Romeo yang Hilang: Bab 17

 "Tak dapat tangkap dia. Dia berjaya melarikan diri tapi saya dapat tangkap nombor plat motor yang dia parking di luar Arena,” kata Izwan sambil menunjukkan gambar yang ditangkap menggunakan telefon bimbitnya tadi. Tanpa berlengah lagi dia segera memajukan gambar itu kepada Apy Elina.

Beberapa saat kemudian telefon bimbitnya menerima gambar yang dihantar oleh Izwan tadi. Dia dapat lihat dengan jelas, seorang lelaki sedang membonceng motorsikal dalam gambar itu. Jadi, apa yang mereka beritahu tadi memang betul. Seorang lelaki menceroboh masuk ke dalam dewan gelanggang dan mencabar para pemain yang ada di situ.
Seorang lelaki! Ini betul-betul membuatnya angin satu badan!

Seorang lelaki kalahkan korang semua?” soalnya dengan nada yang geram sambil memandang satu demi satu para pemain kebangsaan. “Macam mana pemain kebangsaan boleh kalah dengan seorang lelaki yang entah mana asal usulnya?”
Macam mana tak kalah kalau dia main kasar,” jawab salah seorang daripada mereka.
Oh, kalau macam tu, selama ni kamu tak pernah merasa dikasari pemain lain di semasa di gelanggang?” soalnya lagi. Kali ini mereka semua diam. Langsung tidak berani membalas kata-katanya mahupun mengangkat kepala.
Itu perkara yang berbeza, Puan Elina,” kata seorang lelaki berkemeja kemas tiba-tiba mencelah.
Tumpuan Apy Elina kini tertumpu ke arah lelaki yang bergelar jurulatih kebangsaan, Encik Zakuan. Lelaki yang paling dibenci abad ini. Tahap lagaknya lebih menjengkelkan daripada Adam. Selalu juga buat hidupnya tunggang langgang.
Mana tidaknya, kalau pasukan Malaysia kalah, pengawai atasan pasti akan menuding jari ke arahnya. Lelaki itu pula bebas daripada segala kesalahan.
Tapi berbeza pula bila menang. Terpampang muka Zakuan di surat khabar, majalah dan media sosial. Semua orang puji dia. Maklumlah orangnya masih lagi muda dan masih ada rupa lagi dan dari golongan yang berpengaruh dalam bidang politik. Jadi tak hairanlah semua pegawai atasan kipas dia.
Apa yang bezanya? Mereka semua pemain profesional dan berpengalaman. Hadiri banyak latihan di dalam dan di negara luar. Takkan langsung tak boleh nak kalahkan seorang pemain amatur?” balas Apy Elina masih tidak puas hati. Encik Zakuan memang selalu cari pasal dengannya. Apa yang dia aturkan semua dibangkangnya.
Budak tu bukan setakat pemain amatur tapi samseng. Saya saksi kejadian ni,” kata Encik Zakuan penuh yakin. Walau macam mana pun dia tetap tidak setuju apabila anak didikannya disalahkan dalam kejadian itu.
Dan awak biarkan orang tak dikenali bertarung dengan mereka?”
Dia yang nak sangat bertarung…”
Dan sekarang padan dengan muka awak. Anak didikan awak dah kalah dalam sekelip mata dengan seorang pemain amatur. Kalaulah berita seperti ini tersebar di media sosial, awak juga yang malu.”
Bukan saya saja, awak juga. Nanti satu dunia akan tahu bahawa Arena ni hanya gah pada nama. Pusat sukan bertaraf dunia konon. Seorang lelaki pun boleh ceroboh masuk,” balas Zakuan seolah-olah cuba menyalahkannya pula.
Tiba Apy Elina hendak membalas, Rohana menyapanya.
Ini rakaman CCTV yang Puan Apy minta,” kata Rohana sambil menyerahkan sebuah iPad kepadanya.
Tanpa berlengah lagi, dia segera melihat rakaman itu. Memang seorang lelaki yang datang dan mencabar beberapa orang pemain kebangsaan tadi. Rakaman itu hanya memakan masa dalam 10 minit. Tidak sangka, hanya dengan 10 minit lelaki itu mampu kalahkan mereka semua sampai tersungkur jatuh kepenatan.
Tengok, dia main kasar. Saya dah kata, dia bukannya setakat penceroboh tapi samseng nak huru-harakan pasukan kebangsaan,” kata Zakuan di sebelah.
Apy Elina langsung tidak hiraukan Zakuan di sebelahnya. Dia hanya tumpukan pada rakaman itu berulang kali dan mendapat sesuatu yang tidak masuk akal!



ROHANA mengetuk pintu bilik bosnya yang terbuka sedikit. Tiada reaksi daripada bosnya itu. Sejak dari tadi hanya leka memandang iPad, barangkali masih lagi mengulang rakaman yang sama. Tanpa berlengah lagi dia segera melangkah masuk ke dalam dengan membawa secawan kopi.
Kopi yang Puan minta tadi,” tegurnya seraya meletakkan secawan kopi itu di atas meja.
Apa pendapat awak tentang rakaman ni?” tanya bosnya tiba-tiba.
Err… saya tak tahu sangat tentang bola keranjang tapi lelaki tu memang hebat dapat kalahkan semua orang dalam masa yang singkat. Macam dalam filem pula,” jawab Rohana teruja.
Betul tu,” Apy Elina turut menyokong.
Tapi…” suara Rohana teragak-agak.
Kenapa?”
Saya masih tak faham. Macam mana Puan tahu apa yang dah berlaku? Waktu tu, Puan hanya dengar, bukan?”
Apy Elina mengukir senyuman.
Awak mesti pernah alami, kalau awak dah biasa dengan seseorang, semua tentang orang tu awak tahu termasuklah awak tahu macam mana bunyi detap kaki semasa orang itu berjalan. Deria pendengaran kita dah boleh cam bunyi jika kita sudah selalu sangat dengar bunyi yang sama.”
Jadi, Puan dapat rasa ada sesuatu tak kena di dalam selepas dengar bunyi tu?” tanya Rohana bagaikan tidak percaya.
Apy Elina mengangguk.
Setiap pemain kebangsaan, saya sudah hafal teknik dan gaya mereka. Setiap pemain, ada rentak mereka tersendiri apabila melantunkan bola. Saya boleh tahu siapa yang lantunkan bola dengan menutup mata. Jadi, bila saya dengar bunyi lantunan bola itu tadi, saya mula rasa ada sesuatu yang tak kena.”
Sebab Puan tak pernah dengar bunyi lantunan tu sebelum ni? Wah, hebatnya!” Rohana tiba-tiba teruja.
Tak,” jawabnya serius.
Eh?”
Bunyi tu… macam yang selalu saya dengar…”
Selalu dengar? Jadi, Puan tahu siapa yang ceroboh masuk tadi?”
Apy Elina hanya tersenyum. Masih awal lagi untuk dia simpulkan sesuatu. Lagipun masih ada banyak lagi persoalan yang dia tidak dapat jawab. Mungkin seseorang boleh tolong dia jawabkan.
Tolong panggilkan Izwan. Saya ada hal nak bincang dengan dia,” arahnya kepada Rohana. 

 “KENAPA? Ini ada kena mengena dengan orang yang menceroboh tadi ke?” tanya Izwan mula mengagak sesuatu.
Cuba lihat rakaman ni,” kata Apy Elina sambil memusing laptopnya supaya menghadap Izwan. Rakaman tadi sudah dimasukkan ke dalam laptop disebabkan bateri iPad sudah habis.
Izwan menurut. Dia memerhati tanpa berkelip setiap gerakan dalam rakaman itu. Tidak sangka, dalam beberapa minit sahaja rakan-rakannya boleh kalah dengan seorang lelaki. Bukan itu sahaja, lelaki itu juga dilihat bukan seperti calang-calang orang. Mungkin orang itu pernah mendapat latihan yang serius sebelum ini.
Dia laju dan ada teknik yang hebat,” komennya.
Betul?” tanya Apy Elina seperti menyesyki sesuatu.
Kenapa?” tanya Izwan hairan. Nada cikgunya seperti mengesyaki sesuatu.
Saya nak awak jawab soalan saya dengan jujur.”
Okey…” seram sejuk pula Izwan dibuatnya.
Berapa lama awak kenal Adam?” tanya Apy Elina dengan serius.
Hah?” Izwan terkejut. “Apa kaitan Adam dengan semua ni?”
Jawab soalan saya dulu.”
Semasa Tingkatan 4 waktu kami sama-sama join pasukan bola keranjang sekolah,” jawab Izwan teragak-agak.
Jadi, awak tak kenal orang ni?”
Dia menggeleng. Lagilah dia tidak faham.
Waktu tu, ada tak sesiapa yang rapat dengan korang berdua? Reti main bola keranjang?” tanya Apy Elina lagi.
Sekali lagi Izwan menggeleng.
Saya bukan nak membangga diri tapi selain saya, Adam memang tak ramai kawan,” jawabnya dengan ikhlas. Dia masih ingat lagi, disebabkan Adam suka berlagak, jadi tidak ada sesiapa yang suka berkawan dengan Adam di sekolah.
Apy Elina mengangguk. Kemudian, mengeluh.
Kenapa cikgu tanya pasal ni?”
Kamu tak perasan?” tanyanya semula.
Perasan apa?”
Cuba perhatikan teknik slum dunk yang dia lakukan,” kata Apy Elina sambil menayangkan video itu lagi.
Izwan memerhati video itu sekali lagi dan menumpukan kepada gerakan slum dunk lelaki itu. Dia mengerut dahi. Baru dia perasan. Teknik slum dunk yang dilakukan oleh lelaki itu sama seperti yang pernah dilihatnya sebelum ini.
Teknik ni… sama macam teknik Adam.”
Baru perasan? Walaupun dah lama Adam tak beraksi di gelanggang tapi saya masih ingat lagi teknik slum dunk dia. Sama seperti ini.”
Boleh jadi kebetulan? Atau lelaki ni peminat Adam dan copy gerakannya?”
Walaupun ramai pemain yang tahu gerakan slum dunk tapi setiap orang ada teknik tersendiri yang mana tak semua orang boleh copy. Setelah banyak kali saya tengok, lelaki ni bukan sahaja copy teknik slum dunk tapi cara dia menyerang dan bertahan sama seperti Adam. Malah, lebih daripada tu.”
Maksud cikgu?”
Antara dia copy teknik Adam atau Adam copy teknik dia. Atau lebih tepat lagi, mereka berdua pernah berjumpa sebelum ini.”
Apa kata kalau cikgu tanya Adam saja tentang hal ni.”
Kalau saya tanya, pak cik tu pasti takkan dapat jawab. Kalau dia jawab pun mesti jawapannya tak tahu atau malas nak ambil tahu. Awak fahamlah perangai kawan awak tu yang bukannya kisah sangat. Samalah macam dia buat tak kisah bila saya terjumpa album gambar yang penuh dengan gambar saya dalam stor dia.”
Album gambar?”
Jangan pura-pura tak tahu. Mata awak langsung tak berkelip tadi. Itu maknanya awak memang dah tahu pasal album gambar tu. Lagi satu, walau apa pun Adam pasti akan berkongsi cerita dengan awak kalau dia tak tahu kepada siapa lagi dia nak berkongsi.”
Izwan mengeluh panjang. Nampaknya tiada gunanya lagi dia menafikannya lagi. Apy Elina, bukan memang bukan sembarangan orang. Walaupun nampak naif tetapi dia seorang yang pandai memerhati orang.
Boleh tak kalau saya buat-buat tak tahu pasal ni?” ujar Izwan tidak mahu masuk campur.
Kenapa? Apa yang kamu takut?”
Bukan takut tapi saya rasa ini hal rumah tangga orang…”
Memang pun tapi secara automatiknya kamu dah masuk campur sebab kamu tahu pasal hal ini.”
Izwan menggaru kepala. Habislah! Masak kalau cikgunya tanya banyak tentang Adam.
Awak percaya dia tak ingat?”
Izwan mengangkat bahu.
Cis, kenapalah lelaki suka sangat berahsia? Geram Apy Elina dibuatnya.

5 si charming:

  1. zaryn iddin berkata...:

    terbaik.. mendebarkan.. setiap hari menantikan...

  1. Tanpa Nama berkata...:

    hahaha...sy plak yg bdebar2

  1. mia_edora berkata...:

    Nak lagi... Best... X sbar nak tunggu bab seterusnya...

  1. Macam Yong berkata...:

    la bukan adam ke? suspense betul, siapakah lelaki itu? orang yang sama kem dengan adam sebelum dia jadi anak dato azrina ke?adam tak pulih ingatan zaman kecik dia lagi kan?
    xcited nak tau ni. hehehe.
    thanks RB :-D

Catat Ulasan

Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.

Fan Pages