Nota: Ini versi manuskrip. **** MEREKA berdua melangkah keluar sebaik sahaja pintu lif terbuka. Arissa masih dengan muka monyoknya mengekori langkah Nazwan melewati satu demi satu pintu bilik hotel mencari bilik yang baru saja ditempahnya tadi. “ Apa kata kalau kita balik KL saja? Aku rindukan katil aku. Aku tak boleh tidur dalam keadaan demam macam ni selain daripada katil aku,” ujar Arissa. Sejak tadi dia cuba memujuk Nazwan untuk balik ke KL. Macam-macam alasan dia sudah bagi tetapi Nazwan langsung tidak mengendahkan pujukkannya. Ada sahaja modal Nazwan membalas kembali alasannya. “ Berapa kali kau muntah dalam kereta masa pergi klinik tadi?” tanya Nazwan dengan jelingan tajam. Perlahan-lahan Arissa menunjukkan dua jarinya. “ Enam kali,” tegas Nazwan. “Kalau kita balik KL sekarang, kau akan muntahkan semua isi perut kau tu sampai tak ada apa-apa dalam badan kau. Kau nak macam tu?” Arissa mendengus marah. Ini semua Luqman punya pasal. Gatal sangat ba...