2: INIKAH MALANGNYA?

“KENAPA kau memandai-mandai letak nama aku?” Nurul benar-benar naik angin dengan kenyataan Sofea tadi. “Kan aku dah kata, aku benci dengan bola sepak, bukan setakat bola sepak je tapi semua jenis bola aku benci,” beg sekolahnya di campak di atas meja. Kiranya mengamuk la tu. Tapi ia sedikit pun tidak membuatkan Sofea takut. Perangai Nurul memang begitu. Nanti eloklah tu.

“Aku cuma nak tolong kau cari siapa yang selamatkan kau tu. Takkanlah kau tak teringin cari siapa yang selamatkan kau? Aku tahu kau tu ego dan keras kepala tapi hakikatnya salah seorang dari pasukan rasmi bola sepak dah selamatkan nyawa kau. Takkanlah kau nak lupakan macam tu saja?” Sofea membalas.

“Kau nak suruh aku buat apa kalau aku jumpa orang yang selamatkan aku? Kau nak aku bagi duit beribu-ribu kepadanya tanda terima kasih sebab selamatkan aku ataupun cium jari kaki dia untuk balas hati budi dia?” tanya Nurul dengan nada menyindir. Dia masih lagi tidak puas hati dengan tindakan Sofea yang seperti sengaja hendak cari gaduh dengannya.

“Tak delah sampai macam tu. Okeylah, nampaknya aku terlalu memaksa kau. Terpulanglah pada kau nak datang temu duga tu atau tak. Yang penting aku tak rugi,” Sofea kembali ke tempatnya di belakang tempat duduk Nurul.

“Fine! Aku akan pergi tapi jangan haraplah aku nak buat betul-betul,” akhirnya dia bersetuju. Jauh dari sudut hatinya dia menyokong kata-kata Sofea. Ada seseorang sudah menyelamatkannya. Kalau tak reti ucapkan terima kasih pun, sekurang-kurangnya kenalilah orang yang selamatkan nyawanya.

Dan orang tu pun satu! Dah selamatkan nyawa, tak reti-reti nak munculkan diri ke? Bukan ke lagi senang kalau datang berdiri depan aku dan cakap ‘Sayalah yang selamatkan awak dari kena langgar semalam.’ Finish! Habis cerita. Tak delah nak panjangkan cerita sampai 100 muka surat semata-mata nak cari Prince Charming!

Nurul tersentak. Dia mengedut dahi.

“Apa aku sebut tadi?” tanyanya pada diri sendiri. Dia berpaling ke belakang merenung Sofea yang menyusuh buku-bukunya di bawah meja. “Apa aku sebut tadi?” tanyanya kepada Sofea pula.

Sofea mengedut dahi. Entah apahal pula yang tak kena dengan kawannya ini. Tu mesti mengelamun lagi. Pelik betullah. Suka sangat mengelamun.

“Manalah aku tahu,” balas Sofea malas hendak ambil pusing.

Nurul kembali memalingkan badannya ke hadapan. Suasana kelas yang bising macam pasar borong Selayang langsung tidak di endahkannya.

“Aku sebut Prince Charming ke?” dia menggaru kepalanya miskinpun dia memakai tudung. Nurul pasti, dia benar-benar sebut Prince Charming. Tiba-tiba memorinya mengimbas kembali kejadian petang semalam. Masa tu dia sudah terselamat dari di langgar kereta. Akibat berkejut teramat sangat, dia menjadi pitam dan sebelum pitam, dia ada menyebut sesuatu…

“Prince Charming…”

Nurul menutup mulutnya dengan kedua tangannya. Sah! Dia sebut Prince Charming! Dan sah juga, dia sudah terkena sumpahan Prince Charming tapi bukan dalam bentuk malang tapi dalam bentuk angau!

“Okey, nanti aku akan soal siasat siapa yang sihir aku jadi angau ni!”

MUHAMMAD SHAH REZZA berjalan dengan pantas melangkah masuk ke dalam kelas. Tangan kanannya menggengam erat sehelai kertas yang di cabut dari papan kenyataan. Segera dia berlalu menghampiri seorang pelajar lelaki yang sibuk membaca komik yang selalu di seludup masuk ke sekolah. Dia sempat menjeling ke arah seorang pelajar lelaki yang sedang nyenyak tidur berbantalkan lengannya.

“Siapa yang buat notis ni?” sapa Rezza kepada pelajar lelaki yang terkenal dengan sikap pendiamnya.

Akmal Fikri atau lebih mesra di panggil Fiq mengambil notis yang dari tangan Rezza. Selepas membacanya, dia sendiri tersenyum kelucuan. Kemudian dia menggeleng dan memberi kepada Farizat yang baru sampai menghampiri mereka. Lelaki tinggi lampai yang terkenal dengan tektik pertahanan di padang turut ketawa kelucuan.

“Memang nak cari nahaslah siapa yang buat tu,” ujar Rezza meletak beg galasnya di tempat duduknya di sebelah pelajar lelaki yang masih lagi nyenyak tidur.

“Kau agak siapa yang buat?” tanya Farizat yang masih lagi ketawa.

“Hai guys!” sapa Najmi datang terus menongkat sukunya di bahu Rezza. Seperti kebiasaan, kalau dia datang tanpa senyuman ceria memang tak sah. “Aik? Kenapa dengan korang semua ni? Apa yang lucu semacam?” pelik melihat mereka berdua cuba mengawal ketawa mereka.

Farizat menghulurkan notis kepada Najmi. Belum sempat Najmi membaca notis tersebut dia dapat rasakan udara di persekitarannya berbahang. Dengan perlahan dia menjeling Kapten Rezza di sebelahnya.

“Okey apa kalau ada pembantu perempuan,” ujar Najmi. “Bukan ke ada satu pepatah kata… ‘Kejayaan seseorang lelaki ada seorang wanita di belakangnya’… err… lebih kurang macam tulah. So, apa kata kalau kita ambil seorang perempuan sebagai pengurus,” tambahnya lagi cuba menyakinkan kawan-kawannya terutama sekali Rezza yang sejak dulu lagi tidak minat di kaitkan dengan mana-mana perempuan. Lebih kurang anti perempuan jugalah.

Rezza masih tenung Najmi di sebelahnya. Dia tahu sangat dengan perangai Najmi yang juga merupakan Romeo Kelas Satu di sekolah mereka. Cakap saja Najmi, semua orang kenal dengan perangainya yang suka berpoya-poya dengan ramai perempuan. Yang peliknya, pelajar perempuan yang dah tahu perangai Najmi masih tergila-gilakan lelaki yang tiga suku setengah ini.

Nak kata handsome, Pak Mail, tukang kebun sekolah lagi handsome, nak kata anak orang kaya tak juga. Ayah Najmi hanyalah pekerja kerajaan tapi entah kenapa ramai perempuan sangkut tapi mungkin Najmi seorang yang periang dan suka berlawak. Mungkin sebab itulah ramai yang sangkut.

“Terima kasih sebab datangkan bala yang tak di jemput. Petang ni lari 20 pusingan,” ujar Rezza selamba.

“20 pusingan?!” Najmi hampir menjerit. Farizat sudah tidak dapat menahan ketawanya. Entah apa yang lucu dia pun tak tahu tapi dia benar-benar lucu melihat perangai Najmi yang secara spontan boleh membuat orang lain ketawa. Fiq di sebelahnya sudah terhenjut-henjut bahu.

Huh, ketawalah!

Rezza hanya sekadar menggeleng. Dia kemudiannya menjeling pandang Nazrul di sebelahnya yang masih lagi tidur dengan nyenyak.

“Ni lagi satu, kalau tak tengok dia tidur kat kelas sehari memang tak sah,” keluhnya lemah. “Wei, bangunlah!” dia mengejutkan Nazrul, kawan karibnya itu. Selepas di panggil banyak kali barulah Nazrul bangun.

“Aaaaa…,” Nazrul mengeliat malas sambil menguap malas sehinggakan satu kelas mendengar dia menguap tapi langsung tidak di endahkan oleh pelajar lain. Perkara tu memang dah biasa berlaku tiap-tiap pagi.

Mereka siap menggelarkan Nazrul – The Sleeping Handsome kerana Nazrul memang suka tidur tidak kira di mana jua. Dalam kelas, luar kelas, kantin, makmal, bengkel mahupun di tapak perhimpunan pun dia boleh tidur. Pendek kata hobi Nazrul adalah tidur.

“Rezza, aku mimpi tadi…,” Nazrul bersuara dalam mamai.

“Kau mimpi jumpa Puteri Kayangan ke?”

“Tak,” jawabnya pendek.

“Habis tu?”

Nazrul memandang Rezza dengan mata mengantuknya.

“Aku mimpi kau cium aku…,” sekali kepalanya kena hantuk dengan meja tulisnya. Nazrul mengerang kesakitan sambil mengurut dahinya yang terhantuk. Nasib baiklah kepalanya jenis kepala batu. Tak delah sakit sangat tapi sakitlah juga. Serta merta matanya yang kuyu tadi, mulai segar.

“Okey, thanks sebab cium aku,” dia kembali segar. Mereka berpandangan kemudian masing-masing ketawa kelucuan.

“Sakit tak?”

“Sakitlah mangkuk, bergegar otak aku kejap,” Nazrul mengeliat membetulkan otot-ototnya yang rasanya turut terlena tadi.

“Haii.. kalau macam nilah kena kejutkan kau, aku rasa kalau kau tak bangun jugak, aku bagi bom saja,” Rezza sekadar menggeleng. Salah satu tugasnya setiap hari untuk bangunkan manusia seperti Nazrul dari tidur. Memang susah. Memang payah. Kalau tak di ketuk, ditumbuk ataupun di sepak, takkan bangun manusia aneh di sebelahnya itu.

“Kerja matematik dah buat ke belum?” tanya Rezza.

“Dah,” jawabnya pendek.

“Aik? Ada peningkatan. Selalunya kau mana ingat nak buat kerja sekolah. Pelupa tahap gaban.”

“Tu Cikgu Midah punya pasallah,” jawabnya mengurut tengkuknya yang terasa lenguh lagi.

“Kenapa?”

“Yelah. Entah apa sihir dia bagi kat aku sampai aku sedap-sedap mimpi makan ayam golek dia boleh datang ganggu mimpi aku, suruh siapkan kerja rumahnya. Apa lagi, terus terjagalah aku. Terus aku buat kerja sekolah yang dia bagi,” kedengaran keluhan lemah dari Nazrul. Rezza di sebelahnya sekadar dapat menahan ketawa.

Nazrul menjeling tajam. Hah, gelaklah!

“Tapi aku tak bawak buku matematik tu hari ni,” jawab Nazrul selamba. Rezza di sebelahnya terus berhenti ketawa. “Lupa lagi,” kali ini Nazrul pula ketawa.

Gila!



“GILA!” Farizat terduduk. Dia tidak tahu hendak memberi reaksi apa. Nak ketawa, kapten Rezza pula bermasam muka. Nak menangis, serba-salah juga.

“Biar betul,” Zaki selaku Bendahari Kelab sekadar menggeleng tidak percaya.

“Siapa punya kerja ni?” Ehsan menggaru kepalanya. Masing-masing memandang Najmi yang tersenyum-senyum kambing mengintai sesuatu di luar. Semua dah boleh agak. Fiq kemudiannya melangkah masuk ke dalam dewan dengan tergesa-gesa.

“Ada upacara apa ni?” tanya Fiq kepada Rezza yang dari tadi duduk mendiamkan diri merenung kertas di hadapannya. Dia kemudiannya menghulur beberapa helai kertas kepada Fiq yang baru sampai itu.

Fiq melihat kertas tersebut dan di selak satu demi satu. Hampir sesak nafas dia apabila melihat angka terakhir pada helaian kertas tersebut. Beg galas yang di pegangnya terlepas dari tangannya.

“400 orang datang temu duga?!!” dia hampir menjerit. Semua tidak boleh berkata apa-apa lagi. “Najmi!” Najmi yang sedang usha awek-awek cantik yang beratur di luar sana tersentak tiba-tiba. ‘Alamak.’ “Aku tak kira, kau kena lari 400 pusingan hari ni juga!” ujar Fiq yang mula naik darah.

‘Mampus.’ Dia menggeleng.

“The Perfect Guy dah marah,” Zaki sedaya upaya menahan gelaknya. Fiq memang terkenal dengan gelaran The Perfect Guy disebabkan Fiq memang nampak sempurna di mata semua orang termasuklah semua ahli-ahli Kelab Bola Sepak yang mengenalinya. Selain perangainya yang cool, dia juga satu-satunya lelaki yang bersopan santun apabila bercakap ataupun melakukan sesuatu kerja (tapi bukan nyah!).

Anak seorang ahli politik yang agak terkenal di dewan Parlimen tapi statusnya hanya di ketahui ahli-ahli rasmi sahaja. Seorang yang low- profile. Mudah didampingi tidak kira lelaki ataupun perempuan. Aktif dalam aktiviti sekolah terutama sekali Bola Sepak dan Kelab Muzik. Pendek kata, Fiq memang sempurna dari segala aspek kecuali CINTA. Itu memang GAGAL!

“So macam mana ni?” tanya Zaki kebuntuan. 400 orang bukannya sikit dan mungkin sampai pagi esok pun takkan habis mereka menemu bual seorang demi seorang. Hendak cari pengurus bukannya boleh pakai tunjuk saja apatah lagi pengurus kena handle bukan saja ahli rasmi tapi ahli biasa yang seramai 200 orang. Sudahlah yang datang temu duga semuanya perempuan. Dan kalau lelaki mereka ni terdiri daripada kumpulan nyah!

“Nak buat pilihan?” tanya Farizat. “Tapi tak boleh juga, kita tak tahu yang diorang ni datang memang nak join Kelab Bola Sepak ataupun nak menggatal,” dia menarik nafas lemah. Mesti sakit kepala menemu duga pelajar-pelajar perempuan itu nanti.

Masing-masing memandang Rezza yang masih senyap berfikir. Hati dan perasaan mereka yang menunggu diluar sana perlu dijaga demi nama baik Kelab Bola Sepak. Dia tidak mahu nama baik Kelab tercalar sebab hal sebegini. Dia kemudiannya menjeling Nazrul yang sedap tidur di sebelahnya. Kemudian dia tersenyum.

“Kenapa?” Fiq hairan. Kemudian masing-masing menjeling Nazrul yang sedang tidur nyenyak di sebelah Rezza dan serentak dengan itu masing-masing tersenyum syaitan.


MULUT Nurul ternganga hampir dua minit apabila sampai saja ke dewan sukan, dia melihat sekumpulan pelajar perempuan dan sekumpulan lelaki nyah beratur panjang dari pintu masuk hinggalah ke kantin. Adalah lebih kurang satu kilometer kalau di ukur. Dan dia beratur di hujung sekali. Orang terakhir.

“Kalau aku tahu…,” Nurul hanya sekadar menggeleng. Dia tidak sangka begitu ramai yang bercita-cita mahu jadi pengurus Kelab Bola Sepak untuk menggatal. Apatah lagi kebanyakkan yang datang temu duga spesies minah cinta. Kalau bukan minah cinta pun minah angau. Gedik. Siap bermekap lagi.

“Memang malang betul,” Nurul sekali lagi mengeluh lemah.

Hampir dua jam berlalu temu duga berjalan dengan lancar. Malah lagi lancar. Baru beberapa minit seorang pelajar masuk untuk di temu duga tapi keluar tidak sampai 5 minit. Pendek kata mereka hanya memerlukan 5 minit ataupun kurang untuk menemu duga ke semua pelajar yang datang. Tapi yang peliknya, semua yang masuk dengan muka ceria tapi keluar dengan muka masam. Tidak puas hati.

Lama dia tunggu akhirnya sampai juga gilirannya. Apabila dia melangkah masuk, semua mata tertumpu ke arahnya dengan mata kuyu mereka. Nampak sangat mereka penat menemu duga hampir 400 orang.

Satu persatu wajah-wajah yang menyerikan Kelab Bola Sepak dipandangnya. Rezza, selaku kapten pasukan masih tetap maintain duduk tegak. Begitu juga dengan Fiq yang terkenal dengan sifat pendiamnya. Zaki dan Farizat sudah menguap beberapa kali. Hendak saja dia pelangkung budak dua ekor itu. Dan matanya tertumpu pada seorang pelajar lelaki yang sedang asyik tidur di sebelah Rezza.

‘Itu memang dah melampau! Aku penat-penat tunggu kat luar tu sampai sakit kaki berdiri, dia boleh tidur pula!’ darah Nurul mulai menyirap tapi sebaik sahaja dia memandang Fiq yang menghadiahkan senyuman manis, entah kenapa hatinya cair.

“Nurul Izzati,” Rezza mula berbicara memandang gadis yang duduk di hadapannya itu. “Tak sangka, kita boleh berjumpa lagi,” tambahnya. Dahi Nurul berkedut. Rezza bercakap sesuatu yang dia tidak faham maksudnya. ‘Berjumpa sekali lagi?’. Kepalanya ligat berfikir.

‘Takkan Rezza tu…’

“Kita pernah berjumpa ke?” tanya Nurul pula. Kalaulah Rezza yang selamatkannya… jadi, tak sia-sialah dia tunggu lama-lama. Selepas ni, kalau Rezza mengaku, dia akan mengucapkan terima kasih dan pergi meninggalkan dewan. Habis cerita!

“Oppss…, kalau nak tanya soal peribadi sila buat selepas waktu ini ye,” Zaki bersuara. Serentak itu Nurul menjeling tajam. Kacau daun betul!

“Okey,” Rezza menarik nafas lemah. Membetulkan kedudukannya. “Nurul Izzati…”

“Panggil Nurul saja,” ujar Nurul.

Rezza mengangguk.

“Minta maaf sebab tunggu lama. Kami pun tak sangka ramai pula yang datang untuk temu duga,” ujar Rezza dengan nada sopan. “Kami selaku AJK tertinggi Kelab Bola Sepak hendak mengucapkan selamat datang pada temu duga hari ni dan seperti mana yang Nurul tahu kami hendak mencari seseorang yang berkebolehan untuk mengurus Kelab Bola Sepak. Apa yang kami cari dari seorang pengurus adalah semangat yang kuat dan tegas sebab semua ahli-ahli kami ni banyak ragam dan tugas pengurus adalah memastikan segalanya teratur. Tak kira dari segi peralatan padang hinggalah ke kesihatan setiap ahli Kelab. Bunyi macam best tapi percayalah diorang ni memang memeningkan. Jadi, kami dah buat keputusan, sesiapa dapat lepasi ujian getir ni, kami akan melantiknya sebagai pengurus. Jadi, awak dah sedia?” tanya Rezza.

“Dah tapi sebelum tu, aku cuma nak kata aku tak minat dengan bola sepak,” ujar Nurul selamba. Semua mata memandangnya.

“Kami tahu,” Farizat mencelah. “Semua yang datang sini untuk temu duga bukannya minat dengan bola sepak.”

Nurul menghela nafas. Nampaknya tanggapannya salah sama sekali tentang ahli Kelab Bola Sepak. Dia ingatkan mereka semua jenis yang suka berpoya-poya dengan peminat tapi dari cara mereka bercakap, nampak mereka semua matang dari usia mereka masing-masing.

“So, ujiannya?” Nurul bertanya.

Masing-masing tersenyum. Kemudian menjeling Nazrul yang sedap berdengkur lagi. “Senang saja, kejutkan putera katak ni bangun dulu,” ujar Rezza tersengih.

“Hah?!” hampir tercabut anak tekak Nurul. “Apa sangkut paut kejutkan dia ni bangun dengan jadi pengurus Kelab?” tanya Nurul yang rasa perkara itu tidak logik akal.

“Saya percaya awak takkan faham,” Fiq mula berbicara dengan nada mesra. Hampir cair hati Nurul apabila pertama kali mendengar suara Fiq. “… tapi saya percaya kalau awak terpilih jadi pengurus pasukan, awak akan faham kenapa,” dia tersenyum. “Cubalah, nanti awak akan menemui jawapannya.”

Nurul tidak tahu apa yang harus di buatnya. Kalau diikutkan hati, hendak saja dia mengangkat kaki keluar dari situ tapi senyuman Fiq membuatkan dia bagaikan hilang kawalan. Sedar sedar saja, dia sudah berada di hadapan Nazrul yang sedang tidur nyenyak itu.

“Err…,” dia janggal apabila mendapati semua mata memandangnya. Entahlah. Sama ada dia dipermainkan ataupun ia sebahagian daripada ujian yang mereka katakan tadi, dia sendiri pun tidak pasti. Yang pastinya, dia sudah terperangkap dan mahu tak mahu, dia harus teruskan juga.
“Hey, bangunlah,” di cuit sedikit bahu Nazrul. Langsung tiada reaksi. Nurul menggaru kepala apabila hampir banyak kali memanggil Nazrul bangun. Pelik. Tidur ke mati ni? Dia memandang mereka yang lain yang masih menunggu. “Hey, bangunlah!!” sakit tekaknya menjerit sambil menggoyang bahu Nazrul. Nasib baiklah Nazrul memakai sweater kalau tidak jangan haraplah dia hendak memegang bahu lelaki yang tidak di kenali.

Sebentar kemudian Nazrul mula menunjukkan dia sudah sedar. Kepalanya di angkat mamai. Matanya terbuka sedikit. Jelas sekali kemerahan mungkin kerana mengantuk. Nurul menarik nafas lega. Akhirnya bangun juga budak ni.

“Hai darling, cium sikit,” ujar Nazrul yang masih mamai.

Dengar saja Nazrul cakap begitu, darahnya mula naik mendadak. Tangan kanannya di genggam kuat. “Tak guna!!” sepantas kilat dia menghayunkan penumbuk ke muka Nazrul sehingga Nazrul tersungkur ke lantai. Dadanya berombak. Geram. Panas. Marah. Rasa di perbodohkan. Semuanya ada.

Kemudian dia memandang Rezza dan yang lain. Mereka semua masih berlagak selamba. Seolah-olah tidak nampak yang dia sudah membelasah Nazrul sehingga tersungkur. Tiba-tiba saja dia diselubungi perasaan pelik.

“Aaaa…,” Nazrul yang tersungkur ke lantai bangun sambil mengeliat membetulkan otot-ototnya. Pipinya kena tumbuk tadi di gosok-gosok sedikit sebelum duduk di tempatnya semula. Dia tersengih-sengih. “Okey, jom mula temu duga,” ujarnya selamba.

Nurul mengedut dahi. Spesies apa budak ni? Takkan dia tak tahu yang dia baru saja kena tumbuk? Lepas tu boleh kata nak mulakan temu duga? Dia tak tahu ke aku ni orang terakhir yang ditemu duga? Nurul menggaru tengkuknya. Pelik.

“Err… kenapa?” tanya Nazrul pelik apabila semua kawan-kawannya mendiamkan diri. Dia tertinggal keretapi lagikah?

“Welcome to Football Club, Nurul Izzati,” ucap Rezza mengukirkan senyuman lega. Akhirnya dia jumpa juga orangnya…

Nurul pula, tidak tahu bagaimana hendak kata apa. Benarkah apa yang Rezza cakap tadi? Welcome to Football Club? Adakah itu maknanya dia sekarang di lantik sebagai Pengurus Kelab Bola Sepak yang baru? Tapi kenapa?

‘Inikah malangnya?’ detisnya lemah.

4 si charming:

  1. Ai berkata...:

    memang best giler la..
    x sabo nk tunggu n3 baru..
    bessstttttttt
    ;)

  1. adek berkata...:

    best gle2...
    smbg lg tau..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    best siot cite ni..skt perut gelak kt ofis..cpt jd kn buku yee..nk beli ni

  1. Tanpa Nama berkata...:

    tlong terbitkan prince charming ke-2 :))

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages