11: ERTI KEGAGALAN


Kata Hikayat,

Orang yang sentiasa berusaha ialah seorang yang takutkan kegagalan.

Jari-jemarinya mengurut dahinya beberapa kali. Pening kepala dibuatnya. Awal-awal pagi lagi dia sudah dikejutkan dengan penyebaran gambar-gambar satu-satunya anak lelakinya. Kalau gambar yang mendatangkan kebaikkan padanya dan reputasi syarikatnya tidak mengapa juga tapi gambar yang tidak senonoh dan menjelikkan yang diterimanya.

Apa yang memeningkan kepalanya lagi adalah gambar-gambar tersebut telah tersebar melalui email semua pekerjanya tidak kira di dalam dan di luar negara. Dan baru beberapa saat tadi, dia mendapat tahu gambar tersebut sudah beberapa hari tersebar di kolej anaknya belajar. Sekarang, gambar-gambar tersebut sudah menjadi perbualan hangat di kolej dan mungkin sebentar lagi, para wartawan akan menyerang telefon-telefon untuk meminta penjelasannya berhubung perkara itu.

Itu belum lagi suaminya yang kini menetap di Taiwan kerana menguruskan perniagaan di sana. Pasti dia akan disoal habis-habisan oleh suaminya atau lebih teruk lagi ibu mertuanya di sana apatah lagi Alex memang cucu kesayangan. Dia memang tidak menyukai cara ibu mertuanya yang sangat menyayangi Alex dengan beranggapan semua yang Alex buat adalah betul dan jika ada sebarang kesilapan, dia sebagai ibu akan dipersalahkan. Dan tamparan yang dia tidak boleh diterima oleh ibu mertuanya, dia sering diperkata tidak pandai menjaga anak.

Baginya, bukan dia yang tidak pandai menjaga anak tapi Alex sudah tidak dapat dikawal lagi. Dia sendiri tidak tahu mengapa Alex begitu berani menentangnya sekarang berbanding dahulu. Dahulu, Alex tidak banyak karenah. Apa yang dia suruh, anak lelakinya itu akan mengikut tanpa banyak soal tapi sejak kematian kakak kandungnya, Alex mula berubah. Dia dalam senyap sudah pandai memberontak dan pemberontakkan Alex makin lama makin kuat sehingga dia sendiri tidak dapat mengawalnya.

“Mama!” Hazrul melulu masuk ke dalam pejabat mamanya. Sebaik sahaja dia terlihat gambar-gambar tersebut sudah berada di atas meja mamanya, dia terdiam. Tidak tahu hendak memulakan bicara dengan wanita yang masih lagi kental bekerja biarpun sudah berjaya.

“Jangan cakap banyak, mama nak kamu cari Alex sekarang juga. Tak kira kamu nak guna cara apa sekali pun asalkan dia datang mengadap mama hari ni juga,” kata Datuk Azrina perlahan tapi bernada tegas. Mamanya benar-benar marah dengan apa yang telah berlaku dan mungkin inilah pertama kali dia melihat mamanya marah sangat.

Hazrul tidak bercakap banyak. Dia hanya mengangguk sebelum berlalu keluar dari pejabat mamanya itu. Baginya, biarlah mamanya tenteramkan diri buat sementara ini. Keluar sahaja dari pejabat mamanya, Nabila sudah tercegat di hadapan.

“Mood puan tak baik lagi?” tanya Nabila sedikit berbisik. Majikannya itu jika sedang marah, suara halus macam mana pun boleh dengar. Hazrul menggeleng. “Saya dah cuba hubungi Alex tapi tak dapat. Dia tutup handset.”

“Saya pun tak dapat hubungi dia beberapa hari ini. Dia macam dah lesap,” kata Hazrul tidak tahu bagaimana lagi hendak mencari Alex. Sudah ditanya pada kawan-kawan Alex tapi seorang pun tidak tahu Alex menghilang. Menurut mereka juga, Alex juga tidak menghadirkan diri ke kuliah dan latihan tanpa sebarang sebab.

“Jangan-jangan ada sesuatu yang dah berlaku pada Alex?” Nabila berasa tidak sedap hati.

“Atau dia memang nak lari dari masalah,” kata Hazrul pula. “Mungkin gambar-gambar tu benar atau mungkin ianya salah satu cara untuk menentang mama.”

“Menentang puan? Kenapa pula?”

“Tempoh hari masa Alex datang ke sini untuk berjumpa dengan mama, mereka bergaduh sebab kelab bola keranjang. Alex mahu mencari jurulatih sendiri tapi mama bantah. Di akhir pertengkaran, Alex pernah cakap, dia akan buat apa sahaja untuk mama setuju dengan keputusannya,” Hazrul menceritakan segalanya kepada Nabila. Baginya, tiada apa-apa rahsia yang perlu di simpan dari pengetahuan Nabila memandangkan Nabila adalah setiausaha yang paling dipercayai oleh mamanya.

“Dan Alex dah mulakan serangan…,” Nabila menarik nafas lemah. Walaupun ia hanyalah andaian Hazrul tapi Nabila sudah dapat mengagak bahawa semuanya telah dirancang oleh Alex.

“Saya malas nak fikirkannya lagi. Saya perlu cari Alex segera. Dia mungkin tengah menyorok di mana-mana,” baru sahaja kakinya hendak melangkah, Hazrul menerima satu panggilan dari pemanggil yang tidak dikenali. Tanpa membuang masa, dia segera menjawab panggilan tersebut.

Sebaik sahaja Hazrul menjawab panggilan tersebut, Nabila mendapati wajah Hazrul berubah sama sekali seolah-olah ada berita buruk yang disampaikan oleh si pemanggil itu.

“Kenapa?” tanya Nabila setelah Hazrul menamatkan perbualan telefon.

“Izwan dah jumpa Alex. Dia ada di hospital sekarang,” beritahunya.

“Hah?! Dia tak apa-apakah?”

“Tak tahu lagi. Saya nak ke hospital sekarang.”

“Tapi macam mana dengan puan?” tanya Nabila.

“Jangan beritahu mama pasal hal ni lagi. Saya akan beritahu mama bila dapat tahu perkembangan Alex di sana. Buat masa ini biar mama berehat dulu.”

****

“Izwan!” panggil Rinazila yang dari jauh berlari tergesa-gesa menghampiri Izwan yang duduk di bangku yang telah di sediakan oleh pihak hospital di ruang menunggu. Tercungap-cungap Rinazila sebentar dihadapan Izwan yang langsung tiada memberikan sebarang reaksi.

“Aku terus datang sini selepas dapat mesej kau. Macam mana dengan Alex?” tanya Rinazila walaupun masih lagi kekurangan udara untuk bercakap.

“En. Hazrul tengah berjumpa dengan doktor yang merawatnya dan sebelum tu dia ada beritahu Alex tak apa-apa cuma….”

“Cuma?”

“Tak de apa,” dia menggeleng. Baginya cukuplah Rinazila tahu tentang keadaan Alex dalam keadaan baik sekarang. Lagipun dia tidak mahu Rinazila berasa bersalah dengan apa yang telah berlaku.

“Apa yang sebenarnya korang rahsiakan dari aku?” tanya Rinazila yang tidak tahan dengan sikap Izwan yang kuat berahsia seperti Alex. Selama ini dia hanya menahan diri dari bertanya soalan yang sama tapi hari ini dia sudah tidak dapat menahan dirinya untuk mengetahui rahsia mereka berdua.

Izwan masih lagi senyap seolah-olah tidak mendengar soalan Rinazila tadi. Dia masih lagi tunduk memandang lantai dengan pandangan kosong. Soalan dari Rinazila masih lagi tidak dijawabnya.

“Baiklah, kalau kau tak nak jawab soalan tu tolong jawab soalan aku yang ini. Aku nak tahu apa hubungan kau dengan Alex. Adakah sekadar kawan biasa ataupun lebih daripada tu?” tanya Rinazila lagi. Kali ini dia memandang tepat wajah Izwan dan perasan akan reaksi Izwan yang ternyata terkejut dengan soalan mautnya itu.

“Kenapa kau tanya soalan tu?” Izwan mula bersuara.

“Kau dengan Alex, walaupun pada dasarnya korang tegaskan yang korang berdua adalah kawan baik sejak dari sekolah menengah lagi tapi orang lain yang lihat tak macam tu. Termasuk aku sekali.”

“Hah?” Izwan mengedut dahi.

“Pertama, dua-dua tiada teman wanita. Kedua, dua-dua selalu tolak perlawaan perempuan untuk pergi makan ataupun pergi ke parti-parti. Ketiga, kedua-duanya akan pergi bersama bila ada majlis yang dianjurkan. Keempat, korang berdua sentiasa kelihatan bersama tak kira di mana jua dan kelima, masing-masing saling melindungi antara satu sama lain,” kata Rinazila memberi beberapa kemungkinan yang telah difikirkan selama ini.

Sebentar kemudian bibir Izwan dengan perlahan mengukir senyuman. Dia ketawa kelucuan. Entah bagaimana Rinazila dapat memikirkan beberapa kemungkinan yang tidak masuk akal ini. Mungkin gadis itu terlampau tertekan dengan gossip yang melandanya sekarang ini. Kalaulah Alex mendengar apa yang katakan oleh Rinazila tadi mungkin kawannya itu akan turut ketawakannya.

Rinazila menarik nafas lemah. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak berkomunikasi dengan Izwan lagi. Ini baru bercakap dengan Izwan belum lagi bercakap dengan Alex. Bercakap dengan mereka berdua umpama bercakap dengan dinding batu.

“Rina, aku tahu kau sangsi tapi bukan itu jawapannya. Pada mulanya aku rapat dengan Alex sebab aku nak tunaikan impian seseorang tapi akhirnya aku sedar, kita tak perlukan permintaan seseorang untuk bersahabat.”

“Impian seseorang? Impian siapa?”

“Seseorang yang penting dalam hidup kami berdua,” jawab Izwan masih lagi berahsia.

Sebentar kemudian, Hazrul menghampiri mereka berdua setelah berjumpa dengan doktor yang merawat adiknya tadi. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan baik.

“Alex akan keluar hospital petang ni,” beritahu Hazrul kepada mereka berdua.

“Alex dah sedar?”

“Belum lagi,” dia menggeleng. “Tapi keadaannya bertambah baik cuma puan begitu risau dengan keselamatan Alex selepas email tu tersebar meluas. Puan tak nak Alex diganggu oleh sesiapa buat sementara ini,” terang Hazrul.

“Baguslah,” Rinazila mengeluh lega.

“Di mana kamu jumpa Alex?” tanya Hazrul kepada Izwan yang sejak dari tadi asyik mendiamkan diri. “Doktor cakap Alex mungkin dalam keadaan trauma dan telan ubat tidur dalam kuantiti yang banyak.”

“Apa?” terkejut Rinazila mendengarnya. Sepanjang dia kenali Alex, dia tidak pernah terfikir bahawa Alex akan membuat kerja gila seperti itu.

“Saya jumpa dia di rumah lama,” beritahu Izwan.

“Maksud awak, rumah….”

Izwan mengangguk. Kemudian kedengaran keluhan berat dari Hazrul.

“Dia masih tak dapat lupakannya.”

****

“Maaf, kami mencari seorang calon yang berkelulusan dan berpengalaman dalam kesetiausahaan bukan kelulusan Sains Sukan.”

“Pusat tuisyen ni sedang mencari cikgu Sains bukannya Sains Sukan.”

“Sebenarnya syarikat kami ni tak mementingkan kelulusan tapi mementingkan pengalaman dan memberi keutamaan untuk pekerja lelaki sahaja sebab kami kekurangan pekerja lelaki.”

“Kelulusan Sains Sukan?” panel lelaki separuh umur itu memandang tepat pada resumenya.

“Saya tahu kelulusan saya tak sesuai dengan jawatan yang saya pohon tapi saya akan berusaha lakukan yang terbaik,” pantas Apy berkata sebelum mereka mempersoalkan kelulusannya.

“Emm… semua yang pernah pohon kerja di sini cakap benda yang sama juga,” balas panel perempuan dengan nada menyindir. Berlagak.

“Umur 28 tahun. Dah kahwin?” tanya seorang lagi panel lelaki.

“Belum.”

“Ada teman lelaki?”

“Tiada.”

“Kalau macam tu, baik awak balik kampung dan tunggu lelaki meminang awak.”

Tercengang Apy Elina mendengarnya. Hendak sahaja dia menghempas kerusi yang di duduknya itu ke kepala panel tersebut. Orang datang penat-penat dari jauh untuk memohon kerja tapi sindiran yang diberi mereka. Keluar sahaja dari bangunan pejabat itu tadi, dia menyumpah-yumpah panel-panel yang menemu duganya tadi.

Dengan hati yang masih lagi membara, langkahnya pantas menuju jalan untuk kembali ke rumah. Langsung dia tidak bersemangat hendak ke tempat temu duga yang seterusnya. Cukuplah setakat ini pada hari ini. Penat.

Sebaik sahaja dia melalui sebuah gelanggang bola keranjang yang tidak jauh dari kawasan perumahannya, dia mendapati ada seseorang sedang bermain bola keranjang di sana. Tanpa berlengah lagi, langkahnya terus laju melangkah masuk ke dalam gelanggang yang berpagar itu. Apy Elina berlalu duduk di sebuah kerusi kayu yang hampir usang itu sambil menonton seorang lelaki yang pernah ditemuinya beberapa hari yang lalu di tempat yang sama.

“Bola takkan masuk kalau fikiran asyik ingat benda lain,” ujar Apy Elina setelah memerhatikan Izwan yang asyik melakukan 3 pointer tetapi tiada satu pun yang berjaya.

Izwan terkejut dengan sapaan Apy Elina tadi. Serius, dia tidak perasan kehadiran seseorang di gelanggang itu dan memerhati permainannya. Gadis yang pernah ditemuinya di situ beberapa hari yang lalu menghadiahkan senyuman manis.

“Hey,” sapanya menghampiri Apy Elina dan duduk tidak jauh dari gadis itu. “Sorry sebab tempoh hari. Tiba-tiba ada hal penting, tak dapat berbual panjang,” ujar Izwan.

“Tak mengapa. Kita bukannya ada temu janji,” balas Apy Elina. Izwan tersenyum. Lupa pula dia bahawa dia dengan Apy Elina saling tidak mengenali lagi. “So, awak kalah dalam perlawanan ataupun tak dapat lakukan shot?”

“Dua-dua bukan. Ada sedikit masalah dan buat masa ni terkawal lagi.”

Apy Elina mengangguk faham.

“Awak tahu tak?”

“Emm?”

“Pemain yang hebat adalah pemain yang paling banyak masalah.”

“Hah?” Izwan ketawa mendengarnya. Dia tidak pernah mendengar langsung pepatah seperti itu seumur hidupnya. “Kenapa pula?”

“Sebab, bila dia bermasalah, dia akan lepaskan segalanya di gelanggang dan dalam tidak sedar, dia telah berlatih mempertingkatkan keupayaannya. Tapi cara awak tadi salah, awak biarkan masalah yang awak hadapi menguasai gelanggang. Pemain yang handal, walaupun dia ada masalah, dia akan kalahkan masalahnya dengan gelanggang dan bola di tangan,” Apy Elina tersenyum lagi.

“Teori yang bagus,” Izwan akhirnya bersetuju. “Sesuai kalau jadi jurulatih. Dapat yakinkan seorang pemain dengan teori yang pelik.”

“Malangnya ramai yang tak dapat terima jantina perempuan sebagai jurulatih,” kata Apy Elina sambil bangun dari duduknya. “Saya pergi dulu. Nak lepaskan tension yang terpendam selepas gagal dalam temu duga,” dia mengangkat kaki berlalu pergi.

“Awak cari kerja?”

“Ya.”

“Kerja apa?”

“Macam-macam. Dan mungkin lepas ni saya akan mohon kerja yang tak memerlukan kelulusan contohnya tukang sapu sampah,” katanya dengan nada bergurau dan berlalu mengorak langkah meninggalkan Izwan seorang diri di gelanggang. Dari jauh, Izwan tersenyum kelucuan. Dia sendiri tidak tahu kenapa dia rasa hendak ketawa sahaja bila dia bercakap dengan Apy Elina. Sudah lama dia tidak merasai perasan itu. Sejak Mellissa tiada.

Kepada Hikayat,

Kenapa kegagalan lebih kerap berlaku berbanding dengan kejayaan? Jika dahulu aku tak kenal erti kegagalan tapi setelah keluar dari duniaku dan melihat dunia realiti, baru aku sedar selama ini aku telah gagal dalam hidup. Tapi aku tahu, aku tak boleh mengaku kalah dengan satu kegagalan. Peluang masih banyak diluar sana cuma apa yang perlu aku buat adalah berusaha!

5 si charming:

  1. Unknown berkata...:

    em...nnt mst apy keje dgn dorg..em...klakar la teori rina psl alex n izwan 2..hehehe...thnx ratu bulan..dh lme sy tggu cite ni..=)

  1. Ai berkata...:

    so..
    hehe.. memang mantappppppppp..
    n aku rasa apy ngan izwan..
    CUTEEEEEEE...
    ske2..
    haha.. (kak ratu.. smbung cpt2 ye..)
    gambatek.. ratu-sama

  1. hehehe
    izwan da mula ske kat apy
    cm best je
    ;)

  1. DianaTakyuddin berkata...:

    pemain yg hebat adelah yg plg byk masalah...luv dis qoute...hihi

  1. Unknown berkata...:

    hehe tp aku rs lebih suka klu apy ngan alex lg biar padan muka nabila... hehehe

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages