teman lelaki?” tanya Aizat dengan nada menyindir.

“Sekurang-kurangnya aku pernah ada,” balas Aina tidak pernah sesekali mengaku kalah walaupun dengan lelaki.

“Alasan!”

“Hei, aku bukannya jenis perempuan yang sentiasa fikir lelaki dan cinta. Aku pernah bercinta dan aku tahu betapa bosannya bercinta. Asyik-asyik pergi makan malam, tengok wayang larut malam, pergi shopping dan terpaksa layan mesej-mesej cinta setiap saat. Kau tahu tak semua tu membosankan aku?” jelas Aina mula teringat saat-saat ‘indah’ semasa dia sedang mula berjinak dengan cinta. Sejak menyedari cinta itu amat-amat membuat hidupnya terkongkong, dia terus memutuskan hubungan dan tidak sesekali mencari cinta yang boson itu.

“Betul cakap Sakinah, kau tak berperasaan,” ujar Aizat setelah mendengar penjelasan ringkas daripada Aina. Sama seperti apa yang Sakinah cerita kepadanya. Namun, dia berasa kasihan dengan lelaki yang pernah bercinta dengan gadis itu. Mesti pening hidupnya hendak melayan Aina.

“Kau boleh cakap apa pun,” balas Aina malas memberi komen.

***

Tuk! Tuk!

Pintu rumahnya diketuk beberapa kali. Farihah yang sedang menonton televisyen di ruang tamu rumahnya itu pantas menjengah ke luar tingkap untuk melihat siapakah yang datang mengetuk pintu rumahnya tengah-tengah malam itu. Selalunya pintu rumahnya jarang di ketuk orang pada waktu malam begini.

Dari tingkap rumahnya, dia terlihat satu kelibat lelaki sedang mengetuk pintu rumahnya lagi. Kali ini dengan rancak dan lebih kuat daripada yang sebelumnya. Walaupun samar-samar, dia tetap dapat mengecam orang itu. Tanpa berfikir panjang, Farihah terus membuka pintu rumahnya.

Dia tersenyum lebar. Memang tepat jangkaannya.

“Zaquan,” ujar Farihah tersenyum ceria kerana tidak sangka Zaquan akan datang ke rumahnya.

“Dayang mana?” pantas Zaquan bertanya.

“Dayang? Siapa tu?”

“Sakinah. Dia ada kat dalam?” tanya Zaquan.

“Err… Sakinah? Kenapa awak nak jumpa Sakinah? Saya awak tak nak jumpa ke?” tanya Farihah dengan lenggok yang menggoda. Dia lupa sebentar tentang Sakinah yang turut mengenali Zaquan dan menganggap Zaquan datang ke rumahnya hanya sebab ingin berjumpa dengannya.

“Panggil Sakinah,” pantas Zaquan berkata tanpa pedulikan Farihah yang menggedik tidak tentu pasal di hadapannya itu. Sudahlah hatinya panas apabila tidak dapat menghubungi Sakinah langsung, kini ada pula manusia yang tidak ubah seperti kucing betina yang inginkan sesuatu dari kucing jantan.

Serentak itu, senyuman Farihah mati. Tidak habis-habis Sakinah! Hatinya memberontak. Tidak payah disuruh untuk kali ke dua, Farihah terus berlalu ke dalam menghampiri bili Sakinah. Pintu bilik Sakinah diketuknya dengan kuat. Tidak lama kemudian, Sakinah muncul di muka pintu.

“Ada orang nak jumpa,” kata Farihah dengan kasar. Tidak ubah seperti seorang perempuan yang cemburukan sesuatu.

“Siapa?” tanya Sakinah pelik sambil melihat jam pada dinding biliknya. Hampir pukul 12.45 pagi. Entah siapa yang ingin berjumpa dengannya.

Aina? Tidak mungkin. Sepanjang dia kenal Aina, Aina tidak pernah datang bertandang ke rumahnya. Semuanya kerana Aina tidak suka dengan Farihah dan menganggap Farihah sebagai musuh yang perlu dihapuskan.

Sakinah masih berfikir. Siapa lagi yang akan datang ke rumahnya? Ah, tuan muda! Jerit hatinya. Tiba-tiba dia teringatkan telefon bimbitnya yang telah rosak kerana sikap Farihah siang tadi. Pasti tuan mudanya menelefon banyak kali tetapi tidak dapat.

'Habislah,' tanpa mempedulikan Farihah yang sedang memandangnya dengan tajam seperti tidak berpuas hati, Sakinah terus melulu ke hadapan pintu rumahnya yang sudah terbuka separuh itu. Dia menyelak pintu rumahnya perlahan-lahan.

“Tuan muda,” katanya perlahan seperti orang bersalah pun ada apabila terpandang wajah Zaquan yang seperti ingin memakan orang itu. Gerun dia melihatnya.

Zaquan langsung tidak bersuara, namun memberi isyarat kepada Sakinah untuk mengikutnya. Mahu tidak mahu, Sakinah terpaksa mengikut tuan mudanya itu sehingga keluar pagar rumah sewanya itu.

“Kenapa aku telefon kau banyak kali tapi tak dapat? Kau tutup handset ke?” soal Zaquan kelihatan cuba menahan suara daripada melenting.

“Tak. Handset saya rosak,” jawab Sakinah perlahan.

“Macam mana boleh rosak?” tanya Zaquan lagi.

“Terjatuh,” jawabnya.

“Macam mana boleh jatuh?” tanya Zaquan lagi seperti polis menyoal penjenayah.

“Lalai,” jawabnya. Walau apa pun, Zaquan tidak perlu tahu tentang apa yang terjadi antara dia dengan Farihah siang tadi. Lagipun, tuan mudanya memang pantang apabila ada orang lain membulinya. “Saya nak beritahu tapi terlupa sebab sibuk buat assignment tadi.”

Selepas mendengar penjelasan Sakinah, Zaquan melepaskan satu keluhan. Dia bersandar di keretanya sambil memandang Sakinah yang mendiamkan diri. Separuh mati dia risaukan Sakinah yang tidak menjawab panggilan dan mesejnya. Oleh kerana terlampau risau, dia bergegas ke rumah sewa Sakinah tengah-tengah malam itu juga.

“Esok kau pindah masuk rumah akulah,” kata Zaquan.

“Hah?! Tuan muda dah gila ke? Walaupun saya ni orang suruhan tuan muda tapi itu tak bermakna saya isteri tuan muda,” balas Sakinah yang terasa ingin sahaja ketuk kepala tuan mudanya itu.

“Gurau sajalah. Habis tu nak buat macam mana lagi? Kau tahu tak, aku risaukan kau masa kau tak angkat telefon.”

“Tahu. Tuan muda ni cubalah fikir macam orang dewasa sikit. Saya ni bukan budak-budak. Walaupun saya perempuan tapi saya pandai jaga diri. Dulu, masa tuan muda tak ada kat Malaysia, saya keseorangan jaga diri ni. Tuan muda janganlah risau sangat atau... tuan muda yang takut tinggal kat rumah besar tu sorang-sorang,” Sakinah tersengih-sengih.

“Jangan nak perkecilkan aku,” ujar Zaquan sambil menjentik dahi Sakinah.

“Sakitlah!” rungut Sakinah menggosok dahinya. Dia sendiri tidak tahu kenapa tuan mudanya suka menjentik dahinya. Bukannya ada faedah pun.

Zaquan kemudiannya membuka pintu keretanya dan mengambil sesuatu di dalam. Kemudian, dia menarik tangan Sakinah dan memberi sebuah telefon bimbitnya kepada Sakinah.

“Untuk sementara ni guna handset aku. Senang aku nak hubungi kau nanti,” ujar Zaquan.

“Tapi, saya tak boleh....”

“Aku bukan suruh kau guna selama-lamanya. Bila kau dah ada duit nak beli handset, kau pulang balik harta aku tu. Tapi sebagai pertukaran, aku nak kau sediakan sarapan pagi untuk aku,” ujar Zaquan sebelum masuk ke dalam keretanya. Enjin kereta dihidupkan dan tanpa berkata banyak, dia terus memandu keretanya ke jalan raya meninggalkan Sakinah yang masih terpinga-pinga.

“Isy, dia ni suka sangat buat aku serba bersalah macam ni,” rungut Sakinah sekadar mampu melihat kereta yang dipandu oleh Zaquan semakin hilang di pandangannya.

Melihat telefon bimbit yang diberi oleh Zaquan itu, Sakinah tersenyum sendirian. Terharu dengan tuan mudanya yang datang ke rumah sewanya semata-mata kerana tidak dapat menghubunginya.

“Hebat betul kau ni ya,” kata Farihah tiba-tiba sebaik-baik sahaja Sakinah melangkah masuk ke dalam.

'Dah mula dah,' keluh Sakinah yang sudah muak dengan perangai tidak puas hati Farihah itu. Entah bilalah Farihah akan berubah perangai. Hanya fikir dirinya sahaja yang betul dan tidak mahu orang lain lebih sedikit daripadanya.

“Dahulu kau dapat pikat si Aizat, lepas tu kau dapat pikat Zaquan. Apa ilmu yang kau pakai sampai dia orang berdua sangkut dengan kau? Kau ni memang perempuan murahan betul. Nak pikat lelaki yang kaya raya. Sedarlah diri kau tu sikit, kau tu anak yatim piatu, miskin pula tu, tak layak nak berkawan dengan orang macam Zaquan!” tengking Farihah tidak tentu pasal sebelum berlalu masuk ke dalam biliknya dengan hati yang panas.

Mendengar cemuhan daripada Farihah tadi, tiba-tiba sahaja Sakinah berasa amat pedih. Dia belum pernah dihina seperti itu sebelum ini. Malah, Zaquan yang selalu membulinya dan bercakap dengan kasar dengannya langsung tidak pernah menghinanya sebegitu.

Pintu biliknya ditutup rapat. Sakinah merenung telefon bimbit milik tuan mudanya dengan mata yang mula berkaca-kaca. Inilah pertama kali dia berasa sedih dengan kata-kata Farihah walaupun selama ini Farihah sering menyindirnya.

“Ya, aku dan tuan muda berada di dunia yang berbeza. Memang aku tak layak nak bersamanya. Dah lama aku sedar tapi tak payah nak hina aku macam tu,” katanya sendirian.

bersambung ke versi cetak...

9 si charming:

  1. ash.ush.ish berkata...:

    nk pegi pesta buku macam jauh..aih cmne la nk beli nih..:))

  1. akira_bita berkata...:

    smbung ke versi cetak?? baru nak anta ke atau dh siap? cover kat atas tu ke? tak sabarnya nak beli!!

  1. NukSe berkata...:

    alaa... dh hbs ker?? dh xtulis kat blog ker?? huhu sedih2.. kejap sgt...

  1. Yong berkata...:

    dah siap cetak eh? pesta buku nanti dah ada la ye? bestnya.tp tu la jauh la sy nak pegi,kl. bila gaknye sebar kat kelantan? buku hikayat lak?dah siap cetak ke lom?
    tak sabar2 nak pegi beli ni.

  1. dewdrop berkata...:

    adooyaiii..baru nk layan cite ni,dh bersmbg ke versi cetak..dh la nk balik mesia pun ssh,nk beli buku lg la payah..frustt btol la..huhu
    neway..tahniah ratu bulan :)

  1. IMME berkata...:

    wait semenit! dah kuar ke versi cetak??? mane nak dapat ni.. hurm!

  1. ummi berkata...:

    dah abih baca dah..menarik..memula tgk tajuk tak berminat nk belisbb tgk penulis lain..tp bla tgk penulis ratu bulan kat bawah plak baru teringat citer kat blog..tak sabar tunggu hikayat cinta..agak2 bila kuar yer..??

  1. Tanpa Nama berkata...:

    BEST!!!!!!!
    SEDIHNYA SBB LAMBAT BACE
    TP BUKU NI NAK BELI KAT MANE EK????

  1. Tanpa Nama berkata...:

    wala...hm...lama dah cari buku ni..tapi xjumpa la....teringin nak tau ending dia...hikayat cinta dah khatam berkali-kali....yang ni je masih xjumpa....hm.....

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages