Langkau ke kandungan utama

KEJORA LIAR: BAB 19

 


Harris duduk termenung, jari-jarinya mengetuk perlahan meja tulisnya. Skrin telefonnya masih memaparkan profil Instagram Kejora, gambar-gambar baharu yang begitu berbeza daripada Kejora yang dia kenal dulu. Kejora yang pernah takut pada ketinggian, kini berdiri megah di antara batu besar berlatar belakangkan air terjun pelangi, dengan senyuman yang entah mengapa terasa asing. 

Dia menyaksikan segalanya. Bermula melihat gambar-gambar yang dimuat naik Kejora, sehinggalah dia menyedari Kejora mengikuti sebuah akaun misteri. Seperti mereka yang ingin tahu siapa di sebalik akaun itu, begitu juga dia. 

Akaun itu hanya ada tiga pengikut, beberapa keping gambar kayu secara random. Tak ada apa yang menarik. Tak ada apa yang pelik tentang akaun itu. Namun sesuatu pada akaun itu membuatkan naluri Harris tidak tenang. Siapa sebenarnya pemiliknya? Dan mengapa Kejora tiba-tiba tertarik dengan akaun seaneh itu? 

Sejak kejadian malam berdarah itu, dia sudah banyak kali menghubungi Kejora. Semua panggilannya tidak dijawab atau ditolak. Mesej juga hanya dibaca tapi tidak dibalas. Semakin hari, jarak antara mereka semakin terasa semakin jauh. 

Harris menggenggam telefonnya erat. Dia tahu Kejora masih marah. Marah kerana dia memilih Rosie. Marah kerana dia mengutamakan keselamatan Rosie daripada segalanya. Tapi apa lagi yang boleh dia lakukan waktu itu? Dia tidak boleh menyelamatkan dua orang dalam satu masa di tempat yang berbeza. 

Namun apabila melihat gambar baru Kejora, Harris rasa bersalah. Dia sepatutnya lega dan berterima kasih kerana Kejora tidak lagi mengganggu hidupnya dalam tempoh ini. Tapi jauh di sudut hatinya, dia berasa kurang selesa dan gelisah. 

Buat sekian kalinya, dia mencuba nasib. Menghantar mesej kepada Kejora. Mesej kali ini tidak berbau paksaan atau yang boleh menyakitkan hati Kejora. Dia hanya mahu tahu keadaan Kejora ketika ini. 

Harris: Apa khabar? 

Harris menunggu dengan sabar. Di saat dia hampir putus asa, dia melihat Kejora menaip sesuatu. 

Kejora: Baik.

Harris cuba mengatur ayat. Banyak kali dia taip dan padam. Ini pertama kali Kejora sudi membalas mesejnya sejak kejadian malam itu, jadi dia perlu berhati-hati dengan ayatnya supaya tidak sakitkan hati Kejora lagi. 

Tapi belum sempat dia mencari ayat yang sesuai, Kejora menghubunginya. Laju Harris menjawab panggilan. 

“Sorry, I perlukan masa. I masih trauma dengan kejadian tu,” ujar Kejora, perlahan suaranya. 

“Kita semua alami perkara yang sama. Trauma tu tetap ada.”

“Ya, sebab tu I tak nak berbincang tentang ni.”

“Okey, I takkan ungkit hal ni lagi. I gembira you selamat dan I harap you dapat maafkan I. I tahu keputusan I hari tu membuatkan you marah dan kecewa dengan I.”

“Ya. Tapi itu hal lepas. I tak nak ungkit lagi. I harap you gembira dengan pilihan you.

Harris mengerut dahi. “Apa maksud you?”

“Kita dah tak ada apa-apa kan? Sejak hari tu, you dah buat pilihan yang betul.”

“Kejora, you salah faham…”

Kejora lantas memotong. “Tak mungkin I salah faham.”

“Ini sebab you ada pengganti baru? Si kayu jati tu?”

“Jadi, I nak tanya you. Kenapa you masih nak teruskan hubungan kita?”

“Sebab I tak nak mereka libatkan Rosie,” laju Harris menjawab, kemudian barulah dia tersedar dia dah berkata sesuatu yang tak sepatutnya dia kata. 

“I faham sebab tu you tak perlu risau. I dah setap satu plot dan jadikan kayu jati tu boyfriend I. Biar semua orang tahu I curang dulu. I dah biasa kena kecam.”

“Jadi, betullah you dah ada pengganti baru?”

“You patut gembira kan?”

“Patutlah you tak jawab panggilan atau mesej I langsung. Dan you panjat gunung… dengan kekasih baru?”

“I ingat you gembira tapi I tak sangka you cemburu dengan orang yang tak wujud,” Kejora ketawa kecil.

“Okey, I tak nak gaduh dengan you malam ni. Kita settle masa balik universiti nanti.”

“Done,” Kejora lantas menamatkan panggilan. 

Harris mengeluh panjang. Dia tak tahu kenapa dia jadi begini. Cemburu? Mustahil. Tapi entah mengapa, perasaannya menjadi semakin resah. 

Kayu jati…

Siapa dia sebenarnya? Wujudkah orangnya? Orang yang dia kenalkah?

***

Firdaus yang sedang lena tidak menyedari apa yang sedang bergolak di alam maya. Telefon pintarnya yang terletak di atas meja berkelip-kelip, menandakan limpahan notifikasi dari Instagram yang tidak berhenti masuk. Malam yang sepatutnya tenang itu tiba-tiba menjadi aneh, dingin dan panas dalam waktu yang sama. 

Dia tersentak kecil apabila terasa sesuatu yang tidak kena pada tubuhnya. Panas. Panas yang membahang dari dalam. Tubuhnya berpeluh-peluh, namun kulitnya terasa sejuk seperti disimbah air beku. Nafasnya tercungap, dadanya terasa sesak dan berat, manakala setiap sendi tubuhnya berdenyut sakit. 

Firdaus mengerang perlahan, cuba bangun namun tubuhnya terasa berat. Dalam samar cahaya malam, pandangannya tertumpu pada lengannya, di tempat jarum yang dicucuk oleh pembantu Zambri siang tadi. Bekas itu kini bertukar warna menjadi hitam, pekat dan warna itu seperti hidup, merayap perlahan menyusuri urat nadinya. 

Racun!

Firdaus mula faham niat ‘baik’ Zambri siang tadi. Dia sepatutnya berhati-hati tapi sekali lagi dia masuk ke perangkap Zambri. Dengan tenaga yang ada dia cuba melawan. Dia cuba bangun untuk mengambil telefon pintarnya. Tapi baru saja seinci dia bangun, badannya kembali jatuh ke katil. Nafasnya semakin pendek, matanya berpinar. Dia belum pernah rasa kesakitan begini. 

Dalam kekeliruan dan azab itu, wajah Kejora muncul dalam fikirannya. Jika tadi dia merasakan lega kerana Kejora tiada di Istana Jati, kini dia berharap sebaliknya. Dia berharap Kejora ada di sisinya, menolongnya seperti tempoh hari. 

Nafas Firdaus semakin perlahan. Dunianya seakan kabur seperti kaburnya pandangan matanya. Dengan sisa tenaga yang tinggal, dia hanya dapat berbisik dalam hati, semoga dia masih sempat bertemu Kejora sekali lagi… 

… sebelum segalanya berakhir.

***

Zambri berdiri di depan jendela besar pejabatnya, memandang jauh ke luar, ke arah hutan tebal beratus meter dari tempatnya. Bibirnya mengukir senyuman nipis, sinis dan puas. Di antara jari-jarinya, dia memegang sebatang jarum emas. Jarum yang sama menyusuk ke lengan Firdaus siang tadi. Sinar lampu pejabat memantul pada permukaannya, membuatkan ia kelihatan seperti serpihan cahaya yang beracun. 

“Racun yang sempurna.” Dia tersenyum puas. 

Firdaus biasanya seorang yang berhati-hati, tapi kali ini dia berjaya memperdayakan Firdaus. Sudah lama dia menanti saat ini. Percubaan demi percubaan membunuh Firdaus telah dilaksanakan tapi sepupunya itu sentiasa lari dari kematian. 

Pintu diketuk perlahan, lalu terbuka. Zain muncul di muka pintu, tunduk hormat sebelum melangkah masuk. Lelaki itu membawa tablet di tangan, memaparkan laporan yang baru selesai dikumpul. 

“Tuan,” ujar Zain dengan nada berhati-hati. “Tentang Kejora, saya dah hantar beberapa team untuk memerhatinya untuk seminggu ni. Tak ada apa-apa yang luar biasa padanya.”

Kening Zambri terangkat sedikit. “Tak ada apa-apa?”

“Ya. Dia bergaul bebas dengan manusia. Pergi keluar bersama ibunya, shopping di pusat bandar, makan di tempat umum. Tiada tanda-tanda anak harimau seperti yang digosipkan. Dia… normal.”

Zambri ketawa kecil, perlahan tetapi cukup untuk menimbulkan getar di udara. Dia berpaling dari jendela, berjalan mendekati meja besar. Jarum emas itu masih di tangannya. 

“Normal?” ulangnya dengan nada yang berat, seolah-olah perkaraan itu bahan jenaka. “Berapa lama kau bekerja dengan aku? Jangan kata kau tak pernah tengok orang yang boleh berpura-pura lakukan apa saja untuk hidup?”

Zain senyap. 

Zambri meletakkan jarum emas itu di atas meja dengan bunyi halus berdenting dan bersuara lagi, “Pantau dia. Kejora mungkin kelihatan manusia sekarang tapi darah yang mengalir dalam dirinya bukan darah biasa. Akan sampai waktunya, dia sendiri akan tahu siapa dia sebenarnya.”

Zain mengangguk. Dia tahu majikannya itu lebih berpengalaman. 

Zambri menyandarkan tubuh ke kerusinya, menyilang jari di depan wajah. Matanya memandang pada jarum emas itu. 

“Kalau racun tu berkesan seperti yang dirancang, Firdaus takkan bertahan lama,” katanya perlahan. “Dan bila masa tu tiba, Kejora akan hilang arah… begitu juga dengan kaum kerabatnya. Pada masa itu, keturunan yang baru akan muncul.”

“Tapi, saya tak faham. Kenapa kita nak bunuh Firdaus? Bukan ke kita perlukan darahnya untuk bangunkan askar kita?”

“Bangunkan askar kita hanyalah satu alasan,” Zambri tersenyum sinis. “Bunuh dia adalah rancangan utama kita sejak awal lagi. Darah dia mungkin istimewa tapi Istana Jati ada segalanya dan boleh mengubah segalanya. Jika kita dapat kuasai Istana Jati, semua keluarga akan tunduk pada kita. Malah, kita juga akan dapat membangunkan kerajaan yang telah musnah dulu.”

Dan di luar sana, kilat menyambar, memantulkan awjah Zambri yang kini sepenuhnya dibaluti senyuman puas dan kejam. 


Ulasan