Seminggu berlalu dengan cepat. Hari ini merupakan hari terakhir Apy Elina bersama The Legend. Selepas latihan pada hari itu tamat, ahli The Legend semua berkumpul di dewan gelanggang untuk mengucapkan selamat tinggal kepadanya. “Cikgu nak peluk!” ujar Wawa yang mara ke arahnya sambil mendepa tangan. “Mengada!” Panjang disebelah Wawa menarik kawannya itu daripada membuat perangai tidak senonoh. Jikalau jurulatihnya lelaki, bolehlah dia lepaskan Wawa. “Gurau sajalah. Itu pun nak serius sangat,” ujar Wawa. “Cikgu bukannya nak pergi luar negara. Cikgu ada dekat Kuala Lumpur juga. Jadi, sesiapa yang rasa rindu dengan cikgu, bolehlah datang jumpa cikgu tapi pastikan kau orang buat temu janji dulu. Ah, kehidupan seorang jurulatih kebangsaan mungkin lebih sibuk,” ujar Apy Elina. “Jangan lupa datang ke perlawanan akhir nanti,” ujar Red Yazid. “Insyallah. Kalau tak ada apa, cikgu akan datang. Mana tahukan, kamu semua terus bersemangat bila cikgu datang dan kalahkan New Angel dengan senang!” “Men...