Firdaus terjaga perlahan. Kepalanya masih berdenyut, tubuhnya terasa berat seperti dipukul semalaman. Haba demam masih bersisa, membuatkan pandangannya berpinar-pinar. Dia memejam mata seketika, menarik nafas dalam sebelum menghembuskannya perlahan.
Jam di dinding menunjukkan pukul sembilan pagi. Dia sudah terlajak tidur. Biasanya waktu begini dia sudah sibuk dengan latihan asas bersama Kejora. Perlahan-lahan dia menolak selimut yang membaluti tubuh.
Dia duduk sambil bersandar di kepala katil. Bayangan malam tadi terlintas di fikirannya. Wajah Kejora yang panik, tangan lembut gadis itu yang cuba menahannya agar tidak rebah. Dia menutup mata rapat-rapat.
Itu tak sepatutnya berlaku. Dia tidak sepatutnya menunjukkan kelemahannya di hadapan Kejora. Namun, tubuhnya seakan mengkhianatinya, enggan menurut kehendak diri. Kini, dia tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan gadis itu.
Dengan sisa tenaga yang ada, Firdaus memaksa diri bangun. Kakinya longlai, tetapi dia tetap melangkah ke bilik air untuk mandi dan menyegarkan tubuh. Setelah membersihkan diri, barulah dia turun ke bawah.
Dia menolak perlahan daun pintu gelangsar dapur. Hembusan aroma masakan segera menyambut kehadirannya. Pandangannya terhenti pada satu pemandangan yang tidak pernah dilihat di rumah itu.
Kejora berdiri di hadapan dapur, rambutnya disanggul tinggi, memakai apron yang sering digunakan oleh Firdaus. Gadis itu sedang mengacau sesuatu di dalam periuk di atas api.
Firdaus terpaku di tepi pintu. Dia tidak mahu mengganggu. Untuk seketika, suasana itu terasa aneh tetapi menenangkan. Seolah-olah rumah itu milik mereka berdua sejak dulu.
“Morning,” tegur Kejora tanpa mengangkat kepala. Dia sudah sedar akan kehadiran Firdaus bahkan sebelum lelaki itu menolak pintu. Bau haruman pada tubuh Firdaus sudah dihafalnya.
Firdaus berdehem kecil sebelum melangkah masuk. “Kau masak apa?”
“Sarapan.”
Dengan langkah yang masih lemah, Firdaus menghampiri dan duduk di bangku berhampiran. Matanya tidak lepas dari memerhati Kejora. Masih sukar dipercayainya, Kejora sedang memasak.
“Kenapa? Kau ingat aku ni perempuan yang cuma tahu shopping barangan solek sampai tak reti masak?” Kejora menjeling tajam. “Aku dah lama hidup berdikari. Dah tentu aku tahu memasak. Cuma aku akui, aku tak handal macam kau.”
Firdaus tersenyum tipis. “Sorry, aku terlajak tidur.”
“Kau sepatutnya berehat lagi,” balas Kejora lembut. “Kau dah menakutkan aku malam tadi. Aku tak pernah tengok kau dalam keadaan macam tu. Jadi hari ni, aku nak kau rehat secukupnya.”
“Jangan risau. Aku okey.”
“Good.” Kejora menutup api. “Hari ni aku masak bubur ayam untuk kau. Harap kau suka.”
Dia mengaut bubur dari periuk ke dalam mangkuk, lalu meletakkannya di hadapan Firdaus.
Firdaus mula menjamah perlahan. “Mmm… not bad.”
Kejora tersenyum kecil, jelas gembira mendengarnya. Mereka duduk berhadapan, menikmati sarapan dalam suasana tenang. Sesekali Kejora mencuri pandang, memerhati Firdaus menyuap bubur tanpa sedar. Bagi Kejora, ini kali pertama dia memasak untuk seseorang. Bahkan Harris sendiri belum pernah merasa air tangannya.
Matanya jatuh ke arah leher Firdaus. Dia menelan liur, teringat detik malam tadi, ketika kepala lelaki itu bersandar di bahunya. Saat itu, aroma dari leher Firdaus begitu menggoda, hampir membuat nalurinya hilang kawalan. Mujurlah dia masih waras. Namun, semakin lama, naluri itu semakin kuat, seolah-olah dia semakin menggilai aroma tubuh Firdaus.
Ketika itu, telefon pintar di atas meja bergetar. Nama Harris tertera pada skrin. Getaran itu memecah ketenangan yang baru terjalin.
Firdaus menoleh sedikit, pandangannya bertaut pada wajah Kejora yang tiba-tiba berubah dingin. Tanpa berkata apa-apa, Kejora mencapai telefon itu, menatap seketika, kemudian menekan butang merah dan meletakkannya perlahan ke dalam laci dapur.
Firdaus hanya memerhati tanpa bersuara. Dia tidak mahu masuk campur dalam urusan peribadi Kejora. Baginya, hanya gadis itu yang berhak menentukan pilihannya. Dia sekadar ingin menenangkan, bukan mempengaruhi.
Setelah menghabiskan sisa bubur, Firdaus bangun dan melangkah ke arah jendela dapur yang luas. Dia menolak daun jendela ke sisi.
Dari situ, kelihatan deretan gunung yang dilitupi hutan tebal, disapa cahaya matahari pagi. Kabus yang masih menutupi puncak memberikan suasana tenang. Kejora berdiri di sebelahnya, menghulurkan secawan coklat panas. Mereka berdua menikmati pemandangan indah itu dalam diam.
“Kau nak rasa sesuatu yang lebih… adventure?” tanya Firdaus.
Kejora mengangkat kening. “Contohnya?”
“Tak jauh dari puncak gunung tu ada sebuah air terjun rahsia,” ujar Firdaus perlahan. “Tak ramai orang tahu. Airnya boleh membentuk pelangi kalau kita sampai sebelum matahari terbit.”
“Kau pernah ke sana?” tanya Kejora, separuth tak percaya. Gunung itu diliputi hutan tebal. Sukar dia bayangkan ada manusia pernah meredah hutan belantara itu.
“Banyak kali,” jawab Firdaus.
“Macam mana kau boleh survive di sana?” Kejora seakan tidak percaya. Tapi bila teringatkan bahawa Firdaus yang menyelamatkannya tempoh hari dengan menumbangkan seorang pengganas dengan tangan kosong, rasanya semua itu tidak mustahil.
“Nak ke sana?” Firdaus memandangnya. “Sambil tu kau boleh latih mata harimau kau.”
“Nak!” Kejora semakin bersemangat, namun dalam sekelip mata nada suaranya berubah. “Tapi bukan sekarang. Sekarang kau kena rehat dulu.”
“Jangan risau tentang aku. Aku pun perlu aktif. Kalau aku berehat tanpa buat apa-apa, badan aku akan jadi lebih lemah.”
Kejora menatapnya lama. “Kau tak perlu berpura-pura kuat depan aku. Aku tahu misi kau nak latih aku sebelum cuti semester habis dua minggu lagi. Tapi aku tak nak, disebabkan aku, kau jatuh sakit lagi.”
“Aku harap aku boleh berpura-pura. Berbaring di atas katil dan mengharapkan kau suapkan aku bubur ayam setiap hari…”
“Okey,” Kejora menjeling tajam. Menyampah la pulak. “Memandangkan kau nak sangat tunjuk jalan, kita pergi saja. Bila? Aku dah lama tak update Instagram dengan gambar yang cantik-cantik.”
“Tengah malam esok. Aku sediakan barang-barang dan inform ayah kau juga,” ujar Firdaus memberikan kembali cawan coklat panas yang telah habis diminun tadi kepada Kejora dan berlalu pergi.

Ulasan
Catat Ulasan
Dah baca,
jangan segan-segan tinggalkan komen ya.