Seseorang untuk Dinikahi: Bab 11



Kenapa pulak ni?” tanya Fazira kepada Arissa yang menyembam muka di meja makan.
Arissa mengangkat kepala lalu memandang Fazira yang baru sahaja pulang dari menghadiri aktiviti sukan di sekolah. Terkejut Fazira melihat keadaan Arissa yang bagaikan tidak terurus itu. Rambut Arissa dilihat berserabai seperti sudah beberapa hari tidak bersikat. Pelik. Pagi tadi punyalah seronok tapi petang ini Arissa berubah jadi orang lain.
Fazira...,” gumam Arissa.
Apa dah berlaku ni?” tanya Fazira kerisauan.
Nazwan...,” ujar Arissa. Dia tidak tahu bagaimana hendak beritahu Fazira, sebaliknya memberikan sehelai kertas kepada Fazira.
Kertas apa ni?” tanya Fazira yang tidak faham apa yang dibacanya.
Dia yakin, tulisan dalam kertas itu bukan tulisan Kak Arissa tapi tulisan seseorang. Dia tidak pernah melihat tulisan Nazwan, jadi dia tidak dapat meneka sama ada itu tulisan Nazwan atau tidak.

Tadi, aku jumpa Nazwan. Kita berbincang pasal apa yang patut kitorang buat seterusnya. Lepas tu, aku suruh dia senaraikan 10 sebab apa yang dia tak suka tentang aku. Aku ingat, kalau dia senaraikan sebab-sebab tu aku tahulah sedikit tentang kelemahan aku dan kalau boleh ubah, aku akan ubah perangai aku,” terang Arissa separuh.
Habis tu? Apa masalahnya?”
Cubalah kau tengok betul-betul! Aku suruh dia senaraikan 10 sebab tapi dia senaraikan 20 sebab!” ujar Arissa marah.
Fazira kembali melihat kembali kertas di tangannya itu. Memang ada 20 senarai yang ditulis. Serentak itu, dia melepaskan ketawa terbahak-bahak sehingga dia tidak dapat menahan dirinya daripada berhenti ketawa.
Fazira! Ini bukannya lawak!” Arissa merampas kertas itu kembali.
Tapi memang lawak pun,” Fazira masih lagi ketawa.
Ah, sudahlah!” Arissa lantas bangun dan mula mengorak langkah.
Nak ke mana tu?” tanya Fazira.
Nak pergi merajuk!” jawab Arissa yang sudah berlari ke atas.
Fazira sekadar menggeleng. Macam manalah Nazwan tidak senaraikan 20 sebab kalau perangai pun macam itu. Namun, dia tertanya-tanya apa yang menyebabkan Nazwan menerima bekas kakak tirinya itu. Setahu dia, Nazwan tidak pernah menunjukkan minat terhadap Arissa. Malah, dia yakin Arissa langsung tiada ciri-ciri perempuan idaman Nazwan.
Entah apa yang difikir Nazwan,” ujarnya seorang diri.
Apa yang Nazwan fikir?” suara mamanya menyapa tiba-tiba.
Mama!” keluh Fazira lantas berpaling. Dia langsung tidak sedar mamanya sudah balik. Walaupun mamanya sibuk dengan butik pengantin, tetapi mamanya akan pulang ke rumah sebelum bukul 6.00 petang. Tapi sekarang baru pukul 4.00 petang.
Awal mama balik,” tegur Fazira.
Mama baru balik jumpa pelanggan. Kebetulan rumahnya dekat area ni jadi lepas habis, mama terus balik rumah,” terang Puan Fiza dengan ringkas. “Arissa mana?” tanyanya sambil memandang sekeliling.
Dalam bilik. Merajuk,” jawab Fazira.
Merajuk?” Puan Fiza mengerut dahi. “Dia bergaduh dengan Nazwan ke?” tekanya.
Lebih teruk daripada tu,” kata Fazira dan menerangkan secara ringkas apa yang ditahunya. Selepas sahaja dia ceritakan, mamanya ketawa terbahak-bahak seperti mana dia ketawa tadi.
Arissa... oh Arissa,” Puan Fiza mengeleng perlahan.

***

Pintu biliknya diketuk. Arissa melihat Mama Fiza berdiri di depan pintu biliknya.
Boleh Mama Fiza masuk?” tanya Puan Fiza.
Arissa mengangguk. Puan Fiza segera melangkah masuk menghampiri Arissa yang masih lagi berbaring di katil. Dia duduk di hujung katil.
Mana senarai tu?” tanya Puan Fiza.
Arissa sudah boleh mengagak. Ini mesti Fazira sudah laporkan kepada Mama Fiza. Mesti mereka berdua bantai gelak tadi. Mereka berdua memang sehati sejiwa. Mujurlah dia tidak ada di situ, kalau tidak lagi stress kepala otaknya.
Arissa menghulurkan kertas yang sudah dikeronyokkan itu kepada Puan Fiza. Kalau diikutkan hati memang dia sudah bakar kertas itu tapi sayang pula nak bakar sebab ada tulisan Nazwan yang cantik dan kemas. Kalau tengok tulisan pun cair, apatah lagi kalau tengok orangnya.
Jadi, ini yang buat kamu kecil hati sampai merajuk?” tanya Puan Fiza setelah membaca kesemua senarai itu.
Siapa yang tak bengang kalau orang yang kita suka senaraikan 20 yang dia tak suka tentang kita. Tambah lagi Rissa suruh dia senaraikan 10 saja tapi dia senaraikan lebih dari tu! Eee... macam nak cabar Rissa pun ada,” rungut Arissa sambil memukul-mukul bantal kesayangannya yang hampir lunyai itu.
Walaupun sudah lunyai, tetapi dia tetap sayang dengan bantal itu. Setiap kali dia gembira, sedih, geram mahupun marah, bantal itulah yang akan menjadi sasarannya terlebih dahulu. Ini kerana itu adalah antara harta peninggalan arwah ibu kandungnya kepadanya.
Kenapa pula kamu nak suruh dia senaraikan 10 sebab tu?” tanya Puan Fiza.
Ada kalanya dia berasa tindakan Arissa tidak ubah seperti budak-budak sekolah rendah baru belajar bercinta. Ada kala juga pemikiran Arissa seperti orang dewasa. Seumur hidupnya, dia pun tak pernah terfikir hendak suruh orang menyenaraikan sebab-sebab sebegitu.
Tak ada apa,” jawab Arissa kembali berbaring di katilnya. “Kenapa kawan Rissa sendiri boleh senaraikan 10 sebab macam tu? Teruk sangat ke Rissa ni?” kata Arissa lagi dengan keluhan berat.
Arissa, semua orang tak sempurna. Walaupun kita berusaha nak nampak sempurna dan berbaik dengan semua orang, tapi masih lagi ada yang cacat pada diri kita,” pujuk Puan Fiza dengan kata-kata saktinya.
Tapi Rissa langsung tak boleh senaraikan 10 sebab tu pada kawan sendiri,” ujar Arissa lagi. “Agaknya, Rissa memang tak kenal kawan Rissa sendiri. Ahh, ini bermakna Rissa ni tak pernah ambil berat tentang kawan sendiri. Yelah, Rissa selalu sangat kejar lelaki sampai Rissa tak pernah ambil tahu pasal kawan sendiri. Waaa... Rissa memang teruk!” Sekali lagi bantal kesayangannya menjadi mangsa kerasutan tangannya yang tidak henti-henti melibas-libas.
Ya, Rissa memang teruk,” sokong Puan Fiza.
Serentak itu Arissa memandang bekas ibu tirinya itu. Dia terkejut. Tidak sangka, Mama Fiza boleh cakap begitu. Kalau Mama Fiza sudah cakap begitu, itu bermakna dia memang seorang yang teruk. Matanya mula berkaca-kaca. Bila-bila masa sahaja lagi dia akan melepaskan cecair jernih itu.
Mama Fiza pun kata Rissa teruk...,” dia tidak dapat menahan air matanya lagi.
Mmm... apa boleh buat. Rissa memang teruk. Mama Fiza lagilah teruk.”
Serta-merta Arissa berhenti menangis.
Kenapa?” tanyanya.
Sebab Mama Fiza tak boleh nak berbuat apa-apa untuk tolong Rissa. Mama Fiza asyik kerja, tak ada masa nak teman Rissa, tak ada masa nak dengar masalah Rissa dan tak dapat jadi penasihat cinta kepada Rissa. Lepas tu, Mama Fiza dah rampas rumah peninggalan ibu kandung Rissa. Mmm... Mama Fiza memang seorang ibu yang teruk.”
Waa.... Mama Fiza janganlah salahkan diri sendiri,” ujar Arissa lantas memeluk Puan Fiza dengan erat. “Mana ada Mama Fiza rampas rumah ni. Semuanya dah ada dalam wasiat mama Rissa. Sesiapa yang jaga Rissa, berhak ke atas rumah ni. Mama Fiza bukannya teruk tapi seorang mama yang baik. Mana nak dapat ibu tiri yang baik macam Mama Fiza.”
Kalau Mama Fiza tak teruk, jadi Rissa pun bukannya teruk sangat,” Puan Fiza membelai-belai rambut Arissa yang panjang. “Setiap orang ada kelemahan, Rissa. Kalau Rissa suruh orang senaraikan kelemahan Rissa, boleh jadi, lebih seratus kertas kajang.”
Habis tu? Apa Rissa patut buat?” tanya Rissa yang dalam masih memeluk Mama Fiza.
Belajar untuk terima kenyataan. Yang mana boleh ubah tu, Rissa ubah. Nak berubah tu memakan masa yang lama. Rissa pula kena berubah dengan rela hati bukannya sebab cintakan Nazwan, Rissa memaksa diri untuk berubah,” nasihat Puan Fiza.
Arissa meleraikan pelukan. Dia terdiam sebentar dan berfikir.
Kalau Rissa berubah dia akan sukakan Rissa ke? Rissa suruh dia senaraikan 10 sebab kenapa dia tak sukakan Rissa pun, dia dah senaraikan 20 sebab. Nampak sangat macam susah saja nak cairkan hatinya,” kata Arissa yang sudah hilang semangat.
Takkanlah sebab itu Rissa dah hilang semangat.”
Bukan hilang semangat tapi bila Nazwan dah senaraikan sebab-sebab yang banyak macam ni, rasanya macam mustahil saja. Tambah lagi, Luqman dan Sarah tak suka Rissa couple dengan Nazwan. Diorang ingat Rissa sengaja nak hancurkan hati Nazwan. Aahhh, Rissa bukannya playgirl yang jahat. Nazwan pula, macam acuh tak acuh je. Tak ada sesiapa yang nak sokong Rissa,” tambah Arissa lagi meluahkan apa yang terbuku di hatinya.
Rissa cintakan Nazwan ke?”
Mestilah!” kata Arissa penuh yakin. “Rissa tak pernah rasa macam ni. Perasaan ni sangat aneh sampai Rissa sendiri tak tahu macam mana nak terangkan. Macam dia tu memang dilahirkan untuk Rissa.”
Puan Fiza yang mendengar turut terkedu seketika. Dia tidak pernah melihat Arissa seperti ini. Selama ini dia juga pernah juga melihat jatuh bangun Arissa ketika bercinta tapi ini kali pertama Arissa bercakap dengan sepenuh hati. Kalau Nazwan adalah hentian terakhir Arissa, mungkin inilah petandanya.
Kalau macam tu, tak ada apa yang perlu dirisaukan.”
Ada. Luqman dan Sarah....”
Mereka berdua bukan Tuhan, jadi abaikan mereka. Apa yang penting sekarang, Rissa kena bersiap sedia menghadapi rintangan yang mendatang. Mungkin rintangan kali ini agak hebat berbanding apa yang Rissa lalui sebelum ini,” kata Puan Fiza lagi memberikan sedikit api semangat kepada Arissa.
Macam mana kalau Nazwan tetap tak sukakan Rissa walaupun Rissa dah cuba yang terbaik?” tanya Arissa lagi.
Percaya pada jodoh yang telah ditetapkan,” ucap Puan Fiza.
Perlahan-lahan bibir Arissa mengukir senyuman. Ya. Percaya pada jodoh yang telah ditetapkan. Itu juga kata-kata arwah ibunya.
Terima kasih Mama Fiza!” dia sekali lagi memeluk Puan Fiza dengan erat. Api semangatnya serta-merta naik mendadak. Dia akan berusaha keras untuk menambat hati Nazwan dan buktikan kepada Sarah dan Luqman bahawa Nazwan adalah hentian terakhirnya!

***

Tepat pukul 1.00 tengah hari, kafeteria sudah mula dipenuhi bakal mahasiswa yang baru sahaja habis kuliah. Nazwan yang sudah habis kuliah pada pukul 12.00 tengah hari tadi, sudah pun duduk di meja yang biasa diduduki mereka ketika rehat. Sambil menunggu rakan-rakannya yang lain, dia menghabiskan masa dengan membaca buku.
Walau bagaimanapun, fikirannya melayang ke tempat lain. Macam-macam yang dia fikir. Ada kalanya dia terfikir ingin berhenti apa yang dia lakukan sekarang. Couple dengan Arissa tidak memberikan sebarang faedah langsung. Malah, dia mula rasakan kehidupannya yang selama ini tenang, mula hura-hara dengan perangai Arissa yang tidak pernah tahu duduk diam.
Entah siapa punya idealah yang membuatkan dia terperangkap kini. Dia patut dengar nasihat Luqman dahulu. Malah, dia juga patut berfikir panjang sebelum berkata “Okey” ketika Arissa mengajaknya dating atau kata lain couple. Pada masa itu, boleh dikatakan dia separuh sedar. Dia tahu dia tidak ada perasaan terhadap Arissa tapi dalam masa yang sama ada satu tarikan yang membuatkan dia terus bersetuju.
Mungkin benar kata Luqman selama ini. Arissa adalah ahli sihir. Sedar-sedar sahaja dia sudah melakukan satu kesilapan tapi bila Luqman suruh dia berfikir sekali lagi, dia bertegas ingin teruskan hubungan itu. Kini, dia semakin tidak pasti.
Nazwan sekali lagi menghela nafas berat.
Aku pelik,” sapa suara Luqman tiba-tiba sekali gus mengejutkan Nazwan daripada lamunan. Dia langsung tidak sedar kehadiran Luqman bersama Sarah di meja itu.
Apa peliknya?” tanya Nazwan.
Macam mana kau boleh mengelamun masuk ke dunia lain dengan cuaca yang panas macam ni? Cuaca panas bukan waktu yang sesuai untuk mengelamun,” kata Luqman yang sudah duduk di hadapannya.
Ada masalah?” tanya Sarah yang memilih untuk duduk di sebelah Luqman.
Nazwan senyap. Dia sengaja mengambil keputusan untuk berdiam diri. Kalau dia beritahu apa yang bermain di kepalanya, pasti Luqman akan membebel di hadapannya. Dia lebih sanggup dengar Arissa bercakap tanpa henti daripada mendengar Luqman membebel. Memang tidak sesuai langsung kalau lelaki membebel.
Aku tahu, ini mesti sebab Arissa,” teka Luqman.
Mmm... sudah semestinya!” Sarah menyokong.
Sebut saja nama Arissa, dia dah muncul,” ujar Nazwan yang melihat tubuh Arissa yang sudah melangkah masuk ke dalam kafeteria dan sedang menuju ke meja mereka.
Hai,” sapa Arissa ceria seperti selalu.
Dia cepat-cepat mengambil tempat di sebelah Nazwan walaupun mereka bertiga tidak membalas sapaannya. Masing-masing membuat muka tidak berminat hendak menyapanya. Namun, semua itu langsung tidak mematahkan semangatnya.
Nazwan, jom kita pergi tengok wayang hari ni,” ajak Arissa.
Baru sahaja Nazwan ingin bersuara, Arissa terlebih dahulu menyambung, “Oh, aku tahu kau ada kelas sampai pukul 5.00 petang. Sebagai girlfriend mestilah aku kena tahu semua jadual kau, jadi, kau tak perlu risau. Aku dah booking tiket untuk jam 9.00 malam.”
9.00 malam?” tanya Luqman kembali. “Kau nak Nazwan kena pancung dengan nenek ke?” Luqman tidak puas hati. Sedangkan dia ingin keluar tengok wayang dengan Sarah pun neneknya sudah membebel sampai seminggu, sudah tentulah Nazwan pun sama.
Aku dah minta keberanan neneklah!” pantas Arissa mejawab. “Nenek setuju sebab dia percayakan aku,” tambah Arissa lagi sengaja ingin mendiamkan Luqman.
Ahli sihir,” ujar Luqman tidak puas hati.
Seperti Luqman, Sarah juga tertanya-tanya, bagaimana Arissa boleh meminta kebenaran nenek dengan senang sedangkan dia hendak keluar menonton wayang dengan Luqman pun tidak boleh. Pasti, Arissa menggunakan ilmu sihir lagi.
Arissa...”
Jangan cakap apa-apa,” pantas Arissa memotong kata-kata Nazwan tadi. “Aku dah sediakan semuanya. Kau hanya perlu datang ke Mall dalam pukul 8.00 malam. Tak payah ambil aku sebab aku akan ke butik Mama Fiza kat sebelah Mall tu petang ni. Sekarang, aku nak mandi spa dan pilih baju lawa-lawa untuk date kali ni. Okey, aku balik rumah dulu. Jumpa kat sana!” ujar Arissa panjang lebar sebelum berlalu dari situ.
Nazwan sekali lagi mengeluh lemah. Belum lagi dia sempat hendak bersuara, Arissa sudah pun berlalu pergi membuatkan dirinya terperangkap. Betul kata Luqman, Arissa memang licik orangnya.
Kau tahu apa yang kau buat,” ujar Luqman dengan nada menyindir.
Diam,” ujar Nazwan tidak berminat hendak mendengar bebelan Luqman buat masa ini.

***

Pukul 8.00 malam dan kau masih duduk di balkoni ni menikmati pemandangan malam yang indah dengan berbaju t-shirt, berseluar pendek,” sapa Luqman menghampiri Nazwan yang masih bersenang lenang di balkoni bilik. “Apa dah berlaku dengan date kau malam ni?” tanya Luqman.
Abaikan,” jawab Nazwan sepatah.
Luqman duduk di kerusi putih tidak jauh dari Nazwan. Dia memandang sepupunya dengan tajam. Selalunya Nazwan tidak begini tapi sejak kehilangan Natasya, perangai Nazwan dilihat mula berubah sedikit demi sedikit.
Kalau dahulu, mereka boleh bergurau senda, tetapi sekarang Nazwan tidak tahu bagaimana hendak bergurau. Orang tanya sepatah, dia akan menjawab sepatah. Orang tanya beberapa patah, sepatah juga dijawabnya. Dia tidak dapat agak apa yang sedang bermain di kepala Nazwan.
Aku tahu kau tak suka dengar apa yang aku nak katakan ni tapi sejak Natasya tak ada, kau macam dah jadi orang lain. Macam kau bukan sepupu yang aku kenal. Aku faham apa yang kau lalui...”
Kau takkan faham,” balas Nazwan dengan tenungan yang menakutkan.
Okey, aku tak faham tapi takkan kau nak terus macam ni? Aku sepupu kau. Kita membesar sama-sama dan saling memahami tapi sekarang kau macam menjauhkan diri dari kami semua. Aku tahu, aku tak mungkin dapat hidupkan Natasya semula tapi aku harap, aku dapat 'hidupkan' Nazwan yang aku kenal,” tambah Luqman.
Nazwan senyap.
Apa sebenarnya yang dah berlaku sampai kau buat keputusan nak couple dengan Arissa? Aku tahu kau tak gembira dengan keputusan tu. Kalau tak, gerenti kau dah berada di sebelah Arissa sekarang ni,” desak Luqman lagi yang inginkan jawapan.
Nazwan mengeluh berat.
Luqman,” Nazwan mula bersuara setelah lama berdiam diri. “Aku terfikir, betul ke dia sukakan aku? Atau dia pun sama spesis macam Natasya?”
Apa maksud kau?” tanya Luqman kurang faham.
Dia dengan senang mengaku yang dia dah jatuh cinta. Kemudian, tak sampai beberapa bulan dia putus cinta. Aku terfikir, sama ada dia sengaja buat macam tu atau sebaliknya.”
Jangan kata kau sengaja nak uji Arissa,” teka Luqman separuh gembira.
Agak-agak apa yang berlaku nanti?” tanya Nazwan dengan senyuman misteri.
Terbaik,” Luqman menepuk tangan. “Jangan risau, aku akan sentiasa menyokong kat kat sebelah,” Luqman kelihatan lega.
Perbualan mereka terganggu apabila handset Nazwan berbunyi di atas meja. Nazwan tidak mencapai handset itu tetapi sebaliknya hanya melihat nama pemanggil yang tertera di skrin. Arissa. Dia sudah agak pasti Arissa yang menelefonnya. Jadi, dia membiarkan handsetnya itu berbunyi sehinggalah berhenti sendiri.
Kau nak aku jawab?” tanya Luqman apabila panggilan kedua menyusul.
Tak payah,” jawab Nazwan.
Panggilan kedua berhenti setelah lama berbunyi. Tiada panggilan ketiga tetapi sebaliknya mesej yang masuk. Nazwan dan Luqman sudah dapat meneka siapa yang menghantar mesej. Kemudian, sunyi.
Aku terfikir, apa kata kalau kita bergabung tenaga dengan ajar sikit Arissa tu,” ujar Luqman mula memikirkan idea kejamnya.
Aku cuma nak pastikan sama ada dia betul-betul serius dengan aku, Luqman. Bukan nak balas dendam,” balas Nazwan tidak bersetuju.
Lepas tu apa?” tanya Luqman.
Terpulang pada nasib aku waktu tu,” jawab Nazwan acuh tidak acuh.
Kau memang susah nak dijangka,” keluh Luqman tidak tahu hendak kata apa lagi.

***

Nazwan terjaga daripada tidurnya yang nyenyak apabila handsetnya berbunyi. Dalam keadaan separuh mengantuk dia mencapai handsetnya. Skrin pada handsetnya tertera nama Fazira. Pelik. Walaupun dia menyimpan nombor Fazira tetapi dia tidak begitu rapat dengan jirannya itu. Ini kali pertama nama Fazira muncul di skrin handsetnya.
Nazwan mengambil keputusan membiarkan panggilan itu. Pasti Arissa yang meminjam telefon Fazira untuk mengelirukannya. Pasti juga Arissa tidak tahu yang dia menyimpan nombor telefon Fazira. Setelah beberapa minit, panggilan itu berhenti menelefonnya. Nazwan kembali menyambung tidurnya yang terganggu.
Namun, beberapa minit kemudian, handsetnya berdering lagi. Sekali lagi Nazwan terpaksa bangun melihat nama pemanggil. Puan Fiza. Dia menghela nafas lemah. Nampaknya Arissa memang tidak pernah reti menghormati masa tidur orang. Sudah pukul 3.00 pagi pun sanggup menganggunya tidur. Nazwan lantas mencapai handsetnya dan menutup handsetnya supaya tidak diganggu lagi.
Sekali lagi, baru sahaja tidak sampai lima minit dia terlelap, pintu biliknya dibuka seseorang. Suara Mama Tifa kedengaran seiring dengan lampu biliknya di buka.
Kenapa?” tanya Nazwan separuh mengantuk. Dia melihat Puan Latifah memegang handset. Satu keluhan dilepaskan. Pastinya Arissa yang menghubungi Mama Tifa.
Kamu keluar dengan Arissa tadi?” tanya Puan Latifah.
Tak de,” jawabnya pendek.
Fiza, Nazwan kata dia tak keluar dengan Arissa. Lagipun, saya pasti yang dia ada kat rumah sepanjang malam ni,” kata Puan Latifah yang bercakap melalui handset.
Nazwan mengerut dahi. Jadi, yang telefon itu bukan Arissa.
Mama Fiza nak cakap,” ujar Puan Latifah memberikan handsetnya kepada Nazwan.
Nazwan teragak-agak ingin menyambut handset itu. Hatinya serba tidak kena. Tapi, mahu tak mahu dia terpaksa berhadapan dengan Puan Fiza.
Helo,” jawabnya.
Nazwan, betul kamu tak keluar dengan Arissa malam tadi?” tanya Puan Fiza yang kedengaran risau.
Tak. Kenapa?” tanya Nazwan.
Dia tak balik lagi,” jawapan daripada Puan Fiza betul-betul membuatkan jantungnya berdegup pantas. “Mama Fiza call dia banyak kali tapi tak dapat. Dia kata nak keluar tengok wayang dengan kamu tapi kalau kamu tak jumpa dia malam tadi, dia dengan siapa sekarang? Dia tak pernah keluar sampai lewat pagi tak balik-balik,” suara Puan Fiza penuh kerisauan.
Nazwan tidak menjawab tetapi sebaliknya bangun dari katilnya. Dia mencapai dompet, handset dan kunci keretanya dan bergegas turun ke bawah tanpa menghiraukan panggilan Puan Latifah yang memanggilnya.
Nazwan bergegas masuk ke dalam ke dalam keretanya. Enjin dihidupkan. Tanpa menunggu enjin panas, dia sudah pun memasukkan gear berundur ke belakang. Sekali lagi dia tidak menghiraukan Mama Tifa yang memanggilnya. Dia tidak boleh berfikir panjang. Dalam kepalanya hanya ada Arissa.
Baru sahaja keretanya ingin keluar dari pekarangan rumahnya itu, kakinya menekan brek tiba-tiba apabila terserempak dengan sebuah teksi yang memandu perlahan sebelum berhenti di sebelah pekarangan rumah Arissa.
Dari dalam kereta, Nazwan dapat melihat pintu teksi bahagian belakang dibuka oleh seseorang. Kemudian, dia melihat sepasang kasut tinggi dicampak ke luar dan akhirnya melihat kelibat Arissa keluar dari teksi itu dengan berkaki ayam.
Lantas Nazwan keluar dari keretanya.
Arissa,” dia memanggil Arissa apabila melihat Arissa terbongkok di cermin teksi itu seperti sedang berkata sesuatu pada pemandu teksi itu.
Arissa berpaling. Terkejut Nazwan dengan penampilan Arissa yang sedikit berserabai. Make up Arissa juga kelihatan cair dan tidak terurus.
Nazwan,” Arissa yang berkaki ayam itu berlari dengan berhati-hati menghampiri Nazwan. “Boleh tolong pinjamkan aku RM30? Aku nak bayar tambang teksi.”
Nazwan tidak cakap banyak. Dia seperti terpukau dan menyerahkan tiga helai duit merah kepada Arissa. Arissa menyambutnya dengan ucapan terima kasih dan sekali lagi terjengket-jengket menghampiri teksi yang dia naiki tadi. Seketika kemudian, teksi itu berlalu pergi.
Arissa, kamu pergi mana?” suara Puan Fiza menyapa ketika Arissa mengutip kasut tinggi yang dicampaknya tadi.
Ah, penat,” keluh Arissa separuh merungut. “Nazwan, terima kasih ya pinjamkan duit tadi. Esok aku bayar!” ucap Arissa sebelum melangkah masuk ke dalam rumahnya. Meninggalkan Nazwan dengan seribu tanda tanya.
Apa dah berlaku sebenarnya?” tanya Luqman di sebelah.
Nazwan menggeleng. Dia tidak tahu tapi melihat wajah Arissa tadi, dia tahu Arissa baru sahaja lepas menangis. Tiba-tiba perasaan serba salah menerjah sanubarinya. 

14 si charming:

  1. Miss Kira berkata...:

    arissa sila buat jual mahal dgn mamat tu pulak lepas ni..sila ya..

  1. MizaEija berkata...:

    Sampai hati Nazwan buat camtu pada Arissa..
    Biarlah Nazwan betul2 kene 'sihir' Arissa.. Fuh..fuh..!!

    *mantera cinta utk Nazwan* ekekek

  1. zuezakry berkata...:

    aaa, kesian arissa. nurfa, thumb up!

  1. IzZ berkata...:

    waaaaa..sedihhh lagi..rase macam nak nanges sekali dengan arissa..cik ratu dengan cik farah bagi cite sedihh la hari ni..hahaha

  1. Unknown berkata...:

    kesian arissa. eee... geramnye dgn nazwan ni. arissa patut kena ajar la nazwan tu. lepas ni jgn layan nazwan lg dah. hish! geram!

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Nazwann iskk tunggu apa lgi pergi la pujuk ... Cik ratu plis upload entry baru please .. Nanak cepat ini satu arahan hehehehe ..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    Nazwann iskk tunggu apa lgi pergi la pujuk ... Cik ratu plis upload entry baru please .. Nanak cepat ini satu arahan hehehehe ..

  1. Suha berkata...:

    isk3 >.< relanya dia mnunggu... truk la nzwan nih ==" kesian arissa ==" hmm kak! next entry asap la kak. xsbr nk bca >///<

  1. Unknown berkata...:

    Alahai ariss..kesian dia..sabar ek..nak dpt cinta sejati bukan senang..kuat semangat ye ...cik nurfa..tgh sedih ni..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    lepas nie biar si nazwan yg pujuk..
    arissa.. u dok diam2 jew.. mogok dgn budak 2 ekor tu skali..

  1. Tanpa Nama berkata...:

    arissa jual mahal ok..jangan layan nazwan wat mase ni..
    biar padan muke die rase serba salah

  1. Tanpa Nama berkata...:

    arrisa ni kena rompak kot ni...
    cik ratu...ader salah sikit masa arrisa tegur nazwan,lukman n sarah tu...klu tak silap patut jam 1 petang...
    terperasan selepas banyak kali baca...hehe..beberapa jam sekali cek takut ader entry baru...

  1. Unknown berkata...:

    argh...tension...kenapa bila dah syok baca tergantung plak citer...kak ratu, please sambung cepat...tak sabar nak baca ni...

  1. Tanpa Nama berkata...:

    arghhhh sambung sambung .. kalau tak kite bakor , erkk . hehehehe

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages