Romeo yang Hilang: Bab 3

Pesan Hikayat,Yang sempurna itu pasti ada cacat celanya.

PAK CIK ni kalau duduk rumah seorang diri, macam tongkang pecah dibuatnya. Aku baru tinggalkan rumah ni sebulan. Kalau setahun, agaknya rumah ini dah jadi tempat pelupusan sampah!”
Apy Elina membebel lagi. Sebenarnya dari semalam lagi dia ingin membebel. Mana tidaknya, baru sahaja dia masuk ke dalam rumah, dia sudah bersin banyak kali. Bila bersin sekali dua, tak mengapa lagi. Tapi kalau lebih sepuluh kali bersin. Itu maknanya ada sesuatu yang tak kena dengan rumah ini. Habuk!
Habuk yang kecil pun dia dapat kesan, apatah lagi sampah sarap yang berselerak di ruang tamu. Itu mesti bekas yang ditinggalkan suaminya dan kawan-kawan suaminya yang layan bola beberapa minggu yang lalu. Sampah sisa makanan ditinggalkan begitu sahaja. Baunya juga memang menusuk hidung!

Namun, disebabkan kepenatan, dia tutup mata sahaja melihat keadaan rumah yang berterabur. Buka bilik cucian, baunya Ya Allah, dia hampir termuntah. Banyak pakaian berlonggok tak terbasuh di dalam. Itu baru baju, belum lagi pinggan mangguk di singki atau sampah sarap yang ditinggalkan di ruang tamu. Sekali dia membersihkan rumah, sebanyak empat beg plastik sampah yang dia dapat kumpul.
Jika dahulu, dia sering ditegur oleh emaknya kerana asyik menternak habuk di dalam bilik. Tapi sekarang, dia sudah menjadi anti habuk. Nampak habuk sikit, sudah mampu buat dia stress. Dan bila sudah tinggalkan rumah itu selama sebulan, sudah pastilah habuk banyak berkumpul. Adam memang takkan ada masa untuk mengemas rumah ini. Apatah lagi suaminya itu sering outstation. Rumah ini umpama hotel dibuatnya.
Tengok, apa yang saya kumpul ni. Empat plastik sampah tau!” ujar Apy Elina sambil menunjukkan empat buah plastik sampah yang berlonggok di tepi ketika Adam melalui depannya.
Adam hanya tersengih sambil pandang semua plastik sampah itu. Kemudian dia berlalu ruang tamu dan buka televisyen tanpa pedulikan isterinya yang masih lagi membebel. Barulah terasa meriah duduk rumah. Kalau tak, sebelum ini dia hanya dengar bunyi cengkerik. Bosan!
Siapa suruh outstation sampai sebulan tak balik rumah,” balas Adam.
Puas hati! Walaupun dia juga yang benarkan isterinya pergi tapi dia tetap tak nak mengaku kalah.
Dengar sahaja jawapan suaminya, Apy Elina tak jadi marah. Bibirnya juga laju saja senyum. Sejuk hatinya. Itu jawapan malu-malu kucing namanya. Tapi kucing ini, kucing jantan. Kena ada ego dan maco sikit.
Tanpa berlengah lagi, dia segera mengambil plastik-plastik sampah itu dan buangnya di tong sampah di belakang rumah. Ketika dia hendak masuk semula ke dalam rumah, dia terpandang stor kecil yang terletak di sudut hujung sebelah pintu pagar belakang.
Entah kenapa hatinya meronta-ronta untuk mengemas stor itu. Tambahan pula sepanjang dia tinggal di rumah itu, dia tidak pernah masuk ke dalam stor itu. Dia juga tidak pernah melihat barang-barang di dalamnya. Pernah juga dia bertanya pada suaminya. Menurut Adam, stor itu mengandungi barang-barang lama yang tidak berguna lagi.
Kenapa tak buang saja?” tanyanya suatu ketika dahulu.
Malas. Kalau awak rajin, awak buanglah,” jawab Adam selamba.
Bila dia dengar jawapan suaminya itu, dia juga sama dijangkiti penyakit malas. Kalau barang-barang dia tak mengapalah. Boleh dia buang semuanya tanpa berfikir tapi masalahnya itu barang-barang suaminya. Menurut Adam, ada juga barang Mellissa.
Oleh itu, dia tak berani hendak hendak membuangnya. Tapi, kalau tengok tak apa kot! Manalah tahu ada lagi rahsia suaminya yang dia tak tahu.
Tanpa berlengah lagi, dia menghampiri pintu stor itu dan pulas tombol pintu itu. Tak berkunci! Nampak sangat yang barang-barang di dalam stor itu tak berharga. Pencuri pun mesti akan fikir dua tiga kali untuk curi barang di dalam ini.
Krekk...
Bunyi pintu tatkala dibuka. Belum sempat dia hendak memerhati keadaan di dalam, berlumba-lumba habuk berterbangan keluar sekali gus membuatkannya bersin beberapa kali. Nampak sangat yang stor itu sudah lama tidak diusik orang.
Nasib baik dia ada simpan penutup mulut di dalam poketnya yang digunakannya ketika membersihkan rumah tadi. Setelah menutup mulut dan hidungnya, barulah dia masuk ke dalam.
Dia memandang sekeliling. Di dalamnya penuh dengan kotak-kotak dan barang-barang lama yang sudah tidak digunakan. Seperti kipas, monitor komputer yang besar kedabak, kerusi yang hampir dan juga kasut-kasut lama. Itu mesti kasut Mellissa. Takkanlah Adam hendak pakai kasut perempuan.
Tanpa berlengah lagi dia segera mencapai satu kotak dan terus dibuka kotak itu. Seperti yang Adam kata, kebanyakannya barang-barang lama yang sudah tidak berfungsi lagi seperti permainan video yang popular suatu masa dulu, pen, pensil dan barang-barang alat tulis. Mungkin itu alat tulis zaman sekolah suaminya dulu.
Habis kotak itu diperiksa, dia mencapai satu lagi kotak. Kotak kali ini dipenuhi novel-novel Inggeris. Nama Mellissa kelihatan tertulis pada helaian pertama semua novel itu. Tahulah dia yang semua novel itu milik Melissa.
Satu persatu kotak diselongkar. Semuanya barang-barang nostalgia Adam semasa zaman persekolahan dahulu. Dia jumpa kasut sekolah, baju sekolah, piala, pingat dan macam-macam lagi. Kotak seterusnya menarik perhatiannya.
Kotak yang penuh dengan album gambar. Sambil duduk, dia membelek satu demi satu album gambar tersebut. Kebanyakannya gambar Adam dan Mellissa. Tersenyum dia melihat mereka berdua yang begitu rapat.
Ini baru pertama kali dia melihat wajah suaminya ketika zaman sekolah. Huh, handsome juga! Patutlah Mellissa pernah kata. Adam memang ramai peminat semasa di sekolah. Perempuan mana yang tak tertahan tengok muka baby face dia itu.
Satu demi satu album gambar dilihatnya. Ada satu album tu, banyak dengan gambar-gambar pemandangan. Melalui gambar-gambar itu dia sudah tahu, sama ada Adam atau Mellissa, salah seorangnya pasti gemar menangkap gambar pemandangan.
Tiba kedua album terakhir, gambar-gambar dalam itu menarik perhatiannya. Apa lagi kalau bukan gambar-gambar suasana pertandingan bola keranjang. Melalui posisi gambar itu, dia tahu Adam pasti duduk di kerusi penonton untuk menangkap gambar itu. Selak dan selak. Semakin di selak semakin berkerut dahinya.
Ini... masa ni...” dia cuba meneliti gambar yang pudar itu.
Dalam masa yang sama jantungnya berdegup kencang. Memang tidak salah lagi. Lelaki dalam gambar itu adalah arwah Daniel!
Ya. Dia masih ingat lagi. Itulah perlawanan yang paling bersejarah dalam hidupnya sebelum Daniel mengambil keputusan untuk berhenti bermain bola keranjang. Itu adalah perlawanan terakhir Daniel!
Tapi, macam mana pula Alex ada gambar ini?
Apy Elina selak lagi. Daniel. Daniel dan Daniel! Semua gambar Daniel. Daniel sedang beraksi. Daniel sedang menjaringkan gol. Daniel sedang merampas bola. Apa semua ni? Apa hubungan Adam dengan Daniel?
Bermacam-macam soalan yang timbul di fikirannya sekarang. Dia cuba ingat kembali saat Adam dan Daniel bertemu buat pertama kali dahulu. Mereka berdua memang tidak sebulu. Adam baran seperti biasa dan Daniel pula cool sahaja. Langsung tidak menunjukkan mereka pernah berjumpa sebelum ini.
Ah, tak guna meneka lagi. Lebih baik tanya pak cik tu!” ujar Apy Elina sudah berserabut memikirkan hal itu. Baru dia hendak bangun tiba-tiba matanya terpandang album gambar terakhir dalam kotak itu.
Hatinya meronta-ronta suruh membuka album gambar itu. Tanpa berlengah lagi dia segera mengambilnya. Dengan jantung yang berdebar-debar, dia membuka album gambar tersebut.
Apa semua ni?” Sekali lagi Apy Elina terkejut besar apabila melihat gambar-gambarnya ketika remaja memenuhi album gambar itu.


MANA dapat ni?” tanya Adam sambil berkerut-kerut dahinya melihat satu demi satu gambar dalam album itu. Dia langsung tak tahu menahu tentang album gambar itu.
Dalam stor awaklah. Dalam tu semuanya barang-barang lama awak, bukan,” jawab Apy Elina. Dia yang inginkan jawapan, dia pula disoal oleh suaminya. Macam dia yang meletakkan barang-barang itu di dalam stor pula.
Adam mengangkat bahu. Pada mulanya dia nampak terkejut dengan gambar-gambar itu tapi sekarang dia nampak tak endah. Macam tak ada apa yang pelik dengan penemuan gambar itu.
Macam mana awak ada gambar-gambar arwah Daniel dan saya masa remaja? Serius ke awak tak kenal saya dan Daniel awal-awal lagi?” tanya Apy Elina tak sanggup nak tunggu lagi. Dia mahukan penjelasan segera.
Entah,” jawab Adam sepatah.
Entah? Awak boleh jawab entah?” balas Apy Elina dengan gaya suaminya yang acuh tak acuh.
Habis tu? Kalau tak tahu nak kata apa lagi?”
Serentak dengan itu, Apy Elina menepuk dahi. Itu bukan jawapan yang dia inginkan.
Awak tahu tak saya tengah seram sekarang ni?” tanya Apy Elina.
Tak tahu,” selagi lagi suaminya balas acuh tak acuh.
Apy Elina mengeluh panjang.
Seram sangat ke?” tanya Adam.
Mestilah seram bila tengok gambar-gambar saya ditangkap curi macam ni. Sudahlah masa tu kita belum berkenalan lagi. Awak bukan tangkap gambar saya tapi gambar Daniel juga. Saya tak rasa ini semuanya kebetulan.”
Kalau bukan kebetulan, maknanya suratanlah tu.”
Sekali lagi Apy Elina menepuk dahi. Payah betul bercakap dengan suaminya yang kurang perasaan ini. Ini perkara serius tapi boleh pula dia buat tak endah.
Jangan-jangan awak ni... Pervert?”
Mak cik, boleh tak jangan fikir yang bukan-bukan?”
Mestilah saya fikir yang bukan-bukan. Waktu ni, saya masih bersekolah lagi. Kita juga belum berkenalan lagi. Tapi, awak ada gambar-gambar saya! Ini bermakna... awak ni memang ada hati pada saya sejak awal-awal lagi, bukan? Jadi, selama ni awak hanya berpura-pura saja, bukan? Wah, hebat betul awak berlakon,” kata Apy Elina yang tiba-tiba rasa teruja pula.
Jangan nak mengarut,” balas Adam menafikannya.
Kalau macam tu, boleh tak jelaskan kenapa awak ada gambar saya waktu zaman remaja? Dan gambar Daniel? Ah, saya akan rasa gembira kalau awak ada gambar saya padahal waktu tu kita belum bertemu lagi tapi kenapa mesti ada gambar Daniel?” tanya Apy Elina sedikit kecewa.
Mak cik...”
Patutlah awak tak puas hati bila berjumpa dengan Daniel masa saya nak kenalkan awak berdua. Rupanya awak cemburu sebab Daniel rapat dengan saya,” ujar Apy Elina sinis. Tersengih-sengih seolah-olah sedang mengejak suaminya.
Boleh tak jangan perasan sangat?” Adam menjeling tajam.
Habis tu? Terangkan pada saya yang sebetulnya! Macam mana awak ada gambar kami berdua? Bukan satu gambar tau tapi penuh satu album!” kata Apy Elina masih tidak puas hati.
Barang dalam stor tu bukan barang abang saja tapi barang Kak Melissa juga. Boleh jadi dia yang tangkap semua ni. Dia tu peminat tegar bola keranjang sampai paksa abang masuk pasukan bola keranjang,” jawab Adam tenang.
Apy Elina terdiam. Otaknya ligat memproses maklumat. Memang benar apa yang Adam katakan tadi. Mellissa memang peminat tegar sukan bola keranjang. Malah, mereka sering kali menghabiskan masa bersama menonton perlawanan bola keranjang. Boleh jadi semua album gambar ini milik Mellissa. Namun, yang dia tidak fahamnya, kenapa Mellissa tidak pernah beritahu tentang hal ini?
Kalau milik Mellissa, mungkin saya boleh terima yang dia peminat Daniel tapi kenapa ada gambar saya pula? Saya tak rasa kakak awak tu lesbian,” Apy Elina masih mempertahankan pendapatnya. Dia yakin, pasti ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Adam.
Mak cik tu memang suka tangkap gambar benda yang bukan-bukan. Jadi, tak ada peliknya,” jawab Adam lagi.
Saya bukan benda yang bukan-bukan. Cuba awak tengok. Satu album gambar tau! Bukannya sekeping dua. Kalau sekeping dua tu bolehlah saya terima lagi,” balas Apy Elina masih lagi tidak puas hati.
Tak payahlah fikir lagi. Buang masa saja fikir hal lama,” jawab Adam sambil bangun dengan mengambil kedua-dua album gambar itu.
Hei, awak nak bawak album tu pergi mana?” Apy Elina segera menahannya.
Buang.”
Awak dah gila ke?” pantas Apy Elina mengambil kedua-dua album gambar itu semula dari tangan suaminya. “Sanggup awak nak buang gambar-gambar saya dan Daniel?”
Habis tu, nak buat apa?”
Simpanlah. Bukan senang saya nak tengok gambar-gambar yang ditangkap curi oleh awak walaupun awak tak mengaku,” jawab Apy Elina geram.
Sakit hati juga melayan suaminya yang langsung tidak ambil kisah dengan hal-hal begini. Tapi tak mengapalah. Kalau suaminya yang tangkap curi pun, tak jadi masalah sekarang sebab sudah jadi suaminya. Cuma yang tak faham, Mellissa kenal Daniel? Ah, itu boleh ditanya Mellissa nanti.
Mmm... rupa-rupanya saya ni ada daya penarik juga ya,” ujar Apy Elina tersengih-sengih sambil melihat gambar-gambarnya sendiri.
Adam di sebelah hanya menggeleng. Mak cik itu sudah mula gedik dengan diri sendiri. Malas dia hendak melayan. Tapi... dia juga tak tahu dari mana album-album gambar itu muncul. Mustahil isterinya ingin mengenakannya. Mustahil juga miliknya kerana dia tak pernah lihat pun gambar-gambar itu sebelum ini.
Milik Kak Mellissa? Boleh jadi juga. Kalau begitu, Kak Mellissa kenal isterinya? Dan Daniel pula?
Adam mengeluh. Makin difikir makin sakit kepalanya.
Kenapa?” tanya Apy Elina yang perasan suaminya mengeluh.
Adam memandang isterinya dengan tajam. Apy Elina yang duduk di sebelah jadi tak senang duduk dengan tenungan suaminya itu. Terasa macam dia ada buat salah pula. Rasanya dia belum lagi pijak periuk api.
Kenapa awak pandang macam tu?” tanya Apy Elina takut-takut.
Jangan bergerak,” kata Adam.
Apy Elina bagaikan terpukau. Dia jadi kaku tiba-tiba. Tanpa berlengah lagi, Adam mengambil album gambar dari tangannya dan diletakkan di atas meja. Apy Elina hanya memerhatikan dengan jantung berdebar-debar.
Ah, penatnya!” keluh Adam sambil berbaring dengan berbantalkan peha isterinya.
Apy mengeluh panjang. Ingatkan apalah tadi. Sia-sia sahaja jantungnya berdegup kencang. Rupa-rupanya ada orang hendak bermanja. Okey, dia bagi peluang. Maklumlah sebulan tak jumpa. Inilah masanya untuk lepaskan rindu yang tertunda.


JADI, apa yang kau beritahu dia pasal gambar-gambar tu?” tanya Izwan yang meluangkan masa bermain bola keranjang bersama-sama Adam di gelanggang tidak jauh dari kawasan perumahan mereka.
Nak beritahu apa lagi. Aku memang tak tahu apa-apa,” jawab Adam yang sudah terduduk kepenatan di tepi gelanggang.
Lebih satu jam dia bermain tanpa rehat melepaskan segala masalah yang melandanya sejak siang tadi. Nasib baiklah rakan baiknya tidak ke mana-mana hari ini. Ada juga kawan untuknya melepaskan tekanan.
Serius? Kau tak ingat langsung?” tanya Izwan lagi.
Adam melepaskan keluhan panjang. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan itu. Sama ada dia tidak ingat ataupun memang dia tiada langsung ingatan itu. Nasib baiklah isterinya tidak bertanya dengan lebih lanjut tentang gambar-gambar itu. Dapatlah dia bernafas sedikit. Namun, sedikit sebanyak memberikan tekanan kepadanya.
Dulu, kau pernah kata, sebahagian daripada memori kau hilang. Boleh jadi itu sebahagian daripadanya,” kata Izwan.
Mungkin,” jawab Adam tak menafikannya.
Dia juga ada terfikir begitu. Kalau itu adalah memorinya yang hilang dahulu, jadi tak ada apa yang perlu dirisaukan.
Apa pun, nasib baik gambar dia, kalau gambar perempuan lain… aku tak dapat bayangkan apa yang mak cik tu akan fikir nanti,” tambah Adam sedikit lega.
Kau tak nak tahu pasal memori kau yang hilang tu?” tanya Izwan lagi.
Adam menggeleng.
Kenapa? Kau takut?”
Takut? Tiada perkataan takut dalam kamus hidupnya. Cuma, dia belum bersedia lagi. Lagipun masa depan lebih penting daripada masa lampau.
Aku fikir, ada sebab memori tu hilang. Jadi, tak ada sebab kenapa aku nak cari balik. Lagipun, aku fikir lebih baik aku tumpukan masa sekarang daripada memikirkan hal masa lampau yang belum tentu buat aku gembira,” jawabnya.
Mana kau tahu, tak gembira?” tanya Izwan lagi.
Apa yang menggembirakan bila terpaksa jadi Adam Alexander?” tanya Adam kembali.
Izwan mengangguk faham. Faham benar soalan Adam tadi. Dia tahu sepanjang Adam hidup dengan identiti Adam Alexander, kawannya itu memang tak pernah gembira. Namun, segalanya berubah apabila berjumpa dengan Apy Elina, bekas jurulatih mereka. Tak sangka pula Adam betul-betul berani melamar bekas jurulatih mereka itu.
Boleh aku tanya sesuatu?” tanya Izwan tiba-tiba.
Kau memang dah tanya soalan,” balas Adam.
Izwann tersengih.
Kenapa?”
Kau dengan cikgu... macam mana boleh berlaku?” tanya Izwan.
Sudah lama dia ingin bertanya tentang hal ini. Kalau diikutkan dia memang perasan Adam melayan bekas jurulatihnya berbeza berbanding jurulatih lain atau perempuan lain. Tapi, dia tak pernah pula dengar apa-apa luahan Adam terhadap jurulatihnya itu.
Berlaku apa?” tanya Adam tak faham.
Maksud aku, macam mana kau boleh ambil keputusan nak kahwin dengan cikgu?” soal Izwan.
Kenapa? Pelik sangat ke?” tanya Adam kembali. Dia tahu, ramai kawannya masih terkejut lagi dengan keputusannya itu.
Aku cuma nak tahu macam mana kau yakin dengan keputusan kau?”
Aku memang sentiasa yakin dengan keputusan aku,” kata Adam tenang memuji diri. Mestilah dia perlu yakin. Kalau tiada semangat itu, macam-macam boleh terjadi dalam rumah tangganya.
Izwan mengangguk faham walaupun itu bukan jawapan yang dia inginkan. Kadang-kadang dia ingin jadi seperti Adam yang berani membuat keputusan.
Kau dengan Kak Mellissa, macam mana?” tanya Adam tiba-tiba.
Izwan mengeluh.
Kami tak ada apa-apa hubungan,” jawabnya.
Cari perempuan lain sajalah,” balas Adam.
Hah?” terkejut Izwan mendengarnya.
Aku cakap, cari perempuan lain. Anggap saja kakak aku tu tak sesuai dengan kau. Dia pun lebih tua daripada kau,” tambah Adam lagi.
Memang dia lebih tua daripada aku tapi dia pernah kata, dia nak lelaki yang lebih muda daripada aku, Adam. Ada sebab kenapa dia kata macam tu tapi bila aku lamar, dia tolak pula. Aku sendiri tak tahu apa masalahnya,” keluh Izwan yang sedang buntu.
Itu masalah dia. Jangan jadikan masalah dia sebagai masalah kau. Aku kenal Kak Mellissa tu. Kalau dia nak. Dia nak! Kalau dia kata tak nak. Dia nak! Takkan kau masih tak faham, dia tengah main psikologi dengan kau.”
So, apa yang perlu aku buat?”
Terima cabaran dia. Cari perempuan lain...”
Semudah tu?”
Yup. Semudah tu.”
Kalau dia tak percaya?”
Sekali lagi aku kata, aku kenal Kak Mellissa,” kata Adam dengan penuh yakin. “Cuma... kalau kau mara, kau tak boleh berpatah balik. Kau faham tak maksud aku?”
Izwan mengangguk faham. Sudah banyak kali Adam berpesan hal itu kepadanya. Dia memang sedia maklum dengan keluarga Alexander yang banyak musuh. Sesiapa yang rapat dengan keluarga itu, pasti akan kena tempiasnya. Silap hari bulan nyawa pun boleh melayang. Tapi semakin hari, semakin dia tak peduli lagi dengan semua itu.
Ada kemungkinan dia tak berani terima sebab dia takut musuh-musuh keluarga kau akan apa-apakan aku?” soal Izwan.
Mungkin juga...” jawab Adam. Dalam masa yang sama telefon bimbitnya berbunyi. Tanpa berlengah lagi dia segera membaca mesej yang diterimanya.
Pak cik, nak tidur kat luar ke malam ni? - Apy
Dia segera tengok jam di handsetnya. Lagi lima minit hendak dekat pukul 1.00 pagi. Patutlah orang di rumah bagi mesej. Rupa-rupanya sudah awal pagi. Dia sendiri tak sedar sudah lama dia keluar bermain bola keranjang dengan Izwan. Itu baru Izwan seorang, belum lagi bertemu dengan kawan-kawan satu kepala dengannya.
Mak cik tu dah panggil balik,” ujar Adam terpaksa minta diri untuk pulang.
Kau balik dulu, aku nak main lagi,” ujar Izwan.
Okey,” Adam segera mencapai begnya. Baru beberapa tapak dia berjalan, langkahnya terhenti tiba-tiba dan berpaling memandang Izwan.
Kenapa?” tanya rakannya itu.
Honestly, aku pun tak tahu kenapa aku berani buat keputusan untuk berkahwin dengan dia. Aku cuma nak apa yang aku nak. Aku nak dia dan aku tak nak dia jadi isteri orang lain. Itu saja,” ujar Adam dengan penuh yakin dan jujur.
Izwan tersenyum. Ini kali pertama dia dengar luahan jujur rakannya itu. Adam yang dikenali sebelum ini, hatinya keras macam batu. Sering dianggap tak ada perasaan. Masing-masing ingat Adam akan jadi orang terakhir yang akan berkahwin tapi rupa-rupanya dialah orang pertama yang mencemarkan duli tamatkan zaman bujang. Dan lebih mengejutkan lagi, perempuan yang bertuah itu ialah jurulatih mereka.
Aku terfikir... nak ikut saja cadangan kau,” kata Izwan.
Kau patut ikut dan jangan berputus asa,” tambah Adam lagi dan segera berlalu dari situ.


6 si charming:

  1. eija berkata...:

    apa yg blaku pd memori pama adam..

  1. tyruzia_3186 berkata...:

    Berharap RYH dapat jadi versi cetak.
    Teruskan menulis ya, Ratu Bulan!

  1. NukSe berkata...:

    hihihi.. baca HC & HC2 tu ni kena baca kat dalam bilik, waktu xda orang.. sebab kejap2 tersengih, kejap2 ketawa, gelak.. kalo baca depan orang, takut orang cakap ' x betul ke ape budak ni'.. haha ratu unni the best!!

  1. nisha aini berkata...:

    Terbaekkkk.. 👍👍👍👍👍

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages