“ Wah… cantiknya!” ujar Arissa dengan begitu gembira. Dia terpesona melihat sehelai baju pengantin yang diperagakan di hadapan cermin pameran sebuah butik pengantin yang dilaluinya. Baju kurung moden itu tampak begitu menyerlah dengan manik-manik yang dijahit kemas cantik. Sesekali Arissa melihat baju itu berkilauan apabila dipanah cahaya. Umpama berlian berkilauan. Itulah baju pengantin idamannya. Dalam diam, dia berharap agar suatu hari nanti dia dapat menyarung baju itu di hari pernikahannya. “ Tapi, apa salahnya cuba sekarang!” Entah daripada mana idea gila itu datang. Dalam sekelip mata sahaja, baju pengantin itu sudah tersarung pada tubuhnya. Dia tersenyum lebar sambil melihat cermin yang mempamerkan tubuhnya. Tiada apa yang perlu diucapkan. Dia puas hati dengan apa yang dilihatnya. Sangat sempurna! Seolah-olah baju itu memang dibuat untuk dirinya!