Biarpun Kejora tidak lagi mengingati siapa Haslina, tetapi janji tetap janji. Firdaus tetap menunaikan kata-katanya, membawa Kejora keluar membeli-belah seperti yang dijanjikan.
Pagi itu, mereka berdua tiba di sebuah pusat beli-belah besar di pinggir bandar. Dari tempat letak kereta lagi, Kejora sudah kelihatan sedikit gelisah. Tangannya menggenggam tali topeng muka yang diberi oleh Firdaus.
“Kalau tak selesa, kita balik saja,” kata Firdaus, separuh risau.
Kejora menggeleng perlahan. “Tak apa. Aku nak cuba biasakan diri,” ujarnya lembut sebelum menyarung topeng muka itu.
Sebelum melangkah masuk ke ruang utama mall, Kejora berhenti sejenak. Deruan pendingin hawa bercampur aroma kopi, minyak wangi dan pelbagai jenis bau manusia yang bersimpang-siur membuat deria hidunya berdenyut. Dia menarik nafas panjang, menahan naluri liar yang sesekali cuba mencuit kesedarannya.
Langkah demi langkah, dia mula menyesuaikan diri. Firdaus pula sentiasa di sisi. Diam, memerhati setiap gerak-geri Kejora dengan mata yang sentiasa berjaga.
Setelah beberapa ketika, suasana menjadi lebih tenang. Kejora mula kelihatan ceria, matanya berkilau setiap kali melintasi butik pakaian, kedai aksesori dan deretan kasut.
Beberapa jam kemudian, tangan Firdaus sudah penuh dengan beg-beg dari pelbagai kedai. Ada pakaian, kasut, alat solek, buku, malah beberapa barang hiasan kecil. Kejora berjalan di hadapannya dengan langkah ringan. Wajahnya kelihatan berseri walaupun masih bertopeng.
“Kejap, aku teringin nak makan ais krim,” katanya sambil berpaling.
Firdaus sempat ketawa kecil. “Kalau kau beli lagi satu barang, aku rasa, kita kena sewa troli.”
Kejora hanya membalas dengan tawa. Untuk pertama kali sejak sekian lama, Firdaus melihatnya kembali normal. Sama seperti Kejora yang dia pernah kenal dulu. Orangnya memang garang tapi walaupun begitu, dia sentiasa ceria dengan senyuman.
Menjelang petang, mereka pulang ke rumah. Setibanya di ruang tamu, Kejora melepaskan topeng mukanya dan bersandar di sofa dengan nafas lega.
“Rasa puas… macam kembali jadi manusia,” katanya perlahan.
Firdaus tersenyum, namun matanya tidak lekang dari memerhati wajah Kejora yang berpuas hati dengan barangan yang dibelinya. Dia tidak tahu apa yang akan terjadi pada masa depan. Dia cuma mahu menghargai saat ini dan dia berharap Kejora akan memilih haluan sendiri kelak.
Ketika Kejora leka menyusun barang-barang belian di atas meja, bunyi telefon Firdaus bergetar. Dia melihat skrin sejenak, kemudian wajahnya berubah. Senyuman yang tadi terukir perlahan-lahan pudar.
Kejora menyedari perubahan itu. “Siapa?”
Firdaus cepat-cepat menyimpan telefon pintarnya. “Tak ada apa. Spam.”
Namun Kejora tahu, ada sesuatu yang membuat lelaki itu tidak gembira.
***
Suka atau tidak, Firdaus terpaksa keluar pagi itu.
“Kau mesti nak pergi dating,” kata Kejora dari sofa, pandangan tajam menembusi jaket hitam yang baru disarung Firdaus.
Firdaus menarik nafas panjang. “Aku dah kata, saudara aku kahwin. Nak tak nak aku kena pergi. Tunjuk muka saja.”
Kejora mencebik. “Aku tak percaya kau nak pergi makan seorang diri.”
“Kakak sepupu aku vegetarian,” balas Firdaus selamba sambil membetulkan kolar jaketnya.
“Nak tipu lagi?”
“Okeylah,” Firdaus mengangkat tangan tanda kalah. “Balik nanti aku masakkan daging bakar madu yang paling sedap untuk kau.”
“Janji?”
“Janji.”
Kejora bersandar, separuh senyum. “Jangan bawa balik bau yang bukan-bukan.”
Firdaus ketawa dan mengangguk. Dia tahu deria bau Kejora semakin luar biasa peka dengan bau-bau di sekelilingnya. Pernah sekali dia pergi berkebun di belakang rumah, terserempak dengan kucing liar dan mengusupnya seperti biasa, tapi bila masuk saja rumah, Kejora mendengus marah. Membebel dan memarahinya umpama dia curang dengan perempuan lain.
***
Kali ini Lebah membawanya ke destinasi yang dituju. Perjalanan hanya mengambil masa dalam satu jam setengah. Sampai sahaja, Firdaus menyuruh Lebah pulang kerana dia lebih risaukan Kejora. Tapi Lebah lebih risaukan Firdaus. Mereka bertegang urat sebentar, akhirnya Firdaus mengalah.
Dia melangkah masuk ke sebuah hotel lama yang masih beroperasi itu. Walaupun diluarnya nampak seperti bangunan lama tetapi di dalamnya serba moden dan meriah seperti hotel mewah dan baru beroperasi. Seorang penyambut tetamu yang mengenalinya menunjukkan jalan. Mereka naik ke tingkat 2 seperti biasa.
Mereka berhenti di sebuah pintu, loceng ditekan. Seorang lelaki membuka pintu dan menyapa nama Firdaus dengan penuh gembira.
“Firdaus, sepupuku!” Dia memeluk Firdaus dengan erat dan menepuk-nepuk belakang lelaki itu. Firdaus hanya membiarkan. Dia sudah biasa dengan perangai Zambri, sepupunya itu.
“Apa yang membuatkan kau lambat sangat? Dah lama aku tunggu. Mari, aku bukakan jaket kau,” Zambri dengan gelojoh menarik jaket hitam yang dipakai oleh Firdaus. Jaket itu diletak di atas katil. Dah tentu, dia masih memakai baju T di dalamnya!
“Sila-sila…” Zambri menolak kerusi khas mempersilakan Firdaus duduk. Firdaus tidak banyak bunyi dan hanya menurut.
Dua orang wanita berpakaian seperti jururawat muncul membawa satu beg darah kosong dan peralatan perubatan.
“Kau ternak vampire ke? Bukan ke kau dah ambil hari tu?” tanya Firdaus mengingatkan yang Zambri pernah mengambil darahnya sebelum dia naik kapal persiaran. Disebabkan itu juga, tubuhnya lemah menghadapi musuh yang tiba-tiba menyerang.
Zambri ketawa kecil. “Vampire? Kalau ada aku pun nak ternak satu.” Kemudian, dia membuka topik mengenai serangan di kapal persiaran, “Aku dengar, kapal yang kau naik tu kena serang. Betul ke?”
Firdaus hanya mengangguk perlahan sambil memerhati darahnya mula mengalir masuk ke dalam beg darah, “Mmm…”
“Kerja siapa?” tanya Zambri.
“Belati.”
Zambri memetik jarinya, wajahnya puas. “Aku dah agak dah! Nak aku ajar diaorang?”
“Tak payahlah. Kemungkinan besar mereka tu bebas. Tak terima arahan daripada sesiapa. Bunuh orang membabi buta. Macam main video game.”
“Dengar kata jeneral marah gila sebab anak dia pun ada atas kapal tu.”
“Macam biasa. Siapa tak sayang anak.”
Zambri bersandar, senyuman sinis melingkari bibirnya. “Mungkin sebab tu dia sorok anak dia di Istana Jati.”
Firdaus tidak menunjukkan reaksi, tapi dalam hatinya tahu, Zambri tahu lebih daripada yang sepatutnya. “Kebetulan aku sempat selamatkannya daripada kena bunuh. Alang-alang dia dah nampak dan tahu identiti aku, jeneral suruh sembunyikan dia di Istana Jati sehingga keadaan benar-benar terkawal.”
“Kau tak rasa ke dorang tengah rancang sesuatu?” tanya Zambri lagi.
“Siapa?”
“Belati la. Musuh utama kita.”
“Dorang memang sentiasa rancang sesuatu. Sejak dari zaman Jepun lagi.” Firdaus sudah tidak hairan lagi.
“Habis tu takkan kita nak diam diri? Kita mesti buat sesuatu juga.”
“Aku tak nak masuk campur. Hidup aku pun dah cukup sibuk dengan jaga anak jeneral,” balas Firdaus tidak mahu berbincang hal ini lagi.
“Tulah. Aku dah kata awal-awal lagi. Jangan baik hati sangat. Nak balas budi konon. Apalah yang dia tolong sampai kau nak balas budi. Kalau kau dan aku bergabung tenaga, dah licin Belati kita kerjakan atas muka bumi ni,” tambah Zambri lagi.
Zambri memang pandai bersembang. Jika sembang dengannya, dia akan pergi ke satu topik dan ke satu topik tanpa sedar. Biasanya Firdaus lebih berhati-hati tapi entah kenapa kali ini dia mudah masuk perangkap.
Biasanya, proses pengambilan darah cuma sepuluh minit. Tapi kali ini, masa terasa agak panjang. Firdaus mula sedar, beg darah itu lebih besar dari biasa. Ada sesuatu yang tak kena.
Sebaik selesai dia segera bangun. Namun belum sempat dia melangkah, dunia tiba-tiba berpusing. Tubuhnya goyah dan hampir tumbang. Mujurlah Zambri sempat menyambut dan membawanya ke katil untuk berehat.
“Kau ni, kalau ya pun sabar la dulu. Ni, aku dah sediakan makanan.” ujar Zambri lembut tapi matanya penuh niat tersembunyi.
Firdaus, dalam separuh sedar menepis hidangan yang dihulurkan dengan perlahan. Dia cuba untuk bertahan tetapi matanya terlampau berat. Dia tak pasti, apa yang berlaku selepas itu tetapi semasa dalam separuh sedar, dia menyedari mereka mengambil darahnya lagi tanpa kebenarannya. Dia ingin menghalang tapi tubuhnya terlampau lemah untuk melawan.
***
Hari sudah petang hampir terlajak malam ketika dia membuka mata. Kepalanya masih berpusing dan badannya masih lagi terasa lemah, tidak bermaya. Bila dia buka mata, dia melihat Lebah duduk di bangku bersebelahan dengan katilnya. Jika Lebah berada di sini, maknanya sudah lebih daripada satu jam. Itu perjanjian antara mereka. Lebah tidak akan masuk campur tapi hanya akan masuk campur bila masa telah tamat. Dengan kudrat yang ada, dia berusaha duduk bersandarkan badan di kepala katil.
“Tengoklah kau. Masih nak berlagak hero. Kalau aku tak tunggu, entah berapa banyak darah kau mereka ambil,” bebel Lebah sambil menghulurkan satu plastik roti dan coklat kepada Firdaus. “Makan dulu. Aku tak larat nak dukung kau macam tuan puteri.”
Firdaus hanya menurut. Dia segera makan walaupun sebenarnya dia tiada selera. Selepas habis makan, barulah dia ada tenaga sedikit untuk berdiri tetapi masih memerlukan pertolongan Lebah untuk berjalan.
Mujurlah kereta mereka dibenarkan parking di pintu utama, dia tidak perlu berjalan jauh. Tapi sebaik duduk di dalam, Firdaus hampir pengsan lagi.
“Berapa beg dorang ambil darah kau?” tanya Lebah, nada serius.
“Tak tahu,” Firdaus masih pening-pening. Dia mengatur pernafasannya supaya lebih fokus. Kemudian pandangannya memandang pintu masuk hotel tadi. “Zambri… dia seperti rancang sesuatu.”
“Dah tentu. Dia ambil darah kau terlampau banyak sejak akhir-akhir ni. Macam nak bangunkan askar sendiri. Sebab tu Tuan Jeneral suruh berhati-hati.”
Firdaus menarik nafas perlahan. Matanya masih berat. Kepalanya masih pening dan badannya masih lemah. Dia memejam mata, cuba mencari kekuatan. “Aku tak boleh balik dalam keadaan macam ni. Kejora… deria baunya semakin sensitif.”
“Aku boleh beri alasan kepada Kejora yang kau terpaksa bermalam di hotel. Tapi aku tak yakin keselamatan kau kalau aku bawa kau check-in mana-mana hotel. Hanya Istana Jati tempat paling selamat,” ujar Lebah. Kemudian, dia terfikir satu idea yang bernas. “Hah, aku ada satu idea… bagi jaket kau!”
Firdaus menyerahkan jaketnya tanpa banyak soal. Tidak lama selepas itu, kelopak matanya tertutup semula. Dunianya lenyap dalam kegelapan sekali lagi.
***
Kereta hitam yang membawa Firdaus perlahan-lahan keluar dari perkarangan hotel. Enjin yang berdesing halus itu akhirnya hilang ditelan kesibukan jalan raya. Namun, dari tingkat dua bangunan berhampiran, sepasang mata sedang memerhati dengan penuh teliti.
Zambri bersandar di kerusi kulitnya, jari telunjuk mengetuk-ngetuk meja kayu jati di hadapannya. Wajahnya tegang, mata tajam memandang bayang kereta yang semakin jauh melalui pantulan di cermin kaca besar yang memenuhi dinding pejabatnya. Suasana di ruang itu senyap, hanya bunyi pendingin hawa berdesir perlahan menemani fikiran dan emosinya.
Tidak lama kemudian pintu pejabatnya diketuk dua kali. Masuk dua orang, seorang lelaki berpakaian hitam kemas, wajah keras tanpa senyuman dan seorang perempuan berpakaian gaun merah cerah yang menyakitkan mata, rambut panjangnya diikat tinggi. Mereka berdiri di tengah-tengah ruang, tegak dan penuh disiplin.
Seorang bernama Zain dan seorang lagi bernama Sally. Mereka berdua, orang yang paling berpengaruh dan paling setia pada ketua mereka, Zambri.
Zambri tidak menoleh, dia hanya bersuara perlahan tetapi cukup untuk menggigilkan suasana, “Jadi, ada sesiapa nak terangkan macam mana sepupu aku masih hidup dan boleh berjalan dengan baik seperti tak ada apa-apa yang berlaku selepas serangan di kapal persiaran?”
Mereka berdua mendiamkan diri. Tahu akan rancangan mereka telah gagal.
“Nampaknya, dia bukanlah lemah seperti yang kita sangka. Aku benci dengan orang yang pura-pura lemah,” ujar Zambri tidak puas hati.
Mereka kekal tunduk, tidak berani menjawab. Zambri kemudian kembali bersuara, “Macam mana dengan anak jeneral? Ada berita terkini? Betul ke dia naluri harimau dia dah sedar seperti khabar angin?”
“Kami masih kurang pasti,” jawab salah seorang perlahan. “Tapi memandangkan dia sentiasa berada di dalam Istana Jati, kemungkinan besar apa yang digosipkan itu benar.”
Zambri tergelak kecil. “Tak sangka. Dalam diam sepupu aku membela anak harimau dan melatihnya. Dengan adanya harimau di sisinya, dia boleh merampas takhta. Dia sungguh licik.”
“Nak kami aturkan rancangan serang Istana Jati?” tanya Sally, cuba memberi cadangan.
“Korang bodoh ke?” Zambri memotong tajam. “Tiada siapa dapat mendekati Istana Jati jika tiada jemputan daripada pewarisnya. Malah manusia biasa yang cuba menceroboh masuk akan mati dengan penuh misteri, apatah lagi askar-askar kita. Sia-sia saja kita kumpul darah dia untuk bangunkan askar kita.”
Mereka kembali diam.
Zambri berfikir sejenak, “Sebarkan khabar angin tentang anak harimau tu. Biar kita tengok reaksi Belati. Sambil mereka sibuk hapuskan anak harimau tu, kita teruskan rancangan kita. Dua minggu lagi, set appointment, ambil darah dia lagi. Kita perlu cepat sebelum dia berjaya menjinakkan anak harimau tu.”
Kedua-duanya mengangguk, menurut perintah. Lalu, berlalu pergi.
Zambri kembali menatap dinding kaca, menggenggam tangannya, “Firdaus… tak sangka kau begitu licik orangnya. Kau ingat dengan jinakkan anak harimau, kau boleh kembali berkuasa? Aku akan pastikan takhta tu akan menjadi milik aku!”

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.