Langkau ke kandungan utama

KEJORA LIAR: BAB 15

 


Pukul satu pagi, udara di kaki gunung terasa sejuk menggigit. Kabus nipis berlegar di antara pokok-pokok tinggi, mencipta suasana mistik yang hanya diterangi cahaya malap daripada lampu kepala di dahi Firdaus. Bunyi cengkerik bersahutan, sesekali berselang bunyi dengan ranting patah di bawah tapak kaki mereka. Angin malam membawa bau tanah lembap dan dedaun yang baru disiram embun. 

Kejora memandang ke hadapan, matanya tajam menembusi kegelapan. Pelik, walaupun malam begitu gelap dan hutan itu seakan tiada penghujung, dia dapat melihat setiap butir pasir, setiap urat daun yang berkilau terkena cahaya bulan. Seolah-olah pandangannya sedang disesuaikan dengan dunia yang hanya dapat dilihat oleh makhluk-makhluk malam. 

“Kalau kau penat, beritahu. Kita berhenti sekejap,” suara Firdaus kedengaran lembut dari depan. 

Kejora hanya tersenyum kecil. Nafasnya masih teratur, langkahnya ringan. Biarpun ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke hutan sebenar. Bukan taman buatan di bandar-bandar, bukan denai kecil di taman rimba yang pernah dikunjunginya sebelum ini. Dia tidak rasa takut langsung. Sebaliknya, dia terasa tenang… malah seronok. 

Kejora menikmati setiap langkah yang diambil. Bunyi daun yang bergeser, bau lumut yang kuat dan keindahan langit malam di tengah-tengah belantara itu. Hutan pada malam itu seperti menyambutnya, seolah-olah mengiktiraf kehadirannya sebagai sebahagian daripada mereka. 

Firdaus berpaling sedikit ke belakang, memerhati Kejora yang sedang mendongak ke langit sambil tersenyum sendiri. Dia tahu, ini bukan sekadar pendakian biasa. Ini adalah latihan yang jauh lebih dalam daripada sekadar menguji tenaga dan mengawal naluri. 

Bagi Kejora pula, malam ini, bukan sahaja dia belajar mendaki gunung tetapi juga melatih matanya melihat apa yang orang biasa tidak dapat lihat. 

Langit semakin cerah. Mereka masih berjalan, dikelilingi hutan yang hidup, hutan yang seakan bernafas bersama mereka. 

Langkah mereka semakin pantas apabila tanah mula mendaki. Bunyi air mengalir perlahan dari kejauhan menandakan sungai kecil di hadapan. Firdaus menunduk, menyentuh permukaan air yang dingin dan jernih dan berkata perlahan, “Kita hampir sampai ke kaki air terjun. Dari sini, kita panjat sedikit lagi.”

Kejora mengangguk, matanya memerhati sekeliling. Hutan di lereng itu semakin rapat dan akar-akar besar menjalar menakjubkan, dedaunan bergoyang perlahan disapa angin subuh. Namun Kejora tidak gentar. Setiap langkahnya semakin mantap, seolah tubuhnya tahu ke mana harus berpijak. 

Apabila mereka tiba di kawasan berbatu, bunyi gemuruh halus mula kedengaran. Air terjun itu makin dekat. Firdaus mengangkat wajah, menuding ke arah celah kabus tebal di hadapan.

“Di balik batu besar tu, kau akan nampak sesuatu yang tak ramai orang biasa tak pernah lagi nampak.”

Kejora melangkah perlahan ke hadapan. Kabus malam mula terurai dan di hadapannya terbentang pemandangan yang membuatnya terpaku. Air terjun itu tinggi dan deras, jatuh dari tebing yang dilitupi lumut hijau. Namun yang paling memukau ialah cahaya halus yang mula muncul ketika langit mula berubah warna. 

Sebaik sinar pertama matahari menyentuh percikan air, sejalur cahaya pelangi mula terbentuk, melengkung indah di hadapan mereka. Air yang terjun deras kelihatan seperti berkilau, seolah-olah ribuan serpihan kaca memantulkan warna langit. 

Kejora berdiri di situ. Diam. Jantungnya berdegup laju tetapi bukan penat. Ada sesuatu dalam pemandangan itu yang terasa seperti dia pernah melihatnya dalam mimpi. 

Firdaus menghampiri dari belakang, berdiri di sisi Kejora. “Tahniah. Kau orang kedua yang datang ke sini dan menyaksikan keindahan tempat ni.”

Kejora memandangnya, seakan tidak percaya. Kemudian, dia menoleh semula ke arah pelangi yang semakin terang. Baru dia hendak menikmatinya sekali lagi, Firdaus berbisik di telinganya, “Jika lambat rakam, kau akan terlepas momen yang penting untuk Instagram kau.”

“Oh ya!” Kejora segera mengeluarkan telefon pintarnya. Merakam momen terbentuknya pelangi berlatar belakang air terjun. Dia juga sempat selfie beberapa keping gambar. Firdaus juga turut menjadi jurugambar menangkap beberapa gambar untuknya. 

Selepas puas menikmati keindahan pelangi yang muncul di air terjun, Firdaus mengajak Kejora berjalan sedikit ke arah kawasan yang lebih lapang. Langit semakin cerah, namun udara pagi di situ masih dingin dan segar, disertai bunyi kicauan burung serta deruan lembut air dari sungai berhampiran. 

Firdaus membentang sehelai kain di atas rumput yang masih basah dek embun. 

“Kita rehat sekejap,” katanya sambil berbaring, matanya memandang ke langit yang diselimuti rimbunan daun. Kejora menurut, lalu berbaring di sebelahnya. 

Beberapa saat kemudian, pandangan Kejora terpaku ke atas. Di celah-celah dahan pokok yang tinggi menjulang, dia perasan sesuatu yang aneh namun mempesonakan. Ruang-ruang kosong antara kanopi daun yang tidak bersentuhan. Setiap dahan seperti berhenti tumbuh sebelum menyentuh dahan pokok disebelahnya, membentuk corak bagaikan urat halus di langit biru. 

“Cantik…” Kejora berasa kagum. Jadi, inilah sebabnya Firdaus mahu berbaring di tengah hutan.

Firdaus tersenyum. “Itu namanya crown shyness,” katanya perlahan. “Pokok-pokok tinggi ni, seolah-olah tahu menjaga jarak antara satu sama lain. Mereka tak biar dahan mereka bersentuhan, mungkin untuk elak luka atau bagi ruang cahaya menembus ke tanah.”

Kejora terus menatap ke atas, kagum dengan ciptaan alam. Corak jurang di antara daun-daun itu membuatkan langit dihias cantik. Angin bertiup lembut, menggoyangkan dedaun, namun jarak di antara dahan-dahan itu tetap terjaga seperti alam yang mempunyai sifat kesopanan antara satu sama lain. 

Mereka sama-sama menyaksikan ciptaan alam itu. Masing-masing yang kepenatan itu hanya membiarkan alam berbicara di sekeliling mereka. Dan dalam tidak sedar, mereka terlelap di tengah-tengah hutan. 


Kejora terjaga perlahan. Udara dingin pagi menusuk lembut ke kulitnya, membuat dia menarik nafas panjang. Pandangannya kabur seketika sebelum terfokus pada langit yang terbuka di antara celahan dedaun. Sisa-sisa cahaya pagi menembusi dari ruang antara dahan. Sekali lagi fenomena crown shyness masih lagi memukau hatinya. 

Ketika itu, baru dia teringat, dia belum lagi merakam momen ini. Lantas dia mencapai telefon pintarnya. Merakam dan menangkap gambar pemandangan yang cantik ini sebanyak yang mungkin. 

“Cantiknya…” Dia tersenyum kecil sambil melihat kembali gambar-gambar yang dirakam sebelum ini. 

Dan senyumannya bertambah melebar apabila menyedari Firdaus masih lagi terlena di sebelahnya. Wajah lelaki itu tampak tenang, seolah-olah dunia di sekeliling langsung tidak mengusiknya. Kejora mengambil peluang itu merakam wajah Firdaus yang tenang. Hatinya rasa damai. 

Namun kedamaian itu tak lama. Sesuatu mula mengganggu deria tajamnya. Satu aroma… lembut, namun kuat. Harum, hangat dan menggoda. Ia bukan bau hutan, bukan embun atau tanah lembap. Ia datang dari arah Firdaus. 

Kejora menelan liur perlahan. Bau itu mengisi seluruh ruang nafasnya, membuat dadanya terasa hangat luar biasa. Dia tahu dengan pasti, itu aroma tubuh Firdaus. Naluri dalam dirinya, naluri yang bukan sepenuhnya manusia, mula terjaga. 

Degupan jantungnya semakin deras. Tubuhnya terasa tegang. Dia cuba menepis bisikan halus dalam dirinya tapi semakin ditepis, semakin kuat naluri harimaunya bangkit. 

Kejora memejam mata, cuba menahan. Tapi semakin ditahan, semakin kuat tarikan itu. Dia membuka matanya perlahan, pandangannya jatuh pada leher Firdaus yang terdedah di bawah sinar cahaya matahari pagi. 

Di situlah sumber bau itu. 

Nafas Kejora bergetar. Bibirnya sedikit terbuka, naluri liarnya makin memuncak. Dia tunduk sedikit, mendekatkan wajahnya ke arah leher Firdaus. Bau itu begitu pekat, seakan menariknya semakin dekat, menyesakkan dada dan menghalang fikirannya supaya berfikir secara waras. Dia semakin hanyut. 

Namun di saat hujung hidungnya hampir menyentuh kulit lelaki itu, Kejora tiba-tiba tersedar. Dia menarik nafas panjang, menahan diri dengan sekuat tenaga. 

Tak… ini bukan aku. Ini ujian. Latihan!

Dia berundur sedikit, menatap wajah Firdaus yang masih tidur dengan tenang. Tapi entah mengapa, nalurinya kuat mengatakan lelaki itu hanya berpura-pura tidur. Dia mengangkat kening, lalu bersuara perlahan di telinga Firdaus. 

“Sampai bila kau nak pura-pura tidur?” bisiknya, separuh geram separuh kecewa. 

Bibir Firdaus bergerak sedikit, membentuk senyuman yang jelas terlihat walau matanya masih terpejam. 

Kejora mendengus kecil. “Bangun! Tak perlu berpura-pura lagi!”

Lantas Firdaus membuka mata. Dia duduk sambil memandang Kejora yang tunduk malu kerana hampir masuk ke dalam perangkap Firdaus. 

“Not bad,” ujar Firdaus, senyum nakal. “Aku ingat aku hampir jadi mangsa pertama kau.”

Kejora menjeling tajam. 

“Okey, aku minta maaf. Ini kali terakhir. Aku takkan buat lagi.”

Kejora berpura-pura tenang untuk hilangkan rasa janggal antara mereka. “Aku berjaya kawal naluri aku. Jadi, aku nak reward.”

“Okey, kejap aku fikir apa reward yang sesuai…” Firdaus berfikir sejenak. Kemudian dia menyambung, “Mungkin kau boleh simpan gambar aku yang kau tangkap tadi… tapi dengan syarat jangan siarkan di Instagram kau.”

Kejora menjeling lagi. “Jangan perasan. Sedangkan Harris pun aku tak pernah post gambar dia dalam Instagram aku.” 

Kejora menambah lagi. “Kenapa orang lelaki ni selalu ingat yang perempuan ni semua sama? Suka menunjuk dan suka perhatian orang lain. Aku bukan macam tu. Dan letak upload gambar kau di Insta aku? Gila apa. Buat tambah masalah je.”

“Kalau macam tu… buang. Tak perlu simpan.”

Kejora mendengus. “Gambar tu aku tangkap sendiri. Hak aku. Suka hati la aku nak simpan ke nak buang ke!”

Belum sempat Firdaus membalas, Kejora terdengar sesuatu. Deru angin yang tenang tadi berubah. Daun-daun bergesel seolah-olah disentuh sesuatu yang bergerak pantas. Naluri Kejora terus terjaga. Ini bukan angin biasa. Ada sesuatu yang sedang memerhati. 

Firdaus turut merasakan hal yang sama. Masing-masing menegakkan tubuh, memandang sekeliling. Sekilas, di celah pokok meranti, ada satu bayang hitam melintas. Lantas, tubuh Kejora yang bagaikan diprogram bertindak dan meluru ke arah itu. Langkahnya tangkas dan hampir tidak menjejak tanah. 

“Kejora!” Firdaus sendiri terkejut melihat gadis itu bertindak begitu pantas. 

Dia cuba mengejar namun langkahnya tidak sepantas Kejora. Apatah lagi tubuhnya masih belum pulih sepenuhnya. Nafasnya kembali kasar, seperti ada sesuatu yang menyesakkan dada. Dalam sekelip mata, Kejora hilang dari pandangannya. 

Kejora terus berlari menuruni cerun kecil, langkahnya lincah menembusi semak dan akar beralun. Bayang-bayang itu semakin jelas. Dua sosok tubuh manusia, berpakaian gelap dan bergerak dengan gerak langkah yang hampir tidak mengeluarkan bunyi. Namun Kejora sudah cukup pantas untuk memintas mereka. 

Dia mencakup salah seorang daripada mereka dan baru dia hendak memulakan langkah seni pertahanan diri yang dipelajarinya, dia terdengar satu suara yang dia kenal. 

“Okey, okey. Kami menyerah kalah.”

Kejora terhenti. “Lebah?”

Lebah menanggalkan topeng kain dari kepalanya. Dia tersengih-sengih seperti kerang busuk. “Dan Hornet.” Lebah menunjuk seorang lagi lelaki yang memakai topeng kain. Lelaki itu tidak menanggalkan topeng kainnya tapi sekadar mengangkat tangan. 

“Apa korang buat di sini? Korang mengintip kami?”

“Tak. Kami tak nampak apa-apa.” Lebah segera menafikan.

Kejora mendengus dan memandang mereka dengan aura bunuh. 

“Okey, kami nampak segalanya. Semuanya.” Lebah akhirnya menukar kenyataan.

“Bukan itu yang aku nak tahu. Siapa yang arahkan korang ke sini?” 

“Ayah kau,” jawab Firdaus yang baru tiba. 

“Kau tahu?” tanya Kejora kepada Firdaus kembali.

“Tak. Firdaus tak tahu langsung. Ini arahan daripada Tuan Jeneral,” Lebah bersuara lagi.

Kejora merenung Firdaus. “Tipu. Habis tu macam mana dia tahu?” 

“Ayah kau langsung tak bantah bila aku beritahu nak ajak kau panjat gunung. Dia terus setuju. Jadi, menurut pengalaman, dia mesti akan suruh mereka berdua ikut dari jauh,” terang Firdaus dengan tenang. 

Kejora teringat kejadian semasa dia bersama Firdaus tadi. Dia rasa dia diperbodohkan. “Dan kau sengaja nak aku…”

Firdaus tidak sempat menjawab. Nafasnya kembali berat. Kejora sempat menangkapnya sebelum dia jatuh rebah. 

“Kan aku dah kata,” bebel Kejora, panik tapi masih sempat membebel. “Nak ajak aku panjat gunung sangat dengan keadaan kau macam ni. Kan sekarang dah susah. Satu hal lagi nak dukung kau bawa balik. Nasib baik ada dua bodyguard, kalau tak, aku dah tinggalkan kau kat sini sorang-sorang. Nanti, sampai bawah aku nak beritahu ayah aku suruh pecat kau. Orang macam ni tak layak jadi bodyguard aku dah!” 

Firdaus, termasuk Lebah dan Hornet hanya menadah telinga mendengar Kejora membebel. Masing-masing tak berani bersuara. Orang tua-tua kata, jangan dikacau harimau yang sedang marah. Nanti bertambah buruk lagi keadaan. Jadi, mereka biarkan saja. 

Mereka berehat seketika sementara menunggu tenaga Firdaus pulih. Nasib baik Firdaus sudah sediakan bekal yang mencukupi. Cukup untuk mereka berempat makan dan pulihkan tenaga. Tapi semasa mereka sedang makan, Kejora perasan akan sesuatu. 

“Kenapa kau masih bertopeng lagi?” tanya Kejora kepada Hornet. 

Dia hairan. Sejak hari pertama dia kenal Hornet, dia tak pernah tengok muka Hornet. Semasa malam berdarah itu, dia tahu Hornet yang memandu kereta dan disebabkan itu dia tak perasan muka sebenar Hornet. Bukan muka saja, suara pun dia tak pernah dengar. 

“Err… dia pemalu orangnya,” Lebah memberi alasan. 

“Korang rahsiakan sesuatu daripada aku?”

Lebah dan Hornet geleng laju-laju. 

“Habis tu? Kenapa nak berahsia pula?”

Firdaus sudah berpaling memandang tempat lain. Begitu juga dengan Lebah dan Hornet yang tak berani pandang muka Kejora. 

“Korang pernah tengok harimau jadian mengamuk dalam hutan?” ujar Kejora geram. 

Senyap. 

“Kau, buka topeng tu!” arah Kejora tegas.

Firdaus akhirnya memberi isyarat. Akhirnya dengan kebenaran Firdaus, Hornet membuka topeng kainnya. Alangkah terkejutnya Kejora apabila melihat wajah Hornet yang sebenar. 

“Azhar?” Kejora bagaikan tak percaya. “Bukan ke kau dah…”

“Mati…” Hornet akhirnya bersuara. 

“Hidup macam kami ni, mati dan hidup semula memang dah selalu,” ujar Lebah.

“So, kau pun macam aku?”

“Tak. Yang mati hanyalah Azhar, bukan Hornet,” ujar Firdaus. 

“Explain.”

“Okey,” Hornet menarik nafas panjang. “Ayah kau tugaskan kami lindungi kau. Pastikan keselamatan kau terjamin. Tapi masalahnya kami ni lelaki dan tak boleh rapat dengan kau, jadi cara lain untuk rapat dengan kau adalah ‘berkawan’ dengan kawan-kawan kau. Dipendekkan cerita, memandangkan Rosie pernah satu bilik dengan kau, aku pun rapat dengan Rosie tapi aku tak sangka dia sukakan aku. Tapi hubungan kami semakin rumit. Aku takut, hubungan kami akan menjejaskan misi kami lindungi kau, so…” 

“So, kau cipta kematian kau sendiri?”

Masing-masing mengangguk. 

Kejora mengeluh perlahan. “Kau sedar tak…”

Hornet tiba-tiba melutut. Terkejut Kejora dibuatnya. “Aku tahu dan aku sedar. Aku minta maaf. Korang naik cruise tu sebab aku juga. Tapi sebenarnya…”

“Ehem…” Firdaus tiba-tiba berdehem, memberi isyarat. Serta-merta Hornet diam. “Jom gerak sekarang. Langit macam nak hujan.”

Kejora mendongak memandang langit. “Mana ada. Cerah je.” 

“Gerak sekarang,” arah Firdaus, lembut tapi tegas. 

Mereka bertiga hanya menurut. Semasa perjalanan turun ke bawah, Kejora masih bertanya bermacam-macam soalan. Serba sedikit barulah dia tahu ayahnya telah mengatur segalanya dalam diam. Lebah juga sempat mengeluh, katanya tugas mengawasi Kejora membosankan tapi hidupnya menjadi kucar-kacir sejak kejadian kapal diserang lanun. 

“Okey, aku ada satu lagi soalan,” ujar Kejora setelah berpuas hati dengan soalan sebelum ini. “Jika kau bergelar Hornet dan kau pula bergelar Lebah, apa gelaran bagi Firdaus?”

“Kayu,” ujar Lebah selamba.

Serta-merta Kejora terbahak. 

“Encik Kayu…” Kejora memanggil Firdaus dengan nada mengejek. 

Firdaus hanya menggeleng perlahan. Dia tidak memberikan reaksi sangat apabila diejek. Tapi dia senang hati apabila Kejora gembira dengan pendakian itu. Sepanjang perjalanan turun ke bawah, Kejora adalah orang yang paling bertenaga dan aktif. 

Mereka tiba di Istana Jati ketika matahari hampir terbenam. Masing-masing kepenatan. Tapi sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke ruang utama, kepulangan mereka disambut dengan sosok tubuh lelaki berpakaian seragam tentera, berdiri tegak di tengah-tengah ruang itu. 

“Papa…” Kejora hampir tidak percaya. 

Lelaki itu berpaling. Jeneral Ghazali. Wajah yang sudah lama tidak dilihat menyambutnya dengan senyuman lembut yang jarang sekali muncul di bibir seorang jeneral. “Sweetie.”

Dalam sekelip mata, Kejora berlari mendapatkan ayahnya. Dia memeluk Jeneral Ghazali erat-erat seolah-solah tidak mahu melepaskan. 

“Akhirnya papa datang juga…” Kejora tiba-tiba rasa sebak. 

Jeneral Ghazali mengusup rambut anak gadisnya perlahan, suaranya tenang tapi sarat makna. “Maafkan papa. Ada banyak perkara yang papa kena selasaikan dulu tapi kali ni, papa balik lama sikit…”

“Apa dah berlaku?” Kejora mula perasan perubahan pada muka ayahnya. 

“Well… selepas kejadian tu… tak sepatutnya berlaku dan memalukan negara. Papa direhatkan,” kata ayahnya tanpa berahsia lagi. 

“Mereka pecat papa?”

“Mungkin tapi tak mengapa. Itu bukan masalah utama. Kita ada masalah yang paling berat sekarang.”

“Apa?”

“Mama… dia dapat berita pasal kamu terlibat dalam kejadian tu dan dia tengah marah gila-gila…”

“Opss…” Kejora memahami ayahnya. Sejak awal lagi mereka berdua sudah sepakat tidak mahu memberitahu mamanya kerana tidak mahu wanita itu risau. “So…”

“So, kita kena pergi hadap ‘ribut’ ni sama-sama. Papa dah janji akan bawa kamu pergi jumpa mama secepat mungkin.”

“Secepat mungkin?”

“Kamu patut berkemas sekarang. Kita akan bertolak awal pagi nanti.”

Kejora hilang kata-kata. Semua ini tiba-tiba. Lalu dia memandang ke arah Firdaus yang hanya berdiri memerhati mereka dalam diam. Buat pertama kali, Kejora berasa berat hati… 


Ulasan