TKC: BAB 1



Nur Sakinah membuka kelopak matanya. Berkelip-kelip matanya merenung lama siling biliknya sebaik-baik sahaja dia terjaga dari tidurnya. Tiba-tiba sahaja dia diselubungi satu perasaan yang aneh, tetapi seperti pernah dialaminya suatu masa dahulu. Mimpi yang baru sahaja dialami olehnya tadi telah menyebabkannya termenung sejenak. Ini kali pertama dia merasai satu perasaan yang tidak dapat diungkapkan setelah terjaga daripada tidur. Dia mengimbas kembali mimpi yang dialaminya tadi, tetapi seperti ada satu tembok yang tidak membenarkan dirinya kembali mengingati ingatan mimpi itu.


Sedang Sakinah asyik termenung mengingati mimpinya tadi, dia dikejutkan dengan satu bunyi dari jam loceng kepunyaannya yang dikunci bagi mengejutkannya bangun pagi. Dia lantas bangun dari baringnya dan bergerak menghampiri sebuah jam loceng yang diletak di atas meja tidak jauh dari katilnya. Sememangnya dia sengaja meletak jam loceng itu di tempat yang jauh untuk dicapai. Ini adalah untuk menggelakkannya daripada menutup jam itu dan tidur kembali. Petua daripada salah seorang pensyarahnya itu diamalkan sejak dia belajar di Kolej Warisan sehingga sekarang. Bunyi bingit jam loceng itu terhenti serta-merta sebaik-baik sahaja Sakinah menekan satu butang di atas jam itu.


Tepat jam 5.00 pagi. Tidak payah melihat jarum jam itu pun dia sudah tahu bahawa sekarang sudah jam 5.00 pagi. Sakinah menggeliat malas sambil membetulkan otot-ototnya selepas membuka membuka suis lampu bilik yang disewanya sebagai tempat tinggalnya sewaktu belajar di Kolej Warisan. Oleh kerana kolejnya hanya memberi bilik kepada pelajar-pelajar semester satu dan semester dua, Sakinah terpaksa menyewa bilik berdekatan dengan kolejnya itu bagi memudahkan dia pergi ke sana. Walaupun pada awalnya agak susah untuk suaikan diri, tetapi lama kelamaan dia sudah tidak kisah berulang-alik dari rumah sewanya ke kolej.


Sakinah kemudiannya menghampiri sebuah meja tulisnya yang di atasnya berselerak dengan buku dan nota-nota kuliah. Sebuah telefon bimbit jenama Nokia 3310 yang terselit di bawah buku rujukan yang tebal itu dicapainya. Melihat keadaan telefon bimbitnya yang sudah uzur, dia tersenyum sendirian.


Rasanya, jikalau pihak kolej membuat survey mengenai jenis penggunaan telefon bimbit yang dipakai oleh pelajar-pelajarnya, pasti hanya dia seorang sahaja yang memakai telefon bimbit jenis itu. Rata-rata pelajar Kolej Warisan sudah beberapa kali menukar telefon bimbit mengikut keluaran semasa, tetapi dia masih lagi menggunakan telefon bimbit zaman 90an itu. Kadangkala, telefon bimbitnya juga sering menjadi mangsa ejekkan Farihah, tuan kepada rumah yang disewanya sekarang.


“Wei, wujud lagi telefon bimbit macam tu? Aku ingat dah dihapuskan dah. Orang zaman sekarang ni dah tak gunalah telefon bimbit zaman 90an tu. Stok baling anjing bolehlah,” sindir Farihah yang selalu bermasalah dengannya.


Apa sahaja yang ada pada dirinya, pasti akan menjadi bahan sindiran Farihah. Namun, Sakinah tidak cepat melenting hanya kerana sindiran itu. Bagi yang tidak mengenali Farihah mungkin tidak tahan dengan perangai Farihah yang tidak boleh melihat orang lain lebih sedikit daripadanya. Bagi Sakinah, walaupun pedih telinganya mendengar sindiran-sindiran Farihah itu, dia cuba untuk bersabar. Baginya, mungkin perangai Farihah memang begitu dan tiada sesiapa pun yang dapat mengubah Farihah melainkan diri Farihah sendiri. Tetapi dia tetap berdoa supaya Farihah sedar perbuatannya.


Bagi Sakinah juga, walaupun Farihah menghina telefon bimbitnya yang ketinggalan zaman, dia tetap setia dengan telefon bimbitnya itu. Biarpun terdapat pelbagai telefon bimbit yang canggih keluar di pasaran sekarang, tetapi satu pun tidak boleh menandingi telefon bimbitnya yang tahan lasak itu. Lagipun sudah lama telefon bimbitnya itu berjasa dengannya. Tambahan pula telefon bimbitnya itu merupakan barang pertama yang dibeli dengan wang sendiri semasa bekerja di sebuah kedai 7eleven semasa menunggu keputusan SPM. Mungkin mengenangkan keadaannya yang tidak berduit pada waktu itulah dia tidak mahu membazir wang semata-mata ingin memiliki telefon bimbit yang lebih canggih.


Bukan seperti Farihah yang selalu mengharapkan duit kedua orang tuanya untuk bertukar-tukar telefon. Kadangkala, Farihah juga mendapat duit dan barangan perhiasan lain daripada teman lelakinya. Pernah sekali Sakinah terdengar perbualan Farihah meminta sebuah jam tangan yang berjenama melalui telefon, tetapi tidak pasti kepada siapakah Farihah memintanya kerana Farihah memang ramai teman lelaki. Setiap bulan pasti ada sahaja gosip tentang Farihah yang bertukar teman lelaki didengarinya. Ingin sahaja dia menasihati Farihah, tetapi siapalah dia bagi Farihah supaya mendengar tegurannya itu. Pastinya Farihah akan menengkingnya semula dan menghalaunya keluar dari rumahnya itu. Tambah lagi satu masalah.


Nur Sakinah sekadar menggeleng. Kalau difikirkan tentang perangai Farihah yang sentiasa menyusahkan orang itu, memang boleh pening kepalanya. Walaupun kasihan dengan perangai Farihah yang tidak pernah sedar akan apa yang dilakukannya, tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa. Orang seperti Farihah itu, nasihat sebanyak mana pun, tidak akan berubah.


Sakinah berhenti memikirkan masalah Farihah. Tidak gunanya dia memeningkan kepalanya memikirkan masalah Farihah jikalau Farihah tidak berusaha untuk mengubah dirinya sendiri. Lantas dengan itu, Sakinah mendail nombor telefon seseorang yang sudah tersimpan semat di dalam telefon bimbitnya itu.


Lama dia menanti namun panggilannya masih tidak dijawab. Sakinah berpaling memandang jam pada dinding biliknya.


‘Dah bangunkah?’ teka hatinya. Mustahil orang yang cuba dihubunginya itu sudah bangun dari tidur. Selama ini, kalau tidak dikejut, orang itu tidak akan bangun.


Sakinah terus mendail walaupun panggilannya sebelum ini disambut oleh peti simpanan suara. Beberapa kali dia mencuba, barulah panggilannya disambut oleh seseorang dengan suara yang masih mamai.


“Emm… nak bangunlah ni,” jawab satu suara lelaki yang amat dikenalinya.


Sebaik-baik sahaja mendengar panggilannya itu bersambut, Sakinah terus mengukir senyuman. Memang sudah menjadi kebiasaannya mengejutkan lelaki itu bangun pagi.


“Hari ni awak nak makan apa?” tanya Sakinah seperti selalu.


“Nasi goreng dan jangan lupa telur mata separuh masak,” balas suara itu di hujung talian. Suaranya masih seperti orang mamai berkata-kata.


“Pedas?” tanya Sakinah lagi.


“Jangan pedas sangat. 50/50,” jawabnya.


“Okey, jangan lupa bangun tau. Jangan tidur balik,” ujar Sakinah yang sudah memahami lelaki itu.


“Yelah. Dah bangun ni,” suara lemah itu kedengaran lagi.


“Okey, jumpa di tempat biasa,” tambahnya lagi sebelum memutuskan panggilan.


Senyuman Nur Sakinah masih tidak lekang lagi. Sejak dia masuk ke dalam kamar mandi dan keluar semula selepas membersihkan diri, dia masih tersenyum. Tiada apa yang perlu dirahsiakan. Sememangnya, dia sudah lama jatuh hati dengan lelaki yang dihubunginya tadi.


Selesai sahaja mengerjakan sembahyang Subuh, Sakinah sekali lagi mencapai telefon bimbitnya dan mendail nombor yang dihubunginya tadi. Suara yang sama jelas kedengaran sekali lagi.


“Dah bangun?” soal Sakinah seperti sudah dapat mengagak bahawa orang yang dihubunginya itu pasti akan tidur semula. “Dah azan Subuh dah ni,” tambah Sakinah lagi mendesak suruh bangun.


“Okey. Nak bangunlah ni,” kata suara itu dengan nada malas. Talian ditamatkan sekali lagi. Tanpa berlengah lagi, Nur Sakinah terus berlalu ke dapur rumah sewanya dan mula memasak nasi goreng yang seperti diminta oleh lelaki yang bernama Kamarul Aizat itu.


***



Kolej Warisan yang terletak di pinggiran bandar raya Kuala Lumpur, kembali sibuk dipenuhi dengan pelajar-pelajarnya seperti hari-hari biasa. Kebanyakan pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran di kolej itu terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia. Ada juga pelajar yang datang dari Sabah dan Sarawak yang datang untuk menuntut ilmu di kolej swasta yang terkemuka di Malaysia itu. Setiap jalan dan tempat letak kenderaan mula dipenuhi dengan pelbagai jenis dan jenama kenderaan pelajar yang antaranya datang dari keluarga yang berkemampuan. Mereka berpusu-pusu menuju ke fakulti masing-masing. Malah, ada juga yang masih lagi berkumpul di kafe sementara menunggu kelas berikutnya mengikut jadual masing-masing.


Tatkala pelajar-pelajar yang lain sibuk menjalani rutin harian mereka, sebuah bas berwarna biru dan tertulis Kolej Warisan pada badan bas itu, berhenti di sebuah perhentian bas yang dibina berdekatan dengan pusat sukan yang tidak jauh dari kafe yang menjadi kegemaran pelajar kolej itu melepak sementara menunggu kelas seterusnya. Biarpun kebanyakan pelajar kolej itu memiliki kenderaan sendiri, tetapi pihak kolej tidak mengabaikan pelajar yang tidak berkemampuan dan tidak mempunyai kenderaan dengan menyediakan pengangkutan bas bagi memudahkan mereka menjalani kehidupan seperti pelajar lain.


Oleh itu, Sakinah langsung tidak melepaskan peluang itu dengan menggunakan pengangkutan bas yang disediakan dengan sebaiknya. Oleh kerana rumah sewa yang didudukinya jauh dari kolej, dia telah menghafal masa penjalanan bas bagi mengelakkannya tidak ketinggalan bas untuk menghadiri kuliah. Walaupun dia tinggal serumah dengan Farihah yang memiliki sebuah kereta Toyota Vios, tetapi selama dia berkawan dan duduk serumah dengan Farihah hanya sekali sahaja dia pernah menumpang kereta Farihah. Ada juga rakan-rakannya yang berasa pelik dengan keadaannya itu, tetapi Sakinah pantas menafikan khabar angin bahawa dia dengan Farihah telah bergaduh. Sakinah dengan rasa rendah diri telah memberi alasan bahawa jadual Farihah tidak sama dengan jadual kelasnya.


Sebenarnya Sakinah sendiri sukar menjelaskan apakah yang telah terjadi tentang hubungannya dengan Farihah. Mungkin kerana sikap Farihah yang mudah berubah-ubah itu, Sakinah tidak menumpang Farihah lagi dan mengambil keputusan untuk menaiki bas yang disediakan. Dengan itu, dia tidak rasa terhutang budi dengan Farihah. Lagipun, dia sudah biasa ke sana ke sini dengan menaiki bas. Jadi, menaiki kenderaan awam tidak bukanlah pengalaman baru baginya.


Sebaik-baik sahaja bas itu berhenti, Sakinah dan beberapa orang pelajar Kolej Warisan yang turut menggunakan pengangkutan itu, turun dari bas tersebut. Kemudian, tanpa mempedulikan pelajar yang lain yang telah mengorak langkah terlebih dahulu, Sakinah terus berjalan pantas menuju ke taman berhampiran dengan pusat sukan memandangkan dia masih mempunyai masa selama sejam sebelum kelasnya bermula jam 9.00 pagi nanti.


Apabila langkahnya menghampiri sebuah bangku panjang, pandangan matanya meliar mencari tubuh seseorang daripada beberapa orang yang berjoging di sekitar tempat itu. Dari jauh pandangan matanya menangkap kelibat seorang pemuda yang memakai sweater hijau cair, berseluar panjang dan berkasut sukan sedang berjoging di laluan yang telah disediakan. Seperti arus ada satu daya yang membuatkan Sakinah terus mengukir senyuman apabila melihat pemuda yang menarik perhatiannya sejak sekian lama.


Kamarul Aizat atau lebih mesra dengan panggilan Aizat melambai-lambai tangan ke arah Sakinah setelah menyedari kehadiran Sakinah di bangku panjang yang selalu di gunakan mereka untuk menikmati sarapan pagi. Bangku itulah juga yang selalu menjadi tempat Sakinah duduk menonton Aizat yang bermain bola keranjang setiap petang di gelanggang terbuka yang turut disediakan tidak jauh dari situ.


Jika dilihat, mereka berdua kelihatan seperti pasangan kekasih yang sedang bercinta, tetapi ramai yang keliru dengan hubungan itu. Pada hakikatnya mereka hanyalah sekadar kawan baik. Namun, rata-rata yang kenal Sakinah mengetahui bahawa Sakinah sememangnya menaruh harapan pada Aizat cuma Aizat sahaja yang jual mahal.


“Hari ni ada latihan?” Sakinah bertanya kepada Aizat sebaik-baik sahaja pemuda itu mula menjamah nasi goreng yang dimasaknya pagi tadi.


“Ada. Tapi aku join selepas jam 5.00 petang sebab terpaksa temankan Honey shopping. Kau tahulah perangai dia yang bila ada majlis makan malam fakulti,” kata Aizat berterus-terang.


Sakinah mengangguk. Walaupun Aizat merupakan lelaki yang amat diminatinya, tetapi dia perlu mengakui bahawa hubungannya dengan Aizat hanyalah sekadar kawan biasa sahaja. Lagipun, Aizat sudah mempunyai teman wanita yang bernama Hamidah atau lebih mesra dengan panggilan Honey. Memang tidak dapat dinafikan Honey sememangnya cantik. Baik di dalam mahupun di luar. Seorang yang perangai manja dan sedikit kebudak-budakkan. Adakalanya Honey dilihat seperti perempuan gedik yang lain, tetapi jika seseorang itu mengenali Honey, pasti akan tercuit dengan perangai gediknya itu. Namun, bagi Sakinah, biarpun Honey adalah teman wanita Aizat, dia langsung tidak pernah menyimpan perasaan dendam terhadap Honey atau menganggap Honey sebagai musuh peribadi. Baginya, tiada sebab untuknya bermusuhan dengan Honey semata-mata kerana seorang lelaki biarpun dia masih mengharap Aizat.


Mungkin orang anggap dia seorang yang bodoh kerana melepaskan Aizat ke tangan Honey yang dikatakan tidak layak langsung berdampingan dengan Aizat. Namun, sebenarnya ramai yang tidak mengerti. Dalam cinta, tiada paksaan. Jika Aizat sudah memilih Honey, itulah pilihan Aizat yang muktamat. Dia sudah berusaha untuk memenangi hati Aizat namun apakan dayanya jikalau Aizat tetap memilih Honey. Oleh kerana itu, Sakinah lebih rela menjadi seorang sahabat daripada talian persahabatan mereka terputus gara-gara terlampau mengikut perasaan sendiri.


“Kau tak sertai makan malam tu?” tanya Aizat.


Sakinah sekadar menggeleng sambil mengeluh berat. Bukannya dia tidak mahu menyertai makan malam itu, tetapi keadaannya yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang itu menjadi batu penghalang. Sesekali dia juga ingin merasa berada di majlis yang hebat, tetapi memandangkan keadaannya yang sesak itu, dia melupakannya saja.


“Kau sertai majlis tu?” tanya Nur Sakinah memandangkan Aizat bukan satu fakulti dengan Honey.


“Biasalah. Apa boleh buat kalau Honey nak pergi juga. Takkanlah aku nak suruh dia pergi seorang diri. Nanti merajuk pula,” balas Aizat yang sudah tahu perangai Honey.


“Aku teringin nak pergi…,” ujar Sakinah mengeluh berat.


“Kalau kau nak aku….”


Sakinah pantas menggeleng. Dia tahu apa yang ingin diperkatakan oleh Aizat itu. Aizat sudah sedia maklum dengan keadaannya yang hidup sebatang kara. Tiada ibu bapa dan tiada saudara mara dan hidup dengan berjimat cermat.


“Kau masih lagi keras kepala macam dulu,” balas Aizat yang sememangnya amat memahami keadaan Sakinah yang bergantung pada duit biasiswa untuk meneruskan pengajiannya di kolej itu. Walaupun dia ikhlas menghulur bantuan, tetapi Sakinah tetap berkeras tidak mahu menerima bantuan kewangan daripadanya.


“Huh! Dah agak dah!” tiba-tiba satu suara menyapa mereka berdua yang sedang berbual kosong. Serentak itu, keduanya berpaling memandang ke arah seorang gadis berusia awal 20an yang memiliki ketinggian seperti seorang model itu.


Wajahnya dikatakan mirip dengan salah seorang penyanyi yang berasal daripada Korea ketika demam K-pop melanda Malaysia, tetapi sebenarnya disebabkan mekap yang dipakainya dan potongan fesyen rambutnya membuatkan gadis itu kelihatan seiras dengan penyanyi itu. Kulitnya putih melepak selain memiliki sepasang mata yang cantik seperti model dalam iklan maskara. Gadis yang mesra dengan panggilan Honey itu memandang mereka berdua dengan jelingan tajam.


“Aizat, dah beberapa kali saya cakap. Awak tu boyfriend saya. Boyfriend saya hak saya seorang saja. Saya tak suka awak duduk berdua-duaan dengan perempuan lain selain saya!” Honey bersuara sebelum menarik Aizat pergi dari situ.


Aizat sempat lagi menghabiskan nasi goreng yang dimasak oleh Sakinah itu sebelum ditarik oleh Honey yang sudah mula cemburu. Dia juga sempat memberi isyarat kepada Sakinah.


Sakinah sekadar membalas isyarat Aizat dengan mengangkat tangannya sambil mengukir senyuman. Mungkin sebab itulah dia tidak pernah bermusuhan dengan Honey. Baginya walaupun Honey telah merampas kekasih hatinya, tetapi Honey tidak pernah melancarkan serangan balas yang melampau. Paling teruk pun Honey akan menarik Aizat pergi seperti tadi dan selepas itu bermulalah agenda pujuk memujuk mereka berdua. Kadangkala dia kelakar dengan hubungan mereka berdua.


***


“Aku nampak si Aizat tu dalam proses memujuk Honey tadi. Apa yang kau dah buat?” tanya Aina atau nama penuhnya Nur Farah Aina yang juga merupakan kawan karib Sakinah yang paling rapat di Kolej Warisan itu. Kebetulan, Aina juga satu fakulti dengannya dan menjadikan hubungan mereka bertambah rapat.


“Alah, biasalah,” balas Sakinah malas hendak komen secara lanjut.


“Kau buat hal lagi ke?” tanya Aina yang sememangnya pandai meneka dan pandai mencipta teori-teori berkenaan dengan perasaan.


Sakinah mengangkat bahu. Kadangkala dia sering menjadi mangsa gosip-gosp liar yang mengatakan dia sedang berusaha untuk memusnahkan hubungan Aizat dan Honey. Sudah banyak kali dia cuba menafikan gosip-gosip itu, tetapi akhirnya dia terpaksa mengakui, begitu susah untuk menutup mulut orang.


“Aku rasa kau patut cari teman lelaki cepat-cepat. Kesian aku tengok dia orang berdua tu. Takkan kau nak tunggu Aizat tu? Dia dah terang-terang kata dia sukakan Honey. Walaupun aku tak suka dengan perangai Honey tu tapi aku rasa kesian dengan mereka berdua. Ah, aku pun tak tahu tapi aku rasa Honey tu tak bersalah,” balas Aina kusut memikirkan masalah rakannya itu. Sememangnya dia sebagai rakan Sakinah, dia perlu memihak kepada Sakinah, tetapi lain pula yang jadi. Walau apapun, dia tetap berasa kasihan pada Honey.


“Ada aku cakap Honey bersalah ke?” tanya Sakinah kembali.


“Habis tu?” tanya Aina pula inginkan penjelasan.


“Kalau aku terangkan pun kau takkan faham. Memang aku sukakan Aizat dan aku masih mengharapkan dia, tapi aku bukan jenis perempuan yang akan memusnahkan kebahagian orang lain. Aizat dah pilih Honey dan aku terima walaupun payah. Aku gembira bila dia gembira biarpun dia bersama Honey,” terang Sakinah buat kali ke berapa entah.


“Kau ni manusia yang tak ada perasaan ke?” keluh Aina.


“Mungkin,” jawab Sakinah sepatah.


***


“Saya geramlah! Saya rasa macam nak pijak-pijak saja nasi goreng yang dia buat tu tadi,” kata Honey dengan penuh perasaan geram. Sesekali kakinya menghentak-hentak tanah. Aizat yang duduk di hadapannya sekadar mengukir senyuman sejak tadi mendengar ketidakpuasan hati yang diluahkannya tadi.


“Kenapa awak gelak?!” Honey meninggikan suara sambil menarik muncung.


“Takkan dengan nasi goreng pun awak nak cemburu tak tentu pasal,” ujar Aizat mula berbicara. Dia kelihatan tenang walaupun Honey sedang menahan geram. Mungkin kerana dia sudah terbiasa dengan perangai Honey itu dan tahu bagaimana hendak memujuk gadis itu.


“Memanglah! Mentang-mentanglah saya tak reti buat nasi goreng untuk awak, awak pula dengan senang-senang cari Kak Sakinah. Siapa yang tak geram!” balas Honey.


“Kalau macam tu, buatlah nasi goreng untuk saya selalu,” balas Aizat selamba.


“Eee… awak dah gila ke? Saya ni pegang kuali pun dah takut, inikan nak masak untuk awak!” ujar Honey meremang bulu romanya tiba-tiba apabila Aizat meminta dia memasak nasi goreng.


“Kalau dah tahu macam tu, kenapa nak geram tak tentu pasal?” balas Aizat lagi.


“Aizat, saya sangat-sangat sukakan awak. Saya sanggup buat apa saja untuk awak tapi saya tak sanggup masak untuk awak,” kata Honey berterus-terang. Namun, ungkapannya itu sempat membuat Aizat ketawa. “Saya takut kalau Kak Sakinah letak apa-apa dalam nasi tu dan lepas tu awak pun jatuh hati dengan dia...,” kedengaran lagi hentakan kaki Honey.


“Honey, saya pernah ajar awak, bukan? Jangan prasangka buruk terhadap Sakinah,” ujar Aizat menegur Honey dengan lembut.


“Tapi, Farihah kata….”


“Farihah boleh kata macam-macam tentang Sakinah tapi awak tak boleh percaya bulat-bulat dengan kata Farihah. Kalau Sakinah dah letak macam-macam dalam makanan tu, saya takkan duduk depan awak sekarang. Tahu tak?”


Kemudian, lambat-lambat Honey mengangguk perlahan dan disertai dengan senyuman manjanya. Begitu senang Aizat memujuk!


“Jadi, hari ni jadi tak nak pergi shopping?” tanya Aizat menukar tajuk perbualan mereka pagi itu.


“Mestilah,” balas Honey yang dalam sekelip mata sahaja berubah menjadi ceria.

8 si charming:

  1. ash.ush.ish berkata...:

    okeh, ini cmm best..hehehe..boleh la isi mase lapang membace sementara tgu HC dgn anatsia..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    best..

  1. NukSe berkata...:

    waa.. best2.. hehe pengubat rindu Hikayat Cinta..

  1. whoahahahahaa..
    sakinah stock2 nurul. takde perasaan. sukaaaa.

    *ttbe rindu kat prince charming. muehehe*

    skang ni baru nampak 1 je watak yang kurang menyenangkan. hihi.
    next2.

  1. Humai berkata...:

    Wah!!! suka-suka cerita ini. :D

  1. Unknown berkata...:

    siannya Sakinah, Honey pulak perangai camtu
    pepun, tertarik nak baca Hero lagilah
    ganbatte!!!
    ^^

  1. cArBOnAtE S0Da berkata...:

    permulaan yg bes.. da tau heroin.. hero je xmncul2 lg :)

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages