Di lereng gunung yang diselimuti kabus pagi, tersergam indah sebuah rumah berjiwa lama. Ia berdiri megah dengan atap genting hitam bertingkat, masih kukuh menahan waktu. Dinding kayunya berkilau di bawah sinaran lampu keemasan seolah-olah memberi nafas dan jiwa kepada rumah itu.
Air kolam di halaman beriak perlahan, memantulkan sinar yang menari-nari di permukaannya. Di sekelilingnya, pepohon hijau merimbun menebar kesejukan. Rumah itu tampak hidup. Bukan sekadar binaan kayu tetapi seakan memiliki jiwa yang menyambut setiap tetamu yang datang.
Dari kejauhan, sebuah kereta hitam meluncur tenang di jalan raya yang diterangi cahaya lampu jalan. Kejora terpaku memandang ke luar jendela. Kabus nipis yang menyelimuti kawasan itu perlahan-lahan menyingkap sebuah rumah kayu tradisional yang besar, kukuh dan menawan.
Kereta berhenti di hadapan tangga utama. Lebah segera keluar untuk membuka pintu untuk Kejora tetapi Kejora sudah bertindak dahulu. Dia tidak biasa dilayan seperti puteri. Matanya terbeliak kagum menatap bangunan kayu lima tingkat di hadapannya.
“Ini bukan rumah! Ini memang istana!” kata Kejora, memandang Firdaus. Firdaus tidak memberi reaksi. “Tak. Istilah istana sangat klasik bagi aku. Ini kayangan!”
Firdaus tampak tidak mahu berbicara tentang itu lalu dia berkata, “Jom masuk dan berehat dulu.”
Kejora menurut. Dia melangkah masuk ke dalam Istana jati dengan langkah perlahan dan hati yang terpukau. Lantai kayu berkilau keemasan di bawah cahaya lampu gantung yang berkilau megah, menambah lagi seri pada suasana rumah itu.
Ruang tamunya luas. Bak lobi hotel mewah bertaraf lima bintang, lengkap dengan beberapa set meja dan kerusi kayu yang licin berkilat. Di tengah-tengah ruang itu tergantung sebuah lampu gergasi kristal yang cukup terang untuk menerangi setiap sudut.
Kejora terus mengekori Firdaus menaiki tangga utama yang lebar dan melingkar indah. Di puncak tangga, ada dua lagi anak tangga kiri dan kanan. Mereka memilih ke tangga di sebelah kanan. Setelah sampai ke tingkat pertama, Firdaus berhenti di hadapan sebuah pintu.
“Kau boleh pilih bilik mana yang kau nak,” kata Firdaus.
“Semua pintu di lorong ni, bilik tidur?” tanya Kejora. Tergamam.
Firdaus mengangguk.
“Mana bilik kau?” tanya Kejora.
Firdaus menunjuk ke arah pintu tempat dia berdiri.
“Jadi, aku pilih bilik ini.” Kejora pilih pintu di sebelah bilik Firdaus. Firdaus memberi isyarat mempersilakan dia masuk. Tanpa berfikir panjang, Kejora segera melangkah masuk. Bilik itu sudah terang benderang. Baru beberapa saat dia masuk, dia keluar semula.
Firdaus tersenyum lalu berkata, “Setahu aku perempuan suka warna pink.”
“Ya. Perempuan suka warna pink tapi aku tak suka terlampau pink,” ujar Kejora. Meremang bulu romanya lihat semua dihias dengan warna merah jambu. Siapa punya idea hias satu bilik warna buruk begini. Ingat ini Barbieland ke?
Kejora memandang Firdaus yang masih tenang. “Oh, aku dah faham. Kau tak suka ada orang tinggal di sebelah bilik kau jadi kau sengaja suruh orang hias warna pink?”
Firdaus tidak menafikannya. Dia hanya senyum.
“Fine! Aku pilih bilik hujung sekali!” Geram dan mengalah. Dia terlampau pandang rendah terhadap Firdaus. Tak sangka Firdaus begitu licik juga orangnya.
***
Kejora tertidur semula. Kejadian malam tadi benar-benar meletihkan. Bukan sekadar fizikal, malah mental juga. Dia terjaga bukan kerana tidurnya sudah cukup, tetapi kerana hidungnya tiba-tiba menangkap aroma yang begitu menggiurkan. Bau itu cukup kuat untuk membuat perutnya berkeroncong.
Sejak malam semalam, Kejora perasan deria baunya menjadi luar biasa sensitif. Ada sesuatu yang berubah dalam dirinya, dan dia tahu perubahan itu bukan perkara biasa. Lebih-lebih lagi dia sepatutnya sudah mati ditembak. Dia ingin tahu siapa sebenarnya dia. Tapi sebelum itu, dia mahu tahu dari mana aroma ini datang.
Aroma yang menyelerakan itu membawanya melangkah ke tingkat bawah. Dia menolak perlahan pintu gelangsar dan terpaku seketika. Ruangan itu seluas bilik tidurnya tadi, namun jelas sebuah dapur moden yang lengkap dengan pelbagai peralatan memasak yang canggih dan moden. Di tengah-tengahnya berdiri Firdaus, di sisi meja pulau yang tampak elegan.
“So fast. Aku baru nak potong daging,” ujar Firdaus, tangannya sudah bersiap dengan pisau pemotong daging yang tajam. Dia memang sudah menjangka kedatangan Kejora, cuma tak secepat ini.
“Aku cuma nak ronda-ronda ‘istana’ kau ni. Tak sangka pula terjumpa kau di sini,” balas Kejora, cuba berlagak tenang, walaupun hakikatnya aroma daging itu yang memanggilnya ke situ.
“Oh, aku ingat kau lapar. Kalau macam tu, aku simpan balik daging ni.” Firdaus kembali meletak pisau pemotong daging dan berpura-pura mahu menyimpan daging itu ke dalam bekas semula.
“Jangan!” Kejora cepat menahan. “Ya, aku mengaku. Bau daging ni yang buat aku terjaga dan datang sini.”
Firdaus tersenyum kecil.
“Kau nak masak apa?” tanya Kejora teruja.
“Kau nak aku masak apa?”
Kejora memandang daging mentah itu dengan mata bersinar.
“Aku boleh pilih apa saja?” Kejora bertambah teruja. “Medium rare.”
Firdaus mengangkat kening. “Kau suka yang tu?”
“Tak. Aku cuma pernah dengar. Tak pernah rasa pun,” jawab Kejora sambil ketawa kecil. “Aku bukan penggemar daging. Dan bukan jenis yang kuat makan. Tapi entah kenapa, kali ini… bau daging ni macam memanggil aku. Pelik. Aku rasa… aku bukan manusia lagi.”
“Manusia pun makan daging,” balas Firdaus tenang.
“Jadi, apa sebenarnya aku ni? Vampire? Zombie? Atau serigala jadian?”
Firdaus memandang sekilas. “Kau betul-betul nak berbual tentang ni sekarang?”
“Mestilah! Aku dah lama tahan diri. Kalau ikutkan hati, aku nak tanya kau dalam kereta tadi tapi kau dah tidur. Rasa macam nak baham kau kat situ.”
“You almost did,” ujar Firdaus acuh tak acuh.
Kejora mengerut dahi. “Apa kau cakap?”
“Vampire? Tak. Kau tak ada gigi taring yang menakutkan tu. Zombie? Hmmm… aku rasa zombie lebih suka makan otak manusia,” jawab Firdaus selamba.
“Serigala jadian?”
“Hampir tepat tapi bukan serigala.”
“Habis tu? Buaya?”
Firdaus tersenyum. “Harimau. Harimau jadian.”
Kejora terdiam. Matanya bertentangan dengan Firdaus. Dia berkelip tetapi Firdaus tidak. Dalam pandangan mata lelaki itu, tiada gurauan.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.