Apy Elina memandang alamat yang tertera pada surat tawaran yang diterimanya beberapa minggu yang lalu kemudian kembali memandang pintu gerbang Kolej Lagenda yang tertutup rapat. Sunyi. Dia kaget seketika. Hampir terhenti nafasnya sebaik sahaja berdiri di hadapan Kolej Lagenda yang menjadi pilihan anak orang-orang berada meneruskan pengajian mereka. Bagaikan tidak percaya bahawa dia akan menjadi tenaga pengajar di kolej yang terkemuka itu. Jam di tangannya menunjuk pukul 7:30 pagi. Dia dikehendaki melapor diri di pejabat Kelab Bola Keranjang jam 8 pagi. Kelab Bola Keranjang pun ada pejabat! Memang betul-betul sebuah kelab yang kaya. Terasa kecil sangat dirinya untuk melatih Kelab The Legend. “Khabarnya ramai jurulatih tidak tahan melatih mereka,” kata-kata Nabila malam tadi masih lagi berlegar-legar di telinganya. Semalam barulah dia mendapat tahu bahawa majikan Nabila adalah pemilik Kolej Lagenda dan begitu juga dengan kelab bola keranjangnya. Jadi, serba sedikit dia dapat sedikit...