Ketika siren kecemasan berbunyi nyaring, Firdaus terus meluru keluar dari kabin. Misinya hanya satu, mencari Kejora. Dalam kekalutan, dia menolak dan dia juga ditolak beberapa penumpang yang berlari lintang-pukang selamatkan diri. Matanya meliar melihat setiap wajah yang melepasinya.
Di dek utama, bayangan hitam berlari di celah-celah kabus malam. Sekelompok ‘lanun’ bertopeng menyerang tanpa belas, menikam dan menembak sesiapa sahaja yang melawan. Firdaus sempat menarik seorang lelaki tua ke tepi sebelum matanya terpaku ke arah lima orang lanun yang lebih tangkas daripada yang lain sedang menuju ke arahnya.
Mereka bukan lanun biasa. Gerak mereka teratur, mata mereka fokus padanya. Setiap seorang memegang senjata berbeza, karambit, belati, pisau panjang yang berkilat. Saat itu dia sedar, dia adalah sasaran utama mereka.
Firdaus menggenggam erat besi panjang yang ditemuinya di lantai. Nafasnya berat, tapi matanya tidak berkelip. Serangan pertama datang pantas, hayunan kerambit yang nyaris mengenai pipinya. Dia menepis, menendang dada lawan, tapi datang pula dua lagi dari belakang. Pertarungan sengit pun meletus di atas dek kapal yang bergoyang.
Dia menangkis satu demi satu serangan, tapi tubuhnya kian lemah. Ototnya terasa berat, pandangannya semakin kabur. Dia tahu tubuhnya tidak mampu melawan mereka ketika ini tapi dia tidak akan menyerah begitu saja.
Dan ketika satu tikaman hampir menembusi dadanya, tiba-tiba satu cahaya berkilat memotong udara.
Zinggg
Salah seorang daripada mereka terkena pada senjata misteri itu. Pisau di tangannya terpelanting dan dia segera berundur beberapa tapak. Firdaus menyedari senjata yang misteri yang dibaling seseorang berpusing dan melayang kembali, ditangkap oleh tuannya.
Haslina.
Bulat matanya melihat susuk tubuh Haslina berjalan menghampirinya. Kemudian Haslina memberikan sebuah botol kecil kepada Firdaus tetapi matanya masih merenung tajam ke arah lima ‘lanun’ yang tangkas itu.
“Minum atau mati bersama mereka,” kata Haslina, lembut tapi tegas.
Firdaus tiada pilihan. Dia segera membuka penutup botol itu dan minum. Rasanya agak payau macam air macha latte yang diminum tempoh hari. Dia hampir mahu memuntahkan kembali. Tidak lama kemudian, dia terasa ada perubahan pada tubuhnya. Dia rasa lebih bertenaga dan lebih fokus.
“Pergi selamatkan cari dia…” arah Haslina.
Firdaus tidak berfikir panjang. Walaupun ada banyak persoalan tapi dia masih tidak lupa misi utamanya. Melindungi Kejora. Tanpa berlengah lagi, dia segera meninggalkan Haslina bersama-sama lima lanun itu. Dan detik itulah… dia sedar, Haslina bukan sekadar kawan biasa bagi Kejora.
***
Firdaus kembali ke realiti. Dia menarik nafas perlahan sebelum mengambil tempat di sebuah kerusi, menyertai Haslina di ruang tamu itu. Pandangannya tidak lepas daripada wanita itu yang kelihatan tenang meneguk air teh. Namun, matanya kemudian beralih kepada set teko dan cawan di hadapan Haslina.
Walaupun dia jarang berkunjung ke Istana Jati, Firdaus tahu benar setiap barang yang tersimpan di dalamnya. Set teko dan cawan itu bukan sebarangan. Dia pasti ia asalnya disimpan di dalam sebuah almari lama di dapur lama istana ini.
Dia hanya pernah mendengar daripada ayah Kejora, dapur itu adalah kawasan larangan. Jika hendak masuk, boleh. Tapi hanya masuk dan lihat saja. Jangan bawa keluar barang-barang dalam dapur itu. Itu pantang larangnya. Firdaus tidak bertanya lanjut dan tidak mahu tahu sebabnya. Dia hanya pernah masuk sekali bersama ayah Kejora dulu. Tapi bila melihat Haslina menggunakan set teko dan cawan itu, dia mula mengerti.
“Terima kasih sebab sudi menjemput aku ke Istana Jati,” ucap Haslina sambil menuang secawan teh dan dihulurkan kepada Firdaus.
“Nampaknya, ini bukan kali pertama kau menjejakkan kaki ke sini,” balas Firdaus tenang, matanya meneliti gerak-geri gadis itu.
Haslina tersenyum nipis. Senyuman yang penuh misteri.
“Kenapa kau selamatkan aku hari tu?” tanya Firdaus, meneguk sedikit air teh yang dituang untuknya.
“Kenapa? Tak boleh ke kalau aku selamatkan pewaris tunggal Istana Jati?” Haslina ketawa kecil. “Jangan risau. Aku bukan musuh. Dan aku tak nak ada kena mengena dengan masalah korang berdua. Kalau aku masuk campur, keadaan akan jadi lebih parah. Tapi sebelum aku pergi, aku nak pastikan sesuatu…”
“Tentang Kejora?”
“Tak,” balas Haslina, suaranya perlahan. “Tentang kau.”
Dia berpaling memandang dinding gergasi di hadapannya. Ukiran kayu berusia ratusan tahun yang melakar kisah silam pewaris Istana Jati.
“Kau pasti dengan keputusan ni?” tanyanya perlahan.
Firdaus turut menoleh ke arah ukiran itu. Pandangan matanya kosong, seolah sedang membaca makna yang hanya difahami mereka berdua. “Lebih baik hentikannya di sini,” jawabnya tenang, tapi sarat dengan berat rasa bersalah.
“Dan bagaimana dengan Kejora?”
“Suatu hari nanti, dia akan bawa haluannya sendiri,” balasnya perlahan.
Haslina tidak membalas. Sebaliknya, dia mengeluarkan sesuatu dari pocket jaket kulitnya. Sebatang pemetik api lama dengan ukiran simbol yang asing. Dia menghulurkannya pada Firdaus.
“Kalau suatu hari nanti kau berubah fikiran dan ingin merampas takhta, aku akan sedia menolong,” katanya.
Firdaus memandangnya sekilas. “Tak ada takhta yang boleh dirampas lagi.”
Haslina ketawa kecil. “Mungkin. Tapi setiap api boleh dinyalakan semula. Asalkan bara belum padam.” Dia kemudian bersandar, nadanya beralih tegas. “Dan aku takkan bantu secara percuma.”
“Apa yang kau nak?”
“Sesuatu…” Haslina mendongak, matanya memandang ke atas. Memerhati ke setiap tiang dan setiap pintu bilik yang ada di istana itu. “Sesuatu yang tersirat di setiap tiang dan di setiap pintu istana ini. Rahsia yang ditinggalkan oleh mereka yang dulu pernah berkuasa.”
Udara di ruang itu terasa semakin tegang. Dari tingkat atas, bunyi angin berdesir menembusi celah jendela lama, membawa bersama bau kayu jati yang sudah berusia ratusan tahun.
“Kau boleh masuk dan keluar dengan sesuka hati dalam istana ini. Alihkan barang dalam istana ini juga. Ini bermakna kau boleh ambil apa yang kau nak. Tak perlu tunggu aku untuk mengambilnya.”
Haslina tersenyum kecil. “Aku jujur orangnya. Aku berani masuk pintu hadapan dan keluar pintu hadapan. Dan aku masih ada prinsip. Sesuatu tentang di tingkat dua, tiga, empat dan lima adalah kepunyaan pewaris Istana Jati. Aku berpegang pada prinsip tu.”
Firdaus mengangguk perlahan. “Kau boleh ambil setelah segalanya selesai.”
Haslina mengangguk. Dia bangun dan memandang ke arah pintu bilik Kejora. “Aku harap kau latih dia sebaik yang mungkin. Dunia luar semakin bahaya. Tambahan lagi generasi sekarang, tak sama seperti dulu tapi mereka tetap dibayangi generasi dahulu…”
“Kau tak nak tunggu Kejora bangun?” tanya Firdaus apabila menyedari Haslina melangkah ke arah pintu utama.
Haslina berhenti seketika, dia berpaling sedikit. “Bila dia bangun, dia dah tak kenal siapa aku,” katanya perlahan dan menyambung lagi, “Oh ya, beritahu Lydia, dia patut buang buku buruk dia. Terlampau buruk, berbau dan tak berguna,” ujarnya sebelum melangkah keluar, meninggalkan aroma teh yang semakin pudar.
Firdaus mengeluh perlahan. Maknanya Haslina tahu segalanya. Termasuk Lydia.
Esoknya, sesuatu yang lebih mengejutkan berlaku. Kejora langsung tak mengenali Haslina. Firdaus pada mulanya menyangka Kejora hanya bergurau, namun sangkaannya meleset apabila dia memeriksa gambar yang pernah diambil sewaktu mereka tiba di jeti dahulu. Dalam foto itu, hanya kelibat Kejora yang kelihatan. Tiada Haslina di sisi seperti yang sepatutnya. Haslina seolah-olah tidak pernah wujud.
Perasaan ragu menyelubungi Firdaus. Dia segera menghubungi Lydia. Sebelum ini, dia pernah meminta Lydia menyiasat identiti Haslina, tetapi tiada apa-apa yang mencurigakan ditemui. Namun kali ini jauh lebih aneh. Lydia bukan sahaja tidak mengenali Haslina, malah langsung tidak mengingati tentang permintaan Firdaus untuk menyiasat identiti gadis itu.
Firdaus memandang pemetik api yang diberikan oleh Haslina malam tadi. Hanya dia mengingati Haslina. Hanya dia ada memori tentang Haslina. Saat itu dia sedar, Haslina bukan biasa-biasa. Mungkin juga penuh luar biasa.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.