1: BERMULA SATU PERJUANGAN

Sebulan sebelum hari temu duga…

“Aku nak letak jawatan!” suara garau Jurulatih Annas yang melatih pasukan bola keranjang Kolej Lagenda bergema di dewan yang dibina khas untuk sukan itu. Beberapa pemain bola keranjang yang sedang berlatih di tengah-tengah gelanggang tersentap apabila mendengar suara garau Jurulatih Annas yang bercakap dengan volume suara yang tinggi.

Masing-masing menumpukan pandangan ke arah Jurulatih Annas yang berbadan tegap yang telah menjadi jurulatih Bola Keranjang beberapa bulan yang lalu setelah jurulatih sebelumnya meletak jawatan juga. Mereka yang kebanyakkannya adalah pemain bola keranjang hanya dapat melihat sahaja Jurulatih Annas berhadapan dengan anak muda kacukan Melayu- Cina yang juga merupakan kapten pasukan bola keranjang kolej, Adam Alexander.

Suasana sunyi sepi. Tiada lagi bunyi kasut yang berlanggaran dengan gelanggang bola keranjang, tiada lagi bunyi wisel dan begitu juga dengan bunyi bola keranjang dilantunkan seperti sebentar tadi. Mereka semua masih lagi memandang ke arah dua lelaki yang sememangnya tidak boleh bertemu muka sejak beberapa bulan yang lalu.

“Perletakkan jawatan diterima,” ujar Adam Alexander atau lebih mesra di panggil Alex sambil mengambil surat perletakan jawatan dari tangan Jurulatih Annas. Kedua mata masih lagi berpandangan sesama sendiri.

“Rina, sila proses peletakan jawatan jurulatih kita ni dan buat persiapan untuk mencari jurulatih baru yang lebih baik dari sebelum ini,” kata Alex sambil memberi surat perletakan jawatan Jurulatih Annas kepada Setiausaha Kelab Bola Keranjang, Rinazila yang turut berada di situ. Surat perletakan jawatan disambut oleh Rinazila dengan teragak-agak manakala Alex masih lagi memandang tepat mata Jurulatih Annas yang ternyata masih marahkannya tentang kejadian tempoh hari.

Alex masih lagi tenang seperti selalu.

“Kalau macam inilah sikap kau, kau takkan dapat jadi pemain handalan suatu hari nanti!” ujar Jurulatih Annas dengan berangnya. Alex masih lagi tenang mengadap Jurulatih Annas.

Ada apa-apa lagi yang En. Annas hendak beritahu?” tanya Alex tenang tapi bagi mereka yang telah lama mengenali Alex, mungkin akan salah sangka dengan sikap tenang anak muda itu.

“Kau tak payah nak berlagak. Suatu hari nanti aku akan kembali tapi bukan sebagai jurulatih tapi sebagai pesaing. Aku akan pastikan anak-anak buah aku belasah kamu semua di gelanggang suatu hari nanti!” ujar Jurulatih Annas dengan kasar kepada Alex sebelum memandang pemain-pemain yang berada di sekitarnya.

Kemudian dia berlalu pergi meninggalkan dewan bola keranjang yang pernah menjadi tempatnya mengajar mereka semua bermain bola keranjang. Kini, mulai dari saat ini, dia tidak perlu lagi mengajar mereka. Sudah lama dia ingin berbuat demikian, iaitu meletak jawatan sebagai jurulatih Kolej Lagenda tapi disebabkan kesempitan wang, dia teruskan juga walaupun ada kalanya dia rasa mereka semua tidak memerlukan jurulatih.

Kolej Lagenda adalah kolej swasta yang terkenal dan termahal di Malaysia. Semua pelajar-pelajar yang belajar di kolej itu datangnya dari keluarga yang berpengaruh dan kaya-raya. Dan menjadi jurulatih di situ memang seperti durian runtuh. Dan sebab itulah dia bermati-matian untuk menjadi jurulatih di kolej tersebut apatah lagi kolej itu telah melahirkan beberapa atlit bola keranjang yang handal dan ada juga diantara mereka yang mendapat tawaran sebagai pemain professional dan bermain di kelab-kelab yang handal di peringkat antarabangsa.

Namun, setelah bergelar jurulatih Kolej Lagenda, barulah dia tahu bahawa hidup ini tidak semestinya indah. Jawatan jurulatih hanyalah jawatan ‘palsu’ yang bertujuan untuk mengaburi mata semua orang. Sepanjang beberapa bulan dia berada di pasukan itu, dia langsung tidak pernah menggunakan pengalamannya untuk mengajar mereka semua bermain bola keranjang ataupun melatih mereka dengan caranya sendiri. Malah dia di arah duduk di tepi dan melihat mereka bermain sahaja.

Dan Adam Alexander, pemain handalan yang semakin meningkat naik telah mengambil alih tugasnya dengan melatih pemain-pemain bola keranjang. Semua arahan dibuat oleh anak muda yang angkuh itu. Pada mulanya dia berasa ianya bersifat sementara tapi setelah bersama mereka dalam beberapa perlawanan, dia dapat mula rasa tersisih. Sepatutnya semasa perlawanan berlangsung, dia sebagai jurulatih mempunyai kuasa untuk menyusun strategi yang bijak untuk pasukannya tapi segala strateginya tidak diendahkan oleh mereka semua kerana Alex sudah menyusun strategi. Dengan kata lain, semua perlawanan di susun oleh Alex dan bukannya dia sebagai jurulatih.

Jika pasukannya menang, mereka akan bergembira dan menjulang nama Alex dan jika pasukannya kalah dalam perlawanan, namanya akan diperburukkan oleh sesiapa yang bercerita tentang kekalahan pasukan bola keranjang kolej tersebut. Dan pernah satu masa, dia dipanggil oleh pengarah urusan Kolej Lagenda kerana kekalahan teruk perlawanan menentang pasukan kolej lain. Walaupun hanyalah perlawanan persahabatan tapi pihak kolej memang memandang berat kekalahan tersebut.

Dan sejak itu dia sering kali bertengkar dengan Alex yang terkenal dengan sikap ego dan angguhnya itu. Sejak hari itu juga, dia mula bertindak sebagai jurulatih dan ditentang hebat oleh Alex yang tidak bersetuju dengan setiap latihan yang dikendalikan olehnya.

Adam Alexander adalah seorang yang berpengaruh di dalam Kolej Lagenda. Ibunya, Datuk Azrina Hj Azlan adalah penyumbang terbesar dalam bentuk kewangan untuk memajukan Kolej Lagenda sebagai kolej terkemuka di dunia. Jadi, pihak pengurusan kolej memang menjaga Alex seperti menjaga anak raja. Dan mungkin sebab itulah tiada sesiapa pun yang berani menegur kesalahan yang Alex lakukan.

Setelah beberapa bulan terpaksa menanggung masalah yang dihadapi oleh pasukannya, Jurulatih Annas terpaksa mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya. Baginya tiada guna lagi dia hendak pertahankan jawatan jurulatih Kolej Lagenda jika khidmatnya tidak diperlukan. Tambahan pula dia telah dirisik oleh sebuah pasukan bola keranjang yang juga menawarnya gaji yang lumayan.

Dan hari ini dia sudah bebas…

“En. Annas?” tegur seseorang lelaki yang segak berbaju kemeja dan digandingkan dengan kod hitam. Lelaki yang bertembung dengannya itu dan juga merupakan penasihat Bola Keranjang Kolej Lagenda dipandangnya. “Kenapa ni?” tanya En. Hazrul Ahmad yang mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena sebentar tadi.

“Kau tanyalah sendiri dengan kumpulan angkuh kau ni!” tengking Jurulatih Annas kepada Hazrul Ahmad yang juga merupakan kawan karibnya sejak dia berada di Kolej itu. Hazrul ternyata terkejut dengan jurulatih Annas yang tiba-tiba meninggikan suara sebelum berlalu meninggalkannya dengan marah.

Dia kemudiannya memandang satu persatu wajah pemain-pemain bola keranjang dan sesiapa yang ada di dalam dewan tersebut. Melihat wajah mereka satu persatu dia dapat rasakan ada sesuatu yang buruk telah berlaku. Kemudian dia memandang Rinazila yang selaku Setiausaha kelab.

“Jangan pandang saya macam tu, En. Hazrul kena tanya pada kapten kita yang angguh ini sebab saya terpaksa buat proses perletakkan jawatan Jurulatih Annas dan membuat persediaan untuk mencari jurulatih baru. Jika tidak, kita tidak akan dapat menyertai perlawanan peringkat kebangsaan yang akan bermula 2 bulan dari sekarang!” pantas Rinazila berkata sambil mencapai filenya sebelum berlalu pergi dari situ. Sengaja dia hendak melarikan diri dari disoal bertubi-tubi oleh En. Hazrul Ahmad yang merupakan Penasihat Kelab Bola Keranjang.

“Letak jawatan?” tanya Hazrul sambil memandang tepat ke arah Alex yang hanya mendiamkan diri sambil mengemas barang-barangnya masuk ke dalam beg galasnya. “… lagi?” tambahnya.

“No komen,” jawab Alex sambil menyandang beg di bahunya dan kemudian dia mengangkat kaki berlalu pergi dari situ. Hazwan hanya menggeleng lemah. Entah bilalah Alex hendak berubah sikap. Tidak habis-habis hendak menyusahkan kelab dan kolej termasuklah menyusahkannya yang terpaksa membuat laporan tentang kejadian peletakan jawatan Jurulatih Annas yang dianggapnya sebagai jurulatih yang berkaliber dan berwibawa.


****


Wanita yang berusia 40an itu tidak henti-henti tersengih sejak dari tadi. Mak Cik Limah dan Mak Cik Tipah yang terkenal dengan gelaran Mami Jarum Kampung Sumatera itu mula bercakap-cakap mengumpat wanita yang tersengih-sengih yang juga merupakan musuh sejati dua wanita separuh abad itu.

“Mak Cik Ina oiii,” Mak Tipah mula bersuara dengan gaya muncung itiknya. Sambil itu dia berpura-pura memilih ikan kembung di atas meja kedai Pak Mat yang penuh dengan kaum ibu-ibu membeli makanan untuk di masak tengah hari nanti. “Tersengih-sengih macam ikan kembung busuk ni kenapa? Lagi busuklah ikan kembung atas ni,” sindirnya.

“Yalah. Aku yang nak beli ikan ni pun takut,” balas Mak Limah dengan badan besarnya yang merempuh kaum ibu-ibu yang ada di sebelahnya tadi untuk memilih ikan kembung yang segar. Sesekali dia akan mengetuk tangan sesiapa sahaja yang mencapai ikan yang dilihatnya segar. Begitulah perangai Mak Limah yang terkenal dengan sikap tamak dan tidak menghormati jiran-jirannya.

“Laa… Tipah dengan Limah rupanya. Aku ingatkan siapalah tadi. Apa korang buat di sini? Beli ikan ke? Hai, dulu kata kedai Pak Mat ni tak de class kalau nak dibandingkan dengan pasaraya Giant tu. Kenapa? Dah tak de duit nak borong di sana ke?” sindir Mak Ina pada musuh turun menurunnya itu. Sejak kecil-kecil lagi mereka sudah ditabalkan menjadi musuhnya.

“Kami bukannya apa. Saja nak jalan-jalan pagi-pagi ni. Cadang tu nak pergi beli belacan sahaja. Yelah, takkanlah nak beli belacan seketul pun nak pergi Giant,” balas Mak Limah yang sudah terasa pedas dengan kata-kata Mak Ina.

“Iye ke? Hai, cakap sajalah anak kau yang berkerja Setiausaha di Kuala Lumpur tu tak bagi duit belanja. Siapa namanya? Nabula?”

“Nabila!” bentak Mak Limah marah.

Mak Ina tersenyum puas. Puas hati apabila Mak Limah marah.

“Nabila tu dah terbang ke Australia minggu lalu, nanti minggu depan dia balik mesti dia belikan aku barang kemas yang mahal-mahal dari sana,” Mak Limah berkata.

Ada aku tanya ke?” balas Mak Ina.

“Alah, Mak Ina ni jealous sebenarnya. Yelah, anak dia yang tiga suku tu bukannya boleh harap. Dari umur 20 tahun hingga nak jadi anak dara tua, tak kerja-kerja lagi. Sudahlah tak berkerja, lepas tu tak de orang pun nak masuk meminang pula tu. Kesian betul. Saya rasa Mak Ina patut bawa dia pergi jumpa bomohlah,” sampuk Mak Timah cuba mempertahankan kawan seperjuangannya itu.

“Siapa kata anak aku tak boleh diharap? Lain kali kalau nak cakap tu soal selidik dulu. Anak aku tu baru saja terima bekerja sebagai seorang pengurus di sebuah syarikat besar di Kuala Lumpur,” ujar Mak Ina dengan lagaknya.

“Alah Mak Ina, tak payahlah nak kelentong kami ni. Kita ni satu kampung, kami tahu apa yang terjadi di kampung ni. Tak payahlah nak sedapkan hati dengan kata anak dia bekerja di syarikat besar,” balas Mak Timah.

“Aku bercakap benda yang betul. Anak aku memang dapat kerja sebagai pengurus. Kalau korang semua tak percaya nanti aku bawa surat perlantikan yang dia terima semalam,” katanya dengan angguh.

“Iye ke Mak Ina?” tanya salah seorang pendengar yang turut berebut memilih ikan kembung tersebut.

“Iyelah. Kenapa? Korang ingat aku ni penipu ke?”

“Tak delah Mak Ina tapi… tadi, semasa saya nak ke sini, saya tengok macam ada seseorang yang iras-iras anak Mak Ina tengah layan budak-budak main bola sepak digelanggang sebelah surau tu,” katanya.

“Hah?!” dengan pantas Mak Ina mencampak ikan-ikan kembung yang dipilihnya dan berlalu pergi ke arah gelanggang sebelah surau yang diperkatakan tadi.


Bola hitam putih dilantunkan beberapa kali ke arah lantai gelanggang serbaguna yang menjadi tempat permainannya sejak kecil lagi. Budak-budak lelaki yang berusia 4 hingga 6 tahun hanya duduk di tepi. Ada yang menggaru pipi, ada yang menggaru kepala dan ada juga yang terduduk mencangkung di tepi sambil melihat bola hitam putih mereka di salah gunakan bagi tujuan sukan lain.

“Kak Apy,” panggil adik Raimi, kanak-kanak lelaki yang petah bercakap. “Cepatlah kitorang nak main bola sepak ni.”

“Hisy, nantilah. Ni akak nak ajar korang buat slam dunk ni. Korang tengok betul-betul ye. Akak ajar sekali saja dan free of charge,” Apy Elina dengan rancak melantunkan bola hitam putih di tangannya.

“Bola Sepak mana boleh guna tangan kak,” sampuk salah seorang mereka.

“Hisy, ni bukannya bola sepak la. Ni bola keranjang. Apalah korang ni itu pun tak tahu. Dah, korang duduk diam-diam kat situ. Tengok gaya akak yang kacak ni,” matanya memandang tepat bakul merah yang dibuang oleh orang dan digantungkan di sebuah tiang lampu ditepi gelanggang tersebut.

“Baiklah, Apy Elina, pemain handalan kebangsaan akan menunjukkan slam dunk yang terhebat yang pernah anda semua lihat abad ini!” kakinya bersedia untuk melompat dan menjaringkan gol pada bakul merah tersebut. Namun, semasa dia hendak memulakan langkah, tiba-tiba telinganya ditarik oleh seseorang.

“Oh pemain handalan kebangsaan ye,” ujar suara nyaring yang tidak asing lagi baginya. Telinganya di pulas dengan kuat.

“Mak… sakit mak…,” rintihnya apabila Mak Ina menarik telinganya sehingga bola hitam putih itu jatuh ke lantai dan di sambut oleh salah seorang budak-budak tadi. “Hey hey… aku belum tunjuk lagi slam dunk pada koranglah,” ujarnya pada budak-budak tadi sambil langkahnya terpaksa mengikuri Mak Ina yang menariknya pergi.

“Orang suruh dia pergi kerja, dia boleh pergi bermain kat gelanggang tu. Kau ni memang nak memalukan mak di kampung nilah. Macam mana mak nak berhadapan dengan kawan-kawan mak nanti? Mak ingat kau dah pergi kerja tapi tengok-tengok kau ada kat gelanggang tu. Apa nak jadi dengan kau ni Apy?” teruk Apy Elina kena ‘basuh’ dengan mak kandungnya itu sebaik sahaja dia ditarik sehingga pulang ke rumahnya.

“Alah mak, Apy tak sukalah kerja macam tu. Bosanlah,” balasnya selamba sambil menggosok-gosok telinganya yang merah di pulas oleh maknya tadi.

“Habis tu kau nak kerja apa? Nama sahaja belajar di universiti sampai degree tapi bila dah keluar kau tak nak bekerja pula!”

“Bukan tak nak kerja tapi Apy tak suka kerja macam tu. Duduk dalam pejabat, lepas tu ikut arahan ketua. Bosanlah, silap hari bulan Apy boleh jadi gila kalau kerja macam tu.”

“Hah, kalau macam tu, kau sukalah mak jadi gila?”

“Kenapa pula mak nak jadi gila?”

“Sebab risaukan kaulah! Kalau satu dua bulan kau tak bekerja mak tak kisah sangat tapi ini dah nak dekat 8 tahun kau tak bekerja. Abang dan kakak kau susah payah tanya sana sini untuk bagi kau kerja, alih-alih kau datang sebulan dua lepas tu terus lesap. Itu nasib baiklah kau ada abang dengan kakak kalau tak de, siapa nak bagi kita berdua ni makan?”

“Alah, kita makan jelah pucuk paku ulam raja tu. Macamlah kita tak pernah buat,” jawab Apy Elina selamba.

“Hah! Menjawab! Mak cakap, dia menjawab. Hey, Apy, kau tu dah besar. Bukan budak-budak umur 6 tahun lagi. Kau tak malu ke tengok kawan-kawan kau kat kampung ni? Anak Mak Limah tu, si Nabula tu….”

“Nabila la mak,” pantas Apy berkata.

“Ah, Nabila ke Nabula ke… sama saja maksudnya. Si Nabula tu, bekerja sebagai Setiausaha Dato’ yang terkaya tu. Dah bermacam-macam negara dia pergi jelajah. Anak Mak Timah tu pulak, walaupun tak belajar tinggi dan tak bekerja tapi dia dapat kahwin dengan anak Datuk. Kau pula habuk pun tak de.”

“Adalah mak, kat bilik saya tu banyak habuk. Mak asyik cakap saya tak de habuk, jadi saya ternaklah habuk. Kalaulah habuk tu bernilai memang dah jadi usahawan berjaya tau,” balas Apy Elina tersengih-sengih.

“Orang cakap melawan!”

“Alah, mak ni spotting la sikit. Apy bukannya tak nak kerja tapi belum dapat lagi kerja yang sesuai dengan jiwa Apy.”

“Kau nak kerja apa yang sesuai dengan jiwa kau?”

“Apy nak…,” ujarnya sambil bangun dari duduknya dan memandang bumbung rumahnya. “Apy nak jadi seorang jurulatih Bola Keranjang yang terkenal dan membawa pasukan Apy ke perlawanan antarabangsa!” kedua tangannya digenggam bersemangat. Tiba-tiba sebuah beg dibaling ke arahnya.

“Beg apa ni mak?!”

“Beg ni dalamnya adalah baju-baju kau. Sebenarnya mak rasa menyesal sebab halang cita-cita kau, jadi untuk memudahkan kau, mak lepaskan kau. Kau buatlah apa yang kau suka, dan carilah kerja yang kau rasa sesuai dengan jiwa kau dan jangan pulang ke rumah ni selagi kau tak berjaya,” pintu rumahnya ditutup rapat.

Apy Elina terpinga-pinga dihadapan pintu rumahnya yang sudah tertutup rapat. Beg yang penuh dengan pakaiannya dipeluknya. Dia masih lagi terpinga-pinga dengan apa yang berlaku tadi.

“Mak!” panggilnya sambil mengetuk pintu apabila mendapati pintu rumahnya telah dikunci dari dalam. “Mak, bukaklah pintu ni. Apy nak masuk. Kejap lagi ada kartun Slam Dunk!” jeritnya tapi jeritannya langsung tidak diendahkan oleh Mak Ina di dalam.

“Pelik betullah mak ni, kenapa mak bagi beg yang penuh dengan baju ni dan tak bagi aku masuk?” dia menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Itu maknanya aku halau kaulah!” jerit Mak Ina dari dalam.

“Oh, mak halau Apy ke? Kenapalah tak beritahu awal-awal tadi?” Apy Elina mengangguk faham.

“Kenapalah aku dapat anak yang bengap macam Apy ni?” keluh Mak Ina dari dalam sambil menggeleng. “Dah, kau pergi dari sini dan jangan balik selagi kau tak dapat apa yang kau nak!”

“Terima kasih mak sebab halau Apy. Tunggulah suatu hari nanti Apy balik dengan piala kemenangan,” Apy Elina bersorak gembira. Mak Ina di dalam rumah tidak mampu hendak berkata apa. “Err… mak,” panggil Apy lagi.

“Kau pergi sekarang sebelum aku ubah fikiran!” jerit Mak Ina dari dalam.

“Okey okey… Apy pergi dulu. Assalamualaikum!” dengan pantas dia menyarung kasut sukannya dan berlari lintang pukang. Tiba di perhentian bas yang tidak jauh dari rumahnya dia tercungap-cungap kepenatan. “Hai, aku nak tanya je tadi, sejak bila mak aku kemaskan baju-baju ni masuk dalam beg?” dia hanya sekadar menggeleng.

Dia melabuhkan punggungnya ke atas tempat duduk yang telah di sediakan di hentian bas tersebut. Satu senyuman terukir di bibirnya. Segera dia membuka beg pakaiannya dan mengeluarkan sebuah buku nota yang diberi nama Hikayat Cinta olehnya.

Dear Hikayat,

Akhirnya mak merestui keputusan aku dalam bola keranjang. Setelah beberapa tahun aku cuba yakinkan mak aku akhirnya hari ini aku berjaya keluar dari rumah dan berjuang untuk mencari kejayaan yang aku inginkan selama ini. Dan mulai dari hari ini aku akan buktikan pada mak aku bahawa aku boleh berjaya dengan kerjaya yang aku ceburi nanti. Hidup bola keranjang! Wahai pemain-pemain yang kacak, tunggulah kedatangan jurulatih anda yang comel ini!

Hikayat Cinta ditutup. Sebuah bas berhenti dihadapan hentian yang dudukinya itu. Tanpa membuang masa dia segera melangkah naik ke dalam bas dan pada saat itu dia sudah tahu, cabaran hidupnya sebagai jurulatih bola keranjang baru sahaja bermula…

10 si charming:

  1. nurhakim berkata...:

    best...
    cpat2 smbng tau...huhu

  1. Ai berkata...:

    alah.. ingatkan kte org pertama yg komen.. (adeh..)

    ape2 pun.. AKAK!!! smbung ag.. (Pleaceeee.. ;p)

  1. Unknown berkata...:

    hahahaha...ape la si apy ni..kkne halau dr umah pom ske..x prnh d buat org..huhuhu..

    btw..akirnye ada jgk cite bru dr ratu..dh lme tggu..hehehe..thnx 4 diis n3..n cpt2 la upload n3 bru k? hehehehe

  1. DianaTakyuddin berkata...:

    hifup bola keranjang!!!=)

  1. Fazl berkata...:

    ni mesti dpt ilham pas tengok Hot Shot ni:D

  1. aqilah berkata...:

    kah..... ada ke gelagat ni dlm zaman ni??? apapun, ratu, best!!!!!!!!!!!

  1. adooyy..
    lawak2..
    sllumberr badak je si apy nieh....
    hehehee..
    smbung2,..

    btw,,
    just wanna correct ur spelling ratu..
    eja sporting bkn spotting taw..
    hehehee...smbung cpat2 aw..

  1. ceritaku MEMORIKU berkata...:

    warghhhhhhhhh.
    lawok abis.he3
    suke3
    sempoi gilew
    -na'dz

  1. bidadari cinta berkata...:

    haha..kelakar! kena halau dari umah pun boleh happy!!

  1. Tanpa Nama berkata...:

    i think there should be a mistake..
    kolej legenda untk anak2 org kaya je ke..
    im ao sory.. sy student kolej legenda..
    bt sy pown bkn ank dato pown..
    ada je student sini ank peneroka, ank felda..

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages