TKC: BAB 6, 7

BAB 6

Nur Sakinah melangkah masuk ke dalam villa yang dikemasnya beberapa hari yang lalu selepas mendapat tahu Tuan Mudanya akan kembali menetap di Malaysia. Nasib baiklah dia sempat mengemas villa itu sebelum Tuan Muda sampai, jika tidak, pasti ada sahaja kata-kata yang menyakitkan hatinya dari Tuan Mudanya.

Termengah-mengah Sakinah membawa bagasi Tuan Mudanya naik ke bilik tidur Tuan Mudanya itu. Dalam hati, dia menyumpah-yumpah Tuan Mudanya yang langsung tidak pernah berubah apatah lagi berhenti membulinya. Ingatkan jika sudah besar menjadi orang dewasa, Tuan Mudanya akan menjadi lebih matang seperti orang dewasa yang lain, tetapi nampaknya tetap sama seperti dahulu. Namun, dia tetap bersyukur kerana Tuan Mudanya tetap melayannya seperti sebelum kejadian yang menghayat hati itu berlaku.

Walaupun dahulu Sakinah selalu dibuli oleh Zaquan, tetapi dia tidak dapat melupakan cara Zaquan melayannya selepas kemalangan yang meragut dua nyawa itu berlaku. Zaquan memandangnya seperti seorang yang bertanggungjawab membunuh ayahnya dan sering melepaskan segala kemarahan kepadanya. Pada masa itu, Sakinah amat merindukan Zaquan yang selalu membulinya.

Namun, syukurlah. Selepas 10 tahun tidak berjumpa, Zaquan telah berubah seperti mula-mula dia mengenali lelaki itu. Walaupun penampilan Zaquan berubah sepenuhnya, tetapi perangai Zaquan tetap sama seperti dahulu cuma kali ini Zaquan lebih aktif membulinya. Ada sahaja yang tidak kena pada mata Zaquan sehingga kedua-duanya saling membalas kata. Masing-masing tidak mahu mengaku kalah.

“Kenapa aku tengok villa ni macam uzur saja? Kerusi pun nampak uzur. Hey Dayang, ni kerusi zaman bila kau bawak ni?” tanya Zaquan tidak habis-habis memberi komen mengenai susun atur perabut dalam biliknya yang telah lama ditinggalkan itu.

“Tuan Muda, itukan kerusi yang sama masa Tuan Muda pergi luar negara. Takkan Tuan Muda dah lupa?” balas Sakinah yang kadangkala malas hendak melayan karenah Zaquan itu. Tapi, kalau tidak dilayan, lagi teruk dia kena nanti.

“Aku tak suka dengan kerusi ni. Esok kau buang,” kata Zaquan selepas itu.

“Suka hatilah. Kalau Tuan Muda tak suka, Tuan Muda pergilah buang sendiri,” balas Sakinah malas hendak melayan sambil menyelongkar beg pakaian Tuan Mudanya untuk disusun dalam almari pakaian yang kosong itu. Kerjanya tidak ubah seperti orang gaji. Tapi, sememangnya dia merupakan orang gaji tak bergaji Tuan Mudanya.

“Budak ni… memanglah,” rungut Zaquan dalam diam tetapi Nur Sakinah masih boleh mendengarnya. Zaquan kemudiannya mencapai remote control menghidupkan penyaman udara yang terdapat dalam biliknya itu. Jaket putih yang dipakainya itu di tanggalkan dari badannya dan dengan selamba dia mencampak jaketnya itu ke arah Sakinah sebelum berlalu berbaring di katilnya.

Nur Sakinah menghela nafas lemah sebaik-baik sahaja jaket yang dipakai oleh Zaquan tadi mendarat di kepalanya. Dalam hatinya sempat dia menyumpah-yumpah Zaquan yang masih dengan perangai kebudak-budakkannya itu.

Sedang dia menyelongkar sebuah lagi bagasi Zaquan, Sakinah terpandang sesuatu yang pelik yang turut disumbat dalam bagasi itu. Perlahan-lahan dia memegang barang pelik itu dengan kedua hujung jarinya dan menariknya keluar.

“Err… Tuan Muda, apa ni?” tanya Sakinah sambil menayang satu-satunya barang yang sudah lusuh dan lunyai. Dia mengamati barang yang menyerupai bantal lama itu. “Eh, ni bukan ke….”

Belum sempat Sakinah berkata, Zaquan pantas merampas barang itu daripada tangan Sakinah.

“Itu bantal saya masa kecil! Macam mana ada dekat Tuan Muda? Patutlah saya cari bantal tu, ingatkan dah dilarikan tikus!” ujar Sakinah yang dapat mengecam bantal kesayangannya ketika kecil dahulu.

“Wei, kau ingat kau seorang saja ada bantal ni? Bantal ni aku beli masa duduk dekat Jepun dulu,” pantas Zaquan menafikannya.

“Cakap sajalah Tuan Muda tu tikus yang melarikan bantal orang,” balas Sakinah menjeling tajam.

“Dah! Dah! Aku lapar. Jangan selongkar lagi beg tu. Aku tahu kemas sendiri baju-baju aku tu. Tugas kau sekarang, aku nak kau masakkan Tom Yam untuk aku tapi jangan bubuh sotong. Aku nak tidur. Lepas siap masak kejutkan aku,” kata Zaquan yang sudah membawa lari bantal busuknya itu berbaring di atas katil.

Sakinah hanya mampu menggeleng. Mungkin selepas ini, bermulalah hidupnya sebagai Dayang kepada Tuan Mudanya sekali lagi. Namun, dia berasa gembira. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia perlu berasa gembira hanya kerana Tuan Mudanya memiliki bantal busuknya dahulu. Mungkinkah Tuan Mudanya merinduinya semasa di Jepun dahulu?

Atau Tuan Mudanya mengambil bantalnya sebab nak tumbuk-tumbuk membalas dendam. Serta merta senyuman Sakinah hilang.

Sakinah yang sedang sibuk memasak Tom Yam yang seperti diminta oleh Tuan Mudanya di dapur bergegas berlari mendapatkan telefon bimbitnya berbunyi dengan kuat di ruang tamu. Tanpa berlengah lagi dia terus menjawab panggilan daripada Auntie Zira.

“Dah jumpa Zaquan?” tanya Auntie Zira sebaik-baik sahaja Sakinah menjawab panggilan itu dengan salam.

“Dah. Tuan Muda sedang tidur. Sampai saja tadi dia terus tidur. Mungkin terlampau penat sangat duduk dalam kapal terbang,” jawab Sakinah sambil melangkah ke dapur semula dan mengacau Tom Yam yang sedang dimasaknya itu.

“Baguslah. Macam mana? Dia ada buli kamu?” teka Auntie Zira yang sememangnya mengerti perangai anak lelakinya itu apabila berjumpa dengan Sakinah.

“Mungkin saya tak boleh lari dari kena buli dengan Tuan Muda,” jawab Nur Sakinah berterus terang. Kemudian, dia mendengar Auntie Zira ketawa di hujung talian. Dia lantas menambah, “10 tahun tak berjumpa, Tuan Muda tetap sama macam dulu. Makanan kegemaran dia pun sama. Sampai saja ke rumah terus dia mintak saya masakkan Tom Yam untuknya.”

“Ya?” Auntie Zira ketawa lagi. “Nampaknya dia betul-betul rindukan kamu di sana.”

“Rindu nak buli dayangnya,” tambah Sakinah memperbetulkan fakta sebenar. Sekali lagi Sakinah mendengar Auntie Zira ketawa.

“Syukurlah, keadaan dah seperti sediakala. Sebenarnya, auntie sendiri dah buntu nak buat macam mana lagi. Tapi, syukurlah….”

***

Selepas memastikan semuanya lauk pauk telah siap disediakan dan dihidang di atas meja makan, Sakinah lantas berlalu mendaki tangga menuju ke bilik Tuan Mudanya. Sebaik-baik sahaja tiba di hadapan pintu, Sakinah tersenyum apabila melihat Zaquan masih lagi diulit mimpi di atas katilnya sambil memeluk erat bantal busuk yang telah lunyai itu.

Sememangnya Sakinah tidak pernah menyangka bantal busuk yang hilang dulu diambil Tuan Mudanya. Dia masih ingat lagi. Sudahlah ditinggalkan keseorangan, bantal busuknya pula hilang. Akibatnya, dia menangis setiap malam kerana kehilangan kedua-duanya.

Perlahan-lahan Sakinah melangkah masuk ke dalam dan menghampiri Tuan Mudanya. Melihat wajah Zaquan yang tidur dengan nyenyak dan keletihan selepas berjam-jam duduk di kapal terbang, Sakinah tidak sampai hati ingin mengejut Tuan Mudanya bangun. Namun, bila memikirkan perangai Tuan Mudanya yang pasti akan meradang tidak tentu pasal kalau tidak mengejutkannya untuk makan, Sakinah terus menggerakkan tubuh Zaquan sedikit.

“Tuan Muda,” dia memanggil sekali sambil menggerakkan tubuh Zaquan. “Tuan Muda!” dia memanggil sekali lagi. Kali ini pipi Zaquan ditampar-tamparnya. Zaquan masih bermimpi seperti orang yang baru dapat tidur dengan aman. Selepas beberapa kali menampar pipi Zaquan, akhirnya Zaquan menunjukkan tanda-tanda mulai sedar dari lenanya.

“Kenapa kau tampar aku?” tanya Zaquan dalam mamai sambil bangun dari baringnya. Dia terasa seperti pipinya berbekas ditampar Sakinah.

“Mana ada tampar. Tuan Muda yang liat sangat nak bangun. Jom makan, saya dah masakkan Tom Yam,” beritahu Nur Sakinah menarik Zaquan bangun. Kalau dibiarkan pasti Zaquan akan tidur semula.

Dalam keadaan mengantuk dan kepenatan, Zaquan memaksa diri untuk turun ke bawah menikmati makan tengah hari memandangkan dia tidak makan sewaktu di dalam kapal terbang tadi. Semuanya gara-gara ingin mengosongkan perutnya untuk menikmati masakan Dayang yang telah lama ditinggalkannya.

Sakinah terkejut melihat Zaquan yang banyak makan itu. Masuk kali ini sudah lima pinggan nasi Zaquan bertambah. Hendak kata masakannya sedap, tidak juga kerana dia tidaklah pandai memasak. Semuanya main campak-campak saja, tetapi Zaquan makan dengan penuh selera seperti setahun tidak makan nasi.

“Betul Auntie Zira kata. Tuan Muda memang kuat makan,” ujar Nur Sakinah yang masih tidak percaya dengan perut Zaquan yang mampu memuatkan hampir satu periuk nasi. Lagi dasyhat daripada quantiti makanan yang boleh masuk dalam perut Aizat.

“Kau nak aku puji masakan kau sedap, kan?” teka Zaquan sambil tersengih.

“Huh, tak ada maknanya!”

“Betul ke kau tak ada teman lelaki?” tanya Zaquan tiba-tiba setelah lama mereka mendiamkan diri.

Air kosong baru sahaja diteguk oleh Sakinah hampir tersembur keluar, tetapi mujurlah dia sempat menahannya. Entah apa yang tidak kena dengan Zaquan yang asyik bertanya soalan yang sama sahaja sejak tadi.

“Huh, jadi kau memang ada teman lelaki?” teka Zaquan lagi.

“Saya ada teman lelaki atau tidak bukan masalah Tuan Muda pun,” balasnya selamba. Geram sebenarnya. Macam tiada soalan lain yang hendak ditanya. Kenapa mesti bertanya soalan tentang teman lelaki? Sudahlah dia baru sahaja putus cinta dan baru sahaja ingin melupakan Aizat, tetapi kini Zaquan pula membangkitkan lagi kenangan pahit itu.

“Memang masalah aku,” balas Zaquan sambil menolak pinggannya ke tepi. Dia kemudiannya bangun menghampiri Sakinah dan mendekatkan mukanya dengan muka Sakinah sehingga jarak mereka hanya beberapa inci sahaja.

“Err… Tuan Muda… jaga sikit…,” Sakinah menolak sedikit Tuan Mudanya.

“Bukan ke aku ada beritahu dulu, kau milik aku selamanya,” kata Zaquan dengan wajah yang serius. Langsung tiada tanda-tanda Tuan Mudanya itu sedang bergurau.

Sakinah tergamam. Suara dan cara Zaquan cakap tadi tiba-tiba menyentuh jiwa sanubarinya. Belum pernah ada seseorang berkata begitu kepadanya. Malah, Aizat juga tidak pernah berkata demikian. Walaupun dia tahu Zaquan berkata dengan nada gurauan, tetapi kata-kata Zaquan sebentar tadi benar-benar membuatkan hatinya cair.

Tiba-tiba, Sakinah dikejutkan daripada lamunan apabila dahinya dijentik oleh Zaquan. Seperti biasa, selepas berjaya memperbodohkannya, Zaquan akan tersenyum sinis. Terkena lagi!

“Sakitlah!” tengking Sakinah sambil menggosok-gosok dahinya.

“Kau ni memang miang betul,” kata Zaquan sambil berlalu duduk di ruang tamu. Televisyen dibuka dengan menggunakan alat kawalan jauh, namun Tuan Mudanya itu masih menambah, “Mudah sangat cair bila lelaki cakap sikit kata-kata manis.”

“Mana ada!” Nafinya yang kehilangan idea untuk membalas.

“Kau boleh bohong diri kau tapi kau tak boleh bohong aku. Sebelum kau pergi jauh, lebih baik aku nasihatkan kau. Janganlah mudah terperdaya dengan janji lelaki,” ujar Zaquan lagi. Menyindir.

“Huh, orang yang bercakap tu bukan lelaki ke?” rungut Nur Sakinah dalam geram. “Dia ingat dia tu kacak sangat ke? Kalau setakat kacak, tapi perangai macam buaya tembaga, buat apa.”

“Wei, aku dengar tu!” balas Zaquan di ruang tamu.

Sempat lagi Sakinah mengejek dalam diam.


BAB 7

Sakinah melangkah ke dalam dewan kuliah dengan mata yang kuyu. Tanpa mempedulikan dewan kuliah yang bising dengan suara-suara pelajar yang mencecah hampir 30 orang itu, dia segera berlalu duduk di tempatnya dan merehatkan matanya seketika. Malam tadi, dia tidak dapat tidur dengan lena apabila tidurnya sering diganggu dengan panggilan daripada Zaquan, Tuan Mudanya itu. Boleh dikatakan hampir setiap jam Zaquan menelefonnya bertanyakan macam-macam sehinggakan mana letaknya suis lampu bilik pun Zaquan bertanya.

“Jadi, kau dah jumpa dengan Tuan Muda kau tu?” tanya Aina yang tidak sabar-sabar ingin mengetahui cerita selanjutnya daripada Sakinah sebaik-baik sahaja dia menghampiri Sakinah.

“Emm…,” jawab Sakinah sambil menguap kepenatan.

“Ceritalah sikit,” kata Aina seperti tidak sabar mendengar tentang Zaquan daripada Sakinah.

“Tak ada apa nak diceritakan. Aku ambil dia dekat airport. Lepas tu balik rumah dia, masakkan untuknya dan selepas tu balik. Tapi cerita tak tamat di situ, aku sampai saja rumah sewa aku, dia telefon aku banyak kali tanya itu dan ini sehingga suis lampu biliknya pun dia nak tanya. Akibatnya aku tak boleh tidur. Dan secara kesimpulannya, dia masih membuli aku seperti dulu,” kata Sakinah menerangkan secara ringkas.

“Bukan itu yang aku nak dengar,” kata Aina pula.

“Bukan ke kau tanya tentang Tuan Muda aku?” tanya Sakinah kembali memegang kepalanya yang masih lagi terasa berat. Malah, dia tidak dapat menggunakan akal fikirannya buat seketika.

“Takkan kau tak tahu soalan normal bagi perempuan bila bertanya tentang lelaki?” tanya Aina. Melihat keadaan Sakinah yang tidak dapat meneka apa yang tersirat pada katanya tadi, dia terus bertanya, “Dia kacak tak?”

Sakinah terdiam sebentar. Soalan Aina tadi membuatkan jantungnya berdegup dengan kencang seperti pertama kali dia bertemu dengan Zaquan semalam. Aneh. Sepatutnya, dia jantungnya tidak perlu berdegup sekencang ini apabila Aina bertanya soalan itu.

“Dia kacak?” soal Aina lagi.

“Hah, kalau setakat kacak tapi perangai masih sama macam dulu malah lebih teruk dari buaya tembaga, tak ada faedahnya,” balas Sakinah cuba mengawal degupan jantungnya. Takut kalau-kalau Aina mendengar betapa kuat dan lajunya jantungnya itu berdegup.

“Jadi, tak salahlah teori aku? Dia dah jadi kurus dan macho?” tanya Aina lagi tersenyum sinis. “Aku dah kata, teori aku tak pernah salah,” tambahnya dengan nada angkuh.

“Kau boleh kata apa pun,” Sakinah malas hendak melayannya.

“Sebelum tu, aku nak jadi orang pertama ucapkan tahniah kepada kau. Tahniah!” ucap Aina tiba-tiba.

“Apa hal pula ni?”

“Sebab kau dah jumpa dengan seseorang yang lebih kacak daripada Aizat dan mungkin lebih baik daripada Aizat,” tambah Aina lagi seperti dia lebih mengenali Zaquan daripada diri Sakinah sendiri.

“Emm... tahniah pada diri aku sebab berjaya jadi mangsa buli Tuan Muda aku kembali,” balas Sakinah dengan nada menyindir.

“Kau memang kelakah,” ujar Aina sambil ketawa. Entah apa yang lucu, Sakinah sendiri tidak tahu.

Belum sempat Sakinah hendak membuka mulut, dewan kuliah yang tadinya bising tiba-tiba senyap apabila Puan Salina, pensyarah yang mengajar kelasnya itu melangkah masuk ke dalam. Sakinah terus melupakan apa yang Aina perkatakan tadi. Tidak guna dia hendak meyakinkan Aina bahawa hubungannya dengan Tuan Mudanya hanyalah setakat kawan biasa sahaja.

“Nanti kita sambung,” balas Aina dengan nada membisik di sebelahnya.

Sakinah menarik nafas panjang. Namun, baru sahaja dia ingin berkata sesuatu kepada Aina, telefon bimbitnya bergetar sebanyak tiga kali. Dalam keadaan sorok-sorok, Sakinah membaca mesej yang diterimanya itu.

“Nampaknya, aku akan jadi mangsa bulinya selama-lamanya,” ujar Sakinah dengan nada perlahan setelah membaca mesej yang diterimanya itu. Satu keluhan berat kedengaran. Aina di sebelahnya dilihat sudah tersengih-sengih.

“Semoga berjaya menjadi mangsa bulinya,” balas Aina perlahan supaya tidak menganggu Puan Salina yang sedang memberi syarahan di bawah.

Sakinah menjeling tajam.

‘Memang bencana alam betullah Tuan Muda ni!’ jerit hatinya.

Selepas sahaja kuliahnya tamat pada jam 12.00 tengah hari, Sakinah terus mengemas buku-bukunya dan bergegas keluar dari dewan kuliah. Dia perlu segera berjumpa dengan Zaquan yang sudah beberapa kali memberi mesej peringatan kepadanya supaya jangan lupa akan janji temu mereka. Dari mula kuliah sehinggalah habis kuliah, jika dikira mesej Zaquan beri kepadanya, boleh mencapai 50 mesej dalam masa 3 jam.

‘Bencana alam pun tak teruk macam ni!’ dengusnya marah.

Tidak pasal-pasal hari ini dia tidak dapat menumpukan perhatian dengan kuliahnya. Kalaulah Tuan Mudanya ada di hadapannya sekarang, mungkin dia sudah ketuk-ketuk Tuan Mudanya itu. Macam budak kecil yang tidak faham bahasa! Sakinah merungut dalam diam.

Akan tetapi, baru sahaja Sakinah ingin meninggalkan dewan kuliah, langkahnya terhenti apabila terdengar satu suara memanggil namanya. Bukan suara Aina, tetapi suara itu seperti pernah didengarinya. Tidak mahu meneka, Sakinah berpaling ke belakang mencari siapakah yang memanggil namanya tadi.

“Honey,” ujarnya apabila ternampak Honey sedang berlari anak menghampirinya.

“Kak Sakinah, boleh tak kita bercakap sebentar?” pinta Honey penuh mengharap.

“Maaflah Honey, akak ada hal,” balas Sakinah serba salah. Lagipun, mungkin buat masa ini dia perlu jauhkan diri daripada Honey mahupun Aizat. Inilah cara terbaik untuk masing-masing memberi ruang kepada diri sendiri.

“Tolonglah! Sekejap saja,” pinta Honey seperti terdesak ingin berjumpa dengan Sakinah.

Beberapa kali Sakinah cuba untuk melepaskan diri daripada berbincang dengan Honey. Dia tidak mahu Aizat salah faham sekali lagi apabila terserempak dia dengan Honey berjumpa di luar. Namun, oleh kerana desakan Honey yang benar-benar ingin menyampaikan sesuatu dengannya, Sakinah terpaksa mengalah. Mungkin ada sesuatu yang serius yang ingin Honey sampaikan kepadanya. Oleh itu, Sakinah terpaksa membatalkan rancangannya untuk berjumpa dengan Zaquan.

Tanpa berfikir panjang, Sakinah segera memaklumkan kepada Zaquan melalui mesej sahaja dengan mengatakan bahawa dia mempunyai kelas ganti secara mengejut. Selepas memberitahu Zaquan, dia terus menutup telefon bimbitnya untuk mengelakkan daripada diganggu oleh Zaquan. Walaupun sudah lama tidak berjumpa dengan Zaquan, tetapi melalui pertemuan mereka semalam, dia tahu, Zaquan tetap seperti dahulu. Langsung tidak berubah. Jika dia tidak menuruti kata Zaquan, pasti ada sahaja yang dilakukan oleh Zaquan. Lebih baik dia memberitahu Zaquan terlebih dahulu.

Mereka berdua kemudiannya berlalu ke sebuah pondok berdekatan dengan laman utama fakulti memandangkan di situ tidak ramai orang seperti di kafe dan sesuai untuk berbincang tanpa didengari oleh sesiapa.

“Kenapa Honey nak jumpa akak?” tanya Sakinah kepada Honey yang kelihatan sugul itu. Tidak seperti selalu. Selalunya Honey akan dilihat tidak lekang dengan senyuman manis di bibir. Cuma hari ini sahaja Honey kelihatan seperti dalam kesedihan.

“Kami dah berpisah,” kata Honey sepatah.

“Hah?!” Sakinah tidak pasti adakah telinganya sedang berbohong atau Honey yang berbohong sekarang.

“Saya tak boleh terimalah. Saya rasa bersalah sangat sebab tulah saya minta putuskan hubungan ni,” kata Honey lagi kelihatan seperti kusut memikirkannya. “Saya sangat sayangkan Abang Aizat tapi… susahlah!”

“Apa maksud Honey?” tanya Sakinah tidak faham.

“Kadangkala, saya tertanya-tanya apa perasaan saya terhadap Abang Aizat dan jawapannya, saya sendiri tidak tahu. Saya sayang dia tapi saya tak pasti itu perasaan cinta atau sekadar suka. Jadi, saya ambil keputusan untuk berpisah dengan Aizat,” terang Honey.

“Tapi kenapa? Bukan ke Honey sukakan Aizat?” tanya Sakinah lagi. Keputusan Honey memutuskan hubungan itu memang langsung tidak dijangkanya.

“Suka tak bermakna cinta. Saya tak tahu. Mungkin sebab nafsu ingin memiliki segalanya. Sejak Aizat putuskan hubungan persahabatan dengan Kak Sakinah, hati Honey tak tenteram. Honey tak sanggup jadi perempuan jahat.”

“Apa maksud Honey ?” tanya Sakinah tidak faham.

“Yalah. Saya dah menyebabkan hubungan Kak Sakinah dengan Aizat putus. Itu maknanya saya dah jadi perempuan jahat,” kata Honey lagi.

“Hah?” terkejut Sakinah mendengarnya. “Kenapa pula Honey fikir macam tu?” tanyanya lagi. Kadangkala, dia tidak faham dengan perangai Honey yang sukar dijangkanya itu.

“Saya fikir saya tak sesuai dengan Aizat. Walaupun saya bengang dengan sikap Aizat tapi saya terpaksa akui Aizat memang baik. Dialah lelaki pertama yang saya rasa sangat ambil berat terhadap saya tapi saya tak cukup baik untuknya,” terang Honey.

“Honey minta putus macam tu saja? Habis Aizat kata apa?”

“Dia marah-marah lepas tu pergi macam tu saja,” beritahu Honey. “Saya tak tahu nak buat macam mana lagi. Saya rasa dengan diri saya yang macam ni memang tak layak bercinta dengan Aizat.”

“Apa maksud Honey?”

“Sebenarnya saya dah lama cuba menafikannya tapi kadangkala susah. Saya rasa Aizat memang ada hati pada Kak Sakinah tapi dia sendiri tak perasan sebab Kak Sakinah selalu ada di sebelahnya dulu tapi bila Kak Sakinah tiada, dia dah tak macam dulu. Saya tengok macam dia hilang sesuatu. Saya tak sanggup tengok keadaan Aizat macam tu, sebab tulah saya rasa putuskan hubungan ni adalah jalan penyelesaiannya,” jelas Honey panjang lebar lagi.

“Mungkin perasaan Honey saja,” ujar Sakinah pula rasa serba salah.

“Saya tahu tapi saya tak nak pentingkan diri lagi,” ujar Honey. “Dan saya tak nak dicop sebagai budak kecil lagi. Kalau saya terus macam ni, sampai bila-bila pun saya akan jadi seorang yang tidak pandai berdikari.”

Nur Sakinah memandang Honey dengan penuh tanda tanya.

“Saya nak jadi macam Kak Sakinah.”

“Hah?”

“Terus terang saya memang cemburukan Kak Sakinah sebab Kak Sakinah ada sesuatu yang boleh membuat Aizat rasa selesa manakala saya pula selalu buat Aizat pening kepala. Saya tak nak jadi seorang yang sering dirisaukan. Saya nak jadi seorang yang pandai berdikari seperti Kak Sakinah.”

“Honey….”

“Saya nak berubah dan jadi orang yang hebat daripada Kak Sakinah!”

‘Siapa pulak yang rasuk si Honey ni?’ detus hati Nur Sakinah terkejut dengan apa yang didengarnya tadi. Namun, dia gembira dengan keberanian Honey mencari sesuatu untuk memperbaiki kelemahan diri.

***

Beberapa kali Zaquan cuba menghubungi Sakinah, tetapi acap kali dia menghubungi nombor itu, taliannya disambungkan ke peti pesanan suara. Selepas sahaja menerima mesej daripada Sakinah yang memberitahu tidak dapat menemuinya, dia terus menghubungi Sakinah, tetapi nampaknya Sakinah lagi bijak dengan menutup telefon bimbitnya.

Selepas beberapa kali Zaquan tidak dapat menghubungi Sakinah, dia terus keluar dengan memandu kereta yang baru sahaja sampai di rumahnya pagi tadi dihantar selepas dia memberitahu inginkan sebuah kereta untuk memudahkannya ke hulu ke hilir. Tanpa buang masa dia segera memandu keretanya keluar dari pekarangan villanya dan memandu ke jalan raya menuju ke rumah sewa Sakinah.

Sewaktu melewati pekarangan rumah Sakinah, dia bernasib baik kerana terlihat Sakinah yang baru sahaja ingin memasuk ke dalam rumah sewanya itu. Lantas dia membunyikan hon beberapa kali.

Sakinah terkejut apabila disapa dengan bunyi hon tidak jauh dari rumahnya itu. Dia mengamati lelaki dalam kereta itu dan kemudian baru dia menyedari bahawa lelaki itu adalah Tuan Mudanya setelah Tuan Mudanya bertindak keluar daripada kereta tersebut.

“Tuan Muda, apa Tuan Muda buat di sini?” tanya Sakinah yang masih terkejut. Zaquan tidak berkata apa-apa, tetapi sebaliknya menarik Sakinah masuk ke dalam keretanya itu.

‘Habis, dia dah mula dengan perangai gilanya,’ detus hati Sakinah yang sudah dapat mengagak sesuatu yang tidak kena terhadap Zaquan. Inilah padahnya bila arahan Tuan Mudanya tidak ikut. Nampaknya, dia terpaksa melayan karenah Tuan Mudanya yang sedang panas hati itu.

7 si charming:

  1. OkiE a.k.a WitcH berkata...:

    yeah!!TOP jd Zaquan..suka2..sambung lg ^_^

  1. akira_bita berkata...:

    best22!! suka Zaquan! aizat tu bg je kat honey.. sbb honey pun nak berubah kan? hehehehehe

  1. hahah.
    suka ini. !!!

    habislah, pasni aizat cari sakinah balik.

  1. Yong berkata...:

    best..best...nak lagi. apa akan jadi gan aizat ye?cari sakinah balik ke?
    ni si putera kejam ni nak bawak ke mana kah dayang dia?

  1. dya_hana berkata...:

    wah! sweet sangat3. tempted utk jatuh hati kat zaquan. sape xjatuh hati dgn org cam die. ^_______^ tahniah kak nurfa hasilkan karya ni.

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages