SuD: Bab 2


2: Persahabatan



Natasya terjaga daripada lenanya apabila terdengar sesuatu. Dia memandang sekeliling biliknya. Hanya dia seorang sahaja yang berada di dalam bilik itu. Lantas dia mencapai handsetnya untuk melihat jam. Pukul 4.30 pagi. Satu keluhan dilepaskan.
Kalau diikutkan dia masih lagi mengantuk, tetapi apabila dia mendengar lagi bunyi yang sama di dapurnya, dia mengerah tenaga yang ada dengan bangun keluar dari biliknya. Keluar sahaja dari biliknya, dia dapat melihat cahaya lampu di bahagian dapur rumahnya seiring dengan suara manusia sedang bercakap.
Apa yang kau orang buat pagi-pagi buta ni?” tanya Natasya apabila melihat kelibat Arissa bersama Fazira di dapur.
Malam tadi, ketika dia hendak masuk tidur, dia dikejutkan dengan kedatangan mereka berdua di hadapan rumahnya. Tidak perlu diteka lagi. Kalau mereka berdua tiba-tiba sahaja muncul di hadapan rumahnya, pasti mereka berdua sedang mengelakkan diri daripada pulang ke rumah. Jadi, destinasi mereka adalah rumahnya.
Err... kami bising sangat ke sampai buat kau terjaga?” tanya Arissa serba salah.
Aku cuma nak pastikan yang rumah aku tak dimasuk pencuri,” jawab Natasya. “Apa yang kau orang tengah buat?”
Donut,” jawab Fazira. “Kami tak dapat tidur dan terfikir pasal donut yang kami makan petang tadi, jadi kami terfikir nak buat donut.”
Sejak bila kau orang tahu memasak?” tanya Natasya.
Takkan Kak Tasya tak tahu?” soal Fazira.
Tahu apa?”
Kak Arissa memang master dalam masak donut. Hanya donut dan kek tapi yang lain dia fail,” beritahu Fazira.
Kenapa aku tak tahu langsung?” Natasya kelihatan terkejut apabila mendengar akan kemahiran Arissa. Selama dia kenal Arissa, dia hanya tahu Arissa seorang anak manja yang hanya tahu mengkritik masakan orang tetapi tidak pandai memasak.
Peliknya. Takkan Nazwan tak beritahu Kak Tasya langsung?” soal Fazira lagi.
Natasya mengerut dahi. Ada kena mengena dengan Nazwankah?
Laa... dia tu memang suka makan....”
Fazira!” pantas Arissa bersuara menghentikan kata-kata Fazira yang mungkin akan membuatkan Natasya kurang senang.
Opss...”
Dia suka makan donut yang Arissa buat?” teka Natasya.
Arissa menghela nafas berat. Kemudian, dia memandang ke arah adik tirinya itu.
Sorry,” ujar Fazira rasa serba salah. Kadangkala dia terlupa bahawa Natasya merupakan teman wanita Nazwan.
Arissa sekadar menggeleng. Hendak salahkan adik tirinya pun tidak boleh juga kerana Fazira tidak tahu apa-apa tentang hal itu. Ini adalah perjanjian dia dengan Nazwan. Natasya tidak perlu tahu tentang hal itu kerana masing-masing tidak mahu melukakan hati Natasya.
Aku minta maaf sebab rahsiakan perkara ini. Benda ni terjadi secara tak sengaja. Kebetulan kami berjiran dan kami sekeluarga pernah makan bersama dengan keluarga Nazwan. Masa tu, aku buat donut dan dia suka donut tu dan tiap kali aku buat donut, aku akan bagi dia,” terang Arissa.
Aku tahu. Kau tak perlu terangkan pada aku macam aku takkan percaya pada kau. Kau kawan aku dan walaupun Nazwan teman lelaki aku tapi aku kenal kau dahulu berbanding dia,” ujar Natasya.
Jadi, kau tak kecil hati?”
Kenapa aku nak kecil hati disebabkan donut?” balas Natasya.
Terima kasih Natasya! Kaulah kawan baik aku sampai bila-bila,” kata Arissa yang ingin memeluk Natasya tetapi lantas Natasya menjarakkan diri.
Aku baru bangun tidur. Aku tak nak donut yang kau buat tu ada bau badan aku,” kata Natasya cuba menahan Arissa daripada memeluknya. Arissa memang begitu. Kalau rasa terharu atau gembira, dia pasti akan peluk orang itu.
Tapi,” Arissa kembali bermuram. “Kalau Nazwan dapat tahu yang kau dah tahu pasal ni, dia mesti marah. Dia tu kalau marah, apa pun tak peduli.”
Hah?” Natasya mengerut dahi. Dia tidak faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Arissa. Nazwan marah? Baru dia sedar. Selama dia berkawan dengan Nazwan, dia langsung tidak pernah melihat Nazwan marah. “Dia pernah marah ke selama ni?”
Kak Tasya takkan tak pernah tengok dia marah?”
Natasya menggeleng.
Huh, bertuahnya. Kami pernah tengok dia marah. Tak tahulah sebab apa tapi masa tu dia memang tengah marah. Nak tahu apa yang dia buat?”
Dia buat aksi pinggan terbang ke?”
Itu aksi suami isteri bergaduh. Dia tak buat aksi yang berbahaya tu,” kata Arissa.
Habis tu?”
Dia keluar dari rumah dan langsung tak beritahu ke mana dia pergi.”
Merajuk?”
Bukan merajuk. Marahnya bukan pada aksi berbahaya tapi lebih kepada menyeksa psikologi seseorang. Seminggu keluarga dia orang tension mencari Nazwan,” terang Fazira.
Kenapa aku tak tahu pun tentang tu?” tanya Natasya.
Aneh sungguh. Hari ini dia dapat tahu banyak perkara yang dia tidak tahu tentang Nazwan. Selama ini dia juga tidak pernah bertanya Arissa tentang hal Nazwan.
Hal lama,” jawab Arissa. “Jadi, jangan beritahu Nazwan ya. Diam-diam saja.”
Okey,” jawab Natasya walaupun sebenarnya dia rasa kurang selesa. Entah kenapa dia rasa orang yang paling mengenali Nazwan adalah Arissa. Mungkin apa yang Arissa mimpikan semalam akan menjadi kenyataan. Nazwan dengan Arissa. Perasaan cemburu pada Arissa pula terbit di hatinya.
Kak Tasya tak perlu cemburu dengan kakak saya sebab dia dah ada seseorang yang istimewa,” kata Fazira seperti dapat membaca apa yang difikirnya.
Oh ya? Siapa?”
Tekalah.”
Zakri?”
Arissa mengangguk.
Dia dah lamar kau jadi teman wanita dia?”
Err... ya.”
Jadi, musim bercinta bermula lagi,” ujar Fazira separuh menyindir.

***


Selamat pagi,” ucap Nazwan kepada Puan Latifah sebaik sahaja kakinya melangkah ke dapur. Seperti biasa, ibu saudaranya itu akan menjalankan tugas menyediakan sarapan pagi untuk mereka sekeluarga.
Selamat pagi,” jawab Puan Latifah dengan senyuman yang tidak pernah lekang di bibir. “Mana Luqman? Takkan tak bangun lagi?”
Bilalah mama nak anggap anak mama ni dah besar? Luq dah besar dan dah tahu bangun pagi tanpa dikejut,” suara Luqman kedengaran menjawab pertanyaan Puan Latifah tadi sebelum sempat Nazwan bersuara.
Setelah dihadiahkan dengan 10 jam loceng…,” ujar Puan Latifah sedikit menyindir. Bukannya dia tidak dengar jam loceng demi jam loceng yang berbunyi sejak pukul 5.00 pagi tadi. Jam loceng Luqman saja sudah cukup untuk membangunkan semua orang dalam rumah itu.
Thanks to Sarah yang asyik bagi hadiah hari jadi jam loceng,” balas Luqman yang sudah duduk di sebelah Nazwan.
Mama harap dia akan terus hadiahkan kamu jam loceng.”
Macam tu juga dengan mama. Tengok… dah pukul 7.00 pagi tapi papa tak muncul-muncul lagi,” ujar Luqman.
Haha… jangan nak bermimpi. Papa dengan nenek ada meeting pagi ni, jadi dia orang keluar jam 6.30 pagi tadi.”
Meeting? Luq tak tahu pula papa dengan nenek merupakan rakan niaga,” katanya sedikit terkejut dengan apa yang didengarnya.
Family business,” jawab Puan Latifah pendek.
Ahh… business…,” Luqman mengangguk faham apabila melihat wajah mamanya yang tidak berminat hendak bercakap dengan lebih lanjut tentang perkara itu.
Nenek masih nak pertahankan saham dia dalam syarikat tu?” tanya Nazwan.
Nampak gayanya… macam tulah,” jawab Puan Latifah.
Nazwan kelihatan tidak senang dengan jawapan Puan Latifah tadi.
Nenek patut lepaskan saja syarikat tu,” ujar Nazwan.
Naz, walaupun Mama Tifa tak suka dengan apa yang nenek buat ni tapi ini juga untuk kebaikan kamu. Syarikat tu daripada penat lelah arwah atok dan arwah mama kamu sendiri. Memang logik la kalau nenek cuba pertahankan syarikat tu daripada dirampas oleh keluarga sebelah atok yang tamak kuasa. Nenek cuma nak pertahankan hak dia dan hak kamu,” terang Puan Latifah.
Ya. Betul kata mama. Nenek cuma nak pertahankan hak kita sekeluarga dan kalau nenek berjaya pertahankan hak kita, kau perlu tolong aku. Kalau kau dah jadi CEO dalam syarikat tu… tolong jangan paksa aku untuk jadi timbalan pengarah atau segala jenis timbalan dalam syarikat tu. Aku ada impian sendiri,” kata Luqman.
Ohh… baru mama teringat, nenek pernah cakap, dia tetap akan paksa kamu bekerja di syarikat tu,” balas Puan Latifah.
Apa?”
Sebagai tukang sapu,” tambah Puan Latifah.
Luqman terdiam seketika. Dia berfikir sesuatu.
Berapa tingkat bangunan syarikat tu?” soal Luqman kepada Nazwan.
20 tingkat,” cepat Nazwan menjawab.
Okey, mencabar. Luq sahut cabaran nenek jadi tukang sapu,” jawab Luqman sebelum berlalu dari situ.
Apa dia kata?” tanya Puan Latifah kepada Nazwan. Dia pasti apa yang didengarnya tadi, tetapi dia tetap ingin bertanya kepada anak buahnya itu.
Dia sahut cabaran jadi tukang sapu,” jawab Nazwan yang sudah menghabiskan sarapannya.
Budak ni...,” keluh Puan Latifah yang hanya mampu menggeleng.
Naz pun kena pergi sekarang,” ujar Nazwan yang sudah meletakkan pinggan dan cawan yang digunakannya tadi ke dalam singki.
Naz, tunggu sebentar,” Puan Latifah segera menghalang anak saudaranya itu.
Ada apa?”
Kamu tak ada ajak sesiapa untuk makan malam nanti?” soal Puan Latifah.
Tak… rasanya tak ada… kenapa?”
Kedengaran keluhan panjang daripada Puan Latifah.
Naz, walaupun Mama Tifa bukan mama kandung Naz tapi kita satu keluarga dan Mama Tifa anggap Naz macam anak sendiri. Macam Luqman, Mama Tifa tahu dia ada teman wanita walaupun dia menafikannya. Macam tu juga dengan Naz. Siapa nama dia? Natasya?”
Kedengaran pula keluhan kecil daripada Nazwan. Ini tidak lain dan tidak bukan mesti Luqman yang buka cerita. Kalau bukan Luqman mesti Sarah. Hanya mereka berdua sahaja yang berkemungkinan telah memberitahu Mama Tifa pasal Natasya. Tidak mungkin Arissa walaupun Arissa juga rapat dengan keluarganya itu. Hal ini kerana Arissa jarang datang bertandang ke rumahnya itu walaupun mereka rapat.
Bila lagi nak jemput dia datang ke rumah?” tanya Mama Tifa.
Naz dah jemput tapi…,” dia meneruskan kata-katannya dengan gelengan.
Sebab dia fikir dia tak setaraf dengan kita?” soal Mama Tifa lagi.
Kali ini Nazwan menggangguk. Nampak sangat Mama Tifa sudah mengorek rahsia daripada Luqman dan Sarah.
Dia takut nenek tak terima dia.”
Naz, kamu tahu bukan, keluarga kita tak pernah bezakan status seseorang. Pak Cik Luqfi kamu hanya orang biasa tapi nenek tetap terima dia sebab dia ada matlamat hidup. Sama juga dengan arwah papa kamu. Dia hanyalah seorang peguam, tapi kerana arwah papa kamu banyak menolong orang susah, nenek terima dia sebagai menantu,” ujar Mama Tifa.
Naz tahu… tapi dia anggap kes papa dengan pak cik Luqfi lain,” balas Nazwan.
Lain? Apa yang lainnya?”
Nenek hanya ada dua orang anak perempuan masa tu tapi sekarang ni, nenek ada dua cucu lelaki dan Mama Tifa pun mesti tahu hasrat nenek yang dah tetapkan masa depan Naz,” terang Nazwan.
Mendengar luahan Nazwan tadi membuatkan Puan Latifah terdiam seketika. Apa yang Nazwan kata itu memang betul. Oleh kerana Nazwan merupakan anak arwah kakaknya, sudah tentu Nazwan akan menerajui syarikat mereka suatu hari nanti. Kemungkinan besar juga nenek sudah senyap-senyap mengaturkan jodoh untuk Nazwan.
Okey, jangan panik,” ujar Puan Latifah. Nazwan memang sudah sedia maklum. Kalau Puan Latifah menyebut ‘jangan panik’ maknanya Puan Latifah sedang panik. “Ajak Natasya makan malam ni. Mama Tifa akan uruskan hal nenek.”
Tapi macam mana?”
Jangan risau, serahkan pada Mama Tifa. Tugas kamu, yakinkan Natasya datang ke rumah malam ini, faham? Okey, kamu boleh pergi sekarang, nanti terlambat masuk kuliah,” ujar Puan Latifah sambil menolak Nazwan keluar dari dapur itu. “Ingat! Pastikan dia datang malam ni, kalau tak Mama Tifa tak nak tolong lagi!”

***

Maaf Natasya. Aku bukan nak hina kau tapi kau perlu lakukan sesuatu dengan baju-baju dalam almari kau ni. 99 peratus baju dalam ni adalah baju kurung. Patutlah hari-hari aku nampak kau pakai baju kurung tapi aku tak pernah sangka yang almari kau penuh dengan baju kurung,” ujar Arissa yang dari tadi berdiri di hadapan almari baju Natasya.
Lain kali kalau nak bermalam kat rumah aku, bawalah baju kau sendiri. Jadi, tak adalah kau rasa terpaksa pakai baju kurung,” ujar Natasya separuh geram.
Kalau orang sepertinya baru kenal Arissa, pasti akan rasa sakit hati dengan komen Arissa tadi. Tapi mujurlah dia sudah kenal sangat dengan perangai Arissa.
Ini semua salah Fazira.”
Hah, salah aku pulak. Aku tak tahu pun yang kau nak tidur rumah Kak Natasya,” ujar Fazira yang sudah lengkap berpakaian sekolah.
Habis tu, macam mana baju sekolah kau ada kat dalam bonet kereta?”
Dah lupa plan B kita?”
Err...,” Arissa menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Dia sendiri yang plan, dia sendiri yang lupa,” ujar Fazira yang hanya mampu menggeleng.
Plan melarikan diri dari rumah? Macam pernah dengar saja,” ujar Natasya seperti memerli.
Plan kami plan yang halal dan diketahui oleh Mama Fiza dan papa aku. Jadi, jangan samakan plan kami dengan plan Nazwan yang lagi gila tu,” balas Arissa.
Betul!” Sokong Fazira.
Kadangkala aku terfikir, betul ke kau orang ni adik beradik tiri?” tanya Natasya.
Kenapa?”
Sebab kau orang tak macam adik beradik tiri.”
Oh... tolonglah. Zaman Cinderella sudah lama berlalu,” ujar Arissa.
Ya. Sekarang, zaman kakak tiri kena hantar adik tirinya pergi ke sekolah sebelum pagar sekolah ditutup,” ujar Fazira yang memeluk tubuh di hadapan pintu bilik Natasya.
Macamlah kau tak pernah lambat,” balas Arissa yang sudah mengenakan baju kurung yang dipinjam daripada Natasya. “Pergi panaskan enjin kereta!” arah Arissa dengan garang. Tanpa berlengah lagi, Fazira berlalu dari situ.
Sekarang baru aku percaya yang dia adik tiri kau,” ujar Natasya.

***

Arissa memberhentikan kereta yang dipandunya di sebuah kawasan tempat letak kereta yang kosong berdekatan dengan kafeteria dalam universitinya. Baru sahaja dia mematikan enjin keretanya, kereta yang dipandu oleh Nazwan diparkir masuk ke kotak parkir yang kosong di sebelah keretanya.
Hai Nazwan,” sapa Arissa kepada Nazwan sebaik sahaja keluar dari keretanya.
Hai,” balas Nazwan acuh tak acuh. Seperti tidak mahu melayan pun ada juga.
Tunggu dulu,” ujar Arissa yang memintas langkah Nazwan yang ingin mendekati Natasya. “Sebelum kau orang berdua menguapkan 'I love you' atau 'I miss you' sesama sendiri, aku nak dengar pendapat kau sebagai lelaki. Apa pendapat kau dengan aku hari ini?” tanya Arissa sambil menggayakan baju kurung milik Natasya yang dipakainya.
Hah? Pendapat apa?” tanya Nazwan sekali lagi macam mahu tak mahu melayannya.
Pendapat kau tentang perbezaan aku hari ini berbanding hari-hari yang lain,” keluh Arissa. Kalaulah Nazwan adalah kekasihnya, memang sudah lumat dia kerjakan. Takkan itu pun hendak tanya lagi.
Ada beza ke?” soal Nazwan spontan.
Sekali lagi Arissa mengeluh.
Ohhh Nazwan. Setiap hari kau berjoging menguatkan otot-otot kau tapi nampaknya kau terlupa nak kuatkan otak kau supaya berfikir luar daripada kotak. Soalan aku ni, tahap 'dalam kotak' aje tau. Takkan kau tak nampak aku pakai baju kurung hari ini?”
Kau bertanya dengan orang yang salah, Arissa,” sapa Luqman yang entah bila berada di situ. Begitu juga dengan Sarah. Sememangnya, dia tahu yang Luqman akan menumpangkan Sarah setiap pagi ke univerisiti.
Ohh. Kau pakai baju kurung. Ya, aku baru perasan,” ujar Nazwan sekali lagi acuh tidak acuh menjawab. Kemudian, tanpa sempat Arissa bersuara, Nazwan sudah pun berlalu menghampiri Natasya.
Saya ada hal nak cakap sikit,” kata Nazwan kepada Natasya. “Tapi, bukan kat sini,” tambah Nazwan lagi.
Natasya mengangguk faham. Dia berpaling memandang Arissa.
Ya. Ya. Kami tahu. Urusan peribadi. Pergi sajalah,” ujar Arissa yang dapat mengagak apa yang Natasya hendak sampaikan.
Sorry, tak dapat temankan kau,” ujar Natasya sebelum berlalu mengorak langkah seiringan dengan Nazwan. Arissa sekadar mampu memerhati dari belakang.
Di mata Nazwan hanya ada Natasya,” kata Arissa sedikit kecewa.
Baru kau tahu?” celah Luqman. “Walau kau pakai apa sekali pun, mata dia tetap akan pandang Natasya sebab Natasya tu seribu kali cantik dan seribu kali lawa daripada kau,” tambah Luqman lagi.
Mmm... mungkin aku patut turunkan berat badan dan aku rasa pipi aku makin tembam,” ujar Arissa yang langsung tidak mempedulikan komen-komen negatif Luqman tadi. Dia dengar apa yang Luqman kata tapi selalunya dia lebih suka tidak mengambil peduli apa yang keluar dari mulut Luqman. Hanya dengan cara itu sahaja dia mampu bertahan dengan kata-kata sindiran Luqman sehingga sekarang.
Kau dengar tak apa yang aku cakap tadi?” tegur Luqman.
Sudahlah!” ujar Sarah sambil menolak Luqman ke tepi. “Jangan pedulikan apa yang dia kata. Dia tersalah ambil ubat.”
Kau tak rasa pipi aku tembam ke?” tanya Arissa.
Kau patut berbangga dapat pipi macam tu tau,” kata Sarah.
Kenapa?”
Sebab pipi kau ni buat orang nak cubit saja!” kata Sarah pantas mencubit pipi Arissa yang gebu itu.
Adui! Sakitlah! Sudahlah pipi aku gemuk, nanti tak normal pipi aku,” lantas dia menampar bahu Sarah, barulah Sarah melepaskan cubitan.

***


Kau perlukan rancangan yang teratur dan terbaik,” kata Luqman ketika mereka meluangkan masa yang ada sebelum kelas seterusnya bermula sejam lagi.
Entahlah… aku rasa macam tak yakin,” balas Nazwan yang mula rasa takut untuk menghadapi malam ini. Dia ada dua pilihan sekarang. Memujuk Natasya ke rumahnya malam ini untuk diperkenalkan kepada keluarganya terutama neneknya atau ikut cakap Natasya, lupakan hasratnya itu.
Pulak… sekarang siapa yang bermasalah ni?” soal Luqman.
Kau rasa apa yang akan berlaku kalau nenek jumpa Natasya?”
Nenek jumpa Natasya? Mmm…,” Luqman cuba memikirkan sebarang kemungkinan yang akan berlaku. “Tak…, aku tak boleh bayangkan,” katanya selepas lima minit mendiamkan diri berfikir.
Beritahu secara spesifik,” paksa Nazwan.
Okey… kau masih ingat lagi macam mana reaksi nenek bila dia dapat tahu aku dengan Sarah?” tanya Luqman.
Dia tak bercakap dengan aku selama sebulan.”
Ya!” kata Luqman sambil memetik jari. “Tapi nasib baik Sarah pandai ambil hati. Dan sekarang diorang berkawan baik.”
Itu sebab diorang ada minat yang sama. Big Bang,” balas Nazwan.
Jadi, suruh Natasya jadi peminat Big Bang untuk ambil hati nenek….”
Dalam mimpi,” balas Nazwan. “Ahh, aku tak tahu, mungkin aku patut lupakan niat aku nak bawa dia jumpa nenek.”
Atau kau bawa nenek jumpa dia,” kata Luqman. “Ya. Itu yang terbaik. Kau bawa nenek jumpa Natasya….”
Dan selepas tu tamatlah riwayat hubungan aku dengan Natasya. Bukan kau tak kenal nenek. Nenek lebih suka dengan orang yang berani berhadapan dengan dia. Kalau aku bawa nenek jumpa Natasya, dia akan anggap Natasya pengecut,” ujar Nazwan yang teramat kenal dengan perangai neneknya.
Dia memang pengecut pun,” kata Luqman selamba. Serentak itu Nazwan memandang dengan pandangan tajam. “Face it!”
Okey… aku tak nak bergaduh dengan kau disebabkan hal ni. Anggap aku tak pernah berbual dengan kau tentang ni,” ujar Nazwan melompat bangun dari duduknya. “Hari ni aku tak lunch. Aku gerak dulu.”
Baru kakinya hendak melangkah, Luqman lantas bersuara.
Sebenarnya, aku ada idea lain tapi aku tak pasti berjaya atau tak…”
Kalau kau berjaya, aku sanggup teman kau tengok konsert AKB48 walau di Jepun sekalipun,” ujar Nazwan masih mengharap ada keajaiban akan berlaku.
Okey! Aku pasti, rancangan aku ni akan berjaya! Percayalah. 100 peratus terbaik!” ujar Luqman dengan penuh yakin.
Nazwan tersenyum kecil. Kalau sebut nama AKB48, rancangan yang tak pasti berjaya pun akan dikata berjaya juga. Tahu sangat dengan perangai sepupunya itu.

***

Arissa menjenguk ke dalam kafeteria. Matanya tertumpu pada Zakri yang sudah pun sampai dan sedang menunggu kehadirannya di dalam sana. Dia tahu, dia sepatutnya berjumpa dengan Zakri petang itu selepas sembahyang jumaat habis, tetapi sekarang sudah hampir pukul 3.00 petang dan dia masih lagi berdiri di tepi pintu mengintip setiap pergerakan Zakri di dalam.
Pergilah jumpa dia. Kesian aku tengok dia tunggu kau sejak sejam tadi,” kata Natasya yang menemani di tepi.
Aku takutlah. Kau temankan aku ye,” kata Arissa.
Dia memang sudah kehilangan keberanian untuk berhadapan dengan Zakri. Ini semua Sarah punya pasal. Kalaulah Sarah tak bagi dia pakai baju kurung, mungkin sekarang dia sudah bergelak ketawa depan Zakri.
Arissa mengeluh.
Dia teringat kisah pagi tadi. Sewaktu dia tiba di kelas, semua orang di dalam kelas memandangnya semacam. Macam dia tidak berpakaian. Semua terlopong tengok perubahannya hari itu. Pakai baju kurung aje. Itu pun dah buat semua orang melopong. Kalau mereka semua pelik melihat dia memakai baju kurung, apatah lagi Zakri.
Ahh… aku tak boleh berfikir dengan waras. Aku nak balik rumah, nak tukar baju,” kata Arissa dengan nekad tetapi pantas dihalang oleh Natasya.
Balik sekarang? Kau gila? Zakri dah tunggu kau lama kat sana tu,” Natasya mula angin. Mana tidak angin kalau dia sekali terheret sama dalam masalah itu.
Seperti Zakri, dia juga sudah berdiri lama di tepi pintu kafeteria itu menemani Arissa. Kalau diikutkan hati memang dia abaikan permintaan Arissa tapi dalam masa yang sama dia kasihan dengan Arissa. Arissa seperti adiknya walaupun umur mereka sama.
Tapi…,” Arissa mula buat muka.
Bilalah kau nak matang?” keluh Natasya. “Aku harap Sarah ada kat sini dan hentikan semua ni.”
Ah… panjang umur Sarah,” kata Arissa tiba-tiba bertukar ceria.
Natasya berpaling. Dia tersenyum lega. Akhirnya, Sarah yang hilang tiba-tiba tadi muncul juga akhirnya. Kemunculan Sarah buat dunianya kembali selamat. Moga-moga Sarah dapat selesaikan masalah Arissa dan dia boleh balik dengan aman.
Sarah…,” Arissa segera mendapatkan Sarah tetapi Sarah tidak mengendahkan Arissa dan terus berjalan ke arah Natasya.
Natasya, aku perlukan kau hari ni. Ini antara hidup dan terus hidup aku,” kata Sarah dengan serius.
Hah? Kenapa?” tanya Natasya yang blur dengan apa yang berlaku. Sepatutnya dia yang meminta pertolongan Sarah sekarang bukan Sarah yang meminta pertolongan dia.
Aku terangkan nanti. Jom, selamatkan masa depan aku,” kata Sarah sambil menarik Natasya berlalu dari situ, tetapi Arissa pantas menghalang dua kawannya berlalu dari situ.
Habis, aku ni macam mana? Zakri dah tunggu kat dalam tu… aku takut… kau kena tolong aku dulu,” desak Arissa yang sudah kebuntuan.
Oh ya, aku terlupa,” ujar Sarah dan kembali menghampiri Arissa. “Bagi kunci kereta kau,” minta Sarah.
Bagaikan disihir, Arissa menghulurkan kunci keretanya kepada Sarah.
Terima kasih dan semoga berjaya,” ujar Sarah dan terus berlalu mendapatkan Natasya semula.
Hey!” jerit Arissa yang tidak menyangka Sarah dan Natasya akan meninggalkan dia seorang diri di situ. “Habislah… macam mana ni?”
Arissa?” sapa satu suara di belakangnya.
Alamak,” ujar Arissa perlahan. Dia kenal dengan suara itu. Tidak perlu berpaling dan tengok gerangan orangnya kerana dia pasti Zakri yang menegurnya.
Arissa?” panggil Zakri lagi.
Arissa mula menggelabah. Dia tidak tahu apa yang patut dibuatnya. Kalau Zakri dapat tahu, dia telah tiba lama tetapi sengaja tidak mahu munculkan diri, entah apa reaksi lelaki itu nanti. Tambah lagi, kalau Zakri nampak dia pakai baju kurung... lagilah dia takut apa tanggapan Zakri nanti.
Idea! Idea! Datanglah cepat!
Arissa, saya panggil awak,” kata Zakri.
Nada suaranya agak lain. Macam cuba menahan marah pun ada. Arissa menghela nafas panjang. Nampaknya, dia tidak ada cara lain selain berhadapan dengan Zakri.
Arissa? Saya rasa saya pernah dengar nama tu. Ya... saya kenal orang tu tapi saya bukan Arissa. Arissa yang awak kenal... mmm... dia takut nak jumpa awak sekarang dan saya bukan Arissa sebab Arissa yang sebenar takkan pakai baju kurung pergi kuliah,” ujar Arissa dengan pantas sampai dia sendiri tidak tahu apa yang dia sedang katakan itu. Semuanya kerana gemuruh dan takut punya pasal.
Hah?” Zakri kelihatan tidak faham dengan apa yang berlaku.
Err... anggap saja awak tak kenal saya. Okey, saya chow dulu!” ujar Arissa yang kelam-kabut. Apa yang pasti, dia mesti pergi dari situ sebelum dia merepek yang bukan-bukan.
Awak… nampak cantik hari ni,” kata Zakri separuh menjerit.
Terus langkah Arissa kaku.
Betul?” hati Arissa terus melonjak ceria. “Awak tak rasa pelik bila saya pakai baju kurung?” tanya Arissa inginkan kepastian lagi.
Awak lebih cantik kalau pakai baju kurung,” puji Zakri sambil mengukirkan senyuman.
Oh... sweetnya... Terima kasih,” kata Arissa serentak membalas senyuman Zakri.

4 si charming:

  1. Suha berkata...:

    sweet je ^^ haha tak sbr nk tau psl plan luqman tuh ~.^' hee

  1. Unknown berkata...:

    gedik arissa nih. huhu.. tp comel! ^_^

  1. nuhara berkata...:

    sape hero dan sape heroin??

  1. Maira Hawani berkata...:

    Ohh Arissa :D hahaha ..

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages