Kata Hikayat, Kemenangan bukanlah bukti dia seseorang jurulatih yang terbaik tapi jurulatih terbaik adalah seseorang yang bijak mengawal pemainnya. Pagi-pagi Sabtu lagi kesemua ahli kelab bola keranjang yang terdiri daripada 10 orang ahli berkumpul di gelanggang seperti yang telah dimaklumkan dua hari yang lepas. Hari ini juga adalah hari pertama Apy Elina akan mengadakan sesi latihan bersama-sama dengan mereka semua. Sengaja dia memilih hari tersebut kerana dia difahamkan tiada kuliah setiap hari Sabtu dan Ahad. Alex melihat jam tangannya. Tepat jam 9 pagi tapi jurulatihnya masih lagi tidak kelihatan. Dia menghela nafas panjang duduk di bangku penonton sambil mendengar MP3 tanpa memperdulikan rakan-rakannya yang lain memanaskan badan dengan bermain di gelanggang bawah sana . “Kau fikir apa?” tanya Izwan kepada Alex yang dilihat asyik merenung rakan-rakannya bermain bola keranjang di bawah sehinggakan dia duduk di sebelahnya pun, Alex tidak perasan. Earphone di telinganya dit...