TKC: BAB 3

Tidak berkedip mata Honey apabila melihat Sakinah menghiris bawang dengan tangan tanpa beralaskan papan pemotong. Pantas dan cekap. Kagum melihat bawang-bawang itu dihiris dengan hirisan kecil. Tidak ubah seperti seorang chef di dalam rancangan masakan di televisyen yang pernah dilihatnya. Malah, kalah tukang masak yang berkhidmat di rumahnya.

“Wah, tak sangka Kak Sakinah ni hebat juga. Macam mana Kak Sakinah buat? Saya ni hiris bawang pun dah keluar air mata tapi Kak Sakinah boleh hiris dengan cekap! Kagum! Kagum,” kata Honey sambil menepuk tangan dengan kagum.

“Yang ni akak belajar masa akak kerja di kantin sekolah. Ada seorang mak cik tu yang ajar akak. Dia marah sebab akak hiris bawang dengan guna papan pemotong, jadi, dia suruh akak biasakan juga. Mula-mula tu memang selalu terluka tapi bila dah biasa, tak jadi masalah,” jawab Sakinah sempat memberitahu pengalamannya bekerja sebagai pembantu dapur di kantin sekolah selepas tamat sekolah.

“Kesian dengan Kak Sakinah. Abang Aizat ada cerita tentang Kak Sakinah yang hidup sebatang kara. Tak ada mak dan ayah. Malah, saudara mara pun tak ada. Tapi saya kagum dengan Kak Sakinah sebab boleh hidup tanpa mereka. Saya tahu, saya ni bernasib baik sebab lahir dalam keluarga yang sempurna. Mungkin disebabkan saya anak bongsu, semua ahli keluarga saya terlalu memanjakan saya,” ujar Honey sambil tersengih.

“Itu perkara biasa,” balas Sakinah.

“Berapa lama Kak Sakinah belajar memasak?” tanya Honey lagi.

“Kalau nak pandai memasak, mestilah selalu ke dapur,” jawab Sakinah.

“Saya pun selalu ke dapur tapi tak reti memasak juga,” balas Honey.

“Maksud akak, selalu memasak di dapur.”

“Ohhh…,” dia tersengih sambil menggaru kepalanya. “Maaf, otak saya memang lembab dalam menerima maklumat lengkap. Orang cakap saya lurus bendul. Terima saja sebulat-bulatnya,” tambahnya lagi.

Sakinah sekali lagi tersenyum. Dia ada mendengar cerita itu daripada Aizat.

“Rumah saya ada tukang masak sebab tulah saya tak pernah memasak. Malah, tak pernah langsung terfikir nak belajar memasak. Papa kata, sekarang ni zaman duit. Upah orang masak saja. Tapi, mama pula kata, kalau nak jadi isteri yang pandai jaga suami, mesti pandai masak,” balas Honey lagi tidak henti-henti bercakap.

“Memanglah tapi itu sebagai isteri. Tapi, sebagai orang bujang macam kita ni, memasak tulah yang dapat tolong kita bila kedai semua dah tutup,” balas Sakinah.

“Betul!” Sokong Honey. “Tapi, saya ni tak tahu memasak. Nak bukak dapur gas pun saya tak tahu sebenarnya. Saya tak suka memasak tapi disebabkan cinta saya pada Abang Aizat, saya perlu berusaha gigih untuk atasi masalah ni,” tambah Honey lagi dengan penuh bersemangat.

“Aizat mesti terkejut bila dia dapat tahu kamu sanggup belajar memasak kerananya,” balas Sakinah. Walaupun dia terasa sedikit cemburu dengan kata Honey tadi, tetapi dia tidak mahu mudah melenting sesuka hati. Mungkin Honey tidak bermaksud hendak membuatnya cemburu.

“Kak Sakinah cemburu ke?” tanya Honey tiba-tiba.

“Eh, tak adalah,” balas Sakinah cuba mengawal perasaannya sedaya-upaya.

“Maaflah. Saya tak sengaja. Tapi, saya memang cemburu dengan Kak Sakinah. Kak Sakinah tahu ambil hati Abang Aizat tapi saya pula hanya tahu menyusahkan Abang Aizat saja. Rasanya macam saya ni tak layak untuk bersama dengan Aizat,” ujar Honey tiba-tiba bermuram.

“Honey, walau apa pun, kamu mesti percayakan Aizat, faham?” balas Sakinah.

Perlahan-lahan Honey mengangguk.

‘Mungkin Farihah tersilap menilai Kak Sakinah. Kak Sakinah tidaklah sejahat yang diberitahu. Rasanya lebih baik lupakan rancangan tu,’ detik hati Honey berkata.

“Okey seterusnya, akak ajar perkara yang paling asas dalam memasak. Belajar goreng ikan,” kata Sakinah sambil tersenyum.

“Hah? Goreng ikan? Itu senang saja!” ujar Honey sambil menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai masalah untuk menggoreng ikan.

Tidak lama kemudian, bermulalah sesi belajar menggoreng ikan. Sakinah sebagai cikgu mengarah Honey meletak sebuah kuali kosong di atas tempat memasak sebelum menyuruh Honey sekali lagi memasukkan sedikit minyak masak ke dalam kuali itu dan mengajar Honey menghidupkan dapur gas.

Semuanya berjalan dengan lancar, tetapi sebaik-baik sahaja Honey meletak ikan kembung yang sudah disiang dan dibasuh itu ke dalam minyak yang sudah panas itu, riuh satu dapur dengan suara Honey yang terperanjat sehingga berlari jauh daripada kuali itu. Habis terpelanting sudip ditangannya kerana terkejut.

“Tak nak! Tak nak! Saya tak nak goreng ikan tu. Ikan tu jahat!” ujar Honey di tepi, jauh daripada kuali.

Sakinah hanya mampu menggeleng. Kalau macam inilah, mungkin susah dia hendak mengajar Honey memasak. Nanti, tidak pasal-pasal, dia pula yang kena serang dengan Aizat sebab mengajar dengan teruk. Ini baru sikit. Belum lagi dia suruh Honey siang ikan. Mungkin hancur ikan itu nanti.

“Susahlah Kak Sakinah. Kenapalah minyak tu asyik meletup saja,” keluh Honey sudah tidak tahan lagi. Kalau bukan sebab Abang Aizat memang sudah lama dia pulang ke rumah dan tidur. Tidak payah membazir masa dengan belajar memasak.

“Mula-mula memanglah susah tapi bila dah selalu, tak ada apa yang nak ditakutkan,” jawab Sakinah.

“Saya ingatkan nak belajar masak ni sehari pun boleh,” ujar Honey dengan muncung yang tajam sambil melihat Sakinah memasukkan minyak masak dari kuali itu ke dalam sebuah bekas dengan menggunakan senduk. “Kak Sakinah buat apa tu?” tanya Honey kehairanan.

“Minyak ni boleh digunakan lagi. Jadi, kita perlu simpan kat satu tempat. Tak adalah membazir,” terang Sakinah.

“Saya nak buat,” pantas Honey berkata sambil tergesa-gesa berlari menghampiri Sakinah. Namun, entah bagaimana kakinya tersadung sesuatu sehingga membuatnya tergelincir. Tubuhnya hilang imbangan dan menyebabkan dia terlanggar Sakinah yang sedang memasukkan minyak yang panas itu ke dalam sebuah bekas.

“Arghhh!!!” jeritan Honey kedengaran.

***

Aizat bergegas ke klinik yang diberitahu selepas mendapat berita mengenai kemalangan yang menimpa Honey dan Sakinah daripada Farihah. Panggilan yang dibuat oleh Farihah itu benar-benar mengejutkannya dan hampir membuatnya sasau sewaktu memandu kereta menuju ke klinik itu.

Setibanya di klinik yang dimaksudkan Farihah tadi, dia terus mendapatkan Honey yang sedang duduk di tempat menunggu bersama-sama Farihah.

“Honey, awak tak apa-apa? Cedera tak?” tanya Aizat.

“Hah? Aizat!” Terkejut Honey dengan kehadiran Aizat di situ. “Apa awak buat kat sini?” tanya Honey serba salah. Seingatnya, dia belum memberitahu Aizat tentang apa-apa yang berlaku tadi dan kalau boleh dia tidak mahu Aizat tahu mengenai kejadian malang itu.

Honey kemudian berpaling memandang Farihah yang masih tenang di sebelahnya. Dengan keadaan Farihah yang langsung tidak terkejut dengan kehadiran Aizat itu, tahulah dia bahawa orang yang bertanggungjawab menghubungi Aizat adalah Farihah. Satu keluhan dilepaskannya. Silapnya kerana tidak memesan pada Farihah awal-awal.

“Kenapa boleh jadi macam ni? Mana Sakinah?” tanya Aizat sambil memandang sekeliling. Hanya mereka bertiga sahaja yang berada dalam klinik itu sekarang. Bayang Sakinah langsung tidak kelihatan.

“Kak Sakinah ada di dalam berjumpa dengan doktor. Awak jangan risau. Doktor kata tak serius. Cuma tangannya saja yang terseliuh. Nasib baik masa tu Kak Sakinah sempat lepaskan minyak tu dekat sinki,” beritahu Honey yang mula berasa serba salah. Mungkin selepas ini dia akan dimarahi oleh Aizat kerana kecuaiannya telah mendatangkan kecederaan pada Kak Sakinah.

Walaupun masih lagi terkejut dengan kejadian itu, tetapi Honey telah bersedia dengan apa sahaja bebelan daripada Aizat. Dia tidak kisah kalau Aizat ingin memarahinya kerana kecuaiannya itu, lagipun memang patut dia kena marah kerana berniat jahat untuk menyingkirkan Kak Sakinah dalam hidup kekasihnya itu. Itulah, mamanya sudah banyak kali pesan.

Jangan sesekali buat jahat, nanti perkara tidak baik akan menimpa diri kita sendiri!

Aizat hanya berdiam diri dan tidak mampu memberi sebarang kata, tetapi wajahnya jelas kecewa dengan kejadian yang menimpa mereka itu. Melihat keadaan Aizat yang berdiam diri itu, Honey tidak berani membuka mulut untuk bersuara walaupun banyak perkara untuk dijelaskan kepada Aizat supaya Aizat tidak salah faham dengannya, tetapi dia tahu, jikalau Aizat senyap itu bermakna Aizat sedang marah.

“Honey cemburu tengok kau asyik makan masakan Sakinah, sebab tulah dia nak belajar memasak,” kata Farihah di sebelahnya. Honey cuba untuk menghalangnya, namun Farihah langsung tidak mengendahkannya. “Aizat, kau dah dewasa. Aku rasa kau tahu bezakan yang mana betul dan sebaliknya. Honey teman wanita kau. Kau tak patut layan perempuan lain lebih daripada Honey. Aku kesian tengok Honey,” tambah Farihah lagi.

Walau bagaimanapun Aizat tetaptidak memberi sebarang reaksi. Lelaki itu masih lagi menyepikan diri dan tidak memandang ke arah mereka berdua.

“Kau bawa kereta, kan?” tanya Aizat kepada Farihah tiba-tiba. Yang peliknya, Aizat langsung tidak membidas kembali kata-kata Farihah tadi.

Farihah mengangguk sebelum bertanya, “Kenapa?”

“Mintak tolong hantar Honey balik. Biar aku tunggu Sakinah di sini,” ujar Aizat selamba. Langsung tidak memandang Honey mahupun Farihah.

“Hei…,” bengang Farihah mendengarnya dan lagi bengang apabila melihat Aizat berbuat tidak endah sahaja dengan tegurannya tadi. Dia ingin membalas, namun baru sahaja dia hendak menyambung bicaranya, Honey menarik tangan Farihah dan memberi isyarat mata supaya menuruti kata Aizat tadi.

“Ah, sudahlah! Jom kita balik. Tak guna cakap dengan orang macam dia ni,” kata Farihah terus menarik tangan Honey berlalu pergi dari klinik itu. Sakit hatinya apabila melihat Aizat terlampau mengutamakan Sakinah. Jikalau Honey pun Aizat buat tidak endah, apatah lagi dia yang langsung tidak dapat menarik perhatian Aizat!

***

Tidak beberapa lama kemudian, Sakinah yang menerima rawatan di dalam bilik rawatan oleh doktor yang bertugas, keluar dari bilik itu dengan pergelangan tangannya yang berbalut sehingga menutup separuh daripada tapak tangannya. Sedang anak matanya mencari kelibat Farihah dan Honey yang membawanya ke klinik tadi, dia terkejut apabila terlihat Aizat yang berada di kerusi menunggu.

Sakinah memandang sekeliling. Honey dan Farihah tiada di sekitar klinik itu. Menyedari mungkin kedua mereka sudah pulang, dia melangkah menghampiri Aizat dengan segala kekuatan yang ada padanya. Tiba-tiba sahaja dia berasa kekok apabila berhadapan dengan Aizat apatah lagi apabila melihat Aizat memandangnya dengan pandangan yang tajam.

“Aku suruh Farihah hantar Honey balik,” kata Aizat tanpa ditanya. “Macam mana dengan tangan kau? Serius ke?” tanya Aizat lembut, tetapi nada suara Aizat amat berbeza daripada selalu. Dia kenal nada suara itu. Aizat sedang marah!

“Terseliuh sikit. Nasib baiklah tak kena minyak masak. Doktor kata beberapa hari nanti baiklah,” jawab Sakinah teragak-agak.

Sebentar kemudian, nama Sakinah dipanggil jururawat yang bertugas di kuanter ubat. Baru sahaja dia ingin mengorak langkah mengambil ubat dan menjelaskan bil rawatan, Aizat sudah terlebih dahulu bangun untuk berbuat demikian. Dia tidak mampu menghalang Aizat dalam keadaan dingin pada ketika itu. Jika dia masih berdegil mungkin Aizat akan menonjolkan sikap panas baran yang disembunyikannya selama ini. Sudah bertahun-tahun dia kenal Aizat. Oleh itu dia tahu bagaimana perangai Aizat jikalau lelaki itu bad mood.

Selepas sahaja membayar bil rawatan, Sakinah terpaksa menumpang kereta Aizat memandangkan rumahnya jauh daripada klinik itu. Kalau diikutkan hati, ingin sahaja dia mengelak daripada menumpang Aizat, tetapi apakan dayanya. Aizat seperti mengawalnya sekarang. Semasa dalam kereta, Aizat menyepikan diri. Begitu juga dengan Sakinah yang tidak berani menegur Aizat, walaupun dia ingin bertanya ke manakah Aizat ingin membawanya pergi memandangkan itu bukan laluan ke rumah sewanya.

Tiba di sebuah taman permainan yang berdekatan dengan sebuah kawasan perumahan, Aizat memberhentikan keretanya. Radio yang memutar lagu rancak yang kuat tadi, ditutup terus. Sakinah hanya menunggu bicara daripada Aizat. Walaupun hatinya berdebar-debar, tetapi dia cuba bertenang. Mungkin selepas ini, Aizat akan memarahinya kerana kecuaiannya hampir menyebabkan Honey ditimpa kemalangan.

“Sakinah, aku rasa kita patut break sekejap,” kata Aizat selepas menghela nafas lemah. “Aku tahu semua ni berpunca daripada aku. Aku tamak. Aku nak kedua-duanya. Aku nakkan kau sebagai teman dan Honey sebagai kekasih. Aku ingat aku boleh handle semua ni tapi…,” satu keluhan lagi dilepaskannya.

“Aizat, aku minta maaf….”

“Kau tak perlu minta maaf sebab kau tak bersalah. Honey pun tak bersalah. Yang bersalah adalah aku. Aku patut dengar cakap Farihah. Kalau aku dengar, semua ni takkan berlaku. Aku tak tahu nak buat apa lagi selain hadkan persahabatan kita. Selepas ni, kau tak payah masakkan untuk aku lagi, tak payah kejutkan aku bangun pagi lagi dan apa pun tak payah buat. Aku rasa, aku perlu belajar berdikari dan hidup tanpa kau,” tambah Aizat lagi.

“Kau buang aku macam tu saja?” tanya Nur Sakinah yang tidak dapat menerima kenyataan itu.

“Aku tak buang kau. Ini untuk kebaikan kita bersama. Kau terlampau baik. Memang aku akui susah nak buang kau dalam hidup aku. Kita dah berkawan sejak sekolah menengah lagi. Kau juga lebih memahami aku daripada Honey tapi… kita tak boleh terus macam ni. Aku minta maaf,” ujar Aizat yang berat untuk meluahkannya.

“Kalau kau buat semua ni sebab kau marahkan aku….”

“Sakinah, aku tak marahkan sesiapa tapi ini untuk kebaikan kita bertiga. Aku harap kau dapat cari lelaki yang lebih baik daripada aku.”

“Okey! Aku akan cari lelaki yang lagi baik daripada kau!” ujar Sakinah tiba-tiba melenting. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia begitu marah sangat apabila Aizat menyuruhnya mencari lelaki lain. Baginya bukan seorang lelaki yang bergelar kekasih yang dia inginkan pada ketika ini, tetapi lelaki bergelar sahabat. “Sorry, aku tak dapat kawal. Tolong hantar aku balik.”

“Sakinah….”

“Kau kata kita perlu berehat, bukan? Ya. Kita berehat dan tunggu fius dalam kepala kau tu betul semula!” balas Sakinah lagi. Ini kali pertama dia rasa sudah tidak tahan berkawan dengan Aizat.

“Aku tak maksudkan putus persahabatan selama-lamanya. Aku cuma….”

“Hantar aku balik,” pantas Sakinah memotong. Dia tidak mahu mendengar apa-apa lagi alasan daripada Aizat sekarang. Jiwanya kucar-kacir. Kalau diteruskan, dia mungkin akan meledakkan segala apa yang dipendamnya selama ini.

“Sakinah….”

“Kalau kau tak nak hantar aku balik, aku boleh balik sendiri,” kata Sakinah mengugut Aizat serentak dengan membuka tali pinggang keselamatan yang masih dipakainya.

“Yelah!” kata Aizat terpaksa mengalah lantas menghidupkan enjin keretanya semula dan memandu menuju ke rumah sewa Sakinah. Sepanjang dalam perjalanan, mereka berdua mendiamkan diri melayani perasaan masing-masing.

***

Sejak pulang daripada klinik tadi, Sakinah terus mengurung diri di dalam biliknya dan langsung tidak mengendahkan Farihah yang menghentam pintu biliknya beberapa kali. Buat masa ini, dia tidak mahu berjumpa dengan sesiapa terutama sekali Farihah yang pastinya akan mempertahankan Honey.

Lama Sakinah menyepikan diri di dalam sehingga dia tidak pasti sudah berapa jam dia duduk di dalam bilik dan termenung, sedar-sedar sahaja hari hampir senja. Lantas, dia segera menunaikan kewajipannya sebagai umat Islam dengan menunaikan solat Asar dan diteruskan sekali dengan solat Marghrib setelah masuk waktu. Selepas menunaikan solat, dia berdoa kepada Allah yang Maha Esa supaya diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupannya.

Dia tahu, selepas mendengar kata-kata Aizat tadi, amat sukar untuk dia menerimanya. Dahulu, sewaktu Aizat memaklumkan kepadanya bahawa dia sudah jatuh cinta dengan Honey, dia masih boleh terima lagi kerana Aizat masih memegang persahabatan mereka, tetapi apabila Aizat ingin memutuskan persahabatan yang telah lama terjalin ini, memang susah baginya untuk menerimanya.

Mungkin selama ini dia menipu dirinya dengan mengatakan dia tidak cemburu dengan hubungan antara Aizat dan Honey. Bohonglah kalau dia tidak cemburu. Sekuat mana pun seseorang itu, pasti akan tewas juga dengan perasaan yang telah lama terbuku di hati. Bertahun-tahun dia mengejar Aizat sehinggakan pernah satu hari dia meluahkan perasaannya kepada Aizat, tetapi ditolak Aizat mentah-mentah. Namun, mujurlah Aizat tidak membuangnya terus. Aizat terus berkawan dengannya, tetapi sampai bila?

Benar kata Aina, dia patut mencari seorang lelaki yang amat menyintainya dan lupakan Aizat sahaja, tetapi sukar untuk dia membuat keputusan begitu. Bersama dengan Aizat sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya. Mustahil dia boleh lupakan Aizat dalam masa yang singkat.

Tapi sampai bila aku harus jadi macam ni? Hatinya tertanya-tanya.

Nur Sakinah mencapai telefon bimbitnya. Sejak siang tadi, dia telah mematikan telefon bimbitnya kerana tidak mahu sebarang gangguan daripada sesiapa pun terutama sekali Aizat.

Sebaik-baik sahaja Nur Sakinah membuka kembali telefon bimbitnya, berduyun-duyun mesej masuk ke dalam inbox sehingga penuh peti simpanan mesejnya. Kesemuanya mesej daripada Aizat. Belum sempat dia membuka salah satu mesej Aizat, Nur Sakinah menerima satu panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali. Tanpa buang masa dia segera menjawab panggilan itu.

“Helo,” jawabnya perlahan.

“Helo Sakinah?” tanya suara itu dengan nada ceria seperti selalu.

Auntie Zira,” senyumannya terukir setelah sekian lama disimpan gara-gara putus cinta dan putus harapan siang tadi. “Auntie apa khabar? Sihat?”

“Sihat aje. Sakinah macam mana? Sihat?”

“Baik. Alhamdulillah,” balasnya cuba untuk ceria.

“Dah lama kita tak berbualkan? Auntie minta maaf sebab tak dapat bertanya khabar keadaan kamu kat sana. Sibuk sangat sampai tak ada masa untuk diri sendiri juga,” balas Auntie Zira yang juga merupakan bekas majikan arwah ayahnya.

Sememangnya dia bersyukur kerana Auntie Zira selalu mengambil berat tentang dirinya selepas ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Selepas ayahnya meninggal, Auntie Zira banyak membantunya dalam mengharungi kehidupannya sehinggalah ke hari ini.

Malah, Auntie Zira tidak pernah lupa memasukkan wang pembelanjaannya setiap bulan ke dalam akaun banknya. Namun, dia tidak pernah menyentuh wang itu. Baginya, selagi dia mempunyai tenaga dan kekuatan untuk mencari wang, dia akan mencari wang dengan hasil titik peluhnya sendiri. Tambahan pula, wang yang ditinggalkan oleh ayahnya masih ada lagi untuk menyara hidupnya dan dia menggunakannya dengan penuh jimat.

“Tak mengapalah. Saya faham. Auntie jangan risau, saya pandai jaga diri,” balas Nur Sakinah.

“Auntie risau sebenarnya bila dapat tahu Sakinah tak guna duit yang auntie hantar untuk Sakinah. Kenapa?”

“Tak ada apalah. Saya tak nak menyusahkan auntie lagipun saya terima duit biasiswa. Itupun dah cukup untuk menampung yuran kolej.”

“Kalau cukup, kenapa Sakinah berkerja?” soal Auntie Zira seperti memasang perangkap samar.

“Oh, itu untuk penuhkan cuti semester saja untuk tambah pengalaman lagipun, masa belajar saya tak bekerja,” jawab Sakinah teragak-agak.

“Entahlah,” satu keluhan daripada Auntie Zila kedengaran. “Auntie pun tak tahu macam mana nak pujuk kamu. Sama macam arwah ayah kamu yang payah nak terima bantuan orang lain.”

Sakinah sekadar tersenyum.

“Baiklah, macam ni. Auntie telefon sebab ada hal.”

“Hal apa auntie?”

“Kami sekeluarga akan kembali ke Malaysia,” beritahu Auntie Zira.

“Hah?” Sakinah terkejut besar. Seperti tidak percaya dengan berita yang disampaikan oleh Auntie Zira tadi. Otaknya ligat berfikir. Nanti! “Maksud auntie, tuan muda sekali?”

“A’ar. Kami akan menetap di Malaysia semula. Auntie akan pulang ke sana selepas siapkan saki baki kerja di sini tapi Zaquan akan ke sana dalam minggu depan.”

‘Habislah, bencana akan datang!’ hatinya menjerit. Tiba-tiba sahaja dia rasa mukanya berubah menjadi pucat seperti orang sakit.

“Jadi, auntie nak minta tolong. Kamu tahukan yang Zaquan tu dah lama tinggalkan Malaysia, jadi, Auntie nak kamu jemput Zaquan kat airport boleh?”

Ada ke orang jemput bencana alam datang?’ sekali lagi hatinya menjerit. Ingin sahaja dia menolak permintaan Auntie Zira apabila terkenangkan peristiwa lama yang mana Tuan Mudanya begitu dingin dengannya.

“Jangan risau. Zaquan dah boleh terima semua tu,” ujar Auntie Zira seperti tahu apa yang sedang difikirnya.

“Boleh saja,” jawab Sakinah dengan tersenyum menyembunyikan perasaannya yang sedang bercelaru itu.

Bagaimanakah reaksi Zaquan nanti apabila berjumpa dengannya semula? Berjumpa dengan anak kepada pembunuh Tuan Haji Zamarul, iaitu bapa Muhammad Zaquan?

Sakinah menarik nafas panjang.

7 si charming:

  1. NukSe berkata...:

    saya tunggu entry dr kak ratu dr kelmarin.. huhu hr ni br leh baca.. best2.. smbg lg.. xsabar nk baca next entry..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    nak tahu kisah sebenar.. semakin menarik cite ni.. xsaba nk ngok reaksi zaquan t..
    -CS joket-

  1. eeeeee.
    tak baik tau aizat.
    tape, hero sebenar sakinah dah datang.
    hehe.
    next2.

  1. Yong berkata...:

    best best nak lagi, next week blh? klo lagi awl lagi best. hahaha. tak sabar2 nk tgk reaksi zakuan tu. so if sakinah fall in love with zakuan. apa akan jadi gan aizat?jealous?hehehe best. tak sabar2 nak tau lagi.

  1. Tanpa Nama berkata...:

    wah nak lagi hehe

  1. dewdrop berkata...:

    ada ke org jemput bencana alam datang??hahaha..xbley blah btol sakinah ni..
    n jwpnnye mesti la ade..sakinah la orgnye..(^_^)v

  1. Tanpa Nama berkata...:

    mmg betui ka kak ratu yang tulis cita nie..

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages