Romeo yang Hilang: Bab 9


APY ELINA tak senang duduk. Dari tadi dia asyik memerhati suaminya yang sedang kemaskan diri. Dia melihat jam di dinding biliknya. Baru pukul 7.30 pagi. Sesuatu yang luar biasa. Sekali lagi dia hanya memerhati suaminya.
Ehem…” Apy Elina berpura-pura berdehem untuk tarik perhatian suaminya.
Tapi tiada reaksi daripada Adam. Sama ada Adam tidak dengar atau Adam pura-pura tak dengar.
Ehem…” sekali lagi Apy Elina berdehem.

Mak cik…” Adam mula bersuara.
Ya?” pantas Apy Elina menjawab. Teruja apabila dia mendengar Adam menegurnya.
Ada nampak jam tangan tak?” tanya Adam sambil tercari-cari sesuatu.
Apy Elina mengeluh kecewa. Suaminya ini memang menguji kesabarannya pagi-pagi hari. Punyalah dia teruja bila suaminya menegurnya tadi, tapi malangnya tegur sebab hendak tahu di mana jam tangannya. Geram!
Okey, dah jumpa,” ujar Adam sebaik sahaja mendapati jam tangannya diletakkan di bawah longgokan tuala mandi yang digunakannya tadi.
Apy Elina mencebik geram. Tak boleh jadi. Dia mesti bersuara juga. Suaminya itu memang suka guna psikologi dengannya. Walaupun dia tahu dan cuba melawan siapa lagi ego tapi dia tetap kalah.
Awak ingat lagi tak? Dulu saya tergila-gilakan lelaki handsome,” ujar Apy memulakan bicara dengan mata yang tak berkelip memandang suaminya.
Ingat. Jumpa lelaki handsome je mesti nak gedik sampai tak ingat dunia,” balas Adam dengan nada sindiran.
Tapi sekarang saya rasa menyesal pula,” keluh Apy Elina dengan sesalnya.
Sebab tak dapat suami yang handsome?” tanya Adam acuh tak acuh.
Apy Elina mengurut dahi. Tension apabila Adam buat acuh tak acuh. Itu tak lain tak bukan mesti nak suruh si isteri puji suaminya handsome. Mustahillah dia tak tahu dia memang dilahirkan dengan muka yang handsome. Mustahil juga dia tak tahu dia menjadi kegilaan gadis-gadis yang melihatnya.
Tak. Oleh sebab saya selalu gedik nak lelaki handsome, akhirnya saya dapat suami yang sangat handsome sampai saya mula fikir yang bukan-bukan,” ujar Apy Elina sambil berdiri berhadapan dengan suaminya.
Fikir apa?” tanya Adam hairan.
Awak pakai segak-segak ni nak pergi mana?” tanya Apy Elina dengan nada cemburu seraya memaut leher suaminya.
Serentak dengan itu, Adam mengukir senyuman. Apy Elina berpura-pura membalas senyuman itu. Matanya tajam memandang suaminya.
Nak keluar kejap,” jawab Adam ringkas.
Kejap… dengan siapa?” Apy Elina terus bertanya.
Adam tersenyum lagi.
Doktor Omar. Nak ikut?” tanya Adam.
Doktor Omar…” Apy Elina cuba mengingati kembali nama itu. Nama itu macam pernah disebut sebelum ini. “Ahh… doktor peribadi awak tu?” tanya Apy Elina apabila teringatkan perkenalan dengan Doktor Omar beberapa hari yang lalu.
Adam hanya mengangguk. “Nak ikut ke?” tanya Adam mengajak.
Jumpa dia nak buat apa?” Apy Elina bertanya lagi. Berkira-kira sama ada hendak ikut Adam atau tidak.
Hmm… saja lepak-lepak kedai mamak.”
Ohhh…” Apy Elina mengangguk faham.
Nak tak? Kalau nak ikut pergi siap sekarang,” ajak Adam lagi.
Apy Elina berfikir sebentar. Dia bukannya kenal sangat dengan Doktor Omar. Kalau dia ikut, pasti dia akan duduk di tepi dan dengar mereka bersembang. Pasti dia tak faham apa yang disembangkan oleh mereka. Pasti juga dia akan jadi tunggul kayu dan akhirnya kebosanan.
Tak naklah,” akhirnya dia buat keputusan.
Kalau tak nak, lepaskanlah abang,” kata Adam sambil tunjuk tangan isterinya yang masih merangkul lehernya.
Tapi… betul awak hanya nak jumpa Doktor Omar?” tanya Apy Elina sekali lagi.
Taklah. Sebenarnya nak pergi jumpa model dari Rusia yang nak merasa makan sambal nasi lemak,” jawab Adam selamba.
Apy Elina tersengih. Lantas dia melepaskan suaminya. Jumpa model dari Rusia konon. Model dari Rusia pun tak mungkin sampai di ceruk kampung ini semata-mata nak merasa makan sambal nasi lemak. Lagipun Adam yang dia kenal bukan jenis yang suka berfoya-foya dengan perempuan. Tambah lagi model. Wanita dalam hidup Adam memang boleh dikira.
Boleh pergi tak ni? Jumpa model dari Rusia...,” tanya Adam tersengih-sengih.
Hmm… apa boleh buat. Suami saya ni memang handsome orangnya. Saya patut berbangga, bukan? Sampai model dari Rusia yang mengidam nak makan sambal nasi lemak pun cari awak,” keluh Apy Elina seraya dengan rasa bangga. Bangga apabila dia menjadi isteri Adam.
Okey, pergi dulu. Ada nak kirim apa-apa tak?” tanya Adam.
Awak nak lepak mana? Kedai mamak ke?” tanya Apy Elina dengan muka teruja.
Okey, dah tahu dah...” jawab Adam apabila melihat isterinya tersengih-sengih dengan muka teruja. Itu tak lain dan tak bukan mesti nak minta belikan roti canai. Dia reda. Asalkan isterinya tak minta Nasi Kandar atau Nasi Beriani, itu sudah memadai.
Terima kasih Abang Adam yang baik hati lagi bijaksana. Saya doakan semoga awak dimurahkan rezeki dan jadi lebih romantik,” ujar Apy Elina sekali dengan pakej memuji. Kalau dia tak puji nanti, mesti dia kena perli. Sebelum dia kena perli, lebih baik dia puji terlebih dahulu.
Adam yang mendengarnya tersenyum.
Yalah. Kalau ada apa-apa call saja, okey?” ujar Adam sambil menyentuh pipi isterinya.
Hmm...” Apy Elina mengambil kesempatan bermanja dengan tangan itu. Macam kucing dapat kena belai lagaknya.


ADAM melangkah masuk ke dalam keretanya. Baru dia hendak menghidupkan enjin kereta, handsetnya berbunyi menandakan ada mesej masuk. Tanpa berlengah lagi dia segera membuka mesej itu. Satu mesej bergambar. Gambar Doktor Omar sedang berbual dengan seorang lelaki di sebuah kedai mamak.
Tanpa berlengah lagi dia segera memandu ke kedai mamak yang dikunjungi bersama isterinya beberapa hari yang lalu. Perjalanan ke sana hanya mengambil masa selama 15 minit.
Adam menghentikan keretanya jauh sedikit dari restoran mamak itu. Dari jauh dia melihat sendiri dengan matanya Doktor Omar sedang berbual dengan seorang lelaki berpakaian segak. Lagaknya macam ahli perniagaan tetapi wajahnya agak bengis. Sekali tengok dia sudah tahu, orang itu bukan calang-calang orang. Kemungkinan besar dari kumpulan kongsi gelap.
Tidak lama kemudian, orang itu berlalu pergi dengan kereta Vios hitam. Tanpa berlengah lagi Adam segera keluar dari keretanya dan berlalu ke restoran mamak itu. Dia segera duduk di hadapan Doktor Omar. Doktor Omar melahirkan riak wajah terkejut dan gelabah.
Hah, Adam! Terkejut saya,” keluh orang tua itu menyembunyikan rasa gelabahnya tadi.
Sorry,” ucap Adam dengan senyuman yang tenang.
Apa kamu buat di sini?” tanya Doktor Omar.
Doktor tahu apa yang saya buat di sini,” jawab Adam tajam memandang doktor peribadinya itu.
Kalau saya tahu, tak adalah saya tanya. Dan saya begitu pasti kamu bukan datang sini ssebab nak sarapan sebab kedai mamak bukan taste kamu,” kata Doktor Omar seiring dengan ketawa.
Adam turut ketawa.
Nampaknya walaupun doktor adalah doktor peribadi kami tapi doktor tak kenal saya. Saya bukan macam Hazrul, hanya memilih tempat yang kena dengan pangkatnya,” balas Adam yang tahu Doktor Omar memang rapat dengan Hazrul, abang tirinya itu.
Sekarang tak lagi… kamu tahu apa dah berlaku pada Hazrul? Selepas mama kamu hantar dia ke luar negara, kamu ada dapat apa-apa berita daripada dia?”
Bukan masalah saya,” jawab Adam dengan tenang.
Tapi dia sebahagian daripada keluarga kamu. Oh ya, sekarang tak lagi. Kamu bukan daripada darah keluarga Alexander. Kamu hanyalah orang luar.”
Adam masih mengukir senyum.
Saya memang bertuah, bukan? Memang selama ni, saya berharap dapat keluar dari keluarga Alexander. Jadi, secara automatik Hazrul bukan masalah saya lagi,” kata Adam.
Kamu betul-betul tak ada hati perut,” ujar Doktor Omar nampak kecewa. “Nampaknya, mereka dah berjaya membentuk kamu menjadi seorang yang tak ada hati perut.”
Adam sekali lagi tersenyum. Dia hanya tenang menerima tomohan seperti itu.
Saya terfikir, bagaimana penerimaan isteri kamu tentang kamu yang sebenar,” tambah Doktor Omar lagi.
Bila saya dengan isteri saya, saya hanya terfikir nak jadi suami yang terbaik untuknya. Tapi dengan orang lain, saya boleh jadi baik dan juga jahat. Doktor dah salah menilai saya,” jawab Adam.
Orang tua itu ketawa. “Apa yang kamu merepek ni?”
Saya tak merepek. Saya Cuma nak bagi amaran. Jangan sesekali ganggu isteri saya atau keluarga mereka lagi. Saya tahu apa yang doktor dah buat. Doktor sebar cerita yang baik tentang saya layan isteri saya. Saya mungkin bukan Adam Alexander tapi saya boleh jadi Adam Alexander lagi,” ujar Adam dengan muka yang serius. Dia tidak bergurau kali ini.
Atau Romeo?”
Jangan. Sesekali. Sebut. Nama. Itu. Lagi!” ujar Adam perlahan tetapi mengunggapnya satu demi satu perkataan dengan tegas. Matanya tidak berkelip memandang orang tua di hadapannya itu.
Kenapa? Kamu nak bunuh saya? Macam apa yang keluarga kamu lakukan terhadap Hazrul?”
Tak. Saya cuma nak doktor keluar dari kampung ini dan pergi ke mana saja asalkan jangan kembali lagi ke sini,” tenang sahaja Adam menjawab.
Kamu mengugut saya?”
Tak. Saya tak ugut tapi saya yakin doktor akan dengar nasihat saya sebab saya begitu pasti orang-orang yang bekerja dengan dalang yang ingin musnahkan keluarga Alexander ada di sekeliling kita. Sama seperti kes Hazrul. Mereka akan singkirkan calon yang gagal tanpa berunding lagi. Jadi, semoga berjaya selamatkan diri sendiri,” ujar Adam sambil mengukir senyuman sinis.
Kamu sengaja nak takutkan saya?” tanya Doktor Omar dengan mata yang melilau memandang sekeliling.
Percayalah, saya datang ke sini bukan sebab nak takutkan doktor tapi saya kurang senang apa yang doktor buat di sini. Doktor datang ke sini bukan sebab nak berkhidmat pada masyarakat tapi mereka sengaja hantar doktor ke sini sebab doktor boleh sebarkan hal buruk tentang saya sehingga menakutkan keluarga isteri saya.”
Doktor nampak apa yang doktor tengah buat sekarang? Mereka hanya mempergunakan orang yang rapat dengan keluarga kami untuk mencapai matlamat mereka. Saya tak peduli siapa mereka. Bagi saya, mereka itu hanyalah lalang tapi kalau lalang tu merebak dengan sengaja mengancam keselamatan keluarga isteri saya, saya tak akan teragak-agak untuk ambil tindakan,” ujar Adam lagi.
Jangan ingat, kamu daripada keluarga Alexander boleh buat apa-apa sahaja. Suatu hari nanti, kamu akan jatuh tergolek juga!” ujar Doktor Omar mula bangun dari duduknya.
Terima kasih kerana sudi berikan nasihat,” jawab Adam dengan senyuman. Dia langsung tak berasa takut dengan amaran Doktor Omar itu.
Doktor Omar mendengus marah seraya mengangkat kaki berlalu dari situ. Adam hanya memerhati orang tua itu dari tempat duduknya. Satu keluhan dilepaskan apabila kelibat Doktor Omar tidak kelihatan lagi.
Sayang sekali. Doktor Omar begitu setia bekerja dengan keluarganya. Malah, Doktor Omar juga merupakan kawan baik mamanya. Pertama kali mendengar berita itu memang dia tidak percaya tapi setelah siasatan demi siasatan dilakukan barulah dia berani mengambil tindakan.
Hai,” sapa seorang wanita tiba-tiba duduk di sebelahnya tanpa dijemput.
Hai,” balas Adam cuba mengingati wanita itu. Rasanya macam dia pernah melihat wanita itu sebelum ini.
Dah lupa siapa saya? Saya Fira, kawan Apy Elina. Isteri awak tu,” kata wanita itu seraya menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Adam.
Adam mengangguk. Bila Fira sendiri memperkenalkan dirinya sendiri, tak perlulah dia penat-penat memikirkan siapa wanita yang tak segan silu duduk di sebelahnya. Dalam masa yang sama dia teringatkan perbualan dengan isterinya tentang Fira beberapa hari yang lepas. Tangan Fira yang menghulur salam langsung tidak disambutnya.
Awak tak nak sambut salam saya?” tanya Fira masih tak serik-serik lagi.
Adam hanya melihat tangan itu. Ini bukan situasi yang baru baginya. Dia sudah banyak kali melalui situasi ini. Wanita spesies Fira paling banyak mendekatinya. Tanpa segan menghulurkan salam perkenalan. Namun, satu pun tak berjaya menarik perhatiannya. Kadangkala dibiarkan salam perkenalan itu.
Dia pernah dicop sombong. Memang betul. Dia seorang yang sombong dan sangat memilih dalam berkawan. Dia tak peduli dengan semua itu. Apa yang penting dia sudah ada seseorang yang membuatkan hidupnya bahagia. Orang sebegini, belum tentu lagi akan bahagiakannya, jadi dia takkan rugi kalau tolak salam perkenalan mereka.
Awak tahu tak? Sebelum saya dan Apy berkahwin, saya pernah hulur tangan begini kepadanya dan nak tahu apa yang dia balas? Dia hanya akan sambut tangan saya selepas kami bernikah. Jadi, Cik Fira, sila jadi perempuan yang bermaruah sikit,” ujar Adam memberikan nasihat yang pedas.
Merah muka Fira menahan malu sebaik sahaja mendengar jawapan yang tak disangka-sangkanya itu. Adam pula, tak tunggu lama. Dalam masa yang sama, seorang pelayan memberikan sebungkus roti canai yang dipesannya sewaktu mula-mula masuk ke dalam restoran itu. Tanpa menunggu lama, Adam segera berlalu meninggalkan Fira yang terdiam seribu bahasa.
Bukan dia bermaksud hendak memalukan perempuan itu tapi dia cukup anti dengan perempuan seperti Fira. Kalau dia berlembut, perempuan itu pasti akan fikir dia ada harapan. Jadi, apa salahnya kalau luahkan dengan kata-kata yang kejam. Kalau tidak sampai bila pun spesies seperti ini tak akan sedar dan terus nak meruntuhkan rumah tangga orang.


APY ELINA mengeluh panjang sebaik sahaja membuka mesej yang baru sahaja diterimanya itu. Satu mesej layang yang berbentuk gambar. Gambar itu ditangkap dari jarak jauh tapi dia dapat lihat dengan jelas Adam dan Fira dalam gambar itu.
Siapa ni?
Apy Elina balas mesej itu. Pandai pula mereka mencari nombor telefon bimbitnya. Memang tabik hormat dengan orang itu. Sungguh pandai juga cari jalan untuk melagakan hubungannya dengan Adam. Ada lagi yang guna taktik lama ini.
Tidak lama selepas itu, satu mesej diterimanya. Apy Elina segera membaca mesej itu.
Tak payahlah tahu siapa aku. Suami kau tu memang tak boleh percaya. Gatal. Kau ceraikan sajalah dia.
Baca sahaja mesej itu, dia tergelak kelucuan. Sungguh pandai betul orang itu mencuba untuk memporak perandakan rumah tangganya dengan cara seperti ini. Tapi orang kata, sepandai-pandai tupai melompang, akhirnya jatuh ke tanah juga. Sepandai-pandai manusia, akhirnya ada bodohnya.
Zaman sekarang ini, bukan susah sangat nak kesan pemilik nombor telefon. Lebih-lebih lagi orang yang menghantar mesej layang melalui WhatApps. Walaupun dia bukanlah seorang yang pandai sangat dengan teknologi tapi budak sekolah rendah pun boleh tahu.
Gambar pada profil WhatApps itu sudah dikenalpasti. Fira. Kantoi sudah. Ini pasti guna khidmat orang lain untuk tangkapkan gambar yang konon-kononnya gambar tangkap curi. Padahal, dia sendiri yang suruh tangkapkan, dia sendiri juga yang hantar. Manusia seperti ini pun ada ke?
Tak lama kemudian, dia terdengar bunyi kereta menghampiri pekarangan rumahnya. Itu pasti Adam. Tanpa berlengah lagi dia segera mendapatkan turun ke tingkat bawah. Tersengih lebar bibirnya apabila melihat bungkusan yang dibawa oleh suaminya itu.
Roti canai...” dia terlebih dahulu melulu mendapatkan bungkusan itu.
Nampaknya roti canai lebih penting daripada suami sendiri,” ujar Adam sambil menjeling tajam.
Pak cik, janganlah cemburu dengan roti canai. Percayalah, mana-mana isteri yang setia pasti akan cari makanan dulu bila dah lapar…” ujar Apy Elina tersengih-sengih.
Hanya isteri yang kuat makan roti canai yang akan buat macam tu,” balas Adam tak mahu mengaku kalah juga.
Terima kasih kerana memahami. Sekarang, isteri yang kuat makan roti canai nak melantak roti canai ni sampai habis. Nak join?” Apy Elina menghulurkan tangannya.
Apa-apa saja. Asalkan bukan nasi,” Adam segera menyambut tangan isterinya itu. Mereka berdua sama-sama laju melangkah ke dapur.
Oh ya, sebelum tu kita kena buat sesuatu. Saya dapat mesej layang lagi daripada peminat awak. Kali ni daripada Fira. Awak ada jumpa dia di kedai mamak tadi, bukan,” ujar Apy Elina sambil memberikan handsetnya kepada Adam.
Adam tenang melihat gambar curi yang ditangkap ketika Fira menyapanya di kedai mamak tadi. Nampaknya perempuan ini memang tak serik-serik. Baru sahaja dia beri kata-kata yang pedas tapi langsung tak makan saman.
Dia tiba-tiba muncul selepas habis bersembang dengan Doktor Omar tadi,” terang Adam.
Saya tahu sangat dengan Fira ni. Dia boleh berada di mana-mana. Tiba-tiba saja boleh muncul. Dia ni jenis yang sanggup buat apa sahaja untuk rampas suami orang. Orang kampung memang dah kenal dengan perangai dia. Sekarang dia nak kacau rumah tangga kita pula. Silap oranglah. Gigih sungguh dia buat rancangan begini tanpa sedar yang dia sudah terkantoi,” ujar Apy Elina.
Kalau begitu, beritahu dia yang dia dah terkantoi,” ujar Adam seraya leher isterinya sementara tangan kanannya memegang handset menghala ke arah muka mereka. Apy Elina pantas bersiap sedia dengan tanda ‘peace’. Adam segera menangkap gambar selfie dia dengan isterinya.
Kemudian handset tadi bertukar tangan. Apy Elina segera menaip sesuatu sebagai caption gambar itu. Kalau hantar gambar sahaja tak seronok pula. Kena hantar sekali dengan caption yang mematahkan jiwa raga seorang perampas.
Kepada Fira, terima kasih kerana sudi hantar gambar tadi. Sebagai balasannya terimalah, gambar selfie daripada kami, pasangan bahagia. Jangan jealous!” ujar Apy Elina seraya menaip caption pada gambar itu dan dihantarnya kepada Fira.
Puas?” tanya Adam.
Huh, puas! Jangan main-main dengan Apy Elina. Apy Elina, memang nampak comel dan innocent tapi bila dia marah, dia lagi comel dan innocent tau!” ujar Apy Elina sempat lagi memuji diri sendiri.
Adam tak dapat menahan tawa. Sikap suka memuji diri sendiri isterinya memang dia sedia maklum. Disebabkan itu jugalah dia jatuh cinta dengan isterinya.

FIRA terdengar telefon bimbitnya berbunyi. Dia tahu, ada satu mesej masuk. Tanpa berlengah lagi dia segera membuka mesej itu. Satu gambar diterimanya. Disangkakan dia sudah berjaya buat Apy Elina sakit hati dengannya tapi sangkaannya salah.
Dihantar gambar supaya buat Apy Elina cemburu, tapi akhirnya dia pula yang cemburu apabila melihat gambar Apy Elina dengan suami sedang berselfie bersama-sama. Bukan itu sahaja, caption yang diterimanya juga membuatkan dia berasa sakit hati.
Eee…” dibalingnya handsetnya itu sehingga pecah berderai. Lain yang diharap, lain yang dia dapat.
Tak mengapa! Dia ingat, suami dia saja yang kacak dan kaya dalam dunia ni? Ada ramai lagilah. Aku tak kisah pun!” bentak Fira kemarahan.

7 si charming:

  1. Unknown berkata...:

    Aduhai fira bt malu kaum aje.. berdebar eh nk tau konflik

  1. Unknown berkata...:

    Padan muko ko fira.. Adam hanya pandang Apy jerrrr....

  1. Adfin berkata...:

    bestnya.tapi esok x bleh baca sebab kena balik kampung..

  1. eija berkata...:

    utug apy dpt suami cm adam

  1. Unknown berkata...:

    Yeayyyy........ Apy memang best.... Padan muka ko fira..... Apa kau rasa?...... Oren? Ha ha ha

  1. edubelaja berkata...:

    hihi.. serve u fira.. Caya lah Appy dgn Adam. selamba je hantar gambaq selfie.. hehe

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages