“Lebah? Apa kau buat di sini?”
Kejora menegur sambil memandang wajah lelaki itu dengan rasa terkejut. Dia baru sahaja melangkah masuk ke kafeteria kampus apabila terserempak dengan Lebah yang sedang menyusun kotak minuman di atas kaunter. Pandangannya kemudian terarah pada papan tanda kecil di atas gerai itu.
Warung Lebah
Kejora mengangkat kening sambil tersenyum nipis. “Nice name.”
Lebah menyandar seketika pada meja, senyum sini terukir di bibir. “Ganti tempat Hornet.”
Kejora menarik kerusi dan duduk di hadapannya. “Aku masih di bawah pemerhatian papa?” tanyanya dengan nada separuh bergurau, separuh mengeluh.
“Dah tentu.” Lebah menjawab tenang. “Dia cuma ada seorang anak perempuan, dan anak tu pula suka buat benda yang sukar dijangka.”
Kejora mengeluh kecil. Dia tahu ayahnya cuma risau, tapi dia juga mahu sedikit ruang untuk hidup bebas, tanpa bayang-bayang kawalan keluarga.
“Oh, jangan risau,” sambung Lebah, seakan dapat meneka isi hatinya. “Kami takkan ganggu privasi kau. Misi kami cuma nak pastikan kau makan dengan betul dan terima diet yang seimbang.”
Kejora memandang dengan dahi berkerut. “Kami?”
“Firdaus sekali,” jawab Lebah perlahan, suaranya separuh berbisik. “Dia akan jadi part-time chef…”
Mata Kejora serta-merta bersinar. Nama itu cukup membuatkan dia rasa teruja. Sudah lama dia tidak merasa masakan Firdaus; daging bakar madu, daging wagyu medium rare dan pelbagai hidangan lain yang pernah mengisi hari-harinya semasa di Istana Jati. Dia menelan liur, hampir boleh membayangkan aromanya.
“Macam mana? Dapat suaikan diri?” tanya Lebah, menukar topik.
Kejora mengangkat bahu. “Aku cuba sibukkan diri… cuba jadi manusia sepenuhnya. Tapi entah kenapa, makin sibuk makin cepat lapar.”
“Sebab tu kami di sini,” ujar Lebah sambil menghulur sebuah bekas makanan berwarna hitam. “Daripada Firdaus. Dan dia pesan, kalau nak joging awal pagi, pastikan tak ada orang perasan.”
Kejora angguk. Dia membuka sedikit penutup bekas itu. Sebaik aroma masakan itu mengena hidungnya, senyuman halus terbit di bibirnya. Bukan kerana masakan itu sendiri, tapi kerana dia kenal benar bau tangan yang memasaknya.
“Mana Firdaus?” tanyanya sambil memanjangkan leher, cuba mencari kelibat lelaki itu di sebalik tirai gerai. Tapi hanya ada tiga pekerja perempuan kelihatan sibuk di dapur.
“Dia ada hal,” jawab Lebah ringkas.
Kejora mengangguk perlahan, cuba menutup rasa rindu yang tiba-tiba menyinggah. Senyuman kecil masih lagi terukir di bibirnya.
Namun, tanpa dia sedar, ada sepasang mata sedang memerhati.
Harris.
Matanya tajam mengekori setiap gerak geri Kejora yang kelihatan begitu mesra berbual dengan Lebah.
Bukan niatnya hendak menghendap Kejora. Kebetulan dia juga mahu ke kafeteria, membeli makanan memandangkan kelasnya akan bermula pada pukul 2 nanti.
Dia juga ada terdengar ada sebuah gerai baru buka di kafeteria dan rata-rata mereka memuji masakan di gerai itu terutama sekali daging bakar madu yang dimasaknya. Tapi tak sangka pula dia terlihat Kejora bersama seorang lelaki.
Lagak gaya lelaki itu seperti pemilik gerai itu. Orang gelarkan dia Lebah sebab dia namakan gerainya Warung Lebah. Namun, sesuatu tentang lelaki itu membuatkan Harris tidak senang hati.
Lebah… atau Kayu Jati?
Rasa ingin tahu semakin terbuak-buak. Bukan cemburu. Dia cuma ingin tahu, siapakah lelaki yang berani bercinta dengan Kejora.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.