SuD 1


Bab 1 - Kawan dan Keluarga



Bab 1

Eeuuu… kau mimpi hampir nikah dengan Nazwan?” kata Sarah dengan mimik muka yang menjengkelkan setelah Arissa menceritakan mimpi yang dialami olehnya malam tadi.
Memang eeuuu… Nasib baik aku sempat halang, kalau tak memang punah masa depan aku nak jadi isteri Zakri nanti!” balas Arissa sambil menjeling tajam ke arah Nazwan Syah yang turut berada di situ. Lelaki yang tinggi lampai itu sekadar mendengar dan menjamah hidangan tengah hari yang dibelinya tadi.
Aku dah kata, semua tu hanya mimpi. Kenapa kau nak kisah sangat sampai telefon aku pagi-pagi buta. Tak perlulah panik sangat,” jawab Nazwan tenang seperti selalu.
Seolah-olah tiada apa yang perlu dirisaukan. Arissa mengeluh. Bercakap dengan Nazwan memang buang tenaga sahaja. Lelaki itu tidak pernah ambil peduli dengan apa yang dia ucapkan.
Macam mana kalau mimpi tu betul-betul akan berlaku? Macam mana kalau suatu hari nanti, kita kena kahwin paksa? Macam mana kalau suatu hari nanti kita terlanjur dan dipaksa kahwin? Macam mana kalau suatu hari nanti kita kena tangkap basah dan kita kena kahwin? Macam mana kalau suatu hari nanti kita betul-betul akan berkahwin?!” ujar Arissa menahan geram.
Kenapa semuanya contoh kahwin paksa?” soal Sarah.

Arissa menjeling memandang Sarah. Jelingan Arissa menyebabkan Sarah mengunci mulutnya serta-merta.
Aku paling tak suka dapat mimpi macam ni. Otak aku akan sentiasa berfikir dan berfikir segala kemungkinan dan ianya hanya akan berakhir kalau aku dapat mimpi yang memberikan petanda yang baik. Aku masih ingat lagi, masa aku berada di sekolah menengah, aku bermimpi seorang budak lelaki yang paling aku benci bagi bunga kat aku dan beberapa hari kemudian dia betul-betul bagi aku bunga. Kau nampak apa yang membuatkan aku panik sekarang? Dan aku takut bila benda tu berlaku, aku akan dicop perampas dan Natasya gerenti akan tumbuk aku sampai lebam sebab curi cinta hati dia,” tambah Arissa dengan panjang lebar.
Aku tak sejahat macam tu, Arissa,” Natasya yang mendiamkan diri sejak tadi mula bersuara. Gadis tinggi lampai yang pernah jadi model itu juga geli hati mendengar mimpi Arissa.
Sorry Natasya, aku tak tahu apa yang dah berlaku sampai aku termimpikan teman lelaki kau. Serius, aku langsung tak ada sedikit pun perasaan terhadap Nazwan. Dia yang sibuk-sibuk nak nikah dengan aku,” tegas Arissa sambil mengangkat tangannya paras bahu seakan berikrar.
Jangan risau. Aku tahu. Aku kenal kau. Kau kawan baik aku,” ujar Natasya.
Oh… thank you Natasya. Kau memang kawan baik aku selamanya,” tambah Arissa lagi sambil memeluk Natasya dengan erat.
Okey, okey. Aku tahu tapi kalau kau peluk aku dengan kuat sampai buat aku tak bernafas, bukan kawan namanya tu,” ujar Natasya meronta-ronta minta dilepaskan.
Sorry!” ucap Arissa terus melepaskan pelukannya selepas menyedari hal itu. Mungkin kerana terlampau gembira, dia tidak sedar yang pelukannya hampir membuatkan rakannya itu tidak dapat bernafas.
Aku masih ragu-ragu dengan mimpi kau lagi," ujar Luqman yang baru bersuara.
Sekali pandang, Luqman seperti seorang pelajar skema kerana selain pakaiannya yang nampak skema, dia juga memakai cermin mata bulat yang menjadi kegemaran pelajar skema yang lain. Namun, pada hakikatnya, Luqman merupakan seorang yang selalu mencari pasal dengannya. Lagi satu, cermin mata bulatnya itu hanyalah hiasan semata-mata.
Kenapa?” tanya Arissa yang pada awalnya malas ingin bertanya.
Kau pasti kau mimpi pasal Nazwan hampir bernikah dengan kau? Atau kau dengan dia hampir...," kata-katanya terhenti di situ tetapi dari gayanya dia cuba ingin untuk bercakap sesuatu.
Apa yang kau cuba terangkan ni?” tanya Arissa mengerut dahi.
Errr... Kita pernah belajar pasal perbezaan lelaki dengan perempuan di sekolah dulu... Aku tak pasti tingkatan berapa tapi aku suka dengan subjek tu. Tambah lagi cikgu yang mengajar subjek tu adalah perempuan... Perghhh.... Memang cute waktu.... Adui!” kata-kata Luqman sekali lagi terhenti apabila dia merasakan ada sesuatu yang memijak kakinya. Walaupun dia tidak melihat, namun dia yakin, kakinya dipijak oleh kasut tumit tinggi yang dipakai oleh Sarah. Semakin lama semakin kuat dipijaknya.
Okey, okey... Surrender!” kata Luqman mengangkat tangan menyerah kalah. Akhirnya, barulah Sarah mengangkat kembali kakinya dari kaki Luqman.
Terima kasih Sarah. Aku hampir nak bagi pelempang kat boyfriend kau ni,” ujar Arissa menahan geram. “Otak aku masih lagi suci, jadi jangan sesekali nak mencabul otak aku dengan fikiran kotor kau tu.”
Aku cuma nak pastikan sama ada perempuan turut bermimpi apa yang lelaki turut mimpi yang menandakan mereka dah dewasa. Itu saja,” tambah Luqman.
Sarah, apa yang kau dah buat pada boyfriend kau ni?” soal Arissa.
Dia tersalah makan ubat hari ni. Abaikan,” jawab Sarah yang malas melayan kerenah teman lelakinya itu.
Kau patut lakukan sesuatu sebelum penyakit otak kotor dia makin menjadi-jadi,” tambah Arissa lagi.
Tiba-tiba, badannya keras macam batu. Seperti baru sahaja terkena sumpahan tenungan makhluk Gorgon. Namun, bukan Gorgon yang membuatkan dia kaku sebegitu. Sebaliknya, kelibat seorang lelaki yang baru sahaja melangkah masuk ke dalam kafeteria yang menjadi tempat makan bagi pelajar di universiti itu.
Dia dah datang...,” ujar Luqman yang pada masa yang sama berpaling setelah melihat Arissa keras macam batu.
Serentak itu Arissa yang bagaikan terpukau itu tersedar. Lantas dia mencapai air minuman yang ada di hadapannya dan meneguknya sedikit. Selepas itu dia membetulkan rambut hitamnya supaya kelihatan rapi dan elok. Melihat kelibat seorang lelaki yang bernama Zakri itu semakin menghampirinya, dia terus bangun dari duduknya.
Hai Zakri,” sapa Arissa kepada Zakri, pelajar tahun akhir di universitinya itu.
Orangnya berbadan tegap dan berotot seperti atlet. Oh ya, Zakri memang seorang atlet lumba basikal yang pernah mewakili universitinya untuk sukan antara universiti. Rupanya agak tampan tapi agak gelap sedikit kerana asyik berjemur di tengah panas. Namun, bukan itu yang membuatkan Arissa jatuh hati pada Zakri. Bagi Arissa, dia tidak kisah akan rupa paras seseorang, asalkan dia sudah jatuh cinta, dia akan mencintai seseorang itu.
Hai Arissa,” balas Zakri sedikit gemuruh. Awak pun ada kat sini?”
Mmm... tak ada yang mustahil kalau Arissa ada di sini. Arissa manusia biasa dan dia perlukan makanan untuk hidup atau dia perlu hidup untuk makan. Jadi, jangan bertanya soalan zaman 80an yang selalu digunakan oleh lelaki yang nak mengorat perempuan,” kata Luqman separuh bosan.
Serentak itu Arissa menjeling tajam.
Okey, kita ada kelas lepas ni,” kata Sarah tiba-tiba.
Kelas? Kelas apa? Bukan ke kelas kita semua dah habis untuk hari… aduh!!!” Sekali lagi Luqman mengerang kesakitan. Tumit kasut tinggi Sarah sekali lagi di atas kakinya. Kali ini dipijak dengan kuat.
Kita ada kelas Luqman. Kau dah lupa ke?” ujar Sarah memberikan isyarat melalui mimik mukanya.
Yaa… kelas tu… baru teringat, baru-baru ni jadual kelas kami memang cukup pelik. Terlampau banyak sangat kelas halimunan yang muncul tiba-tiba dalam jadual kelas kami walaupun pada hakikatnya kami berlainan kelas. Jadi, kami terpaksa pergi dulu. Kau orang boleh teruskan babak 'I love you and you love me' yang tergendala tadi...,” ujar Luqman yang sempat lagi membebel dengan rapuan yang entah apa-apa.
Nasib baiklah Sarah sudah menarik teman lelakinya pergi, kalau tidak dia akan memulakan babak pinggan melayang tanpa henti di kafeteria itu.
Sorry. Abaikan apa yang dia cakap tu. Dia memang selalu merapu yang entah apa-apa. Saya tak tahu macam mana Sarah boleh bertahan dengan dia,” keluh Arissa.
Sudah banyak kali dia terasa dimalukan dengan perangai Luqman yang selalu cakap lepas. Kadangkala dia tidak faham dengan perangai Luqman. Apa yang dia buat, pasti ada sahaja yang tidak kena pada mata lelaki itu.
Tak mengapa,” jawab Zakri acuh tidak acuh.
Melihat gaya Zakri yang serba tidak kena itu membuatkan Arissa berfikir sesuatu. Mungkin, apa yang Luqman katakan tadi memang betul. Dia tidak boleh terus begitu. Bukan dia sahaja, Zakri juga. Masing-masing umpama tarik tali. Macam baru pertama kali mengenali cinta pun ada padahal Arissa sudah putus cinta dengan beberapa orang lelaki. Dia tidak tahu pasal Zakri lagi tapi apa yang dia tahu, setakat ini Zakri tidak pernah mempunyai teman wanita. Mungkin disebabkan itulah Zakri agak lambat sikit dalam hal ini. Jadi, Arissa membuat keputusan yang dia perlu bertindak.
Tapi, apa yang Luqman kata tu mungkin betul. Kita bukan berada di zaman 80an,” ujar Arissa menarik nafas panjang.
Maksud awak?” tanya Zakri.
Okey... saya sukakan awak. Saya sukakan awak sejak awak tendang bola sampai hentam kepala saya. Sejak tu saya rasa saya dah jatuh cinta dengan awak. Jadi, macam Luqman kata tadi, kita bukan berada di zaman 80an dan saya teramat peka dengan perasaan saya. Kalau saya rasa saya dah jatuh cinta dengan seseorang, saya takkan nafikannya,” ujar Arissa dengan penuh berani.
Arissa...”
Saya tahu saya macam perigi cari timba tapi siapa peduli tentang peribahasa tu lagi. Yang penting sekarang, saya nak kata, saya sukakan awak dan kalau boleh saya nak jadi kekasih awak,” tambah Arissa lagi hingga membuatkan Zakri terdiam seketika.
Arissa tidak pasti dengan reaksi Zakri. Nak kata terkejut, reaksi dia nampak biasa sahaja. Malah, boleh terdiam kaku memandangnya.
Tak mengapa kalau awak tak sukakan saya tapi saya lebih suka dengar jawapan daripada mulut awak daripada awak membisu...”
Saya sukakan awak!” lancar Zakri berkata menyebabkan Arissa berhenti bersuara.
Kemudian dia terdengar keluhan Zakri.
Awak mengeluh macam tak ikhlas pun ada,” kata Arissa sedikit ragu-ragu mempercayainya. Namun, dia tetap memberikan Zakri peluang untuk bersuara.
Sebab saya rasa saya yang patut bertindak dulu,” jawab Zakri yang sudah berlalu duduk di kerusi bertentangan dengan Arissa. Arissa mengerut dahi. Dia tidak faham dengan apa yang Zakri maksudkan tadi. “Bila awak cakap awak sukakan saya dan nak jadi kekasih saya, saya rasa macam tercabar. Bukan saja saya, lelaki lain pun rasa tercabar.”
Mmm... awak bukan lelaki pertama yang kata macam tu,” kata Arissa selamba.
Hah?”
Saya pernah couple dengan beberapa orang lelaki dan separuh daripada mereka, saya yang lamar mereka jadi kekasih saya.”
Ohhh...,” Zakri sedikit pun tidak terkejut.
Awak tak terkejut?”
Tak sebab saya ada dengar....”
Arissa mengangguk faham walaupun Zakri tidak menghabiskan ayatnya. Dia tahu apa yang ingin Zakri katakan tadi. Sudah tentunya, Zakri dapat tahu daripada mulut orang yang mengata tentangnya. Bukan dia tidak tahu. Dia sudah lali dengan tomohan mulut-mulut tempayan yang ada di universitinya itu. Macam-macam fitnah yang dilemparkan kepadanya tetapi Arissa tidak pernah ambil kisah. Orang sebegitu buat apa pun tidak berguna. Lebih baik berdiam diri dan buat hal sendiri.
Jadi, awak percaya?” tanya Arissa.
Hanya satu yang saya fikir. Kalau awak seperti yang mereka kata, itu tanggungjawab saya untuk bawa awak ke landasan yang betul sebab itu, saya nak kenali awak dengan lebih dekat lagi,” kata Zakri sambil mengukirkan senyuman.
Jadi...”
Ya,” jawab Zakri.
Arissa terdiam sebentar. Dia tidak pasti apa yang dimaksudkan oleh Zakri.
Macam yang Luqman kata tadi, ini bukan zaman 80an, lagipun saya bukan pandai lamar perempuan jadi kekasih saya dengan ayat-ayat romantik macam orang zaman dulu,” terang Zakri dengan senyuman lagi.
Yes!” sorak Arissa tidak dapat menyorok kegembiraannya. Selepas beberapa bulan menyimpan perasaan terhadap Zakri dalam diam, akhirnya hari ini dia mampu meluahkannya dan dibalas dengan jawapan positif.
Musim bercinta sudah bermula!

***

Saya dah kata tadi, turunkan saya kat stesen bas tadi tapi awak tak nak. Jalan ni kecik dan agak sibuk,” ujar Natasya kepada Nazwan yang terpaksa memandu dengan berhati-hati apabila berselisih dengan kereta lain ketika melalui satu jalan untuk ke rumahnya.
Dah lupa ke yang boyfriend awak ni sangat handal memandu kereta,” jawab Nazwan sempat lagi memuji dirinya sendiri setelah berjaya melepasi kereta yang berselisih dengan mereka tadi. Memang jalan itu kecil dan hanya muat satu kereta sahaja tapi apabila dua pemandu saling bekerjasama, jalan yang kecil itu akan nampak seperti laluan besar.
Iyalah tu,” balas Natasya yang malas hendak membebel lagi. Kalau boleh dia tidak mahu Nazwan menghantarnya sehingga ke rumah. Bukan disebabkan jalan ke rumahnya yang kecil dan sibuk tetapi dia tidak mahu menjadi perhatian jiran-jiran tetangganya.
Dia tahu siapa dirinya. Dia hanya anak seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai orang gaji. Dia tinggal di kawasan perumahan setinggan dan dia memang arif dengan jiran-jiran tetangganya yang sememangnya suka menjaga tepi kain orang. Malah, dia sering kali dicemuh oleh jiran tetangganya hanya disebabkan dia pernah bekerja sebagai model.
Banyak gosip-gosip tidak elok yang menganggu hidupnya semasa dia mula menjadi model. Niat sebenarnya hanya untuk mencari duit sampingan dan meringankan bebanan ibunya yang terpaksa bekerja keras semata-mata hendak membayar yuran universitinya. Apabila gosip tentang ada sugar daddy menanggungnya, Natasya mengambil keputusan untuk berhenti menjadi model. Itupun selepas ibunya menasihatinya. Mahu atau tidak, demi menjaga muka ibunya, dia terpaksa melupakan dunia modeling.
Dah sampai,” ujar Nazwan sambil memberhentikan kereta di hadapan rumah papan separuh batu yang dicat warna putih.
Terima kasih,” ucap Natasya meleraikan tali pinggang keselamatan yang dipakainya. Dia memandang sekeliling. Disebabkan keadaan perumahan di sana rapat-rapat, jadi dia boleh nampak orang-orang keliling yang berada di sekitar. Matanya terpandang sekumpulan ibu-ibu sedang duduk berbual tidak jauh dari kedudukan rumahnya.
Mata mereka tidak berkelip pandang ke arah kereta yang dihuni mereka berdua. Natasya menghala keluhan berat. Nampaknya, pasti akan tersebar satu lagi gosip buruk yang dilemparkan kepadanya selepas ini.
Oh ya, sebelum terlupa,” Nazwan bersuara apabila Natasya ingin membuka pintu kereta. Terus dia tidak jadi keluar. “Tentang dinner Jumaat ni….”
Kita dah bincangkannya…,” ujar Natasya yang sudah malas hendak bercakap mengenainya lagi.
Dinner saja. Kita makan-makan dan berborak. Itu saja. Bukannya majlis formal.”
Tapi tetap tak sesuai. Nanti apa nenek awak kata kalau awak bawa saya ke dinner tu? Mungkin bagi awak itu hanya makan malam bersama keluarga tapi bila awak bawa saya bersama… itu dah jadi lain. Mereka akan ingat saya ni bakal isteri awak.”
Kalau betul kenapa?” soal Nazwan pula.
Natasya mengeluh berat. Sudah banyak kali dia cuba menerangkan situasi hubungan mereka tetapi Nazwan tetap dengan perangai tidak endahnya. Memang Nazwan tidak kisah dengan status dirinya yang bukan daripada keluarga ternama seperti Nazwan, tetapi yang menjadi masalahnya adalah penerimaan keluarga Nazwan terhadap dirinya yang serba kurang.
Nazwan, awak tengok sekeliling. Awak tengok rumah saya. Saya tak setanding dengan kehidupan awak sekarang. Buat masa ni saya perlukan ruang,” ujar Natasya.
Saya tak kisah siapa awak….”
Tapi saya kisah,” pantas Natasya memotong.
Nazwan lantas terdiam dan melepaskan keluhan berat. Natasya tahu Nazwan tidak berpuas hati apabila dia tetap menolak untuk makan malam bersama keluarga mereka. Tetapi apa yang dia buat untuk kebaikan Nazwan juga.
Hal ini kerana sudah banyak kali dia dengar cerita tentang nenek Nazwan daripada Sarah yang tinggal berdekatan dengan rumah Nazwan. Menurut Sarah, nenek Nazwan agak cerewet dengan perempuan-perempuan yang cuba mendekati Nazwan. Maklumlah, Nazwan merupakan cucu kesayangan keluarga besar itu sudah pastinya dia cerewet dengan mana-mana bakal menantu cucunya itu.
Saya terpaksa pergi dulu kalau tak mungkin timbul cerita kita bercumbuan kat dalam kereta ni,” ujar Natasya terus membuka pintu kereta apabila dia melihat sekumpulan ibu-ibu yang duduk berkumpul tadi mula berbisik-bisik antara satu sama lain. Tidak lain tidak bukan mencipta lagi andaian buruk terhadapnya.
Sebaik dia menutup pintu kereta, Natasya terus melangkah masuk ke dalam rumahnya. Selepas pintu ditutup, dia terdengar enjin kereta Nazwan semakin menghilang. Dari tingkap rumahnya, dia melihat kereta Nazwan sudah tiada di hadapan rumahnya. Satu helaan panjang dilepaskan.
Matanya meliar memandang keadaan rumahnya yang uzur. Tidak banyak barang-barang yang menghiasi rumahnya. Hanya ada satu set kerusi zaman 90an, sebuah meja makan yang sama seperti meja gerai makan, sebuah televisyen lama yang sudah rosak, sebuah radio yang sudah sangkut-sangkut siarannya, dua buah almari yang nama salah satu lacinya sudah hilang entah ke mana. Itupun almari yang diambil oleh ibunya dari jiran-jiran yang pindah rumah.
Ternyata, keadaannya tidak setaraf dengan kehidupan Nazwan yang tinggal di kawasan perumahan elit. Dia pernah pergi sekali. Itupun dia hanya pergi ke rumah Sarah. Sarah yang memberitahu bahawa rumah banglo tiga tingkat yang besar itu adalah rumah Nazwan. Terkejut bukan kepalang lagi bila dia dapat tahu status teman lelakinya.
Hal ini kerana Nazwan tidak pernah menceritakan keadaan keluarganya. Malah, cara hidup Nazwan di universiti juga langsung tidak nampak dia merupakan anak orang kaya. Apatah lagi Nazwan datang ke kelas dengan kereta zaman 90an yang pencuri kereta pun tak lalu nak pandang. Apabila dia tahu tentang Nazwan, mereka bergaduh sekejap tetapi berbaik semula selepas dia mengakui hanya Nazwan yang dicintai.
Walau bagaimanapun, dia semakin tidak selesa berkawan dengan Nazwan dikatakan mula serius dan ingin memperkenalkannya kepada ahli keluarganya. Bagi Natasya, semua ini masih awal lagi dan dia masih belum bersedia untuk berjumpa dengan keluarga Nazwan lebih-lebih lagi nenek Nazwan. Tapi, Nazwan terus mendesak dan mendesak.
Kadang-kadang dapat Prince Charming pun menyesakkan kepala juga,” keluhnya sendirian.

***

Terima kasih sebab hantarkan saya,” ucap Arissa sebaik sahaja Zakri memberhentikan kereta yang dipandunya di hadapan pagar rumahnya.
Terima kasih juga sebab temankan saya makan hari ni,” ucap Zakri pula.
Macam awak, saya pun selalu makan sendirian. Jadi, tak perlu nak ucapkan terima kasih,” kata Arissa sebelum berlalu keluar dari kereta Zakri. Pintu kereta ditutup rapat.
Jumpa esok,” ujar Zakri. Kali ini tidak teragak-agak lagi.
Ya, jumpa esok,” balas Arissa sebelum berlalu masuk ke dalam rumahnya. Setelah dia menutup pagar, barulah Zakri memandu pergi. Namun, Arissa masih lagi tercegat di hadapan pagar. Tersenyum sendirian.
Dia gembira apabila semuanya berjalan dengan lancar. Walaupun sudah putus cinta beberapa kali, tetapi dia tetap tidak putus asa memburu cinta seterusnya. Disebabkan itulah, ramai yang menggelarkannya playgirl. Ramai yang ingat dia sengaja memainkan hati lelaki. Tapi mereka tidak tahu apa yang berlaku di setiap episod percintaannya.
Musim bercinta bermula lagi?” sapa satu suara di belakangnya tiba-tiba.
Arissa sedikit tersentak dan lantas berpaling. Dia mengukir senyuman apabila melihat kelibat seorang gadis yang memiliki gen kacukan Melayu-Inggeris. Gadis yang dikenali dengan nama Fazira itu merupakan adik tirinya. Walaupun Fazira lebih muda 3 tahun daripadanya, tetapi Fazira nampak seperti kakak kepadanya. Mungkin kerana badan Fazira agak besar dan tinggi daripadanya.
Seperti yang aku dah kata, aku seseorang untuk dicintai,” balas Arissa seperti biasa. “Dan kau? Dating?” tanya Arissa yang hanya melihat pakaian Fazira yang seperti hendak keluar.
Ya,” jawab Fazira. “Dan baguslah kau dah balik sebab kau akan teman aku pergi makan,” kata Fazira sambil membaling kunci kereta kepada Arissa.
Makan?” soal Arissa kehairanan. Walaupun Fazira adalah adik tirinya, tetapi Fazira umpama kawan karibnya. Mereka berkongsi apa sahaja yang berlaku dalam hidup mereka. Tiada rahsia di antara mereka. Namun, cara Fazira mengajak dia keluar tadi macam ada sesuatu yang berlaku.
Mereka bergaduh lagi?” teka Arissa.
Bingo. Kali ni agak teruk. Kau hanya ada dua pilihan. Masuk dalam dan dengar mama dan papa kita bergaduh atau teman aku makan,” balas Fazira.
Seperti yang kita pernah janjikan sebelum ini, kita berada dipihak berkecuali, jadi....”
Makan, shopping dan wayang,” sambung Fazira.
Jom!” ajak Arissa berlalu ke kereta Myvi putih yang dihadiahkan oleh papanya semperna hari jadinya yang ke-19 tahun.

***


Selesai sahaja mandi dan sembahyang Isyak, Nazwan berlalu keluar dari biliknya. Dalam masa yang sama Luqman yang tinggal bertentangan dengan biliknya turut keluar. Sepupunya itu juga kelihatan baru sahaja selesai sembahyang Isyak dan seperti dia, Luqman juga ingin turun ke bawah.
Awal,” tegur Luqman separuh menjerit. Mana tidaknya, walaupun bilik mereka bertentangan tetapi jarak mereka berdua hampir 10 meter jauhnya.
Kau pun. Ahhh… lupa… hari ni ada rancangan AKB48 special kat kabel tv,” ujar Nazwan mula teringat tentang itu. Dia mengukir senyum. Sedikit menyindir kumpulan kegemaran sepupunya itu.
Aku dah letak jawatan jadi fan diorang,” balas Luqman yang sudah berdiri di tepi tangga. Begitu juga dengan Nazwan yang berdiri di tangga sebelah sana. “So, hari ni ada perlawanan bola keranjang bukan? Kat kabel tv jugakkan?” soal Luqman pula.
Mmm…,” Nazwan hanya sekadar mengangguk. Kemudian, keduanya saling berpandangannya dan dalam sekelip mata mereka berdua bergegas mengatur seribu langkah berlari ke bawah menuju ke sebuah bilik yang terletaknya sebuah home teater yang besar.
Sampai sahaja ke dalam bilik itu, kedua-duanya terus berhenti melangkah apabila melihat televisyen itu terbuka dan menyiarkan siaran Korea yang popular sekarang iaitu Running Man. Nazwan dan Luqman berpandangan. Masing-masing berputih mata.
Nenek… dah banyak kali nenek ulang Running Man ni tak bosan ke?” tanya Luqman sambil berlalu duduk di sebelah wanita berusia dalam lingkungan awal 70an itu. Seperti Luqman, Nazwan juga turut mengambil tempat duduk di sebelah wanita itu.
Habis, kau orang tak belikan DVD konsert Big Bang yang terbaru ni… salah siapa sekarang?” balas Puan Azizah sambil menjeling tajam memandang dua cucu lelakinya itu.
Luqman menghela nafas lemah. Ini semua virus Sarah yang terlampau gilakan Big Bang sampai nenek pun termakan racun sama. Yang jadi mangsa adalah mereka berdua. Kena download mana-mana program yang disertai Big Bang, kena belikan album-album Big Bang yang lama sampai yang terbaharu. Bukan itu sahaja baru-baru ini neneknya menyatakan hasrat ingin ke konsert Big Bang bersama-sama Sarah. Nasib baik papanya dapat menghalang neneknya dari bertindak lebih jauh lagi.
Okey, Luq janji akan beli… tapi nenek kena bagi remote tu kat Luq. Gadis-gadis jelita sedang tunggu Luq sekarang,” kata Luqman cuba memujuk neneknya memberi alat kawalan jauh itu.
Nenek percaya dengan Luqman? Dulu dia pernah janji nak belikan album terbaru Big Bang tapi sampai sekarang dia tak beli-beli lagi. Tapi album AKB48 makin bertambah dalam biliknya,” celah Nazwan cuba menjadi batu api.
Fitnah!” pantas Luqman bersuara. “Nenek jangan percayakan Nazwan tu. Bukan ke hari-hari nenek masuk bilik Luq, mesti nenek tahu Luq memang tak layan album-album penyanyi ni. Bukan ke ada cara yang senang? Youtube,” tambah Luqman lagi cuba mempertahankan dirinya.
Hisy! Kamu berdua ni, dah besar panjang pun perangai macam budak-budak!” tegur Puan Azizah menjeling kedua-dua cucunya. “Baiklah, nenek haus, siapa yang bawakan air untuk nenek, dia akan dapat televisyen malam ni.”
Baru sahaja Luqman dan Nazwan hendak bangun untuk ambilkan air minuman buat nenek mereka, tiba-tiba seorang lelaki lewat 40an masuk ke dalam bilik itu menghulurkan segelas air untuk nenek mereka. Lantas remote bertukar ke tangan lelaki itu.
Ahh… papa… mana boleh main redah macam ni,” ujar Luqman sambil kembali duduk di tempatnya.
Siapa cepat dia dapat, itu peraturan rumah ni,” kata Encik Lutfi terus menukar ke rancangan memasak. Tapi, belum sempat dia hendak duduk menontonnya, remote televisyen di ambil dari tangannya oleh seorang wanita yang berbaju tidur.
Wanita itu terus menukar ke Discovery Channel.
Mmm… mama memang wanita yang paling cantik dan adil di dunia,” puji Luqman.
Televisyen sorang satu dalam bilik pun masih lagi nak berebut,” tegur Puan Latifah sambil duduk di sebelah suaminya, Encik Lutfi.
Bukan ke sekarang ni sesi bersama keluarga…,” serentak mereka menjawab dan diiringi dengan ketawa riang keluarga bahagia itu. 

4 si charming:

  1. stuvwxyz berkata...:

    menarik. somehow, Arissa mengingatkan saya dengan Apy Elina. very straightforward and bold. hehe. nak baca lagi :D

  1. zuezakry berkata...:

    cerita nurfa memang besh.

  1. Maira Hawani berkata...:

    watak Arissa nihh Aydaa kurang suka tapi takpee . baca lagi seterusnya :)

  1. Unknown berkata...:

    sound good story.. fun! :)

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages