Apy Elina mencelik mata. Dilihat jam yang tersangkut di dinding bilik yang ditumpanginya sejak beberapa hari yang lalu. Tepat jam 11 pagi. Dia bingkas bangun dari baringnya dan memandang sekeliling bilik yang sudah pun diterangi cahaya matahari pagi. Tanpa berlengah lagi dia berlalu masuk ke dalam kamar mandi untuk bersihkan diri. Sebaik sahaja membersihkan diri, dia yang hanya berpakaian t-shirt putih dan berseluar sukan turun bahagian bawah villa mewah itu. Sepasang matanya tercari-cari kelibat Darina namun tidak kelihatan langsung. Villa yang ditumpanginya itu sunyi seperti pertama kali dia menjejak kaki ke sana. Sekeping nota kecil berwarna kuning di atas meja makan menarik perhatiannya. Apy, maaf sebab tak dapat teman awak hari ini. Saya ada hal mustahak tiba-tiba. Kalau awak nak keluar pergi mana-mana, minta Pak Din tolong hantarkan. Saya akan kembali petang nanti. ...