Langkau ke kandungan utama

KEJORA LIAR: BAB 17

 


Kejora berbaring di atas katil, matanya menatap siling tanpa fokus. Dia baru saja habis mengemas barang-barangnya. Esok pagi dia akan meninggalkan Istana Jati, tempat yang penuh kenangan sejak kejadian malam berdarah yang mengubah dirinya. Walaupun dia berasa tidak sabar hendak melangkah keluar dari tempat ini tapi ada sesuatu yang membuat dia berasa berat hati meninggalkan tempat ini; Firdaus. 

Tangannya lantas mencapai telefon di sisi bantal. Jari-jarinya menari perlahan di skrin. 

Kejora : Dah tidur?

Tak sampai seminit, skrin bergetar. 

Firdaus : Belum. Baru nak tidur. Kenapa? 

Kejora menarik nafas, menaip dengan hati-hati. 

Kejora : Boleh buka pintu? Aku nak pulangkan sesuatu.

Lalu dia bangun perlahan, mengambil sehelai jaket hitam sebelum melangkah keluar. Lorong untuk ke bilik Firdaus agak sunyi tetapi lampu kristal masih menyala terang, jadi menghapuskan suasana sunyi dalam istana itu. 

Kejora berhenti di depan pintu bilik Firdaus. Hatinya berdebar. Entah kenapa terasa berat walaupun hanya ingin memulangkan jaket. Dia mengetuk tiga kali. 

Tak lama kemudian pintu terbuka. Wajah Firdaus muncul, rambutnya sedikit kusut, namun senyuman kecil terukir di bibirnya. 

“Kenapa?” tanya Firdaus. 

Kejora menghulurkan jaket hitam yang dulu Firdaus berikan kepadanya selepas dia tidak boleh tidur malam. 

“Ni… jaket kau. Aku dah basuh. Terima kasih sebab pinjamkan.”

Firdaus memandang jaket itu seketika, tanpa berkata apa-apa, dia segera menyambut kembali jaketnya. Baru saja Kejora ingin melangkah pergi, dia bersuara lagi, “Aku lapar.”

Kaki Kejora berhenti melangkah. “Hah?” Dia sendiri terkejut. Belum pernah dia dengar Firdaus mengadu lapar. “Lapar apa lagi malam-malam ni?”

“Entah. Mungkin teringin bubur nasi yang kau masak hari tu,” jawab Firdaus sambil tersengih. 

Kejora menggeleng, tapi bibirnya mengukir senyum. “Baiklah. Aku masak tapi kau kena tolong aku potong bawang dan cuci pinggan mangkuk.”

Tanpa berfikir panjang, Firdaus terus setuju. Beberapa minit kemudian, dapur Istana Jati diterangi cahaya hangat. Kejora berdiri di tepi dapur, mengacau periuk bubuk yang sedang mendidih. Firdaus hanya duduk di meja pulau, memerhati dengan pandangan tenang, seolah-olah menghargai setiap detik Kejora di sisi. 

“Bubur aku tak sehebat mana pun,” ujar Kejora sambil mengacau perlahan. 

“Mungkin kau sendiri tak tahu kebolehan memasak kau,” balas Firdaus, masih memuji. 

Kejora sekadar tersenyum. Suasana sunyi, hanya kedengaran desiran api dan aroma nasi lembut yang memenuhi ruang. 

Apabila bubur siap, mereka duduk berhadapan, menikmati semangkuk bubur panas. Sambil makan, mereka berbual ringan, tentang kenangan, tentang perjalanan, tentang masa depan yang tak pasti. Namun di antara tawa kecil dan gurauan, ada sesuatu yang tak terucap, kedua-duanya tahu malam itu malam terakhir mereka bersama di Istana Jati. 

Dan di bawah cahaya kuning malap, dua jiwa itu menikmati detik terakhir bersama. Bubur yang sederhana, namun sarat dengan makna yang akan memberi kenangan yang mewah selamanya. 

***

Pagi itu, langit muram. 

Hujan renyai-renyai turun sejak awal pagi, membasahi halaman Istana Jati yang tenang. Daun-daun bergoyang perlahan ditiup angin sejuk. Udara terasa berat, seolah-olah turut berkongsi rasa yang bersarang di dada Kejora. 

Dia berdiri di anjung Istana Jati, beg sandangnya sudah tersandang di bahu. Rambutnya sedikit lembap, ditiup bayu pagi yang berembus dari arah hutan. Cuaca pada pagi itu sedikit membuat tubuhnya terasa sejuk. Dari jauh, dia memerhati Lebah dan Hornet bersama-sama membawa bagasi miliknya untuk dimasukkan ke dalam bonet kereta. 

Tanpa disedari, Firdaus muncul dari belakang. Diam-diam dia menghampiri dengan angkahnya perlahan. Di tangannya, dia membawa jaket hitam, hampir serupa dengan yang dikembali Kejora malam tadi. Dia memang punya beberapa jaket yang sama warna dan sama potongan serta fabriknya hampir tiada beza. 

Firdaus mendekat tanpa berkata apa-apa, lalu menyarungkan jaket itu ke bahu Kejora. Gadis itu tersentak kecil, tapi hanya tersenyum apabila hidungnya menangkap haruman yang amat disukainya. 

“Cuaca sejuk,” ujar Firdaus perlahan. “Sentiasa lindungi diri. Jangan sampai jatuh sakit.”  

Kejora memandangnya sambil senyum nipis. “Baunya lebih kuat daripada sebelum ni.”

Kejora tersengih. Dia tahu Firdaus ada beberapa jaket yang sama tapi bau itu seperti baru semalam dipakai Firdaus. 

Firdaus mengangkat kening. “Kenapa? Tak suka? Kalau tak suka…”

Kejora mendengus sambil kakinya berundur setapak apabila Firdaus mahu mengambil jaket itu semula. Kedua-dua tangannya menggenggam erat hujung jaket itu. “Dah bagi jangan ambil balik.”

Firdaus ketawa kecil. Tawa yang menenangkan tapi di sebalik itu tersenyum rasa berat yang sukar dijelaskan. 

Hujan semakin lebat sedikit, menambah dingin pada pagi yang suram itu. Kejora menunduk, melangkah perlahan menuruni anak tangga kayu sambil dipayungi Lebah ke kereta. Di dalam kereta, Tuan Ghazali sudah menunggu. Tiada ucapan perpisahan antara mereka. Hanya pandangan mata yang berbicara, seolah sepakat bahawa ini bukan selamat tinggal, cuma berpisah untuk sementara. 

Firdaus masih berdiri di anjung, memerhati langkah itu menjauh. Jaket hitam itu masih tersarung di bahu Kejora, dan dalam diam, dia tahu sebahagian dari dirinya turut pergi bersama gadis itu. 

Di tengah kabus dan hujan yang menipis, Firdaus masih berdiri di situ. Tangannya menggenggam erat pada anjung kayu yang basah terkena tempias air hujan. Bunyi enjin semakin menjauh, dan setiap saat terasa seperti hela nafas yang ditarik paksa dari dadanya. Dia memerhati hingga kereta itu kian kecil dan akhirnya hanya bintik hitam yang dapat dilihat bergerak di antara kabus dan pepohonan. 

Akhirnya, kenderaan yang dipandu oleh Hornet itu lenyap di selekoh jalan, hilang dari pandangan sepenuhnya. Hanya sisa bunyi hujan yang tinggal, menimpa tanah dan daun dengan ritma perlahan. 

Kini, hidupnya kembali sunyi. 

Saat dia mula hanyut dalam rasa sepi itu, telefon di poket seluarnya bergetar. Firdaus menghela nafas, membaca mesej yang baru diterima. Seketika kemudian, dia melepaskan keluhan berat. 

“Kenapa?” tanya Lebah yang dari tadi berdiri di sebelahnya. 

“Zambri,” jawab Firdaus perlahan. “Dia set appointment lagi. Minggu depan.”

“Minggu depan?” Lebah hampir nak mencarut. “Dia dah gila ke? Kau baru je nak sembuh. Aku beritahu Tuan Jeneral.”

“Tak perlu,” balas Firdaus laju. “Bukan senang dia nak bercuti dengan anaknya. Jangan kacau mereka.”

“Tapi…” 

“Aku tahu macam mana handle Zambri. Jangan risau.” 

Firdaus melangkah perlahan masuk ke dalam Istana Jati. Langkahnya terhenti di tengah ruang besar itu. Lampu kristal gergasi masih berkilauan di siling, menyinari setiap sudut, namun bagi Firdaus, cahaya itu tidak lagi membawa keindahan. 

Hampir dua bulan dia di sini, buat pertama kali, dia rasa Istana Jati seperti rumahnya. 

Tapi hari ini, ia bagaikan seperti rumah tumpangan yang menanti pelawat seterusnya…

Ulasan