Langkau ke kandungan utama

KEJORA LIAR: BAB 16


 

Malam itu mereka menikmati makan malam bersama. Tuan Ghazali makan dengan lahap, seolah-olah setahun tidak menjamah makanan. Katanya, dia terpaksa mengawal selera di tempat kerja kerana jika dia makan terlalu banyak, apatah lagi daging, rakan-rakan sekerjanya pasti akan mengesyaki sesuatu. 

Kejora pula baru pertama kali melihat sisi sebenar ayahnya. Walaupun sedikit terkejut, hatinya penuh gembira. Selama ini dia menyangka hanya dirinya yang gelojoh setiap kali berhadapan dengan daging tetapi kini dia lega mengetahui ada ‘darah daging’ yang sama sepertinya. 

Selesai makan, telefon Tuan Ghazali berdering, panggilan daripada bekas isterinya. Panggilan itu diserahkan kepada Kejora. Saat gadis itu berlalu untuk menjawab telefon, Tuan Ghazali dan Firdaus akhirnya berpeluang berbual. 

“Apa dah berlaku?” tanya Firdaus. Sejak ketibaan lelaki itu, soalan itu sudah lama menunggu masa untuk keluar dari bibirnya. 

Wajah Tuan Ghazali yang ceria tadi berubah serius. “Zambri. Dia sebarkan gosip tentang Kejora, dan sekarang Belati sudah masuk perangkap. Mereka berada di luar sekitar Istana Jati.”

Firdaus menarik nafas panjang. “Jadi, apa rancangan pak cik?”

“Kita perlu keluarkan Kejora dari Istana Jati. Bawa dia jumpa mamanya. Harap, dengan langkah ini dapat mencipta ilusi bahawa gosip tentang ‘anak harimau’ hanyalah khabar angin. Semua orang tahu anak harimau memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan dunia manusia. Cuma pak cik harap Kejora benar-benar sudah bersedia.”

Firdaus tersenyum kecil. “Anak pak cik memang kuat. Mungkin sejak dulu lagi dia dah dididik untuk menghadapi situasi begini.”

“Tak,” balas Tuan Ghazali perlahan. “Sebagai ayah, pak cik akui… pak cik tak pernah mendidiknya. Dia membentuk dirinya sendiri. Cuma kali ini, pak cik perlukan bantuan kamu untuk membimbingnya. Maaf kerana menyusahkan kamu lagi.”

“Saya anggap pak cik seperti keluarga sendiri. Sudah tentu saya akan bantu sedaya yang mampu. Tapi selebihnya, Kejora sendiri perlu belajar mengawal dirinya.” 

“Betul. Zaman sekarang tak sama seperti dulu. Pak cik cuma harap dia boleh hidup seperti manusia biasa,” ujarnya sambil mengeluh kecil. “Tapi nampaknya keadaan sekarang tak begitu baik. Seolah-olah ada seseorang sedang mengganggu keseimbangan ekologi kita.”

Kata-kata itu mengingatkan Firdaus kepada seseorang. Haslina. Dia segera menceritakan tentang gadis misteri yang pernah bergaul dengan Kejora. Tuan Ghazali tidak menunjukkan sebarang reaksi terkejut, malah memberitahu bahawa ayah Firdaus dahulu juga pernah menyebut tentang seorang gadis misteri yang menolongnya. 

Firdaus lalu mengeluarkan pemetik api yang ditinggalkan Haslina. Tuan Ghazali meneliti objek itu di bawah cahaya lampu kristal gergasi di ruang tamu. Setelah beberapa ketika, dia mengangguk perlahan dan mengesahkan bahawa gadis itu adalah orang yang sama. 

“Kamu tahu  apa ini?” soalnya. 

“Pemetik api?” 

“Ya, tapi bukan sebarang pemetik api. Ia alat komunikasi.”

Firdaus mengangkat kening, menunggu penjelasan lanjut. 

“Zaman dulu, semasa manusia belum mencipta telefon, mereka menggunakan surat untuk berkomunikasi. Mereka ada posmen yang menguruskan surat-surat mereka. Tapi kami ada cara tersendiri dan paling selamat. Hanya nyalakan pada sebatang lilin, tulis mesej pada sekeping surat dan bakar surat itu. Mesej yang ditulis akan disampaikan kepada tuan pemetika api ini.”

Firdaus tersenyum nipis. “Menarik.”

“Apabila zaman berganti zaman, teknologi manusia semakin berkembang, kami dah tak guna cara lama ini. Hanya orang tertentu saja. Ada beberapa keluarga yang hasilkan pemetik api begini dulu tapi mereka pupus ditelan zaman. Tapi pemetik api ini… dibuat khas untuk orang-orang berpengaruh.”

Firdaus mengerut dahi. “Ini bermakna…”

“Ya. Kemungkinan besar dia pernah ada hubungan dengan salasilah keluarga kamu. Sebab itu dia boleh masuk dan keluar sesuka hati tapi dia ada prinsip dia sendiri. Dia hanya datang apabila dijemput.”

“Siapa dia sebenarnya?”

“Tak ada siapa yang pasti. Yang penting, dia bukan musuh. Tapi jika kamu minta pertolongannya, dia takkan lakukan secara percuma.”

Firdaus mengangguk. “Ya. Dia ada beritahu hal yang sama. Dia mahukan sesuatu dari Istana Jati.”

“Itu memang prinsipnya. Dia takkan ceroboh dan usik apa-apa yang berada di tingkat dua hingga lima. Kali terakhir dia meminta dapur larangan tu. Sebab itulah dapur itu jadi dapur larangan. Dia juga ada bilik sendiri di sini. Tapi menurut ayah kamu, apa yang dia minta kemungkinan besar adalah haknya.”

Firdaus mengerut dahi. “Hak dia?” 

“Ya. Ayah kamu percaya dia juga turut sama-sama bina istana ini bersama moyang kamu dulu. Disebabkan zaman berganti zaman, generasi berganti generasi tapi dia masih kekal, dia hanya mahu menuntut haknya tanpa mahu mencetuskan permusuhan dengan pewaris Istana Jati.” 

“Kita boleh percayakan dia?”

“Setakat yang pak cik tahu, dia banyak tolong ibu dan ayah kamu dulu. Selagi dia tak timbulkan kekacauan, kita boleh anggap dia bukan ancaman,” kata Tuan Ghazali tenang. 

Firdaus mengangguk. Dia menyimpan kembali pemetik api itu. Hari ini dia tahu banyak perkara tentang Haslina. Mungkin ada sebab Haslina berkawan dengan Kejora tapi setakat ini, dia tidak melihat Haslina sebagai ancaman. Mungkin Haslina sepertinya, melindungi seseorang dari jauh. 

“Kamu okey?” tanya Tuan Ghazali tiba-tiba. 

Firdaus mengangguk. “Ya. Okey.”

“Lebah beritahu, Zambri ada ambil banyak darah kamu tanpa izin. Kita tak tahu rancangannya lagi tapi yang pasti dia sedang cuba memperkuat askar-askarnya. Buat masa ni jangan ke mana-mana. Tambahan pula Belati ada di sekitar.”

Belum sempat Firdaus hendak membalas, Kejora muncul semula. Dia baru selesai bercakap dengan mamanya. 

“Macam mana?” tanya Tuan Ghazali.

Kejora mengeluh perlahan. “Sekarang baru saya faham betapa susahnya papa simpan rahsia ni daripada mama dan saya faham berpisah adalah keputusan yang bijak.”

Tuan Ghazali ketawa kecil. “Ke situ pulak dia…”

“Saya hampir nak beritahu mama yang saya dah jadi harimau jadian.”

“Harimau…” Tuan Ghazali tersentak. Kemudian dia memandang Firdaus. Firdaus memberi isyarat. Akhirnya dia bersuara, “Sweetie, pergi berkemas. Esok kita akan bertolak awal pagi.”

Kejora tidak berfikir panjang. Dia menurut arahan ayahnya. Selepas berbual dengan mamanya tadi, dia juga tidak sabar untuk berjumpa dengan wanita itu. 

Apabila Kejora sudah menghilang masuk ke dalam bilik, barulah Tuan Ghazali bersuara dengan perlahan seolah berbisik, “Harimau jadian?”

Firdaus mengangguk dan menjelaskan apa yang dia beritahu Kejora sebelum ini. Kata-kata Firdaus membuatkan lelaki separuh abad itu tergamam seketika. Sukar untuk dia percaya. 

“Jadi… harimau jadian berpunca daripada sumpahan harimau mistik?” Tuan Ghazali mengulang perlahan. Firdaus sekadar mengangguk. 

“Dia percaya?” 

“Nampaknya…” Firdaus tersengih. 

Sekali lagi Tuan Ghazali terdiam. Dia memandang Firdaus lama. “Ini Lydia punya skrip?”

“Pak cik suruh saya keep her in the circle. So, I have to draw the circle,” balas Firdaus. Tenang.

“Jadi, dia tak tahu pasal…”

“Tak…” Firdaus memotong pantas. “Ini untuk sementara. Yang penting sekarang, dia perlu suaikan diri dengan persekitaran.” 

Tuan Ghazali mengangguk setuju. 

Ulasan